Tafsir Surah al-Alaq Ayat 4 – 7 (Undang-undang moral)

Ayat 4:

الَّذي عَلَّمَ بِالقَلَمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who taught by the pen –

(MALAY)

Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,

 

Allah menyebut tentang القَلَمِ (pen) dalam ayat ini. القَلَمِ adalah makhluk pertama yang dicipta seperti dalam satu Hadis Qudsi:

إن أول ما حلق الله القلم, قل له: أكتب! قل: رب وماذا أكتب؟ قل: أكتب مقادير كل شيء حتى تقوم الساعة

“Yang pertama kali Allah ciptakan adalah al-qalam (pena), lalu Allah berfirman, ‘Tulislah!’ Ia bertanya, ‘Wahai Rabb-ku apa yang harus aku tulis?’ Allah berfirman, ‘Tulislah takdir segala sesuatu sampai terjadinya Kiamat.’”

(Shahih, riwayat Abu Dawud (no. 4700), dalam Shahiih Abu Dawud (no. 3933), Tirmidzi (no. 2155, 3319), Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah (no. 102), al-Ajurry dalam ­asy-Syari’ah (no.180), Ahmad (V/317), dari Shahabat ‘Ubadah bin ash-Shamit radhiyallahu ‘anhu)

Surah ini juga berkenaan dengan ilmu pengetahuan. Allah sebut kalimah اقرَأ (bacalah) dua kali dan kalimah عَلَّمَ (mengajar) dua kali juga. Ini sebagai isyarat kepada kepentingan ilmu. Dan seperti yang kita sudah tahu, semua ilmu pengetahuan yang disampaikan dari generasi ke generasi kebanyakannya disebabkan oleh penulisan manusia yang awal dan menyampaikannya kepada generasi selepasnya.

Begitulah cara ilmu disampaikan kepada kita. Kerana dengan cara penulisanlah ilmu itu dapat berkembang. Kalau ilmu itu hanya disampaikan melalui lisan sahaja, lama kelamaan ia akan hilang begitu sahaja. Maka kena hormat cara penyampaian ilmu ini. Kita juga boleh amalkan dengan sampaikan ilmu agama ini dengan tulisan.

Dan untuk menulis ilmu yang dapat disampaikan kepada manusia selepas kita, memerlukan القَلَمِ dan kerana itulah Allah sebut القَلَمِ dalam ayat ini – sebagai satu isyarat kepada kepentingan menulis ilmu yang telah dipelajari atau telah didapati.

Dengan menulis ilmu itu, ia dapat dibaca oleh orang lain dan dapat memberi manfaat yang besar kepada orang-orang selepas kita. Cara kita beri ilmu kepada orang lain adalah dengan menulis ilmu itu. Maknanya, bukan kita sahaja yang dapat ilmu, tapi dapat disebarkan kepada orang lain juga.

Allah juga menyebut kepentingan القَلَمِ di dalam ayat al-Qalam:1.

ن ۚ وَالقَلَمِ وَما يَسطُرونَ

Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis,

Ini menunjukkan lagi kepentingan القَلَمِ itu. Bukan sahaja manusia menulis dengan القَلَمِ, tapi para malaikat juga menulis dengan القَلَمِ juga. Tapi tentulah kita tidak dapat tahu bagaimana pena mereka.

Berkali-kali Allah mengajar manusia rahsia yang ada pada tulisan. Kerana dengan tulisanlah, manusia tidak seperti makhluk yang lain. Kita menjadi mulia kerana boleh menulis. Dan penulisan memberi kesan kepada kita. Kita mendapat ilmu dan emosi kita boleh tersentuh dengan penulisan yang kita baca. Sebab itu kadang kadang dengan baca pun kita boleh menangis, boleh marah dan macam-macam lagi.

Padahal kalau difikirkan kembali, itu adalah tulisan sahaja. Tapi hati kita boleh tersentuh kerana penulisan itu memberi kesan kepada kita. Dan dengan tulisanlah boleh merubah jiwa manusia. Kerana itu kadang-kadang tulisan lebih hebat dari percakapan. Kita mungkin beri nasihat kepada seseorang tapi dia tidak dengar; tapi bila kita tulis dan kita beri kepada dia, baru dia boleh berubah.

Nabi pernah menyebut tentang kepentingan mendapatkan ilmu:

مَْن سَلَكَ طَرِْيقًا َيلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا ِإلىَ اْلجَنَّةِ

Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga (HR Muslim)

Dan bagaimana lagi kita boleh mendapat ilmu, melainkan dengan cara membaca dan menulis? Dan ilmu yang paling penting untuk dipelajari adalah ilmu Al-Qur’an, sepertimana sabda Nabi Muhammad:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Orang terbaik diantara kalian adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya.”

Oleh itu, mempelajari Al-Qur’an adalah sunnah Rasulullah adalah sesuatu yang kita kena terus lakukan. Dan mengajar Al-Qur’an bukan sahaja sunnah Rasulullah, malah ia adalah sunnah Allah juga. Lihat Rahman:2

عَلَّمَ القُرآنَ

Yang telah mengajarkan al Qur’an

Oleh itu, bayangkanlah kepentingan mengajar Al-Qur’an ini. Kerana kita bukan sahaja ikut sunnah Rasulullah, tapi kita ikut Allah juga.

Apabila digunakan kalimah القَلَمِ, ia bermaksud penulisan. Tapi seperti yang kita tahu, penyampaian Al-Qur’an di zaman Nabi adalah dalam bentuk lisan asalnya. Ini bermaksud Allah sudah beri isyarat yang Al-Qur’an akan ditulis dan dijadikan sebagai kitab dan sekarang kita pun menggunakan Al-Qur’an dalam bentuk mushaf. Dan kita sedang sampaikan ajaran tafsir dengan cara penulisan juga.


 

Ayat 5:

عَلَّمَ ٱلإِنسَـٰنَ مَا لَم يَعلَم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Taught man that which he knew not.

(MALAY)

Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

 

Ayat ini ada persamaan dengan Ayat Baqarah:239

فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم ما لَم تَكونوا تَعلَمونَ

maka sebutlah Allah (shalatlah), sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui

Ini adalah berkenaan ilmu wahyu yang manusia tidak akan dapat tahu kalau mereka memikirkannya sendiri. Walau pandai mana pun ahli falsafah itu, dia tidak akan capai ke tahap ilmu wahyu. Ilmu wahyu ini kena Allah sendiri yang sampaikan, melalui para Rasul.

Dan dengan ilmu wahyu ini, telah mengangkat satu bangsa yang rendah ke tahap yang tertinggi. Selepas Nabi Muhammad mengubah bangsa Arab, bangsa itu telah menjadi umat yang bijak dan pandai. Waktu itu bangsa Eropah masih lagi dalam Zaman Kegelapan. Mereka yang terpaksa datang ke negara orang Islam untuk mendapatkan ilmu dari orang Islam.

Malangnya, sekarang zaman sudah terbalik, kita pula yang pergi ke negara mereka untuk mendapatkan ilmu. Ini adalah kerana kita sendiri tidak mendalami agama kita sendiri, sampaikan Allah telah balas dengan merendahkan kedudukan orang Islam sendiri. Kalau belajar Sains, matematik atau subjek keduniaan dengan orang Barat (Non-Muslim) masih lagi boleh diterima akal. Tapi yang sampai sekarang saya tidak boleh terima adalah bagaimana pergi belajar agama Islam dengan Non-Muslim?

Kita ada sesuatu yang hebat (wahyu), tapi kita tinggalkan. Begitulah Allah hinakan kita kerana meninggalkan pengajaran dari Al-Qur’an. Berapa ramai dari kalangan anda yang anda kenal belajar tafsir Al-Qur’an? Tentu tidak ramai, bukan? Termasuk yang tidak belajar itu adalah guru-guru agama yang sedang mengajar agama kepada anak-anak kita dan di surau dan masjid.

Jadi sekarang dalam banyak pameran, kita hanya mampu mencananglah betapa tamadun Islam dulu amat tinggi, keluar darinya banyak para pemikir dunia. Tapi itu dahulu sahaja, sedangkan sekarang nama orang Islam terkebelakang. Oleh itu, jangan kita tinggalkan apa yang Allah telah berikan kepada kita.

Kita kena kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Kita kena fikirkan masa depan dan untuk anak cucu kita. Dan masa depan kita adalah di akhirat sebenarnya, bukan di dunia sahaja. Tapi malangnya, ramai manusia yang fikirkan tentang hidup dunia sahaja. Dan ini bukanlah cara berfikir seorang Muslim.

Kita sudah sampai ke ayat yang 5. Dan jumhur ulama bersetuju bahawa 5 ayat yang pertama ini adalah ayat-ayat yang pertama sekali diwahyukan kepada Nabi Muhammad di Gua Hira’.

Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan Surah yang paling awal adalah Surah Muddaththir dan ada juga yang kata surah yang paling awal turun adalah Surah al Faatihah. Kedua pendapat ini lemah dan dapat dijelaskan. Surah Muddaththir adalah surah pertama yang diturunkan selepas berhentinya wahyu seketika (fatratil wahyi). Selepas sekian lama Nabi Muhammad tidak mendapat wahyu, surah yang pertama turun selepas itu adalah Surah Muddaththir.

Dan Surah Faatihah pula adalah surah pertama yang turun dengan lengkap – ini adalah kerana kebanyakan dari surah-surah diturunkan bukannya sekali gus penuh (seperti Surah al-‘Alaq ini), tapi diturunkan sedikit demi sedikit. Jadi yang mula turun adalah 5 ayat yang pertama sahaja, dan dilengkapkan di waktu yang lain). Tapi Surah Faatihah, apabila ianya turun, ianya turun lengkap terus 7 ayat. Harap penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua.


 

Ayat 6: Sekarang kita masuk ke fasa kedua dari surah ini. Ayat 6 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia berkenaan orang yang merasa cukup dan kerana itu dia menjadi penderhaka dan keras kepala.

كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! [But] indeed, man transgresses

(MALAY)

Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

 

Dalam Surah at-Teen sebelum ini, telah diberitahu kalau manusia melampau arahan Allah, maka mereka akan direndahkan serendah-rendahnya. Sekarang Allah sentuh lagi perkara itu.

Kalimah كَلّا boleh diterjemahkan sebagai satu kata penekanan untuk mengatakan ‘sudah pasti’ akan apa yang akan disebutkan selepas ini.

Atau, ia boleh juga lafaz pengengkaran seolah-olah menjerit kepada mereka yang melawan kehendak Allah. Mereka kena dengar baik-baik. Allah marah kerana sepatutnya, selepas Allah telah beri segala-galanya kepada manusia, patutnya manusia mendekatkan diri kepada Allah. Akan tetapi tidak begitu rupanya.

Kalimah طغىٰ bermaksud perbuatan seseorang yang tahu batas, tapi dia melampau juga batas-batas itu. Oleh itu, mereka memang sengaja melampau. Mereka tidak suka kalau ada kuasa yang menguasai ke atas diri mereka. Mereka tidak mahu menerima yang Allah adalah Tuhan yang perlu ditaati. Mereka nak hidup bebas melakukan apa sahaja. Mereka tidak senang nak terima ada satu kuasa yang menentukan apa yang mereka boleh lakukan dan batasan yang telah ditetapkan.

Bagaimanakah yang dikatakan insan telah melampaui batas? Iaitu mereka tidak mendekatkan diri dengan Al-Qur’an. Ini adalah kerana kalau nak kenal Allah, kena rapat dengan Al-Qur’an. Tapi kalau tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an, macam mana nak rapat dengan Al-Qur’an? Kalau tidak rapat dengan Al-Qur’an, maka tidak mungkin manusia akan kenal Allah. Kerana Nabi Muhammad pun kenal Allah dengan Al-Qur’an, maka kita umat dia tidak mahu belajarkah?

Maka memang tidak patut kalau manusia tidak mahu mendekatkan diri kepada Allah. Dan sesiapa yang jauh dari kitab Allah tidak akan kenal Allah seperti yang sepatutnya. Kerana Allah kenalkan DiriNya dalam Al-Qur’an dan ini hanya dapat difahami kalau belajar tafsir. Bukannya dengan berzikir banyak-banyak macam yang dilakukan oleh golongan sufi tarekat itu.

Oleh kerana tidak ada ilmu tentang Allahlah yang menyebabkan mereka melawan. Kalau kita lihat dalam realiti kehidupan pun, yang melawan adalah mereka yang jahil sahaja. Orang bodoh sahaja yang buat kerja-kerja begitu. Ini adalah kerana mereka tidak tahu dan tidak kisah nak ambil tahu. Memang kesannya mereka jenis yang melawan, tapi asalnya adalah bertitik tolak dari kejahilan kerana malas belajar.


 

Ayat 7: Dari mana datang sifat tughyan (melampau) ini? Asalnya kerana orang itu tidak mendekatkan dirinya dengan Al-Qur’an kerana mereka sudah rasa dia cukup, tidak perlukan Al-Qur’an untuk membimbing mereka. Mereka rasa mereka cukup sahaja, boleh makan dan minum elok sahaja. Mereka hanya nampak keperluan fizikal mereka sahaja.

أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because he sees himself self-sufficient.

(MALAY)

kerana dia melihat dirinya serba cukup.

 

Orang itu jadi begitu kerana mereka sangka dan rasa yang mereka itu serba cukup, tidak perlukan sesiapa. Kehidupan mereka elok-elok sahaja.

Apakah maksudnya? Dalam Surah Ash-Syams ayat 8, Allah beritahu yang Dia telah ilhamkan kepada manusia tentang keburukan dan tentang taqwa: فَأَلهَمَها فُجورَها وَتَقواها. Maksudnya, kalau seseorang itu melakukan kesalahan dan dosa, dia sendiri dapat rasa bahawa dia telah buat salah kerana Allah telah beri ilham dalam diri manusia untuk tahu mana benar dan mana salah.

Tapi kenapa manusia masih tetap melakukan dosa juga walaupun dia tahu yang itu adalah salah? Kerana dia rasa dia tidak akan dihukum. Dia tidak takut kerana dia tidak nampak akan kena hukum. Dia rasa dia akan selamat dan tidak memerlukan sesiapa pun untuk membantunya. Ini disebut dalam Layl:8 وَأَمّا مَن بَخِلَ وَاستَغنىٰ.

Inilah kesilapan utama manusia. Mereka tidak rasa yang Allah itu ada dan akan hukum mereka. Dan mereka tidak nampak yang mereka memerlukan Allah dalam kehidupan mereka. Mereka rasa mereka cukup sahaja dalam kehidupan mereka.

Ini kerana mereka cukup makan dan pakai, selamat dari bahaya. Dan kerana mereka tidak rasa mereka memerlukan sesiapa, maka mereka tidak boleh nak terima yang mereka kena ikut mana-mana peraturan atau undang-undang.

Tapi kenapa pula mereka tidak buat sesuka hati dalam dunia? Kerana mereka takut dengan undang-undang dunia. Maka kita kena faham yang ada dua jenis undang-undang sebenarnya:

    • Undang-undang fizikal
    • Undang-undang moral.

Undang-undang fizikal adalah yang kita dapat rasa dalam kehidupan kita setiap hari. Sebagai contoh – graviti akan menarik ke bawah; api akan membakar dan sebagainya. Undang-undang fizikal ini tidak boleh dilupakan kerana bahayanya terus nampak.

Sebagai contoh, kalau kita sedang memandu laju di atas jalan dan kita melalui selekoh tajam, kita kenalah ikut laluan selekoh itu. Kerana kalau tak ikut, undang-undang graviti akan menarik kita masuk ke gaung dan kita akan mati, bukan?

Maka mereka yang rasa diri mereka serba cukup itu, mereka tahu untuk menghormati undang-undang fizikal kerana kalau mereka tidak ikut, mereka akan terus kena kesannya. Mereka terus nampak kesan yang membahayakan itu, maka mereka ikut – mereka akan bawa kereta dengan perlahan contohnya.

Undang-undang moral pula lain sikit. Ianya menganjurkan kebaikan seperti menggalakkan kebaikan dan melarang keburukan, tidak berlaku zalim kepada orang lain, tidak menipu dan sebagainya. Ini pun undang-undang juga, tapi ramai manusia tidak ambil kisah kerana mereka tidak nampak kesannya kepada diri mereka kalau mereka langgar undang-undang moral ini.

Mereka tidak nampak kesannya terus dikenakan kepada mereka. Sebagai contoh, kalau mereka berlaku zalim kepada orang, mereka tidaklah terus kena petir, jatuh sakit dan sebagainya, bukan? Sedangkan kalau tidak ikut undang-undang fizikal, mereka akan terus kena (jatuh gaung, contohnya).

Jadi orang yang sebegitu tidak rasa yang mereka akan terkesan kalau mereka melanggar undang-undang moral itu walaupun sebenarnya mereka takut dalam hati mereka yang apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Mereka memang dapat rasa tapi mereka agak-agak yang mereka tidak akan kena kesannya. Tapi mereka lupa bahawa Tuhan yang menjadikan undang-undang fizikal itu juga boleh menghukum mereka kalau mereka melanggar undang-undang moral itu.

Mereka takut hendak melanggar undang-undang fizikal kerana mereka takut kesannya, tapi mereka lupa bahawa kalau langgar undang-undang moral pun, mereka akan dapat kesannya juga. Kerana yang menjadikan undang-undang fizikal itu jugalah yang menjadikan undang-undang moral. Kalau Allah boleh balas kerana melanggar undang-undang fizikal, Allah juga boleh balas kalau langgar undang-undang moral.

Sebagai contoh, Allah sebut dalam Nisa:10

إِنَّ الَّذينَ يَأكُلونَ أَموالَ اليَتامىٰ ظُلمًا إِنَّما يَأكُلونَ في بُطونِهِم نارًا ۖ وَسَيَصلَونَ سَعيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).

Orang yang memakan harta anak yatim itu mungkin sangka mereka akan selamat kerana dia tidak rasa panas pun dalam perut dia. Tapi di akhirat nanti, dia akan dikenakan dengan hukuman azab itu (api dalam perutnya). Ini adalah kerana memakan harta anak yatim adalah melanggar undang-undang moral dan mereka pasti dikenakan dengan balasan azab kalau mereka tidak bertaubat sebelum mereka mati.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s