Tafsir Surah Ghafir Ayat 34 – 36 (Ancaman dari Lelaki Mukmin)

Ayat 34: Ini adalah sambungan dakwah dan hujah dari Lelaki Mukmin itu. Ini masih lagi dalam Bahagian Kedua dari syarah Lelaki Mukmin itu. Dalam bahagian ini terdapat sindiran kepada mereka yang tidak memikir panjang tentang agama dan akhirat.

وَلَقَد جاءَكُم يوسُفُ مِن قَبلُ بِالبَيِّنٰتِ فَما زِلتُم في شَكٍّ مِّمّا جاءَكُم بِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا هَلَكَ قُلتُم لَن يَبعَثَ اللهُ مِن بَعدِهِ رَسولًا ۚ كَذٰلِكَ يُضِلُّ اللهُ مَن هُوَ مُسرِفٌ مُّرتابٌ

Sahih International

And Joseph had already come to you before with clear proofs, but you remained in doubt of that which he brought to you, until when he died, you said, ‘Never will Allah send a messenger after him.’ Thus does Allah leave astray he who is a transgressor and skeptic.”

Malay

“Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila dia mati, kamu berkata: Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya; demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang melampau kederhakaannya, lagi yang ragu-ragu kepercayaannya (terhadap balasan Tuhannya), 

 

وَلَقَدْ جَاءَكُمْ يُوسُفُ مِن قَبْلُ

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Yusuf sebelum ini”

Lelaki Mukmin itu mengingatkan kaumnya dengan kisah Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf adalah seorang Rasul, tapi baginda juga seorang pemimpin yang besar. Walaupun dalam kedudukan yang tinggi, tapi beliau masih lagi beriman dan mengajak kepada tauhid kepada Allah.

Lelaki Mukmin itu hendak mengingatkan mereka bahawa mereka dahulu ada agama, kerana mereka ada Nabi di kalangan mereka, iaitu Nabi Yusuf a.s. Janganlah pula lupa. Apa yang dibawa oleh Nabi Musa ini bukanlah perkara baru.

Sebelum ini, Lelaki Mukmin itu telah mengingatkan mereka kepada kaum Nuh, Aad dan Tsamud. Tetapi itu adalah kaum-kaum yang sudah sangat lama dari zaman mereka. Sekarang beliau mengingatkan mereka kepada Nabi Yusuf yang tidak lama masanya dengan mereka. Nabi Yusuf berada di Mesir dalam lebih kurang 400 tahun sebelum datangnya Nabi Musa a.s., jadi tidak lama masa dengan mereka.

Masih segar lagi kisah Nabi Yusuf dalam ingatan mereka. Kisah Nabi Yusuf tentunya telah menjadi sejarah negara mereka dan tentunya mereka sebagai pemimpin negara tahu tentang kisah Nabi Yusuf itu.

Lelaki Mukmin itu hendak mengaitkan ajaran Nabi Musa dengan Nabi Yusuf. Dia hendak memberitahu bahawa sama sahaja ajaran Nabi Musa dan Nabi Yusuf itu.

 

بِالْبَيِّنٰتِ

“dengan bawa bukti dalil”.

Dulu Nabi Yusuf datang kepada penduduk Mesir dengan bawa dalil-dalil bukti yang jelas dari Allah juga. Maka, sekarang pun Nabi Musa pun bawa dalil juga yang mereka boleh lihat dengan mata mereka sendiri.

 

فَمَا زِلْتُمْ فِي شَكٍّ مِّمَّا جَاءَكُم بِهِ

“Tapi kamu sentiasa berada dalam keraguan terhadap apa yang dia bawa kepada kamu”

Walaupun Nabi Yusuf bawa dalil keterangan yang jelas, tapi mereka masih juga tidak terima dakwah baginda tentang Tauhid. Masih juga ragu-ragu dengan apa yang baginda bawa. Tapi, kisah baginda menaikkan ekonomi dan negara Mesir, mereka terima, tapi tentang ajaran agama yang dibawakan, mereka buat tak kisah sahaja.

Macam kita belajar tentang kehancuran tamadun-tamadun yang dahulu, seperti Aztech, Inca – kita belajar sejarah mereka, peninggalan mereka, kehidupan mereka. Memang kita belajar kisah sejarah mereka, tapi yang kita tidak ambil peduli adalah apakah agama mereka, kenapa mereka dihancurkan oleh Allah.

 

حَتَّىٰ إِذَا هَلَكَ قُلْتُمْ

“Sehingga dia sudah mati, kamu berkata”

Apabila Nabi Yusuf telah wafat, mereka ada pemahaman yang salah tentang baginda dan agama Islam.

 

لَن يَبْعَثَ اللهُ مِن بَعْدِهِ رَسُولًا

“Tidak mungkin sama sekali Allah akan bangkitkan selepas Nabi Yusuf ini, rasul lain”.

Selepas Nabi Yusuf wafat, mereka kata tidak ada Rasul lagi selepas itu, maka mereka telah mencipta agama mereka dan mencipta amalan-amalan baru. Mereka terus meninggalkan ajaran Nabi Yusuf. Mereka nak kata dengan matinya Nabi Yusuf itu, maka matilah agama.

Itu kata-kata mereka sahaja sedangkan Allah tidak pernah pun kata begitu. Walaupun seorang Nabi telah wafat, agama Islam tetap berjalan.

Atau, ayat ini juga menunjukkan kesesalan mereka kerana tidak berpeluang beriman semasa Nabi Yusuf hidup dan sekarang mereka telah kehilangan seorang Rasul. Macam anak yang tidak berkhidmat kepada ibubapa mereka semasa mereka hidup, tapi bila sudah mati, baru nak menyesal.

Maka, mereka menyesal kerana kehilangan Rasul. Tapi, sekarang mereka sedang ada seorang Rasul dari kalangan mereka. Kalau dulu mereka menyesal kerana kehilangan seorang Rasul yang mulia, sekarang di tengah-tengah mereka ada seorang lagi Rasul – maka hendaklah mereka ambil peluang keemasan itu. Janganlah ragu-ragu lagi dengan dia. Janganlah pisang berbuah dua kali.

“Ini adalah peluang untuk kamu semua. Tidakkah kamu mahu belajar dengan sejarah lampau?” Lelaki Mukmin itu berkata begitu untuk sindir mereka, betapa mereka lupa tentang kisah sejarah mereka sendiri.

 

كَذَٰلِكَ يُضِلُّ اللهُ مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ

“Begitulah Allah telah menyesatkan sesiapa yang dulu melampaui batas”

Mereka melampau batas dalam kehidupan mereka disesatkan oleh Allah. Ini kerana mereka hidup dengan senang maka kerana itu mereka telah ambil peluang kehidupan dunia ini tanpa mengira apakah kesannya kepada akhirat mereka.

Yang lebih penting, mereka melampau batas dalam hal akidah. Itulah perkara paling penting yang manusia kena jaga, tapi mereka melampau dalam hal itu.

 

مُّرْتَابٌ

“yang ragu-ragu”.

Mereka ragu-ragu dengan sesuatu yang jelas. Mesej yang dibawa oleh Nabi Yusuf adalah jelas tapi mereka ragu-ragu tidak mahu percaya.

Ragu-ragu pada permulaan dakwah adalah perkara biasa. Kalau perkara yang kita tidak biasa dengar, kita mungkin ada rasa ragu-ragu. Tapi ragu-ragu itu kena dihilangkan dengan mencari bukti dan memikirkan. Jangan dibiarkan terus dalam ragu-ragu.


 

Ayat 35: Jumlah badaliah. Allah menerangkan siapakah mereka.

الَّذينَ يُجٰدِلونَ في ءآيٰتِ اللهِ بِغَيرِ سُلطٰنٍ أَتٰهُم ۖ كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللهِ وَعِندَ الَّذينَ ءآمَنوا ۚ كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللهُ عَلىٰ كُلِّ قَلبِ مُتَكَبِّرٍ جَبّارٍ

Sahih International

Those who dispute concerning the signs of Allah without an authority having come to them – great is hatred [of them] in the sight of Allah and in the sight of those who have believed. Thus does Allah seal over every heart [belonging to] an arrogant tyrant.

Malay

“(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah meterikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!” 

 

الَّذِينَ يُجٰدِلُونَ فِي ءآيٰتِ اللهِ

“Orang-orang yang membantah tentang ayat-ayat Allah”

Itulah mereka yang menolak ayat-ayat Allah itu dengan mempersoalkannya, menolaknya. Firaun dan pengikutnya mengatakan yang mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah ‘sihir’.

Kalau zaman sekarang, ayat-ayat Allah adalah ayat Al-Qur’an. Ramai yang membantah ayat Al-Qur’an, antaranya dengan menunjukkan terdapat perbezaan antara ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ataupun mereka mentafsir ayat-ayat Allah dengan cara yang salah.

Ataupun, apabila kita beritahu mereka tentang maksud sesuatu ayat itu, mereka akan tolak dan berhujah dengan kita menidakkan apa yang kita beritahu kepada mereka. Padahal mereka sendiri tidak belajar tafsir, tapi kata apa yang kita sampaikan dari tafsir itu pula yang salah. Ini amat pelik, orang yang tidak belajar, kata tafsiran kita pula yang salah.

Ini adalah peringkat ketiga kesesatan manusia. Peringkat Pertama: mereka ragu-ragu tentang agama; Peringkat Kedua: mereka akan berada dalam kesesatan kerana mereka telah ada ragu-ragu; Peringkat Ketiga: mereka membantah; Peringkat Keempat: apabila mereka terus membantah, Allah akan ‘kunci mati’ hati mereka dari beriman – Khatmul Qalbi.

4 peringkat hati rosak
Jangan ada sikap begini dalam diri kita.

بِغَيْرِ سُلْطٰنٍ أَتٰهُمْ

dengan tanpa bukti yang dibawa kepada mereka,

Mereka membantah atau memberi hujah-hujah mereka itu tanpa ada bukti. Ataupun mereka tafsir sendiri ayat-ayat Al-Qur’an tanpa belajar tafsir, tapi mereka buat macam mereka tahu. Kita meraikan perbezaan pendapat dan percambahan ilmu. Tapi kalau nak berhujah, kenalah bawa dalil, jangan pakai tolak sahaja tanpa beri dalil dan hujah yang nyata.

Ramai yang tidak belajar, tapi memandai nak tafsir sendiri ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka merujuk kepada sumber-sumber yang tidak boleh dipercayai, maka mereka telah salah faham. Ini adalah amat bahaya. Kita kena belajar tafsir dengan guru yang tahu ilmu-ilmu tafsir. Kalau kita silap memilih guru dan sumber pembelajaran, kita akan terjatuh ke dalam lembah kesesatan.

 

كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللهِ وَعِندَ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Amat besar kemurkaan di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman

Besar sekali salah mereka itu, sampaikan Allah murka kepada mereka yang membantah ayat-ayat Allah. Jangan main-main kalau Allah sudah marah.

Ada dua yang disebut telah marah dalam ayat ini: Allah dan orang-orang yang beriman. Bukan Allah sahaja yang marah, tapi orang-orang yang beriman juga akan marah. Orang-orang yang beriman, apabila mendengar orang menyalahgunakan ayat-ayat Allah, sepatutnya marah dengan perbuatan orang itu.

Dan orang yang beriman itu tidak tengok sahaja, tetapi dia akan mempertahankan ayat-ayat Allah. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh Lelaki Mukmin itu – dia telah bangun mempertahankan dakwah Nabi Musa a.s. walaupun ianya boleh membahayakan nyawanya sendiri.

 

كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ اللهُ عَلَىٰ كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ

Demikiannya Allah kunci setiap hati yang sombong, ganas terhadap manusia.

