A’raf Ayat 56:
وَلا تُفسِدوا فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلٰحِها وَادعوهُ خَوفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And cause not corruption upon the earth after its reformation. And invoke Him in fear and aspiration. Indeed, the mercy of Allāh is near to the doers of good.
MALAY
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
وَلا تُفسِدوا فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلٰحِها
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah membaikinya,
Allah ﷻ berpesan supaya kita jangan membuat kerosakan dalam agama setelah Allah ﷻ menjadikan bumi ini dengan elok sekali. Bumi telah dibaiki dengan tauhid di mana Allah ﷻ telah menghantar Rasul-rasul untuk menyampaikan kebenaran tentang tauhid.
Berbuat kerosakan itu maksudnya derhaka dalam hal agama. Sebagai contoh, Allah ﷻ telah membuat kebaikan di Mekah, ada Kaabah dan ada berkat, tetapi Musyrikin Mekah telah merosakkannya. Mereka melakukan kerosakan dengan melakukan dosa-dosa maksiat terutama sekali dosa syirik.
Ada juga larangan merosakkan bumi dalam bentuk fizikal. Allah ﷻ sudah menjadikan bumi ini cantik sekali, janganlah pula dirosakkan dengan menjarah hasilnya untuk kepentingan sendiri. Allah ﷻ sudah menjadikan kita tinggal di bumi yang elok-elok sahaja. Tidaklah kita duduk semuanya di atas air, dan tidaklah kita hidup semuanya di atas bumi yang semuanya batu. Kalau semuanya air, susah kita hendak bergerak; kalau semuanya batu, bagaimanalah kita hendak bercucuk tanam?
Kita hidup di atas tanah yang boleh kita gunakan untuk bercucuk tanam, diambil untuk kita buat rumah, boleh dikorek untuk dibuat telaga, cukup keras untuk berjalan di atasnya. Hebat, bukan?
Allah ﷻ mengadakan angin untuk menyejukkan kita, membawa awan, membawa debunga. Allah ﷻ menjadikan matahari untuk memberikan cahaya dan sumber kehidupan untuk tanam-tanaman. Kemudian di dalam tanah ada minyak, ada besi, ada logam-logam lain yang kita boleh gunakan untuk industri kita. Allahuakbar, banyak sangatlah kalau mahu disebut di sini. Nanti bila kita lihat segala apa yang ada dalam dunia ini dan mudahnya hidup kita, maka ingatlah kurniaan Allah ﷻ ini. Bayangkan kalau duduk di Marikh sebagaimana yang Elok Musk teringin hendak pergi itu, bagaimanakah cara kita hendak menjalankan kehidupan kita? Oleh itu, janganlah kita rosakkan bumi yang indah ini.
Walau bagaimanapun ada sahaja kadangkala kita terpaksa membuat kerosakan yang mempunyai kebaikan di sebaliknya kerana ia bergantung pula dengan keperluan. Contohnya di dalam Surah Kahf ada disebut Nabi Khidr عليه السلام menebuk sampan untuk kebaikan pemiliknya yang miskin. Juga disebut di dalam Surah Hashr arahan Rasulullah ﷺ untuk membakar pohon-pohon tamar puak Yahudi. Dua contoh ini kalau dilihat secara literal ia merupakan kerosakan, akan tetapi ia adalah untuk kebaikan.
Ia juga merujuk tentang alam luar. Alam dalaman kita pun Allah ﷻ telah jadikan molek sekali. Telah diberikan kepada kita fitrah untuk mengenali Allah ﷻ dan fitrah berkehendak kepada Tuhan. Maka jangan kita rosakkan dengan fahaman-fahaman yang salah. Apakah kerosakan yang paling utama? Itulah syirik kerana syirik ini adalah perkara yang amat dibenci oleh Allah ﷻ sehingga Allah ﷻ tidak akan ampuni sampai bila-bila (melainkan orang itu sendiri meminta ampun).
Malangnya ia juga adalah perkara yang agak halus sehinggakan ramai yang sukar untuk faham. Bayangkan ramai tidak faham di mana salahnya meminta kepada orang yang sudah mati dan juga pokok yang tidak pernah hidup. Ramai golongan agamawan yang jahil yang mengajar masyarakat meminta kepada orang yang telah mati. Ramai pula masyarakat yang jahil ikut pula fahaman sebegitu. Apabila ditegur, kita pula yang dimarahi dan dibentak dengan berbagai-bagai tuduhan. Mereka kata kita pula yang ‘gagal faham’. Mereka suruh kita ambil ubat antibodoh sedangkan mereka yang bodoh!
