Tafsir Surah Yusuf Ayat 76 (Helah yang dibenarkan)

NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ MENAHAN BUNYAMIN

Yusuf Ayat 76: Setelah persetujuan tentang apakah balasan bagi orang yang mencuri, maka sekarang dijalankan pemeriksaan.

فَبَدَأَ بِأَوعِيَتِهِم قَبلَ وِعَآءِ أَخِيهِ ثُمَّ ٱستَخرَجَهَا مِن وِعَآءِ أَخِيهِ‌ۚ كَذٰلِكَ كِدنَا لِيُوسُفَ‌ۖ مَا كَانَ لِيَأخُذَ أَخَاهُ فِى دِينِ ٱلمَلِكِ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ‌ۚ نَرفَعُ دَرَجَـٰتٍ مَّن نَّشَآءُ‌ۗ وَفَوقَ ڪُلِّ ذِى عِلمٍ عَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he began [the search] with their bags before the bag of his brother; then he extracted it from the bag of his brother. Thus did We plan for Joseph. He could not have taken his brother within the religion [i.e., law] of the king except that Allāh willed. We raise in degrees whom We will, but over every possessor of knowledge is one [more] knowing.¹

  • Ending with the ultimate knowledge of Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MALAY)

Maka bermulalah Yusuf (memeriksa) karung-karung mereka sebelum (memeriksa) karung saudaranya sendiri, kemudian dia mengeluarkan piala raja itu daripada karung saudaranya. Demikianlah Kami atur untuk (mencapai maksud) Yusuf. Tiadalah boleh Yusuf menghukum saudaranya menurut undang-undang raja, kecuali Allah menghendaki-Nya. Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki; dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui.

 

فَبَدَأَ بِأَوعِيَتِهِم قَبلَ وِعآءِ أَخيهِ

Maka bermulalah dia (memeriksa) karung-karung mereka sebelum (memeriksa) karung saudaranya sendiri,

Mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang memeriksa karung-karung mereka untuk mencari gelas diraja itu. Atau mungkin dilakukan bersama-sama dengan pegawai kerajaan. Kalimah وِعاءِ adalah kain yang dijadikan sebagai penyimpan barang. Ia digunakan sebagai karung dalam perjalanan waktu zaman dahulu.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuka satu persatu karung mereka dan dimulakan dengan karung abang-abangnya kerana kalau baginda terus mencari karung Bunyamin, nanti nampak sangat yang baginda sudah tahu di mana hendak dicari. Jadi baginda berhelah dengan mencari dalam karung abang-abangnya yang lain terlebih dahulu. Akan tetapi kalau dicari dulu abang-abangnya pun dan Bunyamin terakhir sekali pun nampak pelik juga. Jadi mungkin baginda mulakan dengan abang yang paling tua dan Bunyamin paling muda maka itulah yang karung terakhir sekali diperiksa kerana dia yang paling muda.

 

ثُمَّ ٱستَخرَجَهَا مِن وِعَآءِ أَخِيهِ‌

kemudian dia mengeluarkan piala raja itu daripada karung saudaranya. 

Akhir sekali barulah karung Bunyamin dibuka, dan kalimah ثُمَّ digunakan, ia bermaksud pemeriksaan itu mengambil masa yang agak lama. Sekarang baginda berpura-pura mencari di dalam karung Bunyamin pula dan akhirnya tentulah ditemukan gelas diraja itu dalam karung Bunyamin. Namun perhatikan di sini disebut baginda mengeluarkan piala itu daripada karung adiknya itu. Tidaklah dikatakan: maka didapati Bunyamin telah mencuri piala itu. Ini kerana tidaklah Bunyamin itu mencuri piala itu; tetapi ya, piala itu dikeluarkan daripada karung Bunyamin.

Perhatikan kalimat ٱستَخرَجَهَا digunakan dengan dhomir هَا digunakan di sini. Sebelum ini piala yang dibincangkan ini diberi dua nama, ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meletakkan objek itu, kalimah ٱلسِّقَايَةَ (ayat 70) digunakan dan apabila ia disedari hilang oleh pegawai, kalimah صُوَاعَ ٱلمَلِكِ (ayat 73) pula digunakan. Di dalam ayat 73 itu digunakan dhomir ه apabila merujuk kepada صُوَاعَ ٱلمَلِكِ seperti جَآءَ بِهِۦ. Namun sekarang digunakan dhomir هَا dalam ٱستَخرَجَهَا, ia sebenarnya merujuk kepada ٱلسِّقَايَةَ kerana ia dalam bentuk feminin. Jadi istilah objek itu bertukar-tukar:

Ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memasukkan: ٱلسِّقَايَةَ
Ketika pegawai merujuk kepadanya: صُوَاعَ ٱلمَلِكِ
Ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengeluarkannya kembali: ٱلسِّقَايَةَ

Menjadi perbincangan juga kenapa bertukar-tukar? Beberapa pendapat telah diberikan:

1. Manusia memandang sesuatu barang itu tidak sama. Sebagai analogi, katakanlah anda bertemu seorang selebriti dan dia berikan anda sebatang pen. Bagi selebriti itu, ia adalah hanya sebatang pen sahaja, tetapi anda pula memandang pen itu sebagai pen seorang selebriti dan ia bernilai tinggi bagi anda. Jadi manusia tidak sama penilaiannya terhadap satu-satu barang. Ia mungkin biasa sahaja bagi seseorang tetapi bernilai bagi orang yang lain. Begitulah juga dengan piala ini. Bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia hanyalah sebiji cawan untuk digunakan untuk minum sahaja namun bagi pegawai, ia adalah milik raja atau milik kerajaan dan ia bernilai tinggi. Kalau hilang, mereka akan susah nanti kerana milik raja (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh dianggap sebagai raja juga kerana raja sebenar sudah separa bersara dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada baginda).

2. Satu kemungkinan lain adalah ia adalah dua objek yang berbeza. Ini adalah pendapat yang diberikan oleh Dr. Akram Nadvi حَفِظَهُ اللهُ. Ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memasukkan objek itu, ia memang ٱلسِّقَايَةَ iaitu hanya piala biasa sahaja yang digunakan untuk minum. Akan tetapi ketika itu juga, Allah ‎ﷻ takdirkan memang صُوَاعَ ٱلمَلِكِ pun tiba-tiba hilang juga dan inilah yang menyebabkan keadaan menjadi kecoh lalu semua pegawai pun segera menahan semua kafilah. Maknanya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah hendak menggunakan harta kerajaan dan baginda bukanlah hendak memalukan adik beradiknya. Namun takdir Allah ﷻ yang menjadikan keadaan begitu, mungkin untuk merendahkan ego mereka. Supaya mereka sendiri rasa bagaimana keadaannya kalau mereka sendiri tidak ada kuasa dan dipersalahkan. Dahulu mereka menyalahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda kecil dan mereka ketika itu ada kuasa untuk menindas adik mereka itu. Nah, sekarang mereka dipersalahkan dan mereka tidak ada kuasa untuk menghalangnya.

 

كَذٰلِكَ كِدنا لِيوسُفَ

Demikianlah Kami atur untuk Yusuf.

Maka sekarang kenalah ikut undang-undang syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti yang telah disebut oleh adik-beradik itu tadi. Bunyamin mesti ditahan sebagai kuli atau hamba kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Begitulah perancangan untuk menahan Bunyamin supaya tinggal dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjaya. Seandainya baginda minta sahaja, tentu abang-abang itu ada alasan untuk tidak membenarkannya.

Perhatikan di sini Allah ‎ﷻ beritahu yang apa yang terjadi itu adalah كِدنا (rancangan Kami), maknanya itu adalah rancangan Allah ‎ﷻ sendiri. Allah ‎ﷻ yang merancang, bukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang rancang sendiri. Allah ‎ﷻ yang ajar helah begitu, bukan daripada nafsu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana kalau tidak datang daripada Allah ‎ﷻ tetapi daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka ia boleh dikira sebagai pengkhianatan. Pengkhianatan adalah perbuatan menipu dan seorang Nabi tidak boleh menipu. Jadi kena ingat yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ buat begitu kerana wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Ini seperti kisah Khidr membocorkan perahu orang-orang miskin kerana arahan Allah ﷻ dan oleh kerana ia adalah arahan Allah ﷻ, maka tidaklah berdosa perbuatannya itu.

Kalimah كِدْنَا berasal daripada kata dasar كَيْد yang secara umumnya bermaksud strategi, tipu daya, rancangan, atau taktik yang dilakukan secara tersembunyi. Namun, apabila dikaitkan dengan Allah ﷻ, ia membawa makna Pengaturan Ilahi atau Rancangan Bijaksana yang bertujuan baik dan sesuai dengan keadilan-Nya, jauh daripada makna negatif “tipu daya” dalam konteks manusia.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mahu supaya Bunyamin tinggal dengan baginda supaya tidak dizalimi oleh abang-abangnya lagi. Namun baginda tidak boleh hendak mengambil Bunyamin dengan cara biasa atau mengikut undang-undang Mesir. Maka Allah ‎ﷻ yang membuat rancangan itu supaya Bunyamin dapat tinggal dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Ini mengajar kita boleh kita menggunakan helah. Ia dinamakan Al-Ḥīlah al-Syar’iyyah (), yang diterjemahkan sebagai Helah Syar’iyah, sebagai satu konsep dalam ilmu fiqh yang merujuk kepada taktik, strategi, atau cara cerdik yang digunakan untuk mencapai tujuan yang dibenarkan oleh syariat, melalui jalan yang juga dibenarkan secara lahiriah. Inti daripada Ḥīlah Syar’iyyah adalah menggunakan kaedah atau kontrak yang pada dasarnya adalah halal (dibolehkan) untuk mengubah status hukum suatu perkara, sama ada untuk:

    1. Mengelak daripada kemudaratan (kesulitan) atau keharaman.
    2. Mencapai maslahat (kebaikan) atau tujuan syar’i.
    3. Memenuhi suatu kewajipan dengan cara yang berbeza, atau keluar daripada ikatan sumpah/janji yang menyulitkan.

Kita mestilah juga mematuhi Syarat-syarat Utama Hilah Syar’iyyah:

  • Lahiriah Sah: Tindakan atau kontrak yang dilakukan mestilah sah dan dibenarkan di sisi syariat.
  • Tujuan Syar’i: Niat (tujuan) di sebalik tindakan itu mestilah bertujuan untuk kebaikan, menolak kezaliman, atau mempermudah urusan, dan tidak bertentangan dengan tujuan syariat (Maqāṣid al-Syarī’ah).

Contoh paling terkenal yang sering dijadikan dalil kebolehan Ḥīlah Syar’iyyah adalah kisah Nabi Ayyub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Ayyub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pernah bersumpah akan memukul isterinya seratus kali. Setelah baginda sembuh, Allah ‎ﷻ memerintahkannya seperti disebut di dalam Sad:44

“Dan ambillah dengan tanganmu seikat (seratus helai) rumput, lalu pukullah dengan itu dan janganlah engkau melanggar sumpahmu.”) 

Ini adalah contoh Helah Syar’iyyah: Dengan memukul menggunakan seratus helai rumput sekaligus, Nabi Ayyub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunaikan sumpah baginda secara zahir (memukul 100 kali) tanpa perlu menyakiti isterinya secara fizikal. Ini adalah ḥīlah yang bertujuan menunaikan janji sambil mengelak kemudaratan.

Kaedah Al-Ḥīlah al-Syar’iyyah (atau strategi yang dibenarkan) sangat jelas digunakan dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah memasukkan piala raja ke dalam bekas Bunyamin, seperti yang termaktub dalam ayat 76 ini. Dalam kes ini, ḥīlah itu berfungsi sebagai kaedah untuk mencapai maslahat syar’i (kebaikan yang diizinkan) dengan menggunakan jalan yang sah di mata undang-undang dan sosial pada waktu itu. Berikut adalah huraian bagaimana kaedah ini diterapkan dalam insiden tersebut:

1. Tujuan Syar’i (Maslahat)

Tujuan utama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah untuk menahan Bunyamin agar dapat bersamanya di Mesir, yang merupakan langkah pertama dalam penyatuan semula keluarga. Maslahat yang Ingin Dicapai:

    • Mengakhiri pemisahan yang panjang dengan adik kandungnya.
    • Melindungi Bunyamin daripada persekitaran yang tidak selamat (ketika itu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat ada potensi bahaya daripada abang-abangnya yang lain).
    • Menciptakan situasi yang memaksa abang-abangnya kembali, yang akhirnya membawa kepada proses pengakuan dan keinsafan mereka.

2. Cara yang Digunakan (Al-Ḥīlah)

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu bahawa baginda tidak boleh meminta Bunyamin tinggal secara sukarela, kerana saudara-saudaranya telah berjanji kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membawanya pulang. Maka baginda menggunakan taktik meletakkan piala raja (yang mungkin juga milik Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) secara rahsia ke dalam karung Bunyamin. Ini adalah penggunaan hukum yang sah kerana apabila piala itu “ditemui,” ia menjadikan Bunyamin tertakluk di bawah syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menetapkan bahawa pencuri boleh ditahan (dijadikan hamba atau tebusan) oleh mangsa.

3. Justifikasi Syar’i (Diizinkan Allah ‎ﷻ)

Al-Qur’an sendiri mengesahkan bahawa tindakan ini adalah strategi yang diizinkan apabila Allah ‎ﷻ berfirman di sini كَذٰلِكَ كِدنا لِيوسُفَ (Demikianlah Kami atur untuk Yusuf). Ini adalah pengesahan Ilahi kerana Allah ‎ﷻ menggunakan kata كِدْنَا (Kami yang mengatur strategi/tipu daya) yang menunjukkan bahawa perbuatan itu adalah sebahagian daripada rancangan yang dibenarkan secara ilahi untuk mencapai tujuan yang baik dan benar (penyatuan keluarga).

4. Perbezaan dengan Kecurian Sebenar

Walaupun tindakan itu kelihatan seperti “mencipta tuduhan,” ia bukanlah helah yang diharamkan, kerana:

    • Tiada Kemudaratan: Nabi Yusuf ‎ﷻ tidak berniat mencuri harta orang lain atau menzalimi Bunyamin. Piala itu milik Nabi Yusuf ‎ﷻ sendiri (sebagai menteri Mesir).
    • Matlamat Mulia: Tujuan akhirnya adalah untuk menyatukan dan menyelamatkan keluarga.

Perlu ditekankan bahawa tidak semua “helah” diterima dalam Islam. Ulama membezakan antara Ḥīlah Syar’iyyah (yang dibolehkan) dengan Ḥīlah al-Muḥarramah (yang diharamkan). Hilah yang dilarang ialah apabila cara cerdik itu digunakan untuk:

    1. Mengelak Kewajipan: Contohnya, memindah milik harta sebelum waktu wajib zakat tiba untuk mengelak daripada membayar zakat.
    2. Menghalalkan yang Haram: Melakukan transaksi riba, tetapi mengubah nama kontraknya menjadi kontrak jual beli yang kelihatan sah (seperti dalam perbankan konvensional yang menyamar sebagai jual beli).
    3. Melanggar Tujuan Syariat: Walaupun kontrak luaran nampak sah, ia tetap membawa kepada mafsadah (kerosakan) atau bertentangan dengan tujuan syariat (seperti nikah taḥlīl [Cina Buta]).

Secara ringkas, Al-Ḥīlah al-Syar’iyyah adalah alat fiqh yang membolehkan seorang Muslim mencapai matlamat yang baik atau keluar daripada kesulitan, asalkan caranya tidak menipu Allah ‎ﷻ dan tidak melanggar prinsip asas syariat. Ini penting kerana kalau kita salah faham, nanti ramai pula menggunakan helah untuk menipu dan buat perkara yang salah. Jadi di sini kita mestilah berhati-hati dan jangan salah gunakan ruang yang Allah ‎ﷻ telah benarkan.

Memang kadangkala kita terpaksa ‘menipu’ untuk kebaikan. Ini bukanlah ‘bohong sunat’ pula. Namun kita kena faham yang dalam dunia ini, bukan semuanya hitam/putih. Ada keadaan yang kita terpaksa menipu untuk kebaikan. Bayangkan satu senario untuk menjelaskan hal ini: Katakanlah anda ada seorang ibu tua yang berpenyakit darah tinggi dan boleh terkena serangan jantung. Maknanya dia tidak boleh tertekan perasaan. Anda pula telah dibuang kerja dan bila anda pulang ke rumah, emak anda tanya apa khabar, adakah anda OK? Anda memang tidak OK kerana baru sahaja dibuang kerja. Dalam menjawab soalan ibu anda, adakah anda kena beritahu yang anda telah dibuang kerja dan anda tengah serabut kepala sekarang? Atau, anda tidak mahu risaukan emak anda sehingga menyebabkan dia jatuh sakit dan dengan itu anda kata sahaja yang semuanya OK? Memang kalau kita lihat dunia dengan hitam/putih, anda sebenarnya telah menipu, bukan? Namun bukankah perbuatan tersebut merupakan helah atau penipuan untuk kebaikan?

Maka begitulah kita memandang perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Kalau kita lihat dunia ini dalam hitam/putih sahaja, maka apa yang baginda lakukan adalah sebuah penipuan dan menyebabkan kerisauan dan kedudukan adiknya itu terancam. Akan tetapi ia adalah sebuah rancangan atau helah untuk kebaikan semua orang. Bunyamin dapat diselamatkan dan abang-abangnya itu mendapat pengajaran. Baginda bukannya hendak membalas dendam terhadap abang-abangnya itu tetapi hanyalah semata-mata untuk menyelamatkan adiknya sahaja dan dengan harapan abang-abangnya itu juga akan berubah.

Rancangan Allah ‎ﷻ itu bagaimana? Ada beberapa kemungkinan:

1. Ia mungkin rancangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ namun baginda hanya boleh merancang sahaja. Baginda tidak boleh memastikan bagaimana tindakan pegawai, tindakan abang-abangnya dan lain-lain yang terjadi. Ya, baginda boleh memasukkan piala itu ke dalam karung Bunyamin, tetapi selepas itu? Maka yang selain itu semuanya di dalam qada’ dan qadar Allah ‎ﷻ.

2. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya memasukkan piala biasa sahaja tetapi Allah ﷻ yang membuat rancangan bekas takaran raja yang hilang.

Jadi semua yang terjadi adalah dalam rancangan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang pastikan ia terjadi sebegitu. Akan tetapi bagaimana ini asalnya terjadi?

1. Allah ﷻ yang mewahyukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ buat begitu dan begini. Ini seperti apa yang diarahkan kepada Khidr/Khadr. Ada banyak perkara yang dilakukan olehnya yang pelik-pelik pada pandangan kita. Namun itu semua adalah arahan Allah ﷻ seperti yang disebut di dalam Kahf:82

وَمَا فَعَلتُهُ ۥ عَن أَمرِى‌
Dan aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri

2. Ia mungkin rancangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi kemudian Allah ﷻ menyetujui apa yang dirancang oleh baginda dan menjadikan ia berhasil. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mungkin dapat menjalankannya seperti itu seandainya bukan Allah ﷻ yang bantu.

Akan tetapi kenapakah dijalankan rancangan yang panjang ini? Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah berada di kedudukan yang tinggi, maka baginda sebenarnya boleh sahaja menangkap abang-abangnya itu di atas kesalahan yang mereka telah lakukan. Bukankah tindakan tersebut lebih mudah dan cepat? Namun tidak berlaku begitu kerana ada pengajaran yang hendak diberikan kepada mereka. Kadangkala manusia tidak belajar melainkan dengan cara yang lembut. Allah ﷻ sedang memberi pengajaran kepada mereka dengan memberi kesedaran kepada mereka iaitu dengan beri mereka kebalikan daripada apa yang mereka buat dahulu:

1. Dahulu mereka yang kuat dan ramai jadi mereka telah menindas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang mereka di dalam kedudukan yang lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka di negeri orang.
2. Dahulu mereka menemui bapa mereka dan telah menipu bahawa anaknya seorang tidak pulang. Kali ini mereka terpaksa pulang bertemu bapa mereka lagi dan beritahu seorang lagi anak baginda tidak pulang, tetapi kali ini mereka bercakap benar.
3. Dahulu mereka buat sampai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi hamba; sekarang ada kemungkinan mereka pun boleh menjadi hamba juga.

Semua ini dilakukan supaya mereka terfikir dan sedar kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukannya hendak menghukum mereka tetapi hendak mendidik dan mengubah akhlak mereka.

 

ما كانَ لِيَأخُذَ أَخاهُ في دينِ المَلِكِ

Tiadalah boleh Yusuf mengambil saudaranya itu menurut undang-undang raja,

Kalimah دينِ di sini bukanlah bermaksud ‘agama’ seperti yang kita selalu lihat. ia bermaksud hukuman balas, yang kita terjemahkan sebagai undang-undang. Perhatikan juga bagaimana penggunaan دينِ di dalam Fatihah:4 bukanlah bermaksud agama juga tetapi ‘pembalasan’.

مٰلِكِ يَومِ الدّينِ
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

Baginda telah bertanya mereka apakah undang-undang di Kan’an kepada pencuri kerana dengan cara itu, baginda akan dapat menahan Bunyamin untuk tinggal dengan baginda. Baginda tidak boleh buat begitu dengan undang-undang Mesir kerana undang-undangnya berlainan. Di Mesir, pencuri akan dipenjara, mungkin diseksa dan boleh dilepaskan dengan membayar harga barang yang dicuri dua kali ganda. Jadi walaupun baginda sudah mengetuai kerajaan Mesir ketika itu, tetapi baginda tidak boleh dengan mudah menahan Bunyamin. Jadi ini menjelaskan kepada kita kenapa baginda perlu menggunakan helah yang kita telah perhatikan di atas.

Pengajaran kepada kita adalah jangan cepat menghukum orang dan menuduh orang. Kadangkala kita tidak tahu cerita penuh. Kita tidak tahu kenapa orang itu buat itu dan ini. Kalau ikut pandangan kita, mungkin itu adalah cara yang salah; akan tetapi pada orang itu pula, itulah sahaja cara dan peluang yang dia ada.

Persoalan yang mungkin timbul adalah kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menahan Bunyamin sedangkan baginda tahu yang bapa mereka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentu akan susah hati? Sudahlah dulu kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sekarang kehilangan Bunyamin pula. Bukankah ini semakin menambah kesedihan di hati Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Ahli Tafsir seperti Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ dan lain-lain memberi pendapat bahawa setelah Bunyamin tahu itu adalah abangnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Bunyamin sendiri yang meminta supaya beliau tidak diserahkan kembali kepada abang-abangnya kerana tidak tahan dengan tindakan mereka. Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu rancangan yang kalau baginda hendak tahan beliau, kena ada helah yang menuduh beliau sebagai pencuri, Bunyamin tetap sanggup melaluinya.

 

إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ‌

kecuali Allah menghendaki-Nya. 

Baginda tidak akan dapat menahan Bunyamin melainkan jika itu juga kehendak Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menekankan bahawa kehendak kita dan kehendak Allah ‎ﷻ adalah berbeza. Kehendak kita tidak kira sekuat manapun dan sehebat apapun perancangan untuk mendapatkannya, tidak akan berjaya kalau tidak ada iradah daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kehendak kita dan kehendak Allah ‎ﷻ sama, barulah perkara itu terjadi.

 

نَرفَعُ دَرَجَـٰتٍ مَّن نَّشَآءُ‌

Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki;

Maksud “darjat” dalam Islam adalah merujuk kepada taraf, kedudukan, atau tingkatan kemuliaan seseorang hamba di sisi Allah ‎ﷻ. Ia adalah konsep yang sama sekali berbeza dengan darjat atau status sosial yang diukur oleh manusia di dunia (seperti pangkat, keturunan, kekayaan, atau jawatan). Darjat dalam Islam adalah kedudukan spiritual dan kemuliaan di sisi Allah ‎ﷻ, yang dicapai melalui Iman, Taqwa, Ilmu, dan amal kebaikan (termasuk kesabaran menghadapi ujian), dan ia akan membuahkan hasil tertinggi di akhirat kelak dalam tingkatan-tingkatan Syurga.

Allah ‎ﷻ menaikkan kedudukan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Begitulah yang terjadi dalam kisah ini. Kita baru belajar apa yang telah dilakukan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menggunakan helah untuk menyelamatkan adiknya. Seseorang yang melakukan kesalahan selalunya akan menghinakan dia, akan tetapi Allah ‎ﷻ telah jelaskan kepada kita bahawa perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidak salah sebaliknya telah disusun dengan penuh hikmah oleh Allah ‎ﷻ sendiri dan ia tidak menjatuhkan maruah baginda.

Sebaliknya maruah dan darjat baginda dinaikkan dan kita telah lihat kedudukan baginda bagaimana dinaikkan dari satu tahap ke satu tahap lagi. Bayangkan baginda telah pernah dipenjarakan. Selalunya jika seseorang itu dituduh telah melakukan jenayah, itu adalah sebuah penghinaan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun sudah pernah terkena dan telah dimasukkan ke dalam penjara. Namun Allah ‎ﷻ hendak memberitahu, walaupun ia nampak menghinakan, Allah ‎ﷻ boleh menaikkan kedudukan orang itu sekiranya Allah ‎ﷻ kehendaki. Allah ‎ﷻ boleh mengubah kedudukan seseorang itu sebagaimana yang Allah ‎ﷻ telah lakukan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – dahulu baginda seorang hamba dan duduk dalam penjara, tetapi sekarang baginda bergelar Menteri Mesir.

Kalau dahulu ketika kecil, baginda tidak ada kuasa mengelak daripada perbuatan zalim abang-abangnya; tetapi sekarang abang-abangnya pula yang tidak kuasa mengelak daripada kuasa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Allah ‎ﷻ menaikkan darjat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan ilmu yang telah diberikan kepada baginda. Ini seperti disebut di dalam Mujaadilah:11

يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ
Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat

Perhatikan di dalam ayat ini darjat itu dinaikkan bagi orang yang ada iman dan ilmu. Ada lagi cara lain manusia dinaikkan darjat iaitu dengan sabar dengan ujian seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: إِنَّ الرَّجُلَ لَيَكُونُ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ الْمَنْزِلَةُ، فَمَا يَبْلُغُهَا بِعَمَلٍ، فَمَا يَزَالُ اللَّهُ يَبْتَلِيهِ بِمَا يَكْرَهُ حَتَّى يُبْلِغَهُ إِيَّاهَا
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya seorang lelaki itu mempunyai suatu kedudukan (al-manzilah) di sisi Allah, tetapi dia tidak dapat mencapainya dengan amalannya. Maka Allah sentiasa mengujinya dengan perkara yang dibencinya (iaitu musibah), sehinggalah dia mencapai kedudukan tersebut.”

(Hadith Riwayat At-Tirmidzi, Kitab Az-Zuhd, dan disahihkan oleh Al-Albani)

 

وَفَوقَ كُلِّ ذي عِلمٍ عَليمٌ

dan di atas tiap-tiap orang yang berilmu itu ada lagi lebih mengetahui.

Ini adalah satu pengajaran yang amat penting: di atas setiap orang yang ada ilmu, ada lagi yang lebih berilmu daripadanya. Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ telah memberikan contoh, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memang pandai, malah baginda orang yang paling pandai di Mesir, tetapi ada lagi yang lebih pandai daripada baginda, iaitu Allah ‎ﷻ. Begitu juga dengan makhluk, pasti ada yang lebih pandai daripada kita. Kalau kita rasa kita pandai, maka ada orang lain lagi yang lebih pandai daripada kita. Maka tidak perlulah berlagak sangat. Kalau kita belajar kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr pun adalah tentang tingkatan ilmu. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangka bagindalah yang paling berilmu sehinggalah Allah ﷻ tegur baginda. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan hendak belajar dengan Khadr seperti disebut di dalam Kahf:60

وَإِذ قالَ موسىٰ لِفَتٰهُ لا أَبرَحُ حَتّىٰ أَبلُغَ مَجمَعَ البَحرَينِ أَو أَمضِيَ حُقُبًا
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.

Ini adalah pengajaran yang patut kita pegang sentiasa. Kalau kita belajar, nanti kita pun akan ada ilmu tetapi nanti kita akan bertemu dengan orang lain yang lebih pandai lagi daripada kita. Jadi ini mengingatkan kita untuk merendahkan diri kita. Jangan kita rasa sombong dengan ilmu yang kita ada. Kalau kita rasa kita paling pandai, itu maknanya ada masalah dengan hati kita.

Kita kadang-kadang suka memberikan gelaran kepada orang yang ada ilmu agama. Ustaz, Maulana, Sheikh, tok guru, Allamah dan sebagainya. Ini adalah gelaran penghormatan kepada orang yang berilmu akan tetapi ia ada sudut buruknya. Kadangkala kalau sudah ada gelaran sebegitu, orang itu mungkin berasa dia sangat pandai, sampai orang lain tidak boleh tegur. Aku sheikh lah, kau siapa hendak tegur aku. Kerana itu ada orang yang mengejar gelaran ustaz kerana ia adalah satu kedudukan yang agak tinggi dalam kalangan orang kita. Sudah bergelar ustaz, orang akan mudah mendengar kata-kata dia. Padahnya ustaz pun senang menipu orang dan pandai juga: pandai mengambil kesempatan. Sampaikan tidak keterlaluan kalau kita kata: Bukan semua ustaz boleh dipercayai. Kadangkala orang yang tidak layak dipanggil ustaz pun orang panggil ustaz. Sebab menjadi ustaz itu mestilah ada kelayakan dan kenalah mengajar. Kalau ilmu agama pun tidak ada, bagaimana dia layak digelar ustaz? Apakah ilmu yang diajarnya itu?

Kita kena ingat yang panggilan manusia terhadap kita tidaklah ada makna apa-apa sebenarnya. Kalau seorang pengajar pun, dia kena ingat yang dia juga seorang pelajar. Ini kerana orang yang ada ilmu tidak boleh berhenti belajar. Semakin banyak belajar, ketahuilah yang kita akan sedar yang semakin banyak perkara yang kita tidak tahu. Semakin lama belajar, semakin terbuka bidang ilmu yang kita tidak tahu. Malah ada orang yang lebih tahu daripada kita dalam bidang ilmu yang kita tidak tahu itu.

Itulah hakikat ilmu – ada sahaja yang lebih pandai daripada kita. Kita hanya boleh berusaha menambah ilmu kita sedikit demi sedikit. Namun bukanlah kita belajar untuk menjadi lebih pandai daripada orang lain. Kita belajar supaya kita lebih faham tentang agama dan untuk kebaikan kita dan kebaikan orang lain. Jangan berhenti belajar kerana akan ada sahaja orang lain yang ada kelebihan dan kepandaian daripada kita. Takkan habis kita belajar maknanya.

Begitu juga jangan ada rasa ujub. Ujub adalah salah satu Talbis Iblis (Belitan Iblis). Syaitan akan membisikkan ke dalam hati kita yang kita orang pandai, orang berilmu, orang lain bodoh sahaja. Kalau kita termakan hasutan syaitan itu, maka kita akan ada ujub dalam hati. Ujub adalah perasan diri lebih, dan lupa hendak menisbahkan kelebihan itu kepada Allah ‎ﷻ. Kita kena sentiasa ingat yang segala ilmu yang kita ada ini adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Jangan sangka diri kita hebat daripada orang lain. Maka kalau kita dapat selami ayat ini, maka kita akan teringat untuk merendahkan diri kita. Barulah kita sedar yang ada orang lain lagi yang lebih pandai daripada kita. Sekiranya ada orang menegur kita, tidaklah kita menolak untuk menerimanya kerana kita tahu, kita ini bukanlah yang terpandai dalam dunia ini.

Dalam ayat tadi kita telah belajar ada sebab kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melakukan helah tersebut. Ia mengajar kita yang kita mungkin tidak nampak penyebab kepada tindakan seseorang. Jadi maksud وَفَوقَ كُلِّ ذي عِلمٍ عَليمٌ juga boleh bermaksud kita tidak tahu sebab apa seseorang itu melakukan sesuatu; tetapi ada orang yang lebih faham. Kalau kita bertanya, mungkin kita dapat tahu.

 

 

Kuiz Jawapan Pendek

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman daripada teks tafsir.

1. Mengapakah Nabi Yusuf memulakan pemeriksaan pada karung abang-abangnya terlebih dahulu sebelum karung Bunyamin?

2. Apakah kepentingan frasa كَذٰلِكَ كِدنا لِيوسُفَ (Demikianlah Kami atur untuk Yusuf) dalam ayat ini?

3. Berikan definisi konsep Al-Ḥīlah al-Syar’iyyah (Helah Syar’iyah) seperti yang diterangkan dalam teks.

4. Apakah perbezaan utama antara hukuman bagi pencuri menurut undang-undang Mesir (din al-malik) berbanding syariat Nabi Ya’qub?

5. Sebutkan satu contoh Ḥīlah al-Muḥarramah (helah yang diharamkan) yang dibincangkan dalam tafsir.

6. Menurut tafsir, apakah dua kemungkinan sebab mengapa objek yang disembunyikan itu dirujuk dengan nama yang berbeza, iaitu ٱلسِّقَايَةَ dan صُوَاعَ ٱلمَلِكِ?

7. Bagaimanakah tindakan Nabi Yusuf menjadi satu pengajaran yang mendalam kepada abang-abangnya?

8. Apakah maksud sebenar kalimah دينِ dalam frasa في دينِ المَلِكِ?

9. Apakah mesej utama di sebalik ungkapan نَرفَعُ دَرَجَـٰتٍ مَّن نَّشَآءُ (Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki)?

10. Apakah pengajaran penting yang boleh diambil daripada ayat وَفَوقَ كُلِّ ذي عِلمٍ عَليمٌ (dan di atas tiap-tiap orang yang berilmu itu ada lagi lebih mengetahui)?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
Al-Ḥīlah al-Syar’iyyah
Taktik, strategi, atau cara cerdik yang digunakan untuk mencapai tujuan yang dibenarkan oleh syariat, melalui jalan yang juga dibenarkan secara lahiriah.
Darjat
Taraf, kedudukan, atau tingkatan kemuliaan seseorang hamba di sisi Allah ‎ﷻ, yang dicapai melalui Iman, Taqwa, Ilmu, dan kesabaran.
Din al-Malik (دينِ ٱلمَلِكِ)
Undang-undang raja. Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada sistem perundangan Mesir yang berbeza dengan syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Ḥīlah al-Muḥarramah
Helah yang diharamkan, iaitu strategi yang digunakan untuk mengelakkan kewajipan (seperti zakat), menghalalkan yang haram (seperti riba), atau melanggar tujuan syariat.
Kidna li Yusuf (كِدنا لِيوسُفَ)
Frasa Al-Quran yang bermaksud “Kami (Allah) atur untuk Yusuf”. Ia menandakan bahawa strategi yang berlaku adalah sebahagian daripada Rancangan Bijaksana Ilahi.
Kiid (كَيْد)
Kata dasar yang bermaksud strategi, tipu daya, atau rancangan tersembunyi. Apabila disandarkan kepada Allah ‎ﷻ, ia membawa makna Pengaturan Ilahi yang bertujuan baik.
Mafsadah
Kerosakan atau keburukan yang bertentangan dengan tujuan syariat.
Maqāṣid al-Syarī’ah
Tujuan-tujuan utama di sebalik pensyariatan hukum-hakam dalam Islam, seperti memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.
Maslahat
Kebaikan atau manfaat yang ingin dicapai, selari dengan tujuan syariat.
Nikah Taḥlīl
Perkahwinan sementara yang dirancang semata-mata untuk menghalalkan seorang wanita kembali kepada bekas suaminya yang telah menceraikannya dengan talak tiga. Ia adalah contoh helah yang diharamkan.
Ṣuwā’ al-Malik (صُوَاعَ ٱلمَلِكِ)
Piala raja; merujuk kepada bekas minuman atau sukatan milik kerajaan yang bernilai tinggi di mata para pegawai.
Al-Siqāyah (ٱلسِّقَايَةَ)
Piala atau bekas minuman. Dalam tafsir, ia dianggap sebagai istilah yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk merujuk objek yang sama, mungkin menandakan ia hanya piala biasa baginya.
Talbis Iblis
Belitan atau tipu daya Iblis. Sifat ujub dianggap sebagai salah satu bentuk Talbis Iblis.
Ujub
Perasaan bangga atau kagum dengan diri sendiri, dan lupa untuk menyandarkan kelebihan yang ada kepada Allah ‎ﷻ. Ia adalah sifat mazmumah yang merosakkan hati.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment