Tafsir Surah Fatir Ayat 27 – 30 (Ulama yang takut kepada Allah)

Ayat 27: Ayat 27 & 28 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi Dalil Tauhid Rububiyyah. Ayat 27 ini adalah Dalil Aqli Afaqi. Allah suruh kita tengok alam.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجنا بِهِ ثَمَرٰتٍ مُّختَلِفًا أَلوٰنُها ۚ وَمِنَ الجِبالِ جُدَدٌ بيضٌ وَحُمرٌ مُّختَلِفٌ أَلوٰنُها وَغَرابيبُ سودٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that Allāh sends down rain from the sky, and We produce thereby fruits of varying colors? And in the mountains are tracts, white and red of varying shades and [some] extremely black.

(MELAYU)

Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan diantara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً

Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit

Allah banyak sekali beri perumpamaan menggunakan air hujan. Ini adalah kerana ianya penting kepada kehidupan dan selalu dapat dilihat. Semua manusia melaluinya dan dapat lihat air hujan ini.

Pertamanya Allah ingatkan yang Dialah yang menurunkan air hujan itu. Ia tidak turun sendiri. Maka setiap kali hujan turun, kita sebenarnya diingatkan dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang menyebut tentangnya dan juga mengingatkan kepada Allah. Kita lihat hujan dan terdetik: “Allah SWT yang sedang menurunkan hujan ini.”

 

فَأَخرَجنا بِهِ ثَمَرٰتٍ مُّختَلِفًا أَلوٰنُها

lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam warnanya.

Allah gunakan air hujan itu sebagai asbab untuk menumbuhkan berbagai jenis buah-buahan. Walaupun air itu satu jenis sahaja, tapi Allah boleh menjadikan buah-buahan yang berbagai warna dan rasanya. Dua buah dari pokok yang sama pun tidak sama rasanya.

Masyarakat Arab dan juga mana-mana kaum pun memang suka makan buah-buahan. Kerana itu Allah gunakan contoh buah-buahan. Maka setiap kali makan buah, ingatlah yang Allah yang jadikan buah itu.

 

وَمِنَ الجِبالِ جُدَدٌ بيضٌ وَحُمرٌ

Dan diantara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah

Kadangkala gunung yang besar itu berubah rupanya kerana mungkin perubahan musim yang memberikan warna hijau kepadanya ataupun ia ditutupi dengan salji yang menjadikan ia berwarna putih. Jadi Allah menggunakan kalimah جُدَدٌ dari kalimah ج د د yang bermaksud ‘baru’ sebagai perumpamaan seolah-olah ia menjadi baru.

Dan ada gunung ganang yang berwarna merah kerana batu-batunya jenis lain.

 

مُّختَلِفٌ أَلوٰنُها وَغَرابيبُ سودٌ

yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat.

Dan ada gunung-gunung yang bermacam macam lagi warnanya.

Rainbow Mountains

Dan Allah kata ada gunung yang berwarna sangat hitam sampaikan warna kelabu pun tidak ada.


 

Ayat 28: Bukan alam sahaja yang berjenis-jenis warnya.

وَمِنَ النّاسِ وَالدَّوابِّ وَالأَنعٰمِ مُختَلِفٌ أَلوٰنُهُ كَذٰلِكَ ۗ إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ ۗ إِنَّ اللهَ عَزيزٌ غَفورٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among people and moving creatures and grazing livestock are various colors similarly. Only those fear Allāh, from among His servants, who have knowledge. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Forgiving.

(MELAYU)

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

 

وَمِنَ النّاسِ وَالدَّوابِّ وَالأَنعٰمِ مُختَلِفٌ أَلوٰنُهُ كَذٰلِكَ

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya

Dan manusia pun ada berbagai warna kulitnya, ada yang cerah, ada yang gelap, ada yang kuning, dan ada yang berwarna kemerah-merahan. Semua warna-warna ini Allah yang jadikan maka janganlah kita membeza-bezakan kedudukan mana-mana manusia berdasarkan dari warna kulit. Maka ayat ini menolak fahaman karut manusia yang membezakan manusia kerana ras dan keturunan.

Begitu juga binatang ternak ada bermacam-macam warna yang Allah jadikan. Kalau tengok lembu pun sudah ada berbagai-bagai warna walaupun semuanya jenis lembu.

Jadi apabila kita tengok alam ini dan segala kemewahan warna dan rupa, maka terkesanlah kepada kita bagaimana hebatnya Allah menjadikan semuanya ini.

 

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَما

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. 

Yang benar-benar takut kepada Allah adalah orang-orang berilmu (ulama’) iaitu yang kenal Allah. Mereka benar-benar takut tetapi tidak sama takut kepada makhluk dengan takut kepada Allah. Kalau takut kepada makhluk, kita akan melarikan diri dari makhluk itu. Tapi apabila takut kepada Allah, kita akan lebih mendekatkan diri kepada Allah.

‘Ulama’ maksudnya orang yang alim tentang Allah taala. Apabila mereka kenal Allah dan mereka melihat kehebatan yang ada pada alam ini maka mereka yakin dengan sebagai-benar yakin betapa hebatnya Allah yang boleh melakukan apa sahaja.

Jadi, ini bukanlah bermaksud ulama’ seperti yang kita faham itu. Nanti ada orang sangka: aku ini orang awam sahaja, tentu tidak termasuk. Jangan pula fikir begitu kerana ia boleh jadi sesiapa sahaja, iaitu mereka yang punya ilmu. Dan sesiapa sahaja boleh belajar. Jangan kita sangka ilmu agama ini bukan untuk orang awam. Ini adalah fahaman yang salah.

Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a. yang mengatakan bahawa orang yang alim itu bukanlah orang yang banyak hafal hadis, melainkan orang yang banyak takutnya kepada Allah.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa orang yang alim ialah orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sekalipun dia tidak melihat-Nya, menyukai apa yang disukai-Nya, dan menjauhi apa yang dimurkai-Nya.

Dan untuk kenal Allah, kenalah kenal Allah dengan cara belajar Tafsir kerana Allah memperkenalkan DiriNya dalam Al-Qur’an. Tidak ada cara lain. Boleh tambah juga dengan maklumat lain, tapi kenalah dihabiskan tafsir 30 juzuk ini. Maka kalau ajaran Tarekat kata nak kenal Allah adalah dengan belajar Tasauf, itu adalah salah faham. Tidak boleh kenal Allah dengan zikir sahaja, terutama kalau zikir itu menggunakan lafaz-lafaz bukan sunnah tapi rekaan dari manusia.

Sebelum ini telah disebut tentang kehebatan Allah memberikan bermacam-macam warna kepada alam ini dan sepatutnya perasaan yang ada pada diri kita adalah takjub kepada Allah. Tetapi Allah gunakan perasaan ‘takut’ kepadaNya di dalam ayat ini. Kenapa pula begitu?

Ini kerana kita kena rujuk kepada ayat Ali Imran:191.

الَّذينَ يَذكُرونَ اللَّهَ قِيامًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِهِم وَيَتَفَكَّرونَ في خَلقِ السَّماواتِ وَالأَرضِ رَبَّنا ما خَلَقتَ هٰذا باطِلًا سُبحانَكَ فَقِنا عَذابَ النّارِ

(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.

Ini kerana apabila kita melihat alam ini dan segala ciptaanNya, maka kita tahu bahawa semua yang Allah jadikan ini ada sebab. Bukannya Allah jadikan alam ini sia-sia sahaja. Tentu ada sebab Allah menjadikan alam ini. Iaitu untuk memperkenalkan kita kepadaNya.

Maka orang ada ada ilmu (ulama) akan berfikir: kalau alam ini Allah jadikan bersebab dan ada gunanya, maka tentulah kita ini yang lebih hebat dari alam itu juga tentu ada sebab kenapa kita dijadikan. Maka kalau kita yang sudah lama hidup di atas muka bumi ini pun masih tidak tahu apakah tujuan kita dijadikan, maka sepatutnya itu memberi perasaan takut kepada diri kita. Kerana jikalau kita tidak tahu tugas kita di atas muka bumi, tentulah kita tidak menjalankan tugas kita, bukan?

Dan kalau kita tidak menjalankan tugas itu maka tentulah kita akan dipertanggungjawabkan dan dibalas dengan azab di akhirat kelak kerana kita tidak menjalankan tugas itu.

Maka dengan melihat alam ini sepatutnya memberikan rasa takut dalam diri kita jikalau kita tidak menjalankan tugas seperti yang dikehendaki oleh Allah. Dan yang takut itu hanyalah mereka yang kenal Allah dan tahu tanggungjawab semasa hidup di dunia. Kalau tak tahu, itulah sebabnya ramai yang tenang-tenang sahaja mereka hidup dunia. Macam tidak ada tanggungjawab langsung. Mereka hidup untuk bergembira sahaja.

 

إِنَّ اللهَ عَزيزٌ غَفورٌ

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Maka ingatlah kepada Allah yang bersifat al-Aziz yang boleh mengenakan apa-apa sahaja azab kepada makhlukNya dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menahan azab itu dari Allah.

Sifat al-Aziz itu amat menakutkan tetapi dalam masa yang sama Allah juga memberitahu yang Dia juga bersifat Maha Pengampun. Maka ini memberi harapan kepada kita yang jikalau kita meminta ampun kepada Allah di atas dosa-dosa kita yang dahulu kerana kita jahil, maka ada kemungkinan kita boleh diselamatkan. Maka banyakkanlah doa taubat kepada Allah.


 

Ayat 29: Ayat 29 – 39 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi beri balasan di akhirat.

[Ayat 29 – 35] BALASAN BAIK
[Ayat 36 – 39] BALASAN BURUK

Kalau dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang ulama’. Sekarang diberitahu siapakah mereka dan apakah sifat mereka. Maka kita kena ikut sifat-sifat ini.

إِنَّ الَّذينَ يَتلونَ كِتٰبَ اللهِ وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً يَرجونَ تِجٰرَةً لَّن تَبورَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who recite the Book of Allāh and establish prayer and spend [in His cause] out of what We have provided them, secretly and publicly, [can] expect a transaction [i.e., profit] that will never perish –

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi,

 

إِنَّ الَّذينَ يَتلونَ كِتٰبَ اللهِ

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah

Maka mereka yang telah ada kesedaran tentang tauhid kepada Allah maka Allah beritahu tiga perkara yang mereka perlu lakukan.

Pertamanya membaca ayat-ayat Allah iaitu mendalami apa yang Allah sampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Maka kena fahamlah yang bukanlah Al-Qur’an ini dibaca begitu sahaja tapi dibaca dengan pemahaman.

 

وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ

dan mendirikan solat

Kemudian diteruskan dengan mendirikan solat dengan sebaik-baik cara. Maka kenalah belajar cara solat yang sunnah. Dan kemudian tingkatkan kualiti solat kita sampai boleh dapat khusyuk dalam solat.

Disebut solat sebagai wakil bagi amalan-amalan ibadat yang lain. Maksudnya bukanlah solat sahaja yang perlu kita lakukan tetapi ibadat-ibadat yang lain juga. Tapi yang utama adalah solat.

 

وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً

dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, 

Kemudian mereka itu mengeluarkan infak sama ada dengan cara bersembunyi ataupun terang-terangan.

Allah sebut infak dengan cara tersembunyi dahulu kerana cara ini lebih utama dan lebih dapat menjaga hati kita daripada ada rasa riak. Maka mulakan dengan cara ini dahulu.

Kemudian Allah sebut dengan cara terang-terangan kerana cara ini juga boleh. Kerana apabila kita infak dengan cara terang-terangan maka ia dapat memberi contoh kepada orang lain untuk melakukan infak juga. Tetapi cara ini hendaklah datang kemudian. Cara ini kita boleh lakukan jikalau iman dan pemahaman kita telah kuat dan kita dapat menjaga hati kita daripada rasa riak apabila kita  sedekah dan derma.

Tidak salah jika kita mengeluarkan dengan cara terang-terangan dan tunjuk kepada orang lain kerana jikalau kita melakukannya dan apabila ada orang lain ikut, maka kita akan dapat pahala tambahan kerana kita telah memberi contoh yang baik untuk diikuti oleh orang lain. Kita akan dapat juga pahala seperti yang dilakukan oleh orang lain itu.

Lihat bagaimana dua perbuatan yang pertama iaitu baca Al-Qur’an dan juga mendirikan solat adalah kata-kata yang baik. Dan mengeluarkan infak kepada yang memerlukan itu adalah perbuatan.

Di awal surah ini ada disebut bagaimana kata-kata yang baik cuba untuk memanjat kepada Allah tetapi yang dapat mempercepatkan ia naik itu adalah dengan perbuatan. Maka inilah perbuatan yang dimaksudkan.

Kenapa mereka melakukan semua itu?

 

يَرجونَ تِجٰرَةً لَّن تَبورَ

mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi,

Mereka lakukan semua itu adalah kerana ikhlas kepada Allah. Mereka mengharap kepada balasan Allah.

Jadi ini adalah perniagaan yang tidak akan rugi-rugi. Jikalau kita berniaga belum tentu kita akan dapat untung tetapi jikalau kita mengeluarkan infak kepada orang dengan ikhlas, maka ianya tidak akan rugi sama sekali. Allah akan balas di dunia lagi malah di akhirat juga.

Kalau perniagaan di dunia ini, peniaga kena laburkan modal dan juga usaha mereka untuk mendapat keuntungan. Begitu juga dengan ‘perniagaan’ akhirat – insan juga kena melabur usaha dan masa mereka untuk mendapat balasan di akhirat kelak. Jadi bukanlah murah syurga itu, ia memerlukan usaha dan modal. Cuma seperti kita sebut, perniagaan di dunia belum tentu untung tapi kalau kita melabur untuk akhirat, ia pasti akan menguntungkan.


 

Ayat 30:

لِيُوَفِّيَهُم أُجورَهُم وَيَزيدَهُم مِّن فَضلِهِ ۚ إِنَّهُ غَفورٌ شَكورٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That He may give them in full their rewards and increase for them of His bounty. Indeed, He is Forgiving and Appreciative.

(MELAYU)

agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

 

لِيُوَفِّيَهُم أُجورَهُم

agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka

Perniagaan mereka itu tidak akan rugi kerana Allah balas dengan sempurna malah berlebihan lagi. Tidak ada yang tertinggal dari dibalas. Kerana semuanya Allah rekod.

 

وَيَزيدَهُم مِّن فَضلِهِ

dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. 

Allah bukan balas sama sahaja dengan perbuatan amal kebaikan itu, tapi Allah akan balas berlebih-lebihan lagi. Bayangkan, amal bukan banyak pun tapi Allah balas dengan nikmat syurga yang hebat sangat dan selama-lamanya.

 

إِنَّهُ غَفورٌ شَكورٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

Sekarang kita dapat tahu bahawa perbuatan baca Al-Qur’an, solat dan juga infak itu dapat menyebabkan Allah mengampuni dosa-dosa kita. Dan kita amat berharap kepada pengampunan dosa ini.

Allah juga akan menghargai segala amal kebaikan kita. Kalimah syakur juga digunakan untuk perbuatan manusia. Iaitu apabila kita bersyukur atas nikmat Allah. Tapi apabila dinisbahkan kepada Allah, ia bermakna yang Dia akan hargai apa yang manusia lakukan. Dan pembalasan dari Allah itu tentu lebih baik dari apa yang kita lakukan. Allah akan balas berlebih-lebihan seperti yang kita telah sebutkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 5 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s