Ayat 15: Ayat ini adalah bayangan kepada maksud husnul ma’ab حُسنُ المَآبِ yang disebut dalam ayat sebelum ini.
۞ قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم ۚ لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ
SAHIH INTERNATIONAL
Say, “Shall I inform you of [something] better than that? For those who fear Allah will be gardens in the presence of their Lord beneath which rivers flow, wherein they abide eternally, and purified spouses and approval from Allah. And Allah is Seeing of [His] servants –
MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;
قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِّن ذٰلِكُم
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu?
Mahukah kalau Allah ﷻ beritahu yang lebih baik daripada nikmat-nikmat dunia yang disebut dalam ayat sebelum ini? Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad tanya dalam bentuk soalan supaya menarik minat manusia untuk tahu jawapannya.
Ini adalah salah satu dari cara menarik minat manusia. Tentulah kita mahu tahu, bukan?
لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
Balasan yang baik ini hanya bagi orang yang bertaqwa, iaitu mereka yang boleh jaga hukum semasa mereka hidup di dunia. Mereka boleh bersabar daripada tergoda dengan pujukan nikmat dunia. Mereka nampak nikmat-nikmat itu di hadapan mereka tetapi mereka tidak terpengaruh. Kerana mereka tahu itu hanyalah dunia sahaja yang sementara, tidak kekal dan rendah kalau dibandingkan dengan akhirat. Oleh kerana itu mereka letak dunia di tangan sahaja, bukannya di hati.
Yang Allah ﷻ akan sebut ini beribu juta kali lebih bagus daripada perhiasan dunia yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Allah ﷻ mulakan dengan sebut nikmat dalam bentuk jasmaniah (fizikal). Iaitu Allah beritahu ﷻ yang mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya.
Allah ﷻ selalu menyebut sungai di bawah syurga kerana tempat ada airlah yang disukai oleh manusia. Kalau dapat duduk di rumah yang ada air sungai, air laut, itu memang kesukaan manusia. Sebab itu kalau hotel pandang ke arah laut pun (ocean view) sudah lebih mahal dari yang pandang ke arah lain. Tambahan pula kalau hotel itu sendiri di atas air, tentu lagi mahal.
خٰلِدينَ فيها
mereka kekal di dalamnya.
Kalau tinggal di tempat yang menyenangkan, tetapi sekejap sahaja, itu bukan nikmat sebenar. Macam kita kalau duduk di hotel yang beribu ringgit semalam pun, tetapi dalam hati kita, kita tahu yang kita hanya duduk sekejap sahaja di situ. Esok lusa kena keluar juga.
Akan tetapi ahli syurga itu duduknya adalah selama-lamanya. Maka ahli syurga akan tenang sahaja di sana kerana dia tidak takut yang dia akan dikeluarkan.
وَأَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ
Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih,
Kalau duduk tempat nikmat, duduk pula selama-lamanya, tetapi kalau duduk seorang sahaja pun, tentu tidak menggembirakan kerana kita manusia memang tidak suka tinggal berseorangan. Maka Allah ﷻ berikan teman hidup untuk ahli syurga.
Pasangan itu pula dari jenis yang suci daripada segi fizikal dan juga dari segi akhlak. Daripada segi jasmani, mereka tidak ada kekotoran najis dan bau yang tidak enak. Malah amat cantik dipandang mata. Dan daripada segi akhlak, mereka tidak ada langsung sifat buruk. Contohnya, tidaklah ada perasaan cemburu dan marah-marah seperti pasangan kita sekarang.
وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ
serta keredhaan daripada Allah
Setelah disebut contoh-contoh nikmat jasmani, Allah ﷻ sebut pula nikmat rohani. Nikmat rohani yang akan diberikan adalah keredhaan daripada Allah ﷻ. Ini adalah nikmat yang paling hebat sebenarnya. Tidak ada yang lebih hebat daripada nikmat ini.
Bayangkan, kalau ayah kita kata dia bangga dengan kita pun, kita sudah suka. Bagaimana kalau majikan kita bangga dan puji kita? Pun kita suka, bukan? Bagaimana kalau Perdana Menteri bangga dengan kita? Lagi besar, bukan?
Namun adakah yang lebih besar daripada pujian Allah ﷻ? Tidak ada lagi. Bayangkan Allah ﷻ beritahu kita yang Dia redha dengan kita, dengan apa yang kita telah lakukan semasa di dunia, tidak terbayang nikmat itu.
Kalau nikmat dunia, banyak mana pun kita ada, kita pasti tidak akan rasa puas; tetapi kalau dengan nikmat syurga, ditambah dengan redha Allah ﷻ, kita akan puas.
وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ
Dan Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;
Allah ﷻ sedang melihat kita daripada segi jasmani dan rohani, ke manakah kita akan pergi, dan Allah ﷻ melihat tempat yang sedang kita tuju, sama ada ke syurga atau neraka. Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan dan apa yang kita fikirkan. Semua itu akan dinilai.
Kalau kita dapat sematkan pemahaman ini dalam diri kita, maka kita akan takut untuk buat dosa. Kita akan sentiasa jaga amalan kita dan jaga hati kita. Kerana itu Allah ﷻ selalu sebut tentang perkara ini.
Ayat 16: Ini adalah sambungan tentang hamba yang sedang menuju ke syurga seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Inilah sifat dan doa mereka. Allah sedang perhati apa yang mereka lakukan. Marilah kita ikuti mereka dan semoga kita semua termasuk dalam kelompok ini.
الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا ءآمَنّا فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا وَقِنا عَذابَ النّارِ
SAHIH INTERNATIONAL
Those who say, “Our Lord, indeed we have believed, so forgive us our sins and protect us from the punishment of the Fire,”
MALAY
(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”;
الَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا إِنَّنا ءآمَنّا
orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman,
Mereka mengaku beriman sebelum berdoa meminta ampun. Ini bermaksud mereka bertawasul dengan iman. Mereka menggunakan iman mereka untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah.
Inilah jenis tawasul yang dibenarkan dan digalakkan. Bukannya tawasul dengan Nabi, wali dan malaikat yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Bukanlah semua tawasul tidak dibenarkan. Cuma kena tahu dan belajar manakah jenis tawasul yang dibolehkan. Belajarlah, jangan ikut sahaja apa yang orang lain buat.
فَاغفِر لَنا ذُنوبَنا
oleh itu, hapuskanlah dosa-dosa kami
Kita kena sedar yang kita banyak dosa dan kita berharap sangat Allah ampunkan dosa kita. Bukan ampunkan sahaja, tetapi maksud ghafara adalah tutup terus dosa itu, jangan sebut-sebut lagi. Maka kalau Allah telah tutup, maka tidaklah kita malu di akhirat kelak.
Kerana hanya Allah dan kita sahaja yang tahu. Kalau Allah tidak tutup, maka dosa itu akan dipampangkan dan semua akan tahu, maka tentulah kita akan malu, bukan?
وَقِنا عَذابَ النّارِ
dan peliharalah kami dari azab neraka”;
Kita kena doa kepada Allah supaya selamatkan kita dari masuk neraka. Kita tak mahu duduk walau sekejap pun. Lihat, dengar dan cium sedikit pun neraka itu kita tidak mahu.
Oleh itu, kita minta kepada Allah supaya berilah kepada kita sifat boleh meninggalkan dosa. Kerana kalau asyik buat dosa sahaja akan menyebabkan kita kena masuk neraka sebab neraka adalah tempat cuci dosa.
Ayat 17: Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini. Allah jelaskan apakah sifat hamba yang baik. Ada lima sifat yang akan disebut.
Sekarang kita akan belajar cara-cara untuk kawal nafsu dari tergelincir kepada keinginan yang salah. Nafsu itu tidak salah, tapi kena kawal supaya ianya dilakukan kepada benda yang halal sahaja. Macam kereta, kenalah ada brek. Kalau jalan laju sahaja dan brek tidak ada (atau tidak dipakai), tentu akan berlanggar akhirnya.
Maka, kita kena sedar yang kadang-kadang nafsu kita memang teringin perkara-perkara yang tidak boleh. Ini biasa sahaja kerana kita ini memang makhluk yang ada nafsu. Beza orang beriman dan tidak, orang beriman dapat tahan nafsu mereka. Mereka tidaklah ikut kehendak nafsu mereka.
الصّٰبِرينَ وَالصّٰدِقينَ وَالقٰنِتينَ وَالمُنفِقينَ وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ
SAHIH INTERNATIONAL
The patient, the true, the obedient, those who spend [in the way of Allah ], and those who seek forgiveness before dawn.
MALAY
(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
الصّٰبِرينَ
orang-orang yang sabar
Pertama, kena sabar dalam taat. Nak taat Allah kena sabar kerana kadang-kadang ianya susah dilakukan dan memang akan banyak dugaan. Jadi tidak payahlah nak mengadu itu dan ini sukar, kerana memang ianya sukar. Inilah ujian. Kalau ia senang, tidaklah dinamakan ‘ujian, bukan?
Sabar itu hanya ada pada orang yang ada sifat taat. Apa-apa sahaja musibah yang menimpa kita, itu adalah ujian kepada kita dan kita kena sabar. Dan ia bukan percuma kerana kita akan dapat pahala atas sabar itu. Ia tidak sama seperti orang kafir. Mereka pun terima musibah juga. Tapi kerana mereka itu hidup dalam derhaka, maka musibah yang menimpa mereka itu adalah permulaan kepada azab.
Benda yang sama sahaja, tetapi kepada orang mukmin, ianya adalah ujian dan sumber pahala manakala benda yang sama kepada orang kafir adalah azab kepada mereka. Ianya adalah azab yang kecil sebelum mereka mendapat azab besar dalam neraka. Kalau mereka sabar mereka dalam dunia pun akhirnya akan masuk neraka juga. Sedangkan kalau kita sabar, dapat pahala.
Sebagai contoh, kalau kita mendapat musibah seperti sakit atau penyakit, kita akan mendapat pengampunan dari Allah – dengan syarat kita sabar dengan ketetapan Allah memberikan sakit kepada kita. Kalau kita tidak sabar, tidak dapat apa yang dijanjikan itu kerana kita seperti tidak redha dengan apa yang Allah telah takdirkan kepada kita.
Juga kita kena ada sabar dari ikut kehendak nafsu yang salah. Kalau kita tidak ikut ajakan nafsu dan bersabar dari melampiaskan nafsu di dunia dengan cara yang haram, kita akan dapat melampiaskannya di syurga dengan cara halal di syurga.
Contohnya, jika kita sabar dari berzina di dunia, kita akan dibalas dengan bidadari yang lebih hebat nanti di syurga. Kita tidak minum arak di dunia, nanti akan dapat sungai arak yang lebih sedap lagi. Kita (lelaki) tidak pakai sutera semasa di dunia, maka di syurga nanti pakaian kita akan sutera yang lebih hebat lagi.
وَالصّٰدِقينَ
dan orang-orang yang benar
1. Benar lagi jujur, tidak licik dalam menipu. Dalam Surah Saba’, ada disebut bagaimana orang yang banyak helah tak masuk syurga. Licik itu jenis orang yang bijak dalam menipu orang lain. Memang dia rasa dia bijak, dapat apa yang dia hendak, dan suka dia menceritakan bagaimana dia dapatkan sesuatu dengan helah. Memang dia akan dapat apa yang dihajatinya itu tapi dia tidak jujur.
2. Ia juga bermaksud jujur dengan diri sendiri. Sedar yang kita ada keinginan dalam diri kita. Sedar yang Allah sudah letakkan ada keinginan nafsu dalam diri kita. Sebab itu Allah menceritakan keindahan dan nikmat dalam syurga kerana memang itu keinginan manusia. Jangan jadi macam orang Nasara yang menidakkan perasaan itu.
Contohnya paderi mereka tidak dibenarkan berkahwin sampai bila-bila. Ini bahaya kerana apabila ditolak nafsu itu, akan menyebabkan ada masalah dengan diri mereka kerana menidakkan sesuatu yang Allah telah jadikan dalam fitrah manusia. Kalau melawan fitrah, pasti akan ada masalah. Kita pun dengar bagaimana paderi-paderi Kristian telah banyak melakukan kesalahan seksual luar tabiat. Ini adalah kerana mereka menolak sifat yang normal, sampai jadi tak normal.
