Tafsir Surah al-Qadr Ayat 1 – 2 (Kehebatan Al-Qur’an)

Pengenalan:

Surah ini memberitahu kehebatan Al-Quran kepada kita. Quran itu amat hebat, sampaikan malam turunnya pun sudah hebat. Malam itu hebat kerana malam itulah turunnya Al-Quran dan inilah tajuk perbincangan surah ini.

Malam Lailatul Qadr itu adalah untuk memperingati turunnya wahyu. Macam kita buat perayaan kerana mengingatkan peristiwa kejadian yang telah berlaku pada hari tu. Seperti kita sambut Hari Kemerdekaan kerana mengingatkan kita merdeka dari penjajah dan itu adalah peristiwa yang penting. Maka, tentulah penurunan Al-Quran itu lebih penting lagi kerana ianya adalah penurunan wahyu Allah.

Kaitan surah ini dengan surah sebelumnya, Surah al-Alaq.

1 – Surah ‘Alaq menceritakan bagaimana ayat Al-Qur’an mula diturunkan kepada Nabi Muhammad (kisah di Gua Hira’) sedangkan surah ini menceritakan bilakah Al-Qur’an secara keseluruhan mula diturunkan, iaitu pada Lailatul Qadr.

2 – Surah al-‘Alaq menyebut Allahlah yang mengajar manusia dengan maklumat yang mereka tidak akan dapat tahu tanpa Allah yang memberitahu: [Alaq 96:5]; Dalam Surah Qadr, Allah bertanya: وَما أَدراكَ ما لَيلَةُ القَدرِ (Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?). Ini menunjukkan bahawa kita tidak akan tahu tentang Lailatul Qadr itu tanpa Allah mengajarkannya kepada kita. Ilmu kita bergantung kepada Allah. Kita jahil agama tanpa ilmu yang Allah berikan.

3 – Ayat terakhir Surah Alaq adalah: وَاسجُد وَاقتَرِب. dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan) [Alaq 96:19]; dalam Surah Qadr kita akan diberitahu bahawa waktu yang paling baik untuk mendekatkan diri dengan Allah adalah pada Lailatul Qadr.

4 – Dalam Surah ‘Alaq, Allah suruh kita baca (اقرَأ); dalam Surah Qadr kita akan diberitahu apa yang hendak dibaca. Kita akan diberitahu bahawa yang disuruh baca adalah Al-Quran yang diturunkan pada Malam Qadr itu.

Apabila membicarakan tentang Lailatul Qadr, satu persoalan yang tidak dapat dielakkan adalah, bilakah Malam itu? Ini adalah satu perkara yang banyak diperbincangkan, malah ada lebih dari 40 pendapat ulama.

Kita hampir pasti yang ianya adalah salah satu dari 5 malam ganjil dari 10 malam terakhir Ramadhan (malam 21, 23, 25, 27, atau malam ke 29). Ada pendapat yang mengatakan, kerana hanya ada 5 ayat dalam surah ini, maka ada kaitan antara malam yang 5 itu dengan 5 ayat yang ada dalam surah ini. Pendapat yang paling banyak adalah malam ke 27. Ibn Abbas pernah menjelaskan bagaimana Malam Qadr itu adalah pada malam ke 27.

Allahu a’lam. Allah lebih tahu bilakah malam itu sebenarnya. Kita dan ulama’ hanya dapat mengagak sahaja dan tidak dapat pastikan. Pendapat yang selamat adalah ianya jatuh pada salah satu dari malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir seperti yang telah disebut tadi.

Sepatutnya kita ambil peluang untuk meningkatkan amal kita pada malam-malam itu. Malangnya, waktu itulah yang umat sudah berkurang buat amal kerana ianya adalah malam-malam akhir Ramadhan. Ramai yang sudah penat buat amal dari awal bulan; dan waktu itu sudah sibuk nak membeli belah dan bersedia untuk beraya. Amat malang sekali. Sepatutnya kita kena simpan tenaga kita supaya dapat tahan sampai ke hujung Ramadhan.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu yang diturunkan Al-Qur’an pada malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةِ القَدرِ

Sahih International
Indeed, We sent the Qur’an down during the Night of Decree.

Malay
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

 

Dalam Surah sebelum ini, iaitu Surah Al-Alaq, Allah menceritakan bagaimanakah Al-Quran itu diturunkan pertama kalinya. Kali ini, Allah menceritakan tentang ‘bilakah’ Al-Quran diturunkan. Dalam ayat ini, disebut bahawa ianya diturunkan pertama kali pada لَيلَةِ القَدرِ (Malam Qadr).

Allah menggunakan perkataan ‘Kami’ untuk diriNya dalam ayat ini. Ramai juga yang keliru tentang kenapa Allah gunakan kalimah ‘Kami’ ini. Sampai ada yang kata, ini adalah dalil menunjukkan bahawa Tuhan itu banyak (seperti fahaman Kristian – triniti). Ini amat keliru sekali dan kita kena dijelaskan kerana orang Islam pun tidak tahu perkara ini dan apabila diberi hujah karut seperti di atas oleh orang Krsitan, pening jadinya mereka.

Apabila Allah menggunakan kata-ganti ‘Kami’, ini tidaklah mengatakan bahawa Tuhan itu banyak. Dalam Bahasa Arab, ini adalah ‘Royal We’ yang menunjukkan keagungan Allah. Allah akan menggunakan perkataan ‘Kami’ ini, apabila dalam ayat-ayat yang menunjukkan rahmat Allah: seperti menurunkan hujan. Dan ini biasa sahaja dalam Bahasa Arab.

Buktinya, Musyrikin Mekah yang percaya kepada ilah yang banyak pun tidak keliru mengatakan dalam Al-Qur’an ada cakap ilah banyak, kerana mereka faham bahasa. Tidak pernah kita dengar mana-mana hadis yang menyebut mereka menggunakan hujah ini semasa menolak Nabi Muhammad. Orang kita sahaja yang tidak tahu.

Kalau kita lihat dengan teliti, penggunaan dhomir (kataganti) dalam Al-Qur’an tentang Allah:

  • أنا – Aku
  • نحن – Kami
  • أنت – Kamu
  • هو – Dia

Dalam penggunaan dhomir ini, hanya satu sahaja dalam bentuk jamak (Kami). Selain dari itu, semuanya menggunakan dhomir mufrad (singular). Kalau benarlah Tuhan itu banyak seperti yang didakwa oleh puak kafir, tentulah semua penggunaan itu menggunakan bentuk jamak, bukan? Oleh itu, hujah yang mengatakan Tuhan itu satu sahaja:

1 – Semua penggunaan dhomir adalah mufrad.

2 – Kalimah نحن (Kami) memang digunakan dalam bahasa Arab dan tamadun sebelum Arab untuk menunjukkan kekuatan dan kekuasaan. Sebagai contoh, seorang raja akan membahasakan dirinya dengan kalimah ‘kami’ juga – (“kami maafkan mereka”), (“kami telah membuat keputusan”) dan sebagainya. Walaupun raja itu seorang sahaja, tapi sebagai menunjukkan kekuasaannya dalam negeri itu, dia bahasakan dirinya dengan kalimah ‘kami’. Ini biasa dan sampai sekarang pun digunakan juga.

Oleh itu, Allah gunakan kalimah dhomir نحن apabila Dia menurunkan rahmat seperti menurunkan hujan, makanan dan segala nikmat lain. Itu semua adalah perbuatan yang besar-besar. Oleh itu, penggunaan نحن adalah penggunaan dalam bentuk rasmi.

3 – Allah ada juga menggunakan dhomir ‘Aku’. Iaitu pada dua tempat – apabila Allah sangat marah atau apabila Allah sangat belas kasihan kepada hambaNya. Jadi, penggunaan ‘Aku’ adalah penggunaan tidak rasmi sedangkan penggunaan نحن adalah penggunaan yang rasmi dan yang selalu digunakan.

4 – Apabila kalimah dhomir نحن digunakan, kalau kita perhati betul-betul, pasti akan ada kalimah Allah atau Rabb bersamanya (sebelum atau selepas kalimah نحن). Ini menunjukkan bahawa Allah itu memang Esa. Jadi, mereka yang menggunakan hujah kalimah نحن untuk mengatakan Tuhan itu banyak, mereka tidak baca Al-Qur’an dengan teliti.

Satu lagi persoalan yang timbul tentang Lailalul Qadr adalah: adakah malam itu memang telah diberkati atau ianya diberkati selepas Al-Quran diturunkan pada malamnya? Walaupun ada pendapat yang berbeza, tapi kita pilih pendapat yang mengatakan ianya memang malam yang sudah berkat dari asal dan apabila Al-Quran diturunkan pada malamnya, menambahkan lagi keberkatannya. Dalilnya dalam Dukhan:3,

إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةٍ مُبارَكَةٍ

sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi

Allah menggunakan ganti nama ‘ه’ dalam أَنزَلناهُ yang merujuk kepada Al-Quran kerana semua orang sudah tahu. (Walaupun agama Sesat Syiah mengatakan yang dimaksudkan adalah Imam Mahdi). Allah tidak kata ‘Al-Qur’an pun dalam ayat ini. Allah tidak perlu beritahu apakah yang diturunkan pada malam itu kerana ianya adalah maklumat universal yang semua orang sudah tahu. Ini adalah kerana ia sudah ada dalam hati iaitu telah diilhamkan oleh Allah, sampai tak perlu cakap pun. Maksudnya, orang kafir atau orang Islam pun sudah tahu sepatutnya (dalam hatinya).

Kalimah إِنّا أَنزَلناهُ (sesungguhnya Kami menurunkannya): Allah menekankan dalam ayat ini (dan juga dalam ayat Dukhan itu) yang Allahlah (dengan menggunakan kata-ganti Kami) yang menurunkan Al-Qur’an. Ianya bukan dari kata-kata Jibril walaupun Jibril yang menyampaikannya secara lisan kepada Nabi Muhammad. Ini adalah kerana Jibrail hanya sebagai penyampai sahaja.

Kalimah أَنزَل (Dia menurunkan): kalau kita lihat dalam terjemahan biasa, hanya dikatakan ‘menurunkan’ sahaja. Akan tetapi kadang-kadang digunakan kalimah yang berbeza iaitu نزّل yang juga diterjemahkan sebagai ‘menurunkan’ juga. Oleh itu, tentu ada perbezaan antara keduanya kerana wazan (bentuk susunan dan ejaan) yang digunakan adalah berbeza.

Kalimah أَنزَل – dari wazan أفعل bermaksud menurunkan sesuatu SEKALI SAHAJA.
Kalimah نزّل – dari wazan فعّل bermaksud menurunkan sesuatu banyak kali – sedikit demi sedikit.

Oleh kerana itu, selalu dalam Al-Qur’an, apabila menyebut tentang penurunan Al-Qur’an, digunakan kalimah نزّل, dan kalau kitab-kitab sebelum Al-Qur’an seperti Taurat dan Injil, kalimah yang digunakan adalah أَنزَل. Kenapa ada perbezaan itu? Kalau kalimah yang digunakan berbeza, tentu ada perbezaan. Sebagai contoh, kalau kita lihat dalam Ali Imran:3, Allah berfirman:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقاً لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ التَّوْرَاةَ وَالإِنجِيلَ

Dia menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepadamu dengan sebenarnya; membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil,

Dari ayat Ali Imran di atas, kita boleh lihat dengan jelas, apabila menyebut penurunan Al-Qur’an, Allah gunakan kalimah نَزَّلَ dan apabila menyebut tentang penurunan Taurat dan Injil, kalimah أَنزَلَ yang digunakan. Jadi, memang ada perbezaan. Ini adalah kerana Taurat dan Injil itu diturunkan dengan lengkap sekali gus, dan Al-Qur’an diturunkan sedikit demi sedikit, selama lebih kurang 23 tahun.

Tapi dalam ayat Surah Al-Qadr ini, Allah menggunakan perkataan أَنزَلَ pula. Kenapa digunakan kalimah yang lain pula? Ini adalah kerana dalam ayat ini, ianya menceritakan bagaimana penurunan Al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia (Baitul Izzah) dengan cara ‘sekaligus’. Kerana itulah digunakan kalimah أَنزَلَ dalam ayat ini.

Ini bermakna, berkenaan Al-Qur’an, ada dua cara penurunan: pertama, penurunab sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Langit Dunia (Langit Pertama). Dan kemudian dari situlah penurunan jenis kedua iaitu diturunkan Al-Quran secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad selama 23 tahun (lebih kurang).

Dalam masa yang agak lama itu, ayat-ayat Al-Qur’an diturunkan mengikut keperluan dan ikut masa yang telah Allah tetapkan. Allah sahaja yang Maha Tahu kenapa dan bila ia patut diturunkan. Begitulah, banyak yang kita boleh tahu dari penggunaan bahasa Al-Qur’an. Oleh kerana itulah, pengetahuan tentang Bahasa Arab penting untuk memahami Al-Qur’an.

Memang ada yang komen, kenapa tak turunkan Al-Qur’an itu semua sekali? Allah lebih mengetahui, tapi setakat yang kita boleh fikirkan, kalaulah Al-Qur’an itu diberikan sekali harung, ianya akan menyebabkan kita terbeban dengan maklumat yang terlalu banyak pada satu masa. Oleh itu, ada kelebihan apabila ianya diturunkan sedikit demi sedikit.

Para sahabat dapat memahami Al-Qur’an sedikit demi sedikit dan dapat masuk dalam hati. Ini akan menyebabkan kita lebih faham. Dan begitu jugalah dengan kita yang mempelajari Al-Qur’an ini – memerlukan masa untuk belajar Al-Qur’an. Kena belajar satu persatu, perlahan-lahan. Kerana kalau belajar sekali harung, akan lupa akhirnya kerana tidak dapat penumpuan.

Kalimat لَيلَةِ القَدرِ – kita tahu yang لَيلَةِ itu bermaksud ‘malam’, tapi apakah maksud القَدرِ itu? Ada yang menterjemahkannya dengan ‘Malam Kuasa’. Tapi tak berapa nak faham, bukan? Ulama’ tafsir cuba menjelaskan dengan beberapa pendapat yang kita cuba senaraikan di bawah:

1. Digunakan kalimah القَدرِ itu dalam maksud ‘kadar’. Allah menentukan bahagian (kadar) apa yang manusia akan dapat pada tahun itu. Kalau dalam negara kita, apabila kerajaan buat belanjawan 5 tahun, setiap tahun akan dikeluarkan pula kadar pemberian kewangan kepada kementerian yang patut dapat.

Begitu jugalah dengan القَدرِ Allah Taala ini: القَدرِ (kadar) keseluruhan telah ditetapkan di Lauh Mahfuz, tapi setiap tahun akan dibentangkan kepada para malaikat untuk menjalankan kadar untuk tahun itu sahaja. Jadi ini adalah penentuan apakah yang akan terjadi pada tahun itu, siapa yang akan hidup, siapa akan mati, rezeki apa yang makhluk akan terima dan sebagainya. Malaikat tidak tahu penentuan Allah di Lauh Mahfuz, maka mereka hanya tahu apa yang terjadi setahun itu sahaja.

2. القَدرِ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘kemuliaan’. Dan kerana itu Lailatul Qadr boleh juga dikatakan sebagai ‘Malam Kemuliaan’.

3. القَدرِ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘penghargaan’. Oleh itu, sesiapa yang beribadat pada malam itu kepada Allah, dan taat kepada Allah, Allah akan hargai dan berikan kelebihan amalan mereka itu melebihi 1,000 bulan.

4. القَدرِ juga boleh bermaksud penahanan, tertahan, tersekat; sebagai contoh, Allah tahan rezeki seseorang. Ini kita boleh lihat digunakan dalam Al-Qur’an seperti dalam  Fajr:16 وَأَمّا إِذا مَا ابتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيهِ رِزقَهُ (Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya). Digunakan maksud ini kerana apabila sesuatu itu tertahan, tersekat kerana banyak sangat – dan pada malam Qadr, memang amat banyak sekali para malaikat yang turun ke bumi dan kerana itu keadaan menjadi tersekat.

Jadi, ada banyak sekali maksud القَدرِ itu dan semuanya boleh digunakan untuk menjelaskan maksud لَيلَةِ القَدرِ itu, dan tidak hanya satu makna sahaja. Kalau kita bataskan maksudnya kepada ‘Malam Kuasa’, maka akan kuranglah maknanya untuk pemahaman kita.


 

Ayat 2:

وَما أَدراكَ ما لَيلَةُ القَدرِ

Sahih International
And what can make you know what is the Night of Decree?

Malay
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

 

Mari kita lihat apakah tafsir kalimah وَما أَدراكَ – apakah makna ما dalam ayat ini? Salah satu guna ‘ما’ adalah maa at-ta’ajjub (untuk menyatakan kejutan dan kagum dengan sesuatu). Maksudnya begini: alangkah hebatnya Malam Qadr itu! Tahukah kamu kelebihan malam itu? Dengan menggunakan kalimah ini, kita dengan sendiri dapat tahu bahawa malam itu adalah amat penting dan hebat sekali.

Kalau kita perhatikan, kalimah أَدرى adalah dalam kata-kerja lepas (past tense). Dan ada dalam ayat-ayat lain di mana Allah menggunakan penggunaan present tense seperti dalam Abasa:3 وَما يُدريكَ لَعَلَّهُ يَزَّكّىٰ (Bagaimanakah kamu boleh tahu, barangkali ia ingin membersihkan dirinya). Kalau kita lihat perbezaan penggunaan kalimah ini, kita akan perasan, apabila Allah gunakan dalam bentuk past tense, Allah akan berikan jawapannya selepas itu.

Tapi kalau Allah gunakan dalam present tense, Allah tidak beritahu maklumatnya selepas itu. Sebagaimana contoh dalam Abasa:3 itu, Allah tidak beritahu apakah yang ada dalam hati lelaki buta yang bertanya kepada Nabi itu. Tapi oleh kerana dalam ayat Surah Qadr ini, Allah gunakan dalam past tense, maka Allah beritahu tentang apakah malam itu (dalam ayat selepasnya). Ada maklumat yang Allah akan beritahu, tapi Allah tidaklah beritahu bilakah malam itu. Tapi adalah maklumat Allah beritahu.

Apabila Allah bertanya tentang sesuatu, tentunya kerana ianya adalah perkara yang amat penting. Ini kita boleh lihat dalam surah-surah yang lain di mana Allah bertanya soalan yang sama.

Dan satu lagi, apabila digunakan kalimah ما أَدراكَ dalam surah-surah yang lain, tidak diulang lagi soalan itu. Tapi dalam surah ini, Allah sebut sekali lagi soalan itu dalam ayat selepas ini, menunjukkan kelebihan Malam Qadr itu.

Kadang-kadang Allah akan gunakan pengulangan sesetengah perkataan sebagai penekanan. Dan dalam ayat ini, Allah mengulang perkataan ‘Lailatul Qadr’ kali kedua dalam ayat ini sebagai penekanan kepentingan malam itu. Ada juga Allah melakukan perkara yang sama dalam surah-surah yang lain. Tapi dalam surah ini, Allah ulang lagi untuk kali ketiga dalam ayat ketiga. Ini menunjukkan lebih penting lagi Lailatul Qadr itu, Maka kita kena beri perhatian lebih sedikit lagi dari biasa.

Seperti yang kita telah sebut dalam pengenalan, kita tidak tahu bilakah Lailatul Qadr itu. Ada kelebihan kalau kita tak tahu.

Pertamanya, kalau kita tahu, kita akan hanya beribadat pada malam itu sahaja dan malas nak beribadat pada malam lain pula.

Keduanya, kalau kita tahu, tapi kita tidak beribadat pada malam itu, ia sudah boleh dikira sebagai satu kesalahan kepada kita. Macam pernah Nabi suruh Saidina Ali gerakkan orang Badwi waktu solat sudah masuk. Saidina Ali hairan kenapa Nabi tak gerak sendiri, kerana Nabi memang suka buat kebaikan. Saidina Ali tanya baginda, dan Nabi jawap, kalau orang itu tak nak bangun kalau baginda yang gerak, orang itu akan berdosa besar kerana tidak mengikut perintah Nabi. Tapi kalau orang itu tidak dengar kata Ali, tidaklah seberat kalau tidak ikut arahan Nabi.

Jadi, kalau kita tahu bilakah Malam Qadr itu dengan tepat, tapi kita tidak ambil peluang itu dengan tidak meningkatkan amal ibadat pada malam itu, maka itu adalah satu perkara yang teruk. Jadi, lebih baik kita tidak tahu.

Tentang perkara ini (bilakah Malam Qadr), pernah Nabi hendak beritahu bilakah akan terjadinya malam itu. Tapi semasa baginda keluar hendak beritahu, ada orang bertengkar, maka dilupakan tentang berita itu kepada Nabi. Oleh itu, kita tidak akan dapat tahu bilakah malam itu akan berlaku.

Dari Ubadah bin Shamit Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar pada Lailatul Qadar, ada dua orang sahabat berdebat, beliau bersabda: “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang malam Lailatul Qadar, tapi ada dua orang berdebat hingga tidak bisa lagi diketahui kapannya; mungkin ini lebih baik bagi kalian, carilah di malam 29. 27. 25 (dan dalam riwayat lain: tujuh, sembilan dan lima)” Riwayat Bukhari.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 11 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah al-Qadr Ayat 1 – 2 (Kehebatan Al-Qur’an)”

  1. assalamualaikum ustaz, boleh ana tau nama ustaz dan belajar di pondok mana, sekurang2nya ana nk kreditkan ilmu ni dlm penulisan,video etc ke ustaz. Moga tersebarnya ilmu ni, ustaz dikurniakan ganjaran pahala ilmu sebagai bekalan akhirat. Amin

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s