Ayat 100:
وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ وَخَرّوا لَهُ سُجَّدًا ۖ وَقالَ يا أَبَتِ هٰذا تَأويلُ رُؤيايَ مِن قَبلُ قَد جَعَلَها رَبّي حَقًّا ۖ وَقَد أَحسَنَ بي إِذ أَخرَجَني مِنَ السِّجنِ وَجاءَ بِكُم مِنَ البَدوِ مِن بَعدِ أَن نَزَغَ الشَّيطانُ بَيني وَبَينَ إِخوَتي ۚ إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ ۚ إِنَّهُ هُوَ العَليمُ الحَكيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And he raised his parents upon the throne, and they bowed to him in prostration.¹ And he said, “O my father, this is the explanation of my vision of before. My Lord has made it reality. And He was certainly good to me when He took me out of prison and brought you [here] from bedouin life after Satan had induced [estrangement] between me and my brothers. Indeed, my Lord is Subtle in what He wills. Indeed, it is He who is the Knowing, the Wise.
- That of greeting and respect, which was lawful until the time of Prophet Muḥammad (ṣ). Prostration to any person or object other than Allāh was then prohibited conclusively.
(MALAY)
Dan dia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ
Dan ia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana.
Nabi Yusuf عليه السلام menaikkan ibubapa baginda ke pentas/singgahsana. Kalau dalam mimpi baginda yang disebut di awal surah ini, mereka berdua inilah yang diisyaratkan sebagai matahari dan bulan.
وَخَرّوا لَهُ سُجَّدًا
Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf.
Ibu bapa Nabi Yusuf عليه السلام, adik beradiknya semua sujud kepada baginda. Ini adalah sebagai sujud penghormatan dan waktu itu tidak haram lagi, maka boleh dilakukan. Hal ini masih diperbolehkan di dalam syariat mereka, bilamana memberikan salam penghormatan kepada orang besar, yakni boleh bersujud kepadanya. Hal ini diperbolehkan sejak zaman Nabi Adam عليه السلام sampai kepada syariat Nabi Isa عليه السلام.
Kemudian dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, hal ini telah diharamkan, dan hanya dikhususkan kepada Allah ﷻ Tuhan sekalian alam. Demikianlah ringkasan dari apa yang dikatakan oleh Qatadah dan lain-lainnya.
Di dalam sebuah hadith disebutkan bahawa ketika Mu’az رضي الله عنه tiba di negeri Syam, beliau mendapati mereka masih bersujud kepada uskup-uskup mereka. Ketika Mu’az رضي الله عنه bersujud kepada Rasulullah ﷺ, Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah yang engkau lakukan ini, hai Mu’az?” Mu’az رضي الله عنه menjawab, “Sesungguhnya aku melihat penduduk negeri Syam bersujud kepada uskup-uskup mereka, maka engkau lebih berhak untuk disujudi, wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
“لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ، لَأَمَرْتُ الزَّوْجَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا مِنْ عِظم حَقِّهِ عَلَيْهَا”
Seandainya aku memerintahkan kepada seseorang untuk bersujud kepada orang lain, tentu aku akan perintahkan kepada wanita untuk bersujud kepada suaminya, kerana hak suaminya atas dirinya sangatlah besar.
Di dalam hadith lain disebutkan bahawa Salman رضي الله عنه bersua dengan Nabi ﷺ di salah satu jalan kota Madinah; saat itu Salman رضي الله عنه baru masuk Islam, maka beliau bersujud kepada Nabi ﷺ (sebagai penghormatan kepadanya). Nabi ﷺ bersabda membantah:
“لَا تَسْجُدْ لِي يَا سَلْمَانُ، وَاسْجُدْ لِلْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ”
Hai Salman, janganlah kamu sujud kepadaku. Bersujudlah kepada Tuhan Yang Hidup, Yang tak pernah mati.
Keterangan ini dimaksudkan untuk menunjukkan bahawa bersujud dalam penghormatan kepada seorang pembesar diperbolehkan dalam syariat mereka.
وَقالَ يا أَبَتِ هٰذا تَأويلُ رُؤيايَ مِن قَبلُ
Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu;
Nabi Yusuf عليه السلام berkata kepada Nabi Ya’qub عليه السلام, inilah takwil mimpi baginda dahulu, iaitu semasa baginda masih kecil lagi. Mimpi itu telah disebut di awal surah ini. Jadi kisah mimpi itu di awal surah dan sekarang disebut sekali lagi di hujung-hujung surah. Jadi, kisah-kisah lain yang panjang ini adalah antara kisah mimpi itu. Iaitu dari ayat yang disebutkan di dalam firman-Nya:
إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا
sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas buah bintang. (Yusuf: 4), hingga akhir ayat.
جَعَلَها رَبّي حَقًّا
sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan.
Allah ﷻ telah memberikan mimpi itu kepada baginda dan telah menjadikannya benar.
وَقَد أَحسَنَ بي إِذ أَخرَجَني مِنَ السِّجنِ
Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara
Sekarang baginda memuji-muji Allah ﷻ. Memang baginda menghadapi banyak ujian dan sengsara dalam kehidupan baginda sejak dari kecil lagi. Namun lihatlah bagaimana baginda kata Allah ﷻ telah berbuat baik dengan baginda.
Baginda tidak sebut pun kesusahan yang baginda alami. Baginda cuma menyebut perkara yang baik-baik sahaja. Mungkin kerana baginda tidak mahu mengulang tentang perkara-perkara yang sedih kerana ayahnya Nabi Ya’qub ﷻ telah lama bersedih dan menderita kerana perkara itu.
Maka baginda mengenangkan bagaimana Allah ﷻ mengeluarkan baginda dari penjara (tidak disebut pun kes masuk penjara itu dan berapa lama duduk dalam penjara). Ini adalah nikmat pertama yang baginda sebut.
وَجاءَ بِكُم مِنَ البَدوِ
dan ketika membawa kamu dari padang pasir,
Baginda bergembira dengan kedatangan mereka ke Mesir itu. Nabi Yusuf عليه السلام bersyukur kerana Allah ﷻ telah bawa mereka semua keluar dari tanah padang pasir yang tidak ada makanan itu dan sekarang mereka duduk dengan baginda. Ini adalah nikmat kedua yang disebut.
أَن نَزَغَ الشَّيطانُ بَيني وَبَينَ إِخوَتي
setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku.
Baginda bersyukur kerana mereka sekarang dapat bersama, walaupun setelah syaitan sudah cuba memisahkan antara baginda, bapanya dan adik beradik baginda. Lihatlah bagaimana sekarang baginda sudah panggil mereka itu ‘saudara’ baginda. Dahulu tidak begitu.
Namun walaupun abang-abang baginda telah membuat banyak kesalahan terhadap dirinya, baginda tidak mencela abang-abang baginda. Baginda tidak sentuh pun tentang telaga yang mereka tinggalkan baginda. Ini kerana mereka yang tinggalkan baginda di situ, maka baginda tidak mahu mengenangkan perkara itu. Oleh itu, baginda hanya sebut tentang penjara sahaja yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Baginda salahkan syaitan kerana menghasut abang-abangnya itu.
إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ
Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki.
Maksudnya rancangan Allah ﷻ amat halus, segalanya Dia yang uruskan, sama ada besar atau kecil, sampaikan kita tidak tahu apa yang Dia buat dan bagaimana perkara itu boleh terjadi dan apakah hikmah di sebaliknya.
إِنَّهُ هُوَ العَليمُ الحَكيمُ
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Segala perancangan Allah ﷻ amat cantik kerana Dia yang Maha Bijaksana. Kita selalunya tidak nampak hikmah di sebalik perancangan Allah ﷻ itu. Apabila kita sudah terima yang Allah ﷻ itu Maha Bijaksana, maka kita kenalah terima apa sahaja yang Allah ﷻ telah, sedang dan akan lakukan.
Ayat 101: Sekarang baginda memuji lagi Allah ﷻ. Segala apa kelebihan yang baginda dapat, baginda pulangkan kepada Allah ﷻ – semua itu dari Allah ﷻ. Begitulah yang kita dapat belajar dari Nabi Yusuf عليه السلام ini; bila ada masalah, baginda rujuk kepada Allah ﷻ dan bila senang pun, begitu juga baginda kembalikan kepada Allah ﷻ.
۞ رَبِّ قَد آتَيتَني مِنَ المُلكِ وَعَلَّمتَني مِن تَأويلِ الأَحاديثِ ۚ فاطِرَ السَّماواتِ وَالأَرضِ أَنتَ وَلِيّي فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ تَوَفَّني مُسلِمًا وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
My Lord, You have given me [something] of sovereignty and taught me of the interpretation of dreams. Creator of the heavens and earth, You are my protector in this world and the Hereafter. Cause me to die a Muslim and join me with the righteous.”
(MALAY)
Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.
رَبِّ قَد آتَيتَني مِنَ المُلكِ
Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan
Nabi Yusuf عليه السلام bersyukur kerana telah diberi dengan kuasa dalam kerajaan Mesir. Apabila ayat ini dibaca, ia memberi isyarat yang nanti Nabi Muhammad ﷺ pun akan diberikan dengan kerajaan juga. Jadi ayat ini juga memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ akan menang mengatasi musuh baginda yang waktu itu amat kuat menentang baginda di Mekah.
وَعَلَّمتَني مِن تَأويلِ الأَحاديثِ
dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’wil perkara yang berlaku.
Baginda bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah memberikan kepada baginda ilmu mengetahui ta’wil dengan tepat.
فاطِرَ السَّماواتِ وَالأَرضِ
Pencipta langit dan bumi.
Allah ﷻ yang telah memberikan semua itu dan Allah ﷻ boleh sahaja buat begitu kerana Dialah pencipta langit dan bumi.
أَنتَ وَلِيّي فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ
Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat,
Nabi Yusuf عليه السلام mengaku yang Allah ﷻ adalah penolong baginda sepanjang masa. Allah ﷻ sentiasa sahaja bersama baginda walaupun baginda dalam kesusahan dan menerima musibah dan ujian. Allah ﷻ tidak pernah tinggalkan baginda.
تَوَفَّني مُسلِمًا
wafatkanlah aku dalam keadaan Islam
Baginda telah dapat segala nikmat yang telah disebut tadi dan banyak lagi. Sekarang baginda berdoa supaya bila sampai masa nanti, apabila telah habis ajal baginda, baginda minta dimatikan baginda sebagai seorang Muslim. Maksudnya supaya mati dalam tauhid.
Ini kerana kita dikira dan dinilai dengan iman kita semasa kita mati. Masa sekarang, kalau kita sudah beriman, belum tentu kita selamat lagi kerana mungkin kita mati dalam keadaan kufur. Kita minta berlindung dari keadaan itu. Kerana itu, kita pun kena minta supaya akhir hayat kita nanti, kita masih lagi beriman sempurna.
Kenapa sebut tentang kematian pula? Ini kerana kita kena sentiasa melihat dan bersedia untuk mati. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ nanti, apabila telah mendapat kejayaan menyebarkan agama Islam dan apabila sudah dapat mengembalikan agama tauhid di Mekah, maka baginda sudah bersedia untuk mati. Ini disebut dalam Surah an-Nasr.
وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ
dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.
Nabi Yusuf عليه السلام berdoa semoga baginda digabungkan dengan orang-orang soleh selepas baginda wafat nanti. Di dunia, baginda waktu itu telah digabungkan dengan keluarga baginda, tetapi ada lagi yang lebih penting. Iaitu apabila mati, semoga dikumpulkan dengan orang-orang yang soleh di akhirah nanti. Iaitu semoga baginda ditempatkan di dalam syurga kerana orang soleh tempatnya di syurga.
Doa yang dibacakan oleh Nabi Yusuf عليه السلام ini amatlah molek dan boleh diamalkan oleh kita dalam doa kita.
Ayat 102: Kita sekarang sudah masuk ke ayat-ayat akhir penutup surah. Ayat ini adalah Dakwa Ketiga bagi surah ini. Dakwa terbahagi kepada tiga jenis (Tauhid, Risalah dan Akhirah). Ini adalah Dakwa tentang Risalah.
Allah ﷻ hendak memberitahu kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi dan Rasul yang benar kerana kisah ini datangnya dari wahyu menandakan yang baginda adalah seorang Rasul. Ini kerana kalau baginda bukan seorang Nabi, tidak mungkin baginda boleh ceritakan kisah ini dengan jelas kerana kisah ini tidak ada dalam maklumat orang Arab Mekah.
Sekarang kita masuk ke bahagian penutup Surah Yusuf ini. Dari ayat ini sampai ke hujung (ayat 111) adalah Perenggan Makro Ketiga iaitu Rumusan bagi surah ini.
Sudah habis kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan sekarang masuk kepada penutupnya pula. Sekarang akan disebut pengajaran yang kita kena ambil dari kisah yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Kita kena ingat yang waktu surah ini diturunkan di Mekah, Nabi Muhammad ﷺ sedang dihentam dengan teruk di Mekah.
Maka Allah ﷻ turunkan surah ini kerana Allah ﷻ hendak memujuk hati Nabi ﷺ (tasliah). Allah ﷻ mulakan surah ini dengan kisah ujian yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf عليه السلام dan kemudian diberikan berita gembira di penghujungnya. Allah ﷻ hendak ingatkan kepada Rasulullah ﷺ, walaupun permulaannya susah, tetapi penghujungnya baik. Maka Rasulullah ﷺ kenalah bersabar.
ذٰلِكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيهِ إِلَيكَ ۖ وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعوا أَمرَهُم وَهُم يَمكُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is from the news of the unseen which We reveal, [O Muḥammad], to you. And you were not with them when they put together their plan while they conspired.
(MALAY)
Demikian itu (adalah) diantara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.
ذٰلِكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيهِ إِلَيكَ
Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu
Kisah Nabi Yusuf عليه السلام yang telah disebut itu adalah antara berita ghaib yang diberikan kepada baginda. Tidak ada cara bagi Nabi Muhammad ﷺ mengetahuinya sebelum itu, melainkan Allah ﷻ yang beritahu kepada baginda. Ini adalah satu tanda yang baginda adalah seorang Rasul.
وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعوا أَمرَهُم
padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencana mereka
Nabi Muhammad ﷺ telah membacakan kisah Nabi Yusuf عليه السلام yang begini panjang, sedangkan baginda tidak ada pun semasa abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام itu buat rancangan mereka untuk menghilangkan Nabi Yusuf عليه السلام daripada ayah mereka.
وَهُم يَمكُرونَ
dan mereka sedang mengatur tipu daya.
Nabi Muhammad ﷺ pun tidak ada semasa abang-abangnya itu meletakkan Nabi Yusuf عليه السلام ke dalam telaga dan meninggalkan baginda di dalam telaga itu. Rancangan mereka itu rupanya ada sebab kenapa Allah ﷻ benarkan terjadi. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak membawa Bani Israil ke Mesir.
Memang Nabi Muhammad ﷺ tidak ada waktu itu tetapi Allah ﷻ beritahu kisah baginda kepada Rasulullah ﷺ sebagai pengajaran dan panduan untuk kita semua.
Ayat 103: Ayat Zajrun. Adakah semua manusia akan ambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini?
وَما أَكثَرُ النّاسِ وَلَو حَرَصتَ بِمُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And most of the people, although you strive [for it], are not believers.
(MALAY)
Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman — walaupun kamu sangat menginginkannya.
Nabi Muhammad ﷺ tentu berfikir, kalau sudah ada kisah ini, tentu ramailah nanti orang Yahudi akan masuk Islam, kerana Nabi Yusuf عليه السلام ini adalah Nabi besar mereka juga. Tentu mereka akan dapat lihat bagaimana kisah Nabi Yusuf عليه السلام itu ada persamaan dengan kisah Nabi Muhammad ﷺ.
Walaupun Nabi ﷺ ada berperasaan begitu, tetapi Nabi ﷺ diberitahu dalam ayat ini, jangan berharap sangat kerana walaupun baginda berharap sangat akan ramai yang masuk Islam, tetapi ramai antara mereka tidak akan beriman. Allah ﷻ hendak memberitahu Nabi ﷺ, kalau mereka tidak beriman, kekurangan bukan pada Nabi Muhammad ﷺ tetapi pada mereka. Tidak ada salah dalam cara dakwah baginda.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 Mac 2019
Rujukan
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an