3. Menjadi orang yang benar juga bermaksud benar yang di luar dan di dalam hati. Jangan sebut beriman di mulut tetapi tidak di dalam hati. Jangan hati cakap lain, tapi perbuatan dari apa yang kita cakap. Jangan cakap tak serupa bikin.
4. Juga boleh bermaksud membenarkan segala ajaran yang telah disampaikan oleh Nabi. Apa-apa sahaja yang disampaikan oleh Nabi diterima oleh kita. Maka kita belajar apa yang disampaikan oleh wahyu dan kita terima apa yang disampaikan. Mungkin pada mulanya ia agak pelik kerana lain dari yang kita sudah biasa, tapi kerana ianya dari wahyu, kita terima juga.
Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an kita belajar tidak boleh menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah dalam doa. Ini pelik kerana masyarakat kita banyak mengamalkan amalan ini, malah diamalkan oleh para ustaz juga. Tapi apabila kita belajar yang itu adalah amalan salah, kita sanggup tinggalkan. Inilah dia orang yang membenarkan ajaran wahyu.
وَالقٰنِتينَ
dan orang-orang yang sentiasa taat
Ada sifat kepatuhan dalam diri mereka. Mereka bersedia untuk berkhidmat dalam hal agama. Mereka juga patuh dengan segala arahan dari Allah dan Nabi. Ini jenis orang yang awal pergi solat. Jenis kalau suruh lompat, dia tanya “berapa tinggi?”, bukan dia kata, “kenapa nak kena lompat ni?”
Maknanya dia bukan jenis nak persoal arahan Allah. Ada orang yang akal dia susah hendak terima maka mulalah dia tanya itu dan ini. Ketahuilah yang kadang-kadang otak dan minda kita tidak dapat terima lagi ‘kenapa’, tapi kita hendaklah terus melakukan apa yang disuruh oleh wahyu. Asalkan arahan itu jelas ada dalam wahyu, maka kita kena terus buat.
وَالمُنفِقينَ
dan orang-orang yang membelanjakan hartanya
Mereka yang rajin infak harta mereka di atas jalan agama. Mereka yakin dengan janji Allah yang Allah yang mengatakan Dia akan balas infak mereka di akhirat.
‘Infak’ itu bermaksud ‘mengeluarkan harta’. Maksud dalam ayat ini tentunya berkenaan mengeluarkan harta untuk kebaikan. Kalau kita membeli belah di pasar pun infak juga sebenarnya, tapi itu bukanlah infak di atas jalan agama.
وَالمُستَغفِرينَ بِالأَسحارِ
dan orang-orang yang beristighfar pada waktu sahur.
Mereka rajin memohon ampun di waktu sahur. Iaitu selepas mereka melakukan Solat Tahajjud.
Kenapa pula mereka minta ampun? Mereka minta ampun kerana takut Allah hukum mereka. Padahal mereka orang yang baru sahaja melakukan kebaikan. Ini maksudnya istighfar setelah taat. Amat lembut hati mereka sampaikan mereka masih rasa bersalah walaupun semasa sedang buat taat.
Mereka takut kalau tak cukup apa yang mereka sudah buat. Istighfar jenis ini bernilai amat tinggi pada sisi Allah. Kerana kalau orang yang buat dosa istighfar memang sudah biasa kita dengar, tapi ini orang yang berbuat kebaikan pula. Memang tidak sama.
Kenapa waktu sahur disebut? Kita pun sudah tahu yang tidur adalah satu perkara yang manusia amat suka. Bayangkan kalau tak cukup tidur sahaja, kita sudah tidak selesa. Tapi ada manusia yang tinggi imannya yang sanggup meninggalkan keselesaan tidur untuk beribadah kepada Allah. Sudahlah mereka sanggup meninggalkan keselesaan ada duit banyak dengan mengeluarkan infak, mereka sanggup tinggalkan keselesaan tidur juga. Ini juga melawan nafsu yang besar, iaitu nafsu tidur.
Nota: Ayat ini sebenarnya mengajar kita cara berdoa. Kalau kita lihat ayat ini secara mendalam, kita belajar bahawa doa yang paling baik adalah pada waktu sahur iaitu dalam sepertiga akhir malam, terutama sekali selepas mengerjakan Solat Tahajjud.
Waktu sahur adalah waktu yang amat istimewa. Dalam hadis yang sahih, dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ
“Rabb kita تَبَارَكَ وَتَعَالَى turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Dia berfirman, “Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.” (HR. Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 758).
Ayat 18: Perkara yang akan disampaikan ini sudah ada dalam kitab-kitab sebelum Al-Qur’an. Diulang kembali dalam Al-Qur’an untuk kita pula.
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَأُولُو العِلمِ قائِمًا بِالقِسطِ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
SAHIH INTERNATIONAL
Allah witnesses that there is no deity except Him, and [so do] the angels and those of knowledge – [that He is] maintaining [creation] in justice. There is no deity except Him, the Exalted in Might, the Wise.
MALAY
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ
Allah bersaksi bahawasanya tiada ilah melainkan Dia,
Allah bersaksi yang hanya Dia sahaja ilah. Jadi di dalam ayat ini, Allah memberitahu yang Dia sendiri menjadi saksi. Dia tidak jadikan selain Dia, ada ilah-ilah yang lain. Tidak kira siapa pun, sama ada wali, Nabi atau malaikat malah jin.
Hanya Allah sahaja ilah bagi makhluk. Tidak ada tempat menumpang harap yang lain bagi makhluk melainkan kepada Allah sahaja. Hanya Allah sahaja tempat kita sembah, tempat kita berdoa dan tempat kita taat sebenar-benar taat. Inilah perkara utama yang disebut berulang-ulang kali di dalam Al-Qur’an. Dan kerana itulah kita kena faham benar perkara ini.
وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ
dan malaikat-malaikat
Para malaikat juga bersaksi yang hanya Allah sahaja ilah. Maknanya ini adalah tamparan khusus bagi mereka yang menjadi para malaikat sebagai ilah. Ini seperti Musyrikin Mekah yang meminta kepada para malaikat kerana mereka berakidah yang para malaikat itu ‘anak perempuan Allah’.
Maka kalau kita pun berharap kepada para malaikat juga, maka samalah sahaja dengan Musyrikin Mekah. Maka bagaimana dengan golongan pesilat yang ada amalan seru malaikat seperti: “Jibril di depanku, Mikail di kananku……”. Ini adalah amalan minta pertolongan kepada para malaikat. Adakah mereka sangka para malaikat itu makan gaji dengan mereka boleh arah-arah pula para malaikat itu untuk jaga dia?
Saya dulu semasa di dalam tarekat juga diajar untuk beri salam kepada 10 malaikat. Kerana kononnya supaya mereka kenal (sebab selalu beri salam kononnya). Jadi bila hendak minta tolong kepada mereka, senanglah kononnya sebab mereka sudah kenal. Ini memang ajaran yang sesat. Malangnya masih ramai yang tertipu dengan ajaran sufi tarekat sekarang. Mereka itu buang masa dengan perkara yang sesat.
وَأُولُو العِلمِ
serta orang-orang yang berilmu
Para Nabi yang diberi ilmu wahyu yang sebenar, juga bersaksi perkara yang sama. Mereka telah sampaikan kepada para pengikut mereka. Kalau kita pun sudah mendapat ilmu tentang akidah ini, maka kita pun dikira orang berilmu juga dan boleh termasuk di dalam golongan ini.
Tapi berapa ramai yang tidak ada ilmu wahyu dan amat jauh dari wahyu? Mereka sangka mereka telah banyak belajar ilmu agama, tapi ilmu wahyu (tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis) belum belajar lagi. Kerana itu ada amalan-amalan mereka yang pelik-pelik dan seru sana dan sini.
Negara kita ini memang boleh dikatakan tidak ada pengajaran wahyu sebenarnya dari dahulu lagi. Baru sekarang baru bermula dan bercambah pengajaran wahyu di kalangan masyarakat kita. Diharap ini akan berterusan.
قائِمًا بِالقِسطِ
menegakkan keadilan
Mereka dalam keadaan menegakkan keadilan iaitu menegakkan tauhid.
Mereka yang mempunyai akidah tauhid akan menegakkan keadilan dalam dunia. Keadilan bukan sahaja ada dalam agama Islam, tetapi ianya juga dipandang tinggi dalam semua manusia sejagat walaupun bukan Muslim. Semua orang mahu adil di dalam dunia ini.
Tetapi ianya ditekankan lebih lagi dalam agama Islam. Islamlah agama yang menekankan kesamarataan pada semua manusia sebelum manusia Barat mengenali apa itu Human Rights. Memang mereka jaga Human Rights tapi itu adalah perkara baru dalam sejarah dunia. Sedangkan Human Rights sudah ada disebut di dalam Islam sejak diturunkan Al-Qur’an ini.
Memang hak manusia itu penting, tapi bagaimana pula dengan hak Allah? Adakah itu tidak lebih penting dari hak kita? Maka apakah hak Allah? Hak Allah adalah hanya Dia sahaja disembah, diibadati, dijadikan tempat pengharapan dan tempat kita meminta tolong. Inilah yang pertama sekali perlu ditegakkan.
لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
tiada ilah melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Kita hanya sembah dan berdoa kepada Allah sahaja kerana Dia sahaja yang ada sifat ilah. Dia sahaja yang ada sifat Aziz dan Hakeem.
Sifat Aziz bermaksud Allah Maha Perkasa dan boleh hukum sesiapa yang derhaka pada bila-bila masa sahaja kalau Dia mahu.
Tapi, Dia juga al-Hakim yang tangguh hukuman kepada makhluk di dalam kebijaksanaanNya.
Allah maha berkuasa dan Dia boleh buat apa-apa sahaja. Tapi Allah menggunakan kuasa itu dengan penuh kebijaksanaan. Bandingkan kalau manusia yang ada kuasa besar, selalunya mereka akan salah guna kuasa itu. Ini kita boleh lihat dalam dunia sekarang.
Ayat 19: Ilmu tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilah’ kena dipelajari sehingga jelas bagi kita. Dan maklumat telah banyak diberikan dalam wahyu, akan tetapi ada juga berlaku banyak perselisihan di kalangan manusia.
Sekarang Allah jelaskan kenapa ada perselisihan itu. Kita juga boleh tahu kenapa ada perselisihan di kalangan masyarakat Muslim kita juga.
إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ ۗ وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۗ وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ
SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, the religion in the sight of Allah is Islam. And those who were given the Scripture did not differ except after knowledge had come to them – out of jealous animosity between themselves. And whoever disbelieves in the verses of Allah , then indeed, Allah is swift in [taking] account.
MALAY
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ
Sesungguhnya ugama di sisi Allah ialah Islam.
Ingatlah bahawa hanya Akidah dan cara hidup Islam sahaja yang diterima. Apabila dikatakan deen/’agama’, ia terdiri dari akidah dan cara hidup (bukan hanya bab ibadah sahaja).
Dan cara hidup pula merangkumi dua perkara – hubungan dengan Allah yang dipanggil ‘ibadat’ dan hubungan dengan makhluk yang dipanggil ‘adat’. Keduanya kena ikut cara Islam iaitu syariat. Semua ada diajar di dalam wahyu dan disampaikan oleh Rasul kita.
Kalimah ‘Islam’ bermaksud menyerahkan diri bulat-bulat 100% kepada Allah. Maka, agama yang dikehendaki oleh Allah adalah menyerahkan diri kita kepada Allah dengan sepenuhnya. Kalau setakat dalam kad pengenalan sahaja pakai nama ‘Muslim’, tapi tidak taat kepada perintah Allah, maka tidak bermakna langsung status Muslim mereka itu. Kerana yang penting adalah kita Muslim di mata Allah. Jangan orang pandang kita Muslim, tapi sebenarnya tidak di sisi Allah.
Menyerah diri kepada Allah itu antaranya dengan taat kepada segala arahanNya. Maka kenalah dipelajari wahyuNya kerana arahanNya ada di dalam wahyu. Kalau tidak belajar, bagaimana hendak taat?
وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ
Dan tidaklah berselisih orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu
Kita pun tahu bahawa telah ada perselisihan di kalangan Yahudi dan Nasrani. Yang berselisih itu adalah di antara ulama’ dalam kalangan mereka, sebab itu digunakan lafaz ‘mereka yang diberi Kitab’. Maknanya mereka yang ada ilmu agama. Itulah kalangan agamawan mereka.
Samalah dalam masyarakat Islam pun, dalam kalangan ahli agama pun ramai yang bercakaran. Ramai yang hendak menegakkan fahaman yang mereka anuti. Kadangkala pertelingkahan mereka itu di luar norma kebiasaan manusia. Kadangkala kita orang awam pun rasa malu dengan perbuatan dan pertengkaran mereka.
Kenapa ahli agama ini berselisih? Ulama-ulama dari kalangan Ahli Kitab itu telah merasa diri mereka berkuasa dan merekalah yang membuat agama ikut acuan mereka sendiri.
Sebagai contoh, kita pun tahu bahawa agama asal Nabi Isa adalah tauhid. Tapi ianya telah dipesongkan oleh sesetengah golongan paderi mereka. Terdapat pertentangan antara mereka yang memegang fahaman tauhid dan mereka yang memegang fahaman triniti. Tetapi kerana yang berfahaman triniti itu yang kuat dengan Raja Rom waktu itu, maka fahaman triniti yang dipegang dan dipakai dan mereka yang berfahaman tauhid telah dicari dan dibunuh selagi ada.
إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ
melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan
Maknanya mereka yang berselisih itu sebenarnya ada ilmu tentang kitab (iaitu ilmu wahyu). Bukannya kerana tidak tahu wahyu. Maknanya mereka ini bukannya masyarakat awam. Manusia awam memang sudah selalu berselisih sebab mereka itu jahil. Tetapi sepatutnya ulamalah yang kena tahu yang mana benar dan mana yang tidak.
Malangnya ada ulama’ yang ikut syariat dan ada yang tidak. Ini biasa sahaja dari dahulu lagi. Maka kita yang orang awam ini kenalah pandai membezakan mana yang menggunakan dalil yang sahih, jangan pakai terima sahaja semua kata ulama’ dan ustaz.
Cara untuk bezakan adalah dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an kerana inilah asas agama. Apabila kita sudah ada asas, maka kita dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak benar. Kerana kita sudah ada kayu ukur.
بَغيًا بَينَهُم
semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.
Semua perselisihan itu terjadi kerana dengki rupanya. Kerana mereka ingin memiliki kedudukan tinggi di dunia. Semua nak tunjuk pandai kerana hendak duduk di atas. Ramai yang hendak mempertahankan kedudukan mereka kerana takut anak murid sudah tidak percaya kepada mereka.
Sampai mereka sanggup melakukan perkara yang memalukan di kalangan orang awam. Pening orang awam tengok mereka yang dipanggil ulama’ melondehkan sesama sendiri. Mana satu yang benar pun mereka sudah tidak tahu. Orang awam pula banyak yang jahil yang akan ikut sahaja siapa yang memegang tampuk kekuasaan.
Macam sekarang di negara ini, ramai yang menilai siapa yang benar, dengan melihat siapakah yang terkenal, siapakah yang masuk TV, pendapat siapa yang dipakai di dada akhbar dan sebagainya. Mereka sudah tidak mahu belajar sendiri tapi cuma mahu taklid buta sahaja. Mereka cuma melihat mana ustaz yang popular. Tambahan pula sekarang banyak siaran realiti yang mengeluar banyak ustaz-ustaz selebriti.
وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ
Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi (penakutan dengan azab akhirat). Kita kena ingat yang Allah cepat sahaja dalam membuat keputusan. Bukan macam mahkamah di negara kita yang bertahun-tahun pun tak selesai kes lagi.
Allah boleh cepat buat keputusan kerana segala maklumat di TanganNya. Dan keputusan Allah itu akan adil. Allah tidak kira sama ada mereka itu ulama’ atau tidak, ustaz atau orang biasa. Malahan kalau orang yang ada ilmu lagi bahaya. Kerana kalau mereka yang buat salah, mereka dulu yang paling awal kena seksa.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 28 Februari 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir al-Azhar – Prof Hamka
Saya dah log masuk tapi tidak dapat Rm5/=
LikeLike
siapa pula janjikan RM5?
LikeLike