Tafsir Surah Maryam Ayat 1 – 3 (Pengharapan kepada Allah)

Pengenalan:

Sudah menjadi lumrah alam, manusia mudah terkesan dengan perkara-perkara ajaib. Kalau mereka lihat benda-benda yang pelik, mereka mulalah terkesan dan mula fikir macam-macam. Kadang-kadang oleh kerana terkesan, mereka memuja makhluk-makhluk yang nampak macam ada kuasa ghaib, seperti wali-wali dan malaikat-malaikat.

Termasuk juga kalau mereka lihat benda-benda yang pelik seperti busut besar, pokok yang pelik rupanya dan sebagainya. Ada yang mereka jadikan sebagai tempat minta nombor ekorlah, minta tolong di situlah dan sebagainya lagi. Itu tidak boleh kerana mereka juga adalah makhluk, bukan Tuhan. Mereka juga bukan perantaraan bagi Tuhan.

Sebab ada juga yang bagi hujah, mereka bukan minta kepada entiti-entiti itu, tetapi mereka minta kepada Allah ‎ﷻ, hanya ‘melalui’ benda-benda itu atau makhluk-makhluk itu (kerana kononnya ada ‘berkat’ yang mereka sendiri letak).

Ini adalah kesalahan dalam tauhid, jadi kena faham betul-betul. Selepas ini, hanya minta kepada Allah ‎ﷻ secara terus sahaja. Jangan lagi menggunakan perantaraan-perantaraan yang dikenali sebagai tawassul.

Salah satu perkara ajaib yang Allah ‎ﷻ ceritakan dalam Al-Qur’an adalah tentang kisah Nabi Zakaria عليه السلام. Surah ini ada menceritakan tentang kekeliruan manusia tentang Nabi Zakaria عليه السلام. Agama sebelum Islam datang ada mengatakan Nabi Zakaria عليه السلام boleh ikhtiar untuk mendapat anak, padahal Nabi Zakaria عليه السلام dapat anak kerana doa baginda kepada Allah ‎ﷻ.

Bukannya kerana baginda ada kuasa lain daripada manusia lain yang boleh menyebabkan baginda dapat anak. Kita akan belajar bagaimana cara Nabi Zakaria عليه السلام berdoa kepada Allah ‎ﷻ dalam surah ini nanti. Doa itu adalah satu cara kepada kita untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Ramai daripada kita berusaha untuk dapatkan anak. Ada yang senang dapat anak dan ada yang sudah bertahun-tahun kahwin, namun masih tidak dikurniakan anak oleh Allah ‎ﷻ. Berbagai-bagai usaha telah dijalankan, sama ada dengan pergi ke hospital, atau cara-cara alternatif.

Dan cara alternatif itu pula bermacam-macam. Malangnya Al-Qur’an selalu disalahgunakan. Ada pula yang kata untuk dapat anak, kena baca Surah Maryam. Padahal, Siti Maryam tidak berdoa untuk dapat anak pun – anak itu diberi oleh Allah ‎ﷻ. Itu adalah satu kekeliruan dalam masyarakat kita dan yang sedihnya, ia telah diajar oleh guru-guru agama di Malaysia.

Mereka mengajar manusia yang jahil untuk hanya menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai ‘azimat’ sahaja. Baca berkali-kali tanpa memahami apakah maksud dan pengajaran dalamnya. Ketahuilah yang kalau kita sekadar membaca sahaja Al-Qur’an, kita tidak ada bezanya dengan Kaum Yahudi yang kita pun tahu mereka sesat. Mereka itu membaca dan menghafal Kitab Taurat, tetapi mereka tidak mengambil pengajaran daripada Kitab Taurat itu.

Sama sahaja dengan kebanyakan masyarakat kita. Ramai orang Islam dalam masyarakat kita yang baca Al-Qur’an setiap hari, hafal pun ada, tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca itu. Yang sebenarnya, dalam Surah Maryam ini ada doa Nabi Zakaria عليه السلام untuk mendapatkan anak. Ia adalah kisah tentang Nabi Zakaria عليه السلام tetapi diletakkan dalam Surah Maryam.

