Tafsir Surah al-Layl Ayat 15 – 21 (Sifat orang yang baik)

Ayat 15: Siapa yang akan masuk neraka itu?

لَا يَصلَٮٰهَآ إِلَّا ٱلأَشقَى

(SAHEEH INTERNATIONAL)

None will [enter to] burn therein except the most wretched one

(MALAY)

Tidak ada yang masuk ke dalamnya kecuali orang yang paling celaka,

 

Tidaklah yang memasukkan dirinya sendiri ke dalam neraka melainkan orang yang paling celaka. Ini macam orang yang membunuh unta Nabi Salih عليه السلام dalam surah sebelum ini.

Kalimah يَصلا ini bermaksud orang itu akan masuk sendiri. Ini adalah kerana tubuhnya akan ikut arahan Allah ﷻ untuk masuk. Tuannya mungkin tidak mahu masuk tetapi dia sudah tidak ada kuasa atas tubuhnya.

Kalimah الأَشقَى bermaksud orang yang paling celaka. Kalimah ini telah digunakan dalam surah sebelum ini tentang lelaki yang bangun untuk bunuh unta mukjizat dalam Surah Asy-Shams. Dalam surah itu, Allah ﷻ beritahu yang lelaki itu menentang arahan Rasul untuk meninggalkan unta mukjizat itu.

Dalam surah ini pula, arahannya berkenaan mukjizat juga, tetapi mukjizatnya adalah Al-Qur’an. Dan arahan bukan suruh tinggalkan, tapi dekatkan diri dengannya. Maka kalau kita menjauhkan diri dari Al-Qur’an, tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka itu pun dikira menentang arahan Rasul juga.

Samalah macam orang sekarang yang apabila diajak untuk mengenali Al-Qur’an dengan belajar tafsir, mereka tidak mahu. Kalau ada orang beritahu maklumat dari tafsir Al-Qur’an, mereka keji dan kata itu adalah Wahabi. Maknanya, mereka sendiri tidak belajar, tetapi bila orang beritahu ajaran dari Al-Qur’an, mereka keji dan kutuk.


 

Ayat 16: Siapakah orang yang paling malang itu?

الَّذي كَذَّبَ وَتَوَلّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who had denied and turned away.

(MALAY)

yang mendustakan (kebenaran) dan berpaling (dari iman).

 

Yang telah mendustakan kebenaran dan berpaling ingkar dari menerimanya. Oleh kerana itu, akidah mereka jadi rosak. Bila akidah rosak, amalan pun akan rosak juga. Sebab itu mereka amat suka buat amalan bidaah.

Apabila ditegur, mereka akan beri bermacam-macam hujah untuk membenarkan amalan bidaah mereka itu. Sampai letih kita hendak menjawab hujah mereka. Padahal, hujah yang paling kuat adalah: “ini Nabi ﷺ tidak buat, maka tinggalkanlah”. Akan tetapi hujah begitu tidak cukup kuat pada mereka, maka kita pula yang kena beri berbagai-bagai hujah.

Mereka tidak membenarkan kebenaran dari wahyu. Apabila kita beritahu perkara benar, mereka tidak terima. Memang dalam ayat ini tidak disebut berpaling dari apa, tetapi kita telah faham, mereka berpaling dari wahyu. Dan Allah ﷻ amat murka kerana peringatan wahyu itu dari Dia sendiri.

Mereka tidak mahu dengar tentang kebaikan walaupun mereka sendiri tahu itu adalah benar. Dan juga mereka berpaling dari memberi kepada orang yang meminta kepada mereka.

   قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ : حَدَّثَنَا يُونُسُ وَسُرَيْجٌ قَالَا حَدَّثَنَا فُلَيْحٌ عَنْ هِلَالِ بْنِ عَلِيٍّ عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ  : كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُ الْجَنَّةَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَّا مَنْ أَبَى . قَالُوا : وَمَنْ يَأْبَى يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yunus dan Suraij mereka berkata: telah menceritakan kepada kami Fulaih dari Hilal bin ‘Ali dari ‘Atho` bin Yasar dari Abu Hurairah berkata: Bahwsanya Nabi ﷺ  bersabda: “Pada hari kiamat setiap umatku akan masuk surga kecuali yang enggan, ” para sahabat berkata: “Siapa yang enggan wahai Rasulullah?” beliau bersabda: “Barangsiapa taat kepadaku maka akan masuk surga, dan barangsiapa durhaka maka ia telah enggan.”

[Musnad Ahmad no. 8373 dengan lafaz ini. Dinilai Sahih lighairihi dan sanad ini Hasan oleh Syaikh Syuaib al-Arnauth. Juga diriwayatkan dalam Sahih Bukhari no. 6737 dari Muhammad bin Sunan]


 

Ayat 17: Siapa pula yang akan selamat?

وَسَيُجَنَّبُهَا الأَتقَى

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the righteous one will avoid it –

(MALAY)

Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling takwa dari neraka itu,

 

Akan dijauhkan azab neraka itu dari orang yang bertaqwa. Kalimah الأَتقَى adalah peringkat taqwa yang lagi tinggi dari muttaquun (kita dapat tahu dari format yang digunakan). Ada pendapat yang mengatakan ayat ini ditujukan kepada Abu Bakar  رضي الله عنه apabila dia memerdekakan hamba yang diseksa. Waktu itulah ayat ini diturunkan, tapi tidaklah untuk beliau sahaja.

Orang yang الأَتقَى akan dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Tapi tidaklah hanya kepada الأَتقَى sahaja syurga itu. Ini adalah salah satu dari belas kasihan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ hanya memberikan syurga itu kepada الأَتقَى sahaja, maka tentulah ramai yang tidak berpeluang untuk masuk syurga langsung. Kerana kedudukan الأَتقَى ini amat tinggi dan susah untuk dicapai.

Kalimah وَسَيُجَنَّبُهَا dari kalimah جنب yang bermaksud ‘berada di tepi’. Kalau kalimah تجنب bermaksud membawa seseorang ke tepian. Dan apabila digunakan kalimah تجنيب seperti digunakan dalam ayat ini, ianya bermaksud membawa seseorang amat jauh dari sesuatu. Oleh itu, ayat ini bermaksud mereka akan dibawa amat jauh dari neraka. Mereka akan diselamatkan terus dari neraka itu.


 

Ayat 18: Siapakah mereka yang diselamatkan dari neraka itu? Allah ﷻ beritahu sifat mereka.

الَّذي يُؤتي مالَهُ يَتَزَكّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He] who gives [from] his wealth to purify himself

(MALAY)

yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya,

 

Bagaimana kita boleh mencapai tahap الأَتقَى? Mari belajar sifat mereka. Mereka memberi infak dan mereka menyucikan diri mereka. Tujuan mereka memberi infak itu adalah untuk menyucikan diri mereka. Tapi dalam ayat ini, kalimah ل tidak digunakan. Cuba lihat – kalimah yang digunakan adalah يَتَزَكّىٰ (menyucikan), bukan ليَتَزَكّىٰ (*untuk* membersihkan). Kenapa begitu pula?

Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberitahu kita, mengeluarkan harta untuk infak, tidaklah memberi ketetapan yang kita akan jadi suci. Perbuatan itu sendiri tidak menyucikan kita, tapi Allah ﷻ lah yang menyucikan kita. Dan Allah ﷻ hanya menyucikan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Tetapi proses kita untuk berharap Allah ﷻ menyucikan kita, hendaklah kita mulai dengan mengeluarkan infak ke jalan Allah ﷻ. Ayat ini memberitahu kita, bolehlah kalau kita keluarkan infak itu dengan harapan supaya Allah ﷻ menyucikan kita, tapi keputusan masih tetap di tangan Allah ﷻ.

Pemberian boleh jadi macam-macam seperti masa, ilmu dan tenaga. Akan tetapi Allah ﷻ khususkan harta dalam ayat ini. Namun bagaimana dengan mereka yang miskin? Seperti yang kita tahu, tidak semua boleh beri banyak. Masih tetap kena keluarkan juga, tapi kalau tidak boleh beri banyak, berilah sedikit pun.

Kerana orang yang miskin pun ada benda yang boleh diberikan. Kalau ada dua kurma, bagi satu kurma kepada orang lain. Ini mafhum dari hadis Nabi ﷺ.

((  اِتَّقُوْا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ ))  

“Takutlah kalian terhadap api neraka meskipun hanya dengan (bersedekah) setengah biji kurma. Dan jika ia tidak mendapatkan, maka hendaklah dengan kalimat yang baik.” [HR. al-Bukhari no. 5564, Muslim no. 1689, Nasa’i no. 2506 dan lain-lain]

Lihatlah bagaimana agama tidak menetapkan pun berapa banyak yang hendak kena beri. Kalau boleh beri sikit sahaja, maka berilah sedikit sahaja. Tapi mungkin ini adalah perkara yang agak susah kerana kita tidak biasa. Oleh itu, kita nak kena ajar masyarakat kita dan anak-anak kita untuk membiasakan diri untuk bersedekah dari kecil lagi.

Mulakan dengan bagi sedikit-sedikit supaya jadi biasa dengan perangai baik itu. Kenalah ajar anak-anak untuk belajar bagi sedikit-sedikit dahulu. Ajar mereka untuk ingat kepada orang lain, bagi ringan sikit tangan tu. Beri mereka rasa bagaimana sedapnya rasa untuk memberi kepada orang lain.

Ini kena diajar dari kecil lagi, kerana kalau sudah besar, susah untuk mulakan. Kerana kalau sudah besar, sudah rasa harta itu mereka punya, mereka layak dapat, mereka kena simpan, sudah pandai pakai duit untuk kepentingan sendiri. Maka waktu itu sudah susah untuk mengajar mereka infak.

Dalam sejarah Islam, kita telah belajar tentang individu Islam yang infak harta mereka dengan banyak sekali. Kita selalu baca kisah Khadijah, Abu Bakr, Umar, Uthman رضي الله عنهم dan lain-lain lagi. Mereka buat begitu kerana mereka yakin kelebihan infak harta.

Tapi orang sekarang takut jatuh miskin. Mereka tidak yakin yang Allah ﷻ akan ganti segala apa yang kita berikan itu. Saya terkenang kisah pengasas al-Rajhi. Berapa banyak dia infakkan harta kepada Islam. Bila dia sudah bersara, dia duduk di kampung dan hidup sebagai orang miskin. Dia juga telah membina Yayasan al-Rajhi untuk membantu orang lain. Dia tak kisah hidup dalam kesederhanaan kerana dia pernah hidup sebagai orang miskin dahulu. Dia adalah orang yang memahami kelebihan infak kepada jalan Allah ﷻ.


 

Ayat 19: Dan orang itu memang memberi dengan ikhlas.

وَمَا لِأَحَدٍ عِندَهُ ۥ مِن نِّعمَةٍ تُجزَىٰٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And not [giving] for anyone who has [done him] a favor to be rewarded¹

  • i.e., without intending reciprocation for some benefit to himself.

(MALAY)

padahal tidak ada seseorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya,

 

Sedang dia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang patut dibalas. Bukan dia memberi itu kerana hendak balas budi orang, tapi dia beri dengan ikhlas. Kerana kalau dia memberi kerana balas budi, mungkin tidak ikhlas lagi. Kerana mungkin dia balas kerana takut orang kata dia kedekut.

Kadang-kadang orang bagi hadiah kepada kita, kita rasa kita kena balas balik, walaupun sebenarnya kita tidak mahu pun nak beri. Ini terjadi kerana kita tak mahu orang kata kita tak tahu membalas budi.

Memang membalas jasa orang lain yang telah berbudi dengan kita itu bagus juga, tapi tidaklah yang dimaksudkan dalam ayat ini. Ayat ini bermaksud, orang yang memberi itu bukan kerana nak balas perbuatan orang lain.

Dan ayat ini juga bermaksud, tidak ada orang yang akan balas pemberiannya itu. Dia tidak mengharap ada orang membalas apa yang telah diberikannya itu. Semua yang dia buat adalah kerana Allah ﷻ, bukan kerana nak balas kepada orang lain dan bukan nak dapatkan pembalasan dari orang lain.


 

Ayat 20: Jadi, kenapa dia memberi?

إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِ الأَعلىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But only seeking the countenance of his Lord, Most High.

(MALAY)

tetapi (dia memberikan itu semata-mata) karena mencari keredhaan Tuhannya yang Maha Tinggi.

 

Dia memberi hanya kerana mengharapkan keredhaan Allah ﷻ sahaja. Bukan sebab mengharapkan redha manusia, tapi mengharapkan redha Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga memberitahu dan menekankan dalam ayat ini yang Dia yang Maha Tinggi. Ini merendahkan diri kita, supaya kita kena ingat: walaupun kita ada banyak harta, kaya tetapi Allah ﷻ jua yang Maha Tinggi.

Kalimah ابتِغاءَ bermaksud mencari dengan bersungguh; juga dalam masa yang masa ia bermaksud melampau (baghyan). Oleh itu, kalau kita gabungkan dua makna ini, menunjukkan bagaimana seseorang yang mahukan sangat sesuatu perkara itu, sampaikan dia akan buat apa sahaja, lebih dari usaha yang biasa untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya itu.

Dari segi balaghah, kalimah ابتِغاءَ ini dalam bentuk mansoob, memberi erti yang kerana inilah sahaja dia melakukannya. Kerana mencari keredhaan Allah ﷻ lah sahaja dia mengeluarkan infak itu. Bukan kerana sebab-sebab lain.

Kalimah وَجهِ dari segi literal bermaksud wajah, muka. Dalam ayat ini bermaksud mencari redha Allah ﷻ.


 

Ayat 21: Apakah janji Allah ﷻ kepada mereka?

وَلَسَوفَ يَرضىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he is going to be satisfied.

(MALAY)

Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan.

 

Allah ﷻ akan membalas usaha mereka itu. Dan mereka akan berpuas hati apabila mereka dimasukkan ke dalam syurga nanti. Iaitu mereka yang mempunyai sifat-sifat yang telah disebut sebelum ini. Oleh kerana mereka mencari redha Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan beri balasan di akhirat kelak yang mereka pasti akan redha.

Bandingkan dengan mereka yang mencari duit dan harta kerana hendak memuaskan hati mereka, tapi bila sudah dapat mereka tidak puas pun, bukan? Kerana apabila manusia dapat sejuta ringgit, mereka nak dapat lagi sejuta atau nak dapat satu billion pula. Memang manusia tidak akan puas selagi mereka hidup di dunia. Oleh itulah Allah ﷻ beritahu yang puasnya adalah dalam syurga nanti. Itulah sahaja tempat yang seseorang akan rasa puas sepuas-puasnya.

Huruf ل dalam لَسَوفَ bermaksud Allah ﷻ bersumpah – PASTI mereka akan dapat kepuasan nanti apabila mereka dimasukkan ke dalam syurga. Mereka akan mendapat ketenangan dan kesenangan hati yang mereka tidak akan dapat rasa selagi di dunia.

Ramai ulama mufassir mengatakan ayat ini merujuk kepada Saidina Abu Bakar رضي الله عنه kerana sifat beliau. Oleh itu, kita kena cuba untuk ikut cara yang dilakukan oleh beliau. Ini adalah sebagai pendapat sahaja dan kita kena ingat yang bukanlah ayat Al-Qur’an untuk seorang sahaja. Ayat Al-Qur’an selalunya berbentuk umum. Kalau pun ia berkenaan Abu Bakr رضي الله عنه, maka ia sebagai contoh untuk kita ikuti.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah ad-Dhuha.

Kemaskini: 4 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s