وَادعوهُ خَوفًا وَطَمَعًا
dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan takut dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan.
Allah ﷻ sambung tentang adab dalam berdoa dan berzikir kepada-Nya. Hendaklah menyeru Allah ﷻ dalam keadaan takut dan bimbang. Takut kenapa pula? Takut kalau-kalau doa kita tidak diterima kerana belum tentu doa kita diterima oleh Allah ﷻ kerana dosa-dosa kita.
Juga takut dengan azab Allah ﷻ yang banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan Hadith. Kita belum tentu selamat lagi.
Maka kerana itulah kita hendaklah berdoa dengan penuh harapan. Inilah طَمَعًا (tamak) yang baik. Apa-apa sahaja kebaikan yang Allah ﷻ hendak beri, kita sangat tamak terhadapnya, hendak lagi dan lagi. Juga mengharap sangat Allah ﷻ terima dan makbulkan doa kita kerana sekiranya Allah ﷻ tidak makbulkan, kepada siapa lagi kita hendak mengharap? Oleh hal yang demikian, janganlah berdoa sambil lewa sahaja.
Konsep takut dan harap ini memang hendaklah sentiasa ada setiap masa dalam diri kita. Kedua-duanya kenalah ada dan sama banyak kerana kalau takut terlalu banyak, kita susah hendak hidup, asyik takut sahaja; dan kalau harap terlalu banyak, nanti kita ambil mudah pula dalam perbuatan seharian kita. Oleh sebab itu hendaklah diseimbangkan di antara keduanya. Kata ulama’, takut dan harap ini seperti dua sayap pada burung. Kalau salah satu terlebih, burung pun tidak boleh terbang. Maka kita juga perlukan dua konsep ini untuk ‘terbang’ di dunia menuju ke akhirat.
إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
Daripada ayat ini, kita tahu yang kita hanya berdoa kepada Allah ﷻ sahaja dan Allah ﷻ beritahu yang penerimaan doa itu memang hampir, bagi hamba yang memiliki hati yang baik. Inilah antara maksud ‘muhsin’. Maknanya, kita kena berdoa dengan ikhlas.
Muhsin adalah orang yang melakukan ihsan. Apakah maksud ihsan itu? Ada dua bahagian:
ihsan dengan Allah ﷻ
ihsan dengan makhluk
Ihsan dengan Allah ﷻ itu adalah membaiki hubungan kita dengan Allah ﷻ iaitu dengan menghambakan diri kita dengan sebaik-baiknya. Ini disebut di dalam ‘Hadith Jibril’ yang panjang tetapi ringkasan tentang ihsan adalah:
Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah ﷺ menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.
(Hadith Riwayat Muslim)
Ihsan dengan makhluk itu adalah berbuat baik kepada mereka kerana kita bukan hendak baiki diri kita sahaja, tetapi inginkan kebaikan kepada selain diri kita. Ihsan yang paling tinggi adalah berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.
Dalam berdoa hendaklah kita berharap kepada Allah ﷻ seperti yang telah disebut di atas kerana kita bergantung kepada rahmat Allah ﷻ yang amat luas. Besarnya rahmat Allah ﷻ, doa daripada orang berdosa pun ada yang diterima; malah, kita pun tahu doa iblis pun Allah ﷻ pernah terima.
Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ
“Berdoalah kepada Allah ﷻ dalam keadaan kamu yakin bahawa ia akan diterima (dimakbulkan). Ketahuilah bahawa Allah ﷻ tidak akan menerima (memakbulkan) doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.”
(Riwayat AT-Tirmidzi (3479))
Cuma di hujung ayat ini Allah ﷻ memberi indikasi yang doa lebih makbul jikalau orang yang berdoa itu sendiri adalah seorang yang baik (muhsin). Ini kerana dosa-dosa boleh menjadi penghalang kepada doa dimakbulkan. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad ﷺ:
الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
“Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan dia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”
Cuma jikalau doa kita tidak dimakbulkan lagi, janganlah putus harap. Terdapat sebuah hadith yang membicarakan berkaitan hal ini sebagaimana riwayat Abu Sa‘id al-Khudri رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا
“Tidaklah seorang Muslim itu berdoa (dengan doa) yang tidak mengandungi dosa dan bukan bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah ﷻ akan memakbulkannya (doa itu) dengan tiga cara; sama ada Allah ﷻ akan memakbulkan doanya sesegera mungkin, atau Allah ﷻ menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, atau Allah ﷻ akan menjauhkan daripadanya kejelekan.”
(Sahih al-Bukhari (8/75))
A’raf Ayat 57: Kenapakah kita perlu berdoa dan berharap kepada Allah ﷻ sahaja? Kerana Dialah yang mengurus alam ini. Rahmat semua daripada-Nya maka kita hendaklah meminta kepada yang memberi rahmat.
وَهُوَ الَّذي يُرسِلُ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا أَقَلَّت سَحابًا ثِقالًا سُقنٰهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَنزَلنا بِهِ الماءَ فَأَخرَجنا بِهِ مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ ۚ كَذٰلِكَ نُخرِجُ المَوتىٰ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And it is He who sends the winds as good tidings before His mercy [i.e., rainfall] until, when they have carried heavy rainclouds, We drive them to a dead land and We send down rain therein and bring forth thereby [some] of all the fruits. Thus will We bring forth the dead; perhaps you may be reminded.
MALAY
Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).
وَهُوَ الَّذي يُرسِلُ الرِّيٰحَ بُشرًا بَينَ يَدَي رَحمَتِهِ
Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya
Bagaimana kita tahu kedatangan rahmat Allah ﷻ itu? Apabila kita boleh rasa kehadiran angin yang akan membawakan hujan. Apabila angin datang, kita dapat tahu yang di depannya ada rahmat dalam bentuk hujan. Contohnya kalau keadaan sudah lama kemarau dan tiba-tiba ada angin yang kuat, maka manusia sudah gembira kerana telah ada tanda yang hujan akan turun tidak lama lagi.
Pemberitahuan tentang kedatangan hujan ini juga adalah rahmat daripada Allah ﷻ kerana manusia suka kalau dapat maklumat awal. Kalau mereka tahu hujan hendak turun, mereka boleh membuat persiapan. Ini untuk mungkin bersedia dengan besen untuk menadah air, atau untuk mengangkat kain di jemuran, atau sediakan payung jika mahu keluar atau lain-lain perancangan lagi.
Di dalam ayat ini digunakan kalimah الرِّيٰحَ iaitu jamak bagi رِيحٍ. Yang menarik di dalam Al-Qur’an adalah jikalau penyebutan angin itu menggunakan sighah jamak, ia membawa maksud nikmat manakala jikalau ia di dalam bentuk mufrad, ia bermaksud azab. Lihat beza penggunaannya di dalam [ Ali Imran: 117 ]
مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ
Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;
Oleh sebab itu, sekiranya Allah ﷻ menghantar banyak angin, itu tandanya Allah ﷻ memberi banyak rahmat kepada makhluk. Hanya satu sahaja angin yang buruk yang membawa azab.
حَتّىٰ إِذا أَقَلَّت سَحابًا ثِقالًا سُقنٰهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ
hingga apabila angin itu membawa awan berat, Kami halakan ia ke negeri yang mati
Allah ﷻ menceritakan proses bagaimana air disampaikan ke tanah yang gersang (tanah yang mati). Awan yang telah mengandungi air itu sebenarnya berat. Namun begitu, angin boleh membawanya bergerak ke arah yang Allah ﷻ kehendaki bagaikan angin itu ringan sahaja, seolah-olah tiada apa-apa.
Proses kejadian ini sangat hebat. Allah ﷻ tidak susahkan manusia untuk mengangkat air untuk mengairi tanaman di mana-mana. Allah ﷻ menguruskan air yang banyak itu dinaikkan dari kolam contohnya dan air itu dibawa ke tempat yang diperlukan. Dengan air itu nanti diturunkan dari langit (dari atas) dan senang pula untuk disebarkan ke tempat yang memerlukan. Begitulah hebatnya kuasa Allah ﷻ memberikan nikmat kepada hamba-Nya.
Allah ﷻ juga yang memilih di mana air hujan itu akan diturunkan. Dalam ayat ini disebut tanah yang mati iaitu jenis tanah yang sudah lama tidak mendapat air dan tumbuhan tidak dapat tumbuh lagi di situ. Maka tanah jenis inilah yang paling memerlukan air hujan dan Allah ﷻ memlih tanah yang sebegitu.
Semua ini ditentukan oleh Allah ﷻ. Kajian meteorologi untuk menentukan tempat-tempat yang akan dikenakan dengan hujan dan berapa banyak hujan. Akan tetapi kajian ini tidaklah sentiasa tepat. Ada sahaja salahnya. Ini kerana kuasa untuk menentukan tempat turunnya hujan itu adalah dalam tangan Allah ﷻ semata.