Inilah Peringkat Keempat dan peringkat terakhir dari kesesatan manusia. Hati mereka akan dikunci mati dari terima kebenaran. Maksudnya, setiap hati yang ada sifat sombong dan ganas itu akan dikunci oleh Allah. Mereka sombong dengan Allah dan ganas dengan manusia. Kesannya: walaupun dia ditunjukkan dengan kebenaran, dia tidak boleh faham dan tidak akan terima – kerana Allah dah kunci mati hati dia.

Lihatlah apa yang terjadi kepada Firaun, apabila dia membantah ayat-ayat Allah, Allah telah kunci mati hatinya, sampaikan walaupun datang kepadanya berbagai-bagai dalil kebenaran, dia tidak juga boleh beriman.


 

Ayat 36: Lihatlah apa jawapan Firaun setelah mendengar syarah dari Lelaki Mukmin itu – bukannya dia nak beriman, tapi dia tetap nak lawan juga.

Ini adalah kata-katanya yang mencelah syarahan yang disampaikan oleh Lelaki Mukmin itu. Dia rasa kalau dia tidak mencelah, Lelaki Mukmin itu akan menyebabkan ramai orang akan beriman dengan Nabi Musa.

وَقالَ فِرعَونُ يٰهٰمٰنُ ابنِ لي صَرحًا لَّعَلّي أَبلُغُ الأَسبٰبَ

Sahih International

And Pharaoh said, “O Haman, construct for me a tower that I might reach the ways –

Malay

Dan Firaun pula berkata: “Hai Haman! Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, supaya aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya) 

 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يٰهٰمٰنُ

Dan berkata Firaun, “Wahai Haman”,

Firaun nak lawan dakwah Nabi Musa dengan jenaka. Selepas mendengar kata-kata Lelaki Mukmin itu, beliau telah datang dengan satu lagi hujah dia untuk mempermain-mainkan agama. Dia tukar kepada topik yang lain.

Dia buat begitu kerana hendak mengalih pandangan rakyat yang juga sedang mendengar kata-kata Musa dan Lelaki Mukmin itu. Begitulah, apabila seseorang itu menentang ayat-ayat Allah, Allah akan menzahirkan kebodohannya.

Kadang-kadang kita memberitahu satu perkara yang serius, tapi orang yang tidak beriman akan tukar topik dan buat lawak untuk mempermain-mainkan kita. Sebagai contoh, kita sebut tentang bidaah, mereka akan buat lawak – “kalau macam tu, tak boleh pakai keretalah kita, kena pakai unta sahaja kalau nak ke mana-mana! Sebab Nabi tidak pakai kereta, Nabi pakai unta!”.

Itu adalah kata-kata sinis dari orang yang bodoh jahil. Tapi ini adalah hujah yang amat bodoh sekali, datang dari orang yang tidak tahu apakah bidaah itu. Bidaah adalah perkara baru dalam ‘perkara agama’, bukannya dalam semua perkara.

 

ابْنِ لِي صَرْحًا

“Bina untuk aku satu menara tinggi”

Perkataan صَرْحًا bermaksud menara yang cantik, yang dihias. Firaun suruh Haman binakan untuk dia satu menara yang tinggi dan hebat.

 

لَّعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبٰبَ

“supaya aku sampai ke jalan-jalan”.

Kalimah الْأَسْبَابَ adalah dari kata ‘sabab’ yang bermaksud ‘cara’ – cara untuk sampai ke satu-satu tempat, kepada satu-satu maksud. Sebagai contoh, sebab apa kita memanjat pokok Tamar? Sebab nak kutip buat Tamar. Dia suruh Haman bina menara tinggi itu kononnya dia jumpa Tuhan Nabi Musa.

Dia telah mengalih pandangan rakyatnya kepada Dzat Allah. Padahal Allah hanya boleh dikenali dengan SifatNya, bukannya boleh berjumpa dengan Dia semasa di dunia. Begitulah juga golongan yang kurang belajar, mereka banyak membincangkan tentang keberadaan Allah di Arasy. Padahal kita tidak perlu pun berbincang tentang perkara itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

 

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment