Tafsir Surah Baqarah Ayat 203 – 209 (Sifat golongan Munafik)

Baqarah Ayat 203: Ini adalah kisah di Mina semasa buat Haji.

۞ وَاذكُرُوا اللَّهَ في أَيّامٍ مَّعدُودٰتٍ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ في يَومَينِ فَلا إِثمَ عَلَيهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلا إِثمَ عَلَيهِ ۚ لِمَنِ اتَّقىٰ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم إِلَيهِ تُحشَرونَ

Sahih International

And remember Allah during [specific] numbered days. Then whoever hastens [his departure] in two days – there is no sin upon him; and whoever delays [until the third] – there is no sin upon him – for him who fears Allah. And fear Allah and know that unto Him you will be gathered.

 

Malay

Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka dia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka dia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.

 

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعدُودٰتٍ‌

Dan ingatlah kepada Allah pada hari-hari yang telah ditentukan bilangannya;

Iaitu pada 11, 12 & 13 Dzulhijjah – dinamakan juga Hari-hari Tasyrik. Kenapa Allah‎ ﷻ suruh ingat kepada Dia pada waktu itu? Kerana waktu itu sedang sibuk melihat orang lain. Macam-macam jenis manusia ada di situ. Orang-orang yang tidak biasa kita lihat. Boleh mengganggu fokus kita.

Sebab itu Allah ‎ﷻ suruh ingat kepada-Nya. Dekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ pada waktu itu. Kenalah buat perkara-perkara yang mengingatkan kepada Allah ‎ﷻ – baca Al-Qur’an, zikir dan sebagainya.

 

فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ

Maka sesiapa yang hendak balik segera dalam dua hari itu;

Iaitu bergerak awal dari Mina. Selepas melontar Jamrah Aqabah, dia hendaklah balik awal.

 

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

dia tidak berdosa;

Boleh kalau hendak balik awal, cuma kena bayar dam sahaja. Orang Arab selalunya buat begitu.

Maka ia dibenarkan untuk dilakukan oleh Allah ‎ﷻ, maka jangan marah kepada mereka yang hendak balik awal.

 

وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

Dan sesiapa yang hendak melewatkan, juga tidak berdosa.

Kalau hendak tinggal lama juga, tidak ada masalah juga.

 

لِمَنِ اتَّقَىٰ

kepada orang yang takut kepada Allah;

Takut kepada Allah ‎ﷻ itu adalah dengan menjaga hukum yang telah disampaikan oleh-Nya. Maknanya, sesiapa yang hendak tinggal selama tiga hari di sana, maka mereka hendaklah menjaga taqwa mereka. Jangan mereka tinggal lama di sana tetapi kerana mereka bosan, mereka buat pula perkara-perkara yang lagha. Padahal, waktu itu perlulah digunakan untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah

Taqwalah kepada Allah ‎ﷻ dengan menjaga hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan. Ayat ini disampaikan di hujung-hujung pengajaran tentang Haji dalam surah Baqarah ini. Ini mengingatkan kita bahawa kita kena terus jaga taqwa kita kepada Allah ‎ﷻ, walaupun telah selesai menunaikan ibadah Haji. Janganlah masa buat ibadat sahaja kita sedar dan taqwa, tetapi di luar ibadat, tinggalkan taqwa pula.

 

وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan yakinlah bahawasanya kamu akan dihimpunkan untuk bertemu dengan-Nya;

Ingatlah bahawa, dalam kita meninggalkan Arafah itu, kita semua akan dikembalikan juga kepada perkumpulan sebegitu juga nanti di Mahsyar. Kita semua akan dihimpunkan untuk ditanya, adakah kita gunakan harta yang telah Allah ‎ﷻ beri kepada kita untuk pergi Haji? Kerana ada yang ada harta, tetapi tidak pergi Haji lagi. Sibuk pergi ke tempat-tempat lain dahulu.

Ada pula yang kata tiada wang, tetapi mereka sebenarnya ada tanah, tetapi tidak mahu hendak jual tanah untuk buat belanja pergi menunaikan Haji. Ada yang harta banyak, tetapi dibahagikan awal-awal lagi kepada anak-anak kerana takut anak tidak ada harta apabila mereka sudah mati nanti.

Selalunya, apabila sudah diberi tanah kepada anak-anak, mereka sudah tiada duit untuk pergi Haji. Tetapi anak-anak nanti bukannya hendak derma untuk ibu bapanya nanti. Janganlah begitu, biarlah anak-anak cari harta sendiri. Kerana nanti di hadapan Allah ‎ﷻ, kita tidak boleh jawab kenapa kita tidak tunaikan Haji nanti.

Perkataan حَشَرُ tidak sama dengan perkataan جمع – juga digunakan untuk bermaksud dikumpulkan. Kalimah حَشَرُ digunakan dalam bahasa Arab untuk mengumpulkan binatang, seperti penggembala lembu mengumpulkan lembu belaannya. Ini memberi isyarat kepada kita yang kita nanti akan dikumpulkan oleh Allah ‎ﷻ macam penggembala mengumpulkan binatang ternakannya.


 

Baqarah Ayat 204: Ada empat golongan yang Allah ‎ﷻ hendak sebut yang dimulai dengan ayat ke-200. Ayat 200 itu adalah tentang golongan manusia yang celaka kerana hanya nampak kepentingan dunia sahaja dan tidak hiraukan pun tentang akhirat.

Golongan yang kedua telah disebut dalam ayat yang seterusnya iaitu ayat ke 201 di mana mereka yang beruntung akan berdoa supaya mereka diberikan kebaikan dunia dan juga akhirat sekali dan supaya diselamatkan dari neraka. Lihatlah bagaimana mereka bukan hanya minta ‘dunia’ sahaja tetapi ‘kebaikan dunia’. Begitulah orang yang beriman, cara meminta doa kepada Allah ‎ﷻ pun mereka pandai.

Golongan yang ketiga adalah mereka yang bukan sahaja tidak mahu kepada agama untuk diri mereka tetapi mereka usahakan supaya orang lain pun cintakan dunia. Bukan dunia itu untuk mereka pun tetapi untuk orang lain. Inilah orang yang paling celaka sekali kerana bukan sahaja mereka rugi tetapi merugikan orang lain sekali.

Sepatutnya kita kena menjadi golongan yang ke-empat iaitu jenis manusia yang sanggup mengorbankan dunia untuk agama Islam.

وَمِنَ النّاسِ مَن يُعجِبُكَ قَولُهُ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا وَيُشهِدُ اللَّهَ عَلىٰ ما في قَلبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الخِصامِ

Sahih International

And of the people is he whose speech pleases you in worldly life, and he calls Allah to witness as to what is in his heart, yet he is the fiercest of opponents.

 

Malay

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

 

وَمِنَ النَّاسِ

Dan ada di antara manusia itu

Ini adalah golongan ketiga. Sekarang kita akan belajar sifat orang-orang munafik. Lihatlah apa yang mereka lakukan.

 

مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ

yang mempersonakan kamu kerana percakapannya;

Perkataan mereka tentang dunia sampai boleh memikat manusia kepada sukakan dunia hingga boleh lupa kepada akhirat. Cakap mereka manis belaka tapi hatinya busuk. Oleh itu kita kenalah berhati-hati dengan sesetengah perkataan manusia. Jangan kita terpesona dengan kata-kata mereka.

 

فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

dalam kehidupan di dunia;

Mereka cerita tentang dunia macam dunia itu ada di depan dan mudah sahaja hendak dapat. Mereka memang pandai berkata-kata dan pandai berhujah. Begitulah juga sifat orang Munafik kerana orang Munafik zaman Nabi ﷺ dahulu yang pandai memuji-muji Nabi Muhammad ﷺ ‎dan begitulah mereka yang sifat-sifat munafik.

 

وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ

dan dia bersaksi kepada Allah atas apa yang ada dalam hatinya;

Dia akan kata bahawa apa yang dia cakapkan itu adalah benar belaka. Dia bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ. Dia menggunakan nama Allah ‎ﷻ sebagai saksi yang dia ikhlas dalam apa dikatakannya. Dia buat begitu supaya orang yang mendengar di depannya itu tidak syak kepadanya. Dia hendakkan orang percaya dengan kata-katanya tentang dunia sampai dia sanggup menggunakan nama Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengajar kita yang sedang belajar tafsir Al-Qur’an ini untuk menjaga hati dan perbuatan kita. Jangan kita cakap perkara kebaikan di mulut kita, tetapi perbuatan kita lain pula. Jangan kita jadi macam orang dalam ayat ini.

Ia juga mengajar kita supaya berhati-hati dengan kata-kata manusia. Ada manusia yang pandai berkata-kata sampai kita boleh jadi terpesona. Boleh dengar tetapi jangan terus percaya. Kita kena tengok apakah tindak tanduk dia. Kerana cakap sahaja, semua orang boleh; tetapi kena lihat apakah amalan dan perbuatannya dalam kehidupan juga. Kalau berlainan daripada apa yang dia kata, tahulah kita yang dia hanya pandai bercakap sahaja.

 

وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ

padahal dia sebenarnya adalah paling kuat sekali menentang;

Iaitu paling kuat melawan Nabi ﷺ. Kalau bercakap hal dunia dan agama dia memang hebat tetapi sebenarnya dia adalah orang yang paling kuat menentang kehidupan di akhirat dan paling kuat menentang agama.

Perkataan أَلَدُّ itu lebih berat lagi dari perkataan عَدُوٌّ yang selalu digunakan kepada Syaitan. Mereka yang berperangai begini, akan mereka-reka perkataan mereka tidak berdasarkan dalil, asalkan mereka boleh menang dan orang lain percaya kepada kata-kata mereka. Mereka tidak kisah apakah yang benar.

Lafaz الْخَصِمُ bermaksud ‘berdebat’ dan ini dibenci oleh Allah‎ ﷻ seperti sabda Nabi ﷺ dalam Sahih Bukhari, riwayat Aisyah رضي الله عنها:

 حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ عَنْ ابْنِ جُرَيْجٍ سَمِعْتُ ابْنَ أَبِي مُلَيْكَةَ يُحَدِّثُ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Telah menceritakan kepada kami Musaddad telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sa’id dari Ibnu Juraij, aku mendengar Ibnu Abu Mulaikah menceritakan dari Aisyah رضي الله عنها, beliau mengatakan; Rasulullah  ﷺ bersabda: “Manusia yang paling dibenci Allah ‎ﷻ adalah yang keras kepala dan suka membantah.” (Hadith Sahih Bukhari no. 6651)


Baqarah Ayat 205:

وَإِذا تَوَلّىٰ سَعىٰ فِي الأَرضِ لِيُفسِدَ فيها وَيُهلِكَ الحَرثَ وَالنَّسلَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الفَسادَ

Sahih International

And when he goes away, he strives throughout the land to cause corruption therein and destroy crops and animals. And Allah does not like corruption.

 

Malay

Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

 

وَإِذَا تَوَلَّىٰ

Dan apabila dia berpaling;

1. Iaitu apabila dia pergi dari majlis tempat dia bercakap dan mempersonakan manusia itu.

2. Ada juga yang menafsirkan ayat ini sebagai bermaksud apabila dia berkuasa. Dia pandai cakap sampaikan dia dapat memerintah.

 

سَعَىٰ فِي الْأَرْضِ

dia terus berusaha di muka bumi;

Mereka bukan berusaha dalam kebaikan tetapi untuk keburukan kerana yang dicarinya adalah kepentingan dirinya sahaja. Kerosakanlah yang akan terjadi.

 

لِيُفْسِدَ فِيهَا

untuk berbuat kerosakan padanya;

1. Iaitu bermaksud kerosakan pada agama, iaitu melakukan syirik. Keluar sahaja dari majlis Nabi ﷺ, terus berbuat syirik. Dia melakukan perkara yang melanggar syariat dan berbuat dosa. Hukum-hukum Allah ‎ﷻ hanya dipakai apabila dapat menguntungkan dirinya sahaja, mana yang dia boleh terima dan mana yang dia tidak suka, dia akan tinggalkan.

2. Atau ia boleh juga bermaksud, apabila mereka dapat kuasa, mereka akan berbuat kerosakan di mukabumi.

وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ

dan dia membinasakan tanaman;

1. Oleh kerana orang itu hanya mementingkan diri sendiri, dia sudah tidak memikirkan kepentingan rakyat. Maka tanaman akan punah ranah dan tidak subur. Tanaman adalah isyarat kepada kemakmuran. Negeri itu sudah tidak makmur lagi kalau mereka memerintah.

2. Iaitu bermaksud ‘berzina’. Mereka jenis yang suka berzina.

3. Orang-orang munafik zaman Nabi ﷺ sungguh jahat sampaikan mereka merosakkan tanaman pada sahabat yang beriman.

4. Tafsir lain mengatakan mereka mengganggu isteri para sahabat lain.

 

وَالنَّسْلَ

dan (merosakkan) binatang ternak;

1. Apabila mereka mementingkan dunia dan mereka merosakkan flora dan fauna negara, maka binatang ternak pun sudah tidak hidup dengan sihat lagi. Rakyat sibuk hendak mendengar apa yang mereka kata sampai tidak menjaga binatang ternak mereka lagi.

Hutan-hutan dan tanaman ditebas dan digondolkan sampai makanan untuk binatang sudah tidak ada lagi. Hutan sudah gondol, maka mudah erosi berlaku. Maka tanah runtuh selalu terjadi. Banjir pun selalu terjadi.

2. Orang Munafik zaman Nabi ﷺ yang merosakkan binatang ternak orang beriman.

Dalam dunia sekarang, kita boleh lihat bagaimana banyak manusia yang melakukan apa sahaja untuk mencapai keuntungan. Antaranya, pengeluar makanan ada mengeluarkan makanan yang tidak baik untuk kesihatan. Mereka telah mengubah komposisi makanan itu (Genetically Modified Food) yang membahayakan kesihatan. Tetapi mereka tetap melakukannya kerana ia boleh meningkatkan keuntungan kepada mereka.

 

وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ

Dan Allah tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan;

Berapa banyak manusia yang di depan kita, nampak baik sahaja. Kalau bercakap, mereka bercakap baik-baik sahaja, tetapi di belakang kita, macam-macam dosa yang mereka buat. Allah ‎ﷻ amat tidak suka orang yang sebegini. Mereka tidak akan selamat di akhirat kelak.


 

Baqarah Ayat 206: Ini adalah sambungan kepada sifat orang-orang Munafik itu.

وَإِذا قيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتهُ العِزَّةُ بِالإِثمِ ۚ فَحَسبُهُ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئسَ المِهادُ

Sahih International

And when it is said to him, “Fear Allah,” pride in the sin takes hold of him. Sufficient for him is Hellfire, and how wretched is the resting place.

 

Malay

Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُ

Dan apabila dikatakan kepadanya;

Iaitu apabila orang yang teruk perangainya itu dinasihati oleh sahabat-sahabat yang lain. Iaitu apabila ada orang yang berani untuk menegur dia. Kebanyakannya takut hendak tegur sebab sudah tahu bahawa dia adalah seorang yang ganas.

 

اتَّقِ اللَّهَ

“Takutlah kamu kepada Allah.”

Inilah nasihat dari para sahabat – mengingatkan mereka kepada Allah, takutlah kepada Allah ‎ﷻ, taqwalah kepada Allah‎ ﷻ, jangan buat kerosakan lagi.

 

أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ

Kesombongannya mendorong dia meneruskan buat dosa;

Apabila dinasihati, dia terus sombong, tidak mahu terima. Dia pula marah kita bila kita nasihat dia.

Dia sombong sampai menyebabkan dosa. Dia sombong tidak mahu terima Allah ‎ﷻ sampaikan dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang berdosa. Dia lawan kata-kata orang yang beriman dan dia buat perkara-perkara yang berdosa.

Ini adalah satu masalah yang amat besar dalam kalangan kita. Iaitu berat atau payah hendak terima nasihat. Kalau ada orang yang nasihat kepada kita, kita pula marah orang itu balik. Ada yang kata: “Apa kau kisah, kubur kan lain-lain?”, atau ada yang kata: “Jangan sibuk hal aku lah, tengok diri kau sahaja…” dan seumpamanya.

Ini adalah sifat yang amat buruk sekali dan ia adalah sifat orang Munafik. Kita diajar untuk senang menerima nasihat kerana dengan nasihat itulah yang dapat memperbaiki keadaan diri kita. Bayangkan kalau tidak ada orang yang nasihat kepada kita, tentulah kita akan terus melakukan kesalahan dan terus di dalam kesesatan, bukan? Kalau orang lain nasihat kita, maka terima sahajalah.

 

فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ

cukuplah Neraka Jahannam sebagai tempat tinggal

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka disebabkan oleh kelakuan dan perbuatan berdosa mereka itu.

 

وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ

dan ia adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Tidak ada tempat yang lagi buruk dari neraka. Mereka akan tinggal di sana selama-lamanya. Mereka jadi begitu kerana mereka sudah jadi sombong sampai tidak mahu menerima nasihat lagi. Itulah balasan yang akan diberikan kepada mereka. Atau kepada kita, kalau kita melakukan perkara yang sama.


 

Baqarah Ayat 207: Ini adalah golongan ke-empat, iaitu mereka yang beriman.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشري نَفسَهُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

Sahih International

And of the people is he who sells himself, seeking means to the approval of Allah. And Allah is kind to [His] servants.

 

Malay

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.

 

وَمِنَ النَّاسِ

Dan di antara manusia,

Golongan ke-empat ini sanggup menjual dirinya untuk menjadi hamba Allah ‎ﷻ yang sebenar.

 

مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ

yang menjual dirinya kerana hendak mencari redha Allah;

Kalimah مَرْضَاتِ اللَّهِ bermaksud hendak menggembirakan Allah ‎ﷻ. Ada kisah seorang sahabat yang namanya Suhayb ar-Rumi, رضي الله عنه kerana beliau berasal dari Rom. Beliau adalah antara yang paling awal masuk Islam. Beliau seorang yang pandai memanah. Semasa beliau hendak berhijrah ke Madinah, orang Musyrikin hendak menghalangnya. Beliau berkata yang beliau boleh memanah mereka, maka akan ramai yang mati sebelum beliau sendiri terbunuh.

Atau beliau kata, kalau mereka mengejarnya, beliau mungkin boleh melarikan diri sampai mereka tidak dapat tangkapnya dan buang masa mereka sahaja. Itulah keberanian sahabat. Musyrikin Mekah tidak mahu beliau meninggalkan mereka kerana beliau telah menjadi kaya. Maka Suhayb رضي الله عنه telah menawarkan mereka untuk mengambil hartanya yang disimpan di sekian-sekian tempat.

Beliau beritahu kepada Musyrikin Mekah, daripada mereka membuang masa mengejarnya, baiklah mereka pergi cari hartanya yang banyak itu dan ambillah harta itu dan tinggalkan sahaja beliau hendak hijrah ke Madinah. Kerana itu, orang Musyrikin Mekah membiarkan sahaja beliau. Sebab yang mereka hendak adalah harta sebenarnya. Dan memang mereka dapat harta Suhayb رضي الله عنه yang banyak itu.

Apabila beliau sampai ke Madinah, Nabi ﷺ telah memberi pujian dan tahniah kepada beliau kerana beliau telah jual dunia untuk membeli akhirat.

 

وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan Allah taala Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.

Kata رَءُوفٌ itu bermaksud Allah ‎ﷻ tahu apakah yang kita lalui. Dia tahu bagaimana kita kena cemuh dan kena tohmah dalam mengamalkan sunnah ini. Dia tahu kepayahan yang sahabat lalui dan juga kita.


 

Baqarah Ayat 208: Ayat 208 – 213 adalah suruhan untuk masuk Islam secara keseluruhan dan jangan ikut jejak langkah syaitan.

Ada tujuh dorongan atau dipanggil targhib yang perlu diberikan kepada manusia. Kita telah sebutkan empat golongan sebelum ini:

1. Yang mementingkan dunia sahaja.

2. Yang mahukan kebaikan dunia dan juga akhirat dan minta diselamatkan dari neraka. Ini adalah golongan yang selamat.

3. Yang bukan sahaja tidak mahu kepada akhirat tapi mereka juga merosakkan orang lain. Ini golongan yang celaka.

4. Mereka yang sanggup menjual diri mereka supaya mereka mendapat kebaikan di akhirat. Ini adalah golongan yang terbaik.

Dorongan yang pertama perlu diberikan kepada golongan yang pertama, iaitu orang-orang munafik. Orang-orang munafik yang sebegitu hendaklah diajak mereka untuk pergi berjihad. Semoga dengan berjihad itu, sifat munafik mereka akan hilang. Dengan adanya hukum Jihad, segala resam-resam yang buruk tidak akan ada lagi di dalam masyarakat.

Amalan bid’ah dan khurafat tidak akan ada lagi kerana, apabila jihad disyari’atkan, semua umat Islam akan berjihad untuk Allah ‎ﷻ dan Rasul. Kerana cinta kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul akan timbul apabila adanya Jihad. Setelah itu, mereka akan terus berada dalam iman.

Ajak juga mereka untuk infak kepada jalan Allah ‎ﷻ kerana jihad dan infak boleh menghilangkan sifat munafik dalam diri manusia.

Kepada golongan yang kedua dan keempat, iaitu mereka yang sanggup untuk memberikan segalanya untuk agama, maka dibukakan kepada mereka tentang jihad. Beritahu mereka bahawa jihad adalah ‘jalan singkat’ untuk ke syurga dan untuk menjalankan jihad, infak perlu dijalankan.

Ayat Al-Qur’an telah banyak menyebut tentang targhib Jihad dan Infak. Sekarang dorongan atau targhib yang ketiga di dalam ayat ini. Bila telah timbul perasaan cinta kepada Allah ‎ﷻ, maka hati mereka tidak akan mahu kepada benda-benda yang tidak diajar oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul. Mereka akan sanggup untuk melakukan ketaatan kepada segala arahan Allah ‎ﷻ dan Rasul termasuklah melakukan jihad.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Sahih International

O you who have believed, enter into Islam completely [and perfectly] and do not follow the footsteps of Satan. Indeed, he is to you a clear enemy.

 

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman,

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Atau yang mengaku beriman. Maka hendaklah kita ikut apa yang disuruh dalam ayat ini kalau kita orang beriman.

 

ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Masuklah kamu ke dalam Islam semua sekali;

Kena terima semua perkara tentang agama. Ada seorang sahabat yang asalnya seorang Yahudi telah berjumpa dengan Nabi ﷺ. Dia kata dia tahu bahawa hari yang mulia di dalam Islam adalah hari Juma’at. Dia memang tidak ada masalah menghormati hari Jumaat itu. Tetapi dia masih lagi mahu menghormati hari Sabtu kerana itu adalah kebiasaan yang dilakukannya semasa dalam Yahudi.

Selain daripada dia, ada lagi sahabat-sahabat yang lain juga yang mahu mencampurkan amalan agama Islam dan juga amalan-amalan lain yang mereka telah biasa lakukan. Maka Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini kalau mereka mahu kepada agama Islam, maka mereka kena masuk sepenuhnya ke dalam agama Islam dan jangan mengikut pengaruh syaitan.

Kepada kita sekarang, kenalah terima semua sekali perkara tentang Sunnah, jangan ada tolak mana-mana ayat Al-Qur’an, mana-mana Sunnah. Kena terima Islam semua sekali, jangan campur adukkan antara yang haq dan yang batil.

Antara contoh mencampur adukkan adalah seperti dalam amalan tahnik (belah mulut) – memasukkan manisan ke dalam mulut bayi yang baru lahir. Tahnik itu sunnah, namun telah dicampuradukkan dengan menggunakan cincin emas dan cincin perak yang dimasukkan ke dalam mulut bayi itu. Kononnya, budak itu akan menjadi kaya nanti. Ada juga yang menggunakan garam supaya mulut budak itu jadi masin dan boleh jadi guru. Maka, macam-macam manusia tambah.

Apabila sudah terima agama dengan lengkap dan penuh, maka tinggalkan mana-mana amalan salah, syirik dan khurafat yang pernah dilakukan dahulu. Sebelum hendak buat apa-apa, kenalah periksa dengan nas agama.

Ingatlah bahawa agama ini telah lengkap, maka tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang bid’ah. Banyak yang tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan bid’ah, maka mereka rasa tidak salah kalau mereka mengamalkan amalan tambahan dalam agama. Ini adalah salah dan perbuatan yang berdosa.

Jangan pilih-pilih mana bahagian agama yang kita hendak pakai sahaja. Kena pakai semua sekali maka kena belajar semua sekali. Dan hendaklah dimulakan dengan belajar tafsir Al-Qur’an.

Kita juga kenalah mengamalkan agama dalam keseluruhan kehidupan kita. Sama ada dalam bentuk ibadat (hubungan dengan Allah ‎ﷻ) dan adat (hubungan dengan makhluk). Jangan hanya pakai hukum agama dalam ibadat dengan Allah ‎ﷻ, tetapi untuk kehidupan seharian, kita tidak pula pakai hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Ketahuilah bahawa agama Islam ini adalah lengkap dan meliputi segenap kehidupan kita. Kerana tidak faham perkara inilah, ada orang yang tidak tinggal sembahyang, tetapi dalam perniagaan mereka, mereka menipu manusia yang lain.

Di dalam ayat ini, Allah suruh masuk kepada السلم (kedamaian) dan bukannya ke dalam الإسلام kerana Allah hendak memberi isyarat kepada kita, jikalau masuk Islam, akan damai.

 

وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌

dan jangan kamu ikuti jejak langkah syaitan;

Jangan ikut bisikan syaitan kerana ada yang tergelincir daripada akidah yang benar kerana termakan dengan bisikan syaitan. Ini kerana keinginan mereka untuk campur aduk amalan seperti yang ramai manusia lakukan itu adalah daripada bisikan syaitan. Syaitan mahu kita memasukkan amalan yang bukan daripada agama Islam.

Keduanya, ada yang meninggalkan sunnah dan melakukan bid’ah kerana bisikan syaitan juga. Syaitan akan membisikkan bahawa perkara-perkara yang salah itu boleh dibuat. Mereka akan kata: “takkan guru itu nak masuk neraka”. “Takkan buat amalan itu tak dapat pahala”. Dan bermacam-macam lagi bisikan-bisikan mereka untuk menyesatkan manusia.

Mereka juga akan bisikkan: “Takkan Selawat Syifa’ boleh jadi kufur pula”. Ketahuilah bahawa Selawat Syifa’ itu boleh jadi kufur kerana ia adalah selawat yang mengandungi unsur syirik di dalamnya. Mereka sangka dengan berkat Nabi Muhammad ﷺ boleh menyembuhkan penyakit. Tetapi ketahuilah bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh memberi berkat kepada sesiapa.

Nabi Muhammad ﷺ juga tidak boleh menyembuhkan sesiapa. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menyembuhkan. Oleh itu, bila dikatakan Nabi Muhammad ﷺ boleh menyembuhkan sakit, maka itu sudah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maka kita sepatutnya kena meletakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Dan tidak boleh bertawassul dengan berkat Nabi Muhammad ﷺ. Jangan bersandar kepada Nabi Muhammad ﷺ. Cukuplah bersandar sahaja kepada ayat Al-Qur’an dan zikir kepada Allah ‎ﷻ.

Amat bahaya sekali jejak langkah syaitan itu. Ingatlah bahawa syaitan itu pandai menipu kita. Dia tidak suruh kita tinggalkan Islam semua sekali. Dia cuma suruh tinggalkan sikit-sikit sahaja. Hasilnya, kita tidak memenuhi semua sekali arahan agama. Akhirnya, sedikit demi sedikit syaitan akan mengajak kita tinggalkan Islam keseluruhannya. Mula-mula dia akan suruh tinggalkan sedikit sahaja. Maka kena belajar Talbis Iblis untuk tahu apakah senjata yang Iblis gunakan untuk menipu manusia.

 

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang jelas nyata.

Mereka adalah musuh yang nyata bagi kita. Selagi kita tidak masuk neraka bersama mereka, mereka tidak akan berpuas hati.

Mereka adalah ‘musuh yang nyata’ kerana mereka telah berjanji dengan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak Adam.


 

Baqarah Ayat 209: Ini adalah ayat Zajrun.

فَإِن زَلَلتُم مِّن بَعدِ ما جاءَتكُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sahih International

But if you deviate after clear proofs have come to you, then know that Allah is Exalted in Might and Wise.

 

Malay

Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

فَإِنْ زَلَلْتُمْ

Sekiranya kamu tergelincir juga;

Iaitu ada juga yang melakukan kesalahan atau tersilap buat. Ini adalah kerana kadang-kadang manusia terikut dengan dorongan nafsu dan syaitan.

 

مِّنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْكُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ

setelah datang kepada kamu dalil-dalil bukti yang jelas nyata;

Tergelincir yang dimaksudkan itu bukanlah sebab kita tidak tahu, tetapi setelah diberitahu dengan segala dalil bukti itu adalah dari Allah ‎ﷻ dan Sunnah Nabi. Yang sepatutnya, kalau kita tersilap dalam sesuatu perbuatan, maka cepat-cepat kita istighfar dan minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Jangan tangguh-tangguh lagi.

 

فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Gagah Perkara dan Maha Bijaksana;

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia Maha Gagah – maksudnya Dia boleh hendak masukkan kita ke dalam neraka dengan segala azabnya. Allah ‎ﷻ boleh sahaja terus beri azab kepada kita. Kalau kita tergelincir maka hendaklah kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ itu Maha Gagah Perkasa dan Dia boleh azab kita bila-bila masa sahaja, tidak payah tunggu masuk neraka pun.

Maksud Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana – terpulang kepada Dia hendak memasukkan kita ke dalam neraka atau tidak. Keputusan ada pada Allah ‎ﷻ. Kita patut bersyukur Allah ‎ﷻ tidak azab terus kita di atas kesalahan kita kerana Dia memberi peluang kepada kita untuk bertaubat.

Dia mungkin tidak hukum kita pada hari ini di atas kebijaksanaan-Nya tetapi ketahuilah bahawa Dia boleh hukum kita pada waktu yang lain. Jadi jangan kita salah faham dengan dua sifat ini. Allah ‎ﷻ tidak hukum kita sekarang sebab Dia ada sifat Hakim. Namun kena ingat yang Allah ‎ﷻ juga ada sifat Aziz, dan Dia boleh hukum kita bila-bila masa sahaja. Maka jangan kita rasa selamat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 2 November 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 203 – 209 (Sifat golongan Munafik)”

  1. Assalamualaikum. Saya tertarik dengan isu selawat syifa tu? Tak pernah tau yg ia boleh jatuh kufur. Mmg takde sandaran dari Rasulullah langsung ke? Siapa yg reka cipta?

    Like

    1. Ya memang tidak ada sandaran dari Nabi.

      Siapa yang reka? Begitulah dengan amalan bid’ah, tidak tahu asal usulnya. Yang pasti bukan dari Nabi.
      Ia menjadi syirik kerana lafaz selawat itu meletakkan kuasa menyembuhkan kepada Nabi. Padahal kita pun tahu yang menyembuhkan adalah Allah. Jadi apabila diberikan kuasa Allah kepada makhluk (termasuk Nabi pun), maka inilah syiriknya.

      Lafaz itu kena tengok kepada lafaz asal dalam matan Arab. Kalau dilihat kepada terjemahan Melayu, selalunya sudah ditambah (dengan berkat selawat ini). Padahal, lafaz asal memang kata Rasulullah yang menyembuhkan.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s