Tafsir Surah al-A’raf Ayat 48 – 53 (Hanya Allah layak disembah)

A’raf Ayat 48:

وَنادىٰ أَصحٰبُ الأَعرافِ رِجالًا يَعرِفونَهُم بِسيمٰهُم قالوا ما أَغنىٰ عَنكُم جَمعُكُم وَما كُنتُم تَستَكبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the companions of the Elevations will call to men [within Hell] whom they recognize by their mark, saying, “Of no avail to you was your gathering¹ and [the fact] that you were arrogant.”

  • i.e., great numbers or gathering of wealth.

MALAY

Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: “Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu – tidak dapat menolong kamu”.

 

وَنادىٰ أَصحٰبُ الأَعرافِ رِجالًا يَعرِفونَهُم بِسيمٰهُم

Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, 

Ahli al-A’raf telah menyeru lelaki yang mereka kenal dalam kalangan ahli neraka. Mereka boleh kenal kerana ada tanda pada muka ahli neraka itu.

Ayat sebelum ini disebut mereka tidak memberi salam kerana memang tidak patut diberikan salam pun. Namun begitu Allah ‎ﷻ takdirkan ada perbualan di antara mereka. Ini adalah untuk mengajar kita dan memberi peringatan kepada kita, supaya janganlah jadi seperti mereka.

Maka ini bukanlah perbuatan yang mesra, tetapi perbualan ahli A’raf mengutuk ahli neraka. Mari kita lihat apakah yang dikatakan oleh mereka.

 

قالوا ما أَغنىٰ عَنكُم جَمعُكُم

dengan berkata: “Nampaknya tidak dapat menolong kamu, kumpulan kamu yang ramai 

Telah berkata lelaki yang duduk di al-A’raf itu kepada ahli neraka: Bilangan kamu yang ramai dulu di dunia tidak boleh menolong kamu pun. Ketika di dunia, bilangan kamu ramai dan kamu ada pengaruh. Kamu tertipu dengan ramainya pengikut kamu sehingga kamu berasa kamu benar.

Begitulah dalam dunia sekarang di mana puak yang mengamalkan syirik dan bid’ah dalam masyarakat adalah terlalu ramai. Malah mereka itu yang menjadi golongan majoriti. Mereka berasa mereka benar kerana bilangan mereka ramai. Mereka sangka, kalau mereka salah, tidak mungkin ramai yang ikut mereka dan sependapat dengan mereka. Tetapi begitulah dalam agama Islam, ramai atau majoriti tidak bererti benar. Yang benar adalah amalan dan ajaran yang mengikut apa yang ada dalam nas yang sahih.

Lagi satu tafsir bagi kalimah جَمعُكُم itu adalah ‘apa yang kamu kumpulkan’, iaitu dari segi harta kekayaan. Ini kerana orang yang tidak beriman, mereka mementingkan kekayaan dan harta. Itulah sahaja yang mereka sibuk kumpulkan. Oleh kerana mereka kaya, mereka rasa mereka sudah cukup dan tidak perlukan sesiapa, maka mereka menjadi takabbur. Ini seperti disebut dalam [ Alaq: 7 ]

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ

kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Ini kerana mereka suka mengumpul harta dan suka melihat hartanya bertambah banyak seperti disebut dalam [ Humazah: 2 ]

الَّذي جَمَعَ مالًا وَعَدَّدَهُ

yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung,

 

وَما كُنتُم تَستَكبِرونَ

dan juga segala apa yang kamu besarkan dahulu

Lafaz ما كُنتُم تَستَكبِرونَ bermaksud benda yang dipuja, yang diagungkan, dan yang mereka besarkan semasa di dunia dulu. Apa yang mereka puja selain Allah‎ ﷻ itu, tidak dapat menolong mereka langsung.

Atau, kamu rasa diri kamu besar, tidak akan masuk neraka, itu adalah anggapan yang salah sama sekali.


 

A’raf Ayat 49:

أَهٰؤُلاءِ الَّذينَ أَقسَمتُم لا يَنالُهُمُ اللَّهُ بِرَحمَةٍ ۚ ادخُلُوا الجَنَّةَ لا خَوفٌ عَلَيكُم وَلا أَنتُم تَحزَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh will say], “Are these¹ the ones whom you [inhabitants of Hell] swore that Allāh would never offer them mercy? Enter Paradise, [O people of the Elevations]. No fear will there be concerning you, nor will you grieve.”

  • The humble believers who are now in Paradise. Another interpretation regards them as the people on the elevated partition.

MALAY

(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): “Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): ` Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita. ‘ “

 

أَهٰؤُلاءِ الَّذينَ أَقسَمتُم لا يَنالُهُمُ اللَّهُ بِرَحمَةٍ

“Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat daripada Allah?

Ini adalah sambungan kata-kata ahli A’raf kepada penghuni neraka: Inikah orang-orang (yang dimaksudkan adalah ahli syurga) yang kamu ahli neraka telah bersumpah semasa di dunia yang mereka (ahli syurga) tidak akan dapat rahmat daripada Allah‎ ﷻ kerana mereka orang bawahan?

Maknanya, mereka bercakap tentang ahli syurga sesama mereka. Ini kerana dahulu ketika di Mekah, pemuka-pemuka Mekah telah mengatakan orang-orang bawahan yang mengikuti Nabi Muhammad ﷺ seperti Bilal رضي الله عنه dan pengikut yang lain, tidak akan ke mana-mana. Mereka kata, tidak mungkin orang yang tidak ada kedudukan itu tahu manakah yang baik dan mana yang tidak.

Satu lagi tafsir yang dinisbahkan kepada Ibn Abbas رضي الله عنهما, ini adalah pemberitahuan daripada Allah ‎ﷻ kepada ahli neraka tentang ashabul A’raf. Allah ‎ﷻ beritahu di hujung dialog antara ahli neraka dan ashabul A’raf.

 

ادخُلُوا الجَنَّةَ لا خَوفٌ عَلَيكُم وَلا أَنتُم تَحزَنونَ

Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita. ‘ “

Masih lagi tentang ahli syurga. Dahulu kamu merupakan orang yang membuat syirik, suka mengatakan orang yang mengamalkan tauhid itu tidak akan dapat apa-apa kebaikan, sedangkan sekarang mereka telah diberitahu untuk sila masuk syurga oleh Allah ‎ﷻ. Lihatlah bagaimana sekarang? Kamu masuk neraka, tetapi mereka pula masuk syurga. Maka siapakah yang benar?

Apabila sudah masuk syurga, sudah tidak perlu untuk berasa takut untuk menghadapi masa depan dan tidak berdukacita meninggalkan segala harta dan sanak saudara di dunia, kerana mereka menuju tempat yang lebih baik.

Maka, ayat-ayat ini mengajar kita, kadang-kadang orang yang mengamalkan ajaran yang benar itu tidak ramai, dan mereka tidak ada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Namun Allah ‎ﷻ bukan melihat kepada ramainya bilangan mereka itu atau kedudukan seseorang dalam masyarakat.

Satu lagi tafsir yang dinisbahkan kepada Ibn Abbas رضي الله عنهما, ini adalah kata-kata Allah ‎ﷻ kepada ashabul A’raf di mana mereka dijemput masuk ke dalam syurga.


 

A’raf Ayat 50: Sekarang bertukar kepada perkataan yang dikeluarkan oleh ahli neraka pula. Allah‎ ﷻ menceritakan kehinaan yang dialami oleh ahli neraka.

وَنادىٰ أَصحٰبُ النّارِ أَصحٰبَ الجَنَّةِ أَن أَفيضوا عَلَينا مِنَ الماءِ أَو مِمّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ ۚ قالوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُما عَلَى الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the companions of the Fire will call to the companions of Paradise, “Pour upon us some water or from whatever Allāh has provided you.” They will say, “Indeed, Allāh has forbidden them both to the disbelievers

MALAY

Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmanNya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.

 

وَنادىٰ أَصحٰبُ النّارِ أَصحٰبَ الجَنَّةِ

ahli neraka menyeru ahli Syurga: 

Sekarang ahli neraka pula berkata kepada ahli syurga. Ini kerana ahli syurga yang datang dulu bertanya kepada ahli neraka. Jika ahli neraka sengaja datang mengganggu ahli syurga dan menyeru begini, sememangnya tidak boleh.

 

أَن أَفيضوا عَلَينا مِنَ الماءِ

“Limpahkanlah kepada kami sedikit daripada air

Mereka meminta ahli syurga menyimbahkan sedikit air untuk menyejukkan diri mereka dan boleh mereka minum. Mereka meminta sedikit sahaja. Bukannya air yang ahli syurga hendak gunakan pun, tetapi daripada air-air yang melimpah yang mereka tidak perlukan pun.

Lihatlah apa yang diminta oleh ahli neraka itu. Mereka hanya meminta air sahaja, air kosong. Ia adalah perkara kecil sahaja. Namun begitu itulah yang mereka minta kerana di neraka, air kosong pun mereka tidak dapat. Mereka minta kerana mereka tidak ada air yang boleh diminum di neraka. Yang ada hanya air yang panas menggelegak, air nanah serta air kotoran sahaja. Mereka minta kerana mereka terlalu dahaga, ditambah pula dengan kepanasan yang amat sangat dibakar dalam neraka!

 

أَو مِمّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ

atau daripada rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”.

Atau berikanlah apa-apa sahaja yang Allah‎ ﷻ telah beri rezeki pada kamu. Tadi minta air, sekarang minta makanan pula. Mereka tahu yang ahli syurga mendapat banyak makanan melimpah ruah, maka mereka meminta sedikit. Ya lah, tidak luak pun makanan ahli syurga kalau diberikan sedikit kepada mereka.

 

قالوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُما عَلَى الكٰفِرينَ

Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.

Ahli syurga menjawab: “Allah ‎ﷻ telah mengharamkan kepada orang kafir. Kami tidak boleh beri.”

Bayangkan alangkah sakitnya hati menerima layanan sebegitu. Bayangkan kita tengah lapar sangat, minta sedikit makanan daripada orang yang kita tahu ada banyak makanan. Tetapi dia kata dia tidak boleh beri atau tidak mahu beri – tentulah kita sakit hati sungguh. Memang itulah yang dikenakan terhadap mereka. Allah ‎ﷻ mahu mengazab emosi mereka supaya mereka lebih terseksa jiwa dan raga.

Ahli syurga jawab Allah ‎ﷻ yang tidak benarkan dan haramkan ke atas ahli neraka. Kerana kalau tidak, entah mereka akan minta lagi di lain waktu. Maka, permintaan mereka ditutup terus.


 

A’raf Ayat 51: Siapakah orang kafir yang tidak layak untuk mendapat makanan dari syurga itu?  Dan yang lebih penting, apakah sifat-sifat mereka?

الَّذينَ اتَّخَذوا دينَهُم لَهوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتهُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۚ فَاليَومَ نَنسٰهُم كَما نَسوا لِقاءَ يَومِهِم هٰذا وَما كانوا بِئآيٰتِنا يَجحَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who took their religion as distraction and amusement and whom the worldly life deluded.” So today We will forget them just as they forgot the meeting of this Day of theirs and for having rejected Our verses.

MALAY

(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.

 

الَّذينَ اتَّخَذوا دينَهُم لَهوًا وَلَعِبًا

orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan,

Mereka itu menjadikan agama sebagai permainan sahaja, bukan sesuatu yang diambil serius. Hanya ketika ada kepentingan dan keperluan sahaja, barulah mereka gunakan agama. Mereka buat perkara yang lalai dan melekakan mereka dalam dunia.

Mereka mengambil mudah sahaja urusan agama – senang sahaja menghalal dan mengharamkan sesuatu perkara. Mereka tidak mengikut peraturan wahyu. Mereka memandai sahaja buat syariat sendiri.

Apakah perbezaan di antara لَهوًا dan لَعِبًا? Apabila diletakkan bersama dalam satu ayat, mesti ada bezanya. لَهوًا bermaksud yang melekakan kita sehingga terlupa kewajipan kita. Ia mungkin benda yang harus malah mungkin bermanfaat. Seperti main bola, ia bagus untuk kesihatan dan bersosial. Akan tetapi jika ia dilakukan secara berlebihan sampai melalaikan kita daripada salat, maka ia sudah menjadi لَهوًا.

Sedangkan لَعِبًا adalah benda yang memang tidak ada manfaat. Seperti main game, asyik menonton Tik Tok tanpa jemu (yang tidak ada manfaat, jika ada manfaat seperti perkara berkaitan perkara berkaitan tidaklah mengapa). Seorang Mukmin tidak sepatutnya membuang masa dengan perkara tidak berfaedah. Seorang Mukmin sentiasa sedar yang dia mempunyai tugas di dunia ini dan terus berusaha untuk mencari manfaat dalam setiap perkara yang dia lakukan.

Tidak menghairankan jika saya katakan perbuatan membaca Al-Qur’an turut boleh menjadi perkara main-main juga. Bagaimanakah berlaku begitu pula? Ia berlaku apabila seseorang membaca Al-Qur’an, namun malangnya tidak pula memahami apa yang dibaca. Maka akhirnya dia sendiri telah melanggar dan melakukan larangan dengan apa yang dia baca itu tanpa sedar. Maknanya dia main-main sahaja sebab tidak mengikut pun apa yang dibaca itu. Itulah masalahnya jika pengajian tafsir Al-Qur’an tidak diambil peduli.

Sementara itu terdapat juga golongan yang main-main dengan hukum. Sebagai contoh paling mudah adalah segolongan wanita yang hanya menutup aurat pada setiap hari Jumaat atau di bulan Ramadhan sahaja. Habis sahaja bulan Ramadhan dia kembali membuka auratnya tanpa rasa bersalah dengan hukum wajib ini. Atau ada golongan lelaki yang hanya salat Jumaat sahaja manakala salat wajib yang lain sehari-hari ditinggalkan begitu sahaja. Atau terdapat juga yang hanya suka berpuasa pada bulan Ramadhan tetapi salat fardu ditinggalkan pula. Maka mereka ini main ikut suka hati mereka sahaja hukum mana yang mereka hendak amalkan.

 

وَغَرَّتهُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا

dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia

Mereka telah diperdaya dengan kehidupan dunia. Dunia itu memang indah dan nafsu kita memang tertarik kepadanya. Namun janganlah sampai kita tertipu dengannya. Malangnya ahli neraka itu telah tertipu dengan keindahan dunia dan segala perbuatan mereka untuk memuaskan mereka di dunia sahaja.

Perkara ini banyak kali disebut dalam Al-Qur’an. Apakah maksudnya? Kita sebagai manusia, tentulah ada keperluan kepada dunia. Kita juga berkeinginan kepada harta, anak, keluarga dan kawan-kawan dan sebagainya. Namun janganlah keinginan itu melebihi daripada keinginan kita kepada akhirat. Keinginan terhadap akhirat mestilah melebihi keinginan terhadap dunia.

 

فَاليَومَ نَنسٰهُم كَما نَسوا لِقاءَ يَومِهِم هٰذا

Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa tentang pertemuan pada hari ini,

Allah ‎ﷻ beritahu: hari ini Dia lupakan mereka. Janganlah pula kita kata Allah ‎ﷻ boleh lupa, kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah lupa. Sifat lupa adalah satu kelemahan, dan jauh sekali Allah ‎ﷻ mempunyai sifat yang lemah.

Oleh sebab itu, hendaklah difahami apakah maksud ‘lupa’ dalam ayat sebegini. ‘Lupa’ dalam ayat ini maksudnya tidak memberi balasan baik. Allah ‎ﷻ tidak menghiraukan mereka, buat-buat lupa. Letak mereka ke tepi dan tidak mahu fikirkan lagi. Sebelum ini disebut yang mereka minta minuman dan rezeki daripada ahli syurga, bukan? Allah ‎ﷻ tidak menghiraukan langsung permintaan mereka.

Ini adalah kerana mereka dulu lupa kepada hari kebangkitan dan hari akhirat. Mereka lupa untuk bersedia menghadapi hari akhirat. Maka memang patut kali ini mereka dilupakan oleh Allah ‎ﷻ. Berkali-kali Allah ‎ﷻ telah memberikan peringatan tetapi mereka buat tidak tahu sahaja.

 

وَما كانوا بِئآيٰتِنا يَجحَدونَ

dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.

Oleh kerana dahulu semasa di dunia mereka mengingkari ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka selalu mempersoalkan, selalu sahaja hendak melawan. Dalil yang sahih sudah ada, tetapi mereka tidak mahu terima atau mereka tafsir ikut nafsu mereka.

Begitulah banyak terjadi dalam kalangan masyarakat kita. Sebagai contoh, golongan yang ingin menegakkan hujah akal seperti Kumpulan “Sisters in Islam” di negara kita ini yang memandai-mandai sahaja mahu menukar fahaman wahyu dengan fahaman mereka yang sesat itu. Amat malang sekali ramai betul pengikut mereka. Mereka yang jauh daripada memahami wahyu Allah yang sebenar akan mudah sahaja terpedaya dengan fahaman golongan ini.

Nota: Ada ulama’ kata bahawa ashabul A’raf itu dapat memasuki syurga pada akhirnya. Ini adalah kerana kesudahan akhir nanti hanya ada dua golongan sahaja – ahli syurga ataupun ahli neraka. Namun begitu perinciannya tiada. Mengikut Ibn Abbas رضي الله عنهما, mereka dijemput masuk ke syurga di penghujung ayat 49 di atas.

Antara persoalannya, bilakah mereka akan memasuki syurga? Kemungkinan besar ia berlaku apabila terdapat ahli neraka terakhir yang dapat masuk syurga. Seperti yang kita telah maklum, bukan semua ahli neraka akan kekal di dalam neraka. Ada yang dapat masuk syurga juga akhirnya.

Oleh sebab itu, apabila ada ahli neraka yang terakhir keluar dari neraka dan memasuki syurga, maka ketika itu, ashabul A’raf itu turut memasuki sekali dengan mereka ke dalam syurga. Ashabul A’raf berkeadaan begini bukanlah untuk selamanya tetapi cuma pada permulaan sahaja.


 

A’raf Ayat 52: Sebelum ini telah disebut tentang golongan yang masuk neraka. Allah ‎ﷻ memberitahu bukanlah Dia zalim kerana memasukkan mereka ke dalam neraka, kerana Dia telah memberikan wahyu kepada mereka, telah membangkitkan para Rasul untuk memperjelaskan tentang wahyu itu. Maka tidak ada alasan lagi ke atas mereka kerana Allah ‎ﷻ telah patahkan alasan mereka itu.

وَلَقَد جِئنٰهُم بِكِتٰبٍ فَصَّلنٰهُ عَلىٰ عِلمٍ هُدًى وَرَحمَةً لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly brought them a Book which We detailed by knowledge – as guidance and mercy to a people who believe.

MALAY

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Qur’an) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

 

وَلَقَد جِئنٰهُم بِكِتٰبٍ فَصَّلنٰهُ عَلىٰ عِلمٍ

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Qur’an) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan

Allah ‎ﷻ telah sampaikan kepada mereka wahyu Al-Qur’an. Dalam Al-Qur’an itu telah jelas memperkatakan tentang agama terutama tentang akidah yang telah diterangkan dengan jelas. Mereka sahaja yang tidak hiraukan.

Allah ‎ﷻ telah menghuraikan Al-Qur’an yang betul-betul kuat dalilnya. Allah ‎ﷻ telah membangkitkan pula Nabi Muhammad ﷺ untuk memperjelaskan bagaimana beramal dengan Al-Qur’an. Itulah maksud ‘ilmu’ dalam ayat ini. Ia berdasarkan ilmu Allah ‎ﷻ yang maha luas dan sempurna. Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita perlukan, apa yang telah berlaku, apa yang akan terjadi. Maka, apa yang Allah ‎ﷻ beritahu adalah kebenaran yang kita mesti ikut, tidak ada pilihan lain lagi.

Maka kerana itulah kitab Al-Qur’an ini sesuai digunakan sebagai panduan hidup di mana sahaja, bila-bila masa sahaja. Ilmu yang datang daripada manusia, lama kelamaan akan luput tidak boleh digunapakai lagi kerana sudah tidak sesuai dengan zaman, bukan? Ini kerana manusia tidak ada ilmu yang luas sebagaimana Allah ‎ﷻ.

 

هُدًى وَرَحمَةً لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

Al-Qur’an itu memberi petunjuk dan orang yang mempelajari dan mengamalkannya akan mendapat rahmat bila diamalkan. Ia diberikan kepada semua orang, tetapi yang dapat mengambil manfaat daripadanya hanyalah orang mahu beriman.

Oleh kerana mereka mahu beriman, maka mereka menjadikan Al-Qur’an itu sebagai sumber petunjuk dan sumber rahmat. Itulah sebabnya kita mesti mempelajari Al-Qur’an ini dengan mempelajari tafsir, dan bukan setakat membacanya sahaja tanpa memahaminya. Sekiranya kita tidak mahu mempelajarinya, maka ini bermakna kita adalah orang yang sombong sesombongnya.

Amat pelik sekali bagi umat Islam yang sentiasa meminta hidayah (setiap hari dalam salat ketika membaca Fatihah) akan tetapi tidak dicari hidayah itu di dalam Al-Qur’an. Memang kita minta hidayah dan Allah ‎ﷻ telah beri pun hidayah itu dalam Al-Qur’an. Kita kenalah ada usaha untuk mencari hidayah itu, bukannya hanya minta dengan mulut sahaja.


 

A’raf Ayat 53: Takhwif ukhrawi

هَل يَنظُرونَ إِلّا تَأويلَهُ ۚ يَومَ يَأتي تَأويلُهُ يَقولُ الَّذينَ نَسوهُ مِن قَبلُ قَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ فَهَل لَّنا مِن شُفَعاءَ فَيَشفَعوا لَنا أَو نُرَدُّ فَنَعمَلَ غَيرَ الَّذي كُنّا نَعمَلُ ۚ قَد خَسِروا أَنفُسَهُم وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they await except its result?¹ The Day its result comes those who had ignored it before will say, “The messengers of our Lord had come with the truth, so are there [now] any intercessors to intercede for us or could we be sent back to do other than what we used to do?” They will have lost themselves, and lost from them is what they used to invent.

  • The fulfillment of what is promised in the Qur’ān.

MALAY

Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Qur’an), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Qur’an itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.

 

هَل يَنظُرونَ إِلّا تَأويلَهُ

Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibatnya

Mereka tidak tunggu melainkan hukuman Allah ‎ﷻ yang telah disebut dalam Al-Qur’an itu, iaitu tafsiran Allah ‎ﷻ (takwil) daripada ayat Al-Qur’an untuk mengazab mereka. Itulah janji-janji Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an. Mungkin susah sedikit untuk faham ayat ini. Kita cuba jelaskan.

Takwil daripada ayat Al-Qur’an itu akan jelas apabila ia benar-benar terjadi. Kita selalu cuba memberi penjelasan tentang ayat-ayat Al-Qur’an itu. Namun itu sebagai cubaan pemahaman daripada kita sahaja. Sebagai contoh, kita cuba menjelaskan tentang azab neraka itu tetapi, ia menjadi amat jelas, apabila ia betul-betul berlaku di depan mata. Itu adalah takwil yang amat jelas sekali. Tidak ada takwil yang lebih jelas daripada itu.

Maka, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tanyakan: Adakah mereka ingin tunggu sehingga azab yang dijanjikan itu betul-betul telah ada di hadapan mata mereka? Kenapa bodoh sangat sampai mahu tunggu ia benar-benar terjadi baru hendak percaya? Pada waktu itu semuanya sudah terlambat – sekiranya pada waktu itu baru hendak beriman, sudah tidak diterima lagi iman mereka itu.

 

يَومَ يَأتي تَأويلُهُ يَقولُ الَّذينَ نَسوهُ مِن قَبلُ

pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Qur’an itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu:

Ketika azab sudah ada berada di depan mata mereka, barulah orang yang tidak hiraukan ayat-ayat Al-Qur’an itu dulu hendak percaya. Mereka mensia-siakan amal dan kehidupan mereka dengan meninggalkan ajaran daripada wahyu. Pada waktu itu baru mereka menyesal, amat-amat menyesal sekali. Apa yang mereka akan kata sebagai alasan mereka?

 

قَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ

“Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran,

Apabila sudah nampak apa yang telah dijanjikan dalam Al-Qur’an itu nyata di depan mata mereka, baru mereka mahu mengaku yang memang telah datang Rasul kepada mereka yang membawa kebenaran. Tidak ada alasan lagi yang mereka boleh keluarkan, maka mereka mengaku sahaja.

Memang setiap kaum telah diberikan dengan Rasul penyebar tauhid. Sekiranya kita yang tidak ada rasul ini, ia merujuk kepada penyebar tauhid yang telah datang kepada kita. Pada waktu itu baru mereka nampak bahawa apa yang disampaikan oleh Rasul itu atau penyebar tauhid itu adalah benar belaka.

 

فَهَل لَّنا مِن شُفَعاءَ فَيَشفَعوا لَنا

maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami?

Pada ketika itu, mereka bersungguh-sungguh mengharap ada pemberi syafaat yang boleh memberi sokongan kepada mereka, yang boleh rekomen tentang mereka kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka tahu yang mereka dalam masalah yang amat besar dan mereka tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka sendiri. Mereka mengharapkan sangat kepada bantuan luar. Maka sekarang mereka tanya adakah bagi mereka pemberi syafaat?

 

أَو نُرَدُّ فَنَعمَلَ غَيرَ الَّذي كُنّا نَعمَلُ

atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?”

Atau mereka meminta supaya mereka diberikan peluang untuk kembali ke dunia untuk membuat amalan lain daripada amalan mereka dahulu. Dulu mereka buat amalan yang salah – amalan syirik dan bid’ah. Sekarang baru hendak mengaku yang amalan mereka itu adalah salah.

Permintaan sebegini amat banyak diceritakan dalam Al-Qur’an. Maka, hendaklah kita ambil pengajaran, supaya kita jangan jadi seperti mereka. Buatlah amal kebaikan semasa kita ada kesempatan di dunia ini lagi kerana kita tidak ada peluang kedua. Peluang kita sekali sahaja semasa kita hidup di dunia ini. Namun kalaulah peluang diberi juga, adakah mereka akan lakukan seperti janji mereka? Tidak, kerana Allah ‎ﷻ sendiri beritahu yang mereka itu menipu sahaja seperti disebut [ An’am: 27-28 ]

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلَى النّارِ فَقالوا يٰلَيتَنا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِئآيٰتِ رَبِّنا وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ ۖ وَلَو رُدّوا لَعادوا لِما نُهوا عَنهُ وَإِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

 

قَد خَسِروا أَنفُسَهُم

Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri,

Allah ‎ﷻ beritahu jawapan kepada permintaan mereka: mereka telah merugikan diri mereka kerana tidak mengambil peluang semasa hidup dulu supaya beramal yang soleh.

Sekarang peluang sudah tidak ada kerana mereka telah mati, dan bumi telah dihancurkan sehancur-hancurnya, dan tidak akan dipulangkan ke dunia lagi. Permintaan mereka itu sia-sia sahaja. Maka, janganlah kita rugikan diri kita sekarang.

 

وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

dan telah lenyaplah daripada mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.

Segala perkara yang mereka reka tentang agama, tidak ada. Sebagai contoh, mereka reka-reka dengan mengatakan wali dan Nabi yang mereka sembah dan seru itu akan beri bantuan dan syafaat kepada mereka. Namun bantuan yang mereka kata ada itu, tidak sampai-sampai kerana memang tidak ada pun, mereka sahaja yang reka pemahaman tiada asas itu.

 

Habis Ruku’ 6 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Sep 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s