Ayat 64:
قالَ هَل آمَنُكُم عَلَيهِ إِلّا كَما أَمِنتُكُم عَلىٰ أَخيهِ مِن قَبلُ ۖ فَاللُه خَيرٌ حافِظًا ۖ وَهُوَ أَرحَمُ الرّاحِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “Should I entrust you with him except [under coercion] as I entrusted you with his brother before? But Allāh is the best guardian, and He is the most merciful of the merciful.”
(MALAY)
Berkata Ya’qub: “Bagaimana aku akan mempercayakannya (Bunyamin) kepadamu, kecuali seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu?”. Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang diantara para penyayang.
قالَ هَل آمَنُكُم عَلَيهِ
Berkata Ya’qub: “Adakah aku akan mempercayakannya kepadamu
Nabi Ya’qub عليه السلام berkata, bagaimanalah baginda hendak percayakan mereka lagi? Nabi Ya’qub عليه السلام tidak percaya kepada mereka kerana takut jadi seperti dahulu. Walaupun kali ini anak-anaknya itu memang ikhlas untuk menjaga Bunyamin, tetapi baginda tidak tahu kerana baginda tidak tahu hati mereka. Baginda tidak tahu perkara ghaib.
Ini adalah akidah pegangan kita – iaitu para Nabi tidak tahu perkara ghaib melainkan apa yang disampaikan kepada mereka sahaja. Malangnya, ada kalangan orang Islam sendiri yang salah faham perkara ini – mereka sangka para Nabi itu tahu perkara ghaib. Ini adalah kerana tidak belajar sahaja kerana banyak sangat dalil dalam Qur’an tentang perkara ini.
Yang lagi teruk, mereka sangka ada manusia yang bukan Nabi pun tahu perkara ghaib. Kerana itulah ada yang takut dengan orang alim, guru mereka dan sesetengah manusia. Mereka sangka yang orang-orang itu tahu isi hati mereka, tahu apa yang mereka telah buat. Maka ini adalah syirik kerana percaya ada makhluk yang memiliki kuasa Allah ﷻ.
إِلّا كَما أَمِنتُكُم عَلىٰ أَخيهِ مِن قَبلُ
seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu?”
Baginda katakan baginda takut akan terjadi lagi seperti yang mereka lakukan terhadap Nabi Yusuf عليه السلام dahulu. Waktu itu mereka beriya-iya berjanji untuk menjaga Nabi Yusuf عليه السلام namun kemudian mereka kata baginda dimakan serigala. Jadi baginda tidak salah kalau berpegangan begitu kerana mereka dahulu sudah ada rekod buruk. Mereka memang anak-anak yang tidak boleh dipercayai.
Ayat ini mengajar kita yang Nabi Ya’qub عليه السلام tidak tahu perkara ghaib walaupun baginda seorang Nabi. Baginda tidak tahu perancangan yang dilakukan oleh Nabi Yusuf عليه السلام adalah sebenarnya untuk menjaga Bunyamin.
فَاللُه خَيرٌ حافِظًا
Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga
Baginda memberitahu mereka yang Allah ﷻ yang paling baik menjaga. Bukan baginda yang jaga; dan bukan juga mereka yang menjaga. Kalau mereka kata mereka hendak jaga pun, tetapi itu bukanlah dalam tangan mereka. Mereka boleh berharap sahaja, namun ketentuan di tangan Allah ﷻ.
وَهُوَ أَرحَمُ الرّاحِمينَ
dan Dia adalah Maha Penyayang diantara para penyayang.
Nabi Ya’qub عليه السلام tersedar yang baginda telah marah kepada anak-anaknya, jadi baginda doa balik untuk menenangkan dirinya. Baginda ingatkan diri baginda yang Allah ﷻ yang penyayang dan baginda kena serahkan Bunyamin kepada ketetapan Allah ﷻ.
Ini mengajar kita, kalau apabila sudah marah pun kena ingat kepada Allah ﷻ. Walaupun baginda berat hati untuk melepaskan, tetapi baginda kashian juga kepada anak-anaknya itu. Ini kerana mereka memang memerlukan bantuan dari negeri Mesir dan tidak ada pilihan lain melainkan kena membenarkan Bunyamin ikut sekali pada tahun hadapan.
Ayat 65:
وَلَمّا فَتَحوا مَتاعَهُم وَجَدوا بِضاعَتَهُم رُدَّت إِلَيهِم ۖ قالوا يا أَبانا ما نَبغي ۖ هٰذِهِ بِضاعَتُنا رُدَّت إِلَينا ۖ وَنَميرُ أَهلَنا وَنَحفَظُ أَخانا وَنَزدادُ كَيلَ بَعيرٍ ۖ ذٰلِكَ كَيلٌ يَسيرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when they opened their baggage, they found their merchandise returned to them. They said, “O our father, what [more] could we desire? This is our merchandise returned to us. And we will obtain supplies [i.e., food] for our family and protect our brother and obtain an increase of a camel’s load; that is an easy measurement.”¹
- For them. Or one obtained by us with ease.
(MALAY)
Tatkala mereka membuka barang-barangnya, mereka menemukan kembali barang-barang (penukaran) mereka, dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata: “Wahai ayah kami apa lagi yang kita inginkan. Ini barang-barang kita dikembalikan kepada kita, dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami, dan kami akan dapat memelihara saudara kami, dan kami akan mendapat tambahan sukatan (gandum) seberat beban seekor unta. Itu adalah sukatan yang mudah (bagi raja Mesir)”.
وَلَمّا فَتَحوا مَتاعَهُم وَجَدوا بِضاعَتَهُم رُدَّت إِلَيهِم
Tatkala mereka membuka barang-barang mereka, mereka menemukan kembali barang-barang (penukaran) mereka, dikembalikan kepada mereka.
Sebelum ini telah disebut bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام mengarahkan supaya dimasukkan kembali barang pertukaran mereka ke dalam karung-karung mereka. Sekarang disebut apabila mereka buka karung-karung mereka, mereka terjumpalah barang yang mereka telah serahkan kepada kerajaan Mesir sebagai ganti gandum dahulu. Mereka sedarlah yang Nabi Yusuf عليه السلام telah mengembalikan kepada mereka.
قالوا يا أَبانا ما نَبغي
Mereka berkata: “Wahai ayah kami apa lagi yang kita inginkan?
Mereka sudah dapat hujah baru untuk dibawa kepada Nabi Ya’qub عليه السلام untuk membenarkan mereka bawa Bunyamin. Mereka kata apa lagi yang kita inginkan? Lihatlah di sini dipulangkan kembali barang kita disebabkan oleh kemurahan Menteri Mesir itu.
هٰذِهِ بِضاعَتُنا رُدَّت إِلَينا
Ini barang-barang kita dikembalikan kepada kita,
Tengoklah barang-barang yang kita bawa sebagai tukaran makanan telah dikembalikan kepada kita. Baik sungguh Menteri Mesir itu.
وَنَميرُ أَهلَنا
dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami,
Sudahlah mereka dapat membawa balik gandum untuk نَميرُ (kami memberi makan) kepada keluarga mereka malahan mendapat balik barang tukaran mereka dahulu.
وَنَحفَظُ أَخانا
dan kami akan dapat memelihara saudara kami,
Mereka berjanji sekali lagi untuk menjaga Bunyamin kalau dibenarkan oleh Nabi Ya’qub عليه السلام untuk dibawa ke Mesir tahun hadapan.
وَنَزدادُ كَيلَ بَعيرٍ
dan kami akan mendapat tambahan sukatan (gandum) seberat beban seekor unta.
Mereka ingatkan ayah mereka yang kalau mereka bawa seorang lagi ahli keluarga mereka, mereka akan mendapat lebih daripada muatan 10 unta sahaja. Kali ini mereka akan mendapat muatan 11 ekor unta pula.
ذٰلِكَ كَيلٌ يَسيرٌ
Itu adalah sukatan yang mudah
Kalau Bunyamin datang, mereka akan mendapat muatan tambahan dengan mudah sahaja. Mereka hendak berkata: Tidak mungkin perkara ini ditolak?
Tafsir lain: sekarang yang kita dapat adalah sedikit sahaja, dapat tahan setahun sahaja. Maka mereka kena dapatkan lebih lagi pada tahun hadapan.
Tafsir lain lagi: mudah sahaja untuk Menteri Mesir itu memberi muatan tambahan untuk mereka – asalkan mereka bawa Bunyamin kali ini.
Ayat 66: Selepas hujah itu, Nabi Ya’qub عليه السلام mengalah juga.
قالَ لَن أُرسِلَهُ مَعَكُم حَتّىٰ تُؤتونِ مَوثِقًا مِنَ اللهِ لَتَأتُنَّني بِهِ إِلّا أَن يُحاطَ بِكُم ۖ فَلَمّا آتَوهُ مَوثِقَهُم قالَ اللَهُ عَلىٰ ما نَقولُ وَكيلٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Jacob] said, “Never will I send him with you until you give me a promise [i.e., oath] by Allāh that you will bring him [back] to me, unless you should be surrounded [i.e., overcome by enemies].” And when they had given their promise, he said, “Allāh, over what we say, is Witness.”
(MALAY)
Ya’qub berkata: “Aku sekali-kali tidak akan melepaskannya (pergi) bersama-sama kamu, sebelum kamu memberikan kepadaku janji yang teguh atas nama Allah, bahawa kamu pasti akan membawanya kepadaku kembali, kecuali jika kamu dikepung musuh”. Tatkala mereka memberikan janji mereka, maka Ya’qub berkata: “Allah adalah saksi terhadap apa yang kita ucapkan (ini)”.
قالَ لَن أُرسِلَهُ مَعَكُم
Ya’qub berkata: “Aku sekali-kali tidak akan melepaskannya (pergi) bersama-sama kamu,
Memang asalnya baginda tidak mahu melepaskan Bunyamin dengan mereka. Memang hati baginda sudah mulai lembut tetapi baginda tidak mengalah dengan mudah. Baginda meletakkan syarat ke atas mereka kalau hendak bawa juga Bunyamin sekali.
حَتّىٰ تُؤتونِ مَوثِقًا مِنَ اللهِ لَتَأتُنَّني بِهِ
sebelum kamu memberikan kepadaku janji yang teguh atas nama Allah, bahawa kamu pasti akan membawanya kepadaku kembali,
Baginda tidak akan mengalah, sehinggalah mereka bersumpah dengan nama Allah . مَوثِقًا itu adalah perjanjian yang lagi kuat dari ميثاقِ. Apabila digunakan kalimah مَوثِقًا, itu bermaksud kedua-dua belah pihak sedar tentang kepentingannya. Maka, kalau mereka tidak bersumpah dengan nama Allah ﷻ, baginda tidak akan melepaskan Bunyamin bersama mereka.
إِلّا أَن يُحاطَ بِكُم
kecuali jika kamu dikepung musuh”.
Mereka kena bersumpah yang mereka akan membawa balik Bunyamin dalam apa keadaan pun, kecualilah kalau mereka dikepung oleh musuh. Ini tidak mustahil kerana pada waktu itu zaman susah untuk mencari makan. Tentu ada kafilah yang diserang dan dirompak kerana waktu itu mereka bawa barang makanan. Jadi, apabila rombongan adik beradik Nabi Yusuf عليه السلام itu ke Mesir, entah mereka dirompak di dalam perjalanan, dan memang itu ada kemungkinan boleh berlaku.
فَلَمّا آتَوهُ مَوثِقَهُم قالَ اللَهُ عَلىٰ ما نَقولُ وَكيلٌ
Tatkala mereka memberikan janji mereka, maka Ya’qub berkata: “Allah adalah saksi terhadap apa yang kita ucapkan (ini)”.
Anak-anaknya itu bersetuju untuk bersumpah yang mereka akan mengembalikan Bunyamin ke pangkuan ayah mereka. Selepas mereka bersumpah, baginda beritahu mereka yang Allah ﷻ menjadi saksi terhadap sumpah mereka itu – maka kenalah mereka berpegang dengan kemas dan jangan ambil ringan perkara sumpah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 23 Mac 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an