Tafsir Surah Kahfi Ayat 67 – 74 (Nabi Khidr membunuh budak!)

Ayat 67: Sebelum ini telah disebut permintaan Nabi Musa untuk belajar dengan Nabi Khidr dan ini adalah jawapan Nabi Khidr kepada baginda. Apa yang Nabi Khidr jawap kepada Nabi Musa dalam ayat ini adalah dari ilmu taqwini. Dia sudah tahu bahawa Nabi Musa tidak akan sanggup untuk mengikutinya.

قالَ إِنَّكَ لَن تَستَطيعَ مَعِيَ صَبرًا

 Sahih International

He said, “Indeed, with me you will never be able to have patience.

Malay

Dia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.

 

Nabi Khidr terus beritahu yang Nabi Musa tidak akan sabar. Padahal Nabi Musa itu seorang insan yang telah diuji dengan kesabaran oleh Allah Taala. Banyak perkara yang baginda telah lalui. Baginda telah berdakwah kepada Firaun, dan kita pun tahu umat baginda adalah Bani Israil yang paling degil. Tapi Nabi Khidr tetap juga kata baginda tidak dapat sabar?

Ini adalah kerana Nabi Khidr sudah diberitahu melalui wahyu yang Nabi Musa tidak boleh sabar sampai ke akhirnya. Ini kerana dia telah diberitahu oleh Allah tentang perkara itu. Maknanya, ini pun salah satu dari ilmu ladunni.

Nabi Khidr kata baginda tidak akan dapat ilmu itu kerana untuk dapat ilmu itu kena sabar dan dia sudah tahu yang Nabi Musa tidak dapat sabar. Kerana Nabi Musa ada ilmu syariat dan penderhakaan kepada syariat itu nanti tentu tidak dapat diterima oleh Nabi Musa.


 

Ayat 68:

وَكَيفَ تَصبِرُ عَلىٰ ما لَم تُحِط بِهِ خُبرًا

Sahih International

And how can you have patience for what you do not encompass in knowledge?”

Malay

Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara menyeluruh?

 

Nabi Khidr tahu yang Nabi Musa tidak akan dapat tangkap ilmu taqwini itu kerana Nabi Musa belajar ilmu syariat. Ada perkara-perkara yang tak boleh buat kerana tertakluk kepada hukum syariat. Tapi Nabi Khidr tak tertakluk kepada hukum syariat itu. Maka susahlah Nabi Musa hendak mengimbangi dua perkara itu.

Nabi Khidr memberitahu Nabi Musa bahawa Allah ada beri ilmu kepadanya yang tidak diberikan kepada Nabi Musa. Dan Nabi Musa ada diberi ilmu yang tidak diberikan kepadanya. Bermakna, orang yang berilmu pun kena merendah diri juga. Seorang alim tidak akan tahu semua perkara. Dia mungkin mahir dalam satu bidang, tapi akan ada orang lain lagi yang lebih tahu darinya dalam bidang yang lain.

Nabi Khidr tahu yang Nabi Musa tidak akan sanggup mengikutinya kerana dia akan melihat tindakan Khidr yang akan bertentangan dengan syariat. Nabi Musa tidak tahu, tapi Nabi Khidr tahu hikmah dan kemaslahatan di dalam tindakannya.


 

Ayat 69:

قالَ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ صابِرًا وَلا أَعصي لَكَ أَمرًا

Sahih International

[Moses] said, “You will find me, if Allah wills, patient, and I will not disobey you in [any] order.”

Malay

Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”.

 

قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللهُ صَابِرًا

Nabi Musa menjawap: “Kamu akan dapati bahawa aku, jika Allah kehendaki, satu orang yang sabar”;

Nabi Musa sememangnya sudah seorang yang penyabar. Kerana nak melayan kerenah kaumnya, tentu memerlukan seorang Nabi yang sabar. Kerana kaumnya adalah kaum yang teruk dan memang amat mencabar untuk dibentuk.

Sekarang yang dikehendaki oleh Nabi Khidr adalah Nabi Musa bersabar dalam bertanya sahaja. Jangan tanya selagi dia tidak beritahu. Tapi kita akan tahu nanti bahawa Nabi Musa akan tanya juga kerana apa yang Nabi Khidr akan lakukan adalah menyalahi syariat. Seseorang manusia tidak mungkin akan melanggar syariat melainkan dia mendapat wahyu dari Allah.

Kita telah belajar yang kita kena gunakan kalimat ‘in sha Allah’ dalam banyak hal. Ini kita telah belajar dalam awal surah ini. Dalam ayat yang kita sedang belajar ini, Allah mengajar kita bagaimana cara menggunakan perkataan ‘in sha Allah’ itu.

Kalau kita lihat dalam susunan ayat ini, ada dua bahagian: pertama, tentang Musa akan bersabar dan kedua, tentang baginda tidak akan menderhaka kepada Khidr. Dalam bahagian pertama, Nabi Musa kata in sha Allah, tapi tidak dikatakannya dalam bahagian kedua. Jadi, Allah tidak membuatkan Nabi Musa berjaya dalam bahagian kedua.

 

وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا

“Dan aku tidak akan derhaka kepada kamu dalam satu urusan pun”;

Nabi Musa jawap itu berdasarkan pengalaman baginda. Iaitu dia tahu dia adalah seorang yang sabar. Dan seorang yang taat. Tapi dalam bahagian ini baginda tidak sebut ‘in sha Allah’. Maka nanti baginda tidak dapat tepati perkara ini.

Pengajaran yang boleh diambil dari ayat ini adalah seorang anak murid kena taat kepada gurunya. Kena ikut kata gurunya dalam banyak hal asalkan tidak bersalahan dengan syariat. Kerana tidaklah boleh taat dalam perkara-perkara maksiat. Jangan arahan guru ikut kalau guru suruh buat benda-benda yang pelik.

Tapi berapa banyak kisah kita dengar tentang ajaran-ajaran salah termasuklah dalam tarekat yang tidak usul periksa dengan apa yang guru mereka lakukan. Walaupun apa sahaja yang dilakukan oleh guru mereka, mereka kata tidak salah kerana guru mereka mengikut sunnah ‘Nabi Khidr’. Itu dah sesat dah tu.


 

Ayat 70: Sekarang Nabi Khidr memberikan syarat kepada Nabi Musa kalau baginda tetap mahu belajar dengannya.

قالَ فَإِنِ اتَّبَعتَني فَلا تَسئلني عَن شَيءٍ حَتّىٰ أُحدِثَ لَكَ مِنهُ ذِكرًا

Sahih International

He said, “Then if you follow me, do not ask me about anything until I make to you about it mention.”

Malay

Dia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.

 

قالَ فَإِنِ اتَّبَعتَني فَلا تَسئلني عَن شَيءٍ

Dia menjawab: “Sekiranya engkau hendak mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatu pun

Ini adalah syarat yang diberikan oleh Nabi Khidr kepada Musa kalau nak ikut dia. Tidak boleh bertanya tentang apa-apa pun. Tengok dan lihat sahaja dulu.

 

حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا

“sehingga aku ceritakan kepada kamu tentang peristiwa itu”;

Jangan tanya lagi tapi Nabi Khidr akan beritahu sebab apa dia buat perkara-perkara yang akan berlaku nanti. Bukannya tidak akan diberitahu langsung, cuma kena sabar untuk tunggu dia beritahu pengajaran dari apa yang akan dilakukan. Kerana apa yang dia buat itu mesti ada sebab.

Jadi bukan tidak boleh tanya, tapi kena sabar dan tanya di hujung kelas. Kerana itu kita kena hormati guru yang mengajar. Ikut kehendak dia bagaimana dia hendak menjalankan kelasnya. Ada guru yang beri tanya semasa dalam kelas dan ada guru suruh tanya hanya apabila di hujung kelas. Ada pula guru yang tidak beri sesi soal jawap maka kena cari masa lain untuk tanya kepadanya.


 

Ayat 71: Kita masuk ke dalam Ruku’ ke 10 dari 12 ruku’ dalam surah ini.  Bermulalah kisah pertama dari Kisah Nabi Musa dan Khidr ini. Semua sekali ada tiga kisah.

فَانطَلَقا حَتّىٰ إِذا رَكِبا فِي السَّفينَةِ خَرَقَها ۖ قالَ أَخَرَقتَها لِتُغرِقَ أَهلَها لَقَد جِئتَ شَيئًا إِمرًا

Sahih International

So they set out, until when they had embarked on the ship, al-Khidh r tore it open. [Moses] said, “Have you torn it open to drown its people? You have certainly done a grave thing.”

Malay

Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, dia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar”.

 

فَانْطَلَقَا

Lalu kedua-duanya berangkat;

Selepas syarat diberikan dan Nabi Musa bersetuju, maka mereka pun berangkatlah dalam perjalanan mereka. Dalam perjalanan inilah nanti Nabi Khidr akan mengajar Nabi Musa. Maknanya, ilmu pengetahuan tidaklah perlu disampaikan dalam bilik kuliah sahaja, tapi boleh disampaikan dengan banyak cara.

Tidak diceritakan tentang Yusha’ bin Nun kerana tidak penting dah kisah dia. Mungkin dia ada sekali atau tidak, kita tidak tahu. Dan kita tidak perlu tahu pun. Tapi dari bahasa yang digunakan, menunjukkan mereka berdua sahaja yang bergerak, maka kita boleh anggap yang Yusha’ tidak terlibat selepas ini.

 

حَتَّىٰ إِذَا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ

sehinggalah mereka berdua menaiki sebuah perahu;

Mereka bermusafir sehingga mereka sampai ke laut yang menyebabkan mereka kena naik perahu. Ianya bukan kapal kerana ini adalah perahu penumpang yang berulang alik antara pulau.

Perahu yang dinaiki itu dimiliki oleh beberapa adik beradik yang miskin. Kerja mereka adalah mengangkut penumpang. Tuan perahu itu kenal Nabi Khidr sebab dia biasa disitu. Jadi, dia tidak ambil upah dari Nabi Khidr.

 

خَرَقَهَا

dia telah melubangi perahu itu;

Tidak pasti samada baginda tebuk perahu itu atau cabut satu papan dari perahu itu. Tapi yang pasti, perbuatannya itu telah menyebabkan perahu itu tenggelam. Ada juga yang mengatakan yang mereka naiki itu adalah kapal. Kalau begitu, kita boleh membayangkan bagaimana mereka telah turun ke bahagian bawah kapal dan mencabut papan dari kapal itu tanpa dilihat oleh orang lain. Maka tentulah air akan masuk.

 

قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا

Nabi Musa berkata: “patutkah kamu melubangi perahu itu hingga menyebabkan tenggelam penumpang-penumpangnya?”;

Nabi Musa tak puas hati dengan perbuatan Khidr itu kerana nampaknya Nabi Khidr telah melanggar syariat dengan buat khianat kepada orang lain. Nabi Musa sendiri pun mengajar umatnya supaya jangan buat khianat kepada orang lain. Jadi dia tidak dapat tahan dirinya dari tanya kepada Nabi Khidr.

Bagaimana lah Nabi Musa tidak hairan, sedangkan kalau dia kena melubangkan perahu itu sekalipun, sepatutnya dia buatlah semasa perahu itu sudah dekat dengan pantai. Ini supaya penumpang-penumpang boleh menyelamatkan diri.

 

لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا

“Sesungguhnya kamu sudah melakukan satu perkara yang salah”;

Nabi Musa telah mengatakan yang perbuatan Nabi Khidr itu perkara yang tidak patut dilakukan. Perkataan إِمْرًا merangkumi dua makna: tidak berakhlak dan tidak logik.

Dalam syariat Kitab Taurat, tak boleh buat macam itu. Dalam syariat kita pun, tidak buat berbuat khianat kepada orang lain. Ianya juga tidak logik dilakukan kerana mereka pun masih ada dalam kapal itu, jadi ianya tentulah menyusahkan mereka juga.

Yang menjadi pelik adalah kenapa tidak disebut kisah para penumpang marah kepada Nabi Khidr? Tidak disebut kerana mereka kenal Nabi Khidr dan mereka tahu apa yang dia lakukan selalunya memang pelik tapi ada kebaikan padanya. Dan bukannya kejadian itu di tengah air tapi bila sudah sampai di pelabuhan, jadi tidak bahaya bagi mereka.


 

Ayat 72: 

قالَ أَلَم أَقُل إِنَّكَ لَن تَستَطيعَ مَعِيَ صَبرًا

Sahih International

[Al-Khidh r] said, “Did I not say that with me you would never be able to have patience?”

Malay

Ia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”

 

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ

Nabi Khidr berkata: “Tidakkah aku telah katakan”

Nabi Khidr mengingatkan balik perjanjian mereka sebelum ini. Dan baginda mengingatkan apa yang baginda dah agak dari dulu lagi. Baginda dah tahu yang memang ini yang akan terjadi.

 

إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا

“Sesungguhnya kamu tidak akan mampu bersabar bersama aku”;

Nabi Khidr ingatkan balik yang dia sendiri pun sudah kata yang Nabi Musa tidak akan bersabar dalam tidak bertanya. Padahal dia sudah ambil perjanjian dari Nabi Musa supaya jangan tanya.

Ramai yang salah faham dengan ayat ini. Mereka menggunakan ayat ini untuk mengatakan seorang murid tidak boleh tanya guru. Itu adalah pemahaman yang salah. Bagaimana mungkin kita dihalang dari bertanya sedangkan kita tidak tahu, jadi kenalah tanya kepada guru kita.

Yang Nabi Khidr tak bagi tanya itu kerana dia telah meletakkan syarat awal-awal lagi supaya jangan tanya sampai dia sendiri yang beritahu. Kadang-kadang guru kita pun suruh kita tanya di hujung kuliah sahaja sebab kalau tanya di pertengahan kelas akan mengganggu kelas. Itu pun adalah syarat yang boleh dipakai.

Tapi tidaklah itu menidakkan kebaikan untuk bertanya. Kerana Nabi pun pernah bersabda: “ubat untuk kebodohan adalah bertanya.” Jadi kena bertanya kepada guru kalau kita tidak faham. Tapi jangan tanya soalan yang tidak patut seperti “Siapa yang menjadikan Allah?”, “Kenapa solat Subuh dua rakaat?” dan soalan-soalan lain yang mempersoalkan hukum yang Allah telah berikan kepada kita. Jadi ada soalan yang patut ditanya dan ada soalan yang tidak patut ditanya.

Selalunya guru yang halang anak murid tanya adalah kerana mereka sendiri tidak boleh jawap soalan anak murid itu. Selalunya yang ditanya adalah tentang: “dari mana ustaz dapat amalan ini?”, “dalilnya mana ya ustaz?” dan soalan-soalan seumpama itu.

Apabila guru dah ajar ajaran yang karut, maka kenalah anak murid bertanya. Tapi kalau guru itu memang karut, mereka akan marah balik anak murid yang bertanya. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil. Kalau begitu, mereka telah menyalahgunakan ayat Qur’an.


 

Ayat 73:

قالَ لا تُؤاخِذني بِما نَسيتُ وَلا تُرهِقني مِن أَمري عُسرًا

Sahih International

[Moses] said, “Do not blame me for what I forgot and do not cover me in my matter with difficulty.”

Malay

Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)”.

 

قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي

Nabi Musa berkata: “Janganlah kamu hukum aku”

Nabi Musa sedar kesilapan baginda. Maka baginda meminta maaf kerana keterlanjurannya. Baginda berharap Nabi Khidr tidak marah dan hukum baginda kerana kesalahan baginda itu.

 

بِمَا نَسِيتُ

“terhadap apa yang aku lupa”; 

Nabi Musa meminta maaf dan mengatakan baginda terlupa kepada perjanjian supaya jangan bertanya sehingga diberitahu.

Maka, kesalahan pertama yang dilakukan oleh Nabi Musa ini adalah kerana dia lupa. Pengajaran di sini adalah seorang Nabi pun boleh lupa. Apatah lagi kita manusia biasa.

Ingat kembali apabila Yusha’ terlupa, Yusha’ menyalahkan syaitan. Tapi Nabi Musa tidak menyalahkan syaitan apabila dia sendiri terlupa. Kerana dia lebih matang.

 

وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا

“dan janganlah kamu bebani aku dalam urusanku perkara yang susah”;

Nabi Musa minta Nabi Khidr jangan buat benda yang pelik-pelik sangat kerana baginda terbeban kalau begitu. Sebab kalau dia buat yang pelik, tentu baginda akan tanya, dan kalau tanya, nanti Nabi Khidr marah pula. Maknanya, janganlah menyusahkan dia dalam menuntut ilmu. Nabi Musa minta dikasihani.

Ketika mereka di atas perahu, ada seekor burung hinggap di perahu dan meminum air laut dengan mematuk air laut. Maka Khidr berkata kepada Musa: “Jika ilmuku dan ilmumu dibandingkan dengan ilmu Allah, maka ilmu kita itu tidak lain hanyalah seperti air yang diambil oleh burung itu dengan paruhnya dari laut itu.”

Ini nak menceritakan bahawa perkara berkenaan dengan ilmu, kenalah pulangkan kembali kepada Allah. Kerana Allah lah yang Maha Mengetahui.


 

Ayat 74: Maka mereka meneruskan perjalanan musafir dan masuk ke dalam babak kedua dalam kisah Nabi Musa dan Khidr ini.

فَانطَلَقا حَتّىٰ إِذا لَقِيا غُلٰمًا فَقَتَلَهُ قالَ أَقَتَلتَ نَفسًا زَكِيَّةً بِغَيرِ نَفسٍ لَّقَد جِئتَ شَيئًا نُّكرًا

Sahih International

So they set out, until when they met a boy, al-Khidhr killed him. [Moses] said, “Have you killed a pure soul for other than [having killed] a soul? You have certainly done a deplorable thing.”

Malay

Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”

 

فَانْطَلَقَا

Maka mereka berdua pun berangkat

Mereka meneruskan perjalanan. Pembelajaran Nabi Musa dengan Nabi Khidr berterusan.

 

حَتَّىٰ إِذَا لَقِيَا غُلٰمًا

sehinggalah mereka bertemu seorang budak muda;

Kalimah غلام adalah budak kecil yang belum baligh. Ada yang kata umur budak itu adalah antara 8 dan 10 tahun. Maknanya dia tidak baligh lagi. Budak itu sedang bermain-main dengan kawan-kawannya. Dia adalah budak yang paling bagus, tampan dan paling ceria di antara kawan-kawannya. Nabi Khidr telah memanggil budak itu.

 

فَقَتَلَهُ

maka Nabi Khidr bunuh budak itu;

Selepas budak itu datang kepadanya, Nabi Khidr telah membunuh budak itu! Ada yang mengatakan cara dibunuh itu adalah dengan dipatahkan tengkuknya. Ada banyak lagi riwayat cara pembunuhan itu.

 

قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً

Nabi Musa berkata: “Patutkah kamu bunuh satu jiwa yang suci?”

Tentu sekali Nabi Musa terkejut dengan kejadian ini. Dan sekali lagi Nabi Musa bertanya kenapa Nabi Khidr buat begitu. Nabi bertanya kerana baginda sudah tidak tahan dah.

Perkataan زَكِيَّةً bermaksud suci, tidak melakukan dosa. Boleh juga bermaksud seseorang yang bijak. Bermakna, Nabi Musa nampak budak itu adalah budak yang baik sahaja, jadi kenapa perlu dibunuh?

 

بِغَيْرِ نَفْسٍ

“bukan kerana dia bunuh orang?”;

Kalau satu orang bunuh orang lain, bolehlah kalau nak bunuh dia balik. Tapi budak ini tidak pun bunuh orang. Memang sedang elok-elok sahaja bermain. 

 

لَّقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُّكْرًا

“Kamu sudah buat satu perkara yang sangat mungkar”; 

Dari segi bahasa, نُكْرًا bermaksud satu perkara yang tidak pernah didengar orang. Dari katadasar yang sama menjadi kalimah ‘munkar’ iaitu perbuatan salah yang tidak dikenali sebagai perkara yang baik. Begitulah, tidak ada masyarakat yang boleh terima pembunuhan seorang budak tanpa sebab, walaupun orang kafir sekali pun. Jadi, ianya boleh juga diertikan sebagai satu perbuatan yang munkar.

Teguran Nabi Musa kali ini lebih keras dari sebelumnya. Tidaklah salah pertanyaan Nabi Musa itu. Baginda tanya itu berdasarkan syariat yang baginda tahu, dan memang membunuh itu adalah salah kesalahan dosa yang besar. Tapi Nabi Khidr menggunakan syariat yang lain dan Nabi Musa pula gunakan syariat lain. Syariat diantara Nabi-nabi tidak sama pada waktu itu. Begitu juga dengan syariat Nabi Muhammad yang sudah tidak sama dengan syariat-syariat Nabi-nabi yang sebelumnya.

Ada ajaran sesat yang menggunakan ayat ini sebagai dalil bagi mereka membenarkan guru sesat mereka berbuat dosa. Mereka kata guru mereka lain dengan orang biasa. Guru mereka macam Nabi Khidr boleh buat macam-macam. Kerana kononnya, guru mereka sudah sampai kepada tahap capai ‘ilmu ladunni’, boleh dapat ilmu terus dari Allah. Jadi kalau guru mereka berzina dengan wanita pun, mereka kata: “eh guru kita lain dengan orang lain, dia bukan berzina tu….”.

Padahal, itu adalah hanya khusus kepada syariat Nabi Khidr. Kita tidak boleh ikut syariat itu kerana kita semua kena ikut syariat Nabi Muhammad. Tidak boleh kita berpegang kepada syariat lain lebih-lebih lagi dengan syariat Nabi Khidr. Selepas Nabi Muhammad menjadi Nabi, syariat Nabi Muhammad sahaja yang sah. Syariat yang sebelum Nabi Muhammad terbatal.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Mei 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s