Tafsir Surah al-A’raf Ayat 56 – 58 (Adab Berdoa)

A’raf Ayat 56:

وَلا تُفسِدوا فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلٰحِها وَادعوهُ خَوفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And cause not corruption upon the earth after its reformation. And invoke Him in fear and aspiration. Indeed, the mercy of Allāh is near to the doers of good.

MALAY

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

وَلا تُفسِدوا فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلٰحِها

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah membaikinya,

Dan Allah berpesan supaya kita jangan buat kerosakan dalam agama setelah Allah buat bumi ini dengan elok. Iaitu telah baiki dengan tauhid. Iaitu dengan Allah hantar Rasul-rasul untuk menyampaikan kebenaran terutama sekali tentang tauhid. Jadi Allah telah jadikan bumi ini molek elok dan kalau ada perkara yang merosakkannya, Allah telah baiki.

Dan berbuat kerosakan itu maksudnya derhaka dalam hal agama. Sebagai contoh, Allah telah buat kebaikan di Mekah, ada Kaabah dan ada berkat, tapi Musyrikin Mekah telah merosakkannya. Mereka melakukan kerosakan dengan melakukan dosa-dosa maksiat terutama sekali dosa syirik.

Tapi ada juga larangan merosakkan bumi dalam bentuk fizikal. Allah sudah buat cantik-cantik bumi ini, jangan pula rosakkan dengan menjarah hasilnya untuk kepentingan sendiri tapi kemudian menjadikan ia rosak bagi orang lain. Allah sudah jadikan kita tinggal di bumi yang elok-elok sahaja. Tidaklah kita duduk semuanya di atas air, dan tidaklah kita hidup semuanya di atas bumi yang semuanya batu. Kalau semuanya air, susah kita nak bergerak; kalau semuanya batu, macam manalah kita hendak bercucuk tanam?

Tapi kita hidup di atas tanah yang boleh kita gunakan untuk bercucuk tanam, diambil untuk kita buat rumah, boleh dikorek untuk buat telaga, cukup keras untuk berjalan di atasnya. Hebat, bukan?

Dan Allah adakan angin untuk menyejukkan kita, membawa awan, membawa debunga. Dan Allah jadikan matahari untuk memberi cahaya dan sumber kehidupan untuk tanam-tanaman. Kemudian di dalam tanah ada minyak, ada besi, ada logam-logam lain yang kita boleh gunakan untuk industri kita. Allah, banyak sangatlah kalau nak disebut. Nanti bila kita lihat segala apa yang ada dalam dunia ini dan mudahnya hidup kita, ingatlah kurnia Allah ini. Bayangkan kalau duduk di Marikh macam yang Elok Musk nak pergi itu, macam mana kita nak hidup? Maka jangan pula kita rosakkan bumi yang indah ini. Jangan rosakkan apa-apa.

Tapi ada sahaja kadangkala kita buat kerosakan tapi baik sebenarnya. Jadi ia bergantunglah dengan keperluan. Contohnya di dalam Surah Kahf ada disebut Nabi Khidr menebuk sampan untuk kebaikan pemiliknya yang miskin. Juga disebut di dalam Surah Hashr arahan Rasulullah untuk membakar pohon-pohon tamar puak Yahudi. Dua contoh ini kalau nak kira adalah kerosakan, akan tetapi ia ke arah kebaikan.

Itu tentang alam luar. Alam dalaman kita pun Allah telah jadikan molek. Telah diberikan kepada kita fitrah kenal Allah dan fitrah hendak kepada Tuhan. Maka jangan kita rosakkan dengan fahaman-fahaman yang salah. Jadi apakah kerosakan yang paling utama? Itulah syirik. Kerana syirik ini adalah perkara yang amat dibenci oleh Allah sampaikan Allah takkan ampunkan sampai bila-bila (melainkan orang itu sendiri meminta ampun).

Malangnya ia juga adalah perkara yang agak halus sampaikan ramai yang tidak faham. Bayangkan ramai tidak faham di mana salahnya meminta kepada orang yang sudah mati dan juga pokok yang tidak pernah hidup. Ramai golongan agamawan yang jahil yang mengajar masyarakat meminta kepada orang yang telah mati. Ramai pula masyarakat yang jahil ikut pula fahaman sebegitu. Bila kita tegur, kita pula yang dimarahi dan dibentak dengan berbagai-bagai tuduhan. Mereka kata kita pula yang ‘gagal faham’. Mereka suruh kita ambil ubat antibodo sedangkan mereka yang bodoh!

وَادعوهُ خَوفًا وَطَمَعًا

dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan takut dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan. 

Dan Allah sambung tentang adab dalam berdoa dan berzikir kepadaNya. Kena seru Allah dalam keadaan takut dan bimbang. Takut kenapa pula? Takut kalau-kalau doa kita tidak diterima. Kerana belum tentu doa kita diterima oleh Allah kerana dosa-dosa kita.

Dan takut dengan azab Allah yang banyak disebut-sebut di dalam Al-Qur’an dan Hadis. Kita belum tentu selamat lagi.

Maka kerana itu kita kena doa dengan penuh harapan. Inilah طَمَعًا (tamak) yang baik. Apa-apa sahaja kebaikan yang Allah hendak beri, kita sangat tamak terhadapnya, hendak lagi dan lagi. Juga mengharap sangat Allah terima dan makbulkan doa kita. Kerana kalau Allah tidak makbulkan, di mana lagi kita nak mengharap? Jadi, jangan doa sambil lewa sahaja.

Dan konsep takut dan harap ini memang kena ada setiap masa dalam diri kita. Dua-dua kena ada dan sama banyak. Kerana kalau takut terlalu banyak, kita susah hendak hidup, asyik takut sahaja; dan kalau harap terlalu banyak, nanti kita ambil mudah pula dalam perbuatan seharian kita. Jadi cuma imbangkan antara keduanya. Kata ulama’, takut dan harap ini seperti dua sayap pada burung. Kalau salah satu terlebih, burung pun tidak boleh terbang. Maka kita juga perlukan dua konsep ini untuk ‘terbang’ di dunia menuju ke akhirat.

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ

Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Dari ayat ini, kita tahu yang kita hanya doa kepada Allah sahaja dan Allah beritahu yang penerimaan doa itu memang hampir, bagi hamba yang memiliki hati yang baik. Inilah antara maksud ‘muhsin’. Maknanya, kita kena doa dengan ikhlas.

Muhsin adalah orang yang melakukan ihsan. Tapi apakah ihsan itu? Ada dua bahagian:

ihsan dengan Allah

ihsan dengan makhluk

Ihsan dengan Allah itu adalah membaiki hubungan kita dengan Allah iaitu dengan menghambakan diri kita dengan sebaik-baiknya. Ini disebut di dalam ‘Hadis Jibril’ yang panjang tapi ringkasan tentang ihsan adalah:

Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau. (HR. Muslim)

Ihsan dengan makhluk itu adalah berbuat baik kepada mereka. Kerana kita bukan hendak baiki diri kita sahaja, tapi hendak kebaikan kepada selain diri kita. Dan ihsan yang paling tinggi adalah berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

Dalam berdoa hendaklah kita berharap kepada Allah seperti yang telah disebut di atas. Kerana kita bergantung kepada rahmat Allah yang amat luas. Besarnya rahmat Allah, doa dari orang berdosa pun ada yang diterima; malah, kita pun tahu doa iblis pun Allah pernah terima.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ

Berdoalah kepada Allah SWT dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan diterima (dimakbulkan). Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak akan menerima (memakbulkan) doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.” Riwayat al-Tirmizi (3479)

Cuma di hujung ayat ini Allah memberi indikasi yang doa lebih makbul jikalau orang yang berdoa itu sendiri adalah seorang yang baik (muhsin). Ini kerana dosa-dosa boleh menjadi penghalang kepada doa dimakbulkan. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan dia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.

Cuma jikalau doa kita tidak dimakbulkan lagi, janganlah putus harap. Terdapat sebuah hadith yang membicarakan berkaitan hal ini sebagaimana riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

Tidaklah seorang Muslim itu berdoa (dengan doa) yang tidak mengandungi dosa dan bukan bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT akan memakbulkannya (doa itu) dengan tiga cara; sama ada Allah SWT akan memakbulkan doanya sesegera mungkin, atau Allah SWT menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, atau Allah SWT akan menjauhkan daripadanya kejelekan.” Sahih al-Bukhari, 8/75


A’raf Ayat 57: Kenapa kita perlu berdoa dan berharap kepada Allah sahaja? Kerana Dialah yang mengurus alam ini. Rahmat semua dariNya maka kita hendaklah meminta kepada yang memberi rahmat.

وَهُوَ الَّذي يُرسِلُ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا أَقَلَّت سَحابًا ثِقالًا سُقنٰهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَنزَلنا بِهِ الماءَ فَأَخرَجنا بِهِ مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ ۚ كَذٰلِكَ نُخرِجُ المَوتىٰ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who sends the winds as good tidings before His mercy [i.e., rainfall] until, when they have carried heavy rainclouds, We drive them to a dead land and We send down rain therein and bring forth thereby [some] of all the fruits. Thus will We bring forth the dead; perhaps you may be reminded.

MALAY

Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).

وَهُوَ الَّذي يُرسِلُ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ

Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya

Bagaimana kita tahu kedatangan rahmat Allah itu? Apabila kita boleh rasa kehadiran angin yang akan membawakan hujan. Apabila angin datang, kita dapat tahu yang di depannya ada rahmat dalam bentuk hujan. Contohnya kalau keadaan sudah lama kemarau dan tiba-tiba ada angin yang kuat, maka manusia sudah gembira kerana telah ada tanda yang hujan akan turun tidak lama lagi.

Pemberitahuan tentang kedatangan hujan ini juga adalah rahmat dari Allah. Kerana manusia suka kalau dapat maklumat awal. Kalau mereka tahu hujan hendak turun, mereka boleh buat persiapan. Ini untuk bersedia dengan besen nak tadah air kah, atau untuk angkat kain di jemuran kah, atau lain-lain lagi.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah الرِّيٰحَ iaitu jamak bagi رِيحٍ. Yang menarik di dalam Al-Qur’an adalah jikalau penyebutan angin itu menggunakan sighah jamak, ia membawa maksud nikmat tapi jikalau di dalam bentuk mufrad, ia adalah azab. Lihat beza penggunaannya di dalam Ali Imran:117

مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ

Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;

Jadi jikalau Allah hantar banyak angin, itu tandanya Allah beri banyak rahmat kepada makhluk. Hanya satu sahaja angin yang buruk yang membawa azab.

حَتّىٰ إِذا أَقَلَّت سَحابًا ثِقالًا سُقنٰهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ

hingga apabila angin itu membawa awan berat, Kami halakan ia ke negeri yang mati 

Allah menceritakan proses bagaimana air disampaikan ke tanah yang gersang (tanah yang mati). Awan yang telah mengandungi air itu sebenarnya berat. Tapi angin boleh membawanya bergerak ke arah yang Allah kehendaki macam angin itu ringan sahaja, macam tidak ada apa-apa.

Ini juga hebat. Allah tidak susahkan manusia untuk angkat air untuk mengairi tanaman di mana-mana. Kalau kita yang kena angkut air itu pun susah juga. Allah uruskan air yang banyak itu dinaikkan dari kolam contohnya dan air itu dibawa ke tempat yang diperlukan. Dan dengan air itu nanti diturunkan dari langit (dari atas) ia akan senang itu disebarkan ke tempat yang memerlukan. Begitulah hebatnya Allah memberikan nikmat kepada hambaNya.

Allah juga yang pilih di mana air hujan itu akan diturunkan. Dalam ayat ini disebut tanah yang mati. Iaitu jenis tanah yang sudah lama tidak dapat air dan tumbuhan tidak dapat tumbuh lagi di situ. Maka tanah jenis inilah yang paling memerlukan air hujan dan Allah tanah yang sebegitu.

Semua ini ditentukan oleh Allah. Kajian meteorologi untuk untuk menentukan tempat-tempat yang akan dikenakan dengan hujan dan berapa banyak hujan. Akan tetapi kajian ini tidaklah sentiasa tepat. Ada sahaja salahnya. Ini kerana kuasa untuk menentukan tempat turunnya hujan itu adalah dalam tangan Allah semata.

فَأَنزَلنا بِهِ الماءَ

lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu,

Apabila telah sampai ke tempat yang Allah telah tetapkan akan diberikan hujan, air hujan yang ada dalam awan itu akan diturunkan. Lihatlah dalam ayat ini, Allah kata Dia yang turunkan hujan itu, walaupun dari segi sains, awan yang bawa air itu. Tapi Allah nak beritahu, bahawa Dia lah yang menentukan segalanya. Kita boleh belajar sains dan tahu proses itu, tapi hakikatnya, Allah yang turunkan hujan itu. Semuanya tidak akan terjadi kalau tidak ada qadr dari Allah.

فَأَخرَجنا بِهِ مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ

kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan.

Kemudian, dengan air itu ditumbuhkanNya berbagai jenis tanaman dan buah-buahan. Air itu satu jenis sahaja, tapi darinya boleh mengeluarkan berbagai jenis tanaman. Semua ini adalah dari rahmat Allah.

Allah menceritakan nikmat yang diberikan kepada kita sebagai makhlukNya. Allah berikan air hujan dan dengan air hujan itu menumbuhkan berbagai jenis tanaman. Semua manusia mengambil manfaat dari rahmat Allah ini akan tetapi yang merenung dan menghargai nikmat Allah ini hanyalah orang yang mempunyai akal.

كَذٰلِكَ نُخرِجُ المَوتىٰ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ

Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat

Lihat begitulah mudahnya Allah hidupkan tanah yang tandus dan mati. Dan begitu jugalah cara Allah akan hidupkan orang yang mati. Allah berikan perumpamaan bagaimana Dia menghidupkan tanah yang mati/gersang sampai jadi segar semula tanah itu dengan tanam-tanaman.

Dan manusia nanti akan tumbuh semula dari tulang sulbi (tulang ekor) masing-masing. Begitulah mudahnya tanah gersang dihidupkan dengan air sahaja, dan begitulah nanti Allah mudahnya Allah hidupkan semula makhluk yang telah mati untuk menerima pengadilan di Hari Akhirat kelak. Ini disebut di dalam beberapa hadis:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَيْءٌ إِلَّا يَبْلَى، إِلَّا عَظْمًا وَاحِدًا وَهُوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الخَلْقُ يَوْمَ القِيَامَةِ

“Tidak ada pada manusia itu melainkan kesemuanya akan hancur melainkan satu tulang yang dinamakan ‘Ajb al-Zanab dan daripadanya itu akan dibangkitkan manusia pada hari Kiamat”. [Riwayat al-Bukhari (4935)]

Seperti yang kita tahu, ada sekurang-kurangnya dua tiupan Sangkakala. Tiupan pertama akan mematikan seluruh yang hidup di alam ini dan tiupan kedua akan menghidupkannya. Cuma mungkin kita tidak tahu ada sengkang masa 40 tahun di antara dua tiupan itu.

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu mengatakan, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُوْنَ

“Jarak antara dua tiupan Sangsakala itu empat puluh.” Lalu para sahabat bertanya, “Wahai Abu Hurairah, apakah 40 hari?” Abu Hurairah menjawab, “Aku tidak tahu.” Mereka bertanya lagi, “Apakah 40 bulan?” Abu Hurairah menjawab, “Aku tidak tahu.” Mereka bertanya lagi, “Apakah 40 tahun?” Abu Hurairah menjawab, “Aku tidak tahu.” Kemudian turunlah hujan dari langit, lalu mereka tumbuh seperti tumbuhnya sayuran. Semua bahagian manusia akan hancur kecuali satu tulang, iaitu tulang ekor. Dari tulang ekor itulah manusia diciptakan pada hari Kiamat.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 4554 dan Muslim, no. 5253).

Walaupun tidak pasti berapa lama, tapi ada pendapat yang mengatakan 40 tahun. Dan ada pendapat yang mengatakan selama 40 tahun ini, hujan akan turun yang akan menumbuhkan semula tulang temulang manusia sehingga lengkap. Sama seperti Allah menurunkan hujan untuk menghidupkan tanah yang telah mati. Begitulah Allah buat perumpamaan tentang kehidupan semula. Kemudian apabila tulang itu telah lengkap, waktu itulah tiupan kedua Sangkakala akan ditiup dan roh manusia akan dimasukkan ke dalam tubuh itu semula.

Allah menyebut banyak kali tentang perkara ini kerana hendak mengajar Musyrikin Mekah tentang kebangkitan semula. Mereka ada masalah untuk menerima kenyataan ini. Pada mereka, apabila mereka mati, mereka tidak akan dihidupkan kembali. Dengan itu, senanglah mereka hendak buat apa sahaja yang mereka suka kerana mereka tidak mahu dipertanggungjawabkan dengan kezaliman yang mereka lakukan.

Dan kita yang percaya kepada hari akhirat sekarang diingatkan yang kita akan dibangkitkan semula nanti selepas kita mati. Perjalanan hidup kita masih panjang lagi. Kematian bukanlah penutup kisah kita tapi kita akan menghadapi penghidupan yang lebih lama lagi. Ini kita terima secara umum, tapi benarkah kita yakin dengannya?

Kalau yakin kenapa ramai yang hidup seolah-olah tidak percaya dengan akhirat? Kenapa ramai yang tidak menghiraukan amalan mereka sama ada baik atau tidak, seolah-olah mereka tidak akan dihidupkan dan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan kita? Kalau kita benar-benar percaya dengan kebangkitan semula dan hari akhirat, tentu kita tidak berani hendak melakukan dosa.


A’raf Ayat 58: Selepas Allah cerita tentang air yang menghidupkan tanaman, sekarang Allah cerita tentang bumi pula. Ada kaitan di antara keduanya.

وَالبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخرُجُ نَباتُهُ بِإِذنِ رَبِّهِ ۖ وَالَّذي خَبُثَ لا يَخرُجُ إِلّا نَكِدًا ۚ كَذٰلِكَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the good land – its vegetation emerges by permission of its Lord; but that which is bad – nothing emerges except sparsely, with difficulty. Thus do We diversify the signs for a people who are grateful.

MALAY

Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.

وَالبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخرُجُ نَباتُهُ بِإِذنِ رَبِّهِ

Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; 

Maklumat tentang kebenaran agama dan dalil telah diberikan kepada semua manusia. Tetapi ada manusia yang terima dan ada yang tidak. Sekarang Allah bandingkan perbezaan manusia itu dalam ayat ini dengan tanah. Kita pun tahu, ada tanah gersang yang tanaman susah untuk tumbuh di atasnya. Dan ada tanah yang subur yang senang tumbuh tanaman padanya. Dan manusia pun macam itu juga.

Ini adalah ayat perumpamaan. Allah bandingkan bumi yang subur seperti hati manusia yang subur dan baik. Dan air hujan di dalam ayat sebelumnya merujuk kepada wahyu Al-Qur’an. Manusia yang subur hatinya akan ada ketaatan kepada Allah. Senang wahyu untuk masuk ke dalam hatinya dan dia senang faham ajaran agama. Dan apabila dia faham, dia senang pula untuk mengamalkannya. Sebagaimana air hujan mudah masuk ke dalam tanah itu untuk menyuburkan tanah itu.

Tapi Allah ingatkan sekali lagi, semua itu dengan izin Allah juga. Maka kita kena berharap kepada Allah untuk beri kefahaman Al-Qur’an dan taufik untuk mengamalkan segala ajaran di dalamnya.

وَالَّذي خَبُثَ لا يَخرُجُ إِلّا نَكِدًا

dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut.

Dan kalau bumi yang gersang, tidak tumbuh tanaman di atasnya, kecuali tumbuhan yang tidak baik. Tidak kisah kalau air hujan banyak turun padanya pun. Begitu juga kalau tanah itu tidak digembur lagi, maka ia masih keras, tidak sesuai untuk tanaman lagi. Tanaman tidak menjadi walaupun sudah dilakukan banyak usaha untuk menyuburkannya.

Segala usaha itu sia-sia sahaja dan buang tenaga dan masa. Kalau ada tanaman pun, ada sikit sahaja dan tidak bagus sangat. Begitulah kalau kita lihat orang kafir, mereka bukan tidak ada kebaikan langsung pada mereka, bukannya mereka tidak ada jasa kepada orang lain dan bumi ini, tapi tidak banyak.

Begitu juga dengan orang yang hatinya buruk, tidak bersih. Mereka tidak dapat mengambil manfaat dari ayat-ayat Al-Qur’an yang dibacakan kepada mereka. Mereka dengar, tapi mereka tidak dapat mengambil manfaat darinya. Sedih kita apabila kita bacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada kawan dan keluarga kita, tapi mereka tidak ambil endah.

كَذٰلِكَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَشكُرونَ

Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.

Beginilah cara Allah menjelaskan kebenaran dengan menceritakan perbandingan antara orang yang mahu terima kebenaran dan orang yang tidak mahu. Air hujan itu perumpamaan bagi Al-Qur’an dan tanah itu adalah perumpamaan bagi hati. Semua penjelasan ini boleh didapati bagi semua orang, tapi yang mahu menerimanya hanyalah kaum yang ingin bersyukur. Ini adalah kerana orang yang bersyukur itu adalah orang yang taat dengan perintah Allah.

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ أُسَامَةَ عَنْ بُرَيد بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِي بُرْدَةَ، عَنْ أَبِي مُوسَى، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ، كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَتْ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ. وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبَ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا. وَأَصَابَ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تَنْبُتُ فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُه فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ، فَعَلم وَعَلَّم، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا. وَلَمْ يَقْبَل هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ”.

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnul Ala, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Usamah, dari Yazid ibnu Abdullah, dari Abu Burdah, dari Abu Musa yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Perumpamaan ilmu dan petunjuk yang diutuskan oleh Allah kepadaku (untuk menyampaikannya) adalah seperti hujan deras yang menyirami bumi. Sebahagian dari bumi ada yang subur dan menerima air, maka ia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rerumputan yang banyak. Dan sebahagian dari yang lain ada yang tandus, tetapi dapat menampung air, maka Allah memberikan manfaat kepada manusia melaluinya sehingga mereka dapat minum, dapat pengairan dan bercucuk tanam. Dan hujan itu menimpa sebahagian yang lain yang hanya merupakan rawa-rawa, tidak dapat menahan air dan tidak (pula) menumbuhkan rerumputan. Maka demikianlah perumpamaan orang yang mengerti tentang agama Allah dan beroleh manfaat dari apa yang diutuskan oleh Allah kepadaku untuk menyampaikannya, sehingga dia berilmu dan mengamalkannya. Juga sebagai perumpamaan buat orang yang tidak mahu memperhatikannya serta tidak mahu menerima petunjuk Allah yang disampaikan olehku.

Kalau air hujan itu diibaratkan sebagai Al-Qur’an, kadangkala hujan ini memberi manfaat tapi kadangkala ia memberi mudharat, bukan? Seperti banjir dan sebagainya kalau terlalu banyak. Tapi bagaimana pula Al-Qur’an memberi mudharat pula?

Ia menjadi mudharat apabila ia disalahkan. Ada yang tidak menjadikan Al-Qur’an sebagai panduan kehidupan tapi ia disalahgunakan. Ada yang menggunakannya sebagai azimat, ada yang menggunakan ia sebagai sihir.

Ayat Al-Qur’an sebagai sihir?! Bagaimana pula? Iaitu apabila ia dibaca dengan tujuan yang tidak patut. Tidak kena mengena dengan tujuan Al-Qur’an diturunkan. Contohnya ada yang menggunakannya sebagai ayat pengasih, kononnya untuk menutup mata polis trafik dan lain-lain lagi.

Ayat-ayat Al-Qur’an juga disalahgunakan oleh orang jahat untuk menghalalkan niat jahat mereka. Mereka menggunakan ayat Al-Qur’an sebagai dalil untuk berlaku zalim. Contohnya ada yang mengatakan isteri kena taat kepada suami tanpa soal dan mereka membacakan ayat-ayat tertentu yang ditafsir dengan cara salah; ada ahli politik yang menggunakannya untuk meraih undi dan mengkafirkan golongan musuh politik mereka. Ini semua adalah penyalahgunaan Al-Qur’an dan ia tidak patut dilakukan.

Habis Ruku’ 7 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 September 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s