Tafsir Surah al-A’raf Ayat 54 – 55 (Adab berdoa)

A’raf Ayat 54: Ini adalah Dakwa yang ketiga iaitu Allah ‎ﷻ sahaja yang berhak disembah dan dipuja kerana Dia sahaja yang ada sifat kesempurnaan. Oleh kerana itu Allah ‎ﷻ menceritakan sifat-Nya dalam ayat ini:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ يُغشِي اللَّيلَ النَّهارَ يَطلُبُهُ حَثيثًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ وَالنُّجومَ مُسَخَّرٰتٍ بِأَمرِهِ ۗ أَلا لَهُ الخَلقُ وَالأَمرُ ۗ تَبارَكَ اللَّهُ رَبُّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord is Allāh, who created the heavens and earth in six days and then established Himself above the Throne. He covers the night with the day, [another night] chasing it rapidly; and [He created] the sun, the moon, and the stars, subjected by His command. Unquestionably, His is the creation and the command; blessed is Allāh, Lord of the worlds.

MALAY

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Berkat Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah ‘rabb’ dalam ayat ini untuk mengingatkan yang Dialah yang mencipta, memiliki dan mengurus alam ini. Allah ‎ﷻlah sahaja yang mencipta alam ini tanpa ada pertolongan daripada sesiapa. Juga tanpa contoh daripada ciptaan yang sebelumnya. Inilah Tauhid Rububiyyah di mana Allah ‎ﷻ hendak tekankan, Dia yang hebat, bukannya sembahan-sembahan bathil yang mereka lakukan itu.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ mengingatkan Dia yang menjadikan alam ini, malah dalam ayat ini juga Allah ‎ﷻ memberikan maklumat perkara ghaib kepada kita. Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia mencipta alam ini dalam enam ‘masa’. Di sini Allah ‎ﷻ sebut ringkas sahaja (6 hari penciptaan) dan penjelasan lebih panjang Allah ‎ﷻ telah berikan di dalam ayat [ Fussilat: 9-10 ]

Sekiranya Allah ‎ﷻ tidak memberitahu akan hal ini, kita tidak akan tahu kerana kita tidak ada ketika penciptaan alam ini. Apakah maksud ‘enam masa’ itu? Penjelasan tentang perkara ini dijelaskan dalam ayat-ayat yang lain. Secara ringkasnya ada 3 pendapat:

1. Hari seperti yang kita kenal di dunia ini. Ini adalah pendapat jumhur ulama’. Pendapat ini mudah difahami oleh manusia dan ia mengenang kembali yang Al-Qur’an ini pertama kali diturunkan kepada orang Arab yang mengikut bahasa dan kebiasaan mereka. Walau bagaimanapun pendapat ini ada masalah kerana ketika Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini, matahari tidak ada lagi, maka bagaimana pula hendak dikira hari itu? Ulama’ jawab, memang tidak ada matahari, tetapi enam hari itu bersamaan dengan enam hari kita juga. Ini seperti juga hari-hari di akhirat kelak bukannya dikira dengan pergerakan matahari kerana sudah tidak ada matahari lagi.

2. Hari di sisi Allah ‎ﷻ iaitu satu hari bersamaan dengan seribu tahun. Ini adalah pendapat antaranya Ibn Abbas رضي الله عنهما dan Imam Ahmad رحمه الله. Ini seperti yang disebut dalam  [ Hajj: 47 ] وَإِنَّ يَومًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلفِ سَنَةٍ مِّمّا تَعُدّونَ (Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu)

3. Hari itu di dalam bentuk masa yang kita sendiri tidak tahu. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu dan kita serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Kenapakah Allah ‎ﷻ mengambil masa sehingga 6 hari/masa? Bukankah Allah ‎ﷻ boleh terus jadikan alam ini dalam sekelip mata? Ini disebut berkali-kali seperti di dalam [ Yaasin: 82 ] إِنَّما أَمرُهُ إِذا أَرادَ شَيئًا أَن يَقولَ لَهُ كُن فَيَكونُ (Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.) 

Ya memang boleh akan tetapi Allah ‎ﷻ hendak mengajar kita, dalam kerja yang besar hendaklah ada perancangan dan ambil masa. Ini supaya kita belajar jangan bersikap kelam kabut dalam melakukan sesuatu lebih-lebih lagi perkara yang penting. Sikap kelam kabut mungkin boleh menyebabkan hasilnya tidak seperti yang kita harapkan.

Selain itu, satu lagi pendapat mengatakan bahawa tujuan diambil masa selama 6 masa adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan kehebatan-Nya dalam penciptaan kepada para malaikat yang sudah ada ketika itu.

ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ

lalu Dia bersemayam di atas Arasy;

Setelah Dia mencipta alam ini, Dia kemudian telah bersemayam di atas Arasy. Allah ‎ﷻ memposisikan Diri-Nya. Ini kerana selepas kalimah استَوىٰ diikuti dengan kalimah عَلَى. Sekiranya selepas kalimah إلى lain maksudnya seperti yang Allah ‎ﷻ gunakan di dalam [ Baqarah: 29 ]. Di situ, maksudnya ‘menuju’ atau ‘fokus’.

Di dalam bahasa kita, tidak ada terjemahan tepat bagi kalimah استَوىٰ ini maka yang paling dekat yang digunakan adalah kalimah ‘semayam’. Yang pasti Allah استَوىٰ sebagaimana yang layak bagi Allah ‎ﷻ. Kita tidak samakan dengan perbuatan itu dengan perbuatan makhluk. Kita terima seadanya apabila Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia istiwa’ di Arasy.

Isu tentang kedudukan Allah ‎ﷻ ini sentiasa menjadi satu pertikaian yang tidak berkesudahan yang hanya membuang masa dalam kalangan masyarakat Islam kita sejak zaman berzaman. Para sahabat tidak berbalah, tabi’in pun tidak berbalah, imam-imam mazhab juga tidak berbalah akan hal ini. Yang berbalahnya hanyalah orang kita yang generasi terkemudian. Amat menyedihkan sekali sehingga timbul gelaran saling kafir mengkafirkan terhadap yang tidak sependapat. Mereka hendak memaksa kita terima juga takwilan mereka tentang istiwa’ Allah ‎ﷻ ini. Mereka mahu juga menolak fahaman Allah ‎ﷻ istiwa’ di Arasy sedangkan itulah yang disebut di dalam Al-Qur’an. Sekiranya mereka ingin memegang pendapat mereka sendiri, silakan, tetapi kenapakah pula mesti dipaksa orang lain untuk mengikutinya?

Oleh kerana itu, kita pun tidak mahu buang masa membincangkan perkara ini sampai berbalah sesama kita. Ini adalah ayat Mutashabihat yang kita tidak tahu maksud sebenarnya. Ubat kepada segala permasalahan ini adalah firman Allah ‎ﷻ dalam ayat yang lain:

{لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ}

Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat, [ Asy-Syura: 11 ]

Apabila Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia bersemayam di Arasy, maka kita mestilah menerimanya tanpa soal. Sebenarnya tidak perlu lagi untuk kita takwilkan maknanya. Tentu lah kita tidak dapat membayangkan bagaimana kedudukan Allah ‎ﷻ di atas Arasy. Yang pasti, kalau Allah ‎ﷻ berfirman yang Dia bersemayam, duduk atau berada di Arasy, itu tidaklah sama dengan duduknya makhluk-Nya kerana Dia sama sekali tidak ada sama dengan makhluk-Nya. Yang pasti, Allah ‎ﷻ tidak memerlukan Arasy itu.

Ketika Imam Malik رحمه الله (wafat 179 H) ditanya tentang istiwa’ Allah ‎ﷻ, maka beliau menjawab:

َاْلإِسْتِوَاءُ غَيْرُ مَجْهُوْلٍ، وَالْكَيْفُ غَيْرُ مَعْقُوْلٍ، وَاْلإِيْمَانُ بِهِ وَاجِبٌ، وَالسُّؤَالُ عَنْهُ بِدْعَةٌ، وَمَا أَرَاكَ إِلاَّ ضَالاًّ.

“Istiwa’-nya Allah ma’lum (sudah diketahui maknanya), dan kaifiyatnya (caranya) tidak dapat dicapai akal (tidak diketahui), dan beriman kepadanya wajib, bertanya tentang hal tersebut adalah perkara bid’ah, dan aku tidak melihatmu kecuali dalam kesesatan.”

Kemudian Imam Malik رحمه الله menyuruh orang tersebut pergi dari majlisnya. Lihat Syarhus Sunnah lil Imaam al-Baghawi (I/171), Mukhtasharul ‘Uluw lil Imaam adz-Dzahabi (hal. 141), cet. Al-Maktab al-Islami, tahqiq Syaikh al-Albani.

Nota: Maksud Imam Malik رحمه الله yang istiwa’ itu ma’lum adalah semua orang yang tahu bahasa Arab sudah jelas memahami maksudnya. Sebab itulah ketika zaman sahabat tidak ada isu pertikaian tentang hal ini sebab semuanya telah faham. Semua imam-imam mazhab pun faham benda yang sama, maka tidak ada perbahasan tentang perkara ini. Ia hanya timbul apabila semakin orang masuk Islam dan mula mempersoalkan perkara yang tidak perlu dibahaskan.

Maksud Imam Malik رحمه الله istiwa itu ghairu ma’qul adalah ia tidak mungkin dicapai pemahaman oleh akal kita. Akal kita tidak akan sampai kalau cuba untuk fikirkan. Maka buat apa peningkan kepala untuk memikirkannya? Bukannya kita disuruh fikirkan. Kita hanya fikirkan arahan Allah ‎ﷻ, bukan tentang keberadaan Dia.

Imam Malik رحمه الله mengatakan pertanyaan tentang perkara itu adalah bid’ah. Benda baru yang tidak pernah ditimbulkan oleh golongan sebelum kita (salaf) yang jauh lebih pandai dan faham agama daripada kita. Imam Malik رحمه الله marah kepada soalan orang yang bertanya itu sampaikan dia menghalau orang itu keluar dari majlisnya.

Al-Hafizh Ibnu Katsir رحمه الله berkata: “…Pandangan yang kami ikuti berkenaan dengan masalah ini adalah pandangan Salafus Soleh seperti Imam Malik, al-Auza’i, ats-Tsauri, al-Laits bin Sa’ad, Imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih dan imam-imam lainnya sejak dahulu hingga sekarang, iaitu membiarkannya seperti apa adanya, tanpa takyif (mempersoalkan kaifiyahnya/hakikatnya), tanpa tasybih (penyerupaan) dan tanpa ta’thil (penolakan). Dan setiap makna zahir yang terlintas pada benak orang yang menganut faham musyabbihah (menyerupakan Allah ‎ﷻ dengan makhluk), maka makna tersebut sangat jauh daripada Allah ‎ﷻ, kerana tidak ada sesuatu pun dari ciptaan Allah ‎ﷻ yang menyerupai-Nya. Seperti yang difirmankan-Nya:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

‘Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya. Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.’ [Asy-Syuuraa: 11]

Oleh sebab itu, jawapan yang tepat adalah Allah ‎ﷻ di langit dan ini disokong dalil-dalil lain di dalam Al-Qur’an: Al-Mulk: 16-17, al-An’aam: 18, al-An’aam: 61, an-Nahl: 50, al-Mu’min: 36-37 dan Faathir: 10. Fahaman ‘Allah ‎ﷻ wujud di mana-mana’ dan ‘wujud tanpa tempat’ itu tidak ada dalilnya. Namun tidaklah pula kita mengkafirkan mereka. Mereka cuma tersilap sahaja.

Ada juga yang berhujah, sekiranya Allah ‎ﷻ bersemayam di atas Arasy, di manakah pula Allah ‎ﷻ berada sebelum itu? Mereka bertanya seolah-olah Allah ‎ﷻ memerlukan Arasy pula. Sedangkan kita tidak pernah pun kata Allah ‎ﷻ memerlukan Arasy.

Abu Raziin Al-Uqailiy bertanya kepada Nabi Rasulullah ﷺ,

يَارَسُوْلَ الله أَيْنَ كَانَ رَبُّنَا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ خَلْقَهُ ؟ قاَلَ كَانَ فِيْ عَمَاء مَا فَوْقَهُ هَوَاءُ وَ مَا تَحَْهُ هَوَاءُ ثُمَّ خَلَقَ عَرْشَهُ عَلَى اْلمَاءِ

“Wahai Rasulullah di mana dahulu Rabb kita berada sebelum menciptakan makhluk-Nya? Baginda menjawab, ‘Dia berada di ‘amaa, tidak ada di atas dan bawahnya udara, kemudian Dia menciptakan Arsy-Nya di atas air.’”

(Hadith Riwayat Tirmidzi, dihasankan oleh At-Tirmidzi dan Adz-Dzahabi)

Sekiranya Allah ﷺ tidak memerlukan Arasy, kenapa Dia cipta?

Mulaa Ali Al-Qarii menukilkan dalam syarh Al-Fikhul Al-Akbar,

ﺇﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﺧﻠﻖ ﺍﻟﻌﺮﺵ ﺇﻇﻬﺎﺭًﺍ ﻟﻘﺪﺭﺗﻪ

“Sesungguhnya Allah ﺗﻌﺎﻟﻰ menciptakan ‘Arsy untuk menampakkan kekuasaan-Nya.” Syarh Risalah Fikhul Akbar

Arasy adalah makhluk Allah ‎ﷻ yang paling tinggi dan Allah ‎ﷻ berada di atas Arasy. Dari segi bahasa, Arasy bermaksud ‘singgahsana’. Ini kerana ia besar dan meliputi segala alam. Rasulullah ﷺbersabda,

إِنَّ الله عَلَى عَرْشِهِ وَ إِنَّ عَرْشَهُ عَلَى سَمَوَاتِهِ وَ أَرْضِهِ كَهَكَذَا وَ قَالَ بِأَصَابِعِهِ مِثْلَ اْلقُبَّةِ

“Sesungguhnya Allah di atas ‘Arsy-Nya dan Arsy-Nya di atas langit-langit dan bumi, seperti begini dan baginda memberikan isyarat dengan jari-jemarinya seperti kubah.”

(Hadith Riwayat Ibnu Abi Ashim dalam As-sunnah 1/252)

Arasy adalah makhluk pertama yang Allah ‎ﷻ ciptakan. Cuma terdapat khilaf ulama’ apakah makhluk yang pertama kali Allah ‎ﷻ ciptakan. Ada tiga pendapat dalam hal ini

1. Al-Qalam (pena menulis takdir)
Ini pendapat Ibnu Jarir At-Thabari dan Ibnul Jauzi رحمهما الله.

2. Al-Maa’ (air)
Ini pendapat Ibnu Mas’ud dan sebahagian salaf رحمهم الله.

3. Al-‘Arsy
Ini pendapat Ibnu Taimiyyah dan Ibnul Qayyim رحمهما الله.

Pendapat terkuat -wallahu a’lam- yang pertama kali Allah ‎ﷻ ciptakan adalah Arasy. Syeikh Al-‘Ustaimin رحمه الله menjelaskan,

ﺃﻭﻝ ﻣﺎ ﺧﻠﻖ ﺍﻟﻠﻪ ﻣﻦ ﺍﻷﺷﻴﺎﺀ ﺍﻟﻤﻌﻠﻮﻣﺔ ﻟﻨﺎ ﻫﻮ ﺍﻟﻌﺮﺵ ، ﻭﺍﺳﺘﻮﻯ ﻋﻠﻴﻪ ﺑﻌﺪ ﺧﻠﻖ ﺍﻟﺴﻤﺎﻭﺍﺕ، ﻛﻤﺎ ﻗﺎﻝ – ﺗﻌﺎﻟﻰ :- ‏( ﻭﻫﻮ ﺍﻟﺬﻱ ﺧﻠﻖ ﺍﻟﺴﻤﺎﻭﺍﺕ ﻭﺍﻷﺭﺽ ﻓﻲ ﺳﺘﺔ ﺃﻳﺎﻡ ﻭﻛﺎﻥ ﻋﺮﺷﻪ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻤﺎﺀ ﻟﻴﺒﻠﻮﻛﻢ ﺃﻳﻜﻢ ﺃﺣﺴﻦ ﻋﻤﻼ ‏

“Yang pertama kali Allah ‎ﷻ ciptakan daripada segala sesuatu yang kita ketahui adalah Arasy, kemudian Allah ‎ﷻ ber-istiwa di atasnya setelah menciptakan langit dan bumi sebagaimana dalam firman Allah ‎ﷻ, ‘Dan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam waktu enam hari. (Sebelumnya) Arasy Allah ‎ﷻ di atas air, untuk menguji kalian siapakah yang paling baik amalnya.”

يُغشِي اللَّيلَ النَّهارَ يَطلُبُهُ حَثيثًا

Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti)

Allah ‎ﷻlah yang menutup malam ke atas siang. Apabila siang datang, ia menutup malam dan kejadian itu berlaku dengan cepat sekali. Kalimat يَطلُبُهُ حَثيثًا itu bermaksud siang dan malam saling mengejar secara cepat. Apabila fajar menyingsing, maka hilanglah malam. Tidak ada apa-apa yang boleh menghalang perkara ini sesaat pun kerana ia adalah dalam kekuasaan Allah ‎ﷻ.

Ia berlaku setiap hari, tetapi kita sahaja yang tidak perasan yang kejadian itu semua dalam perancangan dan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Kita bagaikan tidak sedar yang kejadian itu merupakan manifestasi kepada kekuasaan Allah ‎ﷻ. Maka selepas ini, apabila berlaku lagi pertukaran siang dan malam ini, ingatlah bahawa Qudrat Allah ‎ﷻ sedang berjalan.

وَالقَمَرَ وَالنُّجومَ مُسَخَّرٰتٍ بِأَمرِهِ

dan matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya.

Bulan dan bintang dan segala planet-planet bergerak di atas perintah-Nya. Semua itu tidak bergerak tanpa kebenaran daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang mengatur perjalanan planet-planet dan segala yang berada di langit dan di bumi. Perancangan Allah ‎ﷻ amat rapi dan jitu sekali. Kajian sains telah memberitahu kita yang sekiranya ada sedikit sahaja perubahan dalam kedudukan planet-planet itu, maka akan habis porak perandalah alam ini.

Allah ‎ﷻ suruh kita lihat kepada matahari, bulan dan bintang-bintang ini dan memikirkan kehebatan Allah ‎ﷻ dalam mencipta. Kita manusia ada juga mencipta, namun mesin-mesin kita cipta tidak akan mampu mencapai kehebatan ciptaan Allah ‎ﷻ. Memang pada permulaan ada yang berfungsi secara elok, namun lama kelamaan akan rosak dan luput juga akhirnya. Kadangkala kos untuk dibaiki tinggi pula, maka lebih baik dibuang sahaja. Namun tidak sama untuk matahari, bulan dan bintang yang Allah ‎ﷻ cipta ini yang telah berbilion tahun bekerja (13.8 bilion tahun) tetapi tidak pernah perlu dibaikpulih lagi.

أَلا لَهُ الخَلقُ وَالأَمرُ

Ingatlah, milik Allah jualah urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. 

Bukankah Allah ‎ﷻ pemilik segala benda yang dicipta-Nya? Setelah Dia cipta, tentulah Dia juga yang menguruskan alam ini. Dialah juga yang membuat keputusan dan memberi arahan terhadap setiap perkara. Hanya Dia sahaja yang layak dan ada kuasa itu. Tidak ada entiti lain yang ada kuasa ini.

Ini juga mengingatkan kita yang serahkan sahaja urusan penciptaan dan pemerintahan kepada Allah ‎ﷻ. Kita tidak boleh membahaskan sangat perkara-perkara mutashabihat yang akal kita memang tidak mampu memahaminya. Maka kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ tanpa takwil.

تَبارَكَ اللَّهُ رَبُّ العٰلَمينَ

Maha Berkat Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mempunyai berkat dan membuat keputusan di mana berkat itu akan diturunkan. Berkat itu maksudnya kebaikan yang berterusan. Allah ‎ﷻ sahaja yang memiliki berkat. Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Berkat. Maka kerana itu kenalah kita minta berkat daripada Allah ‎ﷻ, bukannya daripada wali dan tok guru. Bab syirik dalam berkat ini disebut dalam ayat-ayat yang lain. Sekiranya tidak tahu perkara ini, maka terjerumus di dalam Syirik dalam Berkat.

Dialah Rabb – yang mencipta dan kemudian Dia yang memelihara alam ini dan menguruskannya. Tidak ada berlaku tanpa urusan daripada-Nya. Setelah Allah ‎ﷻ mencipta kita semua, Allah ‎ﷻ terus mengurus kita dan keperluan hidup kita.

Oleh itu, hanya sembah dan seru Dia sahaja kerana perkara-perkara yang disebut di atas, adalah sifat yang Dia sahaja yang ada. Maka jangan kita mengambil ilah-ilah yang lain seperti Nabi, wali dan juga malaikat.


A’raf Ayat 55: Setelah Allah kenalkan DiriNya di dalam ayat sebelum ini, sekarang Allah mengajar cara berdoa. Memang begitulah apabila kita berdoa, kita kena kenal dengan siapa yang kita minta. Lihatlah contoh dalam Surah Fatihah, Allah kenalkan DiriNya dahulu, kemudian baru diajar berdoa minta hidayah, bukan?

Allah menyuruh kita berdoa kepadaNya dalam segala keperluan kita. Dan Allah ajar adab-adab untuk berdoa kepadaNya. Ini adalah penting kerana kita kena sentiasa berdoa kepada Allah.

ادعوا رَبَّكُم تَضَرُّعًا وَخُفيَةً ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Call upon your Lord in humility and privately; indeed, He does not like transgressors.¹

  • In supplication or otherwise.

MALAY

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

ادعوا رَبَّكُم تَضَرُّعًا

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut sifat-sifat Allah yang sempurna. Oleh kerana Allah memiliki segala-gala dengan sifat kesempurnaan, maka kita sebagai hamba kenalah seru Allah sahaja. Tidak boleh seru dan pohon doa kepada selain dari Allah.

Selain dari doa, hendaklah kita ibadah kepada Allah sahaja. Ini kerana maksud دعاء dari segi bahasa bermaksud ‘seru’ (yang membawa maksud doa) dan ‘ingat’ (yang membawa maksud zikir ibadah, iaitu ingatlah Allah dalam ibadah kamu).

Kemudian Allah ajar cara-cara untuk berdoa kepadaNya. Diajarnya etika dalam berdoa. Jangan ikut suka kita sahaja. Pertamanya, kita kena doa dengan hati yang rendah, dengan hati yang khusyuk. Iaitu tunduk kepada Allah dalam bentuk fizikal dan emosi. Kita sekarang sangat berharap kepada Allah dan kerana itu hendaklah kita merendahkan diri kita.

Maka rendahkan diri kita semasa meminta kepada Allah. Takkan kita nak rasa tinggi diri semasa meminta kepada orang lain, bukan? Tambahan lagi kalau kita meminta kepada Allah. Sebab itu, kita selalunya berdoa dalam keadaan tunduk, melutut dan sebagainya. Kita rendahkan diri kita di hadapan Allah. Kita dekati Allah dengan cara merendahkan diri kita.

Antara tanda dan cara untuk merendahkan diri semasa berdoa adalah dengan ingat kembali dosa-dosa kita yang banyak. Pasti kita akan jadi rendah diri. Jadi kita akan mulakan dengan minta ampun atas dosa-dosa kita dahulu. Dan ini adalah salah satu adab dalam berdoa. Sebelum minta macam-macam, minta ampun dulu. Lihatlah doa para Nabi pun mereka meminta ampun atas kesilapan mereka.

Doa Nabi Yunus dalam Anbiya’:87

وَذَا النّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقدِرَ عَلَيهِ فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”.

Juga doa Nabi Adam dalam A’raf:23

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَّم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

Lihat pula yang pernah diajarkan oleh baginda SAW kepada sahabat rapat baginda sendiri iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq.

Daripada Abu Bakr As-Siddiq, beliau berkata kepada Rasulullah SAW,

عَلِّمْنِى دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِى صَلاَتِى قَالَ قُلِ :اللَّهُمَّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِى مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِى إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku panjatkan saat solat!” Maka Beliau pun berkata, “Bacalah:

‘Allahumma inni Zholamtu Nafsii Zhulman Katsiiran Wa Laa Yaghfirudz Dzunuuba Illaa Anta Faghfirlii Maghfirotan Min ‘Indika Warhamnii Innaka Antal Ghafuurur Rahiim

(Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisiMu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang)” (HR. Bukhari, no. 834 dan Muslim, no. 2705)

Lihatlah doa-doa ini dimulakan dengan meminta ampun kepada Allah. Kerana inilah yang penting sekali bagi kita. Selepas menyebut penyelasan di atas dosa-dosa kita dan meminta ampun ke atasnya, maka boleh teruskan dengan permintaan kita yang lain.

وَخُفيَةً

dan (dengan suara) perlahan-lahan. 

Dan selain dari itu, kita hendaklah menyeru Allah sama ada dalam doa dan dalam zikir, dengan suara yang perlahan. Kalimah خُفيَةً juga bermaksud secara rahsia dan tersembunyi, bukan di khalayak ramai. Ini menolak amalan orang yang berdoa dengan suara kuat dan keras, atau berzikir dengan keras. Tidakkah mereka sedar yang mereka sedang mengganggu orang lain? Ini tidak bagus sampaikan ada ulama’ yang memakruhkannya. Oleh itu zikir dan doa perlulah dilakukan dengan perlahan. Doa dan zikir adalah antara kita dan Allah, bukan untuk dipertunjukkan/ditontonkan.

Inilah cara doa yang disukai oleh Allah. Lihatlah bagaimana cara doa Nabi Zakariya apabila baginda berdoa (dan doa baginda dimakbulkan, bukan?) di dalam Maryam:3

إِذ نادىٰ رَبَّهُ نِداءً خَفِيًّا

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan dari Abu Musa Al-Asy’ari yang menceritakan bahawa suara orang-orang terdengar keras ketika mengucap­kan doa mereka. Maka Rasulullah Saw. bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ؛ فَإِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أصمَّ وَلَا غَائِبًا، إِنَّ الَّذِي تَدْعُونَهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ

Hai manusia, tenangkanlah diri kalian, kerana sesungguhnya kalian bukanlah menyeru (Tuhan) yang tuli dan bukan pula (Tuhan) yang ghaib, sesungguhnya Tuhan yang kalian seru itu Maha Mendengar lagi Maha dekat.

Semakin kita menyembunyikan doa kita, semakin baik. Kerana ia akan jadi munajat antara kita dan Allah. Kerana itulah doa terbaik adalah di waktu sahur di waktu tidak ada orang lain yang tahu.

Dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ

Rabb kita tabaroka wa ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Dia berfirman, “Siapa saja yang berdo’a kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.” (HR. Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 758).

Bukanlah tidak boleh langsung berdoa dengan kuat. Nabi pun pernah melakukannya ketika di mimbar dan ketika ada para sahabat meminta baginda doakan. Baginda doakan dan diaminkan oleh para sahabat yang lain. Cuma tidaklah selalu perkara ini dilakukan dan tidaklah dibuat majlis seperti Majlis Doa Selamat pula. Tidak ada majlis khusus untuk berdoa kerana tidak ada contoh dari Nabi dan para sahabat.

إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Allah tidak suka orang yang melampau dalam agama. Ini dipanggil ghuluw dan banyak disentuh di dalam wahyu. Ini kerana agama kita ini adalah ‘pertengahan’ iaitu tidak lemah dan tidak ekstrem.

Ini termasuk orang yang menunjukkan lafaz doa dia sampaikan orang lain semua boleh dengar, lalu terpesona dengan lafaz doa dia yang hebat-hebat. Ada yang susun doa dan bacakan doa sampai berlagu-lagu jadinya. Jadi jangan keraskan suara kita di dalam doa. Ini termasuk tok imam yang membacakan zikir dengan kuat, siap pakai mikrofon lagi selepas habis solat, berzikir ramai-ramai dengan jemaah makmum dia, sampai mengganggu orang lain yang hendak buat solat sunat atau yang hendak berzikir sendirian.

Ketahuilah yang doa selepas solat itu hendaklah dilakukan bersendirian kerana tidak pernah Nabi Muhammad berdoa beramai-ramai dalam doa mereka selepas solat. Maka kerana Nabi tidak pernah buat, maka amalan itu adalah amalan bidaah semata-mata dan perlulah ditinggalkan. Kalaulah ia baik, maka tentu Rasulullah dan para sahabat sudah lakukan dahulu. Jadi doa selepas solat ini sebenarnya dilakukan bersendirian sahaja. Kerana kehendak kita dengan orang lain tentu tidak sama.

Melampau dalam berdoa juga adalah apabila kita mengajar pula Allah bagaimana hendak tunaikan hajat kita. Contohnya hendak si polan bayar hutang. Tak payahlah sebut: “Ya Allah, bagilah polan berjalan dengan aku kat kedai ni sebab aku nak minta hutang dari dia…” Ini tak perlu. Doa sahaja supaya si polan itu bayar hutang, sudah cukup.

Juga tidak payah sebut: “Ya Allah, Jika rezeki masih di langit, turunkanlah; Jika di bumi, keluarkanlah; Jika sukar, per-Mudahkanlah; Jika haram, sucikanlah; Jika jauh, dekatkanlah.” Ini tidak perlu. Minta sahaja Allah permudahkan rezeki kita. Tahulah Allah bagaimana hendak beri rezeki kepada kita. Lihat hadis di bawah ini:

Dari Abu Nu’amah bahwasanya Abdullah bin Mughaffal Radhiyallahu ‘anhu mendengar anaknya membaca doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْقَصْرَ الْأَبْيَضَ، عَنْ يَمِينِ الْجَنَّةِ إِذَا دَخَلْتُهَا
“Ya Allah berilah kami istana putih di sisi kanan syurga”.
Mendengar ini, ayahnya spontan memberi nasihat kepada anaknya:
أَيْ بُنَيَّ، سَلِ اللَّهَ الْجَنَّةَ، وَتَعَوَّذْ بِهِ مِنَ النَّارِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّهُ سَيَكُونُ فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ»
“Wahai anakku mintalah kepada Allah syurga dan berlindunglah kepada-Nya dari api Neraka, sebab aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Akan muncul dari umatku sekelompok kaum yang berlebihan dalam bersuci dan berdoa” (HR. Ahmad 20554, Abu Daud 96, Ibnu Majah 3864, Syuaib Al-Arnauth menilai hadis ini hasan).

Melampau yang paling teruk adalah apabila meminta kepada selain Allah. Contohnya ada meminta kepada wali yang sudah mati. Pertama, siapa boleh pastikan yang telah mati itu memang benar seorang wali? Ada majlis perlantikankah? Keduanya, siapa kata wali itu boleh dengar doa kita dan bantu kita?

Tapi malangnya beginilah akidah sesat sebahagian masyarakat kita yang menganjurkan meminta kepada wali-wali yang telah mati. Apabila kita persoalkan adakah orang mati boleh tolong, mereka tetap mempertahankan. Kita katakan: kalau begitu, bolehlah minta dengan pokok? Mereka punya hendak mempertahankan akidah sesat itu sampai boleh kata boleh minta dengan pokok!

Jadi ayat ini adalah antara cara-cara berdoa yang diajar sendiri oleh Allah. Memang banyak disebut tentang adab-adab doa ini, antaranya Anbiya’:90

إِنَّهُم كانوا يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَيَدعونَنا رَغَبًا وَرَهَبًا ۖ وَكانوا لَنا خٰشِعينَ

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.

Jadi di dalam Anbiya’:90 ini Allah tambah tiga perkara lagi, iaitu berharap sangat dengan pemberian dari Allah. Kemudian kena ada rasa takut dengan cemas. Iaitu takut azab dari Allah dan takut kalau Allah tidak makbulkan doa kita. Dan akhir sekali kena khusyu’ iaitu hadhirkan hati semasa berdoa. Jangan leka dan tidak faham apakah yang didoakan. Kalau kita tengok cara orang berdoa sekarang ini kita boleh katakan mereka bukannya berdoa, tapi ‘baca’ sahaja lafaz-lafaz doa itu. Ia sudah jadi perkara automatik yang dilakukan tanpa sedar, tanpa roh.

Jadi kalau tok imam baca doa, adakah makmum yang mengaminkan itu khusyu’ dengan doa itu dan faham apa yang tok imam baca? (Jangan katakan makmum, entah tok imam itu pun tak faham apa yang dia baca sebab dia hafal sahaja). Dan adakah boleh zahirkan rasa takut kalau berdoa ramai-ramai? Mungkin tidak, bukan? Jadi itu kita sarankan doa hendaklah bersendirian sahaja. Dan ya, kita kena faham apakah doa yang kita sebut itu, bukan baca sahaja. Ini ada kita terangkan di dalam perbincangan ayat Hud:46.

Berdoa dengan sesuatu yang telah ditetapkan dan seseorang telah mengetahui hasil yang telah ditetapkan oleh Allah ialah seperti dia mengetahui dia telah gagal kemudian berdoa kepada Allah agar lulus, ataupun dia mengetahui bahawa seseorang itu telah meninggal dunia, kemudian dia berdoa kepada Allah agar dihidupkannya. Maka berdoa dalam keadaan ini merupakan satu perkara yang sia-sia. Bahkan hal ini termasuk dalam melampui batas dalam berdoa kerana dia berdoa dengan sesuatu yang mustahil.

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Ibn Taimiyah berkata, “Melampui batas dalam berdoa adalah seperti meminta sesuatu yang tidak diperbolehkan untuk memintanya seperti meminta terhadap sesuatu yang diharamkan, meminta sesuatu yang mustahil untuk Allah lakukan seperti meminta agar tetap kekal abadi sampai hari kiamat, atau meminta agar diangkat daripada kelaziman manusia seperti dibebaskan daripada keperluan makan dan minum, atau memohon agar dapat mengetahui yang ghaib atau dijadikan orang yang terjaga daripada melakukan maksiat (ma’sum), ataupun dikurniakan seorang anak tanpa berkahwin, atau doa seperti itu yang tidak dicintai oleh Allah dan tidak disukai orang yang memintanya.

Satu lagi cara melampau dalam berdoa adalah mendoakan keburukan kepada orang lain (melainkan dizalimi). Dalil ini disebut dalam Al-Qur`an, antara lain firman Allah:

لا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنْ الْقَوْلِ إِلاَّ مَنْ ظُلِمَ

Allah tidak menyukai ucapan buruk, (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya.” (Nisaa`:148).

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Sep 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s