Tafsir Surah Kahfi Ayat 63 – 65 (Perjumpaan dengan Khadr)

Kahf Ayat 63:

قَالَ أَرَءَيتَ إِذ أَوَينَآ إِلَى ٱلصَّخرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلحُوتَ وَمَآ أَنسَٮٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيطَـٰنُ أَن أَذكُرَهُ ۥ‌ۚ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُ ۥ فِى ٱلبَحرِ عَجَبًا

Sahih International

He said, “Did you see when we retired to the rock? Indeed, I forgot [there] the fish. And none made me forget it except Satan – that I should mention it. And it took its course into the sea amazingly”.

Malay

Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita ketika berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggeluncur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.

 

قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ

Yusha’ berkata: adakah engkau ingat, ketika kita berehat di batu itu tadi,

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidur di atas batu itu tadi. Kemudian terus berjalan. Yusha’ tidak tidur tetapi telah terjadi kejadian yang menakjubkan semasa Nabi Musaعَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidur tadi. Ikan masin yang mereka bawa telah menggeluncur masuk ke dalam laut.

 

فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ

sesungguhnya aku lupa tentang ikan itu;

Di sini jelas Yusha’ sebut beliau sendiri yang lupa. Namun seperti kita telah lihat sebelum ini mereka berdua yang dikatakan lupa. Yusha’ lupa hendak beritahu kejadian ikan itu melompat keluar. Ini adalah kerana beliau sudah biasa melihat perkara ajaib, maka kejadian itu tidaklah mengejutkan sangat baginya. Akan tetapi di sini beliau telah mengaku yang beliau terlupa.

 

وَمَا أَنْسٰنِيهُ إِلَّا الشَّيْطٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُ

Dan tidaklah aku lupa tentangnya melainkan syaitanlah yang menyebabkan aku tidak ingat;

Yusha’ memberikan alasan bahawa syaitan yang buat beliau lupa. Ini kerana syaitan tidak suka kalau kita buat perkara baik, maka dia akan lalaikan kita. Sebab itu kalau kita lupa, kita baca isti’azah kerana syaitan yang membuatkan kita lupa. Apabila kita isti’azah, syaitan akan lari dan kita akan ingat kembali.

Ada yang mengatakan bahawa, kuasa yang syaitan ada hanyalah boleh buat kita lupa sahaja. Maknanya tidaklah syaitan boleh cekik kita pun. Maka kalau ada orang kita yang takut hantu cekik dia, ini memang tidak faham hal jin. Selalu sangat menonton wayang cerita hantu boleh buat macam-macam, padahal itu adalah cerita rekaan sahaja.

 

وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُ ۥ فِى ٱلبَحرِ عَجَبًا

Dan ikan itu mengambil jalan ke dalam laut dengan cara yang menakjubkan;

Memang kejadian itu pelik dan ajaib kerana ikan itu membuat terowong dan masuk ke dalam laut. Padahal ikan itu sudah mati, sudah dimakan separuh pun oleh mereka berdua.

Akan tetapi ada juga yang tidak setuju mengatakan cara ikan itu masuk ke dalam air dengan cara hidup semula. Mereka kata mungkin Yusha’ telah meletakkan ikan itu di atas batu, kemudian terlanggar dan ikan itu terjatuh. Yang dimaksudkan ajaib itu adalah menghairankan sungguh bagaimana dia boleh terlupa. Allahu a’lam.


 

Kahf Ayat 64: 

قالَ ذٰلِكَ ما كُنّا نَبغِ ۚ فَارتَدّا عَلىٰ ءآثارِهِما قَصَصًا

Sahih International

[Moses] said, “That is what we were seeking.” So they returned, following their footprints.

Malay

Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; mereka pun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.

 

قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ

Musa berkata: “itulah apa yang kita cari”;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ gembira sekarang kerana apa yang mereka cari telah hampir mereka temui. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak diberitahu dengan secara tepat bagaimanakah dan di manakah tempat pertemuan itu, tetapi dengan diberi isyarat sahaja. Maka, kejadian ikan melompat keluar ke dalam laut adalah tanda bahawa mereka telah sampai ke tempat yang mereka sepatutnya berjumpa dengan lelaki yang dimaksudkan Allah ‎ﷻ.

Balaghah: hazfu wa zikru. Kalau kita lihat pada kalimah نَبْغِ, sepatutnya ada huruf ي pada kalimah itu kerana katadasar asal adalah ب غ ي. Akan tetapi ي telah dihazafkan. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberitahu sesuatu. Iaitu pencarian mereka itu berterusan lagi. Ini adalah kerana apabila ya asliah (ya asal) dihazafkan, ia membawa maksud ‘berterusan’.

Maknanya, walaupun mereka telah menemui dengan tempat perjumpaan itu, tetapi perjalanan mereka mesti diteruskan lagi kerana tujuan mereka adalah untuk mencari Khadr. Bandingkan dengan ayat Yusuf: 65

قَالُوا يَا أَبَانَا مَا نَبْغِي هَٰذِهِ بِضَاعَتُنَا رُدَّتْ إِلَيْنَا
Mereka berkata dengan gembiranya: “Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita.

Kalau kita bandingkan, kalimah نَبْغِي dalam ayat daripada Surah Yusuf ini ada pula ي, tidak sama dengan ayat daripada Surah Kahf ini. Ini adalah kerana apabila ada huruf ya asliah, ia membawa maksud tidak berterusan. Ini adalah kerana apa yang mereka dapat itu telah mencapai kehendak mereka.

 

فَارْتَدَّا عَلَىٰ ءآثَارِهِمَا قَصَصًا

Maka mereka mula menjejaki bekas tapak kaki mereka;

Oleh kerana mereka telah sedar, maka mereka kena undur balik. Perkataan قَصَصًا bermaksud mereka kena teliti semula perjalanan mereka dengan baik. Mereka melihat semula kesan tapak kaki mereka. Daripada katadasar yang sama, menjadi kalimah ‘kisah’ kerana apabila kita mengisahkan tentang sesuatu, kita akan menjejaki Kembali apa yang telah berlaku.


 

PERJUMPAAN MEREKA BERDUA

Kahf Ayat 65: Perjumpaan dengan Khadr.

فَوَجَدا عَبدًا مِّن عِبادِنا ءآتَينٰهُ رَحمَةً مِّن عِندِنا وَعَلَّمنٰهُ مِن لَّدُنّا عِلمًا

Sahih International

And they found a servant from among Our servants to whom we had given mercy from us and had taught him from Us a [certain] knowledge.

Malay

Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.

 

فَوَجَدَا

Maka mereka dapati;

Ini adalah kisah apabila tiba ke tempat itu semula. Apabila mereka sampai ke batu tempat ikan itu melompat keluar, mereka nampak terowong dalam air yang dimasuki oleh ikan itu. Maka mereka pun masuk dalam terowong yang dibuat oleh ikan itu.

Mereka teruskan perjalanan di dalamnya sehingga sampai ke sebuah pulau. Itulah tempat Khadr berada. Apakah yang mereka temui?

 

عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا ءآتَيْنٰهُ رَحْمَةً مِّنْ عِنْدِنَا

seorang hamba dari hamba-hamba Kami yang Kami telah beri kepadanya rahmat daripada Kami;

Al-Qur’an tidak menyebut namanya. Yang kita tahu namanya adalah Khidr (ataupun ada yang kata sebutan yang benar adalah Khadr) adalah daripada hadith Nabi ﷺ seperti yang telah dikongsikan di awal kisah Khadr ini. Dari segi bahasa Khadr bermaksud hijau. Ini kerana ada riwayat yang mengatakan tempat beliau duduk akan tumbuh tumbuhan menghijau, tidak kira keadaan tanah itu. Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّمَا سُمِّيَ الْخَضِرُ أَنَّهُ جَلَسَ عَلَى فَرْوَةٍ بَيْضَاءَ فَإِذَا هِيَ تَهْتَزُّ مِنْ خَلْفِهِ خَضْرَاءَ
Sesungguhnya dinamakan sebagai Khadir disebabkan apabila dia duduk di atas tanah yang putih (yang kering dan tidak mempunyai tumbuhan), maka tanah yang tandus berubah menjadi hijau dan subur (setelah dia duduk di atasnya)
(Riwayat al-Bukhari (3402))

Ada banyak ayat tentang individu dalam ayat ini, tetapi namanya langsung tidak disebut di dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ hanya sebut sebagai ‘hamba’ sahaja. Kerana itu ada ulama’ yang tidak menyebut pun namanya. Maknanya, tidak penting untuk kita tahu namanya. Sama juga kita tidak perlu tahu berapakah bilangan Pemuda Kahfi itu, kita juga tidak perlu tahu nama hamba yang disebutkan Allah ﷻ dalam ini. Kalau namanya penting, sudah tentu Allah ﷻ telah sebut dalam Al-Qur’an. Cuma namanya masyhur sebagai Khadr. Ini kerana ia ada disebut di dalam hadith yang sahih.

Cuma memang ada pelbagai pandangan ulama berkaitan nama sebenar Khadr, ada yang menyatakan bahawa nama Khadr adalah Iliya bin ‘Amil, Alfah bin Malkan, Balyan dan Armiya. Namun menurut pandangan yang lebih sahih, nama beliau adalah Balya bin Mulkan. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Damiri di dalam kitabnya dengan menukilkan pandangan Imam al-Sa’labi رَحِمَهُ اللَّهُ:

والأصح الذي نقله أهل السير وثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم، كما قاله البغوي وغيره، إن اسمه بليا
Dan menurut pandangan yang lebih sahih yang menukilkan pandangan Ahli al-Sir dan jelas daripada Nabi ﷺ, seperti yang disebutkan oleh Imam al-Baghawi dan selainnya bahawa nama Baginda adalah Balya.
(Rujuk, Hayat al-Hayawan al-Kubra, 1/382)

Cuma di dalam ayat ini Allah ﷻ hanya memberi gelaran hamba kepada beliau. Ini adalah gelaran yang tinggi. Ini adalah kedudukan yang tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang makhluk. Ia menunjukkan yang seseorang itu taat kepada Allah ﷻ dengan penuh ketaatan. Ini sebagaimana Allah ﷻ juga menggelar Nabi Muhammad ﷺ sebagai hamba di dalam ayat Isra’: 1

سُبحٰنَ الَّذي أَسرىٰ بِعَبدِهِ لَيلًا مِّنَ المَسجِدِ الحَرامِ إِلَى المَسجِدِ الأَقصَى
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa

Ini kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah manusia paling mulia dan Allah ﷻ menggunakan kalimah ‘hamba’ untuk baginda, maka itu bermaksud status ‘hamba’ adalah status tertinggi bagi manusia. Allah ﷻ puji baginda di sini kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah insan yang patuh dan taat kepada Allah ﷻ di dalam segala hal.

Ini menunjukkan bahawa kedudukan hamba daripada Allah ﷻ adalah kedudukan yang tinggi. Ia juga mengajar kita bahawa kedudukan yang tinggi adalah apabila boleh menjadi hamba kepada Allah ﷻ. Berbeza status seorang hamba kepada manusia yang berkedudukan yang hina, sebaliknya jikalau dinisbahkan hamba kepada Allah ﷻ, itu adalah kedudukan yang tinggi. Kerana itu di dalam ayat Furqan: 63, Allah ﷻ memuji hamba yang baik dengan menggunakan kalimah عِبادُ الرَّحمٰنِ.

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا
Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.

Ada yang mengatakan apabila dikatakan beliau diberikan ‘rahmat’, bermaksud beliau adalah seorang Nabi. Itulah dalil yang digunakan bagi mereka yang mengatakan Khadr adalah seorang Nabi. Akan tetapi ada banyak pendapat berkenaan siapakah Khadr ini. Ini kerana tidak ada kepastian dalam hal ini maka kita tidak dapat nyatakan dengan pasti. Ada yang kata beliau adalah malaikat kerana malaikat sahaja yang boleh melanggar syariat (atas arahan Allah ﷻ) sampai membunuh seorang kanak-kanak. Antara yang berpendapat demikian adalah Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Ada juga yang kata beliau seorang wali sahaja atau seorang yang soleh. Allahu a’lam. Malah ada juga pendapat yang mengatakan beliau ada jin! Allahu a’lam. Mereka tidak dapat terima Khadr adalah seorang Nabi kerana beliau melanggar hukum syariat yang sepatutnya dijaga oleh seorang Nabi. Kerana nanti kita akan belajar tindakan-tindakan beliau yang menyanggahi syarak.

Di sini disebut Khadr telah diberikan rahmat dan rahmat paling tinggi yang diberikan Allah ﷻ kepada hamba-Nya ialah rahmat ma’rifat, iaitu kenal akan Allah ﷻ, dekat dengan Tuhan, sehingga hidup mereka berbeza dengan orang lain. Sedangkan iman dan taqwa kepada Allah ﷻ sahaja sudah menjadi Rahmat Abadi bagi seorang hamba Allah ﷻ, tambahan pula kalau diberi pula ilmu yang diterima secara langsung daripada Allah ﷻ, yang akan dijelaskan di sini.

 

وَعَلَّمْنٰهُ مِنْ لَّدُنَّا عِلْمًا

Dan Kami ajarkan ilmu kepadanya dari sisi Kami;

Setelah Allah ﷻ beri rahmat, sekarang Allah ﷻ sebut ilmu pula yang diberikan kepada Khadr. Daripada kalimah عَلَّمْنٰهُ kita dapat tahu yang ilmu itu bukan Khadr sendiri tahu tetapi diajar oleh Allah ﷻ. Tidak ada manusia yang tahu ilmu ghaib melainkan hanya diberikan maklumat itu oleh Allah ﷻ dan bukan semuanya diberikan kepada seseorang itu.

Begitulah untuk mendapat ilmu, kena dapat rahmat daripada Allah ﷻ dahulu kerana kalau tiada rahmat, ilmu tidak melekat. Kalau tiada rahmat, maka ilmu itu tidak diamalkan. Berapa ramai yang ada ilmu tetapi tidak amalkan ilmu itu, bukan? Maka hendaklah kita berharap dan meminta rahmat daripada Allah ﷻ sentiasa. Di awal surah ini iaitu di ayat 10, Allah ﷻ telah sebut doa para Pemuda Kahf yang meminta rahmat daripada Allah ﷻ,

إِذ أَوَى الفِتيَةُ إِلَى الكَهفِ فَقالوا رَبَّنا ءآتِنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً وَهَيِّئ لَنا مِن أَمرِنا رَشَدًا
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.

Bagaimana pula cara untuk kita untuk mendapatkan rahmat daripada Allah ﷻ selain daripada berdoa? Caranya kita pun hendaklah berlaku rahmat (kasih sayang) kepada yang di dunia seperti manusia dan binatang. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمْ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ الرَّحِمُ شُجْنَةٌ مِنْ الرَّحْمَنِ فَمَنْ وَصَلَهَا وَصَلَهُ اللَّهُ وَمَنْ قَطَعَهَا قَطَعَهُ اللَّهُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Daripada [Abdullah bin Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Orang-orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Ar Rahman, berkasih sayanglah kepada siapapun yang ada di bumi, nescaya Yang ada di langit akan mengasihi kalian. Lafaz Ar Rahim (rahim atau kasih sayang) itu diambil daripada lafaz Ar Rahman, maka barang siapa yang menyambung tali silaturrahmi nescaya Allah akan menyambungnya (dengan rahmat-Nya) dan barang siapa yang memutus tali silaturrahmi maka Allah akan memutusnya (daripada rahmat-Nya).” Berkata Abu ‘Isa: Ini merupakan hadith hasan sahih.
(Sunan Tirmidzi (1847))
Disahihkan oleh Albani

Begitulah kita pun sudah tahu hadith yang menyebut bagaimana seorang wanita pelacur daripada Bani Israil dimasukkan ke syurga kerana ikhlas memberi seekor anjing minum.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ غُفِرَ لِامْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِيٍّ يَلْهَثُ قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ فَنَزَعَتْ خُفَّهَا فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا فَنَزَعَتْ لَهُ مِنْ الْمَاءِ فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Rasulullah ﷺ bersabda: “Ada seorang wanita penzina yang diampuni dosanya disebabkan (memberi minum seekor anjing). Ketika dia berjalan ada seekor anjing dekat sebuah sumur yang sedang menjulurkan lidahnya dalam keadaan hampir mati kehausan. Wanita itu segera melepas sepatunya lalu diikatnya dengan kerudungnya kemudian dia mengambil air dari sumur itu. Kerana perbuatannya itulah maka dia diampuni dosanya”.
(Sahih Bukhari (3074))

Maka berbuat baik adalah salah satu punca untuk mendapat rahmat daripada Allah ﷻ seperti disebut dalam A’raf: 56

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Di dalam ayat ini, apabila menyebut tentang pemberian rahmat, Allah ﷻ gunakan kalimah عند dan apabila menyebut tentang pemberian ilmu, Allah ﷻ gunakan pula kalimah لدن. Ibn Asyur mengatakan tidak ada bezanya sangat dan ini hanya sebagai penggunaan istilah yang lain sebagai perubahan perkataan sahaja supaya tidak bosan membacanya.

Manakala seorang ulama’ bernama Abu al-Hasan al-Harraali memberi pendapat, kalimah عند digunakan apabila sesuatu itu jelas nampak, sedangkan kalimah لدن digunakan apabila sesuatu tidak nampak. Dengan demikian yang dimaksudkan dengan rahmat oleh ayat di atas adalah “Apa yang nampak daripada kerahmatan hamba Allah yang soleh itu,” sedangkan yang dimaksudkan dengan ilmu adalah “Ilmu batin yang tersembunyi, yang pasti hal tersebut adalah milik dan berada di sisi Allah semata-mata.”

Maka ada berpendapat perbezaan antara dua perkataan itu adalah لَدُنَّ lebih kuat daripada perkataan عِنْدِ.

Ilmu yang diberikan kepada Khadr itu adalah terus daripada Allah ﷻ, bukan melalui pembelajaran. Dua cara ilmu ini diberi isyaratnya di dalam Alaq: 4-5,

الَّذي عَلَّمَ بِالقَلَمِ
Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam,

عَلَّمَ ٱلإِنسَـٰنَ مَا لَم يَعلَم
Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Maka kalimah بِالقَلَمِ adalah ilmu yang didapati dengan usaha manusia mempelajarinya, sedangkan مَا لَم يَعلَم adalah jenis ilmu yang Allah ﷻ beri terus kepada manusia melalui wahyu atau ilham.

Inilah dia ayat yang ramai orang mendakwa tentang ilmu ‘ladunni’. Sampai gila orang mencari ilmu ini. Paling banyak yang mencarinya adalah golongan tarekat. Sampai mereka ini mencari-cari Khadr sebab hendak dapatkan ilmu ini. Antaranya mereka tunggu Khadr pada Lailatul Qadr.

Padahal, bukan Khadr yang turun pada Lailatul Qadr, tetapi para malaikat yang turun sebagaimana yang disebut dalam Al-Qur’an. Akan tetapi mereka yang telah ada benih kesesatan dalam hati mereka tidak mengendahkan ayat-ayat Al-Qur’an lagi. Tambahan pula mereka yang masuk tarekat ini adalah golongan yang jahil agama dan kerana itu mudah sahaja ditipu. Mereka bukannya belajar tentang ilmu wahyu tetapi disibukkan oleh amalan bid’ah daripada guru-guru mereka. Sampai beribu zikir mereka kena habiskan, mana sempat belajar agama? Apabila guru mereka memberi sedikit ilmu khayalan maka mereka suka dan senang hati untuk menerimanya.

Mereka mendakwa sekiranya berjumpa Khadr, kena pegang janggutnya dan minta harta karun dan juga minta umur panjang daripadanya. Itu adalah satu fahaman yang sesat dan khurafat. Sememangnya banyak lagi fahaman karut dalam perkara ini. Sampaikan ada yang letak pelita takut Khadr sesat tidak nampak jalan. Jelas ternyata perbuatan ini mengikut agama Hindu kerana itu adalah cara ibadat orang kafir.

Itu semua adalah perkara yang karut marut yang diajar oleh guru-guru ajaran sesat terutama sekali guru tarekat sufi. Macam-macam lagi kepercayaan karut tentang Khadr ini kalau kita baca tentang kepercayaan mereka.

Sebenarnya Khadr telah diajar oleh Allah ﷻ tentang ilmu taqwini; iaitu ilmu yang membolehkan beliau tahu apa yang akan berlaku. Ia adalah ilmu tentang kejadian masa hadapan. Maka kita boleh katakan yang beliau mengetahui ilmu tentang masa hadapan. Tuhan yang berikan maklumat itu kepadanya dan kepadanya sahaja. Tidak diberikan kepada orang lain.

Oleh kerana itu, ini adalah ilmu yang tidak boleh dipelajari, kerana hanya khas diberikan oleh Allah ﷻ kepada Khadr. Ini kerana kalau ada orang lain yang tahu apa yang akan berlaku, sudah pasti dia akan menyalahgunakan ilmu ini untuk kepentingan dirinya sahaja contohnya mungkin dia mahukan kekayaan.

Namun begitu bukanlah Khadr ‘tahu’ tentang masa hadapan, tetapi ‘diberitahu’ oleh Allah ﷻ. Kena bezakan kerana tidaklah beliau diberi ilmu itu sepenuhnya. Tidaklah beliau tahu kesemua perkara yang akan berlaku. Hanya diberitahu perkara-perkara tertentu sahaja. Maka ia adalah ilmu tambahan yang diberikan kepadanya.

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula memiliki ilmu syariat kerana baginda adalah seorang Rasul. Baginda diperintahkan untuk berjumpa Khadr yang tahu ilmu taqwini. Maka Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang disuruh untuk mencari Khadr, bukannya semua orang. Yang kita kena belajar adalah ilmu syariat seperti yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada kerana ilmu taqwini ini tidak penting dan tidak perlu dipelajari.

Kalau sesiapa belajar ilmu itu dengan Khadr pun, tidaklah boleh menyebabkan dia masuk syurga. Tidak belajar dengannya pun tidak menyebabkan seseorang itu masuk neraka. Akan tetapi, tidak belajar ilmu syariat daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (sekarang Nabi Muhammad ﷺ) itu akan menyebabkan seseorang itu masuk neraka kerana tidak tahu hukum hakam.

Sebagaimana kita sekarang ini, mesti belajar syariat Nabi Muhammad ﷺ. Maka yang penting adalah belajar ilmu syariat. Bukannya membuang masa belajar kononnya ilmu ladunni daripada Khadr.

Ilmu ladunni ini hanya dikhaskan untuk Khadr sahaja. Belum ada dalam sejarah yang mengatakan ada orang lain yang mendapatnya. Bagaimana pula orang biasa dapat sedangkan mereka manusia biasa sahaja? Hanya kerana Khadr adalah Nabi dan kerana itu bolehlah beliau mendapat wahyu daripada Allah ﷻ. Untuk dapat ilmu khas sebegitu, kenalah menjadi Nabi terlebih dahulu. Tidaklah layak seorang manusia biasa untuk mempelajarinya.

Kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini nanti kita akan belajar akhirnya tidak habis belajar pun. Maka takkan kita manusia biasa lebih hebat daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula? Hujah ini pun sudah kuat untuk mengatakan karutnya mereka yang hendak belajar ilmu ladunni itu.

Namun begitulah betapa malangnya puak ajaran sesat seperti tarekat contohnya, mengatakan boleh dapat Ilmu Ladunni ini. Mereka mengutuk kita puak sunnah kerana kita belajar hadith daripad Nabi yang telah mati, tetapi mereka pula belajar daripada Allah yang Maha Hidup (atau Khadr yang masih hidup). Sebab kononnya mereka mendapat ilmu terus daripada Allah ﷻ.

Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ antara yang berpendapat bahawa Khadr masih hidup sehingga sekarang, dan ini juga merupakan pandangan jumhur ulama. Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut di dalam karyanya Syarh Sahih Muslim:

جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ عَلَى أَنَّهُ حَيٌّ مَوْجُودٌ بَيْنَ أَظْهُرِنَا وَذَلِكَ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ عِنْدَ الصُّوفِيَّةِ وَأَهْلِ الصَّلَاحِ وَالْمَعْرِفَةِ وَحِكَايَاتُهُمْ فِي رُؤْيَتِهِ وَالِاجْتِمَاعِ بِهِ وَالْأَخْذِ عَنْهُ وَسُؤَالِهِ وَجَوَابِهِ وَوُجُودِهِ فِي الْمَوَاضِعِ الشَّرِيفَةِ وَمَوَاطِنِ الْخَيْرِ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَرَ وَأَشْهَرُ مِنْ ان يستر
Majoriti ulama berpendapat bahawa Khidir masih hidup dan ada dalam kalangan kita, dan ini juga pandangan yang disepakati di sisi ahli Sufi (Tasawwuf), ahli Salih dan Ma’rifah, Dan kisah-kisah mereka pada melihatnya, berhimpun dengannya, mengambil pengajaran daripadanya dan bersoal jawab bersamanya dan kehadirannya di tempat-tempat yang mulia dan tempat-tempat yang baik terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu mahsyur untuk dirahsiakan.

Mereka pun percayalah yang Khadr masih hidup lagi. Padahal pendapat yang lebih selamat adalah beliau sudah lama mati. Pendapat yang mengatakan Khadr hidup lagi adalah pendapat yang amat lemah dan tidak terpakai. Perbincangan panjang boleh dilihat pada hadith.

قَالَ سَالِمٌ أَخْبَرَنِي عَبْدُ اللَّهِ، قَالَ صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لَيْلَةً صَلاَةَ الْعِشَاءِ ـ وَهْىَ الَّتِي يَدْعُو النَّاسُ الْعَتَمَةَ ـ ثُمَّ انْصَرَفَ فَأَقْبَلَ عَلَيْنَا فَقَالَ ‏”‏ أَرَأَيْتُمْ لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ فَإِنَّ رَأْسَ مِائَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لاَ يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ أَحَدٌ ‏”‏‏.‏
Salim berkata, ‘Abdullah mengabarkan kepadaku, dia berkata, “Rasulullah ﷺ memimpin kami melaksanakan solat ‘Isya pada satu malam yang orang-orang menyebutnya dengan sebutan ‘Atamah’. Selesai solat, baginda berpaling dan menghadap ke arah kami seraya berkata: “Ingat baik-baik malam ini. Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang hidup di atas bumi pada malam ini akan terus hidup selama seratus tahun (bermula malam ini).”
(Sahih Bukhari (531))

Ada banyak khilaf tentang cerita Khadr ini. Ada yang kata beliau adalah salah seorang anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Kalau begitu entah berapa umur beliau. Ada pula yang kata beliau hidup selepas zaman Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada yang kata beliau hidup pada zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan ini adalah yang paling sahih. Ini berdasarkan daripada hadith-hadith dan juga daripada ayat Al-Qur’an daripada surah Al-Kahfi.

Akan tetapi, kalaulah beliau hidup pada zaman mana pun, kalaulah benar beliau adalah seorang manusia, tentunya beliau tertakluk kepada hukum alam iaitu beliau akan mati setelah sekian lama. Oleh itu sekiranya ada yang kata beliau hidup sampai sekarang maka mereka perlu membawakan dalil yang sah. Sedangkan hadith Nabi ﷺ sebut di atas, tidak akan ada manusia yang akan hidup lebih daripada seratus selepas malam yang baginda sebutkan itu. Kita sebagai orang Islam tidak boleh berdasarkan kepada kisah-kisah dongeng dan dalil yang tidak sahih. Kalau kita senang-senang boleh menerima fakta tanpa dalil, maka akan rosak agama Islam ini. Nanti akan jadi agama Hindu pula yang boleh kata bermacam-macam perkara ghaib dan penganut Hindu terima sahaja tanpa usul periksa lagi.

Kepada mereka yang mengatakan Khadr masih hidup lagi, mereka terpaksa mentakwil hadith ini. Mereka kata bahawa hadith ini adalah tentang manusia yang hidup di atas bumi. Manakala kata mereka Khadr tidak hidup di atas bumi/tanah, tetapi hidup dalam laut. Akan tetapi bukankah duduk di dalam laut pun dikira duduk di muka bumi juga? Dari manakah dalil yang mengatakan Khadr itu hidup dalam laut? Bagaimana pula boleh hidup di dalam laut? Amatlah pelik pendapat ini.

Mereka juga mengatakan bahawa hadith ini adalah berbentuk umum dan tidak melibatkan semua makhluk seperti malaikat, jin, Khadr dan sebagainya. Memang kita terima bahawa hadith ini tidak melibatkan jin dan juga malaikat namun bukankah Khadr itu adalah juga manusia? Adakah dalil yang mengatakan bahawa Khadr itu lain daripada manusia lain?

Hujah kita dikuatkan lagi kerana ada hadths lain yang menyebut ‘tidak ada manusia yang bernyawa’. Maknanya, ia lebih menjelaskan bahawa ia merujuk kepada semua manusia. Iaitu semua manusia yang hidup, tidak kira di mana mereka berada.

Mereka juga ada mengatakan maksud ‘muka bumi’ yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah ‘tanah Arab’ sahaja iaitu tempat tinggal Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata, mungkin Khadr pada malam itu berada di muka bumi yang lain. Akan tetapi kenapa kecualikan Khadr sahaja? Bukankah Nabi Muhammad ﷺ itu Nabi kepada seluruh alam? Kalau pun ia tidak melibatkan tempat selain Tanah Arab, tentu bukan Khadr sahaja yang duduk di sana. Adakah disebut orang lain lagi yang dapat hidup lebih daripada 100 tahun sejak malam itu?

Mereka juga berhujah bahawa sudah ramai alim ulama dan orang-orang soleh yang telah berjumpa dengan Khadr. Takkan mereka itu hendak berbohong yang mereka telah berjumpa dengan Khadr? Ini bukanlah satu dalil yang kukuh untuk menolak hadith Nabi ﷺ ini. Kita sebagai orang Islam, mesti memegang erat dalil yang sahih iaitu daripada Al-Qur’an dan hadith. Bukan sewenangnya menerima kata-kata manusia yang entah siapa mereka berjumpa. Kalau yang mereka jumpa itu adalah syaitan, bagaimana? Adakah kepastian yang dapat disahihkan yang mereka jumpa itu adalah Khadr? Adakah orang itu tunjuk IC dia yang dia benar-benar Khadr? Senang sangat orang kita percaya. Kalau dibiarkan kekarutan mereka ini, jangan kata jumpa Khadr, jumpa Allah setiap hari pun ada yang dakwa! Maka tugas kitalah untuk menyedarkan masyarakat dengan menyampaikan ajaran wahyu yang sahih ini.

Memang ada hadith yang dijadikan hujah oleh mereka yang mengatakan tentang Khadr masih hidup. Akan tetapi hadith-hadith yang dibawa adalah dhaif belaka. Banyak sangat masalah dengan hadith mereka sampaikan tidak boleh dijadikan hujah. Kalau kita hendak bawakan hadith, kenalah pastikan yang hadths itu adalah hadith yang sahih.

Memang ramai masyarakat kita yang ada fahaman salah tentang Khadr ini. Terlebih sekali adalah golongan sufi dan tarekat. Mereka memang senang ditipu kerana mereka tidak ada ilmu. Mereka hanya ikut-ikut sahaja.

Oleh itu kita lebih selesa dengan pendapat mereka yang berpegang bahawa Khadr telah wafat seperti Abu Fadl bin Nasir, Qadi Abu Bakr bin al-‘Arabi dan yang lainnya, mereka berpandangan bahawa sekiranya Khadr masih hidup bagaimana mungkin beliau tidak mengikut Nabi Muhammad ﷺ seperti yang diperintahkan oleh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti melakukan solat di belakang Imam umat sekarang. Imam Abadi رَحِمَهُ اللَّهُ menukilkan daripada Imam Ibn Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitabnya:

قَالَ الحافظ بن حَجَرٍ وَمِنْهُمْ أَبُو الْفَضْلِ بْنُ نَاصِرٍ وَالْقَاضِي أَبُو بَكْرِ بْنِ الْعَرَبِيِّ وَأَبُو بَكْرٍ مُحَمَّدُ بن الحسن النقاش ومنهم بن الْجَوْزِيِّ وَاسْتَدَلَّ بِمَا أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ عَنِ الشَّعْبِيِّ عَنْ جَابِرٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعَنِي قَالَ فَإِذَا كَانَ هَذَا فِي حَقِّ مُوسَى فَكَيْفَ لَمْ يَتْبَعْهُ الْخَضِرُ أَنْ لَوْ كَانَ حَيًّا فَيُصَلِّي مَعَهُ الْجُمُعَةَ وَالْجَمَاعَةَ وَيُجَاهِدُ تَحْتَ رَايَتِهِ كَمَا ثَبَتَ أَنَّ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ يُصَلِّي خَلْفَ إِمَامِ هَذِهِ الْأُمَّةِ
Al-Hafiz Ibn Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Dan daripada mereka Abu al-Fadl bin Nasir, al-Qadi Abu Bakr bin al-‘Arabi, Abu Bakr Muhammad bin al-Hasan al-Nuqash dan daripada mereka Ibn al-Jauzi menyimpulkan dengan apa yang diriwayatkan oleh Ahmad daripada al-Sya’bi daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda. “Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya (kekuasaan-Nya), jika seandainya Musa masih hidup, tidaklah dibenarkannya melainkan perlu mengikutiku”. Imam Ibn Jauzi رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Sekiranya ini merupakan hak bagi Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka bagaimana Nabi Khidir tidak mengikutinya (Nabi Muhammad ﷺ) sesungguhnya sekiranya beliau hidup maka beliau akan mendirikan solat Jumaat dan berjemaah bersama Baginda serta berjihad di bawah panji Baginda seperti yang disabitkan sesungguhnya Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendirikan solat di belakang imam umat ini”.
(Rujuk, ‘Aun al-Ma’bud, 11/339)

Syeikh ‘Atiyyah Saqr رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menjawab berkenaan dengan persoalan adakah Khadr hidup atau wafat dengan menyebut bahawa:

ولم يرد نص صريح فى كونه مات أو ما زال حيا حتى يقتله الدجال ، أو أن له لقاءآت مع بعض الأنبياء أو الأولياء ، أو أنه يلقى السلام على بعض الناس فيردون عليه التحية . كل ذلك ليس له دليل يعتد به وفى الوقت نفسه لا يترتب على الجهل به عقاب ، ولا يؤثر على إيمان المؤمن ، فهو ليس من العقائد التى كلفنا بها الدين ، وأولى ألا نشغل بالبحث عنها كثيرا ، وفى كتب التفسير والتاريخ متسع لمن أراد المزيد
Tidak terdapat nas yang jelas menceritakan keadaan wafat atau hidupnya Nabi Khidir sehingga Baginda membunuh Dajjal, atau Baginda berhimpun bersama sesetengah para Nabi atau para wali atau Baginda memberi dan menjawab salam kepada sesetengah manusia. Setiap kisah ini tidak terdapat dalil atau bukti yang jelas, pada masa yang sama tidak mendapat balasan (dosa) atas kejahilan berkenaannya dan tidak memberi kesan ke atas iman orang yang beriman, kerana ia bukan menjadi satu pegangan akidah yang dipertanggungjawabkan oleh agama, dan lebih baik sekiranya tidak terlalu banyak membincangkannya, malah ia banyak terkandung di dalam kitab tafsir dan sirah bagi sesiapa yang ingin menambah pengetahuan tentangnya.
(Rujuk Mausu’ah Ahsan al-Kalam Fi al-Fatwa wa al-Ahkam, 6/271)

Maka janganlah kita mengatakan yang Khadr masih hidup lagi kerana ia adalah pendapat yang lemah. Malah ada pendapat yang mengatakan pandangan Khadr masih hidup adalah diselit oleh puak Syiah. Ini adalah kerana mereka mendakwa Imam mereka ke 12 sedang menyorok dan nanti akan keluar. Pendapat ini mengarut sekali sebab sudah seribu tahun dia menyorok, takkan masih hidup lagi? Maka mereka telah selit kisah Khadr dan mereka akan kata: ‘Habis korang kata Khidr masih hidup lagi tidak mengapa pula? Lagi lama dia hidup….’ Kalaulah kita terbelit dengan isu Khadr masih hidup, maka kita telah termakan dengan helah mereka. Imam jenis apakah ini? Seandainya benar dia boleh selamatkan agama Islam, buat apa dia menyorok?

Yang penting ayat ini Allah ‎ﷻ hendak menekankan tentang ‘ilmu’. Ini bermakna, Allah ﷻ lebih banyak memberi ilmu kepada beliau kalau dibandingkan dengan rahmat. Apakah rahmat yang diberikan kepada Khadr? Kita tidak pasti kerana kita tidak diberitahu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Kahfi Ayat 63 – 65 (Perjumpaan dengan Khadr)”

  1. Assalamulaikum ustaz. Apa maksud dari hadis Bukhari 531 berkenaan tiada seorang pun hidup selama 100 tahun. tapi ada rekod manusia berumur 105tahun. mohon penjelasan.

    Terima kasih.

    Like

    1. Yang Nabi maksudkan adalah malam itu. dari malam itu. bukannya sepanjang zaman. perhatikan lafaz hadis, لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ yang bermaksud malam kalian ini. iaitu that particular night.

      Like

Leave a reply to izzat Cancel reply