Ayat 8: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang mereka yang rasa diri mereka cukup dan tidak hiraukan tentang ‘undang-undang moral’. Bagaimana cara untuk sedarkan mereka?
Untuk sedarkan mereka, kita kena ingatkan mereka yang mereka akan bertemu Tuhan juga. Dan nanti di akhirat, Allah akan nilai manusia dengan neraca Al-Qur’an inilah (sama ada hidup kita ikut Al-Qur’an atau tidak). Dan kalau begitu, bagaimana nasib kita kalau kalau tidak tahu tentang Al-Qur’an dan tidak amalkan ajaran dalam Al-Qur’an, agaknya bagaimana kita nanti, selamat atau tidak?
إِنَّ إِلىٰ رَبِّكَ الرُّجعىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, to your Lord is the return.
(MALAY)
Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).
Hanya mereka yang yakin dengan sebenarnya yang mereka akan kembali bertemu dan mengadap Allah untuk dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan mereka, yang akan menahan seseorang dari terus melakukan dosa-dosa dan kesalahan moral.
Begitulah manusia, ada jenis yang perlukan undang-undang dunia, dengan hukuman yang mereka takuti, baru mereka jadi baik. Kepada orang yang sebegitu, kena ingatkan mereka dengan neraka.
Tetapi, memang ada orang yang tinggi moralnya, iaitu mereka orang yang baik. Orang yang jenis macam itu, tujuan mereka adalah nak gembirakan Allah. Tujuan mereka yang tinggi adalah untuk mencari dan mendapatkan redha Allah.
Jadi, ada jenis yang takut kepada hukuman, dan ada yang mahu mencari keredhaan Allah. Dan kedua-dua jenis golongan ini disentuh dalam satu ayat ini. Kepada mereka yang takut kepada hukuman, beritahu kepada mereka yang mereka akan kembali bertemu Allah dan kalau mereka buat jahat, akan dimasukkan ke dalam neraka.
Dan kepada mereka yang berfikiran tinggi dan mencari redha Allah, mereka akan takut bertemu dengan Allah dalam keadaan berdosa dan mengecewakan Dia. Bayangkan kita malu dengan ibu kita, kalau dia tahu benda salah yang kita buat, bukan? Memanglah ibu itu tidak sampai hati nak pukul (atau mungkin kita sudah dewasa, takkan nak pukul), tapi bukankah kita akan malu dengan ibu kita, bukan?
Begitulah perumpamaan bagaimana kita sepatutnya malu dengan Allah. Kerana ibu kita tidak tahu segala apa yang kita lakukan, tapi sekarang bayangkan Allah sedang memerhatikan kita setiap masa. Kalau kita dapat fahami perkara ini, kita akan menjaga segala perbuatan kita.
Ayat 9: Sekarang kita masuk ke dalam fasa ke 3 surah ini. Ayat 9 – 14 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberitahu kita sifat-sifat kepemimpinan yang derhaka.
Ini adalah ayat zajrun; Allah memberi contoh mereka yang melawan Nabi Muhammad. Allah menceritakan seorang individu yang menentang Nabi, padahal asalnya dia sayang kepada Nabi. Memang masyarakat Mekah sayang kepada Nabi, sampai mereka panggil baginda dengan gelaran ‘al-amin’ (yang dipercayai).
Akan tetapi, apabila baginda mula bacakan wahyu kepada mereka dan bawa ajaran tauhid, mereka lawan baginda habis-habisan. Dan pemuka mereka adalah individu yang akan disebut selepas ini. Siapakah dia?
Fasa ini memperkatakan tentang Abu Jahal sebagai contoh seorang yang menentang Nabi Muhammad, sebagai seorang yang kuat menentang kebenaran. Abu Jahal adalah seorang yang penting untuk diketahui sifatnya. Memang banyak penentang Nabi Muhammad, tapi Abu Jahal ini lain sedikit. Dua lagi orang yang kuat menentang adalah Abu Lahab dan Waleed ibn al Mugheera. Walaupun dua orang lagi itu adalah penentang yang kuat juga, tapi Abu Jahal lain sikit dari mereka.
Abu Jahal lebih disenangi dan dipandang tinggi oleh Musyrikin Mekah waktu itu. Kedudukannya juga paling tinggi kalau dibandingkan dengan orang lain yang menentang Nabi Muhammad. Abu Lahab seorang yang pengecut yang tidak menyertai pun Perang Badr untuk menentang Muslim di Madinah kerana dia memang takut mati. Kisah beliau nanti kita akan belajar dalam Surah Lahab. Sedangkan Abu Jahal sanggup berperang dengan baginda di medan peperangan. Dan akhirnya dia mati dibunuh di Medan Badr.
Waktu dia hampir dibunuh pun, dia minta Abdullah ibn Mas’ud yang membunuhnya supaya tetak lehernya tinggi sedikit kerana dia nak orang tahu yang dia lebih tinggi lagi dari orang lain. Nak mati pun dia masih nak dipandang tinggi lagi.
Jadi dari ini kita tahu yang dia adalah seorang memandang dirinya tinggi dan sombong bongkak. Dalam masa yang sama, dia seorang yang pemurah, tidak seperti Abu Lahab yang bakhil. Abu Jahal sanggup mengeluarkan wangnya untuk menentang dalam usaha hendak menjatuhkan agama Islam.
Waleed ibn al Mugheerah pula boleh dikatakan berada di pertengahan. Dia seorang yang pandai melakukan strategi. Dia cuba untuk memujuk Nabi Muhammad untuk meninggalkan agama Islam atau sekurang-kurangnya menerima juga amalan musyrikin. Ini dibincangkan dalam Qalam:9-15 dan Mudaththir: 11-29.
Jadi, Abu Jahal disebut dalam surah ini kerana kedudukannya dalam masyarakat dan kuatnya dia menentang Rasulullah. Dan memang kedudukannya itu tinggi dalam masyarakat sampaikan pernah Nabi berdoa berkenaan Abu Jahal:
“Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang dari dua orang yang lebih Engkau cintai; Umar bin Khattab atau ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahal)”.
Ini menunjukkan Nabi Muhammad nampak ada kelebihan pada Abu Jahal dan kalaulah dia masuk Islam, dia akan bawa kebaikan kepada agama Islam. Kerana kalau dia masuk Islam, ramai akan mengikutinya. Begitu juga dengan Saidina Umar yang juga mempunyai banyak kelebihan.
Antara mereka berdua itu, Umar bin al Khattab yang menjadi Muslim dan beliau banyak membantu mengembangkan agama Islam dan menjadi seorang yang penting sampaikan beliau menjadi salah seorang khalifah yang mengembangkan ajaran Islam ke seluruh dunia. Kalaulah Abu Jahal juga masuk Islam, berkemungkinan beliau juga akan jadi begitu. Tapi Allah lebih tahu kenapa yang dipilih adalah Umar.
Allah telah berfirman dalam Surah at-Teen: لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في أَحسَنِ تَقويمٍ. Maknanya, sudah ada potensi yang baik dalam diri manusia kalau mereka mahu mengambil jalan untuk memperbaiki diri mereka. Begitulah juga dengan Abu Jahal – dia ada potensi untuk menjadi orang yang hebat kerana dia ada kekuatan, kemuliaan, semangat, kedudukan dan lain-lain lagi sampaikan beliau dipandang tinggi dalam masyarakat Arab waktu itu.
Malangnya, dia tidak mahu menggunakan potensi itu dan kerana itu dia diturunkan serendah-rendahnya: ثُمَّ رَدَدناهُ أَسفَلَ سافِلينَ. Dia gunakan segala kelebihannya itu untuk menentang Islam dan kerana itu dia akan mendapat seksa di akhirat kelak.
Sebenarnya Abu Jahal suka kepada Nabi Muhammad dan suka juga mendengar bacaan ayat suci Al-Qur’an. Dia telah mencuri-curi dengar bacaan Al-Qur’an dari Nabi pada malam hari. Ini dapat dipelajari dari Sirah. Dipendekkan kisah, ada tiga orang Musyrikin Mekah (waktu itu) Akhnas bin Shuraiq, Abu Jahl and Abu Sufyan bin Harb yang datang senyap-senyap ke rumah Nabi Muhammad pada malam hari. Rasulullah akan membaca ayat-ayat Al-Qur’an dalam Solat Tahajjud / Qiyam al Layl.
Ketiga-tiga mereka yang disebut itu telah mencuri dengar bacaan Al-Qur’an baginda. Mereka bukan pergi sekali tapi duduk dalam senyap sahaja. Tapi apabila mereka nak balik, mereka terserempak sesama mereka. Terkejutlah mereka dan mereka berjanji untuk tidak pergi lagi selepas itu.
Tapi malam esoknya, mereka jumpa lagi orang-orang yang sama. Akhirnya mereka berjanji sesama mereka untuk tidak datang lagi kerana kalau orang lain tahu, malulah mereka (mereka larang orang lain dari dengar Al-Qur’an tapi mereka pula pergi dengar Al-Qur’an).
Setelah sekian lama, Akhnas bin Shuraiq tanya kepada Abu Sufyan, “Ceritakan padaku wahai Abu Hanzhalah, apa yang kamu rasakan saat kamu mendengarnya dari Muhammad?”, tanyanya. Abu Sufyan menjawab, “Wahai Abu Tsa’labah, demi Allah, aku telah mendengar sesuatu yang aku tahu maknanya. Dan aku juga mendengar sesuatu yang aku tidak tahu maknanya”. Akhnas menyampuk, “Dan aku, demi Allah, juga merasakan hal yang sama”!
Merasa mendapat kesan yang sama dari Abu Sufyan, Akhnas meneruskan langkahnya ke kediaman Abu Jahal. “Wahai Abul Hakam, apa yang kamu rasakan saat mendengar dari Muhammad?”, tanyanya. Abu Jahal menjawab, “Apa yang aku dengar?” Dengan gaya diplomatis dan rasa sombong yang tinggi dia berkata, “Kita telah bersaing dengan keturunan Abdi Manaf (keturunan Nabi Muhammad) dalam kemuliaan. Mereka memberi makan orang, kita pun memberi makan orang. Mereka menolong orang, kita juga menolong orang, mereka memberi kita juga memberi, sampai kita kalah seperti halnya tadi malam. Seolah kita adalah kuda yang tergadaikan”.
Akhnas berkata, “Aku aku tak perlu basa-basimu. Sekarang jelas, telah datang seorang Nabi dari bangsa kita, yang telah diberikan wahyu kepadanya. Bila kita akan menyambut kesempatan yang emas ini?”. Dengan sombongnya Abu Jahal berkata, “Demi Allah kita tidak akan mengimaninya dan membenarkannya!”
Dari kisah di atas, kita dapat tahu yang dia tidak boleh terima hanya kerana degil sahaja. Dia tidak mahu puaknya kalah dengan puak Nabi Muhammad (kerana puak dia tidak ada Nabi). Dan kita telah beritahu yang dia juga ada kelebihan sama macam Umar al Khattab, tapi musnah kerana kesombongan dan angkuh sahaja. Itulah juga perkara yang menyebabkan Iblis musnah.
Kedua-dua Umar dan Abu Jahal mempunyai semangat puak yang tinggi (asabiah). Tapi sifat asabiah masih lagi boleh dibuang kalau sanggup terima kebenaran. Akan tetapi Abu Jahal mempunyai ego yang terlalu tinggi sampaikan dia tidak mahu tunduk kepada kebenaran langsung. Oleh kerana sakit hati Abu Jahal terhadap Nabi Muhammad, beliau telah cuba beberapa kali untuk menyakitkan baginda secara fizikal.
Kisah 1:
Di dalam Sahih Al Bukhari telah disampaikan satu kisah yang menyedihkan hati:
233 – حَدَّثَنَا عَبْدَانُ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبِي عَنْ شُعْبَةَ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدٌ قَالَ ح و حَدَّثَنِي أَحْمَدُ بْنُ عُثْمَانَ قَالَ حَدَّثَنَا شُرَيْحُ بْنُ مَسْلَمَةَ قَالَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ يُوسُفَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ قَالَ حَدَّثَنِي عَمْرُو بْنُ مَيْمُونٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ حَدَّثَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي عِنْدَ الْبَيْتِ وَأَبُو جَهْلٍ وَأَصْحَابٌ لَهُ جُلُوسٌ إِذْ قَالَ بَعْضُهُمْ لِبَعْض أَيُّكُمْ يَجِيءُ بِسَلَى جَزُورِ بَنِي فُلَانٍ فَيَضَعُهُ عَلَى ظَهْرِ مُحَمَّدٍ إِذَا سَجَدَ فَانْبَعَثَ أَشْقَى الْقَوْمِ فَجَاءَ بِهِ فَنَظَرَ حَتَّى سَجَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضَعَهُ عَلَى ظَهْرِهِ بَيْنَ كَتِفَيْهِ وَأَنَا أَنْظُرُ لَا أُغْنِي شَيْئًا لَوْ كَانَ لِي مَنَعَةٌ قَالَ فَجَعَلُوا يَضْحَكُونَ وَيُحِيلُ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدٌ لَا يَرْفَعُ رَأْسَهُ حَتَّى جَاءَتْهُ فَاطِمَةُ فَطَرَحَتْ عَنْ ظَهْرِهِ فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأْسَهُ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِقُرَيْشٍ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَشَقَّ عَلَيْهِمْ إِذْ دَعَا عَلَيْهِمْ قَالَ وَكَانُوا يَرَوْنَ أَنَّ الدَّعْوَةَ فِي ذَلِكَ الْبَلَدِ مُسْتَجَابَةٌ ثُمَّ سَمَّى اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ وَعَلَيْكَ بِعُتْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَشَيْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَالْوَلِيدِ بْنِ عُتْبَةَ وَأُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ وَعُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ وَعَدَّ السَّابِعَ فَلَمْ يَحْفَظْ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ رَأَيْتُ الَّذِينَ عَدَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَرْعَى فِي الْقَلِيبِ قَلِيبِ بَدْرٍ
233. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdan berkata, telah mengabarkan kepadaku Bapakku dari Syu’bah dari Abu Ishaq dari ‘Amru bin Maimun dari ‘Abdullah berkata, “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang sujud, beliau mengucapkan. (dalam jalur lain disebutkan) Dan telah menceritakan kepadaku Ahmad bin ‘Utsman berkata, telah menceritakan kepada kami Syuraih bin Maslamah berkata, telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Yusuf dari bapanya dari Abu Ishaq berkata, telah menceritakan kepadaku ‘Amru bin Maimun bahawa ‘Abdullah bin Mas’ud menceritakan kepadanya, bahawa sesungguhnya pernah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam salat dekat Baitillah sementara Abu Jahal dan teman-temannya sedang duduk-duduk di situ. Tiba-tiba sebahagian dari mereka berkata kepada sebahagian yang lain, ‘Siapa dari kalian yang akan mendatangkan tembuni unta bani fulan, dan meletakkannya di belakang Muhammad ketika dia sujud?‘ Maka bangkitlah orang yang paling malang diantara mereka. Setelah diambilnya tembuni itu, dia menunggu Nabi SAW sujud. maka ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sujud, dia meletakkan tembuni itu di atas belakang baginda iaitu diantara dua belikatnya. Aku melihat semua itu tapi tidak mampu berbuat apa-apa. Kalaulah aku mempunyai kekuatan masa itu, kata Abdullah. “mereka pun tertawa-tawa sambil tunjuk menunjuk sesama yang lain. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terus dalam keadaan sujud, beliau tidak mengangkat kepalanya hingga datang Fatimah kepadanya. Setelah Fatimah membersihkan tembuni itu dari belakang baginda, barulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengangkat kepalanya seraya berdo’a (selepas sembahyang): “Ya Allah, balaslah balasan kepada orang-orang Quraisy ini.” Sebanyak tiga kali. Doa Nabi itu terasa berat oleh mereka. ‘Abdullah bin Mas’ud meneruskan, “Sebab mereka mereka berpendapat doa di negeri Mekah itu mustajab. Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menyebut satu persatu nama-nama mereka yang terlibat itu: “Ya Allah, balaslah Abu Jahal, balaslah ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, Al Walid bin ‘Utbah, Umayyah bin Khalaf dan ‘Uqbah bin Abu Mu’aith.” Dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebut nama yang ke tujuh tapi kami lupa.” ‘Abdullah bin Mas’ud berkata, “Demi Tuhan yang nyawaku berada di tanganNya, sesungguhnya aku telah melihat orang-orang yang disebut Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tersebut, mati bergelimpangan di dalam perigi buta di Badr.”
Yang bertanya siapakah yang sanggup cari isi perut unta itu adalah Abu Jahal.
Kisah ke 2:
ابْنِ عَبَّاسٍ: قَالَ أَبُو جَهْلٍ: لَئِنْ رَأَيْتُ مُحَمَّدًا يُصَلِّي عِنْدَ الْكَعْبَةِ لَأَطَأَنَّ عَلَى عُنُقه. فبَلغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: “لَئِنْ فَعَلَهُ لَأَخَذَتْهُ الْمَلَائِكَةُ”
Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, dari Ma’mar, dari Abdul Karim Al-Jazari, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa Abu Jahal berkata, “Sesungguhnya jika aku melihat Muhammad solat dekat Ka’bah, aku benar-benar akan menginjak lehernya.” Maka ancaman itu sampai kepada Nabi SAW., lalu baginda SAW. bersabda: Sesungguhnya jika dia melakukan niatnya, benar-benar malaikat akan mengambilnya (menghukumnya).
Dalam hadis yang lain:
Imam Ahmad dan Imam Turmuzi serta Imam Nasai dan Ibnu Jarir telah meriwayatkannya, yang hadis berikut berdasarkan lafaz yang ada pada Ibnu Jarir, melalui jalur Daud ibnu Abu Hindun, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa dahulu Rasulullah Saw. sering melakukan salat dekat maqam Ibrahim. Maka lewatlah kepadanya Abu Jahal ibnu Hisyam, lalu berkata, “Hai Muhammad, dengan apakah engkau mengancamku? Ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya aku adalah penduduk lembah ini yang paling banyak pendukungnya.” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya), kelak Kami akan memanggil Malaikat Zabaniyah. (Al-‘Alaq: 17-18)
Ibnu Abbas mengatakan bahawa seandainya Abu Jahal memanggil golongannya (para pendukungnya), nescaya saat itu juga malaikat azab akan mengambilnya. Imam Turmuzi mengatakan bahawa hadis ini kalau tidak hasan, sahih.
Jadi, begitulah buruknya sifat Abu Jahal itu dan ayat 9-10 surah ini berkenaan apa yang telah dilakukan oleh Abu Jahal.
أَرَأَيتَ الَّذي يَنهىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have you seen the one who forbids
(MALAY)
Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang,
Yang dimaksudkan adalah menghalang Nabi dari solat di Kaabah. Apakah agaknya nasib seorang yang sanggup dan berani nak menahan Nabi Muhammad dari melakukan solat berdekatan Kaabah itu?
Orang yang dimaksudkan di sini adalah Abu Jahal. Dia berani buat begitu kepada Nabi Muhammad kerana dia tidak takut. Kerana dia tahu kedudukannya yang tinggi dalam masyarakat waktu itu. Dan dia juga tidak takut kerana dia tidak percaya yang dia akan dikembalikan ke akhirat dan berjumpa dengan Allah.
Ayat 10: Sambungan ayat sebelum ini:
عَبدًا إِذا صَلّىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
A servant when he prays?
(MALAY)
seorang hamba ketika mengerjakan shalat,
Individu عَبدًا (hamba) yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Rasulullah. Allah memberi gelaran عَبدًا kepada baginda sebagai satu kemuliaan kerana baginda adalah contoh seorang hamba yang terbaik sekali. Kalau nak tahu bagaimana sepatutnya sifat seorang hamba kepada Tuhannya, maka tengok bagaimana cara Nabi Muhammad dalam kehidupan baginda.
Tapi untuk tahu, kenalah belajar Sirah, belajar Hadis dan Sunnah. Kalau tak belajar, macam mana nak tahu? Jangan kata taqwa dan taat kepada agama, kalau tafsir Al-Qur’an dan Sunnah tidak dipelajari.
Kejadian yang dimaksudkan adalah apabila Nabi Muhammad solat berdekatan Kaabah dan baginda diganggu oleh Abu Jahal. Kisahnya telah disebut di atas tadi.
Ayat 11:
أَرَأَيتَ إِن كانَ عَلَى الهُدىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have you seen if he is upon guidance
(MALAY)
bagaimana pendapatmu jika orang itu berada di atas kebenaran,
Kalimah أَرَأَيتَ itu dari ر أ ي yang bermaksud ‘melihat’ dari segi bahasa. Tapi bukan melihat biasa sahaja, tapi melihat dengan faham sekali. Sebab itu kadang-kadang kalau kita sampaikan sesuatu perkara kepada orang lain, dia kadang-kadang jawab: “baik, aku dah nampak dah”.
Kalimah كان (adalah dia) dalam dalam كانَ عَلَى الهُدىٰ tidak dijelaskan. Siapakah yang dimaksudkan? Jadi ia boleh merujuk sama ada kepada Nabi Muhammad atau kepada Abu Jahal kerana ayat-ayat sebelum ini adalah tentang Abu Jahal.
A. Kalau merujuk kepada Nabi Muhammad: – “tidakkah kamu tengok, kalau sekiranya Nabi Muhammad yang dihalang oleh Abu Jahal itu, berada atas hidayah?” Kalau benar-benar baginda berada di atas hidayah, bagaimana nasib mereka yang menentang baginda seperti Abu Jahal dan yang lain-lain?
B. Kalau ia merujuk kepada Abu Jahal: – “tidakkah kamu tengok, kalau sekiranya Abu Jahal itu berada di atas hidayah?” Seperti yang kita telah bincangkan sebelum ini, Abu Jahal itu ada potensi yang tinggi. Tapi dia tidak mahu beriman.
Tapi Allah suruh bayangkan kalau Abu Jahal itu beriman, tentulah itu baik bagi dia. Kalaulah dia dapat menerima petunjuk, tentu dia sudah jadi seorang yang baik dan hebat dalam sejarah Islam (kerana dia ada potensi). Nabi pun sudah doa supaya dia dimasukkan ke dalam Islam sebab Nabi pun sudah nampak ada kelebihan pada dia.
Apabila digunakan kalimat عَلَى الهُدىٰ = maksudnya orang itu kena berubah sendiri. Dia sendiri yang mahu duduk di atas petunjuk, bukannya diletakkan oleh orang lain. Oleh itu kena ada keinginan dalam diri sendiri untuk berubah. Kalau nak harapkan orang lain bagi hujah kepada dia, tapi dia sendiri tidak mahu, tidak akan berubah orang itu. Kerana kena ada keinginan untuk mencari kebenaran dan menerima kebenaran.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 5 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
ingin bertanya tentang kenyataan ini “Kejadian yang dimaksudkan adalah apabila Nabi Muhammad solat berdekatan Kaabah dan baginda diganggu oleh Abu Jahl.”
bukan israk mikraj tidak berlaku lagi, jadi nabi solat yang macam mana ? solat seperti kita sekarang atau yang lain ?
LikeLike
Solat sudah ada sebelum Israk Mikraj lagi. Ini kerana masih ada lagi saki baki syariat Nabi Ibrahim. Mereka masih juga kurban, solat, wudhuk, tawaf, buat haji dan umrah, nikah, nazar… tapi cara solat tidak diberitahu samada sama macam yang kita amalkan atau tidak. Tapi masa tentulah tidak sama. Kerana penetapan lima waktu sehari semalam hanya didapati selepas israk mikraj. Dan rakaat hanya dua sahaja. Ini hanya sejarah sahaja dan tidak perlu tahu dengan detail.
LikeLike