Tafsir Surah al-Qadr Ayat 3 – 5 (Kelebihan Lailatul Qadr)

Ayat 3: Kali ketiga Allah ulang kalimah لَيلَةُ القَدرِ. Allah menerangkan rahsia Lailatul Qadr.

لَيلَةُ ٱلقَدرِ خَيرٌ مِّن أَلفِ شَہرٍ

Sahih International
The Night of Decree is better than a thousand months.

Malay
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

 

Allah memberi peluang kepada kita untuk mendapat pahala yang banyak. Kalau kita melakukan ibadat pada malam itu, ianya ‘lebih’ dari amalan ibadat yang kalau kita buat selama 83 tahun. Iaitu sepanjang hidupnya, kerana kalau kita hidup panjang pun, dalam 80 tahun sahaja, malah ada yang lebih rendah lagi dari umur itu.

Maka, ini adalah pemberian nikmat yang amat tinggi dari Allah. Bayangkan kebaikan yang kita boleh dapat kalau kita beramal pada malam itu – kita dapat pahala amalan sepanjang hidup, tapi buat pada satu malam sahaja. Alangkah besarnya rahmat yang Allah beri kepada kita.

Pemberian ini diberikan kepada umat Nabi Muhammad kerana baginda risau umatnya tidak dapat menyamai amalan umat-umat yang terdahulu. Umat terdahulu umur mereka panjang-panjang belaka. Maka, Allah telah memberikan Lailatul Qadr kepada kita, umat akhir zaman. Maknanya, walaupun umur kita pendek, tapi pahala kita boleh jadi lagi banyak dari umat-umat terdahulu. Ini adalah salah satu nikmat besar dari Allah.

Adapun asbabun nuzul atau sebab-sebab turunnya surah tersebut diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al-Wahidi, yang bersumber dari Mujahid bahawa Rasulullah saw pernah menyebut-nyebut bani Israil yang berjuang fiisabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus. Kaum Muslimin mengagumi perjuangan orang tersebut. Maka Allah menurunkan Surah al-Qadr 1-3 yang menegaskan bahawa satu malam laitatul qadr lebih baik daripada perjuangan bani Israil selama seribu bulan itu.

Sementara di dalam riwayat lain oleh Ibnu Jarir, yang bersumber dari Mujahid bahawa di kalangan bani Israil terdapat seorang laki-laki yang suka beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukannya selama seribu bulan. Maka Allah menurunkan ayat ini (al-Qadr 1-3) yang menegaskan bahawa satu malam lailatul qadr lebih baik daripada amal seribu bulan yang dilakukan seorang laki-laki dari bani Israel tersebut.

Usia umat Nabi Muhammad SAW memang lebih pendek dari umat terdahulu. Dalam riwayat lainnya disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah merenungi hal itu. Nabi SAW pun bersedih, kerana mustahil umatnya dapat menandingi amal ibadah umat-umat terdahulu. Maka Allah telah beri kelebihan ini kepada umat baginda.

Tafsir خَيرٌ مِن أَلفِ شَهرٍ – Kalau dibuat kiraan, أَلفِ شَهرٍ (seribu bulan) itu lebih kurang 83 tahun jangkanya. Akan tetapi Allah juga menggunakan kalimah خَيرٌ (lebih baik) dalam ayat ini. Ini bermakna, ia lebih baik lagi, atau ia juga boleh bermakna, bukan setakat seribu bulan sahaja, tapi selama-lamanya, kerana apabila dikatakan ‘seribu’, itu bermaksud ‘selama-lamanya’ dalam Bahasa Arab. Iaitu ianya dalam bentuk mubalaghah (bersangatan) yang boleh membawa maksud ‘infiniti’.


 

Ayat 4: Sekarang diberikan penerangan tambahan tentang Lailatul Qadr itu. Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu kita yang malam ini turunnya perintah dan syariat Allah yang membawa kesejahteraan.

تَنَزَّلُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمرٍ

Sahih International
The angels and the Spirit descend therein by permission of their Lord for every matter.

Malay
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

 

Kalimah تَنَزَّلُ bermaksud turun. Tapi ada perbincangan balaghah sedikit tentang wazan yang digunakan pada تَنَزَّلُ. Seperti yang kita tahu, setiap perkataan yang digunakan dalam Al-Qur’an adalah tepat. Bukan sahaja kalimah yang digunakan adalah tepat, tapi cara ejaan pun tepat juga.

Sekarang lihat kalimah تَنَزَّلُ yang digunakan dalam ayat ini. Sebenarnya ejaan ini adalah ringkasan dari kalimah yang penuh – تَتَنَزَّلُ (tatanazzalu – ada tambahan ت di awalnya). Dalam Bahasa Arab pun ada juga ejaan ringkasan, macam kita gunakan ejaan ‘math’ untuk mathematic, ‘demo’ untuk demonstration dan sebagainya. Dalam Bahasa Arab, ini dipanggil ‘hazf’. Tapi ada sebab kalau sesuatu huruf itu dihazafkan.

Secara asasnya, kalau huruf lagi banyak, maka menunjukkan lebih banyak lagi dari segi kuantiti atau selalu. Jadi, dalam ayat ini, digunakan kalimah تَنَزَّلُ tapi sekarang lihat Fussilat:30 pula. Dalam ayat Fussilat itu, digunakan kalimah yang hampir sama, tapi ejaan berlainan – تَتَنَزَّلُ.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللهُ ثُمَّ استَقٰموا تَتَنَزَّلُ عَلَيهِمُ المَلٰئِكَةُ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka

Digunakan kalimah تَتَنَزَّلُ dalam Surah Fussilat itu kerana ayat itu memperkatakan tentang malaikat yang turun apabila adanya kematian manusia yang mukmin. Kalau dari segi bilangan, tentu kejadian itu lagi banyak dari bilangan malaikat yang turun pada Malam Qadr, kerana Malam Qadr berlaku sekali setahun sahaja sedangkan kematian berlaku hampir setiap masa.

Ini adalah satu mukjizat, kerana Al-Qur’an menggunakan ejaan yang tepat. Bayangkan kalaulah Al-Qur’an ini rekaan dari Nabi Muhammad, bagaimana baginda boleh sampaikan perkara ini? Tentu tidak boleh kerana ketepatan dari segi bahasa itu amat tepat sekali. Dan apabila kita faham perkara ini, maka keindahan ayat ini akan dilihat sebagai mukjizat dan akan menambahkan iman kita kepada Al-Qur’an.

Bayangkan begitu tepat sekali apa yang baginda sampaikan, tapi ingat kembali yang Nabi sebut sahaja ayat-ayat ini secara lisan, bukannya baca dari kitab pun. Dan kita telah sebutkan bagaimana kalau sesuatu itu disampaikan secara lisan, tentu susah untuk memastikan ketepatan sesuatu perkara itu. Tapi apa yang baginda sampaikan itu tepat sekali sampaikan satu huruf pun tidak salah. Maka, ini sebagai dalil bukti lagi bahawa tidak mungkin Al-Qur’an itu dari Nabi Muhammad sendiri, tapi ianya pasti dari Allah.

 

Tafsir kalimah وَالرّوحُ: Telah ijmak ulama’ bahawa ‘الرّوحُ’ yang disebut dalam ayat ini adalah Malaikat Jibril. Seperti yang pernah disebut di dalam Risalah Tauhid, kalimah الرّوحُ itu mempunyai banyak makna dan makna yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Jibril. Kenapa disebut namanya secara spesifik, sedangkan dia juga adalah malaikat? Kenapa tak sebut sahaja para malaikat turun pada malam itu dan tentunya termasuk sekali dengan Jibrail?

Nama Jibril disebut khusus kerana pangkatnya yang tinggi. Jibrillah yang menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad dan menurunkan wahyu kepada para Rasul yang lain, dan berbagai lagi tugas penting yang dilakukan oleh Jibril. Kerana kedudukannya itu, namanya disebut secara khusus.

Ini biasa kita pakai dalam bahasa biasa kita pun. Sebagai contoh kita kata: “Ramai orang pergi majlis itu termasuk Perdana Menteri” Tapi bukankah Perdana Menteri itu orang juga, bukan? Tapi disebut khusus tentang kedatangan dia kerana dia orang yang penting.

Memang selalu Jibril (الرّوحُ) disebut cara begitu dalam Al-Qur’an di mana kalimah الرّوحُ disebut selepas kalimah المَلائِكَةُ disebut. Tapi susunannya tidak sama – kadang-kadang disebut المَلائِكَةُ dulu, dan kadang-kadang disebut الرّوحُ dulu. Selalunya kalimah المَلائِكَةُ yang disebut dahulu seperti dalam Ma’arij:4

تَعرُجُ المَلائِكَةُ وَالرّوحُ إِلَيهِ في يَومٍ

Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari

Ini adalah kebiasaan penggunaan susunan ini. Cuma sekali sahaja susunan itu ditukar, iaitu dalam Naba’:38 disebut ruh dulu baru malaikat.

يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا

Pada hari, ketika ruh dan para malaikat berdiri bersaf-saf,

Apabila diteliti, beza susunan itu adalah kerana pergerakan yang berbeza. Kalau Allah menyebut tentang malaikat, selalunya berkenaan mereka bergerak (turun naik dan sebagainya). Tapi apabila disebut tentang Jibril, selalunya baginda disebut dalam keadaan tidak bergerak atau sedang melakukan kerja yang khusus, contohnya dalam Takweer:20

عِندَ ذِي العَرشِ مَكينٍ

di sisi Allah yang mempunyai ‘Arsy,

Oleh itu, kalau kita perhatikan, dalam ayat Naba’:38 itu, ianya tentang para malaikat yang duduk berdiri dalam saf-saf tidak bergerak. Dan kerana itulah agaknya Jibril disebut dahulu sebelum para malaikat yang lain disebut secara umum. Sedangkan dalam ayat al-Qadr ini, ada pergerakan para malaikat, maka kalimah المَلائِكَةُ disebut dahulu, barulah disebut kalimah الرّوحُ. Inilah antara keindahan bahasa Al-Qur’an yang diteliti oleh para ulama.

Oleh itu, tahulah kita bahawa Jibril turun setiap tahun ke bumi, walaupun sudah tidak ada Rasul untuk diberikan dengan wahyu. Ini adalah kerana kepentingan dan kehebatan Malam Qadr itu. Jibril mengulangi sunnahnya setiap tahun.

 

Tafsir kalimat بِإِذنِ رَبِّهِم – Dengan izin Tuhan mereka. Kenapa kena sebut mereka turun dengan izin Allah pula? Ini adalah kerana para malaikat sebenarnya memang teringin untuk turun ke dunia untuk bertemu dengan umat manusia yang melakukan ibadah. Ini adalah kerana mereka suka sangat nak berjumpa dengan mereka yang beruntung itu.

Dan kerana itu mereka telah memohon kepada Allah dan Allah telah ‘memberi izin’ kepada mereka. Kerana para malaikat tidak boleh turun ikut suka mereka, kalau ada izin dari Allah baru mereka boleh turun. Malaikat-malaikat itu teringin untuk turun memberi salam kepada umat yang sedang melakukan ibadah. Itulah sebabnya ayat ini disambung dengan perkataan سَلامٌ هِيَ حَتّىٰ مَطلَعِ الفَجرِ.

 

Tafsir kalimat مِن كُلِّ أَمرٍ – dari setiap urusan. Apakah maksudnya? Kalimah مِن selalu diterjemahkan ‘dari’ tapi ianya juga boleh bermaksud ‘kerana’. Oleh itu, para malaikat itu turun kerana hendak menjalankan arahan Allah. Ini kita boleh lihat juga dalam Dukhan:3-5.

إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةٍ مُبارَكَةٍ ۚ إِنّا كُنّا مُنذِرينَ ❊ فيها يُفرَقُ كُلُّ أَمرٍ حَكيمٍ

sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan ❊ Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.

Kerana membawa segala perkara: maksudnya, Allah telah menetapkan apa yang akan terjadi untuk tahun itu. Maka, malaikat-malaikat itu menjalankan tugas yang Allah berikan kepada mereka untuk tahun itu. Contohnya, siapakah yang akan mati, lahir, dapat anak, dapat rezeki, dapat kahwin dan sebagainya.

Para malaikat itu turun kerana menjalankan perintah Allah. Soalan: kenapa kena sebut Allah yang suruh dan beri arahan kepada mereka? Ini penting kerana banyaklah manusia yang melakukan syirik dengan mengatakan mereka boleh meminta tolong kepada malaikat dalam urusan keduniaan dan keagamaan mereka.

Ini dilakukan oleh banyak orang, sama ada kafir atau orang yang mengaku Islam pun. Itu adalah salah kerana dalam ayat ini, Allah menekankan bahawa malaikat tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan dengan suruhan dan izin Allah. Kalau Allah tidak suruh mereka lakukan apa-apa tugas, mereka tidak akan melakukannya. Jadi kalau kita minta terus kepada malaikat, sudah pasti yang para malaikat itu tidak dapat tolong sedikit pun.


 

Ayat 5:

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطلَعِ ٱلفَجرِ

Sahih International
Peace it is until the emergence of dawn.

Malay
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

 

Malam itu adalah malam yang aman dari syaitan. Oleh itu, ini tidak ada kejahatan langsung. Kalau malam lain, ada juga sejahtera, tapi ada juga bercampur dengan keganasan dan keburukan. Tapi Allah beritahu pada Malam Qadr ini ianya sejahtera sampai ke waktu Fajar.

Ia juga bermakna, para malaikat memberi salam dari terbenam matahari waktu Maghrib hari itu hingga ke terbit fajar, diberikan kepada orang Islam yang melakukan ibadat di masjid. Maknanya kena beramal di masjid tapi ada juga yang kata para malaikat itu pergi ke setiap mukmin yang beramal sama ada mereka ke masjid atau tidak.

Bayangkan begitu jauh sekali perjalanan mereka untuk memberi salam sejahtera kepada orang mukmin. Maka alangkah tingginya kemuliaan yang Allah berikan kepada orang mukmin.

 

Khulasah Surah dari mula hingga akhir:

Surah ini bermula dengan penceritaan turunnya Al-Qur’an, kemudian diteruskan dengan turunnya para malaikat dan turunnya juga kesejahteraan sehingga ke waktu Fajar (kerana sejahtera juga diturunkan oleh Allah). Oleh itu, tiga benda sekali telah disentuh (Al-Qur’an, malaikat & sejahtera).

Yang menarik, ada juga disebut Fajr dalam ayat ini. Maka ulama telah mengaitkan ayat ini dengan bacaan Al-Qur’an. Kalau ditanya bilakah masa terbaik untuk baca Al-Qur’an, maka dalam ayat ini, diberi isyarat yang Al-Qur’an itu paling molek dibaca pada waktu fajar. Ini dikuatkan lagi dengan dalil dalam ayat Israa’:78

إِنَّ قُرآنَ الفَجرِ كانَ مَشهودًا

Sesungguhnya bacaan Al-Qur’an waktu subuh itu disaksikan

Jumhur ulama mengatakan yang surah ini diturunkan di Makkah. Kita sudah membaca bagaimana Allah menceritakan kelebihan beribadah pada Lailatul Qadr. Jadi, kenapa ayat-ayat menceritakan kelebihan ibadah itu disampaikan kepada puak (Musyrikin Mekah) yang tidak percaya kepada tauhid dan ibadah hanya kepada Allah? Bagaimana pula begitu? Seolah-olah mereka tidak mendapat manfaat pula dari ayat ini kerana mereka pun tidak beribadat, bukan? Mereka tak kisah pun, tak ambil tahu pun, tak buat apa pun.

Jawapannya: Ada perkara penting yang Allah hendak sampaikan. Dalam Surah Al-‘Alaq, diceritakan bagaimana Rasulullah diserang oleh Abu Jahal. Akhir sekali dalam surah itu, Allah beritahu jangan kisah kepada perbuatan Abu Jahal itu.

Nabi disuruh untuk terus berdakwah dan jangan hiraukan tentangan dari penentang. Dalam berdakwah, kadang-kadang kita rasa macam kita ini jurujual, bukan? Kalau penjual, dia akan sebutkan kelebihan barang jualannya itu dengan harapan pembeli akan terkesan untuk membeli. Dalam keadaan begitu, pembeli berada dalam kedudukan yang tinggi, kerana mereka yang sedang diajak, dan mereka yang diperlukan oleh penjual kerana pembeli itu yang ada duit.

Begitulah yang dirasai oleh Rasulullah – baginda berharap sangat supaya umat baginda mahu dengar dakwah baginda dan beriman kerana baginda risaukan sangat tentang keselamatan mereka. Baginda beriya-iya benar mengajar dan rasa susah hati apabila mereka tidak mahu beriman.

Allah tak terima macam itu. Allah nak beritahu yang baginda yang sebenarnya yang berada di atas, bukan mereka yang didakwah itu. Baginda tidak perlu sangat beriya-iya, terhegeh-hegeh untuk mengharap umatnya beriman. Allah nak beritahu, kalau mereka yang tak terima, mereka yang rugi. Kerana kelebihan yang Allah berikan adalah amat banyak, seperti yang disebut dalam Surah al-Qadr ini. Kalau mereka yang tidak mahu terima, mereka yang rugi, bukannya Rasulullah.

Kitab Al-Qur’an ini yang di hadapan kita ini adalah sangat mulia, diturunkan pula pada malam yang mulia – menunjukkan ketinggian dan kemuliaan Al-Qur’an itu. Kalau mereka tidak mahu terima Al-Qur’an ini, maka jangan risau tentang mereka, mereka yang rugi. Ketahuilah, mereka yang memerlukan Al-Qur’an dan kalau mereka tidak terima, mereka yang rugi, bukannya Nabi Muhammad.

Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk sedar tentang kelebihan Lailatul Qadr ini di tahun-tahun mendatang. Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk terus beramal dan meningkatkan amalan kita pada malam itu. Sekurang-kurangnya kita dapat istiqamah untuk solat berjemaah di masjid pada malam itu. Kerana sesiapa yang Solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah pada malam itu, dikira boleh dapat Lailatul Qadr. Kalau dapat tambah dengan amalan lain, seperti Solat Terawih dan Qiyamullail, tentulah lagi baik.

Semoga Allah beri kepada kita kecintaan kepada Al-Qur’an ini dan beri kekuatan dan taufik kepada kita untuk mengamalkannya. Di akhir Surah Al-‘Alaq, Allah suruh kita mendekatkan diri denganNya. Dan dalam Surah Al-Qadr ini, kita dapat tahu bahawa kita dapat mendekatkan diri dengan Allah.

Kedua-dua Surah Al-‘Alaq dan Al-Qadr menekankan tentang Al-Qur’an. Dan Surah Al-Qadr ini memberitahu kita yang membaca Al-Qur’an di malam hari dan di waktu subuh adalah antara amalan yang paling baik. Maka kita kena ambil perhatian tentang perkara ini dan cuba amalkan.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Bayyinah.

Kemaskini: 6 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Qadr Ayat 1 – 2 (Kehebatan Al-Qur’an)

Pengenalan:

Surah ini memberitahu kehebatan Al-Qur’an kepada kita. Al-Qur’an itu amat hebat, sampaikan malam turunnya pun sudah hebat. Malam itu hebat kerana malam itulah turunnya Al-Qur’an dan inilah tajuk perbincangan surah ini.

Malam Qadr (Lailatul Qadr) itu adalah untuk memperingati turunnya wahyu. Macam kita buat perayaan kerana mengingatkan peristiwa kejadian yang telah berlaku pada hari itu. Seperti kita sambut Hari Kemerdekaan kerana mengingatkan kita merdeka dari penjajah dan itu adalah peristiwa yang penting. Maka, tentulah penurunan Al-Quran itu lebih penting lagi kerana ianya adalah penurunan wahyu Allah.

 

Kaitan surah ini dengan surah sebelumnya, Surah al-Alaq.

1 – Surah ‘Alaq menceritakan bagaimana ayat Al-Qur’an mula diturunkan kepada Nabi Muhammad (kisah di Gua Hira’) sedangkan surah ini menceritakan bilakah Al-Qur’an secara keseluruhan mula diturunkan, iaitu pada Lailatul Qadr.

2 – Surah al-‘Alaq menyebut Allahlah yang mengajar manusia dengan maklumat yang mereka tidak akan dapat tahu tanpa Allah yang memberitahu: [al-‘Alaq:5] عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.); Dalam Surah Al-Qadr, Allah bertanya: وَما أَدراكَ ما لَيلَةُ القَدرِ (Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?).

Ini menunjukkan bahawa kita tidak akan tahu tentang Lailatul Qadr itu tanpa Allah mengajarkannya kepada kita. Ilmu kita bergantung kepada Allah. Kita jahil agama tanpa ilmu yang Allah berikan.

3 – Ayat terakhir Surah al-‘Alaq adalah: وَاسجُد وَاقتَرِب (dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan)) [Alaq 96:19]; dalam Surah Al-Qadr kita akan diberitahu bahawa waktu yang paling baik untuk mendekatkan diri dengan Allah adalah pada Malam Qadr.

4 – Dalam Surah al-‘Alaq, Allah suruh kita baca (اقرَأ); dalam Surah Al-Qadr kita akan diberitahu apa yang hendak dibaca. Kita akan diberitahu bahawa yang disuruh baca adalah Al-Quran yang diturunkan pada Malam Qadr itu.

 

Bilakah Malam Qadr?

Apabila membicarakan tentang Lailatul Qadr, satu persoalan yang tidak dapat dielakkan adalah, bilakah Malam itu? Ini adalah satu perkara yang banyak diperbincangkan, malah ada lebih dari 40 pendapat ulama’.

Kita hampir pasti yang ianya adalah salah satu dari 5 malam ganjil dari 10 malam terakhir Ramadhan (malam 21, 23, 25, 27, atau malam ke 29). Ada pendapat yang mengatakan, kerana hanya ada 5 ayat dalam surah ini, maka ada kaitan antara malam yang 5 itu dengan 5 ayat yang ada dalam surah ini. Pendapat yang paling banyak adalah malam ke 27. Ibn Abbas pernah menjelaskan bagaimana Malam Qadr itu adalah pada malam ke 27.

Allahu a’lam. Allah lebih tahu bilakah malam itu sebenarnya. Kita dan ulama’ hanya dapat mengagak sahaja dan tidak dapat pastikan. Pendapat yang selamat adalah ianya jatuh pada salah satu dari malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir seperti yang telah disebut tadi.

Ia juga menjadi rahsia kerana Allah mahu kita terus membanyakkan amalan ibadat pada malam-malam itu. Sengaja tidak diberitahu kerana kalau tahu dengan spesifik malam yang mana, maka umat hanya beribadah pada malam itu pula. Maka dengan tidak tahu, maka kita tercari-cari dan buat ibadat dalam semua malam-malam itu dengan harapan terkena salah satunya dengan Malam Qadr.

Sepatutnya kita ambil peluang untuk meningkatkan amal kita pada malam-malam itu. Malangnya, waktu itulah yang umat sudah berkurang buat amal kerana ianya adalah malam-malam akhir Ramadhan. Ramai yang sudah penat buat amal dari awal bulan; dan waktu itu sudah sibuk nak membeli belah dan bersedia untuk beraya. Amat malang sekali. Sepatutnya kita kena simpan tenaga kita supaya dapat tahan sampai ke hujung Ramadhan.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu yang diturunkan Al-Qur’an pada malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

إِنَّآ أَنزَلنَـٰهُ فِى لَيلَةِ ٱلقَدرِ

Sahih International
Indeed, We sent the Qur’an down during the Night of Decree.

Malay
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Qadar,

 

Dalam Surah sebelum ini, iaitu Surah Al-‘Alaq, Allah menceritakan bagaimanakah Al-Quran itu diturunkan pertama kalinya. Kali ini, Allah menceritakan tentang ‘bilakah‘ Al-Quran diturunkan. Dalam ayat ini, disebut bahawa ianya diturunkan pertama kali pada لَيلَةِ القَدرِ (Malam Qadr).

Allah menggunakan perkataan ‘Kami’ untuk diriNya dalam ayat ini. Ramai juga yang keliru tentang kenapa Allah gunakan kalimah ‘Kami’ ini. Sampai ada yang kata, ini adalah dalil menunjukkan bahawa Tuhan itu banyak (seperti fahaman Kristian – triniti – tiga dalam satu). Ini amat keliru sekali dan kena dijelaskan kerana orang Islam pun tidak tahu perkara ini dan apabila diberi hujah karut seperti di atas oleh orang Kristian, pening jadinya mereka.

Apabila Allah menggunakan kata-ganti ‘Kami’, ini tidaklah mengatakan bahawa Tuhan itu banyak. Dalam Bahasa Arab, ini adalah ‘Royal We’ yang menunjukkan keagungan Allah. Allah akan menggunakan perkataan ‘Kami’ ini, apabila dalam ayat-ayat yang menunjukkan rahmat Allah: seperti menurunkan hujan. Dan ini biasa sahaja dalam Bahasa Arab.

Buktinya, Musyrikin Mekah yang percaya kepada ilah yang banyak pun tidak keliru mengatakan dalam Al-Qur’an ada cakap ilah banyak, kerana mereka faham bahasa Arab. Tidak pernah kita dengar mana-mana hadis yang menyebut mereka menggunakan hujah ini semasa menolak Nabi Muhammad. Orang kita sahaja yang tidak tahu.

Kalau kita lihat dengan teliti, penggunaan dhomir (kata-ganti) dalam Al-Qur’an tentang Allah:

        • أنا – Aku
        • نحن – Kami
        • أنت – Kamu
        • هو – Dia

Dalam penggunaan dhomir ini, hanya satu sahaja dalam bentuk jamak (Kami). Selain dari itu, semuanya menggunakan dhomir mufrad (singular). Kalau benarlah Tuhan itu banyak seperti yang didakwa oleh puak kafir, tentulah semua penggunaan itu menggunakan bentuk jamak, bukan? Contohnya Allah gunakan kalimah أنتم (kamu – jamak) atau هم (mereka) dalam Al-Qur’an. Tapi memang tidak ada. Oleh itu, hujah yang mengatakan Tuhan itu satu sahaja:

1 – Semua penggunaan dhomir adalah mufrad.

2 – Kalimah نحن (Kami) memang digunakan dalam bahasa Arab dan tamadun sebelum Arab (dan sampai sekarang) untuk menunjukkan kekuatan dan kekuasaan. Sebagai contoh, seorang raja akan membahasakan dirinya dengan kalimah ‘kami’ juga – (“kami maafkan mereka”), (“kami telah membuat keputusan”) dan sebagainya.

Walaupun raja itu seorang sahaja, tapi sebagai menunjukkan kekuasaannya dalam negeri itu, dia bahasakan dirinya dengan kalimah ‘kami’. Ini biasa dan sampai sekarang pun digunakan juga.

Oleh itu, Allah gunakan kalimah dhomir نحن apabila Dia menurunkan rahmat seperti menurunkan hujan, makanan dan segala nikmat lain. Itu semua adalah perbuatan yang besar-besar. Oleh itu, penggunaan نحن adalah penggunaan dalam bentuk rasmi.

3 – Allah ada juga menggunakan dhomir ‘Aku’. Iaitu pada dua tempat – apabila Allah sangat marah atau apabila Allah sangat belas kasihan kepada hambaNya. Jadi, penggunaan ‘Aku’ adalah penggunaan tidak rasmi sedangkan penggunaan نحن adalah penggunaan yang rasmi dan yang selalu digunakan.

4 – Apabila kalimah dhomir نحن digunakan, kalau kita perhati betul-betul, pasti akan ada kalimah Allah atau Rabb bersamanya (sebelum atau selepas kalimah نحن). Ini menunjukkan bahawa Allah itu memang Esa. Jadi, mereka yang menggunakan hujah kalimah نحن untuk mengatakan Tuhan itu banyak, mereka tidak baca Al-Qur’an dengan teliti.

Atau, memang tidak tahu bahasa Arab langsung. Atau, tidak belajar langsung bab Tauhid sampaikan senang sahaja digoyang-goyang oleh hujah yang lemah dari orang lain.

Sekian penerangan penggunaan kalimah ‘Kami’ di dalam Al-Qur’an yang merujuk kepada Allah.

Satu lagi persoalan yang timbul tentang Lailalul Qadr adalah: adakah malam itu memang telah diberkati atau ianya diberkati selepas Al-Quran diturunkan pada malamnya? Walaupun ada pendapat yang berbeza, tapi kita pilih pendapat yang mengatakan ianya memang malam yang sudah berkat dari asal dan apabila Al-Quran diturunkan pada malamnya, menambahkan lagi keberkatannya. Dalil bagi hujah ini terdapat dalam Dukhan:3,

إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةٍ مُبارَكَةٍ

sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi

Allah menggunakan ganti nama ‘ه’ dalam أَنزَلناهُ yang merujuk kepada Al-Quran kerana semua orang sudah tahu. (Walaupun agama Sesat Syiah mengatakan yang dimaksudkan adalah Imam Mahdi). Allah tidak kata ‘Al-Qur’an pun dalam ayat ini. Allah tidak perlu beritahu apakah yang diturunkan pada malam itu kerana ianya adalah maklumat universal yang semua orang sudah tahu. Ini adalah kerana ia sudah ada dalam hati iaitu telah diilhamkan oleh Allah, sampai tak perlu cakap pun. Maksudnya, orang kafir atau orang Islam pun sudah tahu sepatutnya (dalam hatinya).

Kalimah إِنّا أَنزَلناهُ (sesungguhnya Kami menurunkannya): Allah menekankan dalam ayat ini (dan juga dalam ayat Dukhan itu) yang Allahlah (dengan menggunakan kata-ganti: Kami) yang menurunkan Al-Qur’an. Ianya bukan dari kata-kata Jibril walaupun Jibril yang menyampaikannya secara lisan kepada Nabi Muhammad. Ini adalah kerana Jibrail hanya sebagai penyampai sahaja.

Kalimah أَنزَل (Dia menurunkan): kalau kita lihat dalam terjemahan biasa, hanya dikatakan ‘menurunkan’ sahaja. Akan tetapi kadang-kadang digunakan kalimah yang berbeza iaitu نزّل yang juga diterjemahkan sebagai ‘menurunkan’ juga. Oleh itu, tentu ada perbezaan antara keduanya kerana wazan (bentuk susunan dan ejaan) yang digunakan adalah berbeza.

Kalimah أَنزَل – dari wazan أفعل bermaksud menurunkan sesuatu SEKALI SAHAJA.
Kalimah نزّل – dari wazan فعّل bermaksud menurunkan sesuatu banyak kali – sedikit demi sedikit.

Oleh kerana itu, selalu dalam Al-Qur’an, apabila menyebut tentang penurunan Al-Qur’an, digunakan kalimah نزّل, dan kalau kitab-kitab sebelum Al-Qur’an seperti Taurat dan Injil, kalimah yang digunakan adalah أَنزَل. Kenapa ada perbezaan itu? Kalau kalimah yang digunakan berbeza, tentu ada perbezaan.

Sebagai contoh, kalau kita lihat dalam Ali Imran:3, Allah berfirman:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقاً لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ التَّوْرَاةَ وَالإِنجِيلَ

Dia menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepadamu dengan sebenarnya; membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil,

Dari ayat Ali Imran di atas, kita boleh lihat dengan jelas, apabila menyebut penurunan Al-Qur’an, Allah gunakan kalimah نَزَّلَ dan apabila menyebut tentang penurunan Taurat dan Injil, kalimah أَنزَلَ yang digunakan. Jadi, memang ada perbezaan. Ini adalah kerana Taurat dan Injil itu diturunkan dengan lengkap sekali gus, dan Al-Qur’an diturunkan sedikit demi sedikit, selama lebih kurang 23 tahun.

Tapi dalam ayat Surah Al-Qadr ini, Allah menggunakan perkataan أَنزَلَ pula. Kenapa digunakan kalimah yang lain pula? Ini adalah kerana dalam ayat ini, ianya menceritakan bagaimana penurunan Al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia (Baitul Izzah) dengan cara ‘sekaligus’ iaitu lengkap. Kerana itulah digunakan kalimah أَنزَلَ dalam ayat ini.

Ini bermakna, berkenaan Al-Qur’an, ada dua cara penurunan: pertama, penurunan sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Langit Dunia (Langit Pertama). Dan kemudian dari situlah penurunan jenis kedua iaitu diturunkan Al-Quran secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad selama 23 tahun (lebih kurang).

Dalam masa yang agak lama itu, ayat-ayat Al-Qur’an diturunkan mengikut keperluan dan ikut masa yang telah Allah tetapkan. Allah sahaja yang Maha Tahu kenapa dan bila ia patut diturunkan. Begitulah, banyak yang kita boleh tahu dari penggunaan bahasa Al-Qur’an. Oleh kerana itulah, pengetahuan tentang Bahasa Arab penting untuk memahami Al-Qur’an.

Memang ada yang komen, kenapa tak turunkan Al-Qur’an itu semua sekali? Allah lebih mengetahui, tapi setakat yang kita boleh fikirkan, kalaulah Al-Qur’an itu diberikan sekali harung, ianya akan menyebabkan para sahabat waktu itu terbeban dengan maklumat yang terlalu banyak pada satu masa. Oleh itu, ada kelebihan apabila ianya diturunkan sedikit demi sedikit.

Para sahabat dapat memahami Al-Qur’an sedikit demi sedikit dan dapat masuk dalam hati. Ini akan menyebabkan kita lebih faham. Dan begitu jugalah dengan kita yang mempelajari Al-Qur’an ini – memerlukan masa untuk belajar Al-Qur’an. Kena belajar satu persatu, perlahan-lahan. Kerana kalau belajar sekali harung, akan lupa akhirnya kerana tidak dapat penumpuan.

 

Maksud Qadr:

Kalimat لَيلَةِ القَدرِ – kita tahu yang لَيلَةِ itu bermaksud ‘malam’, tapi apakah maksud القَدرِ itu? Ada yang menterjemahkannya dengan ‘Malam Kuasa’. Tapi tak berapa nak faham, bukan? Ulama’ tafsir cuba menjelaskan dengan beberapa pendapat yang kita cuba senaraikan di bawah:

1. Digunakan kalimah القَدرِ itu dalam maksud ‘kadar’. Allah menentukan bahagian (kadar) apa yang manusia akan dapat pada tahun itu. Kalau dalam negara kita, apabila kerajaan buat belanjawan 5 tahun, setiap tahun akan dikeluarkan pula kadar pemberian kewangan kepada kementerian yang patut dapat.

Begitu jugalah dengan القَدرِ Allah Taala ini: القَدرِ (kadar) keseluruhan telah ditetapkan di Lauh Mahfuz, tapi setiap tahun akan dibentangkan kepada para malaikat untuk menjalankan kadar untuk tahun itu sahaja. Jadi ini adalah penentuan apakah yang akan terjadi pada tahun itu, siapa yang akan hidup, siapa akan mati, rezeki apa yang makhluk akan terima dan sebagainya.

Malaikat tidak tahu penentuan Allah di Lauh Mahfuz, maka mereka hanya tahu apa yang terjadi setahun itu sahaja. Mereka diberitahu pada malam itu kerana merekalah yang akan menjalankan tugas perancangan Allah pada tahun itu.

2. القَدرِ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘kemuliaan’. Dan kerana itu Lailatul Qadr boleh juga dikatakan sebagai ‘Malam Kemuliaan’.

3. القَدرِ juga boleh diterjemahkan sebagai ‘penghargaan’. Oleh itu, sesiapa yang beribadat pada malam itu kepada Allah, dan taat kepada Allah, Allah akan hargai dan berikan kelebihan amalan mereka itu melebihi 1,000 bulan. Umur umat Nabi Muhammad pendek sahaja, maka Allah beri kelebihan dengan pahala berganda.

4. القَدرِ juga boleh bermaksud penahanan, tertahan, tersekat; sebagai contoh, Allah tahan rezeki seseorang. Ini kita boleh lihat digunakan dalam Al-Qur’an seperti dalam  Fajr:16 وَأَمّا إِذا مَا ابتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيهِ رِزقَهُ (Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya).

Digunakan قدر dengan maksud ini kerana apabila sesuatu itu tertahan, tersekat kerana banyak sangat. Kerana pada Malam Qadr, memang amat banyak sekali para malaikat yang turun ke bumi dan kerana itu keadaan menjadi tersekat.

Jadi, ada banyak sekali maksud القَدرِ itu dan semuanya boleh digunakan untuk menjelaskan maksud لَيلَةِ القَدرِ itu, dan tidak hanya satu makna sahaja. Kalau kita bataskan maksudnya kepada ‘Malam Kuasa’, maka akan kuranglah maknanya untuk pemahaman kita.


 

Ayat 2:

وَمَآ أَدرَٮٰكَ مَا لَيلَةُ ٱلقَدرِ

Sahih International
And what can make you know what is the Night of Decree?

Malay
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

 

Mari kita lihat apakah tafsir kalimah وَما أَدراكَ – apakah makna ما dalam ayat ini? Salah satu guna ‘ما’ adalah maa at-ta’ajjub (untuk menyatakan kejutan dan kagum dengan sesuatu). Maksudnya begini: alangkah hebatnya Malam Qadr itu! “Tahukah kamu kelebihan malam yang hebat itu?” Dengan menggunakan kalimah ini, kita dengan sendiri dapat tahu bahawa malam itu adalah amat penting dan hebat sekali.

Kalau kita perhatikan, kalimah أَدرى adalah dalam kata-kerja lepas (past tense). Dan ada dalam ayat-ayat lain di mana Allah menggunakan penggunaan present tense seperti dalam Abasa:3 وَما يُدريكَ لَعَلَّهُ يَزَّكّىٰ (Bagaimanakah kamu boleh tahu, barangkali ia ingin membersihkan dirinya). Kalau kita lihat perbezaan penggunaan kalimah ini, kita akan perasan, apabila Allah gunakan dalam bentuk past tense, Allah akan berikan jawapannya selepas itu.

Tapi kalau Allah gunakan dalam present tense, Allah tidak beritahu maklumatnya selepas itu. Sebagaimana contoh dalam Abasa:3 itu, Allah tidak beritahu apakah yang ada dalam hati lelaki buta yang bertanya kepada Nabi itu. Tapi oleh kerana dalam ayat Surah Al-Qadr ini, Allah gunakan dalam past tense, maka Allah beritahu tentang apakah malam itu (dalam ayat selepasnya). Ada maklumat yang Allah akan beritahu, tapi Allah tidaklah beritahu bilakah malam itu. Tapi adalah maklumat Allah beritahu.

Apabila Allah bertanya tentang sesuatu, tentunya kerana ianya adalah perkara yang amat penting. Ini kita boleh lihat dalam surah-surah yang lain di mana Allah bertanya soalan yang sama.

Dan satu lagi, apabila digunakan kalimah ما أَدراكَ dalam surah-surah yang lain, tidak diulang lagi soalan itu. Tapi dalam surah ini, Allah sebut sekali lagi soalan itu dalam ayat selepas ini, menunjukkan kelebihan Malam Qadr itu.

Kadang-kadang Allah akan gunakan pengulangan sesetengah perkataan sebagai penekanan. Dan dalam ayat ini, Allah mengulang perkataan ‘Lailatul Qadr’ kali kedua dalam ayat ini sebagai penekanan kepentingan malam itu. Ada juga Allah melakukan perkara yang sama dalam surah-surah yang lain. Tapi dalam surah ini, Allah ulang lagi untuk kali ketiga dalam ayat ketiga. Ini menunjukkan lebih penting lagi Lailatul Qadr itu, Maka kita kena beri perhatian lebih sedikit lagi dari biasa.

Seperti yang kita telah sebut dalam pengenalan, kita tidak tahu bilakah Lailatul Qadr itu. Ada kelebihan kalau kita tak tahu.

Pertamanya, kalau kita tahu, kita akan hanya beribadat pada malam itu sahaja dan malas nak beribadat pada malam lain pula.

Keduanya, kalau kita tahu, tapi kita tidak beribadat pada malam itu, ia sudah boleh dikira sebagai satu kesalahan kepada kita. Macam pernah Nabi suruh Saidina Ali gerakkan orang Badwi waktu solat sudah masuk. Saidina Ali hairan kenapa Nabi tak gerak sendiri, kerana Nabi memang suka buat kebaikan.

Saidina Ali tanya baginda, dan Nabi jawab, kalau orang itu tak nak bangun kalau baginda yang gerak, orang itu akan berdosa besar kerana tidak mengikut perintah Nabi. Tapi kalau orang itu tidak dengar kata Ali, tidaklah seberat kalau tidak ikut arahan Nabi.

Jadi, kalau kita tahu bilakah Malam Qadr itu dengan tepat, tapi kita tidak ambil peluang itu dengan tidak meningkatkan amal ibadat pada malam itu, maka itu adalah satu perkara yang teruk. Jadi, lebih baik kita tidak tahu.

Tentang perkara ini (bilakah Malam Qadr), pernah Nabi hendak beritahu bilakah akan terjadinya malam itu. Tapi semasa baginda keluar hendak beritahu, ada orang bertengkar, maka dilupakan tentang berita itu kepada Nabi. Oleh itu, kita tidak akan dapat tahu bilakah malam itu akan berlaku.

Dari Ubadah bin Shamit Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar pada Lailatul Qadar, ada dua orang sahabat berdebat, beliau bersabda: “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang malam Lailatul Qadar, tapi ada dua orang berdebat hingga tidak boleh lagi diketahui kapannya; mungkin ini lebih baik bagi kalian, carilah di malam 29. 27. 25 (dan dalam riwayat lain: tujuh, sembilan dan lima)” Riwayat Bukhari.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini:5 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir