Ayat 2: Kerja mereka mengumpul harta sahaja. Mereka fokus pada kumpul harta dengan banyak, padahal kalau nak pakai bukan banyak pun. Kalau buat rumah seratus biji pun bukan boleh duduk semua rumah yang dia beli itu. Kalau beli baju banyak pun, bukan boleh pakai semua pun.
الَّذي جَمَعَ مالًا وَعَدَّدَهُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Who collects wealth and [continuously] counts it.¹
- Rather than spending in the way of Allāh.
(MALAY)
yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung,
Ini adalah sifat kedua orang yang layak mendapat وَيلٌ itu. Sebelum ini telah disebut mereka melakukan humazah dan lumazah.
Kaitan ayat ini dengan ayat 1: Orang yang kedekut sedang dikritik dalam ayat ini. Mereka akan mencari kesalahan dan kelemahan orang lain, dan mereka akan menceritakan kelemahan orang itu, supaya kelemahan dan kesalahan mereka sendiri tidak kelihatan. Allah marah dengan orang sebegini.
Lagi satu, apabila kalimah yang melibatkan همز disebut dalam Al-Qur’an, akan ada kaitan dengan harta. Lihat Qalam:11
هَمّازٍ مَشّاءٍ بِنَميمٍ
(yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah).
Kemudian lihat pula Qalam:14
أَن كانَ ذا مالٍ وَبَنينَ
(kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak).
Ini adalah sebahagian dari ketepatan penggunaan bahasa yang ada dalam Al-Qur’an di mana konsep yang sama digunakan. (Lalu bagaimana lagi ada orang yang kata Nabi Muhammad sendiri yang menulis Al-Qur’an ini? Tidak mungkin!)
Kalimah جَمَعَ memberi isyarat yang orang yang dimaksudkan dalam ayat ini menghabiskan seluruh usaha hidupnya untuk mencari dan mengumpul harta dan kekayaan. Kita dapat tahu dari kalimah جَمَعَ yang dalam bentuk past tense. Maknanya, ia menceritakan tentang kehidupannya yang telah lepas, sebab itu kita boleh katakan yang dia sebelum dia mati, memang dia jenis yang mengumpulkan harta sahaja.
Mereka ini jenis yang sanggup buat macam-macam untuk mengembangkan perniagaan mereka, kekayaan mereka – sebagai contoh, ada yang gunakan pekerja dan bayar gaji murah dan susahkan kehidupan mereka. Sebagai contoh, ada syarikat yang melayan pekerja mereka sebagai hamba, sampaikan mereka tidak dapat lari dari kilang mereka – kena kerja tanpa cuti.
Kalimah عَدَّدَهُ memberitahu kita yang mereka suka untuk mengira-ngira harta mereka, berapa banyak sudah bertambah dan berapa banyak lagi yang mereka hendak.
Juga bermaksud mereka ‘bersedia’ – maksudnya mereka menyediakan harta dan wang mereka sebagai insuran untuk masa depan mereka. Mereka kata kena pandang jauh dan kena bersedia terhadap apa yang jadi di masa hadapan. Ini tidaklah salah sangat, tapi kita orang mukmin kena pandang lagi jauh, bukan setakat usia tua sahaja tapi kena melangkau sampai ke akhirat.
Sebab itu kita kena bersedia dengan amal soleh, tapi mereka yang mengumpul harta untuk masa depan itu sebenarnya hanya pandang pendek sahaja, kerana mereka pandang setakat dunia sahaja. Mereka tidak tahukah yang harta mereka itu mereka hanya boleh pakai setakat mereka mati sahaja? Bagaimana pula selepas mereka mati? Adakah ia dapat membantu mereka? Tentu tidak.
Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah مالًا (kekayaan). Ianya dalam bentuk mufrad sahaja kerana Allah hendak merendahkan kemewahan itu. Kalau jamak, kalimah اموال yang digunakan, tapi Allah tidak gunakan begitu kerana harta itu tidak banyak pun – tidak kira berapa banyak pun harta itu ada pada kita, ianya tidak boleh dibandingkan dengan harta seluruh alam ini.
Kita mungkin sangka apa yang kita ada itu sudah banyak, tapi kita pun tahu, ada banyak lagi orang yang lebih kaya dan banyak lagi yang bukan harta kita. Kalau bekerja tidak berhenti sampai mati pun, tidak akan dapat semua harta itu. Maka jangan banggalah kalau ada duit banyak, sebab bukan banyak pun.
Kalau ada yang bangga, mereka itu berbangga tak kena tempat. Dan harta yang banyak di dunia itu tidak ada nilai langsung kalau dibandingkan dengan akhirat. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Tawbah:38
يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا ما لَكُم إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ ۚ أَرَضيتُم بِالحَياةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَما مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ
Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.
Tidak berguna langsung harta yang banyak itu kalau ada masalah di akhirat kelak. Seperti yang firmankan dalam Ali Imran:91
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang diantara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.
Mereka sangka duit mereka banyak dan dapat menyelamatkan mereka, tapi tidak sama sekali. Mereka buang masa sahaja di dunia mengumpul harta yang mereka tidak boleh bawa mati pun dan tidak memberi manfaat kepada mereka langsung kalau mereka kufur dengan perintah Allah.
Mereka yang mahukan harta yang banyak itu, kadang-kadang sanggup buat apa sahaja cara untuk dapat harta dengan banyak dan banyak lagi. Mereka tidak kisah kalau mereka menyusahkan manusia lain. Ramai yang zalim kepada orang lain untuk menambah harta mereka.
Antara yang selalu digunakan oleh organisasi yang kaya dan banyak duit adalah mengenakan riba untuk orang lain pakai duit mereka. Ini adalah keburukan yang amat teruk sekali. Ia menyusahkan orang yang tidak ada wang dan menyebabkan rosaknya ekonomi. Bayangkan: kerana ribalah yang menyebabkan susah orang kita hendak hidup dengan senang.
Sebagai contoh, katakanlah ada satu rumah yang asalnya 20 ribu sahaja semasa ianya dibina. Tapi kerana pembeli tidak ada wang modal, maka mereka akan pinjam pada bank. Harga rumah yang 20 ribu itu entah jadi 40 ribu. Kemudian apabila pembeli pertama itu mahu pindah ke rumah yang lebih besar, dia akan jual rumahnya itu dengan untung, bukan? Tentu dia akan jual lebih lagi dari 40 ribu itu, bukan? Jadi mungkin dia akan jual dengan harga 50 ribu kerana tambah untung dia sikit.
Orang yang mahu membeli rumah itu pun kena pinjam bank juga, maka harga rumah itu sekarang dah jadi 100 ribu pula! Padahal asalnya 20 ribu sahaja tapi telah naik jadi berkali ganda kerana riba. Maka susahlah orang kita hendak tinggal di rumah sendiri. Ada yang sampai mati duduk di rumah sewa sahaja kerana tidak mampu untuk beli rumah yang mahal-mahal harganya.
Jadi nampak atau tidak bagaimana keburukan riba ini? Kerana itulah ia ditentang dalam Islam. Islam tidak membenarkan riba dijalankan kerana akan menyebabkan kesusahan kepada masyarakat. Ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana mereka nampak Islam sahaja yang menentang perkara buruk ini. Mereka nampak yang Islam ini memang agama yang menjaga kebajikan manusia dan ianya bukan sahaja mengajar dalam perkara ibadat sahaja, tapi dalam perkara kehidupan sekali – maknanya Islam ini adalah agama yang syumul, yang lengkap. Ianya untuk dunia dan akhirat sekali.
Kerana itu orang mukmin yang sudah tua pun, mereka akan tanam pokok supaya dapat memberi manfaat kepada generasi selepasnya walaupun dia tidak sempat lagi untuk menikmati pokok itu. Kerana orang mukmin akan faham tentang konsep ‘sedekah jariah’ – sedekah yang berterusan yang boleh dimanfaat di akhirat walaupun dia sudah tiada lagi. Inilah keindahan Islam.
Jadi, orang yang dikutuk dalam ayat ini, mereka tidak hiraukan orang lain. Mereka hanya mementingkan harta mereka sahaja. Mereka kumpul harta dan suka untuk mengira berapa banyak sudah bertambah. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan kekayaan lagi dan lagi.
Mereka juga tidak gunakan wang mereka itu untuk kebaikan manusia lain. Kerana mereka akan simpan sahaja (kalau mereka kira-kira itu, ia bermakna yang mereka tidak beri orang lain, tapi simpan sendiri). Mereka rasa yang mereka akan hidup selama-lamanya. Mereka tidak ingat mati pun kerana mereka hidup dengan mewah sekali sampaikan mereka terlupa yang mereka akan akhirnya akan mati. Memang dari segi logik akal pun, mereka tahu mereka akan mati pun, tidak ada yang hidup selamanya, tapi cara mereka itu seolah-olah mereka tidak akan mati pula.
Jangan sangka ayat ini tentang orang kafir sahaja. Kita orang Islam ini pun begitulah juga – sudah terikut-ikut dengan cara kafir. Ini kerana kita jauh sekali dari agama dan dari Al-Qur’an. Nama sahaja Muslim, tapi cara hidup jauh dari cara Islam.
Kalimah عَدَّدَ = mereka menyediakan harta mereka itu sebagai insurans persediaan masa hadapan. Mereka tidak yakin dengan qada’ dan qadar Allah, maka mereka nak bersedia dengan harta yang banyak supaya hidup mereka terjamin. Ia juga bermaksud, mereka mengira dengan teliti (jangan ada tertinggal) dan selalu mengira, selalu tengok akaun bank mereka. Kita tahu ada elemen ‘selalu’ ini kerana ada syaddah dalam kalimah عَدَّدَ itu.
Oleh itu, ayat 1 adalah tentang sifat mereka dengan orang lain dan ayat 2 ini adalah mentaliti mereka, apa yang mereka fikirkan. Mereka tidak melakukan yang sepatutnya – tidak bertindak baik dengan orang lain dan memberi bantuan kepada orang lain yang memerlukan.
Ayat 3: Apakah mentaliti mereka lagi? Mereka kumpul harta mereka seolah mereka yakin harta itu akan mengekalkan kehidupan mereka. Mereka rasa, kalau tidak ada harta, macam mati dah pada mereka.
يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He thinks that his wealth will make him immortal.
(MALAY)
dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengekalkannya,
Dalam ayat 2, Allah gunakan kalimah مالًا, tidak sebut harta siapa kerana hakikatnya semua yang ada dalam dunia ini adalah milik Allah. Tapi Allah gunakan kalimah مالَهُ (hartanya) dalam ayat ini untuk memberitahu apakah sangkaan mereka – mereka sangka yang harta itu mereka yang punya.
Itu hanya sangkaan mereka sahaja. Mereka sangka, harta dan wang yang mereka kumpul itu (dengan cara salah dan dengan cara yang buruk seperti riba dan cara zalim itu) adalah harta mereka. Mereka sangka kerana mereka yang lakukan segala usaha untuk mendapatkannya, maka tentulah itu harta mereka.
Satu soalan yang kita mahu tanyakan: Kenapa manusia berkejaran untuk mengumpulkan wang dan harta? Berkemungkinan besar, mereka akan jawab, “kerana kami nak pakai harta dan wang itu apabila perlu.” Itu jawapan mereka, tapi adakah benar? Adakah mereka benar-benar pakai wang dan harta mereka itu? Agaknya, mereka pakai semuakah? Mereka boleh makan semuakah harta mereka itu? Tentu tidak.
Kalimah أَخلَدَ = dari kalimah خ ل د yang bermaksud ‘berterusan’. Juga boleh bermaksud ‘kekal’. Kita pun selalu dengar bagaimana kisah Nabi Adam a.s. memakan buah yang selalu disebut ‘Buah Khuldi’ (nama buah itu tidak disebut, kecuali oleh Iblis, jadi tidak sesuai pakai nama Khuldi itu). Jadi, kalimah أَخلَدَ dalam ayat ini mungkin bermaksud ‘jangkamasa panjang’ atau ia boleh bermaksud ‘selama-lamanya’.
Manusia memang ada keinginan untuk mendapatkan rezeki yang berpanjangan. Ramai yang mahu dapat lebih lagi dari apa yang mereka telah ada. Itulah sebabnya ada orang yang buat kerja overtime, buat kerja tambahan, buat kerja hujung minggu, dan sebagainya. Itu semua kerana mereka mahu lebih kerana keperluan kadang-kadang lebih lagi dari apa yang mereka dapat dengan kerja biasa.
Dan ada juga yang mahu lebih kerana hendak simpan wang itu, menabung untuk hari-hari mendatang – takut-takut ada keperluan yang mendesak waktu itu – sakit, kebakaran, kena buang kerja dan sebagainya. Tujuannya adalah supaya kehidupan mereka berterusan dalam kesenangan. Ini kita faham.
Tapi yang tidak patut dilakukan adalah kalau pengejaran kepada harta dan wang itu menyebabkan perkara yang lebih penting terabai – iaitu persediaan kepada akhirat dan juga menjaga hubungan baik dengan masyarakat. Atau dalam ertikata lain, kalau dengan mengejar harta itu menyebabkan meninggalkan taat kepada Allah.
Kita telah sebutkan dalam tafsir Surah al-Asr bagaimana manusia semuanya dalam kerugian kecuali orang yang beriman. Maka mereka yang rugi adalah mereka yang melebihkan dunia dari akhirat. Mereka melebihkan dunia itu kerana mereka meletakkan kelebihan pada harta. Mereka sangka harta mereka itu akan menyebabkan mereka kekal hidup.
Sampaikan mereka kelam kabut tentang perkara inilah yang menyebabkan ada orang yang bunuh diri kalau saham mereka jatuh merudum. Ini adalah kerana mereka mengaitkan kehidupan dengan harta – oleh itu, apabila harta mereka tergugat, mereka sangka nyawa mereka pun tergugat sekali.
Memang ada manusia yang dalam hati mereka, mereka mahu hidup selama-lamanya. Ini seperti yang Nabi Hud a.s. tegur kepada kaumnya, Kaum Aad dalam Syu’ara:129
وَتَتَّخِذونَ مَصانِعَ لَعَلَّكُم تَخلُدونَ
dan kamu membuat binaan-binaan dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?
Maksudnya mereka tahu mereka akan mati, tapi mereka hendak kekal diingati kalau ada bangunan, patung, atau jalan atas nama mereka. Mereka rasa bila ada monumen ada atas nama mereka, mereka akan kekal selamanya. Ini adalah kerana manusia ada keinginan untuk hidup selamanya.
Ini tidak salah kerana orang mukmin pun mahu hidup selamanya juga, iaitu di syurga. Tapi kalau manusia yang tidak beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka tidak membiakkan keinginan itu dengan cara yang sihat, maka mereka akan melancarkannya pada tempat yang salah. Mereka akan bekerja keras untuk tambah harta dan kekayaan, supaya mereka boleh jadi terkenal dalam sejarah (supaya terus kekal), supaya dapat bina bangunan dan sebagainya (dan namakan bangunan itu dengan nama mereka supaya nama mereka kekal juga) dan cara-cara lain.
Sebab itulah kita dengar bagaimana ada jutawan yang sanggup dermakan harta mereka, asalkan nama mereka diabadikan dalam pelbagai bentuk (nama bangunan, nama jalan, plak di dinding dan sebagainya). Ini kerana mereka ingin nama mereka masih disebut selepas mereka mati pun.
Ayat ini juga boleh bermaksud: mereka sangka harta mereka itu akan kekal. Ada manusia yang sangka mereka tidak perlu risau tentang masa hadapan, sama ada di dunia ini atau di akhirat kelak. Mereka sangka, oleh kerana Tuhan telah mengkayakan mereka semasa mereka di dunia, maka tentulah Tuhan sudah sayang kepada mereka. Oleh itu, kalau sudah sayang semasa di dunia, tentulah Tuhan akan sayang juga di akhirat kelak. Mereka sangka yang mereka akan terus mendapat kesenangan di akhirat kelak juga. Ini juga adalah pandangan yang salah.
Orang Islam pun ada yang berpandangan begitu. Mereka rasa macam duit mereka boleh menyebabkan mereka dapat kedudukan baik di akhirat. Kerana itu ada orang Islam yang menggunakan harta mereka dengan beri sedekah untuk selamat di akhirat kelak. Padahal harta itu mereka dapat dengan cara yang salah.
Memang molek bagi sedekah. Tapi bagi mereka yang sebegini, mereka sangka mereka dapat membeli syurga dengan cara itu. Jadi tidak kisahlah kalau mereka dapat wang mereka itu dengan cara riba, dengan cara tipu orang, dengan cara rasuah atau jual arak, asalkan mereka ada derma kepada madrasah, sekolah anak yatim atau masjid, mereka rasa itu dapat ‘cuci’ dosa mereka dan menempatkan mereka dalam syurga.
Lagi satu maksud ayat ini adalah: mereka amat sayang sekali pada harta mereka itu, sampaikan kalau harta mereka berkurangan, mereka juga akan rasa berkurangan dan akhirnya mati. Jadi mereka tidak akan menginfakkan harta mereka itu kerana ianya seperti memberi nyawa mereka sendiri. Mereka tidak faham yang kalau harta yang mereka infakkan itulah nanti yang akan menjadi harta mereka yang sebenarnya di akhirat kelak yang akan meninggikan kedudukan mereka di syurga nanti.
Ada kesamarataan dalam surah ini. Dalam surah ini disebut 5 kesalahan yang dilakukan oleh manusia dari ayat 1 – 3:
-
-
- هُمَزَةٍ
- لُمَزَةٍ
- جَمَعَ مالًا
- عَدَّدَهُ
- يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ
-
Dan nanti dalam ayat 4 – 9 akan diberi pula 5 penerangan tentang azab yang akan dikenakan kepada mereka. Maka ada 5 kesalahan dan ada 5 azab.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi