Tafsir Surah an-Nisa Ayat 7 – 10 (Hukum Faraid)

Ayat 7: Ini adalah hukum kelima. Ianya tentang harta peninggalan orang yang mati. Sikit atau banyak, harga itu ada penerimanya. Maka kena dijalankan pembahagian harta itu mengikut hukum yang Allah telah tetapkan. Jangan lakukan kezaliman dengan tidak memberikan kepada mereka yang berhak.

Ianya adalah zalim sebab tuan asal dah mati dah untuk memberikannya sendiri dan memastikan harta itu sampai kepada warisnya. Kita yang masih hidup inilah yang kena pastikan ianya sampai kepada mereka yang patut disampaikan.

Ayat ini adalah penting kerana ia memberitahu kepada umat Islam bahawa wanita juga layak untuk mendapat bahagian dari harta pusaka. Ini tidak pernah diberikan dalam masyarakat Arab sebelum itu.

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For men is a share of what the parents and close relatives leave, and for women is a share of what the parents and close relatives leave, be it little or much – an obligatory share.

MALAY

Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

 

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ

Untuk orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat,

Bagi lelaki ada bahagian dari harta pusaka dari yang ditinggalkan oleh ibubapanya dan kaum kerabatnya. Yang jelas, seorang anak akan mendapat harta peninggalan dari ibu dan bapanya.

Tapi dalam ayat ini disebut juga dari ‘kaum kerabat’. Ianya adalah keluarga dekat yang termasuk dalam ashabul furud – mereka yang layak menerima faraid. Bukanlah semua ahli keluarga layak mendapat harta faraid itu. Kena tengok senarai yang akan diberikan nanti.

 

وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ

dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat,

Orang perempuan pun layak dapat harta pusaka dari ibubapa mereka dan dari kaum kerabat mereka. Ini adalah benda baru dalam masyarakat Arab. Sa’id ibnu Jubair dan Qatadah mengatakan bahwa dahulu orang-orang musyrik memberikan hartanya kepada anak-anaknya yang besar-besar saja, dan mereka tidak mewariskannya kepada wanita dan anak-anak.

Dulu para wanita tidak layak dapat bahagian apa pun, malah mereka itu sendiri jadi harta. Mereka sendiri diserahkan kepada orang lain macam mereka barang sahaja. Sampai anak pun boleh warisi isteri bapanya. Mereka tidak dipandang sebagai layak menerima harta pusaka kerana sumbangan mereka kepada keluarga tidak banyak.

Mereka tidak dapat bekerja kuat, tidak dapat berperang untuk mempertahankan keluarga, maka kerana itu mereka tidak mendapat bahagian. Kanak-kanak pun begitu juga kerana tidak memberi sumbangan pun. Begitulah yang terjadi apabila seorang sahabat bernama Aus bin Tsabit meninggal dan isterinya dan anak-anak yang muda tidak mendapat bahagian hartanya tapi sepupu anak-anaknya yang datang ambil semua harta. Isteri Aus telah mengadu kepada Rasulullah dan Allah telah menurunkan ayat ini.

Tapi lihatlah bagaimana Islam dah mulakan dulu untuk menjaga hak-hak wanita. Kalau sekarang kita lihat orang Barat pun hendak menjaga hak-hak wanita, mereka pun baru sahaja memulakannya sedangkan Islam sudah lama buat pun.

Lihatlah bagaimana Allah telah mengkhususkan hak wanita kepada harta pusaka dalam ayat ini. Allah boleh sahaja berfirman: “lelaki dan perempuan ada hak ke atas harta pusaka….”. Tapi Allah telah pecahkan ayat itu: mulanya Allah sebut tentang hak lelaki dan kemudian Allah sebut tentang hak perempuan. Ini supaya nampak jelas ada hak wanita. Kalau digabungkan sekali dalam satu ayat, mungkin tidak jelas.

Jadi secara efektif, Allah telah meletakkan hak wanita sama sahaja dengan hak lelaki. Islam telah lama mempertahankan hak-hak wanita.

Malangnya, sekarang ada orang yang mentohmah mengatakan agama Islam menindas wanita dan tidak adil kepada mereka. Ini terjadi kerana mereka tidak belajar tentang Islam dan mereka telah ada bias terhadap agama Islam. Oleh kerana ada bias, semua yang dari Islam mereka kata buruk sahaja.

 

مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ

sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu;

Samada harta itu sedikit atau banyak, ianya perlu dibahagikan mengikut ketetapan yang Allah telah tetapkan – bukan samarata. Harta yang sedikit, buat cara sedikit dan harta yang banyak, buat cara banyak.

Janganlah kalau harta itu sedikit, maka ahli keluarga buat cara senang sahaja, sampai sudah tidak ikut cara faraid pula. Ini tidak boleh. Dalam setiap pembahagian harta pusaka, kena diberikan mengikut ketetapan yang Allah telah letakkan.

Sila perhatikan ayat ke 7 ini mengatakan lelaki dan wanita ada hak masing-masing. Ia tidak meletakkan asas keperluan sebagai penentu. Maka setiap orang ada bahagiannya, walaupun dia mungkin orang yang kaya dan tidak memerlukan. Jadi pembahagian itu sama rata sahaja.

Sebaliknya, kedudukan antara simati dan penerima itu yang menjadi penentunya. Mereka yang lebih rapat dengan simati akan mendapat bahagian yang lebih banyak. Walaupun mungkin orang yang jauh kedudukannya dari simati mungkin lebih memerlukan. Hikmahnya kerana ‘keperluan’ itu amat subjektif dan sukar ditentukan. Nanti akan berhujah banyak pula siapa yang lebih layak dan tidak habis-habis berkelahi pula.

Ayat ini juga menolak amalan sesetengah orang yang memberikan barangan tertentu kepada orang tertentu. Sebagai contoh, kalau simati meninggalkan kuda, maka kuda itu otomatik diberikan kepada lelaki kerana dia yang menggunakan kuda itu untuk berperang, contohnya. Logik ini tidak terpakai dalam pembahagian harta pusaka. Semua orang tidak kira lelaki atau wanita, ada hak ke atas kuda itu.

Sikit atau banyak barang peninggalan dari simati hendaklah diberikan kepada penerima harta pusaka. Ini termasuklah pinggan mangkuk, baju dan benda-benda lain yang ramai anggap sebagai kecil dan ringan. Maka ada yang siap-siap sudah disedekahkan kepada orang lain. Sedangkan mereka yang layak menerimanya dahulu adalah penerima harta pusaka.

Berikan dulu kepada penerima pusaka dan kalau mereka mahu berikan kepada orang lain, maka biarlah mereka sahaja yang buat keputusan itu. Dan pastikan yang memberi itu adalah orang dewasa, kerana kalau kanak-kanak belum baligh, mereka tidak layak untuk buat keputusan itu kerana akal mereka masih lemah untuk buat keputusan.

Bagaimana dengan pengurusan jenazah si mati? Adakah diambil dari harta peninggalannya? Tidak boleh diambil kerana harta itu sudah jadi harta penerima pusaka. Kena diberikan kepada mereka dahulu dan kalau mereka hendak tanggung pengurusan jenazah, maka barulah boleh.

 

نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

iaitu bahagian yang telah difardhukan

Apabila dikatakan pembahagian itu fardhu, maka kenalah kita ikut dengan tepat. Pembahagian itu telah ditentukan oleh Allah maka kena ikut dan tidak boleh gunakan akal untuk mengubahnya.

Oleh kerana itu, cara pembahagian itu tidak boleh kita buat sendiri kerana telah ditetapkan oleh Allah.  Malangnya masyarakat kita ada buat kesalahan ini. Mereka telah membahagikan harta itu samarata, dengan alasan kononnya semua setuju. Tapi tidak sebenarnya.

Kita sahaja yang kata semua setuju, tapi dalam hati siapa yang tahu? Mungkin di mulutnya dia kata dia setuju, kerana dia malu hendak kata ‘tidak setuju’ pula kerana orang lain semua sudah setuju. Dia takut kalau dia seorang sahaja kata tidak setuju, nanti dikatakan dia tamak harta pula. Maka, dia pun cakaplah di mulutnya yang dia setuju, tapi dalam hatinya dia tidak setuju.

Tiada keberkatan dalam harta yang tidak dibahagikan dengan cara faraid. Mungkin ada yang dapat lebih banyak dari yang sepatutnya, tapi kerana tidak ada keberkatan, harta yang banyak itu akan hancur sendiri.

Apakah hukumnya menukar ketetapan Allah itu? Kalau ada yang tukar pembahagian itu kerana dia rasa pembahagian cara Allah itu tidak adil, itu sudah murtad. Murtad bukan perkara main-main. Itu sebab kita kata, untuk keluar dari Islam, bukan kena tolak semua ayat Quran, tolak satu ayat Qur’an pun dah boleh murtad dah.

Kalau dia bahagi harta itu tidak ikut cara faraid, tapi dalam masa yang sama dia kata Allah buat dah elok dah, tapi kerana semua penerima telah bersetuju itu adalah cara yang mereka kehendaki dan dia ikut sahaja, itu berdosa besar.

Kalau nak beri sama rata juga, mungkin kita kasihan kepada adik perempuan kita yang dapat kurang dari kita, ada caranya. Mulanya bahagikan harta itu ikut cara faraid dulu, dan apabila kemudian harta itu telah jadi hak masing-masing dengan bahagian yang mereka patut terima, maka kepada mereka yang nak beri kepada sesiapa sahaja, berilah.

Sebab harta itu sudah jadi hak dia, dan kalau dia nak beri semua pun boleh. Kalau dia buat begitu, dia akan dapat pahala kerana telah mengamalkan hukum Allah, dan dia akan dapat pahala sedekah kerana telah mengeluarkan hartanya untuk diberikan kepada orang lain – ahli keluarga sendiri adalah orang yang paling layak terima pemberian dari kita dahulu.

Kalau dia beri sesudah dia mendapat bahagiannya, barulah ada ikhlas. Iaitu setelah harta itu jadi dia punya. Kerana kita kena ingat, disebabkan oleh harta, adik beradik boleh berkelahi, suami isteri boleh bercerai. Jadi, Allah telah mudahkan dengan memberi jalan ketetapan apakah yang perlu dilakukan. Iaitu tidak perlu kita berkelahi siapa dapat banyak mana, kerana Allah telah tetapkan siap-siap.

Jadi dalam ayat ini ada mengandungi lima hukum utama:

  1. Lelaki dan wanita dua-dua ada hak kepada harta peninggalan simati.
  2. Harta sikit atau banyak kena dibahagikan. Kalau pun ia sehelai kain, maka itu pun tetap kena dibahagikan. Kalau sedikit dan tidak mahu dibahagikan, maka pihak yang lain boleh membeli bahagian dari orang lain.
  3. Harta peninggalan itu termasuk dalam semua harta, samada harta itu pakaian atau tanah. Semua kena dibahagikan.
  4. Harta faraid ini berkuatkuasa selepas tuan harta itu meninggal.
  5. Kaum kerabat juga berhak dapat harta pusaka.

 

Ayat 8: Hukum keenam. Ini adalah berkenaan kaum kerabat yang bukan termasuk dalam golongan ashabul furud. Ini adalah apa yang perlu dilakukan jikalau semasa membahagikan harta pusaka kepada yang layak menerimanya, ada golongan lain yang datang.

Samada yang datang itu adalah kaum kerabat yang jauh sikit atau anak yatim.

وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينُ فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when [other] relatives and orphans and the needy are present at the [time of] division, then provide for them [something] out of it [i.e., the estate] and speak to them words of appropriate kindness.

MALAY

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

 

وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينُ

Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, 

Ada tiga golongan yang disebut dalam ayat ini: Kaum keluarga, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Ayat ini mengajar kita apa yang perlu kita lakukan jikalau mereka ada yang datang semasa الْقِسْمَةَ – majlis pembahagian harta pusaka. Mungkin mereka dengar yang harta pusaka akan dibahagikan pada hari itu dan mereka datang mungkin mengharap jikalau ada bahagian untuk mereka.

Kalimah الْقُرْبَىٰ dalam ayat ini bermaksud kaum kerabat yang jauh sikit. Kerana kaum kerabat adik beradik yang dekat, memang sudah termasuk dalam bahagian penerima harta pusaka.

Maka, apakah yang patut kita lakukan untuk mereka?

 

فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ

maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, 

Berilah sedikit rezeki kepada mereka. Tapi, bukanlah beri dari bahagian harta yang dibahagikan itu. Iaitu cuma jamu mereka makan dari harta yang lain. Itu sebagai tanda kita syukur kita dapat harta percuma. Kerana harta yang kita dapat itu bukan harta dari usaha kita pun, dapat percuma sahaja.

 

وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Berilah mereka jamuan makanan dan bercakap baiklah dengan mereka. Jangan halau atau malukan mereka. Jangan hampakan mereka. Kata kepada mereka, harta pembahagian itu baru sahaja dapat, tapi kita akan beri mereka makan dan jamuan sebagai tanda syukur.

Kita katakan bahawa pemberian rezeki itu dari harta yang lain, bukan dari harta pusaka yang baru dibahagikan itu. Ditafsir begini supaya ayat ini tidak termasuk dalam ayat yang mansukh. Kerana memang ada pendapat yang mengatakan yang ayat ini sudah mansukh. Begitu pun, ada juga yang kata ayat ini tidak mansukh.

Orang kata ayat ini telah mansukh, mereka mengatakan lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ adalah kaum kerabat yang bukan ahlul furud, iaitu kerabat jauh. Mereka kata kalau dulu, boleh diberikan bahagian dari harta pusaka itu dan ayat itu telah dimansukhkan.

Oleh itu, pada mereka, kalau beri sebahagian dari harta pusaka, ianya atas dasar sunat sahaja, kerana kalau beri atas dasar fardhu, tidak ada kerana telah dimansukhkan.

Ada juga ulama yang kata tidak mansukh. Mereka meletakkan makna yang sesuai. Mereka mengatakan yang lafaz أُولُو الْقُرْبَىٰ bermaksud kerabat yang boleh terima pusaka. Dan anak-anak yatim yang datang pun adalah mereka yang boleh terima pusaka. Dan mereka datang pun untuk ambil bahagian mereka.

Kepada mereka, kita beri makan dulu dan kata kepada mereka bahawa harta yang banyak tu kena tunggu apabila mereka dah besar nanti. Oleh itu, maksud beri rezeki itu adalah jamu mereka dengan harta pusaka yang ada hak dia.

Oleh itu, kita boleh lihat ada beberapa pendapat tentang ayat ini. Kalau zaman sekarang, mungkin tidak ada. Sebab sekarang pemberian harta pusaka selalunya tertutup. Dan mereka yang patut terima harta pusaka itu telah tahu yang mereka akan dapat harta pusaka. Allahu a’lam.


 

Ayat 9: Allah beri motivasi kepada kita untuk menjaga kepentingan anak-anak yatim itu. Kerana kita pun ada anak juga, maka kita kena fikirkan.

Allah beri perumpamaan: apa kata kalau kamu yang mati dan anak-anak kamu kecil lagi? Tentu kamu mahu hak mereka dijaga, bukan? Maka kita kenalah jaga hak anak orang lain dengan baik. Kerana kalau anak kita jadi macam itu, kita pun mahu anak kita dijaga haknya.

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let those [executors and guardians] fear [injustice] as if they [themselves] had left weak offspring behind and feared for them. So let them fear Allāh and speak words of appropriate justice.

MALAY

Dan hendaklah takut orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).

 

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوا عَلَيْهِمْ

Dan hendaklah takut orang-orang, yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang lemah di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; 

Kita hendaklah bimbang memikirkan siapa yang akan jaga anak kita yang lemah kalau kita sudah tiada nanti. Kalau kita tidak jaga hak anak orang lain, siapa pula yang akan jaga hak anak kita kalau kita tiada nanti?

Oleh itu, penjagaan harta anak-anak yatim mestilah dijaga oleh semua orang. Kerana semua orang ada anak juga, dan ada kemungkinan kita mati sebelum anak-anak itu membesar dan belum mampu untuk menjaga diri mereka. Ini adalah pengajaran pertama.

Pengajaran kedua, kita hendaklah risaukan keadaan anak-anak kita selepas kita tiada nanti. Kalau mereka kecil dan tidak mampu mencari rezeki sendiri, apakah nanti nasib mereka? Maka, tinggalkanlah sesuatu dalam bentuk harta kepada mereka, jangan biarkan mereka tidak ada harta langsung.

Ayat ini ditujukan kepada mereka yang mahu infak harta mereka lebih dari 1/3. Sedangkan mereka ada anak-anak kecil yang memerlukan keperluan. Dikatakan bahawa asbabun nuzul ayat ini adalah kisah Sa’ad bin Abi Waqas yang mahu memberikan keseluruhan hartanya dalam wasiat. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Sa’ad bin Abi Waqas yang bermaksud:

“Sepertiga dan sepertiga itu sudah banyak, sesungguhnya lebih baik bagi kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin yang meminta-minta kepada orang lain.” (Riwayat Muslim).

Hadis ini juga menjadi dalil bahawa kalau kita tahu ada orang yang melakukan wasiat yang tidak patut, maka kita kena tegur dia. Dan kalau ada pembahagian harta pusaka yang tidak patuh syariah, pun kita kena tegur.

 

فَلْيَتَّقُوا اللهَ

oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah,

Maksudnya, kenalah lihat ketetapan yang Allah telah letakkan kepada kita. Kita kena pastikan hak-hak penerima harta itu sampai kepada mereka. Kalau kita lihat ada kekurangan di mana-mana, hendaklah kita tegur.

Samada kita lihat seseorang tidak menjalankan tugasnya menjaga harta, membahagikan harta, malah kalau kita nampak seseorang memberi hartanya terlalu banyak sampaikan boleh menyebabkan warisnya tidak tinggal apa-apa. Kita kena ambil tindakan kalau perkara itu berlaku di depan mata kita.

 

وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul 

Kalimah قَوْلًا سَدِيدًا bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Berkatalah dengan baik kepada mereka.

Ini adalah hukum kepada mereka yang menjaga anak-anak yatim. Kerana apabila ibubapa meninggal, maka hartanya itu akan diuruskan oleh walinya atau mereka yang telah diamanahkan oleh mahkamah untuk menjaga harta itu. Mereka yang memegang amanah itu, kena urus harta itu dengan baik.

Yang penting, kena takut kepada Allah. Kerana Allah melihat apa yang kita lakukan. Dan dalam masa yang sama, wali kena jelaskan kepada anak-anak yatim bahawa mereka hanya menjaga harta itu sahaja dan akan memulangkan harta itu kepada anak yatim itu apabila sudah sampai masanya. Sekarang tidak boleh lagi kerana belum sesuai. Kata-kata ini adalah contoh kata-kata yang menepati syariat.

Kata سَدِيدًا berasal dari katadasar yang bermaksud ‘dinding’. Kalau dinding rumah kita, kita akan jaga dan kalau ada lubang, kita akan tampal supaya tidak retak. Jadi قَوْلًا سَدِيدًا telah menjadi satu makna yang membawa maksud kata-kata yang jelas, tepat, tidak bengkang bengkok, tidak retak dan tidak ada lubang padanya.

Ayat ini boleh juga bermaksud, kalau ada anak yatim yang tanya kita: adakah kita dapat harta pusaka, jangan pusing kata tak dapat pula. Beritahulah dengan benar. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana kadang-kadang anak-anak yatim dan keluarga ada datang apabila mereka tahu yang ada majlis pembahagian harta pusaka.

Beritahulah yang kita memang ada dapat harta pusaka, nanti kita beri kepadanya sedikit, kalau dia tidak layak dapat harta itu. Kerana anak yatim selalunya orang susah dan mengharap bantuan dari kita. Mungkin dia ada dengar kita dapat harta percuma, maka dia mengharap kalau dapat sedikit infak dari kita.

Persoalan sekarang, adakah kita tahu anak-anak yatim dalam kalangan masyarakat kita? Kalau masyarakat kita tidak rapat dan tidak bersuai kenal dengan orang dalam kariyahnya, macam mana nak tahu mana satu anak yatim?

Sebab itu kena bercakap-cakap dan bertanya khabar dengan masyarakat sekeliling kita. Tanya khabar mereka, ambil tahu keperluan mereka. Bantulah mereka dimana kita boleh bantu. Jangan takat angkat tangan sahaja bagi salam sahaja. Jangan tunggu mereka datang meminta-minta kepada kita kerana mereka pun tentu malu nak cakap dan meminta-minta kepada kita.

Kita yang kena mulakan beri pertolongan. Macam dalam ayat sebelum ini, tidak disebut pun mereka minta, cuma disebut mereka hadir sahaja semasa majlis pemberian harta pusaka itu. Kitalah yang kena faham sendiri.


 

Ayat 10: Takhwif ukhrawi kepada mereka yang memakan harta anak yatim dengan cara yang zalim.

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوٰلَ الْيَتٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who devour the property of orphans unjustly are only consuming into their bellies fire. And they will be burned in a Blaze [i.e., Hellfire].

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

 

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوٰلَ الْيَتٰمَىٰ ظُلْمًا

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, 

Mereka dikatakan makan dengan cara yang zalim sebab mengambil dengan cara salah. Bukanlah langsung tidak boleh makan harta itu sebab ada cara yang adil. Ini disebut dalam ayat-ayat yang lain.

 

إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا

sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka;

Mereka yang memakan harta anak yatim dengan cara yang zalim itu diibaratkan dalam ayat ini seperti menelan api neraka. Kita kena ingat, apabila disebut ‘makan api’, ianya lebih teruk kalau dibandingkan dengan dikenakan dengan api yang di luar. Kerana apabila makan, bermaksud ia masuk ke dalam perut.

Mereka ini akan dibangkitkan kelak di akhirat dengan api keluar dari mulut dan perut mereka! Bahkan telinga dan mata mereka juga akan mengeluarkan api. Ini adalah kerana memang mereka telah makan api yang sebenarnya. Di dunia memang mereka tidak perasan tapi mereka akan mengalaminya di akhirat kelak.

Mereka yang memakan yang mengambil harta anak yatim dengan cara yang salah, tidak akan berkat harta itu.

Di dalam kitab Sahihain melalui hadis Sulaiman ibnu Bilal.dari Saur ibnu Zaid, dari Salim Abul Gais, dari Abu Hurairah, disebutkan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

«اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ»

“Jauhilah oleh kalian tujuh macam dosa yang membinasakan.” Ditanyakan, “Apa sajakah dosa-dosa itu, wahai Rasulullah?” Beliau Saw. menjawab, “Mempersekutukan Allah. Sihir,  membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, menuduh berzina wanita-wanita mukmin yang memelihara kehormatannya yang sedang lalai.”

 

وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

Mereka pasti akan masuk neraka kerana kalau dah makan api neraka, tentulah makan api neraka itu di dalam neraka.

Habis Ruku’ 1 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 Jun 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s