Ayat 3: Kali ketiga Allah ulang kalimah لَيلَةُ القَدرِ. Allah menerangkan rahsia Lailatul Qadr.
لَيلَةُ ٱلقَدرِ خَيرٌ مِّن أَلفِ شَہرٍ
Sahih International
The Night of Decree is better than a thousand months.
Malay
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Allah memberi peluang kepada kita untuk mendapat pahala yang banyak. Kalau kita melakukan ibadat pada malam itu, ianya ‘lebih’ dari amalan ibadat yang kalau kita buat selama 83 tahun. Iaitu sepanjang hidupnya, kerana kalau kita hidup panjang pun, dalam 80 tahun sahaja, malah ada yang lebih rendah lagi dari umur itu.
Maka, ini adalah pemberian nikmat yang amat tinggi dari Allah. Bayangkan kebaikan yang kita boleh dapat kalau kita beramal pada malam itu – kita dapat pahala amalan sepanjang hidup, tapi buat pada satu malam sahaja. Alangkah besarnya rahmat yang Allah beri kepada kita.
Pemberian ini diberikan kepada umat Nabi Muhammad kerana baginda risau umatnya tidak dapat menyamai amalan umat-umat yang terdahulu. Umat terdahulu umur mereka panjang-panjang belaka. Maka, Allah telah memberikan Lailatul Qadr kepada kita, umat akhir zaman. Maknanya, walaupun umur kita pendek, tapi pahala kita boleh jadi lagi banyak dari umat-umat terdahulu. Ini adalah salah satu nikmat besar dari Allah.
Adapun asbabun nuzul atau sebab-sebab turunnya surah tersebut diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al-Wahidi, yang bersumber dari Mujahid bahawa Rasulullah saw pernah menyebut-nyebut bani Israil yang berjuang fiisabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus. Kaum Muslimin mengagumi perjuangan orang tersebut. Maka Allah menurunkan Surah al-Qadr 1-3 yang menegaskan bahawa satu malam laitatul qadr lebih baik daripada perjuangan bani Israil selama seribu bulan itu.
Sementara di dalam riwayat lain oleh Ibnu Jarir, yang bersumber dari Mujahid bahawa di kalangan bani Israil terdapat seorang laki-laki yang suka beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukannya selama seribu bulan. Maka Allah menurunkan ayat ini (al-Qadr 1-3) yang menegaskan bahawa satu malam lailatul qadr lebih baik daripada amal seribu bulan yang dilakukan seorang laki-laki dari bani Israel tersebut.
Usia umat Nabi Muhammad SAW memang lebih pendek dari umat terdahulu. Dalam riwayat lainnya disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah merenungi hal itu. Nabi SAW pun bersedih, kerana mustahil umatnya dapat menandingi amal ibadah umat-umat terdahulu. Maka Allah telah beri kelebihan ini kepada umat baginda.
Tafsir خَيرٌ مِن أَلفِ شَهرٍ – Kalau dibuat kiraan, أَلفِ شَهرٍ (seribu bulan) itu lebih kurang 83 tahun jangkanya. Akan tetapi Allah juga menggunakan kalimah خَيرٌ (lebih baik) dalam ayat ini. Ini bermakna, ia lebih baik lagi, atau ia juga boleh bermakna, bukan setakat seribu bulan sahaja, tapi selama-lamanya, kerana apabila dikatakan ‘seribu’, itu bermaksud ‘selama-lamanya’ dalam Bahasa Arab. Iaitu ianya dalam bentuk mubalaghah (bersangatan) yang boleh membawa maksud ‘infiniti’.
Ayat 4: Sekarang diberikan penerangan tambahan tentang Lailatul Qadr itu. Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu kita yang malam ini turunnya perintah dan syariat Allah yang membawa kesejahteraan.
تَنَزَّلُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمرٍ
Sahih International
The angels and the Spirit descend therein by permission of their Lord for every matter.
Malay
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Kalimah تَنَزَّلُ bermaksud turun. Tapi ada perbincangan balaghah sedikit tentang wazan yang digunakan pada تَنَزَّلُ. Seperti yang kita tahu, setiap perkataan yang digunakan dalam Al-Qur’an adalah tepat. Bukan sahaja kalimah yang digunakan adalah tepat, tapi cara ejaan pun tepat juga.
Sekarang lihat kalimah تَنَزَّلُ yang digunakan dalam ayat ini. Sebenarnya ejaan ini adalah ringkasan dari kalimah yang penuh – تَتَنَزَّلُ (tatanazzalu – ada tambahan ت di awalnya). Dalam Bahasa Arab pun ada juga ejaan ringkasan, macam kita gunakan ejaan ‘math’ untuk mathematic, ‘demo’ untuk demonstration dan sebagainya. Dalam Bahasa Arab, ini dipanggil ‘hazf’. Tapi ada sebab kalau sesuatu huruf itu dihazafkan.
Secara asasnya, kalau huruf lagi banyak, maka menunjukkan lebih banyak lagi dari segi kuantiti atau selalu. Jadi, dalam ayat ini, digunakan kalimah تَنَزَّلُ tapi sekarang lihat Fussilat:30 pula. Dalam ayat Fussilat itu, digunakan kalimah yang hampir sama, tapi ejaan berlainan – تَتَنَزَّلُ.
إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللهُ ثُمَّ استَقٰموا تَتَنَزَّلُ عَلَيهِمُ المَلٰئِكَةُ
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka
Digunakan kalimah تَتَنَزَّلُ dalam Surah Fussilat itu kerana ayat itu memperkatakan tentang malaikat yang turun apabila adanya kematian manusia yang mukmin. Kalau dari segi bilangan, tentu kejadian itu lagi banyak dari bilangan malaikat yang turun pada Malam Qadr, kerana Malam Qadr berlaku sekali setahun sahaja sedangkan kematian berlaku hampir setiap masa.
Ini adalah satu mukjizat, kerana Al-Qur’an menggunakan ejaan yang tepat. Bayangkan kalaulah Al-Qur’an ini rekaan dari Nabi Muhammad, bagaimana baginda boleh sampaikan perkara ini? Tentu tidak boleh kerana ketepatan dari segi bahasa itu amat tepat sekali. Dan apabila kita faham perkara ini, maka keindahan ayat ini akan dilihat sebagai mukjizat dan akan menambahkan iman kita kepada Al-Qur’an.
Bayangkan begitu tepat sekali apa yang baginda sampaikan, tapi ingat kembali yang Nabi sebut sahaja ayat-ayat ini secara lisan, bukannya baca dari kitab pun. Dan kita telah sebutkan bagaimana kalau sesuatu itu disampaikan secara lisan, tentu susah untuk memastikan ketepatan sesuatu perkara itu. Tapi apa yang baginda sampaikan itu tepat sekali sampaikan satu huruf pun tidak salah. Maka, ini sebagai dalil bukti lagi bahawa tidak mungkin Al-Qur’an itu dari Nabi Muhammad sendiri, tapi ianya pasti dari Allah.
Tafsir kalimah وَالرّوحُ: Telah ijmak ulama’ bahawa ‘الرّوحُ’ yang disebut dalam ayat ini adalah Malaikat Jibril. Seperti yang pernah disebut di dalam Risalah Tauhid, kalimah الرّوحُ itu mempunyai banyak makna dan makna yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Jibril. Kenapa disebut namanya secara spesifik, sedangkan dia juga adalah malaikat? Kenapa tak sebut sahaja para malaikat turun pada malam itu dan tentunya termasuk sekali dengan Jibrail?
Nama Jibril disebut khusus kerana pangkatnya yang tinggi. Jibrillah yang menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad dan menurunkan wahyu kepada para Rasul yang lain, dan berbagai lagi tugas penting yang dilakukan oleh Jibril. Kerana kedudukannya itu, namanya disebut secara khusus.
Ini biasa kita pakai dalam bahasa biasa kita pun. Sebagai contoh kita kata: “Ramai orang pergi majlis itu termasuk Perdana Menteri” Tapi bukankah Perdana Menteri itu orang juga, bukan? Tapi disebut khusus tentang kedatangan dia kerana dia orang yang penting.
Memang selalu Jibril (الرّوحُ) disebut cara begitu dalam Al-Qur’an di mana kalimah الرّوحُ disebut selepas kalimah المَلائِكَةُ disebut. Tapi susunannya tidak sama – kadang-kadang disebut المَلائِكَةُ dulu, dan kadang-kadang disebut الرّوحُ dulu. Selalunya kalimah المَلائِكَةُ yang disebut dahulu seperti dalam Ma’arij:4–
تَعرُجُ المَلائِكَةُ وَالرّوحُ إِلَيهِ في يَومٍ
Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari
Ini adalah kebiasaan penggunaan susunan ini. Cuma sekali sahaja susunan itu ditukar, iaitu dalam Naba’:38 disebut ruh dulu baru malaikat.
يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا
Pada hari, ketika ruh dan para malaikat berdiri bersaf-saf,
Apabila diteliti, beza susunan itu adalah kerana pergerakan yang berbeza. Kalau Allah menyebut tentang malaikat, selalunya berkenaan mereka bergerak (turun naik dan sebagainya). Tapi apabila disebut tentang Jibril, selalunya baginda disebut dalam keadaan tidak bergerak atau sedang melakukan kerja yang khusus, contohnya dalam Takweer:20
عِندَ ذِي العَرشِ مَكينٍ
di sisi Allah yang mempunyai ‘Arsy,
Oleh itu, kalau kita perhatikan, dalam ayat Naba’:38 itu, ianya tentang para malaikat yang duduk berdiri dalam saf-saf tidak bergerak. Dan kerana itulah agaknya Jibril disebut dahulu sebelum para malaikat yang lain disebut secara umum. Sedangkan dalam ayat al-Qadr ini, ada pergerakan para malaikat, maka kalimah المَلائِكَةُ disebut dahulu, barulah disebut kalimah الرّوحُ. Inilah antara keindahan bahasa Al-Qur’an yang diteliti oleh para ulama.
Oleh itu, tahulah kita bahawa Jibril turun setiap tahun ke bumi, walaupun sudah tidak ada Rasul untuk diberikan dengan wahyu. Ini adalah kerana kepentingan dan kehebatan Malam Qadr itu. Jibril mengulangi sunnahnya setiap tahun.
Tafsir kalimat بِإِذنِ رَبِّهِم – Dengan izin Tuhan mereka. Kenapa kena sebut mereka turun dengan izin Allah pula? Ini adalah kerana para malaikat sebenarnya memang teringin untuk turun ke dunia untuk bertemu dengan umat manusia yang melakukan ibadah. Ini adalah kerana mereka suka sangat nak berjumpa dengan mereka yang beruntung itu.
Dan kerana itu mereka telah memohon kepada Allah dan Allah telah ‘memberi izin’ kepada mereka. Kerana para malaikat tidak boleh turun ikut suka mereka, kalau ada izin dari Allah baru mereka boleh turun. Malaikat-malaikat itu teringin untuk turun memberi salam kepada umat yang sedang melakukan ibadah. Itulah sebabnya ayat ini disambung dengan perkataan سَلامٌ هِيَ حَتّىٰ مَطلَعِ الفَجرِ.
Tafsir kalimat مِن كُلِّ أَمرٍ – dari setiap urusan. Apakah maksudnya? Kalimah مِن selalu diterjemahkan ‘dari’ tapi ianya juga boleh bermaksud ‘kerana’. Oleh itu, para malaikat itu turun kerana hendak menjalankan arahan Allah. Ini kita boleh lihat juga dalam Dukhan:3-5.
إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةٍ مُبارَكَةٍ ۚ إِنّا كُنّا مُنذِرينَ ❊ فيها يُفرَقُ كُلُّ أَمرٍ حَكيمٍ
sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan ❊ Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.
Kerana membawa segala perkara: maksudnya, Allah telah menetapkan apa yang akan terjadi untuk tahun itu. Maka, malaikat-malaikat itu menjalankan tugas yang Allah berikan kepada mereka untuk tahun itu. Contohnya, siapakah yang akan mati, lahir, dapat anak, dapat rezeki, dapat kahwin dan sebagainya.
Para malaikat itu turun kerana menjalankan perintah Allah. Soalan: kenapa kena sebut Allah yang suruh dan beri arahan kepada mereka? Ini penting kerana banyaklah manusia yang melakukan syirik dengan mengatakan mereka boleh meminta tolong kepada malaikat dalam urusan keduniaan dan keagamaan mereka.
Ini dilakukan oleh banyak orang, sama ada kafir atau orang yang mengaku Islam pun. Itu adalah salah kerana dalam ayat ini, Allah menekankan bahawa malaikat tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan dengan suruhan dan izin Allah. Kalau Allah tidak suruh mereka lakukan apa-apa tugas, mereka tidak akan melakukannya. Jadi kalau kita minta terus kepada malaikat, sudah pasti yang para malaikat itu tidak dapat tolong sedikit pun.
Ayat 5:
سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطلَعِ ٱلفَجرِ
Sahih International
Peace it is until the emergence of dawn.
Malay
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Malam itu adalah malam yang aman dari syaitan. Oleh itu, ini tidak ada kejahatan langsung. Kalau malam lain, ada juga sejahtera, tapi ada juga bercampur dengan keganasan dan keburukan. Tapi Allah beritahu pada Malam Qadr ini ianya sejahtera sampai ke waktu Fajar.
Ia juga bermakna, para malaikat memberi salam dari terbenam matahari waktu Maghrib hari itu hingga ke terbit fajar, diberikan kepada orang Islam yang melakukan ibadat di masjid. Maknanya kena beramal di masjid tapi ada juga yang kata para malaikat itu pergi ke setiap mukmin yang beramal sama ada mereka ke masjid atau tidak.
Bayangkan begitu jauh sekali perjalanan mereka untuk memberi salam sejahtera kepada orang mukmin. Maka alangkah tingginya kemuliaan yang Allah berikan kepada orang mukmin.
Khulasah Surah dari mula hingga akhir:
Surah ini bermula dengan penceritaan turunnya Al-Qur’an, kemudian diteruskan dengan turunnya para malaikat dan turunnya juga kesejahteraan sehingga ke waktu Fajar (kerana sejahtera juga diturunkan oleh Allah). Oleh itu, tiga benda sekali telah disentuh (Al-Qur’an, malaikat & sejahtera).
Yang menarik, ada juga disebut Fajr dalam ayat ini. Maka ulama telah mengaitkan ayat ini dengan bacaan Al-Qur’an. Kalau ditanya bilakah masa terbaik untuk baca Al-Qur’an, maka dalam ayat ini, diberi isyarat yang Al-Qur’an itu paling molek dibaca pada waktu fajar. Ini dikuatkan lagi dengan dalil dalam ayat Israa’:78
إِنَّ قُرآنَ الفَجرِ كانَ مَشهودًا
Sesungguhnya bacaan Al-Qur’an waktu subuh itu disaksikan
Jumhur ulama mengatakan yang surah ini diturunkan di Makkah. Kita sudah membaca bagaimana Allah menceritakan kelebihan beribadah pada Lailatul Qadr. Jadi, kenapa ayat-ayat menceritakan kelebihan ibadah itu disampaikan kepada puak (Musyrikin Mekah) yang tidak percaya kepada tauhid dan ibadah hanya kepada Allah? Bagaimana pula begitu? Seolah-olah mereka tidak mendapat manfaat pula dari ayat ini kerana mereka pun tidak beribadat, bukan? Mereka tak kisah pun, tak ambil tahu pun, tak buat apa pun.
Jawapannya: Ada perkara penting yang Allah hendak sampaikan. Dalam Surah Al-‘Alaq, diceritakan bagaimana Rasulullah diserang oleh Abu Jahal. Akhir sekali dalam surah itu, Allah beritahu jangan kisah kepada perbuatan Abu Jahal itu.
Nabi disuruh untuk terus berdakwah dan jangan hiraukan tentangan dari penentang. Dalam berdakwah, kadang-kadang kita rasa macam kita ini jurujual, bukan? Kalau penjual, dia akan sebutkan kelebihan barang jualannya itu dengan harapan pembeli akan terkesan untuk membeli. Dalam keadaan begitu, pembeli berada dalam kedudukan yang tinggi, kerana mereka yang sedang diajak, dan mereka yang diperlukan oleh penjual kerana pembeli itu yang ada duit.
Begitulah yang dirasai oleh Rasulullah – baginda berharap sangat supaya umat baginda mahu dengar dakwah baginda dan beriman kerana baginda risaukan sangat tentang keselamatan mereka. Baginda beriya-iya benar mengajar dan rasa susah hati apabila mereka tidak mahu beriman.
Allah tak terima macam itu. Allah nak beritahu yang baginda yang sebenarnya yang berada di atas, bukan mereka yang didakwah itu. Baginda tidak perlu sangat beriya-iya, terhegeh-hegeh untuk mengharap umatnya beriman. Allah nak beritahu, kalau mereka yang tak terima, mereka yang rugi. Kerana kelebihan yang Allah berikan adalah amat banyak, seperti yang disebut dalam Surah al-Qadr ini. Kalau mereka yang tidak mahu terima, mereka yang rugi, bukannya Rasulullah.
Kitab Al-Qur’an ini yang di hadapan kita ini adalah sangat mulia, diturunkan pula pada malam yang mulia – menunjukkan ketinggian dan kemuliaan Al-Qur’an itu. Kalau mereka tidak mahu terima Al-Qur’an ini, maka jangan risau tentang mereka, mereka yang rugi. Ketahuilah, mereka yang memerlukan Al-Qur’an dan kalau mereka tidak terima, mereka yang rugi, bukannya Nabi Muhammad.
Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk sedar tentang kelebihan Lailatul Qadr ini di tahun-tahun mendatang. Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk terus beramal dan meningkatkan amalan kita pada malam itu. Sekurang-kurangnya kita dapat istiqamah untuk solat berjemaah di masjid pada malam itu. Kerana sesiapa yang Solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah pada malam itu, dikira boleh dapat Lailatul Qadr. Kalau dapat tambah dengan amalan lain, seperti Solat Terawih dan Qiyamullail, tentulah lagi baik.
Semoga Allah beri kepada kita kecintaan kepada Al-Qur’an ini dan beri kekuatan dan taufik kepada kita untuk mengamalkannya. Di akhir Surah Al-‘Alaq, Allah suruh kita mendekatkan diri denganNya. Dan dalam Surah Al-Qadr ini, kita dapat tahu bahawa kita dapat mendekatkan diri dengan Allah.
Kedua-dua Surah Al-‘Alaq dan Al-Qadr menekankan tentang Al-Qur’an. Dan Surah Al-Qadr ini memberitahu kita yang membaca Al-Qur’an di malam hari dan di waktu subuh adalah antara amalan yang paling baik. Maka kita kena ambil perhatian tentang perkara ini dan cuba amalkan.
Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Bayyinah.
Kemaskini: 6 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Salam, boleh ke jumpa penulis walau sekejap.. sekadar mahu kenal…
LikeLike