Ayat 11: Ayat ini adalah hukum ketujuh, iaitu tentang pembahagian harta pusaka (Hukum Faraid).
Faraidh adalah bentuk jamak dari al-faridhah yang bermakna sesuatu yang diwajibkan, atau pembahagian yang telah ditentukan sesuai dengan kadarnya masing-masing. Jadi ini adalah ilmu fardhu yang wajib diketahui oleh semua orang.
Ilmu faraidh adalah ilmu yang mempelajari tentang perhitungan dan tata cara pembahagian harta warisan untuk setiap ahli warits berdasarkan syariat Islam. Ini adalah penting kerana ia melibatkan harta dan seperti kita tahu, bab harta ini memang sensitif dan manusia boleh berperang kerananya.
Selain itu, ilmu faraidh juga disebut dengan ilmu warits, kerana ilmu faraidh berkenaan dengan pembagian harta warisan. Adapun definisi ilmu warits adalah:
“Berpindahnya hak kepemilikan dari orang yang meninggal kepada ahli waritsnya yang masih hidup, baik yang ditinggalkan itu berupa harta (wang), tanah, atau apa sahaja yang berupa hak milik secara syari’i. (Pembagian Warits Menurut Islam, Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni, hal. 5)
Pembahagian harta faraid dimulakan dengan anak-anak dan ibubapa. Ini adalah kerana konsep pemberian harta pusaka ini berdasarkan kepada kedekatan penerima dengan simati. Oleh kerana anak-anak dan ibubapa yang rapat dengan simati, maka urusan mereka dahulu disebut sebelum orang lain.
يُوصِيكُمُ اللهُ فِي أَوْلٰدِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ وَإِن كَانَتْ وٰحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وٰحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ءآبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا فَرِيضَةً مِّنَ اللهِ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh instructs you concerning your children [i.e., their portions of inheritance]: for the male, what is equal to the share of two females. But if there are [only] daughters, two or more, for them is two thirds of one’s estate.¹ And if there is only one, for her is half. And for one’s parents, to each one of them is a sixth of his estate if he left children. But if he had no children and the parents [alone] inherit from him, then for his mother is one third. And if he had brothers [and/or sisters], for his mother is a sixth,² after any bequest he [may have] made or debt.³ Your parents or your children – you know not which of them are nearest to you in benefit. [These shares are] an obligation [imposed] by Allāh. Indeed, Allāh is ever Knowing and Wise.
- Literally, “that which he left.”
- Although the siblings themselves do not inherit in this case.
- Based upon prophetic ḥadīths, scholars have ruled that debt takes precedent over a bequest, that a bequest may not include any who inherit by law, and that the total bequest may not be more than one third of one’s estate. After the fulfillment of debts and bequests (if any), the remainder of the estate is to be divided according to the ordinances in this sūrah.
MALAY
Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika hanya ada anak-anak perempuan itu dua atau lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
يُوصِيكُمُ اللهُ فِي أَوْلٰدِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ
Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
Ini adalah kalau seseorang itu meninggalkan anak lelaki dan anak perempuan. Seorang anak lelaki mendapat seperti dua bahagian perempuan. Kalau perempuan dapat seribu ringgit, anak lelaki akan dapat dua ribu.
Contoh Formula: kalau ada seorang anak lelaki dan dua anak perempuan, maka harta itu dibahagikan kepada empat bahagian – lelaki ambil dua bahagian dan setiap seorang anak perempuan akan ambil satu bahagian. Maka boleh digunakan cara ini untuk pembahagian yang lain.
Lihatlah dalam ayat ini, Allah kata: lelaki dapat dua bahagian wanita. Ini menunjukkan wanita juga dapat bahagian dari harta pusaka itu. Arab Jahiliyah hanya memberi pusaka kepada anak lelaki sahaja. Cuma kenapa bahagian perempuan itu separuh sahaja dari bahagian lelaki akan dijelaskan kemudian.
Balaghah: Al-Qur’an menggunakan perkataan yang tepat setiap kali dan kalau kita tahu bahasa Arab sedikit, kita akan dapat memahami bagaimana penggunaan itu amat tepat sekali.
Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah يُوصِيكُمُ iaitu dari kalimah أَوصَ iaitu dari kata dasar و ص ي (darinya jadi kalimah wasiat). Ia digunakan di dalam Al-Qur’an apabila diberikan pesanan yang penting. Tapi kata dasar ini boleh digunakan di dalam beberapa bentuk. Kalimah أَوصَ di dalam ayat ini dalam bentuk wazan IV (wazan أفعل) sedangkan ada penggunaan dalam bentuk wazan lain di dalam ayat-ayat yang lain.
Sebagai contoh, ada kalimah وَصّىٰ iaitu kata dasar و ص ي di dalam bentuk wazan II (wazan فعّل) yang juga kalau diterjamahkan ke dalam Bahasa Melayu, ia sama sahaja. Tapi kalau dalam Bahasa Arab, perbezaan wazan membawa maksud yang berbeza. Begitulah hebatnya Bahasa Arab.
Iaitu kalau dalam wazan فعّل, ia berbentuk sesuatu yang selalu, berterusan, sedikit demi sedikit dan berulang. Sedangkan kalau dalam wazan أفعل, ia merujuk kepada perbuatan yang sekali sahaja.
Jadi penggunaan kalimah أَوصَ (kemudian menjadi يُوصِيكُمُ kerana dalam bentuk majhul) adalah tepat kerana arahan untuk membahagikan harta bukanlah selalu. Ia berlaku sekali sekala sahaja.
Sedangkan penggunaan kalimah وَصّىٰ lebih banyak seperti di dalam Baqarah:132, Ali Imran:131, An’am:144, An’am:151, Ankabut:8, Luqman:14, Shura:13, Ahqaf:15. Ini kerana ayat-ayat ini adalah arahan tentang arahan agama tentang perkara yang berulang-ulang dan selalu.
Yang menjadi agak pelik sedikit adalah ayat Maryam:31 apabila Nabi Isa mengatakan tentang arahan Allah dalam bab solat. Digunakan kalimah أَوصَ pula dalam ayat ini walaupun ia arahan solat (dan tentunya arahan yang berterusan dan selalu, bukan?) Tapi kalau kita melihat konteks ayat ini, ia arahan kepada Nabi Isa ketika baginda masih bayi lagi (baginda berkata ketika masih bayi). Maka tentulah taklif solat belum dikenakan kepada baginda lagi.
Sekian perbincangan balaghah.
Jadi ayat ini adalah kalau ada anak lelaki dan juga ada anak perempuan. Bagaimana pula kalau ada anak-anak perempuan sahaja? Lihat seterusnya:
فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ
Tetapi jika hanya ada anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.
Sekarang penekanan diberikan jikalau ada anak perempuan sahaja. Tidak disebut kalau ada anak lelaki sahaja kerana sudah tahu dia memang akan dapat harta itu. Tapi Allah hendak tekankan anak perempuan mesti diberi hak mereka.
Sekiranya anak itu perempuan belaka, dua atau lebih, mereka akan mendapat dua pertiga dari harta keseluruhan harta yang ditinggalkan. Iaitu bahagikan 2/3 dari keseluruhan harta itu dan dibahagikan sama rata diantara anak-anak perempuan itu.
Dan 1/3 lagi dari bahagian itu akan diberikan kepada penerima yang lain, seperti ibubapa, isteri atau suami simati.
Ayat ini menyebut kalau ‘lebih dua’ anak perempuan. Tapi kalau dua pun mengambil formula yang sama juga. Ini berdasarkan hadis tentang anak-anak Thabit ibn Qais. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa dia sedang bersama Rasulullah s.a.w. apabila seorang perempuan Ansar datang bersama dua orang anak perempuannya. Perempuan itu berkata “Ya Rasulullah, ini adalah anak Thabit bin Qais yang telah mati syahid dalam perang Uhud. Bapa saudara mereka telah mengambil semua harta pusaka mereka dan tiada apa yang tinggal lagi untuk mereka.” Maka turunlah ayat yang menentukan bahagian-bahagian yang berhak diterima oleh ahli waris daripada harta pusaka.
وَإِن كَانَتْ وٰحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ
Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu.
Potongan ayat tadi kalau anak lebih dari seorang, tapi jika anak itu perempuan seorang sahaja, dia akan dapat separuh dari keseluruhan harta. Yang selebihnya akan diberikan kepada penerima pusaka yang lain.
Tidak disebut tentang kalau ada anak lelaki sahaja. Maka ulama feqah telah bersetuju yang kalau hanya ada anak lelaki sahaja, maka keseluruhan harta itu diberikan kepada anak lelaki itu sahaja.
Dan kalau ada penerima pusaka yang lain, maka mereka boleh menerimanya, tapi apabila ada lebihan, maka lebihan itu diberikan kepada anak lelaki itu.
Sekian tentang bahagian anak. Selepas ini kita akan masuk kepada pembahagian ibu dan bapa pula.
وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وٰحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ
Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak.
Sekarang Allah menyebut tentang bahagian ibubapa pula. Ada tiga jenis bahagian yang telah telah ditetapkan. Pertama, jikalau simati itu (anak mereka) ada anak. Ibu dan bapa masing-masing akan dapat 1/6 dari pusaka sekiranya simati itu ada anak. Jadi 1/6 + 1/6 = 2/6 atau 1/3. Jadi 2/3 dari bahagian harta akan dibahagikan kepada anak-anak pula.
Ini yang pertama – kalau simati ada anak. Maknanya, anak dapat bahagian mereka dan ibubapa pun dapat bahagian mereka juga.
فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ
Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga.
Ini adalah situasi kedua pembahagian faraid yang melibatkan ibubapa. Kalau anak yang mati itu tidak ada anak, maknanya cucu tiada, emak dapat 1/3 dan selebihnya diberikan kepada ayah – maknanya, bapa akan dapat dua kali ganda dari bahagian ibu – sama dengan hukum lelaki akan dapat dua bahagian perempuan.
Ini pun sekiranya yang mati itu tiada adik beradik. Maknanya, ini adalah situasi dimana hanya ibubapa sahaja yang layak mewarisi harta itu.
فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ
Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.
Kalau yang mati itu ada adik beradik, anak tiada, emaknya dapat 1/6 dan dan ayah akan dapat 2/3 dari harta itu. Dan bahagian yang berkurang dari emak itu akan diberikan kepada bapa kerana tanggungjawab bapa menjadi semakin tinggi kerana nak jaga anak-anaknya yang lain.
Maknanya kalau ada adik beradik, bahagian ayah tidak berkurang, tapi bahagian ibu yang berkurang. Kerana kalau tiada adik beradik, ibu itu patut dapat 1/3 tapi apabila ada adik beradik, tukar jadi 1/6 bahagian pula.
Perlu ditambah bahawa jika ibubapa si-mati masih hidup, maka adik beradik tidak mendapat bahagian dari harta pusaka itu. Kerana bapa itu yang akan dapat harta itu dan dia yang akan gunakan untuk menjaga anak-anaknya.
Adik beradik itu tidak kira adik beradik sama emak dan ayah atau adik beradik tiri – datang dari lain emak atau lain ayah.
Maka, kalau kita ringkaskan bahagian ibubapa ini kepada tiga jenis:
-
-
- Bahagian ibubapa kalau ada cucu.
- Bahagian ibubapa kalau tiada cucu
- Bahagian ibubapa kalau ada anak-anak yang lain.
-
مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ
sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.
Pembahagian yang telah ditetapkan di atas, akan dibahagikan mengikut bahagian masing-masing selepas diberikan wasiat kalau ada, ataupun bayar hutang dahulu.
Balaghah: Qur’an sebut (ditakdimkan) ‘wasiat’ dahulu. Kerana wasiat pun kena jaga juga. Kerana tidak ada orang yang tuntut wasiat itu. Tapi sebenarnya hutang lebih penting lagi kerana pemiutang ada hak atas harta itu.
Qur’an sebut wasiat dahulu kerana wasiat itu yang selalu dilupa oleh manusia. Maka Allah letak awal supaya memberi ingat kepada manusia. Allah beri penekanan kerana ia selalu diletak di tepi sahaja kerana kalau hutang, tentu ada orang yang akan menuntutnya; tapi apabila melibatkan wasiat, kadangkala orang yang diwasiatkan itu tidak tahu pun yang dia ada mendapat wasiat, jadi dia tidak tahu yang dia kena tuntut.
Maknanya kena bayar hutang dulu, kemudian berikan wasiat, dan kemudian baru dibahagikan mengikut bahagian. Walaupun dalam ayat ini dan ayat-ayat lain, disebut ‘wasiat’ dahulu, tapi dari segi amalan, kena bayar ‘hutang’ dahulu.
Perlu diingat juga bahawa wasiat itu maksimal setakat 1/3 dari harta simati sahaja. Kalau lebih itu melanggar syarak dan tidak boleh dijalankan.
Satu lagi perkara yang perlu difikirkan adalah urusan pengebumian jenazah. Wang itu hendaklah diambil dari hartanya juga. Tapi kena jagalah supaya pembaziran tidak dilakukan. Jangan ikut cara orang Melayu yang berlebihan dalam perkara ini tapi ikutlah cara syarak.
Selepas urusan pengkebumian, barulah wang yang lebih itu digunakan untuk bayar hutang dan kalau ada lebih, bayar wasiat. Dan kalau ada lebih, barulah digunakan untuk dibahagian mengikut faraid.
ءآبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا
lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu
Antara ibubapa atau anak-anak, kita tidak tahu siapakah yang akan memberi untung kepada kita selepas kita mati nanti. Allah lebih tahu tentang perkara itu. Sebab itu Allah sudah beri pembahagian termasuk kepada ibubapa sekali. Allah tahu siapa yang lebih layak terima maka kita kenalah terima sahaja. Kerana akal kita tidak dapat memikirkan perkara ini.
Kalau ikut diri kita sendiri, mungkin nak beri hanya kepada anak-anak sahaja atau ada yang nak beri kepada ibubapa sahaja. Allah ada hikmah kenapa diberikan pembahagian sebegitu rupa. Allah tahu apa yang manusia perlukan maka Allah telah mengubah amalan jahiliyah dimana harta hanya diberikan kepada anak-anak ke bawah, dan hanya diberikan kepada ibubapa jikalau ada wasiat.
Allah ubah perbuatan itu dengan menetapkan bahagian khusus untuk ibubapa juga. Jadi ada bahagian untuk anak dan ada bahagian untuk ibubapa juga.
فَرِيضَةً مِّنَ اللهِ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Pembahagian ini adalah ketetapan dari Allah dan tidak boleh ubahsuai. Lihatlah kalimah فَرِيضَةً (fardhu) yang digunakan dalam ayat ini. Dari kalimah فَرِيضَةً ini menjadi ‘faraid’ iaitu jamak (plural) bagi kalimah فَرِيضَةً.
Maka, jangan kita memandai nak ubah. Allah telah beri pembahagian ini kerana Allah yang Maha Mengetahui siapa yang patut dapat, dan Allah Maha Bijaksana dalam menentukan pembahagian itu.
Lalu, kalau ada manusia yang mengubah ketetapan ini, sengaja nak pakai formula yang baru, kononnya nak bagi sama rata, maka mereka sebenarnya telah telah mengubah ketetapan dari Allah dan itu samada jadi murtad, atau boleh jadi dosa besar.
Dia telah terkeluar dari Islam kalau dia ada iktikad pembahagian Allah ini tidak adil dan dia nak pakai pembahagian dia sendiri. Kerana dia telah menolak ayat-ayat Qur’an dan tidak percaya kepada sifat Adil Allah taala.
Kalau dia sedar tentang keadilan Allah ini tapi dia terpaksa bahagikan ikut cara pembahagian yang lain, maka ia menjadi dosa besar sahaja dan tidaklah terkeluar dari Islam.
Cara pembahagian harta ikut faraid adalah satu pelajaran yang agak kompleks yang memerlukan masa juga untuk memahaminya. Kita bolehlah berikan contoh Pembahagian Harta ini berdasarkan ayat-ayat yang ada di dalam Al-Qur’an:
Jika LELAKI mati dan dia meninggalkan waris,
🔷 Ibubapa (tiada isteri/anak)
🔸Ibunya mendapat 1/3 bahagian dari hartanya
🔸Bapa mendapat 2/3
🔷 Ibubapa dan adik-beradik (tiada isteri/anak)
🔸 Ibu mendapat 1/6
🔸 Bapa mendapat selebihnya (5/6)
🔷 Ibubapa, adik-beradik, isteri (tiada anak)
🔸Isteri mendapat 1/4
🔸Ibu mendapat 1/6
🔸Bapa mendapat 1/8 + baki
🔷 Ibubapa, adik-beradik, isteri, anak
🔸 Ibu mendapat 1/6
🔸 Bapa mendapat 1/6
🔸 Isteri mendapat 1/8
🔸 Anak mendapat selebihnya dengan nisbah (Lelaki : Perempuan) = (2 : 1)
Jika PEREMPUAN yang mati dan dia meninggalkan waris,
🔷 Ibubapa (tiada suami/anak)
🔸Ibu mendapat 1/3
🔸Bapa mendapat 2/3
🔷 Ibubapa dan adik-beradik (tiada suami/anak)
🔸 Ibu mendapat 1/6
🔸 Bapa mendapat selebihnya (5/6)
🔷 Ibubapa, adik-beradik, suami (tiada anak)
🔸Suami mendapat 1/2
🔸Ibu mendapat 1/8
🔸Bapa mendapat 1/6 + baki
🔷 Ibubapa, adik-beradik, suami, anak
🔸 Ibu mendapat 1/6
🔸 Bapa mendapat 1/6
🔸 Suami mendapat 1/4
🔸 Anak mendapat selebihnya dengan nisbah: (Lelaki : Perempuan) = (2 : 1)
Memang terdapat senario kedudukan ahli waris yang lebih kompleks dari ini dan ini memerlukan anda menemui sesiapa yang tahu tentang hal ini untuk mengirakan untuk anda. Kita tidak dapat selesaikan di sini kerana ianya adalah satu pembelajaran yang amat panjang.
Bahaya sekali kalau tidak tahu tentang cara pembahagian ini kerana ia berkait rapat dengan agama kita. Tapi memang ramai yang tidak tahu kerana tidak belajar. Dan memang Rasulullah ﷺ pun sudah beritahu yang ilmu faraid ini yang mula-mula akan diangkat (ramai orang tidak tahu). Ini seperti hadis-hadis dan atsar seperti di bawah tentang perkara ini:
1. Abdullah bin Amr bin Al-Ash –radhiyallahu ‘anhu- berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Ilmu itu ada tiga, selain yang tiga hanya bersifat tambahan (sekunder), yaitu ayat-ayat muhakkamah (yang jelas ketentuannya), sunnah Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam yang dilaksanakan, dan ilmu faraid.” (HR Ibnu Majah)
2. Ibnu Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu- berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang-orang, kerana aku adalah orang yang akan direnggut (wafat), sedang ilmu itu akan diangkat dan fitnah akan tampak, sehingga dua orang yang bertengkar tentang pembahagian warisan, mereka berdua tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan (menyelesaikan perselisihan pembagian hak waris) mereka.” (HR Imam Ahmad, At-Tirmidzi, dan Al-Hakim)
3. Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang lain, kerana sesungguhnya, ilmu faraid setengah ilmu; ia akan dilupakan, dan ia ilmu pertama yang akan diangkat dari umatku.” (HR Ibnu Majah dan Ad-Darquthni)
4. Dalam riwayat lain disebutkan, “Pelajarilah ilmu faraid, kerana ia termasuk bahagian dari agamamu dan setengah dari ilmu. Ilmu ini adalah yang pertama kali akan dicabut dari umatku.” (HR Ibnu Majah, Al-Hakim, dan Al-Baihaqi)
Kerana pentingnya ilmu faraid, para ulama sangat memperhatikan ilmu ini, sehingga mereka seringkali menghabiskan sebahagian waktu mereka untuk menelaah, mengajarkan, menuliskan kaedah-kaedah ilmu faraid, serta mengarang beberapa buku tentang faraid. Mereka melakukan hal ini kerana anjuran Rasulullah ﷺ di atas.
Ibnu Abbas –radhiyallahu ‘anhu- berkomentar tentang ayat Al-Qur`an yang berbunyi, “…Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (QS. Al-Anfaal: 73), menurut beliau makna ayat di atas adalah jika kita tidak melaksanakan pembagian harta warits sesuai yang diperintahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar.
Abu Musa Al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu- berkata, “Perumpamaan orang yang membaca Al-Qur`an dan tidak cekap (pandai) di dalam ilmu faraid, adalah seperti mantel yang tidak bertudung kepala.”
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 Jun 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
Mohon pencerahan 2 maksud tafsir ini (berkenaan dgn pengurusan jenazah). Sekali imbas seperti contradicting each other.
Ayat 7 : ‘Bagaimana dengan pengurusan jenazah si mati? Adakah diambil dari harta peninggalannya? Tidak boleh diambil kerana harta itu sudah jadi harta penerima pusaka. Kena diberikan kepada mereka dahulu dan kalau mereka hendak tanggung pengurusan jenazah, maka barulah boleh.’
Ayat 11 :
‘Satu lagi perkara yang perlu difikirkan adalah urusan pengebumian jenazah. Wang itu hendaklah diambil dari hartanya juga……………
Selepas urusan pengkebumian, barulah wang yang lebih itu digunakan untuk bayar hutang dan kalau ada lebih, bayar wasiat. Dan kalau ada lebih, barulah digunakan untuk dibahagian mengikut faraid.’
Ayat 7 mengatakan harta kena diberi kpd penerima pusaka dahulu tp ayat 11 mengatakan kalau ada lebih dari pengurusan jenazah baru dibahagi2kan. Maaf kalau sy tersilap faham.
LikeLike
Ma sha Allah, benar sekali. Terima kasih kerana nampak contradiction ini. saya akan betulkan.
LikeLike
Terima kasih Tuan.
Ayat 7 yg telah dikemaskini : ‘Bagaimana dengan pengurusan jenazah si mati? Adakah boleh diambil dari harta peninggalannya? Boleh diambil sebelum harta itu sudah dibahagikan sebagai harta pusaka.’
Maksudnya utk pengurusan jenazah, boleh diambil dari hartanya sebelum dibahagi sebagai harta pusaka i.e membawa maksud yg sama dgn ayat 11, betul?
LikeLike
betul.
LikeLike
Assalamu’alaikum wrt,
Bagaimana pula hukum fara’id kalau si mati itu seorang ibu tunggal (tiada suami) dan mempunyai hanya seorang anak lelaki….serta ibu bapa dan 4 adik beradik lelaki?
LikeLike
Secara kasarnya, 2/3 (atau 4/6) untuk anak lelaki itu. 1/6 untuk ibu dan 1/6 untuk bapa.
LikeLike
Jazakum Allahu khayran kerana sudi menjawab soalan saya! That’s what I thought too,,,so kenapa ustaz tulis, “Tidak disebut tentang kalau ada anak lelaki sahaja. Maka ulama feqah telah bersetuju yang kalau hanya ada anak lelaki sahaja, maka keseluruhan harta itu diberikan kepada anak lelaki itu sahaja.”?
LikeLike
Ini kalau tidak ada penerima zakat yang lain seperti ibu dan bapa
LikeLike
Assalamu’alaikum wrb,
Ustaz tulis: Jika LELAKI mati dan dia meninggalkan waris,
🔷 Ibubapa, adik-beradik, isteri (tiada anak)
🔸Isteri mendapat 1/4
🔸Ibu mendapat 1/6
🔸Bapa mendapat 1/8 + baki
Dalam scenario ini, setahu saya, Bapa seharusnya dapat 1/6 + baki …(dan bukan 1/8 + baki). Harap ustaz boleh clarify.
Jazakum Allahu khayran.
LikeLike
Ini bila anak tiada. jadi komposisi dah jadi lain.
LikeLike
Ya, saya faham,,,tetapi soalan saya – bukan kah jika si mati tidak ada anak, si bapa seharusnya dapat 1/6 + baki (dan bukan 1/8 + baki) seperti tertulis di atas?
LikeLike
Assalamu’alaikum ustaz! Apa yg ustaz tulis di sini bertentangan dgn carta yang ustaz lakar di https://celiktafsir.net/2016/01/14/nisa-ayat-12/ . Di dalam carta ini ustaz tulis jika si mati tidak mempunyai anak, si Bapa dapat 1/6 + Asobah (bukan 1/8 + baki seperti apa yg ustaz tulis di atas). Harap pencerahannya.
Jazakum Allahu khayran,
LikeLike
mungkin kalau bagi spesifik kes, boleh diberikan pencerahan. sebab kes lain-lain, kira pun lain-lain. kena tengok siapa lagi yang ada.
LikeLike
Assalamu’alaikum wrb ustaz.
Ustaz tulis:
Jika PEREMPUAN yang mati dan dia meninggalkan waris,
🔷 Ibubapa, adik-beradik, suami (tiada anak)
🔸Suami mendapat 1/2
🔸Ibu mendapat 1/8
🔸Bapa mendapat 1/6 + baki
Setahu saya, dalam scenario ini Ibu seharusnya dapat 1/6 (bukan 1/8). Harap ustaz boleh clarify.
Jazakum Allahu khayran!
LikeLike
ini pun kerana tidak ada anak. bila anak lelaki tidak ada, bapa (sebab dia lelaki) akan dapat lebih.
LikeLike
Ya, saya faham… tetapi dari resources lain yang saya refer to: Kalau si mati tidak ada anak, si Ibu dapat 1/6 (bukan 1/8 seperti ustaz tulis di atas) dan si bapa akan dapat 1/6 + baki ….bapa dapat lebih melalui baki. Sila lihat carta bahagian waris utama di : http://faraidh.blogspot.com/ Harap pencerahan nya,
Jazakum Allahu khayran.
LikeLike
Assalamualaikum Tn. Minta pencerahan. Tak sure mungkin ada ayat tentang kesahihan atau applicable wasiat.
Issue saya, arwah emak saya pernah bersetuju dgn saya untuk disedekahkan 1/3 dari wang simpananya dan selebihnya di berikan pada anak anak bila dia mati nanti. Adakah ini ditakrifkan sebagai wasiat dari simati untuk direalisasikan oleh anak anak? Masaalahnya, masa dilafazkan nya, hanya kpd saya seorang, tiada saksi lain tetapi saya ada rekod perbualan itu. Bolehkah recording itu dimainkan kpd anak2 yg lain untuk sama sama mereka tunaikan permintaan atau “wasiat” ibu saya itu. Kami anak beranak sedang dalam proses pergi ke pusaka kecil untuk bicara kuasa. Terima Kasih.
LikeLike
Ya ini termasuk wasiat yang perlu ditunaikan sebelum dibahagikan harta pusaka. Inilah kepentingan perkara sebegini ditulis atau direkodkan. Alhamdulillah ada recording itu. harap-harap anak-anak boleh terima.
LikeLike