فَأَنزَلنا بِهِ الماءَ
lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu,
Apabila telah sampai ke tempat yang Allah ﷻ telah tetapkan akan diberikan hujan, air hujan yang ada dalam awan itu akan diturunkan. Lihatlah dalam ayat ini, Allah ﷻ kata Dia yang turunkan hujan itu, walaupun dari segi sains, awan yang bawa air itu. Namun begitu Allah ﷻ hendak beritahu, bahawa Dia lah yang menentukan segalanya. Kita boleh belajar sains dan tahu proses itu, tetapi hakikatnya, Allah ﷻ yang menurunkan hujan itu. Semuanya tidak akan terjadi kalau tidak ada qadr daripada Allah ﷻ.
فَأَخرَجنا بِهِ مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ
kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan.
Kemudian, dengan air itu ditumbuhkan-Nya berbagai-bagai jenis tanaman dan buah-buahan. Air itu satu jenis sahaja, tetapi daripadanya boleh mengeluarkan pelbagai jenis tanaman. Semua ini adalah daripada rahmat Allah ﷻ.
Allah ﷻ menceritakan nikmat yang diberikan kepada kita sebagai makhluk-Nya. Semua manusia mengambil manfaat daripada rahmat Allah ﷻ ini akan tetapi yang merenung dan menghargai nikmat Allah ﷻ ini hanyalah orang yang mempunyai akal.
كَذٰلِكَ نُخرِجُ المَوتىٰ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ
Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat
Lihat begitulah mudahnya Allah ﷻ menghidupkan tanah yang tandus dan mati. Begitu jugalah cara Allah ﷻ akan menghidupkan orang yang mati. Allah ﷻ memberikan perumpamaan bagaimana Dia menghidupkan tanah yang mati/gersang sehingga menjadi segar semula tanah itu dengan tanam-tanaman.
Kelak nanti manusia akan tumbuh semula daripada tulang sulbi (tulang ekor) masing-masing. Begitulah mudahnya tanah gersang dihidupkan dengan air sahaja, dan begitulah nanti dengan mudahnya Allah ﷻ menghidupkan semula makhluk yang telah mati untuk menerima pengadilan di Hari Akhirat kelak. Ini disebut di dalam beberapa hadith:
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَيْءٌ إِلَّا يَبْلَى، إِلَّا عَظْمًا وَاحِدًا وَهُوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الخَلْقُ يَوْمَ القِيَامَةِ
“Tidak ada pada manusia itu melainkan kesemuanya akan hancur melainkan satu tulang yang dinamakan ‘Ajb al-Zanab dan daripadanya itu akan dibangkitkan manusia pada hari Kiamat”.
(Riwayat Bukhari (4935))
Seperti yang kita tahu, ada sekurang-kurangnya dua tiupan Sangkakala. Tiupan pertama akan mematikan seluruh yang hidup di alam ini dan tiupan kedua akan menghidupkannya. Cuma mungkin kita tidak tahu ada sengkang masa 40 tahun di antara dua tiupan itu.
Abu Hurairah رضي الله عنه mengatakan, Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُوْنَ
“Jarak antara dua tiupan Sangsakala itu empat puluh.” Lalu para sahabat bertanya, “Wahai Abu Hurairah, apakah 40 hari?” Abu Hurairah رضي الله عنه menjawab, “Aku tidak tahu.” Mereka bertanya lagi, “Apakah 40 bulan?” Abu Hurairah رضي الله عنه menjawab, “Aku tidak tahu.” Mereka bertanya lagi, “Apakah 40 tahun?” Abu Hurairah رضي الله عنه menjawab, “Aku tidak tahu.” Kemudian turunlah hujan dari langit, lalu mereka tumbuh seperti tumbuhnya sayuran. Semua bahagian manusia akan hancur kecuali satu tulang, iaitu tulang ekor. Daripada tulang ekor itulah manusia diciptakan pada hari Kiamat.”
(Hadith Riwayat Bukhari (4554) dan Muslim (5253)).
Walaupun tidak pasti berapa lama, namun ada pendapat yang mengatakan 40 tahun. Ada pula pendapat yang mengatakan selama 40 tahun ini, hujan akan turun yang akan menumbuhkan semula tulang temulang manusia sehingga lengkap. Sama seperti Allah ﷻ menurunkan hujan untuk menghidupkan tanah yang telah mati. Begitulah Allah ﷻ membuat perumpamaan tentang kehidupan semula. Kemudian apabila tulang itu telah lengkap, waktu itulah tiupan kedua Sangkakala akan ditiup dan roh manusia akan dimasukkan ke dalam tubuh itu semula.
Allah ﷻ menyebut banyak kali tentang perkara ini kerana hendak mengajar Musyrikin Mekah tentang kebangkitan semula. Mereka ada masalah untuk menerima kenyataan ini. Pada mereka, apabila mereka mati, mereka tidak akan dihidupkan kembali. Dengan itu, senanglah mereka hendak buat apa sahaja yang mereka suka kerana mereka tidak mahu dipertanggungjawabkan dengan kezaliman yang mereka lakukan.
Kita yang mempercayai tentang hari akhirat sekarang diingatkan yang kita akan dibangkitkan semula nanti selepas kita mati. Perjalanan hidup kita masih panjang lagi. Kematian bukanlah penutup kisah kita tetapi kita akan menghadapi penghidupan yang lebih lama lagi. Ini kita terima secara umum, tetapi benarkah kita yakin dengannya?
Kalau yakin kenapa ramai yang hidup seolah-olah tidak percaya dengan akhirat? Kenapakah ramai yang tidak menghiraukan amalan mereka sama ada baik atau tidak, seolah-olah mereka tidak akan dihidupkan dan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan kita? Sekiranya kita benar-benar percaya dengan kebangkitan semula dan hari akhirat, tentu kita tidak berani untuk melakukan dosa.
A’raf Ayat 58: Selepas Allah ﷻ mencerita tentang air yang menghidupkan tanaman, sekarang Allah ﷻ ceritakan tentang bumi pula. Ada kaitan di antara keduanya.
وَالبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخرُجُ نَباتُهُ بِإِذنِ رَبِّهِ ۖ وَالَّذي خَبُثَ لا يَخرُجُ إِلّا نَكِدًا ۚ كَذٰلِكَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَشكُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the good land – its vegetation emerges by permission of its Lord; but that which is bad – nothing emerges except sparsely, with difficulty. Thus do We diversify the signs for a people who are grateful.
MALAY
Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.
وَالبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخرُجُ نَباتُهُ بِإِذنِ رَبِّهِ
Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah;
Maklumat tentang kebenaran agama dan dalil telah diberikan kepada semua manusia. Namun begitu ada manusia yang terima dan ada yang tidak. Sekarang Allah ﷻ membandingkan perbezaan manusia itu dalam ayat ini dengan tanah. Kita pun tahu, ada tanah gersang yang tanaman susah untuk tumbuh di atasnya. Manakala ada tanah yang subur yang senang tumbuh tanaman padanya. Begitu juga dengan manusia.
Ini adalah ayat perumpamaan. Allah ﷻ membandingkan bumi yang subur seperti hati manusia yang subur dan baik. Air hujan di dalam ayat sebelumnya merujuk kepada wahyu Al-Qur’an. Manusia yang subur hatinya akan ada ketaatan kepada Allah ﷻ. Senang wahyu untuk masuk ke dalam hatinya dan dia senang faham ajaran agama. Apabila dia faham, dia senang pula untuk mengamalkannya. Sebagaimana air hujan mudah masuk ke dalam tanah itu untuk menyuburkan tanah itu.
Namun begitu, Allah ﷻ mengingatkan sekali lagi, semua itu dengan izin Allah ﷻ juga. Maka kita kena berharap kepada Allah ﷻ untuk beri kefahaman Al-Qur’an dan taufik untuk mengamalkan segala ajaran di dalamnya.
وَالَّذي خَبُثَ لا يَخرُجُ إِلّا نَكِدًا
dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut.
Bumi yang gersang pula tidak tumbuh tanaman di atasnya, kecuali tumbuhan yang tidak baik walaupun air hujan banyak turun padanya. Begitu juga kalau tanah itu tidak digembur lagi, maka ia masih keras, tidak sesuai untuk tanaman lagi. Tanaman tidak menjadi walaupun sudah dilakukan banyak usaha untuk menyuburkannya.
Segala usaha itu sia-sia sahaja dan buang tenaga dan masa. Kalau ada tanaman pun, ada sedikit sahaja dan tidak bagus sangat. Begitulah kalau kita lihat orang kafir, mereka bukan tidak ada kebaikan langsung pada mereka, bukannya mereka tidak ada jasa kepada orang lain dan bumi ini, namun tidak banyak.
Begitu juga dengan orang yang hatinya buruk, tidak bersih. Mereka tidak dapat mengambil manfaat daripada ayat-ayat Al-Qur’an yang dibacakan kepada mereka. Mereka dengar, tetapi mereka tidak dapat mengambil manfaat daripadanya. Sedih kita apabila kita bacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada kawan dan keluarga kita, tetapi mereka tidak ambil endah.
كَذٰلِكَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَشكُرونَ
Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.
Beginilah cara Allah ﷻ menjelaskan kebenaran dengan menceritakan perbandingan antara orang yang mahu menerima kebenaran dan orang yang tidak mahu. Air hujan itu perumpamaan bagi Al-Qur’an dan tanah itu adalah perumpamaan bagi hati. Semua penjelasan ini boleh didapati bagi semua orang, tetapi yang mahu menerimanya hanyalah kaum yang ingin bersyukur. Ini adalah kerana orang yang bersyukur itu adalah orang yang taat dengan perintah Allah ﷻ.
قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ أُسَامَةَ عَنْ بُرَيد بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِي بُرْدَةَ، عَنْ أَبِي مُوسَى، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ، كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَتْ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ. وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبَ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا. وَأَصَابَ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تَنْبُتُ فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُه فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ، فَعَلم وَعَلَّم، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا. وَلَمْ يَقْبَل هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ”.
Imam Bukhari رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnul Ala, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Usamah, daripada Yazid ibnu Abdullah, daripada Abu Burdah, daripada Abu Musa yang mengatakan bahawa Rasulullahﷺ pernah bersabda: Perumpamaan ilmu dan petunjuk yang diutuskan oleh Allah ﷻ kepadaku (untuk menyampaikannya) adalah seperti hujan deras yang menyirami bumi. Sebahagian dari bumi ada yang subur dan menerima air, maka ia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rerumputan yang banyak. Dan sebahagian dari yang lain ada yang tandus, tetapi dapat menampung air, maka Allah ﷻ memberikan manfaat kepada manusia melaluinya sehingga mereka dapat minum, dapat pengairan dan bercucuk tanam. Dan hujan itu menimpa sebahagian yang lain yang hanya merupakan rawa-rawa (paya), tidak dapat menahan air dan tidak (pula) menumbuhkan rerumputan. Maka demikianlah perumpamaan orang yang mengerti tentang agama Allah ﷻ dan beroleh manfaat daripada apa yang diutuskan oleh Allah ﷻ kepadaku untuk menyampaikannya, sehingga dia berilmu dan mengamalkannya. Juga sebagai perumpamaan buat orang yang tidak mahu memperhatikannya serta tidak mahu menerima petunjuk Allah ﷻ yang disampaikan olehku.
Sekiranya air hujan itu diibaratkan sebagai Al-Qur’an, kadangkala hujan ini memberi manfaat tetapi kadangkala ia memberi mudarat, bukan? Seperti banjir dan sebagainya kalau terlalu banyak. Namun bagaimana Al-Qur’an memberi mudarat pula?
Ia menjadi mudarat apabila ia disalahgunakan. Ada yang tidak menjadikan Al-Qur’an sebagai panduan kehidupan tetapi ia disalahgunakan. Ada yang menggunakannya sebagai azimat, ada yang menggunakan ia sebagai sihir.
Ayat Al-Qur’an sebagai sihir?! Bagaimanakah pula ia mungkin menjadi sihir? ia menjadi sihir apabila ia dibaca dengan tujuan yang tidak patut. Ini tidak ada kena mengena dengan tujuan Al-Qur’an diturunkan. Contohnya ada yang menggunakannya sebagai ayat pengasih, kononnya untuk menutup mata polis trafik dan lain-lain lagi.
Ayat-ayat Al-Qur’an juga disalahgunakan oleh orang jahat untuk menghalalkan niat jahat mereka. Mereka menggunakan ayat Al-Qur’an sebagai dalil untuk berlaku zalim. Contohnya ada yang mengatakan isteri kena taat kepada suami tanpa soal dan mereka membacakan ayat-ayat tertentu yang ditafsir dengan cara salah; ada ahli politik yang menggunakannya untuk meraih undi dan mengkafirkan golongan musuh politik mereka. Ini semua adalah penyalahgunaan Al-Qur’an dan ia tidak patut dilakukan.
Habis Ruku’ 7 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 25 September 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan