Tafsir Surah at-Teen Ayat 1 – 4 (Manusia asalnya dijadikan mulia)

Pengenalan:

Seperti selalu, kita menyebut tentang hubungan antara surah ini dengan surah yang sebelumnya. Kerana tentu ada kaitan yang amat rapat sampaikan Allah menyusun susunan surah-surah sebegitu rupa dalam Al-Qur’an.

1 – Dalam Surah Al-Inshirah, Allah menjanjikan kemudahan kepada Nabi Muhammad. Tetapi janji itu bukan hanya untuk Nabi Muhammad sahaja tapi untuk Nabi-nabi yang lain.

Dalam Surah at-Teen ini akan diberitahu bahawa semua Nabi sebelum Nabi Muhammad mengalami cabaran yang sama juga. Kerana memang menyampaikan dakwah tauhid adalah sesuatu yang amat berat kerana perlu mengubah akal dan hati manusia yang sudah tegar atas fahaman dan amalan syirik. Ini sama juga dengan masyarakat kita sekarang pun.

Tapi Allah menjanjikan kepada pembawa ajaran tauhid itu bahawa kerja itu akan menjadi semakin mudah. Akan ada manusia yang akan menerima ajakan tauhid itu kerana Allah sudah jadikan manusia dalam keadaan terbaik, dan ini disebut dalam surah ini.

2 – Memang manusia telah dicipta dalam keadaan yang terbaik. Kita boleh lihat peringkat-peringkat yang telah disebut dalam surah-surah sebelum ini. Dalam Surah asy-Syams, telah disebut bagaimana manusia itu dijadikan dalam dua bahagian – fizikal dan spiritual. Kemudian dalam Surah al-Layl, diberikan contoh mereka yang baik, iaitu mereka yang memberi infak dan bertaqwa.

Dan kemudian dalam Surah Ad-Dhuha disebut tentang kedudukan Nabi Muhammad, sebagai contoh seorang manusia yang mempunyai kedudukan dan sifat yang tinggi. Dan disambung kisah itu dalam Surah Al-Insyirah.

Jadi ada peningkatan sifat manusia yang telah disebut dalam surah-surah itu dari Surah Ash-Syams sampai ke Surah Al-Insyirah. Dalam Surah at-Teen ini, disebut yang manusia boleh mencapai kedudukan yang tinggi kerana memang manusia telah dijadikan dalam keadaan yang terbaik. Ini dapat dicapai dengan mengikut contoh Nabi Muhammad.

3 – Akan tetapi, kalau manusia tidak menghiraukan diri mereka dari segi spiritual, mereka akan dijatuhkan ke tempat yang rendah.

Surah ini dimulai dengan tiga sumpah. Ini adalah satu kebiasaan dalam surah-surah Juzuk 30 ini. Dan sumpah-sumpah ini adalah perkara yang penting yang perlu diambil perhatian. Kalau kita tidak melihat sumpah-sumpah ini dengan saksama, kita tidak boleh memahami surah ini.

Mungkin ramai yang sangka Al-Qur’an ini memperkatakan tentang perkara yang rendah-rendah dan mudah sahaja kerana ianya diberikan kepada orang Mekah yang hidup pada zaman dahulukala sahaja yang kurang ilmunya. Tetapi tidak begitu kerana Al-Qur’an ini memperkatakan perkara yang tinggi-tinggi. Nanti kita akan lihat bagaimana Al-Qur’an sebenarnya memperkatakan tentang perkara-perkara yang tinggi-tinggi dan kompleks.

Allah hendak memberitahu bahawa Allah telah beri akal kepada manusia dan kalau manusia menggunakan akal itu, manusia akan menjadi makhluk yang baik; tapi kalau mereka tidak menggunakan akal mereka, maka mereka itu lebih teruk dari binatang.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 6 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah memberitahu yang manusia akan terbahagi kepada dua darjat.

Allah memulakan surah ini dengan sumpah pertama.

وَالتّينِ وَالزَّيتونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

At-Teen: The Fig.

By the fig and the olive¹

  • Referring to the places known for their production, i.e., Damascus and Jerusalem, respectively. It could also refer to the fig and olive trees or to the fruits themselves.

(MALAY)

Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun,

 

Buah Tin adalah buah yang diberkati. Memang ada kelebihan kepada buah Tin sepertimana yang telah pernah disebut oleh Nabi:

Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin. Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda SAW bersabda: ”Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya ia  menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”

Dari itu kita boleh faham bahawa memang buah Tin ini memang ada khasiat dan Allah memberi isyarat tentangnya dalam Al-Qur’an.

Tetapi dalam ayat ini, adakah Allah hendak bercakap tentang buah atau tempat? Dalam bahasa Arab klasik, masyarakat Arab menggelar sesuatu tempat dengan isyarat kepada apa yang terkenal di tempat itu. Oleh itu, ulama’ berpendapat bahawa kalimat وَالتّينِ وَالزَّيتونِ mungkin bermaksud tempat atau kawasan tertentu. Iaitu tempat di mana buah tin dan buah zaitun banyak.

Ada beberapa tempat yang disenaraikan dalam kitab tafsir:

    1. Mungkin merujuk kepada Palestin, tempat yang banyak buah Tin dan Zaitun.
    2. Syria,Damascus
    3. Selatan Iraq
    4. Bukit Judi di mana bahtera Nabi Nuh telah mendarat.

Sedangkan buah Zaitun pula ada disebut dalam ayat Nur:35

الزُّجاجَةُ كَأَنَّها كَوكَبٌ دُرِّيٌّ يوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُبارَكَةٍ زَيتونَةٍ لا شَرقِيَّةٍ وَلا غَربِيَّةٍ يَكادُ زَيتُها يُضيءُ وَلَو لَم تَمسَسهُ نارٌ

Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkah, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.

Kalimat yang digunakan dalam ayat ini adalah شَجَرَةٍ مُبارَكَةٍ زَيتونَةٍ: yang memberi isyarat bahawa pokok zaitun itu ada berkat. Dan ia juga sebagai simbol kesucian. Seperti juga dengan buah Tin tadi, ada yang mengatakan ayat dalam Surah an-Nur ini bukan hendak menceritakan tentang buah Zaitun tapi hendak menceritakan tempat. Oleh itu ada yang mengatakan:

    1. Ia merujuk kepada Bukit Zaitun yang berada di Jurusalem.
    2. Ibn Abbas mengatakan ia merujuk kepada Masjid al Aqsa di Palestin.

Oleh itu, ia bukan sahaja merujuk kepada buah itu sendiri, tapi merujuk kepada tempat. Dan ada juga yang memanjangkan lagi dengan mengatakan, bukanlah yang hendak disebut tentang tempat itu tapi merujuk kepada Nabi-nabi yang datang dari situ, iaitu:

    1. At-teen merujuk kepada Nabi Ibrahim.
    2. Mungkin juga Nabi Nuh kerana tempat bahteranya mendarat
    3. Az-zaitoon pula mungkin merujuk kepada Nabi Isa yang lahir di Palestin yang ada banyak buah zaitun.

 

Ayat 2: Sumpah kedua.

وَطورِ سينينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] Mount Sinai

(MALAY)

dan demi bukit Sinai,

 

Ini adalah nama tempat Nabi Musa telah bercakap-cakap dengan Allah. Bukit ini terletak di Mesir.

Sekali lagi Allah hendak memperkarakan tentang tempat. Cuma kali ini lebih jelas yang dimaksudkan adalah tempat kalau dibandingkan dengan ayat pertama tadi. Dan bukan sahaja tempat, tapi merujuk kepada Nabi yang terkait dengannya, iaitu Nabi Musa a.s.

Perkataan طورِ dan سينينَ adalah asing bagi bangsa Arab. Jadi ini menunjukkan memang Nabi Muhammad dapat maklumat tidak lain dan tidak bukan adalah dari Allah. Ada yang mengatakan kalimah طورِ ini bukanlah dari bahasa Arab tapi dimasukkan ke dalam bahasa Arab. Ianya adalah gunung/bukit yang subur, dipenuhi dengan tanaman hijau. Dan kalimah ini juga ada disebut dalam Mu’minun:20:

وَشَجَرَةً تَخرُجُ مِن طورِ سَيناءَ تَنبُتُ بِالدُّهنِ وَصِبغٍ لِلآكِلينَ

dan pohon kayu keluar dari Thursina, yang menghasilkan minyak, dan pemakan makanan bagi orang-orang yang makan.

Gunung ini tidak dikenali oleh masyarakat Arab tapi amat dikenali oleh Bani Israil. Dan Allah menggunakan nama yang mereka memang kenali. Ini menjadi satu hujah bahawa tidak mungkin Nabi Muhammad tahu sendiri tentang perkara ini, melainkan mendapat dari wahyu Allah.

Tambahan pula semasa ayat ini diturunkan, belum ada lagi pertalian rapat dengan Bani Israil. Hanya di Madinah baru ada perhubungan rapat dengan mereka. Memang Allah memberikan maklumat-maklumat yang tidak mungkin Nabi mendapatkannya sendiri. Seperti yang disebut dalam Nisa:113

وَأَنزَلَ اللَّهُ عَلَيكَ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَكَ ما لَم تَكُن تَعلَمُ

Dan Allah telah menurunkan Kitab dan hikmah kepadamu, dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui.

Mereka yang menentang Nabi Muhammad tentunya menuduh baginda dapat maklumat ini dari Ahli Kitab. Tapi, mereka sentiasa memerhatikan segala pergerakan Nabi, lalu bagaimana mereka nak kata yang Nabi ada mengadakan perjumpaan rahsia dengan Ahli Kitab sedangkan memang tidak ada perjumpaan sebegitu?

Oleh itu, kalau mereka mahu membuka hati mereka, tidak lain dan tidak bukan, maklumat yang Nabi sebutkan ini datangnya dari Allah SWT.


 

Ayat 3: Sumpah ketiga.

وَهٰذَا البَلَدِ الأَمينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] this secure city [i.e., Makkah],

(MALAY)

dan demi kota (Mekah) ini yang aman,

 

Dan ini pula adalah negeri dari mana datangnya Nabi Muhammad SAW, iaitu Kota Mekah. Walaupun tidak disebut dalam lafaz ayat ini, tapi ulama sepakat yang ianya merujuk kepada Kota Mekah. Ini sama seperti yang disebut dalam Surah Balad.

Kalimah البَلَدِ merujuk kepada kota yang ada sempadan yang tetap. Oleh itu, Mekah adalah satu kota yang tetap. Allah menjadikan Kota Mekah sebagai البَلَدِ kerana menghormati doa Nabi Ibrahim yang berdoa supaya Mekah itu dijadikan sebagai البَلَدِ seperti yang disebut dalam Ibraheem:35

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ آمِنًا

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman

Kemudian Allah menyebut sifat Mekah itu sebagai الأَمينِ (yang aman) kerana sesiapa yang pergi ke Mekah akan rasa aman. Sesiapa yang tinggal di situ tidak sanggup membunuh dan perompak pun tak berani nak kacau Makkah. Tapi dalam Surah al-Balad, perkataan الأَمينِ tidak digunakan kerana keamanan Makkah waktu itu telah hilang sekejap kerana mereka nak membunuh Nabi.

Kalimah الأَمينِ dikaitkan dengan Mekah kerana ia juga boleh bermaksud ‘amanah’. Allah mengamanahkan Mekah itu sebagai tempat untuk dikerjakan Umrah/Haji. Juga, Allah telah mengamanahkan Mekah itu menjadi tempat lahir RasulNya yang terakhir. Ia juga boleh bermaksud penduduk di Mekah itu diamanahkan untuk menjaga keamanan tempat itu. Kerana itulah dari turun temurun, Mekah tidak menjadi tempat pertumpahan darah.

Jadi, tiga tempat telah disebut atau diisyaratkan:

    1. Palestin
    2. Bukit Sinai
    3. Makkah

Kenapa agaknya susunan ayat dan tempat itu sebegitu? Ulama ada memberi pendapat:

    1. Kelebihan buah Tin seperti yang telah disebut dalam hadis.
    2. Kelebihan buah Zaitun juga ada disebut di mana ianya mempunyai keberkatan seperti yang telah disebut dalam Surah an-Nur.
    3. Bukit Thursina juga ada keberkatan kerana itulah tempat Nabi Musa bercakap dengan Allah.
    4. Akhir sekali adalah Mekah yang Aman. Di sinilah terletaknya Ka’bah yang dibina oleh Nabi Ibrahim, juga tempat kelahiran Rasul yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad. Di sinilah juga diturunkan wahyu terakhir dari Allah.

Kalau kita lihat susunan itu ianya menaik dari berkat kepada paling berkat. Allahu a’lam.

Jadi, Allah mengisyaratkan kepada tempat dan datangnya Nabi-nabi yang mulia. Dan Nabi-nabi yang diisyaratkan itu adalah Rasul-rasul Ulul Azmi (Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Nabi Muhammad). Allah hendak mengatakan bahawa kelima-lima Rasul itu dari susur galur yang sama sahaja.

Mereka semuanya membawa mesej yang sama (mesej tauhid). Maka, tidak ada alasan kepada penganut-penganut agama sebelum Islam hendak membezakan Nabi-nabi itu.


 

Ayat 4: Ini adalah ayat terpenting surah ini kerana ianya adalah jawabul qasm kepada sumpah-sumpah sebelum ini.

لَقَد خَلَقنَا ٱلإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحسَنِ تَقوِيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We have certainly created man in the best of stature;¹

  • i.e., upright, symmetrical, and balanced in form and nature.

(MALAY)

sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

 

Allah menggunakan perkataan ‘Kami yang mencipta’ untuk menunjukkan rapatnya Allah dengan manusia. Dan hendak menunjukkan kehebatanNya dan mengingatkan kita siapa yang menjadikan kita. Oleh kerana Dialah yang menjadikan kita, maka kenalah sembah dan doa kepada Allah sahaja.

Kalimah تَقويمٍ bermaksud ‘berdiri tegak’. Maknanya Allah telah menjadikan manusia dengan lengkap. Ini adalah kerana manusia sahaja yang berdiri tegak. Tidak macam binatang yang kebanyakannya melata atau berjalan atas empat kaki. Ini hendak memberitahu kita bahawa kejadian manusia amat molek sekali. Malah kita lebih mulia dari golongan jin.

Kita kena yakin yang dengan Al-Qur’an ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh manusia. Oleh itu kita kena kenali apa masalah yang dihadapi oleh manusia sekarang ini. Selepas kita tahu apakah penyakit (diagnosis), baru boleh nak gunakan penyelesaian yang sesuai. Jadi apakah masalah manusia?

Kalau kita kaji masalah manusia, ada masalah yang berbentuk dalaman dan ada masalah yang berbentuk luaran. Tidak dinafikan ada sahaja manusia yang teruk perangainya, mereka ada sahaja masalah: berlaku kejam, berperangai keji, mengikut nafsu dan sebagainya. Kadang-kadang ada manusia yang macam binatang pun ada.

Dan kerana itulah kena ada undang-undang untuk mengurus manusia yang sebegitu kerana kalau tanpa undang-undang mereka akan jadi lagi teruk (kalau ada undang-undang pun mereka akan cuba langgar atau lari, apatah lagi kalau tidak ada). Sampaikan kadang-kadang susah kita nak percaya kepada manusia.

Ini adalah kerana manusia yang tidak beriman melakukan perkara kerana beberapa sebab sahaja:

1 – Untuk mengisi perut mereka. Hidup mereka untuk makan sahaja.

2 – Untuk menjaga diri mereka sahaja. Mereka mementingkan keselamatan dan keselesaan diri mereka sahaja. Kerana itu rumah mereka mahal, baju dan pakaian mereka dan mahal dan sebagainya lagi.

3 – Sebab seksual. Ini seperti yang dikatakan oleh Freud (bapa psikologi moden). Kalau mengikut Freud, apa-apa sahaja yang dilakukan oleh manusia adalah dari keinginan memuaskan keinginan seksual sahaja. Dan kalau tidak dihalang oleh undang-undang dan juga oleh takut apa yang dikatakan oleh masyarakat, mereka akan memuaskan segala keinginan nafsu seksual itu.

Jadi, itulah satu pandangan tentang manusia yang bertitik tolak dari kajian dan pemikiran psikologi. Kalau kita lihat, pandangan ini begitu memandang rendah manusia itu. Macam manusia ini tidak boleh diharap langsung kalau begitu.

Tapi itu adalah pandangan yang difikirkan oleh manusia sahaja. Walaupun mereka itu dipandang tinggi, tapi tidaklah semestinya apa yang mereka katakan itu benar belaka. Mereka tidak dapat mengkaji apa yang ada di dalam diri manusia itu sendiri – roh, qalb, nafs.

Mereka juga tidak mengkaji bagaimana pemikiran manusia yang beriman kepada Allah. Kerana kalau mereka kaji, tentu mereka akan mendapat satu lagi sifat manusia – hendak taat dan mencari redha Allah sahaja.

Dan manusia tidaklah hanya mementingkan perut, keselamatan dan nafsu seksual mereka sahaja. Kalau dikaji apa yang berlaku sebelum zaman moden, manusia zaman dahulu pun ada memikirkan tentang:

    • Tuhan dan konsep ketuhanan.
    • Kehidupan selepas kematian
    • Roh manusia dan apakah yang dimaksudkan tentangnya.

Kalau dilihat penulisan-penulisan kuno tamadun-tamadun di sekeliling dunia, tidak kira sama ada di Jepun, China, Eropah dan India atau di mana-mana sahaja, perkara-perkara ini dbincangkan dengan panjang lebar oleh mereka. Cuma di dalam zaman moden, terdapat gerakan untuk memisahkan diri dari agama dan spiritual. Manusia masih lagi percaya kepada konsep ketuhanan, tapi agama sudah menjadi perkara kedua sahaja.

Sekarang kebanyakan manusia lebih mementingkan sains dan keperluan fizikal sahaja dan tidak memikirkan tentang keperluan roh lagi. Manusia sudah tidak kisah dengan apa yang akan terjadi selepas mati nanti, mereka hanya nak fikirkan bagaimana nak menambahbaik kehidupan yang mereka nikmati sekarang.

Jadi, manusia asalnya bukanlah teruk sangat dan dalam ayat ini, Allah menarik perhatian manusia kepada kepada rohnya. Allah mengingatkan kita bahawa manusia itu bukan ada jasad sahaja, tapi ada roh juga. Dalam ayat lain, Allah sebut di dalam Hijr:29:

فَإِذا سَوَّيتُهُ وَنَفَختُ فيهِ مِن روحي فَقَعوا لَهُ ساجِدينَ

Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

Kehebatan manusia itu adalah pada roh dan pada akal yang Allah telah berikan. Tapi manusia semakin tidak memikirkan tentang perkara ini. Kita banyak kaji tentang fizikal sahaja sekarang, sampaikan kita banyak tahu tentang perkara di luar kita, tapi kita tidak faham lagi diri kita sendiri.

Oleh kerana itu manusia sudah tidak memikirkan kepentingan menjaga moral. Kita memang sudah tak kenal diri kita lagi. Dan Allah mengingatkan tentang bahaya ini seperti yang disebut oleh Allah dalam Hashr:19

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنساهُم أَنفُسَهُم ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الفاسِقونَ

Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

Maknanya, manusia lupa kepada diri mereka kerana asalnya mereka lupa kepada Allah. Mereka tidak hiraukan apa yang akan terjadi selepas kematian mereka, mereka hanya memikirkan tentang kehidupan semasa sahaja. Mereka sudah tidak tahu tujuan hidup mereka, iaitu menghambakan diri kepada Allah.

Mereka sudah tidak tahu tentang roh mereka sendiri, sampaikan ramai yang berpegang dengan teori Darwin yang mengatakan kita ini tidak lebih dari binatang yang telah maju. Kalau pegangan itu yang dipegang, maka tidak hairanlah kalau ramai yang mahu memuaskan nafsu mereka sahaja; dan ada yang kata, manusia tertakluk kepada binaan DNA yang ada dalam diri sahaja.

Oleh itu, mereka kata, kalau seseorang itu menjadi penjenayah, itu tidak menghairankan kerana memang otak mereka memang akan menyebabkan mereka jadi penjenayah pun. Tapi adakah manusia begitu punya teruk?

Allah jawab persoalan itu dalam ayat ini: لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في أَحسَنِ تَقويمٍ

Mari kita tadabbur ayat ini:

Huruf ل adalah sebagai penekanan. Diletakkan di sini supaya manusia beri perhatian kepada apa yang hendak disampaikan.

Kalimah قَد dari segi bahasa, ia bermaksud sesuatu yang sudah berlalu, sudah terjadi. Maknanya, memang Allah sudah memuliakan keturunan Adam semasa mereka dalam rahim lagi. Allah sebut perkara ini dalam ayat Isra’:70 وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ (Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam).

Kalimah خَلَقنَا – Kami ciptakan. Allah yang tentukan manusia itu bagaimana, bukannya DNA. Bukan alam yang jadikan manusia, tapi Allah. Dan tidaklah Allah menjadikan sesuatu yang rosak.

Allah menggunakan kalimah ‘Kami menjadikan’ kerana hendak mendekatkan DiriNya. Kerana kalimah ‘Kami menjadikan’ adalah lebih rapat lagi dari ‘Dia menjadikan’. Apa yang dilakukan ini dinamakan ‘taqreeb’ – mendekatkan.

Allah juga gunakan kalimah ‘Kami’ sebagai isyarat kepada kebesaran dan kekuasaanNya. Ini dinamakan ‘Royal We’.

Allah letakkan DiriNya dalam ayat yang menunjukkan kekuatan. Oleh itu, apabila ayat yang menceritakan bagaimana manusia itu dijadikan lemah: وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً (“Kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah. (An-Nisa’:28), Allah tidak mengatakan Dia yang menjadikan manusia yang lemah itu. Padahal, pada hakikatnya, Dia juga yang menjadikan manusia dalam keadaan lemah.

Kalimah الإِنسانَ digunakan dalam ayat ini untuk mengingatkan sifat manusia yang نسي (pelupa). Manusia memang mudah lupa.

Kalimah أَحسَنِ bermaksud sesuatu yang cantik di luar dan di dalam.

Kalimah تَقويمٍ dari katadasar ق و م yang bermaksud berdiri tegak. Oleh itu, تَقويمٍ bermaksud membuat sesuatu yang tegak. Mengambil beberapa bahagian dan menjadikan satu bentuk yang tegak dan lurus. Ia juga bermaksud menjadikan sesuatu yang sempurna seperti yang dikehendaki.

Oleh itu, Allah telah menjadikan kita dalam bentuk yang sempurna, seimbang antara fizikal dan spiritual. Kita pun sudah dimasukkan dengan fitrah dari Allah yang kenal baik dan buruk. Ini disebut dalam ayat 7-8 Surah Syams:

وَنَفسٍ وَما سَوّاها

dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya),

فَأَلهَمَها فُجورَها وَتَقواها

serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

Oleh itu, diri kita perlukan keseimbangan antara keperluan keduniaan dan spiritual. Kita telah diberikan dengan sesuatu yang tidak diberikan kepada makhluk-makhluk yang lain. Maka kerana itu kita adalah makhluk yang dijadikan bersifat mulia asalnya. Ini menolak pendapat yang mengatakan manusia ini fitrahnya teruk, tidak ada moral, tertakluk dengan DNA kejadian mereka dan sebagainya.

Tapi manusia sendiri yang menjatuhkan kedudukan mereka itu apabila mereka lupa kepada Allah. Melupakan Allah akan menjatuhkan manusia dan ingat kepada Allah akan meninggikan kedudukan manusia dan kemuliaannya. Ramai yang lupa kepada Allah, mereka hanya menggunakan akal fikiran mereka dan tidak tunduk kepada wahyu.

Mereka sangka mereka menggunakan intelek mereka tapi sebenarnya mereka hanya menjadi hamba kepada nafsu mereka sahaja. Mereka terpaksa mengikut apa sahaja yang digerakkan oleh nafsu mereka sampaikan mereka tidak dapat menghalangnya lagi. Kerana itulah, kita boleh lihat bagaimana kadar bunuh diri semakin meninggi dalam dunia sekarang.

Kadar jenayah juga semakin meninggi. Dan kadar itu semakin meningkat dari masa ke semasa. Memang jenayah dari dulu juga sudah ada, tapi tidaklah seteruk sekarang ini. Ini semua kerana manusia sudah lupa kepada Allah.

Lalu bagaimana kita kaitkan ayat ini dengan tiga ayat sumpah di permulaan surah? Tentu ada kaitannya, bukan? Seperti yang kita telah bincangkan, sumpah-sumpah itu berkenaan dengan para Nabi yang tinggal di kawasan yang disebutkan itu. Allah hendak memberitahu kita yang Rasul-rasul Ulul Azmi itu (Nabi Nuh, Ibrahim, Isa, Musa dan Nabi Muhammad) adalah contoh-contoh ikutan. Mereka itu adalah في أَحسَنِ تَقويمٍ. Mereka juga makhluk Allah tapi sifat mereka amat mulia sekali. Maka kita kena pelajari apakah personaliti mereka untuk menjadi ikutan kita.

Bagaimana kita boleh harmonikan ayat ini dengan ayat-ayat lain dalam Al-Qur’an yang mengatakan manusia itu dijadikan lemah (وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً), cepat melatah (وَكَانَ الإِنسَانُ عَجُولاً) dan sebagainya? Ayat-ayat itu semua menceritakan tentang kelemahan manusia. Tapi ayat Surah at-Tin ini menceritakan bagaimana manusia dijadikan dalam keadaan terbaik pula?

Jawapannya, Allah telah menjadikan manusia dalam keadaan yang seimbang antara fizikal dan spiritual. Itulah manusia yang sempurna dan hebat. Tapi apabila ada ketidakseimbangan: terlalu ikut kehendak fizikal dan tidak menghiraukan keperluan roh, dan menjauhkan diri dari Allah, maka manusia akan jadi lemah/cepat melatah/tidak bersyukur dan lain-lain sifat kelemahan lagi seperti yang disebut.

Tapi apabila ada keseimbangan antara keperluan roh dan memenuhi kehendak fizikal (yang sah), maka manusia menjadi seimbang dan sempurna dan ikut kehendak Allah. Maka kena jaga keperluan luaran dan dalaman diri kita. Seperti juga kita kena menjaga keperluan luaran dan dalam kereta kita untuk memastikan ia berfungsi dengan baik. Kalau tidak, kereta itu jadi kotor dan tidak tidak dapat berkhidmat dengan baik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir


 

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah at-Teen Ayat 1 – 4 (Manusia asalnya dijadikan mulia)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s