Surah ini diturunkan hampir dengan masa sebelum Hijrah Pertama yang dijalankan ke Habsyah. Daripada sirah, kita dapat tahu bahawa pada tahun 4 kenabian, Nabi ﷺ telah diarahkan untuk berdakwah secara terbuka. Apabila Nabi ﷺ berdakwah secara terbuka, Musyrikin Mekah tidak suka, maka para sahabat yang telah masuk Islam telah ditindas dengan teruk sekali.

Para sahabat pada waktu itu adalah terdiri daripada orang-orang yang lemah dan kelas bawahan pada mata orang kafir. Mereka tidak ada perlindungan seperti orang-orang lain. Dalam adat waktu itu, selalunya perlindungan diberikan oleh kabilah masing-masing tetapi para sahabat itu adalah orang yang miskin dan lemah. Mereka tidak ada ‘payung’ yang dapat menyelamatkan mereka. Mereka terasa amat tertekan dengan penindasan yang mereka terima.

Mereka tidak tahan sampaikan mereka datang bertemu dengan Nabi ﷺ menceritakan keadaan mereka. Mereka mengadu tentang penindasan yang mereka terima (kerana mengamalkan agama tauhid). Pada mulanya, Nabi ﷺ menyuruh mereka bersabar dengan nasib mereka kerana umat yang terdahulu ada yang lagi teruk terima azab dari orang kafir.

Kemudian Nabi ﷺ telah mendapat wahyu untuk menyuruh mereka untuk berhijrah ke Habashah kerana raja Habasyah waktu itu adalah raja yang adil. Raja itu adalah raja yang beragama Kristian yang alim. Dalam riwayat, ada yang mengatakan bahawa yang pergi berhijrah itu adalah seramai 8 orang lelaki dan 3 orang perempuan.

Apabila Musyrikin Mekah mendapat tahu tentang penghijrahan itu, mereka tidak puas hati dan mereka telah cuba untuk mengejar para sahabat itu tetapi tidak dapat. Walaupun begitu, mereka telah menghantar satu delegasi untuk pergi ke Habasyah. Tujuan delegasi itu adalah untuk membawa kembali mereka yang telah pergi ke Habasyah itu.

Delegasi itu diketuai oleh Amru al As. Waktu itu Amru al As belum lagi masuk Islam. Mereka akhirnya telah berjaya untuk bertemu dengan raja selepas mereka berbaik-baik dengan para pendeta di Habasyah dengan memberi hadiah. Mereka mengatakan bahawa orang Islam yang sedang bermastautin di Habasyah itu adalah ‘pelarian’ dari Mekah dan mereka mahu supaya mereka itu dikembalikan.

Raja kata beliau tidak boleh beri mereka yang mencari perlindungan kepada negara asal mereka begitu sahaja. Maka, Raja telah bertanya kepada orang Islam tentang keadaan sebenarnya. Para sahabat telah menjelaskan bahawa mereka itu mencari perlindungan di Habasyah dan mereka hanya mahu mengamalkan agama mereka dengan aman.

Maka, Raja telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan mereka dipulangkan. Namun delegasi Mekah telah pergi berjumpa dengan Raja sekali lagi pada esoknya dan mereka mengatakan bahawa mereka yang lari itu telah meninggalkan agama asal mereka. Mereka sedang mengamalkan agama yang baru yang sesat, kata delegasi itu. Mereka juga menentang agama yang lain dari mereka, sambungnya lagi. Mungkin mereka pun tidak menerima ajaran Kristian dan mengata tidak baik tentang Nabi Isa عليه السلام.

Maknanya delegasi Mekah itu telah cuba meracuni fikiran Raja Habasyah. Raja terkesan sedikit kerana beliau adalah orang Kristian yang taat. Maka Raja telah memanggil orang Islam dan bertanyakan mereka tentang pegangan mereka tentang Nabi Isa عليه السلام.

Jaafar Abu Talib رضي الله عنه sebagai ketua orang Islam waktu itu telah menjawab bagi pihak sahabat yang lain. Mereka telah bermesyuarat sebelum itu dan mereka sepakat bahawa jikalau Raja bertanyakan tentang Nabi Isa عليه السلام, mereka akan bercakap dengan benar dan tidak akan menyembunyikan apa-apa.

Maka Jaafar رضي الله عنه mula membacakan Surah Maryam. Selepas beberapa ayat, Raja suruh mereka berhenti membaca kerana beliau tidak tahan kerana terkesan dengan apa yang disebut dalam Al-Qur’an dan beliau menangis dan mengatakan ia adalah cerita yang menyayat hati dan benar belaka. Maka raja telah menyuruh Musyrikin Mekah pulang dan membenarkan orang Islam tinggal di Habasyah.

Kejadian itu berlaku dalam lebih kurang tahun kelima Kenabian. Maka Surah Maryam mungkin diturunkan pada hujung tahun keempat Kenabian. Surah ini diberikan sebagai ‘buah tangan’ kepada mereka yang akan berhijrah ke Habasyah kerana mereka akan berhadapan dengan orang Kristian. Allah ‎ﷻ menurunkan surah ini pada masa yang diperlukan oleh mereka untuk mereka berhadapan dengan orang Kristian.

Surah ini adalah kesinambungan daripada surah sebelum ini, iaitu Surah Kahf, yang sudah menyentuh tentang salah faham Kristian. Maka, surah Maryam ini menceritakan dengan lebih panjang lagi tentang salah faham mereka. Salah faham mereka adalah tentang kedudukan Nabi Isa عليه السلام yang mereka anggap sebagai anak Tuhan.

Surah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

1. Tentang Nabi Zakaria عليه السلام dan kelahiran anaknya Nabi Yahya عليه السلام. Umur Nabi Zakaria عليه السلام dan isterinya sudah sangat tua waktu itu. Isterinya pula tidak pernah melahirkan anak. Maka kelahiran Yahya عليه السلام adalah kelahiran yang ajaib.

Kemudian disambung dengan kelahiran Nabi Isa عليه السلام pula yang juga lebih ajaib.

 

2. Tentang Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi-Nabi yang lain. Permulaan surah adalah untuk menghadapi orang Kristian dan akhirnya menghadapi orang musyrik maka dibawakan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Walaupun mereka musyrik, mereka masih memandang tinggi terhadap Nabi Ibrahim عليه السلام.

Begitu juga, orang Kristian menghormati Nabi Ibrahim عليه السلام kerana baginda adalah salah seorang dari Nabi mereka. Maka kisah Nabi Ibrahim عليه السلام diletakkan di tengah-tengah.

Kisah Nabi-nabi lain itu dimasukkan untuk menunjukkan bahawa apa yang Nabi Muhammad ﷺ bawa bukanlah perkara baru sangat. Ia memang telah ada dibawa oleh Nabi-nabi yang lain.

 

3. Tentang Musyrikin Mekah.

Surah ini juga menceritakan tentang salah faham Musyrikin Mekah dan mereka yang sama fahaman seperti mereka itu. Jangan sangka Musyrikin Mekah sahaja yang buat syirik. Entah-entah dalam masyarakat kita pun ada fahaman dan amalan syirik walaupun beragama Islam.

 

Surah ini juga menceritakan tentang kepentingan menyampaikan ajaran agama kepada anak-anak kita. Ini untuk memastikan kesucian agama ini berterusan. Kita memang mahukan kebaikan kepada anak-anak kita. Kita hendak mereka sihat dan makan pakai mereka cukup selama mereka hidup.

Tapi jangan hanya fikirkan tentang kelangsungan hidup keduniaan mereka sahaja. Banyak diceritakan tentang perkara ini dalam kisah-kisah yang akan disampaikan. Dalam kisah Nabi Zakaria عليه السلام dan Yahya عليه السلام, Maryam dan Isa عليه السلام dan juga Nabi Ibrahim عليه السلام.

Kita dalam dunia sekarang menghadapi masalah penjagaan anak. Kita bising tentang akhlak dan pengetahuan agama anak-anak sekarang yang umumnya kurang dan akhlak mereka buruk. Kenapa jadi begitu? Kerana ibubapa tidak mengajar agama kepada anaknya.

Mereka tidak ajar kerana mereka sendiri tidak tahu agama. Maka bagaimana mereka hendak mengajar keluarga mereka? Selalunya ibubapa suruh anak belajar di sekolah sahaja sedangkan yang terbaik adalah didikan agama dari ibu bapa sendiri. Maka kena mantapkan pengetahuan agama untuk diri sendiri.

Surah ini juga menempelak mereka yang menjadikan kedudukan Nabi Isa عليه السلام itu berlebihan sampai menaikkan taraf baginda terlalu tinggi melebihi taraf manusia. Maka diingatkan supaya kita pun tidak berbuat begitu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ramai juga orang kita yang ada masalah ini.

Dari kisah Nabi Ibrahim عليه السلام, diberikan contoh bagaimana seorang anak itu kadang-kadang lebih beragama dan lebih berpengetahuan daripada bapanya sendiri. Maka tidak salah kalau ibu dan bapa mendengar nasihat dan mengambil ilmu agama daripada anak sendiri.

Surah ini juga memujuk para sahabat yang sedang ditindas oleh Musyrikin Mekah. Mereka diberikan dengan janji bahawa mereka akan mendapat kebaikan yang berkekalan.

Ulama’ juga membincangkan kedudukan susunan surah ini dalam Al-Qur’an. Surah sebelum surah ini adalah Surah Kahf. Ia menceritakan empat kisah di dalamnya. Telah disampaikan kisah-kisah tentang perkara yang menolak logik – bagaimana ada pemuda-pemuda yang tidur beratus tahun dalam gua; Tentang Nabi Khidr عليه السلام, tentang Dzulqarnain dan lain-lain lagi.

Kemudian sekarang dalam Surah Maryam juga akan disampaikan kisah yang ajaib juga iaitu kelahiran ajaib Nabi Isa عليه السلام. Maka, dari satu surah yang menceritakan tentang kejadian ajaib kepada satu lagi surah tentang kejadian yang ajaib.

Dalam ayat kedua terakhir Surah Kahf, ada disebutkan tentang ‘kalimat’. Makna ‘kalimat’ mempunyai banyak maksud. Ia adalah apa sahaja yang menunjukkan kelebihan dan nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada makhluk. Dalam ayat itu Allah ‎ﷻ berfirman, kalau segala laut dijadikan sebagai dakwat, tidak akan cukup untuk memperkatakan tentang Allah ‎ﷻ dan segala pemberian-Nya.

Maka dalam Surah Maryam ini akan disebut tentang Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام yang juga ada disebut sebagai ‘kalimat’ Allah ‎ﷻ.

Dalam Surah Maryam, Nabi Zakaria عليه السلام dikatakan sebagai hamba-Nya. Begitu juga dalam permulaan dalam surah Kahf di mana Nabi Muhammad ﷺ juga dikatakan sebagai hamba-Nya.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 Perenggan Makro. Perenggan Makro Pertama dari ayat ini sehingga ke ayat 15. Ia berkenaan kisah Ajaib Nabi ZAKARIYA عليه السلام dan Nabi YAHYA عليه السلام. Kisah itu ajaib kerana pasangan tua dan mandul boleh mendapat anak.

كهيعص

Sahih International

Kaf, Ha, Ya, ‘Ayn, Sad.

 

Malay

Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad

 

كهيعص

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqattaah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang ‘dipotong-potong’. Kita tidak tahu dengan pasti apakah maksudnya. Kita tidak tahu kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ.

Ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ‎ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, tetapi ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Ayat kedua dari surah ini sahaja yang kita boleh hendak mula tafsir. Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan ilmu.

Allah ‎ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia hendak berikan pengetahuan. Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita. Kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya.

Bangsa Arab di zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Mereka selalu mengadakan pertandingan sajak dan syair sebagai pertandingan dalam bahasa. Sampaikan kalau sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, sebagai contoh, kalau dieja huruf ya dan seen يس, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘yas’. Tetapi tidak begitu. Begitu juga dengan huruf-huruf كهيعص ini. Maka mereka tertanya-tanya apakah maksudnya? Apakah yang hendak disampaikan? Kalau yang tidak mahu dengar pun akan mula memberi perhatian.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian orang untuk mendengarnya.

Manakala ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah selalunya tentang Al-Qur’an, maka mereka mengambil maksud bahawa Allah ‎ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Ada 29 surah yang dimulai dengan huruf muqatta’ah. 24 daripadanya terus menyebut tentang Al-Qur’an selepas dibacakan huruf muqatta’ah. Lagi lima tidak terus menyebut tentang Al-Qur’an termasuk surah Maryam ini. Kenapa begitu?

Ulama’ turut membincangkan perkara ini. Mereka mengatakan walaupun dalam lima surah itu tidak menyebut dengan jelas tentang Al-Qur’an, tetapi ia menyebut tentang Al-Qur’an secara tersirat atau secara tidak langsung. Sebagai contoh, selepas huruf muqatta’ah كهيعص dalam surah Maryam ini, ayat kedua ada menyebut perkataan ذِكْرُ, dan ذِكْرُ adalah salah satu daripada nama Al-Qur’an.

Keduanya, walaupun di awal surah tidak disebut tentang Al-Qur’an, tetapi di akhir surah nanti akan disebut juga.

Ketiganya, ulama’ bahas lagi bahawa tidak ada keperluan lagi untuk disebut Al-Qur’an selepas huruf-huruf muqatta’ah. Kerana sudah banyak kali sebut di 24 tempat yang lain. Macam kalau cikgu panggil pelajar dan suruh mereka ambil kerja mereka. Kita akan kata: “Ahmad, ambil kerja rumah kaum, Salmi, ambil kerja rumah kamu….”. Sampai kepada murid kelima dan seterusnya, cikgu itu tidak payah sebut lagi kenapa kena ke hadapan. Cikgu akan sebut nama sahaja kerana anak murid sudah tahu.

Begitu juga dengan lima surah yang tidak ada kaitan terus dengan Al-Qur’an. Kerana sudah banyak sangat sebutan tentang Al-Qur’an apabila ada huruf muqatta’ah, maka seperti kita sudah terbiasa – apabila dibacakan huruf muqatta’ah sahaja, terus kita teringat Al-Qur’an. Maka kita boleh katakan, Al-Qur’an melatih kita untuk ingat Al-Qur’an sentiasa.

Nabi ﷺ sendiri mengajar bagaimana cara membaca huruf-huruf muqatta’ah ini. Sebab itu kita baca huruf kaf panjang, huruf ha dan ya pendek dan huruf-huruf seterusnya panjang. Maka, hendaklah kita ikut cara bacaan sebegitu yang telah diajar.


 

Ayat 2:

ذِكرُ رَحمَتِ رَبِّكَ عَبدَهُ زَكَرِيّا

Sahih International

[This is] a mention of the mercy of your Lord to His servant Zechariah

Malay

(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.

 

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ

Ceritakanlah kepada manusia tentang rahmat Tuhan kamu

‘Kamu’ dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Tidak disebutkan apakah rahmat Tuhan itu. Salah satu sebabnya adalah untuk memberikan penekanan itu adalah dari Tuhan. Bukan rahmat yang hendak ditekankan, tapi Allah ﷻ.

Apakah yang hendak disampaikan? Seperti yang telah disebut, surah ini diturunkan di waktu Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat sedang ditindas dengan teruk. Mereka seperti tidak nampak ada harapan lagi. Kalau lihat kepada keadaan masa itu, nampak seperti masa hadapan mereka adalah gelap. Kerana mereka lemah pada waktu itu, dan orang-orang kafir amat kuat menindas mereka.

Tetapi Allah ‎ﷻ mengingatkan Nabi ﷺ dan para sahabat akan rahmat-Nya. Begitu banyak nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada umat-umat terdahulu. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberi nikmat kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Keadaan baginda pada waktu itu pun seperti tidak ada harapan untuk mendapat anak. Baginda sendiri sudah tua sangat dan isterinya dari muda lagi tidak pernah berjaya mendapat anak.

Kalau ikut logik akal, memang tidak ada harapan untuk mendapat anak. namun Allah ‎ﷻ kurniakan juga kepada baginda seorang anak. Begitu jugalah kepada kita yang hendak mengamalkan jalan sunnah ini. Begitu ramai sekali dalam Malaysia ini yang mengamalkan syirik dan bid’ah. Kalau dibandingkan dengan mereka, kita amat sedikit sekali. Mereka mempunyai saluran-saluran yang kuat untuk menyebarkan fahaman salah mereka.

Oleh kerana ia sudah biasa diamalkan oleh masyarakat semenjak dahulu lagi, maka masyarakat lebih selesa memegang pandangan mereka. Kalau kita cerita sedikit tentang sunnah, terus kita dilabelkan sebagai Wahabi. Terus mereka memandang serong kepada kita. Tetapi lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ boleh mengubah keadaan. Dari keadaan yang tidak selesa, umat Islam zaman Nabi ﷺ telah mencapai kejayaan sampai berjaya menakluk Mekah.

Ayat ini memujuk Nabi ﷺ dan para sahabat. Bahawa Allah ‎ﷻ tidak lupa kepada mereka. Mereka cuma perlu bersabar seperti Nabi Zakaria عليه السلام bersabar. Mereka perlu terus berdoa seperti Nabi Zakaria عليه السلام telah terus berdoa. Maka akan diajar bagaimana cara doa Nabi Zakaria عليه السلام nanti.

Allah ‎ﷻ pujuk Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ juga seorang manusia. Seorang manusia akan ada perasaan sedih, takut dan sebagainya. Bukanlah kerana baginda seorang Nabi, baginda tidak terkesan dengan kata-kata dan tohmahan dari kafir Musyrikin Mekah itu. Maka janganlah kita sangka bahawa Nabi itu luar biasa sangat sampai kita puja baginda melebihi kedudukan baginda sebagai manusia.

Nabi ﷺ tidak dapat mengawal apakah yang terjadi kepada baginda dan sahabat, maka tentulah baginda bersedih. Baginda tidak tahu apakah yang akan terjadi di masa hadapan kerana baginda tidak tahu perkara ghaib, jadi baginda risau dan takut. Maka Allah ‎ﷻ memberi ketenangan kepada baginda dengan menceritakan apakah rahmat yang Dia telah berikan kepada Nabi Zakaria عليه السلام.

 

عَبْدَهُ زَكَرِيَّ

(kepada) hamba-Nya yang bernama Zakaria.

Nabi Zakaria عليه السلام adalah salah seorang Nabi yang besar dalam Bani Israil. Dalam hadith disebutkan bahawa baginda adalah seorang tukang kayu dan baginda mencari rezeki dengannya.

Waktu ini Nabi Zakaria عليه السلام sudah lama menjadi Nabi. Mengikut satu riwayat, semasa kisah ini berlaku, baginda berumur 120 dan isterinya sekitar 90 tahun. Ramai yang belajar dengan baginda tapi tidak ada orang-orang Yahudi yang belajar dengannya yang layak untuk menjadi alim dan menyambung tugas baginda menyebarkan agama Islam kepada manusia. Jadi, baginda bimbang kalau tidak ada penggantinya, agama Islam ini akan hilang. Itulah kerisauan baginda.

Jadi, selepas ini adalah kisah tentang Nabi Zakaria عليه السلام.


 

Ayat 3: Dalam ayat kedua, tidak disebutkan tentang apakah nikmat yang telah diberikan kepada Nabi Zakaria عليه السلام. Sekarang Allah ‎ﷻ mula hendak menceritakan tentang nikmat itu.

إِذ نادىٰ رَبَّهُ نِداءً خَفِيًّا

Sahih International

When he called to his Lord a private supplication.

 

Malay

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

 

إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ

Ketika memanggil / berdoa Nabi Zakaria kepada Tuhannya

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah نَادَىٰ. Ia berbeza dengan perkataan ‘doa’. Doa adalah apabila kita bercakap dan kita tahu orang yang kita sedang bercakap itu mendengar cakap kita. Seperti contohnya, orang itu ada dalam bilik dengan kita.

Tetapi perkataan نَادَىٰ itu digunakan apabila seseorang hanya menyuarakan rintihan hatinya. Dia buat begitu kerana dia tidak tahan sangat. Dan dia akan meraung kuat-kuat.

Ada yang mengatakan bahawa Nabi Zakaria عليه السلام‎ berdoa ini di waktu malam apabila manusia lain sedang tidur. Iaitu pada waktu qiyamullail.

 

نِدَاءً خَفِيًّا

dengan suara yang lembah lembut;

Ini adalah suara lemah lembut kerana sedang merayu dan merintih. Jadi kita sebagai makhluk Allah ‎ﷻ, hendaklah berdoa dengan merayu kepada Allah ‎ﷻ. Dengan suara yang lemah lembut.

Jangan kita minta Tuhan berbagai-bagai perkara tetapi langsung tidak dalam nada merayu dan dalam nada sombong macam Tuhan kena beri kepada kita.

Kita pun kenalah merendahkan diri kita dengan mengaku kesalahan kita yang kita sudah buat selama hari ini. Jangan kita tahu minta sahaja tetapi tidak mengaku tentang kesalahan dan dosa yang telah banyak kita buat.

Tadi kita telah belajar bahawa perkataan نِدَاءً bermaksud menyuarakan pengharapan dengan kuat. Iaitu seseorang yang dalam keadaan “desperate”. Tetapi selepas itu digunakan perkataan خَفِيًّا. Ia bermaksud sesuatu yang senyap dan tersembunyi. Kenapa seperti ada perbezaan dari segi maksud itu?

Salah satu keindahan dalam surah ini adalah perkataan yang berlawanan diletakkan bersama. Jadi, kita kena tahu apakah yang dimaksudkan dalam percanggahan itu.

Mufassir mengatakan bahawa tidak ada percanggahan dalam dua perkataan ini. Memang Nabi Zakaria عليه السلام merayu bersungguh-sungguh meluahkan perasaannya, tetapi kepada siapa? Kepada رَبَّهُ Tuhannya – Allah ‎ﷻ maha mendengar. Sebenarnya tidak perlu bercakap dengan kuat dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ maha tahu apakah dalam hati kita dan kehendak dan keperluan kita. Kita tidak cakap pun Allah ‎ﷻ tahu.

Jadi, perkataan نِدَاءً dalam ayat itu adalah berkenaan gelora dalam hatinya, baginda memohon kepada Allah ‎ﷻ dengan nada yang mengharap sangat. Baginda memohon bersungguh-sungguh.

Ulama’ membincangkan apakah cara doa yang paling sesuai? Adakah dengan mengeluarkan suara atau tidak? Pendapat yang kuat mengatakan lebih baik dengan mengeluarkan suara tapi dengan suara yang perlahan. Ia lebih rapat kepada Allah ‎ﷻ. Kerana sama sahaja kalau kita cakap dengan kuat atau berbisik, Allah ‎ﷻ akan mendengar juga.

Tetapi apabila dengan suara perlahan, ia lebih peribadi dan menghalang daripada rasa riak. Dan ia adalah permintaan yang lebih khusyuk. Cuma dalam keadaan tertentu boleh dikuatkan. Iaitu sebagai contoh, doa dalam majlis orang ramai untuk semua orang dan juga apabila hendak mengajar orang lain cara berdoa.

Atau kalau sedang doa merawat orang (ruqyah), memang kena dikuatkan supaya orang di sekeliling tahu yang kita bukannya berdoa kepada makhluk tetapi kepada Allah ‎ﷻ dan doa itu dengan cara yang betul (bukan tawassul).

Maka kerana itulah Nabi Zakaria عليه السلام berdoa dengan perlahan kerana baginda sedang mengadu kepada Allah ‎ﷻ. Ataupun mungkin Nabi Zakaria memulakan doa dengan suara yang kuat. Tetapi kerana doa begitu mengharap dan dengan emosi, maka baginda menangis sampai hilang suaranya.

Atau baginda memang mahu meraung, tetapi kerana baginda sudah tua, maka baginda tidak mampu, jadi suaranya menjadi perlahan sahaja.

Pengajaran yang kita boleh dapat dari ayat ini adalah betapa kita perlu percaya kepada Allah ‎ﷻ. Mintalah kepada Allah ‎ﷻ walau apapun. Kalau Nabi Zakaria عليه السلام memikirkan keadaannya, tentulah baginda tidak minta kepada Allah ‎ﷻ lagi kerana baginda sudah tua sangat dan isterinya tidak pernah melekat dapat anak. Namun baginda tahu bahawa Allah ‎ﷻ mampu berbuat apa sahaja.

Maka baginda minta kepada Allah ‎ﷻ seolah-olah baginda tidak ada apa-apa masalah dan halangan pada Allah ‎ﷻ untuk memakbulkan doanya. Itu memerlukan kepercayaan yang tinggi kepada Allah ‎ﷻ.

Tetapi kadang-kadang kita segan hendak doa kepada Allah ‎ﷻ. Kita rasa macam Allah ‎ﷻ tidak mampu hendak beri apa yang kita minta tu. Adakah Allah ‎ﷻ begitu? Kenapa kita ada sangka buruk dengan Allah ‎ﷻ? Kenapa pula kita hendak kena ada rasa sangsi dengan kemampuan Allah ‎ﷻ?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s