Tafsir Surah Hud Ayat 85 – 87 (Adil dalam perniagaan)

Hud Ayat 85:

وَيٰقَومِ أَوفُوا المِكيالَ وَالميزانَ بِالقِسطِ ۖ وَلا تَبخَسُوا النّاسَ أَشياءَهُم وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And O my people, give full measure and weight in justice and do not deprive the people of their due and do not commit abuse on the earth, spreading corruption.

(MALAY)

Dan Syu’aib berkata: “Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan.

 

وَيٰقَومِ أَوفُوا المِكيالَ وَالميزانَ بِالقِسطِ

Dan Syu’aib berkata: “Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, 

Dengan memulai ucapan dengan “Wahai kaumku!” jelaslah rasa cinta dan kasih-sayang yang ada pada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerana kaumnya itu bukan orang lain baginya, mereka adalah saudara kandungnya. Ini mengajar kita bahawa para pendakwah mestilah menggunakan bahasa yang beradab dan tidak menyakitkan hati mad’u. Jikalau mereka sakit hati, tentulah tidak sampai dakwah kita.

Selain mereka itu diingatkan dengan ajaran Tauhid sebelum ini, baginda mengingatkan mereka tentang amalan perniagaan mereka. Hendaklah manusia berlaku jujur dalam perniagaan. Kalau timbang untuk pelanggan, bagi dengan cukup. Sukatan dan timbangan mestilah adil, iaitu menurut ukuran yang telah ditentukan bersama, menurut uruf (kebiasaan) masyarakat yang telah diputuskan oleh masyarakat setempat. Misalnya satu sukat ialah empat gantang, satu gantang sekian genggam dan seterusnya. Hendaklah diukurkan sukat dan timbangan itu dengan adil, iaitu menurut apa yang telah diputuskan bersama.

Namun begitu janganlah hadkan kepada timbangan dan takaran sahaja. Zaman sekarang bukan semua perniagaan melibatkan timbangan barang. Banyak yang melibatkan servis sekarang. Maka sekiranya menyediakan perkhidmatan servis, maka lakukanlah dengan penuh. Jikalau mengadakan kontrak perniagaan, jangan menipu dengan menambah syarat-syarat yang tidak patut. Zaman sekarang kebanyakan kita tidaklah menggunakan penimbang berat dalam perniagaan kita. Namun peluang untuk menipu pelanggan ada bermacam-macam jenis sekarang. Penjual pula ada pelbagai cara untuk menipu. Maka mereka kena tanya diri mereka sendiri: adakah aku menipu atau tidak? Perkara ini amat penting di dalam kehidupan dan kerana itu disebut juga di dalam Mutaffifin: 1-6

وَيلٌ لِلمُطَفِّفينَ
Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang

الَّذينَ إِذَا اكتالوا عَلَى النّاسِ يَستَوفونَ
(iaitu) orang-orang yang apabila menerima timbangan daripada orang lain, mereka minta dipenuhi,

وَإِذا كالوهُم أَو وَزَنوهُم يُخسِرونَ
dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.

Manusia kena sedar yang keuntungan dunia yang mereka kejar itu tidak berbaloi jikalau mereka diazab di akhirat kelak. Maka mereka kena ingat yang mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kerana itu Allah ﷻ sambung seterusnya,

أَلا يَظُنُّ أُولٰئِكَ أَنَّهُم مَبعوثونَ
Tidaklah orang-orang itu menyangka, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan,

لِيَومٍ عَظيمٍ
pada suatu hari yang besar,

يَومَ يَقومُ النّاسُ لِرَبِّ العالَمينَ
(iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?

Di dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ telah sebut وَلا تَنقُصُوا المِكيالَ وَالميزانَ (dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan), maka kenapa Allah ﷻ ulang lagi dengan ayat yang lebih kurang sama, iaitu أَوفُوا المِكيالَ وَالميزانَ (cukupkanlah takaran dan timbangan) pula? Tidakkah maknanya lebih kurang sama sahaja? Ulama’ mengatakan apabila Allah ﷻ menyebut أَوفُوا ia bermaksud beri lebih lagi. Kerana takut kalau kita bagi cukup-cukup sahaja, entah ada yang kekurangan. Akan tetapi sekiranya diberi lebih, pasti sudah cukup. Kerana itu kadang-kadang kita perasan ada peniaga yang beri lebih lagi daripada yang sepatutnya. Kalau buah itu sepatutnya sekilo, kemudian ditambahnya lagi.

 

وَلا تَبخَسُوا النّاسَ أَشياءَهُم

dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan

Jangan beri kurang daripada yang sepatutnya kepada pelanggan. Banyak kalangan peniaga yang mengambil kesempatan atas kelalaian pelanggan, atau kejahilan pelanggan. Kerana dalam bidang kerja profesional atau teknikal, pelanggan tidak tahu sepenuhnya.

Sebagai contoh, pemilik kereta tidak tahu sepenuhnya tentang kereta, maka mereka hanya percayakan nasihat mekanik. Kalau mekanik tidak jujur, memang mereka boleh menipu sahaja pelanggan kerana pelanggan pun tidak tahu yang mereka ditipu. Namun itu adalah haram.

Kadang-kadang bukan pelanggan sahaja ditipu. Pekerja pun ada yang ditipu oleh majikan mereka. Ada pekerja yang tidak mendapat upah sebagaimana yang sepatutnya. Namun selalunya mereka tidak boleh berkata banyak kerana mereka pekerja sahaja dan mereka takut hendak menegur majikan mereka kerana takut dibuang kerja pula.

Selain daripada memberikan pelanggan untuk mendapat apa yang mereka bayar, maka kita kena juga memberikan hak di dalam perkara-perkara yang lain di dalam kehidupan. Contohnya kita memberi hak kepada keluarga kita, kepada pekerja kita, kepada rakyat, kepada guru dan macam-macam lagi. Bab hak ini memang banyak sekali kerana ia adalah perkara yang amat luas.

 

وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

dan janganlah kamu membuat bencana di muka bumi dengan membuat kerosakan.

Jangan kamu melakukan bencana. Kalimah تَعثَوا daripada katadasar ع ث ط yang bermaksud melakukan kejahatan; melakukan jenayah; bertindak korup/fasik. Ini adalah kerana menipu dalam perniagaan adalah satu kerosakan juga. Sekiranya seseorang mula melakukan penipuan, kemudian orang lain pun ada yang ikut melakukannya juga kerana masing-masing hendak mendapat untung sebagaimana orang yang pertama itu dapat. Akhirnya perkara itu menjadi satu kebiasaan dan ini tidak baik bagi rakyat dan ekonomi. Masalah ekonomi yang dihadapi oleh kebanyakan negara mungkin disebabkan oleh perkara ini.

Masyarakat yang korup, masyarakat yang ditegakkan di atas penipuan menimbulkan kekayaan dan mencari keuntungan peribadi kerana mementingkan diri sendiri. Maka orang yang miskin dan teraniaya akan mengeluh dan berdendam. Segolongan kecil manusia hidup senang dengan menghisap darah golongan yang terbesar. Itulah yang diisyaratkan di hujung ayat tentang “kerosakan di muka bumi”, yang disebut Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ukuran masyarakat zaman kuno yang mencari rezeki pada pertanian, dan penternakan, yang dapat kita kiaskan kepada masyarakat moden sekarang ini.

Di dalam ayat menceritakan kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, nampaklah baginda membayangkan suatu ilmu ekonomi, bahawa kenaikan harga sehingga tidak terkendalikan lagi, banyak sangkut-pautnya dengan kecurangan sukatan dan timbangan. Di dalam ilmu ekonomi moden pun kata-kata itu dapat disimpulkan dalam spekulasi dan manipulasi, atau menimbun barang keperluan sehari-hari yang penting, sehingga orang ramai menderita. Ekonomi menjadi punah dan itulah kerosakan yang dimaksudkan. Kita sekarang pun telah merasainya apabila barang semakin naik harga dan melambung-lambung tidak tentu masa. Inilah balasan daripada kecurangan yang dilakukan oleh para peniaga yang tidak adil.

Kalimah تَعثَوا dan مُفسِدينَ lebih kurang sama sahaja maknanya, maka kenapa Allah ﷻ tambah lagi kalimah مُفسِدينَ itu? Ini adalah kerana bukan semua perbuatan yang nampak jahat itu sebenarnya membuat kerosakan. Sebagai contoh Allah ﷻ sebut di dalam Hashr: 5

ما قَطَعتُم مِّن لّينَةٍ أَو تَرَكتُموها قائِمَةً عَلىٰ أُصولِها فَبِإِذنِ اللهِ وَلِيُخزِيَ الفٰسِقينَ
Apa saja yang kamu tebang daripada pohon kurma (milik orang-orang kafir) atau yang kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas pokoknya, maka (semua itu) adalah dengan izin Allah; dan kerana Dia hendak memberikan kehinaan kepada orang-orang fasik.

Memang sekali pandang kita lihat perbuatan memotong pokok kurma itu berbuat kerosakan, akan tetapi sebaliknya ia bertujuan untuk menimbulkan rasa gerun di dalam hati golongan Yahudi itu supaya mereka menyerah diri.

Juga lihat perbuatan Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang disebut di dalam Kahf:71 dan Kahf:74

فَانطَلَقا حَتّىٰ إِذا رَكِبا فِي السَّفينَةِ خَرَقَها
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, dia membocorkannya.

فَانطَلَقا حَتّىٰ إِذا لَقِيا غُلٰمًا فَقَتَلَهُ
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya.

Kedua-dua perbuatan ini kalau dilakukan oleh orang yang biasa, tentu dilihat sebagai kerosakan yang amat besar akan tetapi kita dapat tahu daripada penjelasan Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bahawa ada sebab kenapa baginda lakukan sebegitu. Maka ia bukanlah membuat kerosakan pada pandangan mata. Kerana itu bukan semua yang kita nampak perbuatan merosakkan pada zahirnya itu sebenarnya kerosakan kerana mungkin ada sebab di sebaliknya ia dilakukan.


 

Hud Ayat 86:

بَقِيَّتُ اللَّهِ خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ ۚ وَما أَناْ عَلَيكُم بِحَفيظٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What remains [lawful] from Allāh is best for you, if you would be believers. But I am not a guardian over you.”

(MALAY)

Sisa (keuntungan) daripada Allah adalah lebih baik bagimu jika kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu”

 

بَقِيَّتُ اللَّهِ خَيرٌ لَّكُم

Sisa (keuntungan) daripada Allah adalah lebih baik bagimu

Maksudnya, pahala-pahala yang dijanjikan oleh Allah ﷻ lebih baik untuk mereka. Atau, rezeki yang baik itu lebih baik daripada rezeki yang haram. Memang kalau jujur dalam perniagaan, ada benda yang kita tidak dapat, mungkin tidak mendapat untung yang lebih. Untung mungkin sedikit, dapat baki sahaja, namun itulah yang berkat. Walaupun ia sisa, tetapi ia adalah sisa yang halal.

Memang akan ada orang yang rasa, rugilah kalau tidak ambil kesempatan itu. Namun Allah ﷻ mahu beritahu, itulah yang terbaik untuk kita. Ambil mana yang boleh ambil dengan cara jujur sahaja. Jangan ambil lebih daripada yang sepatutnya kerana itu amatlah bahaya. Keuntungan yang sedikit dan ada berkat lebih baik daripada keuntungan banyak yang tanpa berkat. Tidak sama yang baik dan yang buruk seperti firman Allah ﷻ di dalam Maidah: 100

قُل لّا يَستَوِي الخَبيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَو أَعجَبَكَ كَثرَةُ الخَبيثِ
Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu,

Rasulullah ﷺ telah bersabda,

“مَا قَلَّ وكَفَى، خَيْرٌ مِمَّا كَثُر وألْهَى”
Sesuatu yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih baik daripada sesuatu yang banyak tetapi melalaikan.
(HR Ahmad No. 21721)
Sanadnya hasan menurut Syeikh Al-Arnauth رَحِمَهُ اللَّهُ

 

إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

jika kamu orang-orang yang beriman. 

Nasihat yang begitu banyak dan rapi ini hanya boleh diterima dan diamalkan oleh orang-orang yang ada iman di dalam hati mereka. Yang bukan hanya melihat daripada keuntungan dunia sahaja, tetapi sedar yang nanti apabila mereka telah mati nanti, mereka akan menghadap Allah ﷻ dan akan ditanya tentang amalan mereka semasa mereka hidup di dunia.

 

وَما أَناْ عَلَيكُم بِحَفيظٍ

Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu”

Baginda mengingatkan mereka yang baginda tidak menjaga amalan mereka. Maksudnya, baginda tidak boleh memaksa mereka, baginda cuma boleh nasihat sahaja. Ini adalah kerana tugas baginda adalah menyampaikan, dan baginda tidak mampu untuk menyelidik sama ada mereka benar atau tidak dalam perniagaan mereka – mereka kenalah periksa sendiri, nilai sendiri. Baginda bukannya polis untuk periksa satu persatu apa yang mereka lakukan.

Ia juga bermaksud yang baginda tidak boleh membantu mereka jikalau mereka nanti diazab oleh Allah ﷻ atas kesalahan mereka kerana baginda tidak bertanggungjawab atas mereka. Baginda hanya boleh menyampaikan sahaja ajaran agama dan nasihat yang baik kepada mereka kerana itu adalah tugas baginda dan juga kerana kasihnya baginda terhadap mereka.


 

PENOLAKAN KAUM NABI SYUAIB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 87:

قالوا يٰشُعَيبُ أَصَلوٰتُكَ تَأمُرُكَ أَن نَترُكَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا أَو أَن نَّفعَلَ في أَموٰلِنا ما نَشىؤُاْ ۖ إِنَّكَ لَأَنتَ الحَليمُ الرَّشيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O Shu‘ayb, does your prayer [i.e., religion] command you that we should leave what our fathers worship or not do with our wealth what we please? Indeed, you are the forbearing, the discerning!”¹

  • This is a sarcastic description implying the opposite.

(MALAY)

Mereka berkata: “Hai Syu’aib, apakah sembahyangmu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki dengan harta kami? Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal”.

 

قالوا يٰشُعَيبُ

Mereka berkata: “Hai Syu’aib,

Ini adalah balasan daripada kaum Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada baginda. Seperti biasa, akan ada umat yang menolak. Di sini masyarakat baginda menyebut nama baginda sahaja tanpa diberikan pangkat baginda sebagai Nabi Allah ﷻ. Maka ini menunjukkan yang mereka marah kepada baginda tidak menghormati baginda dan sudah tidak sayang kepada baginda. Kurang ajarnya mereka itu seperti kurang ajarnya seorang anak yang memanggil nama ayahnya sahaja. Mereka sedang berkata dengan nada memperolok-olok apa yang baginda nasihat kepada mereka. Memang kalau jauh daripada agama, adab pun akan ke laut.

Kita boleh lihat di sini yang umat Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah memberi tindak balas kepada dakwah baginda. Baginda telah menyampaikan dakwah dan telah menegur kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh umat baginda waktu itu. Ini bermakna memang baginda telah melakukan dakwah dengan menyampaikan kebenaran yang menyentuh amalan-amalan salah masyarakat itu. Mereka terasa dengan teguran itu dan kerana itulah mereka sedang menjawab seperti yang kita baca ini.

Ini tidak sama dengan ahli agama kita sekarang yang tidak menegur pun kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat sampaikan masyarakat senang lenang sahaja tidak terasa dan tidak tersentuh pun dengan teguran daripada ahli agama. Kalau ada kelas-kelas agama yang dijalankan di masjid-masjid dan surau sekarang pun hanya menyentuh tentang fiqh wudhu’, solat dan puasa sahaja dan tidak menegur dan kesalahan syirik dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat. Maka kerana itulah kesalahan syirik dan bid’ah masih berterusan malah makin bercambah dalam kalangan masyarakat kita.

 

أَصَلوٰتُكَ تَأمُرُكَ أَن نَترُكَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا

apakah sembahyangmu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami?

Kaum Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut tentang solat. Solat dari sudut bahasa adalah doa dan kita amat dituntut untuk memperbanyakkan berdoa di dalam solat. Memang di dalam solat itu mengandungi banyak sekali doa, maka tidak salah kalau kita katakan yang solat itu memang doa. Kerana itulah kita kena faham kalimat yang kita sebut di dalam solat kerana kita apabila berdoa, kena faham apa yang kita doakan itu.

 

Solat

Pendapat yang lebih kuat adalah mereka menyebut tentang solat Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana memang para Nabi semuanya mempunyai syariat solat. Cuma mungkin tidak sama dengan syariat umat Nabi Muhammad ﷺ seperti yang kita sedang lakukan sekarang. Malahan sebelum kewajipan solat lima waktu diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ pun baginda telah solat malam. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Muzzammil: 2

قُمِ اللَّيلَ إِلّا قَليلًا
Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa

Mereka nampak Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu melakukan ibadah solat. Maka mereka ejek: “Adakah solat yang kamu lakukan itu yang suruh kamu supaya suruh kami tinggalkan apa yang kami pernah buat selama ini?” Mereka mahu berkata: “Adakah kamu nak tukar sembahan yang selama ini kami buat? Kamu nak kata selama ini, apa yang kami sembah ini salah?” Iaitu berhala-berhala dan apa-apa sahaja selain Allah ﷻ.

Persoalan mereka ini adalah satu ejekan. Mereka mahu berkata: ‘Kalau nak solat tu solatlah, tapi jangan campur urusan mereka, dan apa yang mereka nak buat dengan kehendak mereka. Jangan kacau amalan-amalan yang telah lama diamalkan oleh mereka, oleh tok nenek mereka. Benda sudah lama dilakukan, tiba-tiba datang, nak kata salah pula…’ Ada pendapat mengatakan syirik yang mereka lakukan adalah menyembah pokok.

Begitulah juga yang dikatakan oleh ahli-ahli bid’ah di negara kita, bukan? Marah betul mereka apabila dikatakan amalan yang telah sekian lama dilakukan selama hari ini sejak zaman berzaman adalah salah pula; seperti Solat Hajat berjemaah, Majlis Yasinan dan Tahlil, Jaga Kubur selepas kematian, Doa Selamat dan macam-macam lagi. Mereka marah kerana amalan itu sudah lama diamalkan di negara ini, diamalkan oleh kebanyakan ustaz ustazah selebriti, maka mereka sangka tidak mungkin salah? Memang sukar untuk mereka menerima suatu amalan yang di luar kebiasaan lebih-lebih lagi suatu perkara yang telah diamalkan sejak sekian lama sehingga menjadi sebahagian daripada amalan darah daging dan adat dalam kehidupan seharian mereka.

Ada pula yang kononnya boleh menerima perbezaan pendapat antara golongan sunnah dan mereka, tetapi mereka kata janganlah kata perbuatan mereka itu salah. Kerana pada mereka, ada pendapat yang mengatakan amalan mereka itu adalah benar. Mereka tidak sedar yang komen mereka itu sama sahaja dengan komen-komen yang dikeluarkan oleh umat-umat Rasul terdahulu. Mereka tidak sedar kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka hanya rajin membaca dan melagukan Al-Qur’an serta khatam berulang kali sahaja, namun tidak faham apa yang mereka bacakan itu.

Kita hanya menegur sahaja dengan ilmu yang ada pada kita. Kalau mereka merasakan amalan mereka benar, silalah terus melakukannya. Namun janganlah halang sekiranya kita beri pendapat kita yang mengatakan amalan itu salah. Ini kerana yang salah tetap salah.

Kaum Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu mengejek baginda dengan mengatakan adakah solat engkau itu menyuruh kami meninggalkan amalan syirik tok nenek kami? Sekarang persoalannya adakah benar begitu? Memang benar pun seperti disebut dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan beliau berkata, aku mendengar Jabir berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Riwayat Muslim No. 116)

Sebab itulah benar pendapat yang mengatakan kalau tidak solat, tiada gunanya puasa yang dikerjakan di bulan Ramadan. Ramai orang kita yang walaupun tidak solat, namun apabila datang bulan puasa, mereka berpuasa. Akan tetapi mereka tidak sedar yang amalan ibadah puasa mereka itu sebenarnya tidak diterima kerana syarat diterima ibadah adalah seseorang itu mesti muslim. Jikalau tidak mengerjakan solat, maka keislaman seseorang tidak sah (salah satu pendapat). Akan tetapi perkara ini jangan diberitahu kepada orang-orang yang bodoh kerana jikalau mereka tahu hal ini, mereka bukannya hendak solat tetapi sebaliknya dengan puasa-puasa sekali mereka tinggalkan!

Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ

“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ

Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

 

Amalan tok nenek

Namun kenapa mereka marah sangat Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menegur amalan mereka? Kerana memang manusia suka dan selesa untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kalau perkara lain, tidaklah dijaga sangat, akan tetapi dalam bab agama, memang selesa dan yakin sahaja dengan apa yang telah ada sekian lama.

Sebagaimana golongan Melayu kita lah juga, kalau bab agama, sentiasa sahaja mahu diikutkan apa yang telah diamalkan oleh golongan-golongan sebelum ini. Kalau kita tegur, marah betul mereka yang menjaganya. Mereka ikut sahaja amalan tok nenek, tanpa memikirkan sama ada amalan itu benar atau tidak. Maka amat susah untuk kita menghilangkan amalan syirik, bid’ah dan khurafat dalam masyarakat kerana memang ramai yang berfikiran cetek begini. Maka kita kena terus sampaikan ilmu.

Menggunakan hujah amalan tok nenek adalah satu hujah yang selalu digunakan oleh para penentang tauhid dan Sunnah. Ini adalah kerana pada mereka, sesuatu amalan itu sudah lama diamalkan oleh tok nenek dan kita manusia memang ada pertalian yang rapat dengan tok nenek. Sepertimana kita menghormati apa yang dilakukan oleh bapa kita jugalah. Berat hati kita untuk mengatakan amalan bapa kita salah, bukan? Salah bagaimana pun, ia tetap bapa kita, bukan? Mereka sangka apabila amalan itu telah lama diamalkan sudah tentulah ia benar kerana jikalau ia salah maka tentu telah lama telah ditolak.

Lagi satu mereka percaya kepada amalan tok nenek ini adalah kerana yang menjadi penganjurnya juga adalah golongan-golongan agama juga seperti ustaz dan tok lebai. Bayangkan amalan syirik buang sial ke laut dahulu dilakukan oleh para-para ustaz juga yang membacakan doa dan menjadi tekong kepada amalan itu. Alhamdulillah masyarakat kita sudah semakin pandai sedikit dan sudah nampak yang amalan itu adalah amalan syirik. Akan tetapi masih ada lagi amalan-amalan lain yang berbaki di dalam masyarakat kita.

Ringkasnya amalan tok nenek dipegang kuat kerana,

    1. Sudah lama diamalkan maka kenapa perlu ditukar?
    2. Tok nenek yang kita hormat dan sanjungi yang mengamalkannya
    3. Kalau salah, kenapa ia diamalkan sekian lama?
    4. Ia juga diamalkan oleh ahli agama selama ini

Al-Qur’an menegur hujah bathil mereka ini seperti disebut dalam Baqarah: 170

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”.

Hujah mereka ini dijawab oleh Allah ‎ﷻ di dalam sambungan ayat itu. Seandainya amalan itu memang ada hujah dan dalil, maka bolehlah diteruskan, namun sekiranya ia dilakukan tanpa apa-apa sandaran agama, maka kenapakah diteruskan? Takkan masih hendak ikut amalan orang yang tidak berilmu hanya kerana semata-mata mereka itu tok nenek kita?

أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?

Oleh itu, mereka yang berilmu dan menggunakan akal yang waras dan telah mempelajari agama mestilah berani untuk meninggalkan amalan-amalan salah walaupun ia telah lama diamalkan. Kita tidak perlu menjaga tradisi golongan yang sebelum kita jikalau ia terbukti telah menyelisihi wahyu.

Kalau amalan salah dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat tidak ditegur, maka ia akan menjadi semakin teruk dan lama kelamaan akan dianggap sebagai agama dan baik. Sebab itulah amalan tok nenek itu dianggap sebagai baik kerana tidak pernah ditegur oleh ahli agama yang sepatutnya tahu. Begitu jugalah kita terpaksa menegur amalan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana jikalau kita tidak ditegur, entah apa yang akan terjadi kepada masyarakat kita. Seandainya kita dapat hidup selama 50 tahun lagi dan melihat amalan masyarakat ketika itu, kita pun tidak tahu masyarakat kita itu beragama apa agaknya kerana amalan sudah menjadi pelik-pelik.

Jangan kita menjadi orang yang hanya menerima sahaja apa-apa yang disampaikan kepada kita. Ini kerana Allah ﷻ telah menganugerahkan kita pancaindera untuk mendapat ilmu dan minda bagi menilai mana yang benar dan mana yang tidak. Allah ﷻ memuji ‘ulul albab’ orang yang bijak di dalam Zumar: 18

الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

Lihatlah Allah ﷻ memanggil golongan ulul albab ini sebagai mereka yang ‘berakal sempurna’. Adakah kita termasuk mereka yang sempurna akalnya? Jika kita hanya menerima sahaja segala apa yang disampaikan kepada kita tanpa menapis dan berfikiran kritis, ketahuilah bahawa jelas sekali terdapat kekurangan dengan akal kita ini.

Maknanya kita boleh sahaja mendengar hujah yang disampaikan oleh orang lain, namun mestilah dinilai semula supaya kita ikut yang أَحسَنَهُ (yang terbaik). Apakah pula أَحسَنَهُ itu? Ia disebut dalam Zumar: 23 pula,

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang

Jelas sekali di sini, أَحسَنَ yang dimaksudkan adalah wahyu Al-Qur’an. Maka kita kena bandingkan apa-apa sahaja yang disampaikan kepada kita dengan neraca Al-Qur’an. Cuma malangnya ramai yang tidak mahir dengan tafsir Al-Qur’an maka kerana itu senang sekali mereka tertipu.

 

أَو أَن نَّفعَلَ في أَموٰلِنا ما نَشىؤَاْ

atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki dengan harta kami?

Mereka marah apabila mereka tidak bebas berbuat apa sahaja terhadap harta benda mereka. Mereka berkata, jangan babitkan urusan agama dengan urusan perniagaan.

Inilah fahaman sekularisme – semenjak dulu lagi sudah ada. Urusan agama diasingkan daripada urusan keduniaan. Begitulah manusia, mereka kadang tidak kisah dengan ibadat, tetapi mereka bezakan antara ibadat dengan kehidupan. Mereka tidak suka kalau agama dimasukkan ke dalam kehidupan. Sebagai contoh di dalam ayat ini, mereka rasakan itu adalah wang mereka, harta mereka, maka mereka bolehlah hendak berbuat apa sahaja dengan harta mereka itu.

Begitulah yang terjadi jika manusia tidak rasa yang segala apa yang mereka ada adalah haq Allah ﷻ sebenarnya. Mereka lupa yang segala harta yang mereka ada itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ dan mestilah digunakan dengan cara yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya.

Ini adalah golongan yang jahil yang tidak nampak bahawa agama Islam ini sebenarnya menyeluruh dan bukan hanya di dalam bab ibadat sahaja. Kerana itu ramai yang solat tetapi di luar solat mereka tidak menjaga agama kerana kononnya mereka sudah beribadah kepada Allah ﷻ dan mereka sudah muslim. Hakikatnya mereka itu amat jauh daripada kebenaran. Mereka tidak faham yang kita ini mesti memasukkan seluruh kehidupan ke dalam agama Islam seperti disebut dalam Baqarah: 208

ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً
Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam keseluruhannya

Malangnya ramai yang tidak mengamalkan agama Islam secara keseluruhannya dan pilih memilih mana yang mereka hendak lakukan dan meninggalkan mana yang mereka tidak suka. Allah ﷻ mengutuk golongan ini seperti disebut di dalam Baqarah: 85

أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ
maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain?

 

إِنَّكَ لَأَنتَ الحَليمُ الرَّشيدُ

Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal”.

Ini bukanlah mereka memuji Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi sebenarnya mereka mengejek lagi: “Kamu sangat lembut lagi sangat jujur”. Ini bukanlah pujian, tetapi ejekan dan kutukan. Mereka hendak berkata: “Jadi kamu rasa kamu lagi bagus dari kami lah? Kamu rasa kamu santun, lagi baik, lagi berakal dari kamilah?”.

Ini sama sahaja seperti orang kita yang suka mengejek orang yang belajar agama: “Oh, baru setahun dua belajar agama sudah jadi ustaz… sudah boleh tegur kami yer…kamu ni sudah sangat baik ya?” Ini adalah kerana manusia memang susah untuk terima teguran. Kalau boleh, mereka ingin bebas berbuat apa sahaja tanpa teguran daripada orang lain.

Maka ayat ini adalah ayat perli sepertimana Allah ﷻ juga ada memerli golongan kufur seperti disebut dalam Dukhan: 49

ذُق إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الكَريمُ
(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”

 

Satu lagi tafsir bagi maksud ayat ini adalah mereka sebenarnya hendak mengatakan yang dulu Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lain dari sekarang. Dulunya baginda berlapang dada dan seorang yang dipandang berakal molek pada mereka. Ini adalah seperti kata-kata kaum Tsamud kepada Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Hud: 62

قالوا يٰصٰلِحُ قَد كُنتَ فينا مَرجُوًّا قَبلَ هٰذا
Kaum Tsamud berkata: “Hai Saleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan,

Begitulah juga yang kita ketahui yang telah terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebelum baginda menjadi Rasul dan mengajak kaumnya meninggalkan syirik, kaumnya itu menggelarkan baginda dengan gelaran ‘Al-Amin’ (yang dipercayai) menunjukkan betapa mereka percayakan baginda.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diakui oleh kaumnya sebagai seorang yang berlapang dada, pemaaf dan amat bijaksana; kerana memang begitulah watak baginda selama ini. Namun sebagai seorang utusan Allah ﷻ baginda wajib menyampaikan kata kebenaran, walaupun pahit untuk diterima.

Pujian mereka kepada Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mengatakannya seorang yang berlapang dada, pemaaf dan bijaksana, boleh juga dikatakan sebagai suatu pujian yang berisi tipuan. Moga-moga kerana dipuji itu baginda tidak lagi bersikap keras mencela perbuatan mereka. Mereka berharap sekiranya baginda sudah dikatakan berlapang dada dan bijaksana, moga-moga akan dimaafkannya sahaja segala kesalahan mereka serta mencegah sesuatu dengan lemah-lembut sahaja, bukan serius sangat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment