Tafsir Surah al-Alaq Ayat 12 – 19

Ayat 12:

أَو أَمَرَ بِالتَّقوىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or enjoins righteousness?

(MALAY)

atau dia menyuruh bertakwa (kepada Allah)?

 

Seperti juga dalam ayat sebelum ini, individu yang dimaksudkan dalam ayat ini tidak pasti oleh ulama’ sama ada Nabi Muhammad atau Abu Jahal.

A. “Apa pandangan kamu kalau Nabi Muhammad itu benar-benar mengajak kepada ketaqwaan? Tidakkah engkau lihat bagaimana memang Nabi Muhammad itu mengajak kepada taqwa?”

Apabila disambung dari ayat ini, kita nampak bahawa tidak cukup dengan seseorang itu dapat hidayah sahaja, tapi dia kena sampaikan petunjuk kepada orang lain dan mengajak mereka kepada taqwa juga. Maka ini menunjukkan kepentingan dakwah.

B. Kalau merujuk kepada Abu Jahal, maka kita disuruh membayangkan jikalau dia menerima dakwah dan dia sendiri mengajak orang lain kepada taqwa. Tentulah dia akan menjadi seorang yang hebat. Kerana dia sendiri ada potensi yang tinggi. Tapi malangnya dia telah menolak untuk menerima kebenaran dan telah merendahkan dirinya serendah-rendahnya.


 

Ayat 13:

أَرَأَيتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you seen if he denies and turns away –

(MALAY)

Bagaimana pendapatmu jika orang itu mendustakan dan berpaling?

 

Sekarang jelas ayat ini memperkatakan tentang Abu Jahal pula. Sekarang menceritakan tentang sifatnya yang mendustakan Nabi dan berpaling dari Nabi Muhammad pula.

Tidakkah engkau lihat apakah yang telah dilakukannya itu? Dia ada peluang untuk mendapat kebaikan yang amat banyak kalau dia mahu beriman dengan Nabi Muhammad, tapi dia lepaskan peluang keemasan itu.


 

Ayat 14:

أَلَم يَعلَم بِأَنَّ اللَّهَ يَرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Does he not know that Allāh sees?

(MALAY)

Tidaklah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya?

 

Allah memperkatakan tentang kebodohan Abu Jahal itu dan mereka yang bersifat seperti dia. Dia sangka yang dia sedang mengganggu Nabi Muhammad sahaja, tapi dia tidak sedar bahawa Allah sedang memerhatikan setiap perbuatannya itu.

Sebenarnya Musyrikin Mekah kenal Allah sebagai Tuhan. Walaupun mereka itu melakukan syirik dengan menyembah berhala dan sembahan-sembahan yang lain, tapi mereka juga kenal Allah sebagai ‘Tuhan Utama’. Pada mereka, berhala dan sembahan-sembahan itu adalah ilah-ilah selain Allah sahaja. Tapi tidaklah ilah-ilah itu dapat menandingi Allah.

Jadi mereka kenal Allah, dan tahu bahawa Allah itulah yang menjadikan mereka dan alam ini. Begitu jugalah dengan Abu Jahal – sepatutnya dia pun kenal juga Allah. Tapi kerana dia teruk sangat, sangat benci kepada Nabi Muhammad dan kebenaran yang dibawa oleh baginda, dia sampai lupa kepada Allah dan lupa bahawa Allah sedang memerhatikan.

Apabila digunakan kalimat أَلَم يَعلَم (tidakkah mereka tahu?), itu menunjukkan mereka sepatutnya tahu, kerana itulah digunakan soalan dalam ayat ini dalam bentuk retorik.

Jadi, kita kena faham beza antara orang yang ‘tahu’ dan orang yang ‘engkar sombong’. Dalam permulaan surah ini, telah disebut tentang baca dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Ini penting kerana dengan ilmu pengetahuanlah yang boleh menyebabkan seseorang itu rendah diri dan sedar siapakah diri mereka. Sebab itu kita lihat resmi padi – semakin berisi semakin tunduk padi itu. Mereka yang kenal Allahlah yang takut dengan Allah, seperti yang disebut dalam Fatir:28

إِنَّما يَخشَى اللَّهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’.

Jelas bahawa mereka yang ada ilmu akan sedar tentang diri mereka akan tunduk kepada Allah. Menolak ilmu akan menyebabkan kesombongan. Kalau kita merendahkan diri di hadapan Allah, Allah akan meningkatkan darjat kita; dan kalau kita sombong dan menentang kebenaran, Allah akan merendahkan kita serendah-rendahnya.

Jadi secara ringkasnya, dua perkara telah disentuh setakat ini:

1- Kepentingan ada ilmu

2- Orang jenis apa yang menolak ilmu itu.

Selepas ini nanti akan disentuh:

3- Apabila kamu tidak menerima dan mendapatkan ilmu pengetahuan, kamu akan menjadi orang yang jahil; dan bila jahil, apa yang kamu akan lakukan?

Ayat-ayat selepas ini akan menceritakan bagaimana sifat Abu Jahal (bapa kejahilan) dan mereka yang sepertinya. Ulama’ telah mengatakan bahawa ayat-ayat selepas ini memperkatakan tentang Abu Jahal dan sikapnya.

Sebelum kita teruskan, menarik untuk kita lihat gelaran yang diberikan kepada Abu Jahal itu. Abu Jahal bermaksud ‘Bapa kebodohon’. Ini adalah gelaran kepada dia kerana nama dia yang asal adalah lain (Amr). Dia diberi dengan gelaran yang menghinakan itu walaupun pada asalnya, masyarakat beliau menggelar beliau dengan gelaran: Abul Hakam (seorang yang bijaksana) kerana dia memang seorang yang ada kepandaian dan seorang yang dipandang tinggi dalam masyarakat Arab.

Akan tetapi, kerana dia menolak kebenaran, dia digelar dengan gelaran Abu Jahal dan gelaran itu kekal sampai ke kiamat nanti. Orang tak kenal pun dengan namanya yang sebenar dan gelarannya yang asal. Begitulah Allah hinakan dia kerana dia telah menolak Nabi Muhammad. Kita pun tidak tahu dia ada keturunan atau tidak, kerana kalau ada anak beranak pun, mereka sudah tidak mengaku keturunan dia agaknya.

Memang dia seorang yang pandai dalam ilmu dunia, tapi kalau jahil ilmu akhirat, itu tidak bermakna langsung. Maknanya, kalau tahu segala ilmu dalam dunia, tapi tak tahu tentang ilmu agama dan tidak terima ilmu agama itu, mereka itu masih dikira sebagai dungu.

Maka, kalau orang kita masuk universiti, jadi doktor, dapat PHD, jadi professor, tapi kalau ilmu agama tidak ada, tidak ada gunanya. Setakat orang kenal dan sanjung di dunia sahaja, tapi di akhirat nanti dia akan ada masalah. Kerana kalau dia jahil, syaitan akan ambil peluang itu untuk menjerumuskan dia ke lembah kehinaan. Ini adalah kerana, seseorang yang jahil dan tidak tahu tentang kesan perbuatannya, dia sanggup buat perkara – perkara yang buruk. Sebagaimana Abu Jahal yang sanggup untuk menyakiti Nabi Muhammad dan sanggup untuk suruh orang lain menyakiti baginda.

Begitulah juga seorang yang jahil tentang agama, mereka tidak tahu mana yang benar dan mana yang salah dan mereka buat ikut suka diri mereka sahaja; dan mereka akan terima sahaja ajaran salah kerana mereka tidak ada neraca untuk menilai kebenaran. Kerana itulah kita boleh lihat, ramai orang bijak pandai dari kalangan orang Islam pun, tapi mereka tidak mendalami ilmu agama, mereka akan buat perkara syirik dan perkara bidaah. Ini adalah kerana mereka ada ilmu dunia, tapi mereka tidak ada ilmu agama. Maka mereka senang ditipu oleh syaitan.


 

Ayat 15: Sekarang kita masuk ke fasa ke 4 surah ini. Ayat 15 – 18 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia memberitahu kita akibat buruk kepada penderhaka.

كَلَّا لَٮِٕن لَّم يَنتَهِ لَنَسفَعَۢا بِٱلنَّاصِيَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! If he does not desist, We will surely drag him by the forelock¹ –

  • It may also mean “slap him” or “blacken his face at the forelock.”

(MALAY)

Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) nescaya Kami tarik ubun-ubunnya,

 

Kalimah كَلّا – janganlah dia buat begitu. Bahaya kalau dia teruskan. Allah beri ancamanNya dalam ayat itu.

Kalau kita belajar sirah, kita telah tahu bagaimana Abu Jahal telah memberi amaran kepada Nabi supaya jangan solat lagi di Kaabah, jangan itu dan ini – dia kata, kalau baginda buat juga, baginda akan disakiti. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah hendak memberi semangat kepada baginda, jangan takut kepada amaran Abu Jahal itu.

Sepatutnya manusia kena sedar bahawa Allah sedang memerhatikan segala perbuatan mereka. Kerana kalau sedar yang kita sedang diperhatikan, tentu kita tidak berani buat salah. Bayangkan kalau kita tahu ayah kita sedang memerhatikan kita dengan CCTV, atau kita sedang buat kerja dan kita tahu yang majikan kita sedang memerhatikan dari jauh, tentu kita tidak berani buat salah, bukan?

Tapi, orang seperti Abu Jahal itu teruk sangat sampai mereka tidak memikirkan tentang perkara itu langsung. Kerana dia degil sangat. Maka Allah beri amaran keras dalam ayat ini: kalau tidak berhenti dari melakukan kejahatan itu, Allah akan tangkap ubun-ubun mereka. Huruf ل dalam لَئِن itu adalah sebagai penekanan (Allah PASTI akan buat).

Kalimah النّاصِيَةِ adalah bahagian kepala yang di atas dahi (ubun-ubun). Selalunya binatang dipegang ubun-ubunnya oleh tuan mereka untuk menangkap mereka. Allah beritahu yang kalau tidak berhenti juga, Allah akan buat buat begitu. Dan Allah bukan nak tangkap sahaja, tapi Allah akan matikan dia dan masukkan terus dia ke dalam neraka.

Allah gunakan kalimah النّاصِيَةِ kerana dalam tradisi Arab, النّاصِيَةِ adalah tempat kemuliaan seseorang. Sebab itu orang ada pakai lambang di ubun-ubun mereka. Orang pakai serban dan sebagainya kerana hendak menjaga kemuliaan kepala. Ia juga adalah bahagian yang kita leta dan sentuhkan ke bumi apabila melakukan sujud. Ini adalah kerana ia adalah bahagian badan yang mulia dan kita hinakan diri kita di hadapan Allah. Dan akhir surah ini juga akan ada Ayat Sajdah, bukan? Kita letak bahagian kepala kita yang mulia kerana Allah yang paling mulia.

Ia juga adalah tempat akal dan pengetahuan. Kalau kajian otak pun akan dapati bahawa di situlah letakkan minda tempat akal berfikir. Di bahagian itulah tempat manusia berfikir dan kemudian bahagian otak lain yang gerakkan tubuh untuk bertindak. Jadi bahagian ubun-ubunlah kiranya yang paling bersalah kalau degil, bukan?

Dan kita telah sebutkan bagaimana Abu Jahal menolak untuk menerima ilmu agama dari Nabi Muhammad sendiri. Maknanya, dia bukan tolak dan hina manusia biasa, tapi dia hina seorang Nabi lagi Rasul! Maka kerana itu, Allah akan tangkap dia di ubun-ubunnya itu dan akan seret dia ke neraka. Memang orang yang menentang dan tidak mengendahkan kebenaran akan diseret atas muka mereka seperti yang disebut dalam Mulk:22

أَفَمَن يَمشي مُكِبًّا عَلىٰ وَجهِهِ أَهدىٰ أَمَّن يَمشي سَوِيًّا عَلىٰ صِراطٍ مُستَقيمٍ

Maka apakah orang yang berjalan terjungkal di atas mukanya itu lebih banyak mendapatkan petunjuk ataukah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?


 

Ayat 16: Ini adalah badal (penjelasan ayat sebelum ini).

نَاصِيَةٍ كَـٰذِبَةٍ خَاطِئَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A lying, sinning forelock.

(MALAY)

(iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka.

 

Ubun-ubun itu dikatakan sebagai كاذِبَةٍ (yang mendustakan). Apakah yang ia dustakan?

Yang ia dustakan adalah Al-Qur’an. Orang itu tahu yang Al-Qur’an itu benar, tapi dia tetap juga menolaknya. Penolakannya itu kerana sombong dan kerana degil tidak mahu mengubah cara hidup mereka. Oleh itu mereka akan keluarkan berbagai-bagai pendapat untuk menolak Al-Qur’an itu. Padahal dalam hatinya, dia tahu yang Al-Qur’an itu benar dari Allah. Ini kita telah sebutkan sebelum ini.

Maknanya, Allah membuka dan memberitahu apa yang ada dalam hati Abu Jahal itu – dia sebenarnya tahu yang Al-Qur’an itu benar, tapi dia sengaja menolak kerana sombong sahaja. Dia tidak mahu puaknya kalah dengan puak Nabi Muhammad sahaja, seperti yang kita telah jelaskan sebelum ini (bagaimana Abu Jahal dan dua orang lagi senyap-senyap mendengar bacaan Al-Qur’an Nabi Muhammad).

Ayat ini diturunkan di Mekah dan dengan jelas sekali mengatakan yang Abu Jahal itu seorang yang penipu. Ini adalah satu pukulan yang berat kepadanya. Dan dalam tradisi bangsa Arab, ini adalah satu benda yang berat. Ianya sesuatu yang amat memalukan kalau dipanggil sebagai seorang penipu.

Allah juga mengatakan yang ubun-ubunnya itu خاطِئَةٍ – membuat sentiasa buat kesilapan. Ianya dari خ ط أ yang bermaksud melakukan kesilapan tanpa mengetahui kesan dari kesilapan itu. Begitulah yang telah dilakukan oleh Abu Jahal – dia telah melakukan perbuatan yang amat buruk kepada Nabi Muhammad, dan dia tidak sedar beratnya kesalahannya itu – dia akan diseksa selama-lamanya.

Dia sangka kerana dia ada kedudukan dalam masyarakat dan kaya, dia boleh buat apa sahaja dia hendak? Macam orang kitalah juga, ramai yang buat amalan bidaah dan sangka tidak ada apa sangat kesalahan mereka itu. Tapi kesannya besar.


 

Ayat 17: Ini adalah cabaran dari Allah: kalau tak percaya juga, buatlah apa kau mahu dan panggillah sesiapa yang boleh tolong kamu.

فَليَدعُ نادِيَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then let him call his associates;

(MALAY)

Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya),

 

Abu Jahal seorang yang ada kedudukan dan dipandang tinggi. Oleh itu dia rasa dia hebat kerana dia rasa ada orang yang sentiasa akan sokong dia. Maka Allah cabar dia: panggillah juak-juak kamu itu untuk tolong kamu.

Kalimah نادِيَهُ bermaksud tempat awam yang ramai orang yang mendengar. Ini adalah kerana نادِيَهُ dari ن د و yang bermaksud ‘panggilan’, ‘seruan’. Oleh itu نادِيَهُ adalah tempat awam di mana ramai orang akan mendengar kalau kita buat pengumuman. Kiranya tempat lepak orang ramai, tempat berkumpul orang ramai.

Oleh itu, Allah cabar Abu Jahal, pergilah ke tempat orang ramai yang sokong kamu itu, minta tolong mereka untuk serang dan sakiti Nabi Muhammad. Ingat bahawa cabaran ini dari Allah. Jangan mereka sangka cabaran itu dari Rasulullah sahaja. Mereka mungkin nampak baginda itu seorang diri sahaja, lemah dan tidak ada kekuatan. Tapi kena fikirkanlah siapakah yang akan membantu baginda?


 

Ayat 18: Selepas Allah beri cabaran itu, Allah beri peringatan.

سَنَدعُ الزَّبانِيَةَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will call the angels of Hell.¹

  • Those who push the wicked into the Fire.

(MALAY)

kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah,

 

Kalimah الزَّبانِيَةَ dari katadasar ز ب ن yang boleh dikatakan sebagai pengawal keselamatan. Oleh itu الزَّبانِيَةَ boleh bermaksud pengawal yang ramai. Mereka mengawal dengan menggunakan kekuatan. Sebagai contoh, warden dalam penjara.

Allah nak beritahu, panggillah sesiapa sahaja yang kamu boleh panggil, tapi Allah boleh sahaja panggil malaikat-malaikat pengawal. Agak-agak, siapa yang lebih kuat dan ada kuasa? Mereka yang manusia atau malaikat yang gagah perkasa itu?

Ini umpama macam budak gangster sekolah nak lawan SWAT team. Gangster sekolah itu perasan sudah hebat sangat sampai boleh buli budak lagi bawah dari dia. Tapi bagaimana kalau dia kena tenung oleh orang yang lagi besar? Menikus juga dia nanti.

Dan memang dalam sirah, ada disebut kisah bagaimana Abu Jahal nak hempap batu atas baginda, tapi Abu Jahal dihalang.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Wadih, telah menceritakan kepada kami Yunus ibnu Abu Ishaq, dari Al-Walid ibnul Aizar, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Abu Jahal pernah mengatakan bahawa sesungguhnya jika Muhammad kembali ke maqam Ibrahim untuk melakukan salat, aku benar-benar akan membunuhnya. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. (Al-‘Alaq: 1) Sampai dengan firman-Nya: nescaya Kami tarik ubun-ubunnya, (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka. Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya), kelak Kami akan memanggil Malaikat Zabaniyah. (Al-‘Alaq: 15-18) Maka Nabi Saw datang dan melakukan salatnya. Lalu dikatakan kepada Abu Jahal, “Mengapa engkau mengurungkan niatmu dan tidak melakukannya?” Abu Jahal menjawab, “Sesungguhnya ada bala tentera yang banyak sekali yang menghalang-halangi antara aku dengan dia.”

 

Juga hadis riwayat Bukhari ini:

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا يَحْيَى، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، عَنْ مَعْمَر، عَنْ عَبْدِ الْكَرِيمِ الجَزَري، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: قَالَ أَبُو جَهْلٍ: لَئِنْ رَأَيْتُ مُحَمَّدًا يُصَلِّي عِنْدَ الْكَعْبَةِ لَأَطَأَنَّ عَلَى عُنُقه. فبَلغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: “لَئِنْ فَعَلَهُ لَأَخَذَتْهُ الْمَلَائِكَةُ”

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, dari Ma’mar, dari Abdul Karim Al-Jazari, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa Abu Jahal berkata, “Sesungguhnya jika aku melihat Muhammad sedang salat di dekat Ka’bah, aku benar-benar akan menginjak lehernya.” Maka ancaman itu sampai kepada Nabi Saw., lalu beliau Saw. bersabda: Sesungguhnya jika dia melakukan niatnya, benar-benar malaikat akan mengambilnya (menghukumnya).


 

Ayat 19: Ayat 19 ini adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir surah ini. Ia mengajar kita supaya menjauhi taghut dan kena dekatkan diri kepada Tuhan.

كَلّا لا تُطِعهُ وَاسجُد وَاقتَرِب ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! Do not obey him. But prostrate and draw near [to Allāh].

(MALAY)

sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh kepadanya; dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan).

 

Kalimah كَلّا bermaksud: jangan, jangan hiraukan dan takut kepada orang-orang macam Abu Jahal itu. Jangan hiraukan mereka. Mereka tidak ada kekuatan.

Kalimat لا تُطِعهُ bermaksud – Jangan ikut dia, jangan takut dan taat kepada dia. تُطِعهُ dari ط و ع yang bermaksud ‘taat’, ‘ikut’.

Kalimat وَاسجُد – dan sujudlah. Jangan taat kepada Abu Jahal itu, sebaliknya sujudlah kepada Allah. Sujudlah kepada Allah semasa di dunia, supaya di akhirat nanti tidak jadi seperti Abu Jahal yang dipaksa untuk sujud atas ubun-ubun dan mukanya. Dalam ayat ini, Allah tak sebut sujud kepada Dia, tapi kita tahu sujud kepada Allah, kerana sujud hanya kepada Allah sahaja.

Kalimat وَاقتَرِب – dan rapatkan diri kamu. Rapatkan diri kepada Allah. Tapi bagaimana untuk merapatkan diri kepada Allah? Dalam ayat 5, telah diberitahu bagaimana Allah mengajar manusia apa yang manusia tidak tahu. Kalau Allah tak ajar kita bagaimana cara untuk merapatkan diri kepada Allah, tentu kita tidak akan dapat tahu.

Banyak kisah kita belajar dalam tamadun lain bagaimana manusia cuba untuk mencari kebenaran tapi Allah tidak beri kebenaran kepada mereka. Maka mereka sembah matahari, bulan, pokok dan macam-macam lagi. Macam orang Arab sebelum Islam – mereka tidak ada kitab dan sudah jauh dari ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, maka mereka reka amalan-amalan mereka sendiri. Maka itulah sebabnya banyak amalan salah di kalangan mereka.

Antaranya mereka akan tawaf telanjang dan bertepuk-tepuk tangan di Kaabah. Mereka sangka itulah cara yang baik. Begitulah kebanyakan manusia, mereka sangka mereka buat sesuatu yang baik, sama ada mereka orang kafir atau tidak, padahal mereka buat perkara yang salah kerana mereka tidak tahu.

Begitulah juga dengan kebanyakan orang Islam kita pun, mereka reka amalan-amalan baru yang tidak ada dalam agama kerana tidak ada ilmu. Kalau kita tanya kenapa mereka buat amalan itu, bolehlah kalau hendak tengok hujah-hujah bodoh dari seorang manusia. Sampai hujah murtabak pun boleh keluar.

Jadi, sebelum disebut tentang mendekatkan diri kepada Allah, telah disebut tentang sujud. Jadi, salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri dengan Allah adalah dengan melakukan banyak sujud. Rasulullah Saw. telah bersabda:

«أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ»

Tempat yang paling dekat bagi seorang hamba kepada Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkanlah berdoa (padanya).

Jadi, awal surah ini mengandungi arahan (اقرَأ bacalah) dan hujung surah ini juga mempunyai arahan (اقتَرِب dekatlah). Kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat dengan Solat – kerana arahan membaca itu adalah membaca Al-Qur’an – dan kita disuruh untuk baca Al-Qur’an dalam solat; dan sujud juga kita lakukan dalam solat, bukan? Maka jaga solat dan banyakkan solat.

Dan kedudukan pun amat tepat sekali. Arahan awal adalah baca Al-Qur’an dan kita baca Al-Qur’an di awal solat semasa dalam qiyam. Dan arahan akhir adalah sujud dan kita sujud di akhir solat, bukan? Hebat sekali!

Di awal surah, Allah suruh kita mendapatkan ilmu dengan membaca Al-Qur’an. Dan di akhir surah, Allah suruh merapatkan diri kita dengan Allah. Ini pun ada kaitan juga – kerana untuk rapatkan diri dengan Allah, memerlukan ilmu. Iaitu ilmu tentang Allah.

Kalau kita tidak ada ilmu, itulah jadi berbagai cara yang salah. Lihatlah golongan tarekat yang jahil itu. Mereka tidak ada ilmu, maka mereka telah reka berbagai-bagai cara yang kononnya mereka kata untuk merapatkan diri dengan Allah. Memang akan jauh lari dari kebenaran kalau tidak ada ilmu. Memang senang syaitan hendak menipu kalau tidak dimulakan pembelajaran agama dengan ikut wahyu.

Dalam hadis terdahulu telah disebutkan pula bahawa Rasulullah Saw. melakukan sujud tilawah pada surat Insyiqaq dan Al-‘Alaq. Maka sunat untuk kita sujud kalau kita ayat ini, sama ada dalam solat atau pun luar solat. Maka boleh terus sujud selepas ini.

Allahu a’lam. Tamat sudah tafsir Surah al-‘Alaq ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Qadr.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s