Ayat 7: Ayat tabshir.
وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم وَلَنَجزِيَنَّهُم أَحسَنَ الَّذي كانوا يَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who believe and do righteous deeds – We will surely remove from them their misdeeds and will surely reward them according to the best of what they used to do.
(MELAYU)
Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.
وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ
Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
Surah ini adalah Surah Makkiyyah jadi amalan-amalan seperti solat, zakat dan juga Haji belum ada lagi. Banyak hukum dan undang-undang agama disampaikan di Madinah. Maka apakah yang dimaksudkan dengan ‘amal-amal soleh’ di dalam ayat ini?
Yang dimaksudkan adalah amal kesabaran mereka menerima dugaan untuk menyampaikan agama tauhid bersama-sama dengan Rasulullah.
Para sahabat diingatkan untuk beriman. Dan beriman itu hendaklah ‘iman sempurna’ iaitu tidak ada fahaman dan amalan yang syirik. Kena belajar wahyu baru tahu mana tauhid dan mana syirik. Malangnya ramai yang tidak belajar wahyu Al-Qur’an dan kerana itu tidak tahu perkara ini.
Kemudian memang selalu disebut amal yang soleh selepas disebut akidah. Amal yang soleh itu mestilah amal yang ada kaitan dengan sunnah Rasulullah dan para sahabat. Jangan pula amalkan amalan bidaah pula. Kena belajarlah mana amalan bidaah. Ini pun ramai lagi yang masih tidak faham. Maka kena belajar hadith untuk tahu mana satu bidaah dan mana yang tidak.
Amal pula bukanlah amalan fizikal sahaja, tapi dengan hati, akal dan lidah juga. Amal hati dan akal adalah dengan mempunyai niat yang baik dan fahaman yang benar ikut sunnah. Amal lidah pula adalah dengan berdakwah dan dengan berkata dengan benar dan tidak menipu langsung.
Apakah kesannya kalau melakukan semua perkara itu?
لَنُكَفِّرَنَّ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم
benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka
Kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, segala perbuatan buruk dan dosa yang mereka lakukan sebelum itu akan ditanam dan dihilangkan. Akan dikambus semula sekali, maksudnya akan diampunkan.
Kita memang amat berharap pengampunan ini kerana kita akan dapat masuk syurga kalau segala dosa kita diampunkan. Kerana kita masuk neraka kerana kita ada dosa sahaja. Kalau semua dosa kita diampunkan, maka tidak ada keperluan lagi kita masuk neraka.
وَلَنَجزِيَنَّهُم أَحسَنَ الَّذي كانوا يَعمَلونَ
dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.
Dan mereka akan dibalas dengan amalan mereka yang paling baik. Atau balasan yang lebih baik dari amalan mereka. Bayangkan, amalan manusia bukannya banyak, tapi Allah balas berlipat kali ganda.
Ia juga boleh bermaksud Allah akan balas segala amal baiknya berdasarkan kepada amalnya yang ‘terbaik’. Contohnya, segala solatnya akan dibalas mengikut markah satu solatnya paling baik.
Ayat 8: Ayat 8 dan 9 adalah Perenggan Makro 2a. Ia mengajar kita berbuat baik dengan ibubapa tetapi jangan tunduk kepada kesyirikan mereka. Baik dengan mereka tidak semestinya ikut amalan dan fahaman syirik mereka.
Para sahabat bukan sahaja menerima dugaan fizikal tetapi mereka juga menerima dugaan dari sudut psikologi. Sebagai contoh, ada seorang sahabat yang bernama Sa’ad bin Abi Waqqas yang telah masuk Islam di Mekah. Waktu itu beliau beliau berumur 18 atau 19 tahun. Ibunya bernama Hamnah, anak Sufyan bin Umayyah (sepupu Abu Sufyan). Sa’ad amat rapat dengan ibunya tetapi apabila ibunya tahu yang dia telah masuk Islam, ibunya tidak redha dan telah mengancam untuk tidak makan kerana dia tidak suka dengan perbuatan Sa’ad itu.
Oleh kerana sangat sayang kepada ibunya maka perbuatan ibunya itu amat menyentuh hatinya kerana walaupun ibunya itu seorang musyrik, tetapi dia amat sayang kepada ibunya itu dan ibunya memang layak untuk menerima penghormatan darinya. Kerana walaupun ibu seorang kafir, tapi tetap layak mendapat penghormatan dan kasih sayang dari anaknya walaupun anak itu seorang Muslim. Orang yang masuk Islam kena faham perkara ini.
Oleh itu, kadang-kadang kita juga mengalami masalah seperti ini, dimana ada konflik antara taat kepada Allah dan taat kepada ibu bapa. Maka sekarang Allah menurunkan ayat berkenaan dengan ibu bapa.
وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ حُسنًا ۖ وَإِن جٰهَداكَ لِتُشرِكَ بي ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ فَلا تُطِعهُما ۚ إِلَيَّ مَرجِعُكُم فَأُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We have enjoined upon man goodness to parents. But if they endeavor to make you associate with Me that of which you have no knowledge,¹ do not obey them. To Me is your return, and I will inform you about what you used to do.
- i.e., no knowledge of its divinity. There can be no knowledge about something which is non-existent or untrue.
(MELAYU)
Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu-bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ حُسنًا
Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu-bapanya.
Allah telah berikan wasiat yang penting untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Banyak sekali ayat-ayat sebegini menunjukkan kepentingannya yang amat besar.
Dan selalunya Allah sebut kebaikan kepada ibubapa itu selepas sebut tentang tauhid. Maknanya, selepas taat kepada Allah, yang keduanya kena taat kepada ibubapa pula. Tapi taat itu ada hadnya. Bukan sentiasa kena taat.
وَإِن جٰهَداكَ لِتُشرِكَ بي ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ فَلا تُطِعهُما
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya.
Tetapi jikalau ibu bapa itu ber’jihad’ (berusaha bersungguh-sungguh) dengan menyuruh bersungguh-sungguh kepada kita untuk melakukan amalan syirik yang memang tiada dalil untuk melakukannya, maka kita tidak boleh taat kepada ibu bapa. Kena kembali kepada taat yang pertama iaitu taat kepada Allah. Dan Allah telah larang dari buat syirik.
Jadi ini adalah masalah yang dihadapi dari dulu lagi, kerana kadang-kadang ibu bapa suruh anaknya buat perkara-perkara yang tidak patut. Mereka suruh buat benda salah, tetapi mereka kata kita kena taat juga kepada mereka.
Seperti contohnya kena tolong ibu bapa di kedai jual arak. Ini bukan syirik dalam ibadah tetapi syirik di dalam taat di mana mereka suruh kita taat kepada mereka walaupun sebenarnya kita kena taat kepada Allah yang utama. Maka tidak boleh dalam maksiat kepada Allah. Tidak boleh syirik kerana ibubapa dan tidak boleh buat dosa kerana ibubapa.
Kadang-kadang ibu bapa menyuruh kita untuk melakukan perkara-perkara yang melibatkan riba dan sebagainya. Dan di dalam masa yang sama, mereka memang pandai menggunakan kata-kata kerana mereka ibu bapa kita dan tahu di mana tempat-tempat yang kita lemah.
Contohnya mereka kata: “itulah… kamu dah tak mahu nak dengar cakap aku lagi… dah lupa gamaknya aku yang lahirkan kamu dulu….”. Begitulah yang dilakukan oleh ibu Saad bin Abi Waqqas seperti yang disebut dalam satu hadis:
Imam Turmuzi mengatakan sehubungan dengan tafsir ayat ini, bahawa telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Basysyar, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnul Musanna, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ja’far, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Sammak ibnu Harb yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Mus’ab ibnu Sa’d menceritakan hadis berikut dari ayahnya (iaitu Sa’d) yang mengatakan, telah diturunkan empat buah ayat berkenaan dengan peristiwa yang dialaminya, lalu dia menceritakan kisahnya. Antara lain dia menceritakan bahawa ibunya (iaitu Ummu Sa’d) pernah berkata kepadanya, “Bukankah Allah telah memerintahkan kepadamu untuk berbakti kepada ibumu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan juga tidak akan minum hingga aku mati atau kamu mahu kafir.”
Sa’d melanjutkan kisahnya, bahawa keluarganya bila hendak memberi makan ibunya terpaksa harus membukakan mulutnya dengan paksa. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. (Al-‘Ankabut: 8), hingga akhir ayat.
Hadis ini diriwayatkan pula oleh Imam Muslim, Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan Imam Nasai; Imam Turmuzi mengatakan bahawa hadis ini hasan sahih.
Jadi ibu Sa’ad pandai menggunakan hujah. Dia kata, kalau Sa’ad tidak taat kepadanya, maka Sa’ad tidak taat kepada Allahlah kerana Allah juga suruh seorang anak taat kepada ibubapa. Kerana itulah Sa’ad kebingungan dan beliau mengadu kepada Rasulullah dan kerana itulah ayat ini diturunkan.
Itu adalah hujah yang salah dan tidak boleh diikuti. Maka, dalam maksiat dan dosa, tidak boleh taat kepada arahan ibubapa. Tetapi di awal ayat ini, Allah telah suruh kita berbuat baik dengan mereka. Jadi ini amat susah kerana kita tidak boleh taat kepada suruhan mereka yang salah itu, tetapi kita tetap kena berbuat baik dengan mereka.
Kenapa susah pula? Kerana kalau kita boleh tolak arahan mereka begitu sahaja maka senanglah, seperti kita tolak suruhan dan ajakan kawan-kawan kita. Tetapi jikalau ibu bapa yang suruh, maka kita memang susah hati. Kerana kita kena tolak dalam masa yang sama kena tetap menjaga hati mereka.
Tetapi kita masih tetap kena lakukannya kerana suruhan dan larangan Allah lebih utama daripada suruhan ibu bapa. Tapi kita tetap kena bercakap dengan baik dan lemah lembut dengan mereka walaupun dalam menolak.
Allah juga telah beritahu bagaimana Nabi Ibrahim itu walaupun ayahnya pembuat berhala tetapi baginda masih tetap bercakap dengan baik kepada bapanya itu.
Maka, kalau ajaran salah ibubapa sendiri pun tidak boleh ikut, apatah lagi kalau fahaman orang lain. Maka, janganlah kita nak jaga hubungan kita dengan kawan-kawan, dengan masyarakat, sampai kita sanggup nak tinggalkan ajaran yang benar.
Maka, janganlah berat hati sangat kalau kena pulau kalau kita tidak pergi ke Kenduri Arwah atau Majlis Tahlilan atau Selamatan orang lain. Memang kita kena jaga juga hubungan dengan keluarga, kawan dan masyarakat, tapi tidaklah sampai menggadaikan agama.
إِلَيَّ مَرجِعُكُم
Hanya kepada-Ku-lah kembalimu,
Dan Allah ingatkan yang kita akan datang mengadapNya nanti. Hidup kamu bukan di dunia sahaja. Ingatlah nanti yang kamu akan mati dan kena mengadap Allah. Pertalian kamu dengan ibubapamu akan putus, tapi pertalian kamu dengan Allah tidak akan putus.
فَأُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
lalu Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
Dan bila berjumpa dengan Allah nanti, Allah akan tanya bagaimana kita menangani perkara ini dan jikalau kita taat kepada ibu bapa dan tidak taat kepada Allah, bagaimana kita akan jawab kepadaNya nanti?
Jadi walaupun susah nak tolak permintaan dan arahan dari ibubapa, maka ingatlah yang nak jawab kepada Allah nanti lagi susah.
Ayat 9: Ayat tabshir. Apakah balasan bagi mereka yang sanggup taat kepada Allah dan melebihi taat kepada ibubapa mereka?
وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَنُدخِلَنَّهُم فِي الصّٰلِحينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who believe and do righteous deeds – We will surely admit them among the righteous [into Paradise].
(MELAYU)
Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh benar-benar akan Kami masukkan mereka ke dalam (golongan) orang-orang yang soleh.
وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh
Jadi apabila kita sudah mula kenal kepada Islam dan hendak mengamalkan ajaran-ajaran Islam, maka satu masalah yang kita akan hadapi adalah orang akan pelik melihat kita. Boleh jadi kawan-kawan kita yang kita sudah kenal daripada kecil lagi atau ia juga boleh jadi ahli keluarga kita sendiri.
Ini kerana kita sudah lain dari dulu. Kita sudah beriman dan beramal soleh. Kita mula jaga solat dan mula simpan janggut dan mereka akan hairan dan pelik melihat kita. Tetapi kita masih tetap kena mengamalkan agama Islam dan mengamalkan amalan yang soleh.
Apakah balasannya?
لَنُدخِلَنَّهُم فِي الصّٰلِحينَ
benar-benar akan Kami masukkan mereka ke dalam (golongan) orang-orang yang soleh.
Allah janjikan kepada mereka yang tetap menjaga agamanya dan mengamalkan amalan yang soleh, Dia akan masukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Akan diberikan kawan-kawan yang boleh bawa kita ke dalam jalan yang benar.
Ada kadang kita jumpa mereka itu di tempat pengajian, di masjid dan sebagainya. Baru sahaja berjumpa terus boleh jadi kawan rapat kerana sama pegangan dan firqah. Maka ini adalah satu nikmat kalau dapat berkawan dengan orang yang soleh.
Kalau kita lihat ayat-ayat lain selalunya Allah kata mereka ini akan dimasukkan ke dalam syurga, bukan? Tetapi di dalam ayat ini Allah kata akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang soleh pula, dan ini lain daripada biasa.
Ini adalah kerana kelebihan ayat ini adalah ianya untuk dunia dan juga akhirat, kerana kalau syurga itu untuk akhirat sahaja. Maksudnya Allah akan beri kawan-kawan baru kepada kita kerana kawan-kawan lama kita yang tidak dapat menerima kita sudah tidak mahu berkawan dengan kita lagi. Tapi jangan takut kerana kita akan dapat kawan-kawan yang lain.
Ayat 10: Ayat 10 – 13 adalah Perenggan Makro 2b. Ia mengajar umat Islam jangan menurut arahan para pemimpin secara buta. Kalau sebelum ini jangan taat kepada ibubapa dengan buta, sekarang dengan pemimpin pula.
Ayat 10 ini adalah ayat zajrun. Iaitu teguran kepada orang yang berkata mereka telah beriman tetapi mereka tidak sabar. Ini tidak boleh kerana jikalau kita mengharapkan janji daripada Allah maka hendaklah kita bersabar. Mereka yang tidak sabar itu adalah munafik. Jadi ini adalah tentang orang-orang munafik.
وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ فَإِذا أوذِيَ فِي اللهِ جَعَلَ فِتنَةَ النّاسِ كَعَذابِ اللهِ وَلَئِن جاءَ نَصرٌ مِّن رَّبِّكَ لَيَقولُنَّ إِنّا كُنّا مَعَكُم ۚ أَوَلَيسَ اللهُ بِأَعلَمَ بِما في صُدورِ العٰلَمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And of the people are some who say, “We believe in Allāh,” but when one [of them] is harmed for [the cause of] Allāh, they consider the trial [i.e., harm] of the people as [if it were] the punishment of Allāh. But if victory comes from your Lord, they say, “Indeed, We were with you.” Is not Allāh most knowing of what is within the breasts of the worlds [i.e., all creatures]?
(MELAYU)
Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”, maka apabila dia disakiti (kerana ia beriman) kepada Allah, dia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah. Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah bersertamu”. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?
وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ
Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”,
Ada manusia yang kata beriman kepada Allah dengan mulut mereka. Mereka itu bercakap dengan mulut sahaja, tapi tidak masuk ke dalam hati mereka. Iman tidak masuk ke dalam hati mereka. Tapi mereka sudah mengaku yang mereka beriman ke merata tempat.
Dari segi bahasa, ada sesuatu yang boleh kita lihat. Yang berkata itu seorang sahaja, tapi dia menggunakan kalimah ‘kami’, kerana dia hendak memasukkan dirinya ke dalam golongan orang-orang beriman. Dia hendak mewujudkan semangat kekitaan dengan orang yang benar-benar beriman. Seolah-olah dia nak berkata bagi pihak orang beriman: “kita ini beriman kan?”.
فَإِذا أوذِيَ فِي اللهِ
dan apabila dia disakiti (kerana dia beriman) kepada Allah,
Apabila mereka sudah mengaku yang mereka beriman, maka ada pihak yang menyakiti mereka. Kalau semasa di Mekah itu, mereka telah dikenakan dengan seksaan. Sama ada seksaan dalam bentuk fizikal atau mental. Di awal surah ini telah disebut yang orang beriman akan diuji, bukan?
Begitu juga dalam zaman sekarang, kalau mengaku golongan Sunnah, kena teruk juga. Kena kutuk, kena tohmah dan kena pulau. Ini juga dugaan kepada kita yang hendak mengamalkan sunnah di dalam masyarakat yang mengamalkan ajaran bidaah.
جَعَلَ فِتنَةَ النّاسِ كَعَذابِ اللهِ
dia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah.
Apabila mereka kena seksa, mereka membuat sangkaan yang salah, iaitu mereka kata azab yang mereka kena itu adalah azab dari Allah.
Atau, mereka sangka, azab yang mereka dapat dari manusia itu seolah-olah sudah tahap azab Allah. Padahal azab Allah lagi teruk dari apa yang dikenakan oleh manusia itu. Tapi orang munafik itu tidak dapat bezakan. Takut sangat dengan cacian dari manusia.
Golongan munafik itu tidak tahan dengan serangan yang dikenakan kepada mereka. Dan kerana itu mereka kata ini bukanlah agama yang baik. Mereka sangka yang jikalau agama Islam ini benar, maka tentulah selepas mereka mengucap Syahadah kehidupan mereka akan berubah menjadi lebih senang, lebih mudah dan lebih bahagia.
Itu sangkaan dan andaian mereka sahaja. Tetapi seperti yang disebut di awal surah ini, ujian tetap akan dikenakan kepada mereka yang beriman.
Begitulah ujian daripada Allah untuk membuktikan keimanan kita di mana kadang-kadang ada yang ditinggalkan isteri, ada yang kehilangan keluarga dan ada yang kehilangan perniagaan dan sebagainya. Semua ujian ini adalah untuk melihat sama ada mereka benar-benar beriman ataupun tidak. Kerana iman ini bukan murah dan perlu melalui ujian untuk mendapatkannya. Takkan nak senang sahaja, bukan?
وَلَئِن جاءَ نَصرٌ مِّن رَّبِّكَ لَيَقولُنَّ إِنّا كُنّا مَعَكُم
Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah besertamu”.
Dan apabila orang Islam mendapat kemenangan dan kesenangan, maka golongan munafik itu akan kata yang mereka bersama-sama dengan orang mukmin yang lain. Maknanya, mereka beriman semasa senang sahaja. Bila nampak ada kelebihan dan ada untung, baru nak mengaku beriman.
Ingatlah yang surah ini adalah Surah Makkiyyah. Ini menunjukkan bahawa ada juga dari kalangan orang-orang Islam di Mekah itu yang lemah iman mereka dan melihat kepada keadaan juga. Kalau keadaan senang, mereka nak jadi Muslim. Bila keadaan susah, mereka tidak mahu beriman.
Jadi maknanya di Mekah juga sudah ada golongan munafik. Iaitu mereka yang masuk Islam tetapi tidak sanggup untuk bersama-sama menerima dugaan. Ramai dari kalangan kita yang sangka, golongan munafik itu di Madinah sahaja. Tapi rupanya di Mekah lagi sudah ada.
أَوَلَيسَ اللهُ بِأَعلَمَ بِما في صُدورِ العٰلَمينَ
Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua semua alam?
Semua alam yang dimaksudkan adalah manusia dan jin. Ini adalah kerana dua jenis makhluk ini yang dikenakan dengan tanggungjawab syariat.
Allah mengingatkan manusia bahawa Dia tahu apa yang berada di dalam dada manusia. Tak payah nak mengaku dengan mulut sahaja beriman, kerana Allah tahu apa yang sebenarnya dalam dada manusia. Allah tahu sebenarnya kita beriman atau tidak.
Ini penting difahami kerana iman dan juga sifat nifak ini adalah perkara dalam hati dan hanya Allah sahaja yang tahu. Maka, jangan kata seseorang itu mukmin atau seseorang itu munafik. Kerana kita tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia. Malangnya, ada yang pandai-pandai melabelkan orang lain. Macamlah mereka dapat baca apa yang dalam hati manusia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi