Tafsir Surah Balad Ayat 1 – 4 (Manusia memang hidup susah dalam ujian)

Pengenalan:

Surah ini diturunkan di Mekah. Ia diturunkan pada Peringkat Ke-3 Kenabian. Sekitar Tahun 6 – 10 Kenabian.

Bahaya cinta dunia (hubbud dunya) telah disebut dalam Surah al-Fajr. Musyrikin Mekah itu terhalang dari menerima ajakan tauhid Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka terhijab dari kebenaran dek kerana mereka lihat Nabi Muhammad ﷺ itu miskin, maka mereka tidak rela nak turun darjat kerana hendak jaga kedudukan mereka.

Mereka rasa kalau mereka ikut Nabi Muhammad ﷺ, mereka akan jadi hina, jadi miskin dan mereka tidak sanggup. Maka mereka mati kufur seperti juga Abu Talib yang sedar kebenaran Islam, tetapi tidak sanggup nak masuk Islam kerana segan dengan masyarakat Quraisy waktu itu. Dia malu kalau orang kata dia tukar agama nenek moyang.

Sebegitu juga Raja Rom waktu itu yang tahu Islam itu benar, Nabi Muhammad ﷺ itu Rasulullah, tetapi dia tidak sanggup nak jatuh pangkat dari jadi Raja Rom dan masuk Islam. Dia juga mati kufur dan kisah beliau ada disebut dalam Sahih Bukhari.

Begitulah kalau tidak ada sifat sanggup berkorban, tidak akan masuk syurga. Syurga itu mahal dan memerlukan pengorbanan. Ramai yang tidak sanggup berkorban jadi ada yang degil untuk terima kebenaran Islam kerana hendak jaga kedudukan mereka dalam dunia. Seolah-olah nilai tauhid itu lebih rendah dari kedudukan mereka. Mereka lebihkan dunia lagi dari mendapat tauhid.

Antara sifat cinta dunia adalah tidak infak kepada agama. Dalam surah ini pula, Allah ﷻ sebut walaupun manusia tidak infak untuk agama, mereka tetap akan infak untuk perkara yang sia-sia juga. Bukan sahaja infak ke tempat yang salah tidak mendapat pahala, malah ia boleh dapat dosa pula.

Allah ﷻ tegur mereka kerana  mereka kedekut untuk infak pada agama, tetapi dapat beri pula untuk benda yang lain. Mereka akan mendapat kerugian dan dosa sahaja kerana infak itu sepatutnya kena pada tempat yang betul, dan kena ikhlas untuk Allah ﷻ, barulah boleh dapat pahala.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ memberitahu yang dunia ini adalah tempat ujian. Dalam kehidupan memang ada kepayahan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).

Ayat 1 ini adalah sumpah Allah ﷻ yang pertama.

لا أُقسِمُ بِهٰذَا البَلَدِ

Sahih International

I swear by this city, Makkah –

Malay

Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;

 

Dalam ayat ini, Allah ﷻ bersumpah dengan negeri Mekah. Perkataan لا selalunya bermaksud ‘tidak’. Tetapi apabila diletakkan sebelum satu sumpah seperti dalam ayat ini, ianya hendak menekankan (tahkik) sumpah itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan لا itu adalah untuk menidakkan fahaman salah Musyrikin Mekah dalam beragama. Ada ketikanya, bila Allah ﷻ bersumpah, Dia tidak terus guna perkataan ‘uqsimu’, tetapi Dia akan mulakan dengan perkataan ‘la’ seperti dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat lain. Penggunaan ‘la’ ini tidaklah sama dengan penggunaan biasa. Ianya kerana Allah ﷻ hendak menidakkan pemahaman orang kafir. Allah ﷻ hendak beritahu yang benar dan menolak fahaman salah mereka. Dengan menggunakan perkataan ‘la’, Allah ﷻ hendak menarik perhatian pembaca kepada ayat Al-Qur’an ini.

Perkataan البَلَدِ (negeri) dalam ayat ini bermaksud Negeri Mekah. Al-Qur’an tidak sebut ‘Mekah’ dalam ayat ini. Tetapi apabila ada alif lam sebelum perkataan ‘balad’ itu, ia bermaksud negeri yang sudah dikenali, dan dalam konteks ini, ulama’ tafsir sepakat bahawa negeri yang dimaksudkan adalah Mekah.

Allah ﷻ cintakan Mekah dan kerana itulah Allah ﷻ bersumpah dengan Negeri Mekah. Baitillah (Rumah Allah ﷻ) berada di Mekah iaitu Ka’bah. Ianya adalah tempat yang amat istimewa. Ianya adalah tempat dibangkitkan Rasul dan Nabi yang terakhir dan di situlah juga diturunkan Al-Qur’an yang Agung.

Mekah adalah satu negeri yang orang yang duduk di dalamnya susah kerana hendak mempertahankan agamanya. Ini adalah sebagai ujian dari Allah ﷻ. Begitulah yang terjadi kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail عليهما السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Ini hendak mengajar kita, bukan mudah untuk menegakkan dan mengamalkan agama.

Maka, agama itu kena ada usaha, bukan goyang kaki untuk mengamalkan agama. Bila pergi ke Mekah, kita akan ingat tentang kesusahan yang dialami oleh para Nabi عليهم السلام dan sahabat kita. Bayangkan 13 tahun Nabi ﷺ jaja kalimah tauhid kepada kaumnya dan baginda ditolak dengan teruk sekali sampaikan baginda terpaksa meninggalkan negeri Mekah yang baginda amat cintai.

Dalam surah sebelum ini, Allah ﷻ berkata tentang nafsu yang tenang. Dan bukankah apabila kita berada di Mekah, jiwa kita akan tenang? Ini adalah kerana Mekah adalah tempat yang paling tenang dalam dunia. Apabila kita pergi ke Mekah, seperti kita pulang ke tempat asal kita. Tanyalah kepada mereka yang telah pergi ke sana. Mereka yang telah pergi, akan teringin lagi untuk menjejakkan kaki ke sana. Mereka sentiasa rindu kepada Mekah.

Begitu juga, panggilan ‘jiwa yang tenang’ itu adalah ucapan kepada orang mukmin semasa mereka memakai pakaian ihram apabila menjalankan Umrah atau Haji. Ianya juga adalah pakaian yang sama kita pakai apabila kita mati nanti (kafan). Ini semua mengingatkan kita kepada mati dan kita amat berharap semoga kita mendapat ucapan yang baik dari malaikat semasa nyawa kita dicabut. Semoga kita dimatikan dalam keadaan tenang. Aameen.

Apabila Allah ﷻ bersumpah dengan sesuatu, Allah ﷻ menaikkan martabat sesuatu yang digunakan sebagai sumpah itu. Dan memang Mekah adalah tempat yang penuh berkah. Nabi Ibrahim عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberkati negeri Mekah itu. Allah ﷻ telah makbulkan doa baginda.

Dan kerana itu sampai sekarang, Mekah adalah tempat yang aman dan tidak ada orang yang kebuluran di Mekah. Makanan akan sentiasa sahaja ada di Mekah, dan semua orang boleh dapat makanan walaupun mereka tidak ada wang kerana akan ada sahaja orang yang memberi makan kepada orang lain.

Allah ﷻ boleh bersumpah dengan apa sahaja kerana semua yang ada adalah makhlukNya. Tetapi manusia tidak boleh bersumpah dengan selain Allah ﷻ. Tidak boleh kalau kita pula nak bersumpah dengan negeri Mekah walaupun ada dalam ayat ini. Hanya Allah ﷻ sahaja boleh buat, tetapi kita tak boleh buat.


 

Ayat 2: Ayat ini adalah penerangan kepada sumpah yang pertama.

وَأَنتَ حِلٌّ بِهٰذَا البَلَدِ

Sahih International

And you, [O Muhammad], are free of restriction in this city –

Malay

Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini,

 

Ayat ini menekankan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tinggal di negeri Mekah ini. Baginda bermukim di sana. Ayat pertama Allah ﷻ bersumpah dengan ‘ketua segala negeri’ (Mekah) dan ayat kedua ini, Allah ﷻ bersumpah dengan ‘penghulu segala Nabi’ (Nabi Muhammad ﷺ).

Ada beberapa tafsir tentang apakah yang hendak ditekankan oleh Allah ﷻ dalam ayat ke-2 ini. Perbezaan pendapat ini adalah kerana perbezaan pentafsiran kalimah حِلٌّ dalam ayat ini.

Pendapat 1: Jika kita mengambil maksud perkataan حِلٌّ  sebagai ‘halal’, ia bermaksud: Engkau wahai Muhammad akan menjadi ‘halal’ di negeri ini. Maknanya Allah ﷻ memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa ada perancangan untuk membunuh baginda (menghalalkan darah baginda).

Walaupun orang Arab memandang haram untuk membunuh kehidupan di Tanah Mekah, sampai binatang pun mereka tak buru di situ, tetapi mereka akan melupakan pegangan mereka nanti untuk membunuh baginda – mereka meng’halal’kan darah Rasulullah ﷺ.

Begitulah betapa mereka tidak sukakan Nabi ﷺ. Padahal dulunya mereka sayang dan sangat percaya kepada Nabi ﷺ. Tetapi apabila Nabi ﷺ membawa akidah tauhid yang berlawanan dengan pemahaman mereka, mereka sanggup nak buruk baginda.

 

Pendapat 2: Allah ﷻ menghalalkan kepada Nabi ﷺ untuk menghukum orang kafir pada satu waktu di Mekah. Walaupun tempat itu adalah suci, tidak boleh menumpahkan darah, tetapi akan dibenarkan kepada Nabi Muhammad ﷺ – tetapi hanya pada satu waktu – iaitu semasa Pembukaan Mekah.

Ayat ini memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ pasti akan dapat masuk ke dalam Mekah dengan cara aman. Memang baginda akan dihalau dari negeri Mekah ini, namun akhirnya baginda akan masuk dengan cara aman akhirnya. Iaitu semasa Nabi ﷺ menakluk Mekah dan mengambil alih Ka’bah dari Musyrikin Mekah.

Surah ini adalah Surah Makkiyah, diturunkan di waktu umat Islam sedang lemah. Jadi ini bermakna, Allah ﷻ menceritakan satu kejadian di masa depan, iaitu akan sampai satu masa nanti apabila Islam akan dapat berkuasa di Mekah. Memang ada hadis yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ hanya dibenarkan buat perkara itu satu waktu sahaja. Dan selepas itu tidak boleh lagi.

٣٩٥٧ – حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ شُرَحْبِيلَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي شُرَيْحٍ الْعَدَوِيِّ أَنَّهُ قَالَ لِعَمْرِو بْنِ سَعِيدٍ وَهُوَ يَبْعَثُ الْبُعُوثَ إِلَى مَكَّةَ ائْذَنْ لِي أَيُّهَا الْأَمِيرُ أُحَدِّثْكَ قَوْلًا قَامَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْغَدَ يَوْمَ الْفَتْحِ سَمِعَتْهُ أُذُنَايَ وَوَعَاهُ قَلْبِي وَأَبْصَرَتْهُ عَيْنَايَ حِينَ تَكَلَّمَ بِهِ إِنَّهُ حَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنْ مَكَّةَ حَرَّمَهَا اللَّهُ وَلَمْ يُحَرِّمْهَا النَّاسُ لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَسْفِكَ بِهَا دَمًا وَلَا يَعْضِدَ بِهَا شَجَرًا فَإِنْ أَحَدٌ تَرَخَّصَ لِقِتَالِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهَا فَقُولُوا لَهُ إِنَّ اللَّهَ أَذِنَ لِرَسُولِهِ وَلَمْ يَأْذَنْ لَكُمْ وَإِنَّمَا أَذِنَ لِي فِيهَا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ وَقَدْ عَادَتْ حُرْمَتُهَا الْيَوْمَ كَحُرْمَتِهَا بِالْأَمْسِ وَلْيُبَلِّغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَقِيلَ لِأَبِي شُرَيْحٍ مَاذَا قَالَ لَكَ عَمْرٌو قَالَ قَالَ أَنَا أَعْلَمُ بِذَلِكَ مِنْكَ يَا أَبَا شُرَيْحٍ إِنَّ الْحَرَمَ لَا يُعِيذُ عَاصِيًا وَلَا فَارًّا بِدَمٍ وَلَا فَارًّا بِخَرْبَةٍ قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الْخَرْبَةُ الْبَلِيَّةُ

3957. Telah menceritakan kepada kami Sa’id bin Syurahbil telah menceritakan kepada kami Al Laits dari Al Maqburi dari Abu Syuraikh Al’Adawi, dia berkata kepada Amru bin Said yang ketika itu dia mengirim beberapa utusan ke Makkah; “Wahai Amir, izinkanlah aku mengajakmu bicara suatu hal yang akan diucapkan Rasulullah ﷺ esok pada penaklukan Makkah, yang kudengar dengan kedua telingaku dan diperhatikan oleh hatiku serta dilihat oleh kedua mataku ketika baginda mengucapkannya. Baginda memanjatkan pujian dan sanjungan kepada Allah lantas bersabda: “Sesungguhnya Makkah telah Allah sucikan dan manusia tidak mensucikannya sebelumnya, tidak halal bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan hari akhir untuk menumpahkan darah di sana, tidak pula menebang pohon, kalaulah seorang berkilah bahawa Rasulullah pernah memberi keringanan untuk perang, katakan padanya: ‘Allah mengizinkan khusus untuk Rasul-Nya dan tidak mengizinkan untuk kalian, dan Allah pun mengizinkannya hanya beberapa saat ketika siang, dan kesuciannya telah kembali hari ini sebagaimana kesucian kelmarin, hendaklah yang menyaksikan menyampaikan yang tidak hadir.” Ditanyakan kepada Abu Syuraikh; “Apa yang Amru ucapkan kepadamu? Jawabnya; “Aku lebih tahu terhadapnya wahai Abu Syuraikh, sesungguhnya Tanah Haram tidak akan melindungi pelaku kemaksiatan dan tidak pula manusia yang lari menumpahkan darah dan tidak pula yang lari melakukan penghancuran-penghancuran.” Kata Abu Abdullah, makna Kharibah adalah bencana (kehancuran). [ Sahih Bukhari no. 3957]

 

Pendapat 3: حِلٌّ bermaksud ‘bermukim’. Iaitu apabila sampai ke sesuatu tempat untuk tinggal berterusan, kita berhenti dan memasang segala peralatan kita di situ. Ia bermaksud tinggal berterusan di sesuatu tempat. Dan memang Nabi ﷺ membesar dan kebanyakan dari usia baginda adalah di Mekah.

Ini juga bermaksud, walaupun Nabi Muhammad ﷺ akan dihalau daripada Mekah, tetapi baginda akan datang semula ke Mekah. Allah ﷻ memberi isyarat ini kepada Nabi ﷺ dan memberi jaminan kepada Nabi ﷺ bahawa baginda akan menguasai Mekah.

 

Pendapat 4: Allah ﷻ memuliakan Mekah dengan kehadiran Nabi Muhammad ﷺ di dalamnya. Kerana apabila kita bercakap tentang Mekah, kita tentu teringat yang ianya adalah tempat kelahiran Nabi Muhammad ﷺ. Sudahlah ianya tempat yang mulia, dimuliakan lagi dengan kehadiran Nabi Muhammad ﷺ di dalamnya.


 

Ayat 3: Ini adalah satu lagi sumpah.

وَوالِدٍ وَما وَلَدَ

Sahih International

And [by] the father and that which was born [of him],

Malay

Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;

 

Ada beberapa pendapat tentang maksud ‘bapa’ dan ‘anak’ dalam ayat ini:

1. Pendapat yang kuat mengatakan ‘bapa’ yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Ibrahim dan zuriatnya Nabi Ismail عليهما السلام dan kemudian termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Pendapat ini lebih kuat kerana dalam ayat sebelum ini, disebut tentang negeri Mekah dan Mekah itu kuat kaitannya dengan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام.

Dan kepada bangsa Arab, apabila dikatakan ‘walid’, mereka akan teringat ‘datuk’ mereka iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan mereka juga mengaku bahawa apa yang mereka lakukan adalah dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Walaupun banyak yang sudah diubah dari ajaran baginda, namun mereka masih mengaku mereka mengikut Nabi Ibrahim عليه السلام. Pendapat ini kata begini kerana ayat pertama memperkatakan tentang Mekah dan Nabi Ismail عليه السلام adalah lelaki pertama di Mekah.

Oleh itu, ayat ini menempelak Musyrikin Mekah yang menolak Nabi Muhammad ﷺ. Mengapakah mereka mahu menentang baginda sampai mahu membunuh baginda, padahal Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran yang sama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim sendiri? Mereka kata mereka mengikut agama Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi apa yang mereka amalkan adalah jauh dari apa yang diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام.

 

2. Ada juga pendapat lain yang tidak kurang kuatnya, yang mengatakan ‘bapa’ dalam ayat ini adalah Nabi Adam عليه السلام dan anak yang dimaksudkan adalah anak cucunya.

Ini bermakna, apabila Allah ﷻ bersumpah begini, menunjukkan kemuliaan anak Adam. Dan memang begitupun. Kita ini memang mulia, dan ada disebut dalam ayat-ayat yang lain yang mengatakan demikian. Kita lebih mulia dari jin, tetapi dalam Al-Qur’an disebutkan ada manusia yang memuja jin. Padahal mereka itu rendah dari kita.

Apabila yang rendah dipuja, naik tocanglah mereka. Kerana tidak faham dengan perkara inilah yang menyebabkan ramai yang takut dengan jin/hantu sedangkan mereka tidak boleh buat apa pun kepada kita. Disebabkan kerana kita takut itulah yang menyebabkan mereka boleh kacau kita. Kerana kita beri ‘kunci’ kepada mereka untuk menguasai kita.

 

3. Ianya merujuk kepada semua bapa dan semua anak. Sama ada manusia atau pun binatang. Kerana ianya adalah sesuatu yang menakjubkan, bagaimana keturunan berlangsung dari seorang bapa kepada anaknya, dan anaknya pula nanti menjadi bapa pula kepada anaknya sendiri. Kejadian ini silih berganti sampailah ke Hari Kiamat nanti.

Allah ﷻ sebut tentang anak kerana untuk melahirkan anak itu, ibu dan bapa akan susah. Nak lahirkan susah, nak jaga dan besarkan anak itu pun susah juga. Dan jadi anak pun susah juga kerana nak membesar dari kecil akan susah – nak mula-mula belajar jalan pun susah juga.

Allah ﷻ hendak mengajar yang Allah ﷻ sengaja ciptakan manusia hidup dalam susah, supaya dia boleh jadi biasa bersusah payah untuk taat kepada Allah ﷻ. Bukanlah manusia itu ditakdirkan hidup senang sentiasa. Memang manusia akan sentiasa mengalami kesusahan. Dalam hidup hendak cari makan pun susah juga, bukan senang.

Dan Allah ﷻ uji manusia dengan kesusahan untuk menegakkan agama Allah ﷻ dan mengamalkan agama Allah ﷻ. Tetapi susah semasa di dunia sahaja, nanti akan senang di akhirat. Kalau tidak susah untuk agama, mereka akan susah selepas mereka mati nanti – semasa dicabut nyawa pun susah, akan susah di barzakh, di Mahsyar dan di akhirat kelak kerana akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

4. Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami Ibnu Atiyyah, dari Syarik, dari Khasif, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما sehubungan dengan makna firman-Nya: dan demi bapak dan anaknya. (Al-Balad: 3) Al-walid kata ertinya orang yang beranak, dan wama walad ertinya orang yang mandul tidak dapat beranak.

Jadi ada beberapa pendapat tentang ayat ini. Oleh itu, tidak dapat dipastikan dengan pasti siapakah ‘bapa’ dan ‘anak’ dalam ayat ini kerana tidak ada ال dalam perkataan والِدٍ dan وَلَدَ yang digunakan. Ianya dalam isim nakirah, oleh itu, ianya adalah dalam bentuk yang umum yang membuka kepada beberapa tafsiran.


 

Ayat 4: Allah ﷻ telah bersumpah dengan Negeri Mekah, Nabi Muhammad ﷺ, bapa dan anak. Jadi apakah sumpah ini hendak cerita? Sebab sumpah-sumpah itu adalah kerana hendak menceritakan sesuatu yang penting. 

Maka, kenapakah sumpah itu diutarakan? Apakah jawaabul qasm kepada qasm (sumpah) sebelum ini? Sumpah digunakan untuk menekankan kepada perkara yang penting. Maka, apakah perkara penting yang Allah ﷻ hendak tekankan?

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِى كَبَدٍ

Sahih International

We have certainly created man into hardship.

Malay

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);

 

Jangan kita faham dari pembacaan ayat ini yang Allah ﷻ itu zalim, sampai hendak jadikan kita hidup dalam susah pula. Allah ﷻ senang sahaja hendak jadikan manusia – kun fayakun, dan Allah ﷻ boleh jadikan kita semuanya hidup dalam kesenangan. Dan Allah ﷻ pernah buat kerana Allah ﷻ sudah pernah pun letakkan Nabi Adam عليه السلام dalam syurga. Allah ﷻ boleh juga jadikan seluruh anak cucu Adam عليه السلام tinggal dalam syurga pun. Tetapi Allah ﷻ tidak hendak jadikan begitu. Kerana Allah ﷻ jadikan dunia ini sebagai tempat ujian untuk kita.

Akan tetapi Allah ﷻ takdirkan menjadikan manusia sentiasa dalam keadaan kesulitan dan risaukan tentang sesuatu. Dari bayi, dan berterusan sepanjang hidupnya. Di mana sahaja mereka berada, walau siapa pun mereka. Tentu ada kesusahan yang akan dialaminya. Lain orang lain perkara yang dia risaukan.

Semua manusia akan ada kerisauan yang sentiasa difikirkannya. Ada yang berat dan ada yang ringan. Ada perkara yang merisaukan orang lain tetapi tidak merisaukan kita dan begitu juga sebaliknya – perkara yang sama namun kerisauan yang berbeza.

Contohnya, orang miskin risaukan pasal makanan. Orang kaya mungkin tidak risau pasal makanan sebab mereka senang hendak dapat makanan, tetapi mereka risaukan pasal kesihatan pula kalau tidak jaga makanan – sebab mereka sudah ada darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Sedangkan orang yang miskin boleh makan apa sahaja yang mereka hendak makan.

Kenapa Allah ﷻ beri kesusahan kepada manusia? Semua itu adalah sebagai ujian kepada manusia. Allah ﷻ beri ujian kesusahan kepada makhlukNya, supaya makhluk itu sedar yang tidak ada manusia yang selamat dari kesusahan. Selagi hidup di dunia, mereka akan berhadapan dengan kesusahan hidup di dunia.

Dunia ini adalah pentas ujian. Hidup yang tidak ada kesusahan dan untuk menerima nikmat, hanya di syurga. Selagi tinggal di dunia, akan kena uji. Sebab dunia adalah tempat manusia diuji. Oleh itu, kenalah berusaha untuk mendapatkan syurga. Untuk dapat syurga, kena susah sikit di dunia. Kena susah sikit untuk dapat tempat di dalam syurga.

Oleh itu, kita kena sabar dengan kesusahan di dunia ini. Jangan lari dari kesusahan sampai kita melakukan dosa. Tidaklah kalau kita lari dari syariat Allah ﷻ akan memudahkan kita pun. Ada orang yang kerana hendakkan kesenangan, mereka sanggup buat dosa dengan menipu dan menindas manusia lain. Mereka lari dari kesusahan yang kecil di dunia untuk mendapat kesusahan yang lebih besar di akhirat kelak.

Padahal, kalau kita mengikut suruhan Allah ﷻ, lagi mudah dan akan lagi mendekatkan kita dengan Allah ﷻ. Sedangkan Allah telah letakkan jalan yang banyak untuk ke syurga. Orang kaya dengan cara mereka dan orang miskin dengan cara mereka. Beramallah dengan apa yang kita mampu. Mungkin ada orang yang suka membersihkan jalan untuk orang ramai. Dan itulah punca dia dapat masuk syurga.

Semua kita tahu kisah seorang penzina Bani Israil yang masuk syurga kerana memberi air minum kepada anjing. Kita tidak tahu dengan amalan kita yang mana yang membolehkan kita masuk syurga. Allah ﷻ akan memberi balasan yang banyak waktu kita paling ikhlas beramal. Kadang-kadang amal kita itu sedikit, tetapi kerana ikhlasnya tinggi, ianya bernilai amat berharga kepada Allah ﷻ.

Ayat ini juga hendak memberitahu yang bukan Nabi ﷺ sahaja yang mengalami masalah, tetapi orang lain juga struggle dalam dunia ini. Semua orang ada masalah masing-masing. Jadi, ayat ini untuk menenangkan Nabi ﷺ yang sedang bersusah payah dalam perjuangan baginda. Baginda dicemuh, disakiti, ditohmah dan sebagainya dalam usaha baginda menyampaikan Islam ini kepada masyarakat Arab. Allah ﷻ pujuk Nabi ﷺ dengan ayat-ayat sebegini.

Begitu jugalah kita, apabila membaca ayat ini, akan memberi kelegaan kepada kita. Kalau kita dalam kesusahan dan kepayahan menghadapi kehidupan di dunia ini, terubat sedikit apabila kita baca ayat ini. Kerana apabila kita tahu orang lain pun ada juga kesusahan mereka, kesusahan yang kita hadapi ini pun rasa dapat tertanggung.

Surah ini menceritakan bahawa ada pilihan kepada manusia – sama ada mengambil jalan menuju kepada Allah ﷻ atau jalan yang menjauh dari Allah ﷻ. Jalan mana pun yang mereka pilih, kedua-duanya ada struggle masing-masing. Akan tetapi yang satu membawa kepada Allah ﷻ dan satu lagi menjauh dari Allah ﷻ. Oleh itu, manusia kena pandai pilih. Dan jangan risau dengan struggle yang perlu dihadapi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abu Ihsan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s