Tafsir Surah Takweer Ayat 15 – 29 (Keinginan Allah dan keinginan manusia)

Ayat 15: Sekarang kita masuk kepada perenggan yang kedua atau bahagian kedua surah ini. Sekarang masuk tentang akidah. Ayat 15 – 21 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ hendak menegaskan dalam perenggan ini bahawa Al-Qur’an itu bukan kata-kata syaitan.

Untuk lebih memahami perbincangan seterusnya, kita kena faham tentang fikiran Musyrikin Mekah – mereka percaya kepada perkara khurafat seperti kesialan. Sebagai contoh, percaya yang anak perempuan itu sial. Ini adalah salah satu dari fahaman karut mereka. Dan ada lagi kepercayaan karut tentang bintang dan sebagainya.

Orang kita pun ada juga fahaman khurafat yang karut (kaca pecah, kucing hitam lalu, terserandung di tangga, lalu bawah tangga, lalu bawa sidai dan macam-macam lagi). Ini tidak menghairankan kerana sebab ada perangai dan akidah yang sama antara orang kita dan Musyrikin Mekah.

فَلا أُقسِمُ بِالخُنَّسِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So I swear by the retreating stars –

(MALAY)

Sungguh, Aku bersumpah dengan bintang-bintang,

 

Allah ﷻ bersumpah dengan bintang yang tenggelam dan timbul. Ada banyak kalimah tentang bintang dalam Al-Quran dan semuanya ada jenis-jenis bintang tertentu. Digunakan contoh bintang kerana masyarakat Arab waktu itu memang suka melihat bintang, oleh itu mereka ada banyak nama bagi bintang, bergantung kepada sifat bintang-bintang itu. Kalau orang Melayu, pakai nama bintang sahaja. Oleh itu, الخُنَّسِ adalah jenis bintang yang berjalan ke belakang dan kemudian lenyap hilang.

Kenapa sebut bintang pula? Inilah yang masuk kepada pemahaman tentang kepercayaan karut orang Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ sebut bintang kerana hendak menegur dan menempelak orang Musyrik yang percayakan kepada penilik nasib: dalam Al-Quran digunakan nama kaahin. Mereka ini memang menjadi pakar rujuk zaman itu.

Mereka mendakwa bahawa mereka boleh mendapat maklumat dengan melihat bintang. Kalau bintang begini malap, bintang begitu cerah, ada membawa makna sekian-sekian. Benda ini sampai jadi satu industri dalam masyarakat mereka. Mereka rasa ada petunjuk dalam bintang itu. Kalau cerah bintang maksud apa dan kalau gelap maksud apa. Dan ramai yang mengaku mereka boleh baca tanda-tanda pada bintang itu.

Ini adalah perkara yang berlaku dulu dan sekarang pun orang masih percaya lagi. Boleh terjadi di kalangan ramai orang, sampai ada eksekutif pun percaya juga. Kita sangkakan mereka itu sudah berpelajaran tinggi, tetapi masih percaya benda-benda macam ini.

Dan malangnya, masih ramai dari kalangan kita ada yang percaya kepada horoskop dalam akhbar. Ini amat memalukan sekali. Mereka juga ada yang percaya kalau orang ini lahir bulan ini, haribulan ini, perangai begini dan begitu. Itu semua tipu sahaja dan karut sekali. Tetapi ramai yang percaya pula. Masih ada lagi yang buat bisnes dengan hal bintang ini.

Seperti yang kita telah beritahu, bintang adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan masyarakat Arab. Ramai yang percaya benda-benda karut, kerana pergerakan bintang itu. Maka Allah ﷻ beritahu Dia yang mengawal bintang-bintang itu sebenarnya, tidak ada kena mengena dengan nasib seseorang.

Allah ﷻ yang kawal mana bintang yang keluar dan mana bintang yang hilang. Kerana itu ada kalimat فَلا (maka janganlah) kerana itu adalah arahan untuk mereka menolak fahaman sesat dan khurafat mereka tentang bintang itu. Jangan lagi percaya perkara itu.


 

Ayat 16: Ini sambungan terus dari ayat sebelum ini.

الجَوارِ الكُنَّسِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those that run [their courses] and disappear [i.e., set] –

(MALAY)

yang beredar dan terbenam,

 

Kalimah الجَوارِ menyebutkan sifat bintang yang telah disebut sebelum ini. الكُنَّسِ adalah tempat bersembunyi seperti tempat bersembunyinya rusa. Kalau kita kejar rusa, rusa itu lari dan hilang tiba-tiba. Jadi ini menunjukkan sifat bintang yang bergerak pada orbitnya dan ada yang hilang. Macam meteor.

Allah ﷻ gunakan sifat bintang ini sebab Musyrikin Mekah ada yang gunakan bintang sebagai kepercayaan khurafat mereka. Mereka kata mereka dapat maklumat dari bintang itu. Maka Allah ﷻ bersumpah dengannya kerana hendak menunjukkan bahawa Dia ﷻlah yang mengawal bintang-bintang itu, tidak ada yang lain.

Kalau mereka kata mereka pakai bintang itu, bagaimana kalau bintang itu hilang? Kalau kahin-kahin kata jin boleh mendapat maklumat dari bintang-bintang itu, apa yang mereka dapat kalau bintang itu tiada? Mereka kata mereka dapat maklumat dari bintang, tetapi sebenarnya, dalam ayat yang lain, Allah ﷻ beritahu tahi bintang digunakan oleh Allah ﷻ untuk memanah jin-jin yang cuba untuk mendapatkan maklumat dari langit. Ini ada disebut antaranya dalam Mulk:5.

Lalu bagaimana mereka boleh kata mereka dapat maklumat dari bintang, tetapi sebaliknya, bintang itu digunakan untuk rejam mereka? Sudah terbalik dari dakwaan mereka.

Sebahagian imam mengatakan bahawa sesungguhnya bintang-bintang itu dinamakan khunnas mengingat saat terbitnya, kemudian saat beredar di falaknya dinamakan jawarin, sedangkan di saat tenggelamnya dinamakan kunnas. Ini diambil dari kata-kata orang Arab أوى الظبي إلى كناسة (masuk rusa ke dalam sarang). Dikatakan demikian apabila bintang itu masuk ke dalam sarangnya.


 

Ayat 17: Allah ﷻ bersumpah lagi:

وَاللَّيلِ إِذا عَسعَسَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And by the night as it closes in¹

  • An alternative meaning is “as it departs.”

(MALAY)

demi malam apabila telah hampir meninggalkan gelapnya,

 

Apabila malam hampir habis, semakin tidak nampak, sudah kabur kerana cahaya semakin hendak keluar. Semasa itu, bintang tidak lagi kelihatan (kerana bintang kelihatan bila langit benar-benar sudah gelap), maka apakah yang akan dipakai oleh kahin-kahin itu? Sebab mereka kata mereka tengok bintang, tetapi bintang tengah tidak ada, apa yang mereka gunakan sudah tidak nampak lagi.

Allah ﷻ hendak beritahu Dia ﷻlah yang mengawal bintang-bintang itu. Sama ada hendak bagi ada dan tiada, itu semua dalam Qudrat Allah ﷻ. Bukannya manusia yang kawal bintang-bintang itu. Allah ﷻ kawal berapa banyak bintang yang kita boleh tengok. Bukannya kerana sebab-sebab tertentu sampai boleh digunakan sebagai alat meramal nasib pula.

Itu adalah fahaman yang salah. Qada’ dan qadar kita tidak ada kena mengena dengan bintang-bintang itu. Kalau kalau ada yang kata qada’ dan qadar ditentukan oleh bintang-bintang itu, maka itu sudah masuk dalam ruang syirik.


 

Ayat 18: Allah ﷻ bersumpah lagi. Kalau kita lihat, Allah ﷻ bersumpah dengan kejadian yang berlaku hari-hari dan manusia boleh lihat. Supaya senang kita hendak kaitkan dengan pemahaman kita. Kerana kalau pakai benda yang kita tidak kenal, susah juga.

وَالصُّبحِ إِذا تَنَفَّسَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And by the dawn when it breathes [i.e., stirs]

(MALAY)

dan demi subuh apabila fajarnya mulai menyingsing,

 

Apabila siang dapat ‘bernafas’ selepas ‘dicengkam’ malam (baru hendak dapat bernafas). Ini adalah seumpama peribahasa – maknanya apabila fajar menyingsing. Dan waktu itu pun bintang tidak kelihatan juga, apakah yang para kahin hendak lihat lagi sebagai pedoman? Mereka kata mereka boleh baca bintang, tetapi apabila waktu pagi, bintang sudah tidak kelihatan lagi, macam mana?

Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia ﷻ yang kawal apa yang manusia boleh nampak. Dan apa yang dikatakan oleh kahin dan sesiapa yang kata boleh baca bintang itu, tidak boleh dipercayai.

Dari ayat 15 tadi, semua itu adalah sumpah. Apabila ada sumpah, tentu ada jawabnya, maka apakah jawapan sumpah Allah ﷻ itu? Jawapan sumpah itu adalah: kamu akan bertemu dan menempuhi peringkat demi peringkat hari kiamat dan akhirat itu, sama ada baik atau buruk. Pasti kamu akan bertemu di akhirat nanti, satu demi satu.

Kita akan jumpa kematian, kemudian langit pecah, laut bergelora dan sebagainya; kemudian akan dihidupkan kembali dan akan dinampakkan dengan berbagai-bagai perkara seperti yang telah disebut sebelum ini.


 

Ayat 19: Telah disebut kononnya bintang boleh digunakan sebagai pemberi maklumat tentang apa yang berlaku dan apa yang telah berlaku. Allah ﷻ hendak beritahu yang semua itu bukanlah sumber maklumat yang betul. Itu semua karut sahaja, penipuan sahaja dari mereka yang hendak mengambil kesempatan dari mereka yang jahil.

Dan sekarang Allah ﷻ hendak beritahu manakah sumber maklumat yang benar.

إِنَّهُ لَقَولُ رَسولٍ كَريمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[That] indeed, it [i.e., the Qur’ān] is a word [conveyed by] a noble messenger [i.e., Gabriel]

(MALAY)

sesungguhnya Al-Qur’an itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril),

 

Sekarang Allah ﷻ hendak mula memberitahu tentang wahyu dari Allah ﷻ. Amat berbeza sekali wahyu dan apa yang disampaikan oleh kahin; bezanya adalah seperti bezanya antara kegelapan malam (وَاللَّيلِ إِذا عَسعَسَ) dan cahaya pagi (وَالصُّبحِ إِذا تَنَفَّسَ).

Perkataan رَسولٍ yang merujuk kepada Malaikat Jibril. Mungkin ramai yang tidak tahu, bahawa Malaikat Jibril عليه السلام juga adalah رَسولٍ, kerana رَسولٍ maksudnya seseorang yang menyampaikan sesuatu, yang membawa risalah.

Lihat bagaimana Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘قَولُ’ dalam ayat ini dan bukan ‘kalam’. Sebab kalau ‘kalam’ yang digunakan, itu bermakna apa yang disampaikan itu adalah perkataan Jibril عليه السلام sendiri. Tetapi tentu tidak tepat kerana beliau hanya menyampaikan kalam Allah ﷻ sahaja. Kalimat ‘kalam’ akan digunakan kalau merujuk kepada Allah ﷻ – sebagai contoh: kalamullah (Kalam Allah).

Oleh itu, perkataan قَولُ boleh digunakan untuk menerangkan yang seseorang menyampaikan secara ulangan apa yang disampaikan kepadanya. Dalam konteks ayat ini, Jibril عليه السلام bukanlah menyampaikan kalamnya sendiri tetapi kalam Allah ﷻ, dan beliau hanya mengulangnya semula sebutir demi sebutir tanpa pengubahan, penambahan atau pengurangan.

Allah ﷻ memberitahu sifat Rasul itu yang كَريمٍ (mulia). Ayat ini mengukuhkan kedudukan penyampai wahyu itu (Jibrail). Dia seorang yang mulia dan boleh dipercayai dan tidak boleh hendak dibandingkan dengan para kahin yang hanya menipu sahaja.

Kalau mereka tidak berniat menipu pun, mereka sampaikan dari kata-kata jin yang memang penipu. Penyampai yang mulia hanya memberitahu kebenaran sahaja. Integrasi Risalah Al-Qur’an itu sendiri telah dijelaskan dalam Surah Abasa sebelum ini dalam dari ayat 13 – 16

في صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ (di dalam kitab-kitab yang dimuliakan)

مَرفوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ (yang ditinggikan lagi disucikan)

بِأَيدي سَفَرَةٍ (di tangan para penulis (malaikat))

كِرامٍ بَرَرَةٍ (yang mulia lagi berbakti)

Dan sekarang Allah ﷻ tekankan yang penyampai risalah wahyu dan cara penyampaian pun boleh dipercayai.


 

Ayat 20: Lagi tentang sifat Jibril عليه السلام itu.

ذي قُوَّةٍ عِندَ ذِي العَرشِ مَكينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Who is] possessed of power and with the Owner of the Throne, secure [in position],

(MALAY)

yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai ‘Arsy,

 

Jibril عليه السلام mempunyai kekuatan. Ini penting untuk menunjukkan yang Jin takkan dapat hendak curi informasi dari dia. Jin tidak mampu untuk mengalahkan malaikat. Memang jin cuba hendak curi-curi dengar maklumat dari langit tetapi mereka akan kena lempar dengan tahi bintang. Maknanya, jin itu tidak kuat untuk melawan malaikat yang jaga langit. Ini disebut dalam Jin:9

وَأَنّا كُنّا نَقعُدُ مِنها مَقاعِدَ لِلسَّمعِ ۖ فَمَن يَستَمِعِ الآنَ يَجِد لَهُ شِهابًا رَصَدًا

dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya).

Malaikat biasa pun mereka tidak dapat lawan, apatah lagi kalau Jibril عليه السلام. Kerana ditekankan dalam ayat ini yang Jibrail عليه السلام itu kuat.

Jibril عليه السلام pula dekat dengan Arash Allah ﷻ. Ini hendak menunjukkan betapa rapatnya dia dengan Allah ﷻ. Ini juga hendak menunjukkan yang Jibril  عليه السلام mendapatkan wahyu dari Allah ﷻ yang duduk di Arash. Kalimah مَكينٍ bermaksud tempat yang tetap, memberi isyarat yang Arash itu di kedudukan yang tinggi.


 

Ayat 21: Lagi ayat menerangkan sifat Jibril عليه السلام.

مُطاعٍ ثَمَّ أَمينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Obeyed there [in the heavens] and trustworthy.

(MALAY)

yang ditaati di sana (di alam malaikat) lagi dipercayai.

 

Malaikat Jibril عليه السلام ditaati di langit. Jibail عليه السلام mempunyai pengikut-pengikut yang mentaatinya dan mereka berada berdekatan dengan Arash Allah ﷻ. Kalimah طاعٍ bermaksud diikuti dengan sayang. Ini merujuk kepada para malaikat lain yang mengikut arahan dan taat kepada Jibril عليه السلام itu dengan senang hati, bukan kena paksa.

Maknanya, Jibril عليه السلام ada pengikut dan ini kita dapat tahu lagi kerana semasa Jibril عليه السلام turun menyampaikan wahyu, ada pengikut yang ramai dari kalangan malaikat yang ikut turun sekali menyampaikan wahyu kepada Rasulullah ﷺ. Kalau dalam dunia, apabila ada benda teramat penting yang disampaikan, yang sampaikan adalah pembawa yang kedudukan tinggi dan pengikut yang ada ikut sekali.

Akan tetapi ini bukanlah hendak menunjukkan yang Jibril عليه السلام memerlukan pengawal pula kerana Jibril عليه السلام itu sendiri sudah kuat. Tetapi ramai yang ikut kerana kedudukan wahyu yang tinggi dan memberi penghormatan kepada wahyu yang hendak disampaikan itu.

Kalimah ثَمَّ bermaksud ‘di sana’. Ayat sebelum ini menyebut Arash, jadi maksud ‘di sana’ adalah ‘di Arash’. Maksudnya, Jibril عليه السلام ditaati dari Arash lagi. Lafaz ثَمَّ juga digunakan untuk menguatkan penerangan selepasnya, iaitu أَمينٍ.

Kalimah أَمينٍ bermaksud Jibril عليه السلام sangat boleh dipercayai. Apabila ditambah kalimah ثَمَّ ini hendak menekankan sifat Jibril عليه السلام yang ‘sangat’ boleh dipercayai. Sifat ini penting, kerana kalau kuat dan banyak pengikut pun, tetapi kalau tidak boleh dipercayai, ada niat jahat, tidak guna juga.

Jadi beberapa ayat ini adalah untuk menekankan kekuatan penghantaran wahyu itu. Jadi ayat-ayat ini adalah tentang Risalah. Sudahlah wahyu itu mulia, cara penghantarannya pun menggunakan pembawa risalah yang mulia juga, yang kuat, yang ditaati dan dipercayai.


 

Ayat 22: Ayat 22 – 25 adalah Perenggan Makro Keempat. Allah menegaskan yang Rasulullah itu bukan orang gila.

Sekarang Allah ﷻ bertukar kepada bercakap terus kepada para kuffar. Di akhirat nanti Allah ﷻ takkan cakap dengan mereka, tetapi sekarang dalam Al-Qur’an Allah ﷻ masih mahu bercakap dengan mereka. Ini adalah kerana mereka masih ada harapan untuk bertaubat dan ubah sikap mereka, kalau mereka mahu memberi perhatian dan buka hati mereka kepada wahyu Allah ﷻ ini.

وَما صاحِبُكُم بِمَجنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your companion [i.e., Prophet Muḥammad ()] is not [at all] mad.¹

  • Literally, “possessed by jinn.”

(MALAY)

Dan temanmu (Muhammad) itu bukanlah sekali-kali orang yang gila.

 

Allah ﷻ berkata kepada kaum Musyrikin Mekah bahawa Nabi Muhammad ﷺ yang tinggal bersama mereka bukanlah orang yang gila. Ataupun orang yang telah disampuk jin. Baginda ﷺ mendapat wahyu dari Jibril dan sifat Jibril yang hebat telah disebut sebelum ini.

Lihat bagaimana kalimat صاحِبُكُم (sahabat kamu) digunakan. صاحِبُ adalah orang yang menemani bersama kamu (digunakan juga dalam kalimah Sahabat Nabi ﷺ). Allah ﷻ hendak menekankan dalam ayat ini yang Nabi Muhammad ﷺ itu tinggal dengan mereka, sudah lama. Bukan tinggal sekejap-sekejap dan mereka bukan baru kenal baginda. Oleh kerana baginda sudah lama tinggal dengan mereka, mereka patut sudah kenal sangat dengan baginda.

Baginda sentiasa bersama mereka tidak pergi ke tempat yang jauh. Jadi mereka tidaklah boleh kata baginda ada belajar ilmu baru di tempat lain, sebab baginda tidak pernah tinggalkan mereka dalam jangka masa yang lama. Dalam sejarah, dua kali sahaja baginda pergi ke luar Mekah untuk berdagang – sekali semasa baginda muda dan sekali lagi semasa baginda sudah dewasa. Itu pun bukanlah baginda pergi bersendirian, dengan rombongan juga.

Oleh itu, mereka sendiri tahu siapa baginda, mereka pun tahu yang baginda tidak gila, dan baginda juga bukan kahin (tukang tilik). Dahulu pun mereka sampai panggil baginda sebagai al-amin (yang dipercayai). Sebelum baginda jadi Nabi ﷺ pun Musyrikin Mekah sudah kenal baginda dan percaya kepada baginda.

Kita pun tentu sudah tahu serba sedikit tentang jin. Mereka itu dinamakan ‘jin’ dari katadasar جنن yang bermaksud ‘ditutup pandangan’ kerana kita tidak nampak mereka, telah ditutup pandangan dari mereka. Oleh itu, kalimah مَجنونٍ (dari katadasar yang sama dengan kalimah ‘jin’) boleh bermaksud orang yang akal mereka telah ditutup dan orang yang macam itu adalah orang gila.

Ataupun kalau dikaitkan dengan jin, ia merujuk kepada orang yang telah dirasuk oleh jin – dua-dua boleh diterima kerana itulah fahaman Arab Mekah waktu itu. Pada mereka, kalau kena sampuk dengan jin, boleh jadi gila.

Allah ﷻ hendak tekankan dalam ayat ini yang Nabi ﷺ tidak gila, dan tidak dirasuk jin. Oleh itu, Allah ﷻ juga menidakkan yang baginda mendapat maklumat dari jin. Ini adalah kerana ada juga puak kuffar yang kata baginda dapat maklumat dari jin. Allah ﷻ  menidakkan pendapat itu dan menekankan yang baginda dapat wahyu dari Jibril عليه السلام yang menyampaikan pula wahyu itu dari Allah ﷻ.


 

Ayat 23:

وَلَقَد رَآهُ بِالأُفُقِ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he has already seen him [i.e., Gabriel] in the clear horizon.¹

  • i.e., the eastern horizon, where the sun rises. See footnote to 53:6.

(MALAY)

Dan sesungguhnya Muhammad itu telah melihat Jibril di ufuk yang terang.

 

Betul-betul Rasulullah ﷺ telah pernah melihat Jibril عليه السلام di ufuk yang jelas. Ufuk adalah tempat langit dan bumi bertemu – tempat matahari naik dan turun. Dalam riwayat ada disebut yang Nabi ﷺ nampak Jibril عليه السلام dari tempat matahari naik sampai ke atas kerana besarnya Jibril عليه السلام waktu itu (Jibril boleh membesar dan mengecilkan badannya). Hal ini disebutkan oleh firman-Nya:

وَلَقَدْ رَآهُ بِالْأُفُقِ الْمُبِينِ يَعْنِي وَلَقَدْ رَأَى مُحَمَّدُ جِبْرِيلَ الَّذِي يَأْتِيهِ بِالرِّسَالَةِ عَنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى الصُّورَةِ الَّتِي خَلَقَهُ اللَّهُ عَلَيْهَا لَهُ سِتُّمِائَةُ جَنَاحٍ بِالْأُفُقِ الْمُبِينِ أَيِ الْبَيِّنُ وَهِيَ الرُّؤْيَةُ الْأَوْلَى الَّتِي كَانَتْ بِالْبَطْحَاءِ وَهِيَ الْمَذْكُورَةُ فِي قَوْلِهِ: عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوى ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوى وَهُوَ بِالْأُفُقِ الْأَعْلى ثُمَّ دَنا فَتَدَلَّى فَكانَ قابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنى فَأَوْحى إِلى عَبْدِهِ مَا أَوْحى

yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat, Yang mempunyai akal yang cerdas; dan (Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang asli, sedangkan dia berada di ufuk yang tinggi. Kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat lagi, maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) dua ujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan. (An-Najm: 5-10)

Allah ﷻ hendak menegaskan yang memang baginda nampak Jibrail عليه السلام itu dengan jelas, bukannya samar-samar atau khayalan baginda sahaja. Allah ﷻ hendak bandingkan dengan para kaahin yang mengaku mereka dapat melihat apa yang orang biasa tidak nampak. Tapi betulkah mereka ada nampak? Allah ﷻ mempersoalkan maklumat dari kaahin-kaahin itu. Para kaahin itu mereka kata dapat maklumat dari luar juga, tetapi dari sesuatu yang tidak nampak.


 

Ayat 24:

وَما هُوَ عَلَى الغَيبِ بِضَنينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he [i.e., Muḥammad ()] is not a withholder of [knowledge of] the unseen.¹

  • Prophet Muḥammad () did not withhold that knowledge of the unseen which Allāh had revealed to him in the Qur’ān.

(MALAY)

Dan dia (Muhammad) bukanlah orang yang bakhil untuk menerangkan yang ghaib.

 

Bukanlah Nabi ﷺ menyimpan maklumat perkara ghaib yang didapatinya. Nabi ﷺ beri sahaja kepada umat dengan tidak ada yang dikurangkan. Nabi ﷺ tidak minta bayaran pun untuk sampaikan perkara yang memang baginda kena sampaikan. Kerana Nabi ﷺ memang kena sampaikan dengan percuma. Baginda tidak kedekut untuk sampaikan ilmu.

Kalimah ضَني adalah mereka yang hanya memberikan maklumat apabila mendapat upah. Macam kaahin itu, mereka kata boleh bagi maklumat, tetapi kena bayar dulu. Macam tukang tilik nasib zaman sekarang, mereka hendak duit sahaja. Ini kerana mereka buat duit dengan perkara itu.


 

Ayat 25:

وَما هُوَ بِقَولِ شَيطانٍ رَجيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it [i.e., the Qur’ān] is not the word of a devil, expelled [from the heavens].

(MALAY)

Dan Al Qur’an itu bukanlah perkataan syaitan yang terkutuk,

 

Maklumat-maklumat dari wahyu itu bukanlah dari syaitan yang direjam. Kalimah شَيطانٍ diambil dari kalimah شَطنٍ – yang bermaksud jauh dari kebenaran. Kita pun sudah tahu yang syaitan memang jauh dari kebenaran – mereka mengajak kepada kesesatan yang jauh sangat dari kebenaran.

Atau kalimah شَيطانٍ boleh juga dari شَط – yang diselubungi dengan perasaan marah macam diselubungi oleh api. Kerana iblis marah sangat apabila Nabi Adam عليه السلام dilantik menjadi khalifah dunia. Dan kemarahan iblis itu sampai sekarang. Iblis dan para pengikutnya marah sampaikan mereka hendak menyesatkan manusia supaya masuk neraka bersama dengan mereka. Maka kerana itu mereka direjam.

Jadi, wahyu yang Allah ﷻ sampaikan itu bukanlah dari jin syaitan. Ia adalah dari Allah ﷻ. Kalau kaahin-kaahin itu, mereka dapat maklumat mereka dari jin. Kerana jin mencuri maklumat dari langit dan mereka sampaikan maklumat itu kepada para kaahin. Tetapi mereka campur adukkan dengan berita tipu dan maklumat tipu.

Oleh kerana ada satu dua yang benar, maka kaahin dan manusia lain percaya terus kepada mereka. Jangan samakan wahyu Al-Qur’an itu dengan apa yang mereka dapati dari jin itu. Sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَما هُوَ بِقَوْلِ شَيْطانٍ رَجِيمٍ أَيْ وَمَا هَذَا الْقُرْآنُ بِقَوْلِ شَيْطَانٍ رَجِيمٍ أَيْ لَا يَقْدِرُ عَلَى حَمْلِهِ وَلَا يُرِيدُهُ وَلَا يَنْبَغِي له كما قال تعالى: وَما تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّياطِينُ وَما يَنْبَغِي لَهُمْ وَما يَسْتَطِيعُونَ إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

Dan Al-Qur’an itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. Dan tidaklah patut mereka membawa turun Al-Qur’an itu, dan mereka pun tidak akan kuasa. Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan dari mendengar Al-Qur’an itu. (Asy-Syu’ara: 210-212)


 

Ayat 26: Ayat 26 – 29 (Akhir surah) adalah Perenggan Makro Kelima. Ia bertanya: ke mana lagi hendak lari? Tidak ada tempat lain lagi maka hendaklah beriman dengan Al-Qur’an.

فَأَينَ تَذهَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So where are you going?¹

  • In your denial of the Qur’ān and in your accusations against the Prophet (). The meaning is essentially “Surely, you have strayed far from Allāh’s path.”

(MALAY)

maka ke manakah kamu akan pergi?

 

Ini adalah ayat yang penting dalam surah ini. Allah ﷻ hendak tanya mereka, selepas segala maklumat ini telah diberikan, apa yang mereka hendak buat? Dalam surah-surah sebelum ini, telah disebut soalan-soalan dari puak kufur Mekah itu. Kali ini Allah ﷻ pula tanya kepada mereka. Allah ﷻ tanya soalan penting. Allah ﷻ tanya ‘ke mana kamu hendak pergi?’

Ke arah kebenarankah atau kepalsuan? Kamu hendak pilih yang mana? Sebab sekarang ada maklumat dari wahyu, tetapi kamu hendak terima atau tidak? Kalau kamu tidak mahu terima, ke mana lagi kamu hendak pergi untuk cari kebenaran? Atau, kalau kamu tinggalkan Al-Qur’an ini, ke mana lagi kamu boleh dapat pedoman?

Adakah kamu hendak masuk syurga atau kamu hendak masuk ke neraka? Tidakkah kamu tahu yang kamu sedang menuju akhirat sekarang? Oleh kerana kita semua memang akan ke arah akhirat pun, jadi ini adalah soalan retorik sahaja.

Jadi, ini adalah soalan yang amat penting sekali. Macam kita sekarang ada Al-Qur’an di hadapan kita. Kita hendak belajar sampai faham atau tidak? Kita hendak pakai Al-Qur’an atau tidak? Kita hendak masuk ke dalam syurga atau tidak?


 

Ayat 27: Maklumat yang benar, tidak lain dan tidak bukan, kena cari dalam Al-Qur’an.

إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not except a reminder to the worlds

(MALAY)

Al-Qur’an itu tiada lain hanyalah peringatan bagi semesta alam,

 

Ini adalah peringatan kepada sekalian alam. Ianya diberikan kepada semua orang, tetapi yang menerimanya adalah mereka yang mahu mengambil peringatan sahaja. Oleh itu, kalau Musyrikin Mekah tidak mahu terima wahyu ini, tidak mengapa, kerana ada orang yang boleh ambil peringatan darinya.

Oleh itu, jangan mereka berlagak sangat. Kerana Al-Qur’an ini bukan untuk Quraisy, bukan untuk bangsa Arab sahaja. Mereka diberi penghormatan kerana ia diturunkan dalam bahasa mereka, tapi kalau mereka tolak, mereka yang rugi.

Kalimah ذِكرٌ bermaksud peringatan. Selalunya peringatan diberikan kalau orang sudah tahu, bukan? Tetapi bukankah maklumat dalam Al-Qur’an itu adalah maklumat baru, sampaikan Musyrikin Mekah tidak pernah tahu dan rasa pelik dengannya, dan kerana itulah mereka menentangnya?

Kita kena faham yang peringatan dalam Al-Qur’an ini bukanlah baharu, kerana ilmu akidah yang benar telah ada dalam diri kita kerana kita telah dimasukkan dengan fitrah yang kenal Allah ﷻ, kenal tauhid.

Kalimah عالَمينَ bermaksud ‘semua alam-alam’, tetapi lebih tepat lagi, dalam konteks ayat ini, ia  bermaksud jin atau manusia. Kerana jin dan manusialah yang ada tanggungjawab syarak untuk beragama dan ikut hukum dari Allah ﷻ yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini.


 

Ayat 28: Peringatan Al-Qur’an itu adalah untuk semua, tetapi siapa sahaja yang boleh terima?

لِمَن شاءَ مِنكُم أَن يَستَقيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For whoever wills among you to take a right course.

(MALAY)

(iaitu) bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus.

 

Peringatan kepada mereka yang mahukan jalan yang lurus. يَستَقيمَ dari katadasar ق و م yang bermaksud ‘berdiri tegak’. Itulah jalan yang lurus, jalan yang tegak, jalan yang benar. Oleh itu, kalau kamu mahu, kamu boleh mendapat manfaat darinya.

Kalimah شاءَ (mahu) dari شيأ (benda). Satu lagi kalimah untuk ‘mahu’ adalah أرادا. Tetapi apa bezanya? شاءَ digunakan kalau ada keinginan yang jitu, bukan main-main dan ‘rasa’ sahaja. Apabila kemahuan itu tidak kukuh, lafaz yang digunakan adalah أرادا. أرادا mungkin di kepala sahaja lagi tetapi tidak di hati. Ini macam ada orang yang kata hendak jadi baik, tetapi tidak buat pun lagi, cakap sahaja dan dia baru terfikir sahaja.

Jadi apabila hendak ditekankan keinginan yang kuat, digunakan lafaz شاءَ seperti dalam ayat ini. Oleh itu, mereka yang ada kemahuan yang kuat, merekalah yang akan mendapat kebaikan dari wahyu yang Allah ﷻ berikan itu. Kalau terfikir sahaja, tetapi tidak ada keinginan yang kuat, tidaklah akan terjadi apa-apa.

Oleh itu, janganlah setakat kata: “kalaulah aku tahu tafsir Al-Qur’an…kalaulah aku tahu hal agama…” namun tidak menjalankan usaha untuk belajar, untuk mengulangkaji, maka jangan harapkan akan dapat faham begitu sahaja. Kerana untuk memahami Al-Qur’an, memerlukan usaha. Kena pergi belajar, kena beri ruang masa untuk berfikir dan tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an. Ia bukanlah senang dan enteng, tapi tidaklah susah sangat sampai tidak boleh dipelajari. Nak ambil peperiksaan SPM lagi susah dari belajar tafsir Al-Qur’an.


 

Ayat 29: Memang kita kena ada keinginan, tetapi keinginan kita itu bergantung kepada Allah ﷻ juga.

وَما تَشاءونَ إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّ العالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not will except that Allāh wills – Lord of the worlds.

(MALAY)

Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam.

 

Kamu tidak akan berkehendak melainkan Allah ﷻ juga berkehendak. Maknanya, kalau Allah ﷻ mahu, baru kita ada kehendak itu dan mendapat taufik untuk terus berusaha untuk mendapat kebaikan.

Ini adalah tentang kehendak Tuhan ﷻ dan usaha manusia. Dalam dua ayat terakhir ini, disebut dahulu keinginan manusia dahulu, kemudian baru disebut keinginan Allah ﷻ. Ada maklumat yang penting di situ: Allah ﷻ suruh kita buat keinginan dan usaha dahulu, kemudian Allah ﷻ akan jadikan mudah untuk kita mendapatnya.

Allah ﷻ hendak tengok keinginan dan usaha kita dahulu. Tetapi kita memang memerlukan pertolongan dari Allah ﷻ. Kita memang tidak ada kekuatan apa-apa. Kalau tidak faham perkara ini, manusia rasa mereka boleh apa sahaja. Mereka lupa kepada kehendak Allah ﷻ dan tidak berdoa kepada Allah ﷻ. Sedangkan kita kena selalu ada pengharapan kepada Allah ﷻ.

Jangan putus pengharapan kepada Allah ﷻ. Untuk beriman pun kita kena minta kepada Allah ﷻ, walaupun kalau kita fikirkan, tentulah iman itu dari diri kita sendiri, bukan? Tetapi tidak; hendak beriman pun kena minta kepada Allah ﷻ. Kena ada sifat inaabah (condong kepada kebenaran). Kena ada keinginan dalam hati hendak tahu mana jalan kebenaran.

Kita sudah sampai ke penghujung surah ini. Di awal surah ini, telah disentuh tentang Qudrat Allah ﷻ menghancurkan alam. Itu semua dalam kehendak Allah ﷻ yang tidak dapat dihalang lagi. Dan sekarang di hujung surah ini, telah disebut tentang kehendak kita pula.

Sebelum itu Allah ﷻ sudah tanya, ke arah yang kita hendak tuju? Ini menunjukkan Allah ﷻ mahu kita buat usaha dan kemudian Allah ﷻ akan bantu. Oleh itu kita kena jalankan strategi. Jangan setakat mahu sahaja, tetapi tidak buat apa-apa. Kerana hendak dapatkan hidayah pun kena ada usaha, tidak boleh tunggu sahaja. Kena cari guru, kena rajin membaca, mengkaji, menulis nota, mengajar.

Oleh itu, kalau kita dapat hidayah, terima hidayah, itu semua adalah kerana dari taufik Allah ﷻ. Taufik itu adalah Allah ﷻ gerakkan kita untuk terus jadi baik, terus mahu belajar. Sebab itu kadang-kadang kita lihat, ada orang yang ada Al-Qur’an depan dia, tetapi dia tidak teringin pun hendak tahu apakah yang diperkatakan oleh Al-Qur’an itu. Maknanya, hidayah sudah ada di depan mata, tapi taufik tidak ada untuk menerimanya.

Semoga kita terus mendapat hidayah dan taufik dari Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ terus pandu kita untuk mendapat ilmu dan kefahaman dalam agama.

Allahu a’lam. Tamat Surah Takweer ini. Sambung ke surah yang seterusya, Surah Infithar.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah Takweer Ayat 15 – 29 (Keinginan Allah dan keinginan manusia)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s