Tafsir Surah Baqarah Ayat 131 – 134 (Wasiat kepada anak cucu)

Ayat 131: Apabila diajak ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, puak Yahudi ada alasan pula. Mereka kata Nabi mereka pesan jangan mati melainkan ikut ajaran Nabi Musa عليه السلام. Jadi mereka kata mereka terikat dengan wasiat itu.

Maka Allah ‎ﷻ menjelaskan bahawa tidak ada wasiat sebegitu. Apa yang mereka kata itu adalah dakwaan kosong sahaja. Wasiat yang ada adalah mengikut tauhid sahaja. Dari segi cara amalan, tidak ada. Sedangkan ada dalam kitab mereka pun suruh ikut Nabi akhir zaman.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mulakan tentang apakah agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Allah ‎ﷻ jelaskan yang sebenarnya.

إِذ قالَ لَهُ رَبُّهُ أَسلِم ۖ قالَ أَسلَمتُ لِرَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

Sahih International

When his Lord said to him, “Submit”, he said “I have submitted [in Islam] to the Lord of the worlds.”

Malay

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

 

إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ

Ketika Tuhannya berkata kepada Nabi Ibrahim:

Inilah sebenarnya ajaran dan suruhan terpenting dari Allah ‎ﷻ kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka Allah ﷻ sampaikan kepada kita supaya golongan Ahli Kitab sedar tentangnya.

 

أَسْلِمْ

Serahkanlah diri;

Makna Islam itu bermakna ‘serah diri kepada Allah ‎ﷻ’. Sanggup mengesakan Allah ‎ﷻ bulat-bulat, 100%. Serah diri kepada Allah ‎ﷻ dalam tauhid dan amal. Iaitu menjalankan segala arahan-Nya tanpa soal.

Tetapi kita sekarang tafsir Islam ini sebagai ‘selamat’ sahaja. Maknanya, itu adalah tafsiran yang tidak lengkap lagi. Sebenarnya, maksudnya yang lebih tepat adalah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Apabila kita serahkan diri kepada Allah ‎ﷻ, bermakna kita menjadi hamba kepada-Nya. Apa sahaja arahan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita, kita terima dan kita amalkan tanpa soal. Bila kita buat begitu, barulah kita akan ‘selamat’.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mula memberi isyarat tentang ‘Islam’. Iaitu hendak memberitahu kepada Ahli Kitab bahawa Islamlah agama yang sebenar. Memang semua agama Allah ‎ﷻ dari zaman Nabi Adam عليه السلام lagi dinamakan ‘Islam’. Tetapi golongan agama merekalah yang ubah nama kepada ‘Yahudi’ dan ‘Kristian’. Kerana mereka telah ubah agama mereka, nama pun mereka sudah ubah.

 

قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

Kata Nabi Ibrahim: Sesungguhnya aku berserah diri bulat-bulat kepada Tuhan yang mencipta, menjaga sekalian alam.

Nabi Ibrahim عليه السلام menjawab ajakan Allah ‎ﷻ dengan menggunakan perkataan أَسْلَمْتُ (aku telah menyerah diri). Perkataan itu dalam “past tense”. Kenapa Nabi Ibrahim عليه السلام buat begitu? Ini adalah keindahan bahasa Al-Qur’an.

Kalau dikatakan dalam “past tense”, itu menunjukkan lebih pasti lagi. Kalau digunakan dalam “present tense:, ada kemungkinan keislamannya itu tidak kekal. Kalau dalam bahasa Inggeris, kita boleh katakan ia bemaksud “It’s a done deal”. 

Nabi Ibrahim عليه السلام juga menggunakan kata رَبِّ dalam kata-katanya. Ini kerana baginda hendak menekankan bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan dan baginda adalah hamba Allah ‎ﷻ. Inilah ringkasan Al-Qur’an [Kita hamba Allah ‎ﷻ; dan Allah ‎ﷻ rabb kita].

Kenapakah kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dibawa dalam ayat ini? Surah Baqarah ini ditujukan kepada Ahli Kitab dan ia berkenaan mereka. Mereka kenal siapakah Nabi Ibrahim عليه السلام itu. Mereka pun terima baginda sebagai Rasul yang agung. Dan kerana karektor Nabi Ibrahim عليه السلام ini dikenali oleh Ahli Kitab dan juga orang Islam sendiri.

Jadi Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام kepada semua orang. Allah ‎ﷻ kenalkan siapa baginda dan apakah pegangan agama baginda.  Oleh itu, Islamlah pegangan agama Nabi Ibrahim عليه السلام.


 

Ayat 132:

وَوَصّىٰ بِها إِبرٰهِـۧمُ بَنيهِ وَيَعقوبُ يَـٰبَنِىَّ إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ لَكُمُ الدّينَ فَلا تَموتُنَّ إِلّا وَأَنتُم مُّسلِمونَ

Sahih International

And Abraham instructed his sons [to do the same] and [so did] Jacob, [saying], “O my sons, indeed Allah has chosen for you this religion, so do not die except while you are Muslims.”

Malay

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

 

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبرٰهِـۧمُ بَنِيهِ

Nabi Ibrahim mewasiatkan perkara yang sama kepada anaknya;

Baginda sampaikan ajaran agama dan terutama sekali pegangan akidah kepada anak-anak baginda. Maka beginilah yang kita kena lakukan. Kena ajar anak-anak kita. Berikan mereka pegangan agama yang benar.

Malangnya, perkara ini banyak yang culas di kalangan ibubapa. Mereka tidak mengendahkan pengetahuan agama anak-anak. Ini adalah kerana mereka sendiri amat rendah pemahaman agama mereka.

 

وَيَعْقُوبُ

dan (begitu juga yang dilakukan oleh) Nabi Ya’qub:

Nabi Ya’qub عليه السلام (cucu Nabi Ibrahim) telah mengikut langkah Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda juga telah menyampaikan pegangan agama ini kepada keturunan baginda.

Apakah kata-kata mereka?

 

يَـٰبَنِىَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ

wahai anakku, sesungguhnya Allah sudah memilih ugama untuk kamu.

Agama yang hanya diterima dan diredhai oleh Allah ‎ﷻ adalah Islam sahaja. Jangan kita kata agama-agama lain sama sahaja. Itu adalah salah kerana agama yang hanya diterima adalah Islam sahaja. Memang agama-agama lain ada kebaikannya, tetapi tidak lengkap. Tidak diterima oleh Allah ‎ﷻ.

Apabila digunakan perkataan لَكُمُ – ‘untuk kamu’ – itu bermaksud ia diberikan dalam bentuk rahmat dari Allah ‎ﷻ kerana digunakan huruf jar ل (untuk). Berbeza kalau digunakan dalam bentuk ‘عليكم’ (ke atas kamu) – kalau dalam bentuk itu, ia bermaksud satu tanggungjawab. Dalam ayat ini, apabila Allah ‎ﷻ menggunakan huruf ل, Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa agama Islam itu diberikan kepada kita sebagai satu rahmat kepada kita.

Siapakah anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام? Mereka terdiri daripada Nabi Yusuf عليه السلام, Bunyamin dan 10 lagi adik-beradiknya yang lain. 10 adik-beradiknya yang lain itu telah disebut kisah mereka tentang apa yang telah mereka lakukan kepada Nabi Ya’qub عليه السلام dan Nabi Yusuf عليه السلام (dalam Surah Yusuf). Mereka telah meninggalkan Nabi Yusuf عليه السلام di dalam telaga kerana mereka dengki kepada baginda. Kemudian mereka telah menipu bapa mereka – Nabi Ya’qub عليه السلام. Ini diceritakan dengan panjang lebar dalam Surah Yusuf.

Kalau kita lihat keturunan mereka, tentulah kita rasa mereka sepatutnya menjadi orang yang baik, kerana bapa mereka Nabi, datuk mereka Nabi (Nabi Ishak عليه السلام) dan moyang mereka juga Nabi (Nabi Ibrahim عليه السلام).

Namun hakikatnya mereka tidak begitu. Maka ini mengajar kita, tidak ada jaminan kalau keturunan baik, seseorang itu akan menjadi baik juga. Iman tidak boleh diwarisi. Seseorang itu kena cari sendiri.

Maka janganlah kita terus percaya kepada seseorang itu jikalau dia dikatakan dari keturunan ulama’ terdahulu termasuklah kalau dia dikatakan seseorang itu daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Kena tengok dahulu apakah yang dilakukannya dan apakah ajaran yang dibawanya.

 

فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُونَ

Maka jangan sekali-kali kamu mati melainkan kamu dalam keadaan berserah diri bulat kepada Allah.

Nabi Ya’qub عليه السلام telah berdoa dan juga menasihati anak-anak baginda. Tidak cukup kalau kita hanya mendoakan sahaja keselamatan dan keimanan keturunan kita. Kita kena juga bagi nasihat kepada mereka.

Kita memang risaukan tentang apakah agama anak cucu kita nanti. Jangan tidak ambil kisah langsung. Apa yang kita boleh buat adalah memberi mereka pendidikan yang sempurna dan kemudian menasihati mereka dari masa ke semasa. Kita hanya boleh buat yang terbaik yang kita mampu lakukan. Selepas itu, terpulang kepada mereka.

Akhirnya, anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام telah bertaubat dan menjadi insan yang baik dan beriman. Jangan pula kita kutuk mereka. Apa yang terjadi kepada mereka adalah pengajaran buat kita.

Kita dapat tahu tentang wasiat Nabi Ibrahim عليه السلام kepada anaknya ini daripada Al-Qur’an kerana Tuhan beritahu dalam Al-Qur’an dan kita belajar tafsir Al-Qur’an. Oleh itu, lihatlah wasiat yang diberikan oleh para Nabi yang disebut di atas. Ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ sebutkan wasiat mereka dalam ayat ini. Kita sendiri kena wasiat kepada anak-anak kita pun begini juga.

Dan kita sendiri jangan mati melainkan dalam berserah diri kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu tidak buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana yang dikira adalah iman kita ketika kita di ambang maut. Hanya sesiapa yang tidak berbuat syirik sahaja akan dapat menerima doa daripada anak mereka. Kalau mereka ada berbuat syirik, walaupun anak mereka mendoakan untuk mereka, tetapi tidak diterima doa itu. Alangkah ruginya kalau begitu.

Satu pengajaran daripada ayat-ayat ini adalah: Kita kena ajar wasiat itu kepada anak-anak kita. Dalam Surah Luqman juga, kita belajar bagaimana Luqman mewasiatkan kepada anaknya supaya jangan mati melainkan dalam agama Islam.

Maka kerana itu apabila anak kita hampir masuk akil baligh, kena ajar kepada mereka tentang agama. Ajar mereka siapa Tuhan dan siapa Nabi. Kemudian ajar mereka mengucap. Supaya mereka masuk Islam di hadapan kita secara rasmi.

Memang keturunan mereka memang sudah Muslim, tetapi kita hendakkan mereka masuk Islam secara rasmi. Iaitu masuk Islam dalam keadaan mereka faham siapakah Tuhan dan apakah itu Islam. Bukan sebab emak ayah dia Muslim. Kita dulu mungkin tidak ada yang buat begitu kepada kita.  Tidak ada sesiapa ajar kita maksud syahadah itu dengan benar. Sampaikan kita tidak tahu bila kita dahulu mula masuk Islam (Siapa ingat bilakah dia masuk Islam?)

Maka ingatlah untuk mengajar syahadah kepada anak-anak kita. Kalau kita tidak buat begitu, ada kemungkinan mereka tidak sayang kepada agama kerana mereka tidak faham dan sangka itu adalah ‘agama keturunan’ sahaja. Inilah kefahaman kebanyakan masyarakat kita sekarang. Mereka melihat agama ini sebagai keturunan sahaja, tidak tahu langsung bab agama.

Lihatlah digunakan perkataan ‘Muslim’ sekali lagi dalam ayat ini juga. Penggunaan kalimah Muslim dan Islam banyak digunakan sekarang dan dalam berbagai-bagai cara. Semuanya untuk memberi isyarat kepada Bani Israil supaya masuk Islam. Mereka kena sedar yang Islamlah agama sebenar dan itulah agama sebenar tok nenek mereka pun.


 

Ayat 133: Beginilah cara Nabi Ya’qub عليه السلام memberi wasiat agama kepada anak-anak baginda. Dan lihat bagaimana jawapan anak-anak baginda.

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ إِلٰهًا وٰحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

Sahih International

Or were you witnesses when death approached Jacob, when he said to his sons, “What will you worship after me?” They said, “We will worship your God and the God of your fathers, Abraham and Ishmael and Isaac – one God. And we are Muslims [in submission] to Him.”

Malay

(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

 

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ

Adakah kamu hadir ketika ajal sudah hampir kepada Nabi Ya’qub?

Setelah diberitahu tentang wasiat Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام itu, Ahli Kitab jawab yang wasiat baginda lain, bukan begitu. Maka, Allah ‎ﷻ tanya kembali kepada mereka, adakah mereka hadir waktu wasiat itu disampaikan? Atau mereka pakai dengar-dengar sahaja apa yang disampaikan oleh pendeta-pendeta mereka?

Sekarang, Allah ‎ﷻ tanya soalan ini kepada kita pula. Adakah kita hadir waktu itu? Tentulah kita tidak ada masa itu. Tuhan tanya itu kerana hendak memberitahu kepada kita. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beritahu, kita pun tidak tahu.

Ketika telah datang alamat-alamat kematian kepada Nabi Ya’qub ‎عليه السلام, baginda telah memanggil kesemua anak-anaknya.

 

إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ

Ketika Nabi Ya’qub berkata kepada anaknya:

Nabi Ya’qub عليه السلام adalah cucu kepada Nabi Ibrahim عليه السلام, anak kepada Nabi Ishak عليه السلام. Ada 12 orang anaknya semua sekali.

 

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي

“Apakah yang kamu akan sembah selepas aku?”

Maksud ‘selepas aku’ adalah ‘selepas aku mati’.

Perkara penting yang ditanya oleh Nabi Ya’qub عليه السلام kepada anak-anaknya adalah apakah yang mereka akan sembah apabila baginda sudah tiada nanti. Baginda menggunakan perkataan مَا تَعْبُدُونَ – *apakah* yang akan kamu sembah –

Kalau baginda tanya *siapakah* yang kamu akan sembah, tentulah mereka sudah tahu jawapannya – Allah ‎ﷻ. Tetapi Nabi Ya’qub عليه السلام menggunakan perkataan ‘apa’ kerana manusia boleh menyembah macam-macam – berhala, harta, perempuan, pangkat dan sebagainya.

Perkataan مِنْ بَعْدِي – selepas aku tiada – itu bermaksud suatu jangkamasa yang lama sesudah baginda tiada di dunia ini. Itulah yang dirisaukan oleh baginda. Kerana baginda tahu, kalau selepas baginda mati sahaja, tentulah anak-anaknya masih akan sembah Tuhan.

Tetapi kalau lama selepas itu bagaimana? Belum tentu lagi. Jadi baginda hendak pastikan yang walaupun baginda sudah lama mati, mereka akan hanya menyembah Allah ‎ﷻ. Baginda beri wasiat supaya mereka ingat wasiat bapa mereka. Wasiat adalah pesanan yang penting untuk disampaikan kepada orang lain.

 

قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ

Anak-anaknya jawab: “Kami sembah Tuhan kamu dan Tuhan kepada datuk nenek kamu Ibrahim dan Ismail dan Ishak

Inilah tanda yang anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام itu beriman belaka. Maka jangan kita kutuk mereka.

Menarik jawapan mereka itu: mereka kata mereka akan menyembah Tuhan, Tuhan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام, Nabi Ismail عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام. Ini menunjukkan Tuhan kepada semua Nabi itu adalah Tuhan yang sama. Bukan lain-lain – bukanlah Tuhan Nabi Ibrahim عليه السلام lain dan Tuhan Nabi Ya’qub عليه السلام lain.

Ini adalah tempelak kepada Ahli Kitab yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ daripada rumpun yang sama. Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa Tuhan kepada semua Nabi-Nabi itu termasuk Nabi Muhammad ﷺ adalah Tuhan yang sama.

 

إِلَٰهًا وٰحِدًا

Iaitu Tuhan yang satu

Tuhan yang sama – Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tekankan bahawa ilah hanya ada Satu sahaja, iaitu Allah ‎ﷻ. Sebagaimana yang telah diterima juga oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dan keturunan baginda, keturunan Nabi Ya’qub عليه السلام. Maka Yahudi dan Nasara sebenarnya ikut siapa? Takkan tidak ikut pegangan akidah Nabi-nabi mereka sendiri?

 

وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

dan adalah kami kepada Tuhan itu berserah diri bulat-bulat”

Yang memberi jawapan sebegini adalah anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام. Satu lagi nama Nabi Ya’qub عليه السلام adalah ‘Israil’. Bermakna, mereka itu semua adalah Bani Israil – Anak-anak Israil – anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام.

Nabi Ya’qub عليه السلام mempunyai 12 orang anak, maka Bani Israil ada 12 suku semuanya. Anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام yang 12 orang itu telah mengatakan bahawa mereka itu ‘Muslim’. Jadi apa alasan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ untuk tidak mahu menerima Islam, sedangkan datuk nenek mereka sendiri mengaku bahawa mereka adalah Muslim?

Bani Israil tidak menerima Islam kerana mereka telah lupa apakah pegangan agama nenek moyang mereka dahulu. Begitu juga orang Islam sekarang. Kita telah lupa apakah pegangan agama datuk nenek kita dahulu. Agama kita adalah agama Islam yang tulen. Tetapi oleh kerana kita telah lama dijajah oleh Barat, maka mereka telah mencemarkan agama kita. Mereka telah memasukkan budaya mereka ke dalam masyarakat kita. Sampaikan kita menjadi keliru.

Contohnya, kita boleh lihat bagaimana majlis perkahwinan kita telah ada elemen-elemen barat. Budaya agama Hindu pun ada juga. Kita sudah tidak pasti mana satu amalan agama yang benar. Barat telah mengajar datuk nenek kita untuk hanya mengamalkan Islam dalam hal-hal tertentu sahaja – semasa nikah, semasa mati dan sebagainya – tetapi dalam perkara yang lain, pegang sedikit-sedikit sahaja. Jadi keturunan kita sebelum ini, tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya.

Maka, kita pun sangka begitulah amalan agama yang benar. Padahal, ia tidak begitu. Kalau kita hendak mengamalkan amalan Islam yang sebenar, tidak mahu terlibat dalam persandingan majlis perkahwinan contohnya, ramai yang melenting marah dan kata kita tidak sayangkan adat Melayu. Padahal, bersanding itu tidak ada dalam adat Islam. Kalau kita pergi jauh lagi sebelum zaman mereka, kita akan nampak bagaimana keturunan kita yang dahulu mengamalkan Islam yang lebih tulen.

Maka, anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام itu adalah orang yang baik-baik. Itu adalah keturunan Bani Israil dan mereka berbangga dengan keturunan mereka itu. Tetapi, janganlah kita hanya bercakap tentang kehebatan orang terdahulu. Kita pun kenalah juga amalkan sebagaimana mereka juga. Kena tengok apakah akidah dan agama mereka supaya kita boleh ikut rapat.


 

Ayat 134:

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم مّا كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

That was a nation which has passed on. It will have [the consequence of] what it earned, and you will have what you have earned. And you will not be asked about what they used to do.

Malay

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

 

تِلْكَ أُمَّةٌ

Itulah suatu umat:

Iaitu dari Nabi Ibrahim عليه السلام, Nabi Ishak عليه السلام, Nabi Ismail عليه السلام dan seterusnya; mereka itu telah mengesakan Allah ‎ﷻ. Mereka di dalam satu pegangan akidah yang sama.

 

قَدْ خَلَتْ

zaman mereka telah berlalu;

Bani Israil amat berbangga dengan keturunan mereka yang dahulu. Mereka sentiasa mengajar anak-anak mereka tentang kisah umat-umat yang terdahulu. Tetapi kisah mereka telah lama berlalu.

 

لَهَا مَا كَسَبَتْ

bagi mereka balasan dari apa yang mereka lakukan

Umat-umat terdahulu itu telah melakukan amalan-amalan mereka. Mereka akan mendapat balasan daripada amalan-amalan mereka. Kalau mereka buat baik, mereka akan mendapat balasan baik.

 

وَلَكُمْ مَّا كَسَبْتُمْ

dan bagi kamu akan dapat balasan dari apa yang kamu lakukan

Amalan umat terdahulu adalah untuk mereka. Balasan untuk kita pula adalah apa yang kita lakukan. Kita tidak akan mendapat habuan daripada amalan umat-umat terdahulu itu. Kita kena buat amalan kita sendiri.

Maka jangan berbangga sangat kalau kita keturunan Nabi, keturunan ulama’ itu dan ini, tetapi pegangan agama kita salah. Ramai yang berbangga dan rasa selamat kalau mereka keturunan orang alim, orang baik-baik.

 

وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan kamu tidak akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan;

Kita tidak akan ditanya tentang apa yang umat-umat terdahulu telah lakukan. Yang kita kena tanya adalah amalan kita sahaja. Itu sahaja yang akan ditanya. Jangan kita jadi macam Bani Israil yang hanya berbangga dengan amalan datuk nenek mereka, tetapi lupa hendak berbuat amalan baik untuk diri mereka sendiri.

Banyak antara kita hanya menceritakan tentang kehebatan ulama’-ulama’ terdahulu, keturunan kita yang dahulu, namun lupa tentang diri kita sendiri. Kita ceritakan tentang Tok Kenali contohnya, tetapi kita tidak mengikut jejak langkahnya. Tidak ada siapa pun tanya siapa datuk nenek mereka terdahulu pun.

Begitu juga salah faham dengan golongan Habib sekarang. Ramai yang sedang ikut mereka tanpa usul periksa. Ini adalah salah kerana tidak semestinya apa yang mereka bawakan itu benar walaupun mereka keturunan Nabi pun. Orang jahil sahaja yang mahu mengikuti mereka – iaitu mereka yang tidak tahu agama sendiri sampaikan ajaran yang sesat pun boleh diterima.

Kita juga tidak perlu hendak fikirkan apa yang jadi kepada golongan terdahulu yang tidak mengamalkan sunnah, tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan sebagainya. Memang bukan tanggungjawab kita untuk tahu. Mereka akan dapat balasan mereka dan kita akan dapat balasan atas perbuatan kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 6 Disember 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 131 – 134 (Wasiat kepada anak cucu)”

      1. Minta maaf, setting saya yang buatkan saya ingat ada glitch, sebab saya tukar phone. Glitch yang dimaksudkan tu adalah ayat Qur’an tu jadi Bahasa Inggeris. Rupanya setting Google saya yang suruh translate semua Arabic jadi English. Setting tu default. Phone sebelum ni saya dah tukar. Afwan, memang silap saya. BarakAllahu feekum.

        Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s