Pengenalan:
Dalam surah Qasas sebelum ini telah diberitahu bahawa untuk menegakkan agama Islam, kena berani dakwah dan kena berkorban. Tetapi dalam surah itu ianya ditujukan kepada pemimpin. Sedangkan di dalam Surah Ankabut ini ia memberi peringatan yang sama kepada seluruh umat Islam. Maknanya, semua umat Islam kena bersedia untuk berkorban.
Apabila umat Islam hendak menegakkan agama, maka akan datang dua perkara kepadanya; dan yang pertama adalah musibah. Tidak ada orang yang membawa ajaran tauhid ini yang tidak didatangi dengan musibah. Itu adalah ujian dari Allah.
Kalau tak ajar dan tidak dakwah ajaran agama yang benar, tentu tiada orang kacau dia. Ramai yang sudah tahu kebenaran, tapi tidak sebarkan dan tidak sampaikan kepada orang lain, maka mereka selamat sahaja. Tapi mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai seorang yang berilmu.
Yang keduanya, Allah hendak memberitahu yang semua golongan penentang akhirnya akan binasa. Bukan di awal tapi di akhirnya. Maknanya, mereka mungkin nampak kuat dan berpengaruh, mereka nampak dapat mengalahkan, tapi mereka akan binasa akhirnya.
Jadi, itulah dua Dakwa yang ada dalam surah ini. Kedua-dua Dakwa ini dalam bab Risalah (Dakwa ada tiga – sama ada Tauhid, Risalah dan Akhirat). Allah hendak memberitahu dalam surah ini yang Nabi yang menyampaikan risalah ini akan kena uji dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda juga akan menerima musibah ujian itu.
Surah ini terbahagi kepada dua bahagian:
Bahagian pertama surah ini dari ayat 1 hingga ayat 40: mengandungi dua Dakwa. Ada tujuh peristiwa kisah para Nabi di dalam bahagian pertama ini. Tiga kisah pertama adalah untuk Dakwa pertama dan empat kisah yang seterusnya adalah untuk Dakwa yang kedua.
Bahagian kedua surah ini dari ayat 41 hingga akhir surah membawa Dakwa Tauhid pula, iaitu kehebatan tauhid dan kelemahan pegangan syirik. Ayat Dakwa ini terdapat pada ayat yang mengandungi kalimah ‘ankabut’ (nama surah ini yang bermaksud labah-labah). Allah hendak memberitahu yang akidah selain akidah tauhid seperti sarang labah-labah sahaja (tidak kukuh).
Dalam Surah Qasas sebelum ini telah diberi isyarat yang Nabi Muhammad akan meninggalkan Mekah sebagaimana Nabi Musa meninggalkan Mesir dan kembali. Ini juga sebagaimana Nabi Muhammad juga akan dapat kembali ke Mekah. Surah ini pula menceritakan kepada kita kenapa Rasulullah perlu meninggalkan Mekah itu. Begitulah ada sambungan dan kaitan antara surah-surah yang bersebelahan.
Apabila Nabi Muhammad mula menyampaikan dakwah baginda, maka penduduk Mekah merasakan yang ini adalah ajaran yang pelik. Mereka menolak baginda tapi lama kelamaan mereka melihat yang Nabi Muhammad tetap terus menjalankan dakwahnya dan sudah mula ramai orang yang masuk Islam dan berpihak kepada baginda.
Penentang baginda kemudiannya telah melakukan berbagai-bagai perkara untuk menjatuhkan nama baginda tetapi tidak berjaya. Akhir sekali mereka telah mengajak baginda berkompromi tetapi itu pun tidak diterima oleh baginda. Akhirnya mereka sudah sampai kepada tahap di mana mereka menindas orang-orang yang mahu mengamalkan Islam. Maka surah ini diturunkan pada masa ini di mana keadaan sudah teruk kepada Nabi dan para sahabat. Ia diturunkan pada Peringkat ketiga di Mekah iaitu antara tahun 6-10 Kenabian.
Mungkin ramai yang sangka bahawa kejayaan pertama umat Islam adalah semasa Perang Badr di mana umat Islam telah menang di dalam peperangan dengan Musyrikin Mekah. Tetapi kejayaan umat Islam sebenarnya telah bermula di Mekah lagi dan akan disebut di dalam surah ini. Waktu ini ramai para sahabat yang ditindas dan diseksa sampai menyebabkan nyawa mereka terbunuh seperti Bilal, Yasir dan Khabbab. Maka memang mereka menerima ancaman yang teruk dan para sahabat kehairanan kenapa mereka dilayan sebegitu dan mereka berjumpa Rasul mengadukan hal mereka dan surah ini diturunkan.
Ayat 1: Surah ini mengandungi 8 Perenggan Makro dan Perenggan Makro Pertama adalah dari ayat 1 – 7. Ia mengajar kita yang ujian pasti datang ke atas orang beriman. Ini adalah untuk membezakan siapa yang benar dan siapa yang berdusta.
الم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-‘Ankabūt: The Spider.
Alif, Lām, Meem.¹
- See footnote to 2:1.
(MELAYU)
Alif laam miim
Ini adalah Ayat Mutashabihat dan kita telah bincangkan dalam surah-surah yang lain. Kita tidak tahu apakah maksudnya kerana tiada dalil tentang perkara ini. Maka kita hanya dapat tafsir ayat-ayat selepas ini sahaja. Boleh lihat perbincangan dalam Surah Ghafir.
Ayat 2: Ini adalah ayat Dakwa Pertama iaitu umat Islam yang ikut ajaran Nabi dengan benar juga akan turut menderita. Ini adalah ujian dari Allah kepada mereka.
أَحَسِبَ النّاسُ أَن يُترَكوا أَن يَقولوا ءآمَنّا وَهُم لا يُفتَنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Do the people think that they will be left to say, “We believe” and they will not be tried?
(MELAYU)
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?
Istifham atau kata tanya dalam ayat ini menunjukkan makna sanggahan. Adakah manusia sangka bahawa mereka cukup dengan hanya berkata mereka sudah beriman dan mereka tidak dikenakan dengan ujian?
Adakah umat Islam sangka senang sahaja untuk mereka masuk ke dalam syurga? Hanya dengan cakap: “aku sudah beriman, aku sudah masuk Islam”? Harga iman dan harga syurga itu amat mahal, tidak murah. Tidak cukup dengan mengaku beriman dengan mulut sahaja, sudah pasti dapat masuk syurga.
Kena bersedia untuk menerima ujian sebagai orang beriman. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:
{أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ}
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar? (Ali Imran: 142)
Kalimah يُفتَنونَ adalah dari فتن iaitu satu proses dimana emas dibakar untuk mengasingkan kekotoran daripada emas itu. Ini adalah supaya kita dapat emas yang benar-benar tulen tidak bercampur dengan bahan asing.
Amat tepat sekali kalimah ini digunakan kerana sesiapa sahaja yang mahu beriman akan pasti diuji (seperti dibakar itu) dan mereka akan dibalas di atas kesabaran mereka itu (mendapat emas yang tulen). Dan memang kadang-kadang ujian itu dirasakan seperti api, sepertimana emas sedang dibakar.
Kalau Muslim di Mekah pada zaman itu seorang hamba abdi, maka dia akan diseksa. Kalau dia seorang peniaga, maka dia akan dipulau dan dilarang orang dari pergi ke kedainya. Kalau dia orang bangsawan pun, kaumnya sendiri akan kutuk dan kacau dia. Memang amat susah sekali hidup seorang Muslim waktu itu.
Jadi Allah memberitahu kepada para sahabat yang sedang diseksa itu dan yang sedang menerima penindasan, bahawa itu adalah ujian daripada Allah kerana tidak cukup mereka mengatakan mereka beriman sahaja, tanpa diuji.
Maknanya, mereka kena sabar dengan ujian-ujian yang dikenakan kepada mereka. Memang dugaan pasti akan ada seperti telah disebutkan di dalam hadis sahih yang mengatakan:
“أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاءً الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ، يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي الْبَلَاءِ”
Manusia yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian orang-orang soleh, lalu orang yang terkemuka. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya; jika agamanya kuat, maka ujiannya diperberat pula.
Apabila para sahabat berkata mereka beriman, itu maksudnya dalam hati mereka sendiri mereka hendak ikut apa sahaja yang disampaikan oleh Nabi. Jangan bercakap sahaja dalam hati tapi tidak ditunjukkan dengan amalan seharian.
Sudahlah ujian yang dikenakan kepada mereka itu amat teruk, dan ia lebih menekan lagi kerana mereka tidak boleh membalas kepada penindas mereka kerana tidak mendapat kebenaran daripada Allah untuk balas lagi. Ia tidak sama dengan Perang Badr di mana waktu itu umat Islam telah diberi kebenaran dan mereka boleh balas dendam. Tapi waktu penindasan di Mekah, para sahabat tidak boleh balas langsung.
Umat Islam waktu itu meminta supaya mereka diberi kebenaran untuk mempertahankan diri mereka dan balas balik tetapi ia tidak dibenarkan kerana waktu ini memerlukan konsep Passive Revolution. Kerana waktu itu mereka masih lemah dan tidak dapat balas lagi dan jikalau mereka balas dengan kekerasan juga, maka ia akan merosakkan nama Islam waktu itu.
Kalau mereka gunakan kekerasan, nanti orang akan kata mereka itu puak yang ganas (pengganas). Kerana jikalau mereka balas juga, maka pemuka-pemuka Quraisy akan menuduh yang pengikut Nabi Muhammad itu adalah golongan pemberontak dan hendak membuat kerosakan. Oleh itu, ramai-ramai dari kalangan orang Mekah ada terus menentang umat Islam waktu itu.
Sedangkan, apabila mereka tidak melawan, maka akan ada hati yang lembut terhadap umat Islam waktu itu. Mereka akan perasan yang umat Islam itu tidak ada salah apa-apa pun, baik sahaja. Kerana itulah nanti apabila Pembukaan Mekah, ramai sekali manusia masuk Islam berbondong-bondong kerana mereka memang tidak ada masalah dengan umat Islam.
Tapi waktu itu, mereka yang tidak sanggup untuk menerima tekanan dan penindasan itu, mereka tidak sanggup untuk beriman dengan Nabi Muhammad walaupun waktu itu pun mereka telah sedar dalam hati mereka yang apa yang disampaikan oleh baginda itu adalah benar dan baginda benar-benar seorang Rasul.
Bukan Muslim zaman Mekah dan Madinah sahaja yang kena ujian. Kita umat Islam zaman sekarang pun dikenakan ujian. Kalau hendak mengamalkan agama yang benar, memang akan ada ujian. Kerana itu kalau kita hendak mengamalkan Sunnah, memang payah dan selalu dikutuk. Ramai penentang dan benci kepada kita. Antaranya mereka akan pulau kita dan beri gelaran wahabi kepada kita.
Ayat 3: Ayat Tasliah.
وَلَقَد فَتَنَّا الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۖ فَلَيَعلَمَنَّ اللهُ الَّذينَ صَدَقوا وَلَيَعلَمَنَّ الكٰذِبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But We have certainly tried those before them, and Allāh will surely make evident those who are truthful, and He will surely make evident the liars.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
وَلَقَد فَتَنَّا الَّذينَ مِن قَبلِهِم
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,
Bukan para sahabat di Mekah itu sahaja yang dikenakan dengan ujian yang berat, tetapi Allah memberitahu bahawa kaum-kaum sebelum mereka juga telah dikenakan dengan dugaan-dugaan yang besar.
Ini adalah tasliah (pujukan). Ini adalah kerana apabila kita tahu ada orang yang lain yang kena musibah sama macam kita kena, maka tentulah kita akan melegakan kita sedikit. Tidaklah kita rasa kita sahaja yang kena. Maka inilah yang dinamakan tasliah (pujukan) dari Allah.
Hal yang sama disebutkan di dalam Surah Taubah, dan di dalam Surah Al-Baqarah disebutkan oleh firman-Nya:
{أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ}
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah: 214)
Umat Islam di Mekah itu kena membuktikan keimanan mereka dengan melalui dugaan-dugaan yang amat berat. Bayangkan kesusahan yang mereka alami kerana cubaan kepada mereka itu adalah dalam bentuk fizikal. Sampai ada yang mati kerana diseksa.
Jadi kalau kita kena kutuk ataupun kena tuduh dan tohmah, itu tidaklah sama kalau dibandingkan dengan perkara yang lebih teruk yang telah dikenakan kepada para sahabat waktu itu. Jadi kalau dituduh sebagai ‘wahabi’, senyum sahajalah. Anggap sahaja mereka yang menggelar itu jahil dan belum tahu kebenaran lagi. Sudah jadi tugas kita untuk mengajar mereka.
Dan bukanlah dugaan itu dikenakan kepada orang-orang di Mekah sahaja. Tapi para sahabat di Madinah juga menerima dugaan juga apabila mereka kena berdepan dengan Yahudi dan penentang di Madinah; mereka juga menerima ujian di medan perang seperti di Badr dan di Uhud. Allah ingatkan yang orang-orang sebelum mereka juga telah diuji iaitu para sahabat di Mekah.
Dan kita juga, apabila baca ayat ini, ingatlah tentang kesusahan dan ujian yang telah dihadapi oleh umat Islam sebelum kita. Takkan mereka susah, kita pula hidup senang lenang sahaja untuk mengamalkan Islam ini?
فَلَيَعلَمَنَّ اللهُ الَّذينَ صَدَقوا
maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar
Dengan cara dikenakan dengan ujian itu, bolehlah dizahirkan siapakah yang benar-benar beriman. Dalam ayat ini, seolah-olah dengan cara ujian itu, barulah Allah tahu siapakah yang benar-benar beriman. Ini adalah fahaman yang salah.
Kita kena sedar yang Allah memang sudah tahu apa yang di dalam hati manusia dan kerana itu Allah tidak perlu buat ujian pun untuk tahu siapakah yang benar-benar beriman. Tapi Allah beri ujian itu bukanlah untuk tahu siapakah yang beriman sebenar dan tidak, tetapi untuk zahirkan kepada manusia yang lain sahaja.
وَلَيَعلَمَنَّ الكٰذِبينَ
dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
Dan dengan dugaan itu akan menzahirkan siapa yang hanya berdusta sahaja dengan mengucap Syahadah tetapi sebenarnya mereka tidaklah benar-benar beriman. Kerana ada orang yang suka-suka sahaja masuk ke dalam Islam kerana ada kelebihan yang mereka nampak. Tetapi kalau ada ujian, mereka tidak sanggup dan akan meninggalkan Islam begitu sahaja.
Lagi satu tafsir, Allah memang tahu apa yang dalam diri manusia itu. Allah telah tahu potensi yang ada dalam diri manusia itu. Tapi orang itu kena keluarkan potensi itu sendiri. Dia kena buktikan. Setelah dibuktikan, baru dia layak untuk menerima syurga. Dan potensi itu boleh dikeluarkan dengan melalui ujian yang menguji keimanannya. Bila sudah lepas, maka imannya akan bertambah kuat.
Dan Allah juga tahu potensi yang ada dalam diri seorang yang jahat. Tapi selagi orang itu tidak keluarkan, maka dia tidak boleh lagi dihukum di neraka. Maka kalau dia sudah kena ujian dan dia telah gagal, barulah jelas nanti apabila dia kena azab di akhirat. Kerana memang dia telah buat kesalahan semasa di dunia.
Ayat 4: Ini adalah Dakwa yang kedua di mana Allah hendak memberitahu, orang yang menentang tauhid ini jangan sangka yang mereka akan dibiarkan begitu sahaja. Mereka akhirnya akan binasa walaupun pada awalnya mereka itu mungkin orang besar dan berkuasa. Apabila mereka sudah hampir mati nanti mereka akan menemui kehancuran.
أَم حَسِبَ الَّذينَ يَعمَلونَ السَّيِّئَاتِ أَن يَسبِقونا ۚ ساءَ ما يَحكُمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Or do those who do evil deeds think they can outrun [i.e., escape] Us? Evil is what they judge.
(MELAYU)
Ataukah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahawa mereka akan luput (dari azab) Kami? Amatlah buruk apa yang mereka sangkakan itu.
أَم حَسِبَ الَّذينَ يَعمَلونَ السَّيِّئَاتِ أَن يَسبِقونا
Ataukah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahawa mereka akan luput (dari azab) Kami?
Apabila orang Islam ditindas, maka mereka rasa ketidakadilan di mana seolah-olah orang-orang kafir yang melakukan penindasan itu lepas begitu sahaja. Dan begitu juga kalau zaman sekarang kita lihat bagaimana orang kafir menentang Islam dan nampak seperti mereka tidak kena apa pun. Maka ada orang Islam yang mempersoalkan keadilan Allah Taala.
Allah beritahu dalam ayat ini, adakah orang yang melakukan penindasan itu sangka yang mereka boleh lepas dari Allah? Kalimah سبق bermaksud mendahului di dalam lumba lari dan membawa maksud ‘melepaskan diri’. Maknanya tidak dapat lari dari azab Allah. Mana nak lari lagi?
Atau, adakah mereka sangka mereka boleh mengalahkan kehendak Allah untuk memenangkan agamaNya?
ساءَ ما يَحكُمونَ
Amatlah buruk apa yang mereka sangkakan itu.
Buruk sekali sangkaan mereka yang sangka mereka akan terlepas begitu sahaja. Kalau mereka sangka yang mereka boleh selamat, maka sangkaan mereka itu amat buruk sekali. Akan terkejutlah mereka nanti apabila mereka dikenakan dengan azab yang teruk nanti.
Ayat 5: Ayat ini ada hubungan dengan Dakwa yang pertama (iman akan diuji).
مَن كانَ يَرجو لِقاءَ اللهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللهِ لَآتٍ ۚ وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Whoever should hope for the meeting with Allāh – indeed, the term [decreed by] Allāh is coming. And He is the Hearing, the Knowing.
(MELAYU)
Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang. Dan Dialah Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
مَن كانَ يَرجو لِقاءَ اللهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللهِ لَآتٍ
Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang.
Allah hendak memberitahu kepada umat Islam bahawa tidak perlu fikirkan untuk balas dendam kerana Allah sendiri marah dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang kafir itu dan Allah sendiri yang akan balas.
Sebaliknya Allah suruh umat Islam fokus kepada pertemuan dengan Allah Ta’ala di hari akhirat kelak dan Allah memberitahu yang pertemuan itu pasti. Pertemuan itu sangat dekat di mana hanya tunggu mati sahaja.
Pertemuan dengan Allah ini adalah sesuatu yang kita perlu harapkan kerana semua manusia akan mati tetapi ada manusia yang malang yang Allah tidak mahu untuk bertemu pun tetapi kepada orang yang beriman Allah akan berjumpa dengan mereka dengan kasih sayang.
Nikmat bertemu dengan Allah adalah satu nikmat yang amat amat besar di mana ia lebih lagi daripada segala nikmat-nikmat yang manusia akan dapat di syurga kelak. Maka walaupun kehidupan di dunia ini agak susah kerana ditindas, dihina dan dicemuh, maka janganlah risau sangat kerana sekejap sahaja musibah di dunia ini. Tak lama lagi akan bertemu dengan Allah.
Ia juga bermaksud, jangan tangguh untuk melakukan kebaikan. Kerana masa untuk bertemu dengan Allah tidak lama lagi, tidak ada masa nak tunggu, nak tangguh. Kalau tangguh, maka memang akan rugi. Jangan sangka yang kita ada masa yang lama untuk buat itu dan buat ini. Masa kita di dunia ini sekejap sahaja.
وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ
Dan Dia Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah dengar doa-doa yang disampaikan oleh mereka yang dizalimi itu, bukannya Allah tidak tahu. Allah dengar juga kata-kata jahat dari penentang Islam itu.
Allah melihat apa perkara yang berlaku dan apa yang dikenakan kepada orang-orang Islam yang hendak menegakkan agamaNya. Allah lihat apa sahaja perbuatan Musyrikin Mekah yang menindas umat Islam itu.
Allah lihat dan Allah nampak, bukannya Allah biarkan begitu sahaja. Segala kesusahan dan kesabaran yang dilalui oleh kita itu akan menerima balasan yang baik nanti, bukannya percuma sahaja.
Ayat 6:
وَمَن جٰهَدَ فَإِنَّما يُجٰهِدُ لِنَفسِهِ ۚ إِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ عَنِ العٰلَمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And whoever strives only strives for [the benefit of] himself. Indeed, Allāh is Free from need of the worlds.
(MELAYU)
Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.
وَمَن جٰهَدَ فَإِنَّما يُجٰهِدُ لِنَفسِهِ
Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri.
Ini adalah ‘jihad sabar’ dimana para sahabat semasa di Mekah itu telah ditindas tetapi mereka sabar menerimanya dan tidak balas balik. Dan Allah kata ini juga sebagai satu jihad. Maka jangan kita sangka yang jihad itu dalam bentuk berperang sahaja kerana umat Islam waktu di Mekah itu tidak dibenarkan lagi untuk berperang. Mereka terus berdakwah dan mereka terus sabar ditindas.
Dan tentunya jihad jenis ini lebih susah lagi untuk diamalkan. Tapi para sahabat telah melakukannya. Bayangkan, jikalau para sahabat tidak sabar semasa mereka di Mekah, maka Islam tidak dapat berkembang dan tidak ada jihad perang yang akan diberikan kepada mereka nanti semasa Badr dan peperangan-peperangan yang seterusnya.
Apakah kepentingan sabar mereka itu? Oleh kerana para sahabat tidak balas balik penindasan yang dikenakan kepada mereka, maka ada ramai penyokong umat Islam waktu itu kerana mereka melihat dengan mata mereka sendiri bagaimana orang-orang Muslim itu tidak ada salahnya pada mereka; dan mereka tidak nampak kenapa umat Islam waktu itu ditindas.
Mereka juga nampak bahawa apa yang disampaikan oleh umat Islam waktu itu memang perkara-perkara yang baik belaka. Walaupun mereka mungkin tidak masuk Islam lagi waktu itu, tetapi kebanyakan daripada puak Quraisy itu tidak mengganggu umat Islam pun.
Mereka berada di atas pagar sahaja. Jadi mereka sudah ada perasaan lembut terhadap umat Islam dan ini akan memudahkan dakwah Islam kepada mereka nanti.
Jadi Allah beritahu di dalam ayat ini bahawa mereka yang berjihad dengan sabar, tidak balas dendam, mereka akan mendapat pahala kelebihan untuk diri mereka sendiri. Kebaikan itu adalah untuk mereka sendiri. Mereka yang akan dapat habuannya. Bukannya kelebihan itu untuk Allah kerana Allah tidak perlukan apa-apa dari kita.
Satu lagi pendapat melihat kepada maksud ‘jihad’ itu sebagai melawan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Dan apabila tidak disebut siapakah yang kena dilawan, maka ia bermaksud banyak sekali benda yang kena lawan.
Dan inilah yang dialami oleh seorang mukmin. Dia bukan sahaja kena lawan syaitan, tapi nafsunya juga. Dia bukan sahaja kena lawan dirinya, tapi orang lain juga yang hendak mengajaknya kepada kejahatan. Dia kena lawan dengan pihak berkuasa yang menindas dan menjauhkannya dari agama.
Dan jihad ini bukan sekejap sahaja, tapi seluruh hidupnya. Maka ini adalah jihad yang amat besar. Mungkin kita tidak pernah atau tidak akan pegang pedang atau senapang, tapi kita sentiasa berjihad sebenarnya.
إِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ عَنِ العٰلَمينَ
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.
Para sahabat di Mekah itu itu hero para Muslim. Nama mereka disebut-sebut sampai sekarang dan sampai Kiamat nanti. Kerana mereka imannya amat hebat. Tidak ada kelebihan masuk Islam dari segi keduniaan waktu itu, tapi mereka sanggup masuk Islam dan sanggup terima kebenaran.
Tak sama dengan keadaan di Madinah. Kerana di Madinah nanti, ada kelebihan kalau masuk Islam kerana Islam kuat di Madinah. Tak masuk Islam di Madinah yang nampak pelik. Tapi semasa di Mekah, masuk Islam adalah membahayakan.
Tapi hebat macam mana pun, apa yang mereka lakukan dan sabar itu bukannya untuk Allah kerana Allah tidak perlukan iman mereka. Ianya tetap kelebihan untuk diri mereka sendiri.
Mereka sendiri yang akan mendapat kelebihan daripada kesabaran itu dimana iman mereka akan meningkat dan redha mereka semakin tinggi dan mereka akan mendapat segala balasan yang dijanjikan oleh Allah di syurga nanti.
Dalam keadaan kita sekarang kesabaran itu mungkin bermakna sabar di dalam menyampaikan agama Allah ini. Zaman sekarang pun susah juga untuk sampaikan ajaran Islam yang benar kerana banyak tentangan. Orang yang hendak kepada ajaran Al-Qur’an dan Sunnah pula yang dilihat sebagai pelik dan asing dari masyarakat.
Paling mudah sekali, mereka yang jahil mengatakan kita ini golongan ‘Wahabi’. Ini amat pelik sekali kerana dari mana datangnya istilah itu pun kita tidak dapat pastikan. Mereka kata begitu kerana jahil sahaja dan kita kena sabar dengan kata-kata mereka.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi