Ayat 8: Ini adalah sifat kedua mereka yang berilmu. Allah ﷻ sekarang menyebut tentang doa mereka. Doa ini banyak sekali dibaca oleh masyarakat kita. Mari sekarang kita lihat apakah tafsir bagi ayat (doa) ini.
رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ
SAHIH INTERNATIONAL
[Who say], “Our Lord, let not our hearts deviate after You have guided us and grant us from Yourself mercy. Indeed, You are the Bestower.
MALAY
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,
Ini adalah tentang ketetapan hati. Kalau kita hendak bincang dan cuba hendak tahu juga perkara yang tidak perlu diketahui, lama-lama hati kita akan punah. Kerana hati kita akan terus tertanya-tanya.
Mereka yang telah mendalam ilmu mereka, akan doa begini. Mereka minta supaya Allah ﷻ jangan palingkan hati mereka. Mereka minta ditetapkan hati mereka atas iman. Ini kerana Allah ﷻ boleh sahaja palingkan hati manusia kalau Dia mahu. Dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Walaupun sudah berilmu, masalah boleh juga ada kerana orang berilmu juga ada penyakit, iaitu mereka hendak nampak mereka tahu semua benda, malu untuk kata mereka ada benda yang mereka tidak tahu. Jadi, ada antara mereka yang cuba sedaya upaya akan cakap juga tentang perkara yang tidak perlu diketahui.
Allah ﷻ sudah kata jangan masuk bincang perkara-perkara yang samar, kalau kamu masuk juga – Allah ﷻ boleh memalingkan hati kita. Oleh itu, kita kena doa supaya Allah ﷻ menjaga hati kita daripada masuk membincangkan perkara-perkara sebegitu. Kita minta Allah ﷻ tetapkan hati kita.
وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً
dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu;
Mintalah rahmat yang khas, iaitu keyakinan kepada janji Allah ﷻ; Keyakinan kepada hukum Allah ﷻ seperti keyakinan yang ada pada Nabi dan sahabat.
Sebenarnya, semua rahmat datang daripada Allah ﷻ, bukan? Tidak ada manusia atau makhluk lain yang boleh memberi rahmat. Jadi kenapa dimasukkan dalam ayat ini ‘Rahmat dari sisi Engkau’? Ia adalah untuk mengingatkan kita – bahawa Rahmat itu daripada Allah ﷻ sahaja, bukan daripada entiti lain.
إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ
sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.
Ini adalah cara untuk berdoa kepada Allah ﷻ, iaitu dengan memuji-Nya. Sama ada puji Allah ﷻ di awal doa atau di hujung doa. Jadi, ini adalah satu contoh doa yang bagus untuk dibaca oleh kita semua.
Ayat 9: Selain daripada doa di atas, mereka juga doa begini.
رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ
SAHIH INTERNATIONAL
Our Lord, surely You will gather the people for a Day about which there is no doubt. Indeed, Allah does not fail in His promise.”
MALAY
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, pada suatu hari yang tidak ada syak padanya”.
Kita mengiyakan yang Allah ﷻ akan menghimpunkan semua makhluk-Nya termasuk manusia pada Hari Kiamat nanti. Dan hari itu tidak syak lagi akan berlaku.
Manusia berpecah belah dalam bermacam-macam fahaman, tetapi akan datang suatu masa yang semuanya akan duduk berhimpun di satu tempat menunggu pengadilan daripada Allah ﷻ .
Entah apalah nasib kita di sana nanti. Kita hendaklah doa dan berharap yang ia adalah baik untuk kita. Kenalah kita berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini supaya harapan kita itu ada asasnya kerana tidaklah boleh hanya berharap kosong sahaja, namun usaha juga kena ada.
إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ
Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya.
Allah ﷻ tidak akan memungkiri janjiNya. Hari kebangkitan itu pasti akan berlaku, pada waktu yang Allah ﷻ telah tentukan, dan pasti semua makhluk akan dikumpulkan di tempat yang Allah ﷻ telah tentukan.
Kita kena ingat janji Allah ﷻ untuk membalas dengan kebaikan mereka yang berbuat baik dan janji Allah ﷻ juga untuk mengazab mereka yang lalai dan ingkar. Oleh sebab kerana kita tahu Allah ﷻ tidak mungkin mungkir janji inilah yang kita mesti memastikan yang akidah dan amalan kita sentiasa terjaga.
Jadi, itulah doa-doa yang dibaca oleh mereka yang rasikh ilmu mereka.
Sekian Ruku’ 1 dari 20 ruku’ surah ini
Ayat 10:
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئًا ۖ وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ
SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allah at all. And it is they who are fuel for the Fire.
MALAY
Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم
Sesungguhnya orang-orang kafir, tidaklah dapat menyelamatkan mereka harta benda mereka
Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang kafir kerana degil. Harta mereka tidak boleh membantu mereka langsung, tidak kira walau kaya macam mana sekalipun.
Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang semua manusia akan dikumpulkan di Mahsyar kelak. Apa yang bernilai pada waktu itu adalah akidah dan amal kita. Harta-benda tidak akan mempunyai nilai langsung. Maka kalau orang ingkar yang kaya, kekayaan mereka itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka.
Maka, janganlah kita hanya asyik mengumpulkan harta sahaja. Hendaklah kita beramal dengan kebaikan dan harta itu hendaklah kita infakkan.
وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئً
dan juga anak pinak mereka dari Allah sedikit pun
Juga anak atau pengaruh untuk menyelamatkan mereka daripada azab Allah ﷻ tidak akan berguna sedikit pun.
Dua perkara yang menyibukkan manusia adalah harta dan anak pinak. Ramai yang sibuk mengumpul harta kerana mereka hendak simpan untuk kegunaan anak pinak. Ilmu agama dan akhlak tidak diajar kepada anak pinak itu, tetapi harta yang disibukkan untuk mereka. Padahal, harta itu anak pinak boleh cari sendiri apabila mereka sudah dewasa nanti, bukan? Yang penting untuk mereka di waktu kecil adalah pendidikan agama. Malangnya, ramai ibubapa tidak ambil peduli. Alangkah ruginya!
Asbabun Nuzul ayat ini. Selepas kejayaan umat Islam di Badr, puak Yahudi telah telah cuba menyakitkan perasaan para sahabat yang baru pulang daripada kemenangan Badr. Yahudi kata apa yang para sahabat itu baru hadapi tidak ada apa-apa sebenarnya; dan nanti mereka kata puak Islam akan menghadapi masalah dan tentangan yang lebih besar.
Mereka kata orang Mekah itu tidaklah hebat mana. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini untuk memberitahu yang harta dan anak pinak puak kafir itu tidak akan dapat membantu mereka apa-apa pun. Jangan mereka sangka mereka akan selamat. Jangan bangga diri dengan kelebihan keduniaan yang ada.
وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ
dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.
Ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi (menakutkan manusia dengan azab di akhirat). Mereka akan jadi bahan bakar api neraka. Api neraka sampai takut dengan penambahan ahli neraka sebab neraka akan jadi semakin panas apabila bertambah ramainya ahli neraka. Ini kerana semakin ramai ahli neraka, semakin menyebabkan neraka itu sendiri menjadi sakit disebabkan bertambah kepanasannya.
Bayangkan neraka yang memang kerjanya bakar orang pun rasa panas dengan penambahan ahli neraka. Setiap kali masuk seorang ahli baru, semakin naik suhu kepanasan.
Ayat 11:
كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ
SAHIH INTERNATIONAL
[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and those before them. They denied Our signs, so Allah seized them for their sins. And Allah is severe in penalty.
MALAY
(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.
كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم
sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka;
Allah ﷻ hendak beritahu yang kekufuran golongan kafir itu kerana ada bersangkutan dengan harta. Ini seperti yang berlaku kepada Firaun juga. Disebabkan dia kaya dan ada pengaruh besar, maka dia tidak mahu mendengar dakwah Nabi Musa عليه السلام.
Bukan hanya Firaun sahaja, malah kaum terdahulu pun menentang Nabi mereka kerana sebab yang sama. Ini memang kebiasaan yang berlaku zaman berzaman.
Kerana sayangkan keduniaanlah, Musyrikin Mekah melawan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda merupakan seorang anak yatim dan miskin. Mereka amat berbangga dengan harta dan pengaruh yang ada pada mereka. Puak kafir yang menentang Islam akan mendapat nasib yang sama macam yang telah dikenakan kepada Firaun.
كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم
mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka.
Kerana mereka tidak mahu juga pakai ayat Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan azab mereka. Mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ itu bermaksud tidak mahu ikut apa yang disampaikan dalam wahyu. Mungkin tidak disebut mereka ‘tolak’ wahyu, tapi apabila mereka tidak mahu ikut apa yang disampaikan, maka itu menjadi tanda yang mereka menolak ajaran wahyu.
وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ
Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksa-Nya.
Allah ﷻ mengingatkan kita betapa beratnya azab dari-Nya. Tidak dapat dibayangkan dengan akal. Ini hendak menakutkan kita. Jangan main-main dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Allah ﷻ beri amaran dalam ayat ini.
Ayat 12: Azab itu bukan hanya di akhirat sahaja. Di dunia lagi Allah ﷻ sudah boleh tunjuk.
قُل لِّلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئسَ المِهادُ
SAHIH INTERNATIONAL
Say to those who disbelieve, “You will be overcome and gathered together to Hell, and wretched is the resting place.”
MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.
قُل لِّلَّذينَ كَفَروا
Katakanlah kepada orang-orang kafir itu:
Allah ﷻ suruh beri ancaman kepada orang-orang kafir itu. Orang Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh jadi sama ada musyrikin Mekah, Nasara atau Yahudi. Iaitu mereka yang menentang ajaran wahyu.
سَتُغلَبونَ
Kamu akan dikalahkan
Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka akan dikalahkan. Memang sekarang mereka nampak mereka kuat, tetapi nanti mereka akan dikalahkan.
وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ
dan akan dihimpunkan ke dalam neraka Jahannam,
Di dunia lagi kamu akan dikalahkan dan di akhirat kelak kamu akan dimasukkan ke dalam neraka.
وَبِئسَ المِهادُ
dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.
Neraka itu bukanlah tempat berehat tetapi tempat dikenakan azab. Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada neraka itu. Maka sepatutnya kita takut dan orang kafir pun sepatutnya takut dengan ancaman ini.
Ayat 13:
قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا ۖ فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ وَأُخرىٰ كافِرَةٌ يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي ٱلأَبصَـٰرِ
SAHIH INTERNATIONAL
Already there has been for you a sign in the two armies which met – one fighting in the cause of Allah and another of disbelievers. They saw them [to be] twice their [own] number by [their] eyesight. But Allah supports with His victory whom He wills. Indeed in that is a lesson for those of vision.
MALAY
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).
قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu
Allah ﷻ bukan sekadar memberi ancaman kosong sahaja, malah Allah ﷻ memberikan contoh perkara yang telah berlaku. Allah ﷻ berikan contoh bagaimana Dia telah menolong golongan yang benar dan mengalahkan golongan sesat.
Yang dimaksudkan adalah Perang Badr. Surah Ali Imran ini memang ada menyebut tentang Perang Badr dan Perang Uhud. Maka kita belajar sedikit sebanyak tentang sejarah dalam surah ini.
فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ
satu pasukan berperang pada jalan Allah
Yang dimaksudkan adalah tentera Muslim. Mereka waktu itu seramai 313 orang sahaja. Perjuangan mereka adalah kerana hendak menegakkan kalimah Allah ﷻ. Musuh mereka yang kafir itu pula berjuang kerana menjaga harta mereka. Jadi, walaupun tentera Muslim waktu itu sedikit, tetapi oleh kerana yakin dengan Allah ﷻ, maka mereka berani menghadapi pihak musuh yang lebih ramai dan lebih lengkap (dari segi peralatan perang) daripada mereka.
Balaghah: kita tahu yang pihak yang berperang pada jalan Allah ﷻ ini adalah pihak mukmin. Memang tidak dilafazkan dalam ayat ini kerana ia dihazafkan untuk mencantikkan bahasa. Ini kerana kalau disebut akan menyebabkan panjang dan ia tidak perlu kerana dapat difahami apabila kita melihat kepada bahagian yang lain iaitu dalam bahagian ayat selepas ini disebut yang pihak yang lagi satu adalah pihak ‘kafir’.
Jadi, Allah ﷻ tidak menyebut pihak mukmin kerana telah disebut lawannya, iaitu pihak kafir itu. Kita dapat ambil pemahaman daripada lawannya. Apabila telah disebut lawannya, tidak perlu lagi disebutkan dengan panjang lagi.
وَأُخرىٰ كافِرَةٌ
dan yang satu lagi dari golongan kafir
Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Bilangan mereka waktu itu seramai seribu orang. Mereka tiga kali ganda lebih ramai daripada puak Islam.
Dalam potongan ayat ini juga ada balaghahnya. Tidak disebut yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut tetapi kita dapat faham bahawa mereka berperang di atas jalan taghut kerana dalam potongan ayat sebelum ini telah disebut bagaimana pihak yang lagi satu (tentera Mukmin) berperang pada jalan Allah ﷻ. Maka dihazafkan maklumat yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut kerana telah disebut lawannya.
يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ
Mereka melihat lawan dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya
Siapa yang nampak siapa? Ada dua tafsir dalam ayat ini:
1. Waktu itu kumpulan Muslim nampak puak kafir itu dua kali ganda lebih ramai daripada mereka padahal bilangan mereka sebenarnya tiga kali ganda lebih ramai. Maknanya, tidaklah nampak ramai sangat.
2. Ataupun boleh juga bermaksud, puak kafir yang nampak puak Muslim itu yang dua kali ganda lebih ramai daripada mereka, walaupun realitinya, mereka yang lebih ramai. Ini adalah untuk menakutkan puak kafir itu.
وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ
Dan Allah sentiasa menolong dengan pertolongan-Nya, sesiapa yang dikehendaki-Nya,
Walaupun puak kafir waktu itu lebih ramai daripada orang Islam, tetapi Allah ﷻ tolong orang beriman dan beri kemenangan kepada umat Islam dalam Perang Badr itu. Ramainya orang bukanlah alamat yang mereka pasti akan dapat kemenangan.
Kemenangan bergantung kepada kehendak Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang akan menang. Kerana segala kuasa penentuan berada di tangan Allah ﷻ. Kita hanya mampu berusaha sahaja, tapi ditentukan oleh Allah ﷻ.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي الأَبصٰرِ
Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang melihat
Ini adalah satu pengajaran sampai bila-bila masa. Ada banyak pengajaran di dalam perang Badr itu. Banyak pengajaran yang boleh mendidik manusia.
Akan tetapi yang boleh mengambil pengajaran itu adalah mereka yang kuat pemikiran sampai mendapat mengambil natijah dari kesudahan sesuatu perkara. Mereka inilah yang boleh gunakan akal mereka yang waras untuk memikirkan.
Mereka inilah yang boleh nampak realiti sesuatu perkara. Mereka tidak hanya melihat sahaja tetapi mereka memikirkan sekali apakah kesudahan yang boleh terjadi. Mereka boleh nampak yang tersurat kerana mereka menggunakan akal mereka.
Ayat 14: Allah ﷻ beritahu kenapa golongan musyrikin dan golongan penentang kebenaran menjadi degil – kerana kelebihan keduniaan yang ada pada mereka.
زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوٰتِ مِنَ النِّساءِ وَالبَنينَ وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ وَالأَنعٰمِ وَالحَرثِ ۗ ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ
SAHIH INTERNATIONAL
Beautified for people is the love of that which they desire – of women and sons, heaped-up sums of gold and silver, fine branded horses, and cattle and tilled land. That is the enjoyment of worldly life, but Allah has with Him the best return.
MALAY
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ الشَّهَوٰتِ
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu syahwat,
Segala nikmat yang ada dalam dunia ini hanyalah sampel sahaja, bukan yang “original” (asli). Sebagaimana handphone sampel tentunya tidak sama dengan handphone yang sebenar, bukan? Di syurga, nikmat yang ada nanti adalah yang asli. Contohnya madu di dunia adalah sampel kepada madu di syurga. Madu di syurga itu sangat-sangat hebat. Diberi rasa madu dunia sebagai sampel sahaja. Begitu juga dengan sutera, emas, perak dan macam-macam lagi.
Sampel itu nilainya tidak sama dengan yang asli, namun ‘dinampakkan’ cantik sahaja di mata orang kafir itu. Tapi mereka jauh dari kebenaran sampaikan yang sampel mereka nampak macam asli. Mereka nampak sampel itu cantik sahaja dan kerana itu mereka kejar sampai bersungguh-sungguh. Mereka tidak dapat menilai dengan baik.
Sampaikan apabila sampel itu digugat, mereka sanggup buat apa sahaja untuk menentang mereka yang menggugatnya. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran yang mereka nampak boleh menggugat kedudukan keduniaan mereka, maka mereka lawan Nabi ﷺ habis-habisan.
Kalau diperhatikan, senarai nikmat-nikmat yang diberikan dalam Al-Qur’an ini adalah untuk lelaki sahaja. Allah ﷻ tidak berikan senarai untuk perempuan kerana kehendak golongan perempuan amat kompleks. Kemahuan lelaki senang sahaja untuk disenaraikan (tiga ‘ta’: harta, wanita, tahta).
Manusia yang jauh dari kebenaran itu hendak memuaskan nafsu syahawat mereka kesemua sekali. Mereka cinta dan hendak sangat untuk memuaskan nafsu. Jangan salah faham pula, bukannya kita tidak boleh memenuhi nafsu kita itu, tetapi yang salahnya adalah jika tidak ikut tertib yang diajar oleh Nabi ﷺ.
Sebagai contoh, tidak salah kalau kita hendak memenuhi nafsu makan, tetapi kenalah makan makanan yang halal; tidak salah untuk kita memuaskan nafsu hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan asalkan ia dilakukan dengan cara yang halal iaitu dengan pernikahan. Islam adalah agama yang praktikal dan tidak menolak kemahuan nafsu.
Jadi, nafsu itu ada banyak jenis, yang pertama sekali adalah kehendak kepada wanita, kemudian anak, dan kemudian harta yang bertimbun dan seterusnya. Dan sekarang Allah senaraikan kebiasaan yang dikehendaki nafsu manusia (terutama sekali lelaki)
مِنَ النِّساءِ
iaitu dari perempuan-perempuan
Yang pertama sekali, mereka mahukan wanita. Sebanyak mungkin yang boleh mereka dapati. Tanyalah kepada semua lelaki yang normal, inilah perkara pertama yang mereka kejar. Kalau zaman kuno dahulu, kedudukan wanita adalah rendah daripada lelaki, maka mereka jadikan wanita itu sebagai pemuas nafsu mereka sahaja.
Zaman sekarang, hubungan sesama lelaki dan perempuan sudah seperti tidak ada batasnya. Di mana-mana sahaja boleh nampak wanita yang cantik-cantik dan dihiasi dengan bermacam perkara yang menambahkan kecantikan mereka. Maka dugaan nafsu kepada wanita itu amatlah tinggi sekali.
Maka, dengan dugaan hebat seperti itu, adakah lelaki mampu untuk menahan dirinya? Kita tidak dapat nafikan yang ramai yang tergelincir.
Tidak salah kalau seorang lelaki hendak kepada wanita dan malah, kalau hendak ramai wanita. Kehendak itu kadang-kadang tidak dapat dikawal (kerana itu dibenarkan poligami). Kehendak itu memang tinggi sampaikan ada yang jadi hamba kepada kehendak seksnya. Tapi yang mengawal kita adalah minda kita dan akhlak kita. Terutama sekali minda yang dipandu agama. Kita tidak ambil kesempatan kerana kita tahu sesuatu perkara itu salah di sisi agama.
وَالبَنينَ
dan anak-pinak
Yang kedua, mereka mahukan pengaruh. Disebut ‘anak-anak’ dalam ayat ini kerana anak-anak adalah lambang pengaruh, terutama sekali kalau anak lelaki.
Keinginan kepada anak-anak adalah normal. Anak-anak memang menjadi kebanggaan kepada para bapa. Mereka mungkin tidak cakap kepada anak itu (kadangkala golongan bapa penyegan nak memuji anak), tetapi mereka amat berbangga dengan kejayaan anak. Allah ﷻ sendiri sebut dalam ayat ini bahawa ini adalah salah satu kehendak nafsu manusia. Kalau jumpa kawan-kawan dia, mesti dia akan cerita anak dia buat ini, buat itu.
Ada “instinct” (naluri) dalam diri seorang bapa untuk kelangsungan hidupnya. Dia memang tahu yang dia akan mati. Namun jauh di sudut hati dia, kalau dia ada anak, dia akan rasa yang anaknya itulah yang akan meneruskan keturunannya.
Seorang ayah juga ada keinginan mahukan anaknya menjaganya nanti di hari tuanya. Kerana dia tahu dia akan tua dan akan lemah. Waktu itu, dia akan bergantung kepada anaknya itu.
وَالقَنٰطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ
dan harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak;
Nafsu juga mahukan harta yang berlonggok-longgok. Kebanyakan manusia memang suka mengumpul harta. Dan memang tidak pernah cukup. Kalau sudah ada sejuta, mereka hendakkan sejuta lagi. Kalau sudah menjadi millionaire, dia hendak menjadi billionaire pula.
Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, Nabi ﷺ bersabda:
لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
“Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu dia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.” (Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 6439 dan Muslim no. 1048)
Disebut dalam ayat ini adalah ’emas dan perak’. Zaman sekarang kita tidak memegang emas dan perak lagi sebagai wang tukaran tetapi wang kertas kita sebenarnya adalah tersandar kepada emas dan perak dalam simpanan di dalam bank simpanan. Kita membawa wang kertas itu sebagai sandaran emas dan perak sahaja. Jadi tetap emas dan perak itu masih lagi terpakai.
وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ
dan kuda peliharaan yang diasuh
Ini adalah isyarat kepada kenderaan. Zaman ketika ayat Al-Qur’an ini diturunkan, kuda adalah tunggangan dan kenderaan yang terpakai waktu itu. Sekarang tentunya tidak ramai yang menggunakan kuda lagi.
Digunakan dalam ayat ini: Kuda yang ‘terpilih’. Ini adalah kerana kenderaan pun ada banyak jenis. Tidak sama kereta Proton dan kereta BMW dan tidak sama kereta BMW dan kereta Rolls Royce. Manusia mahukan kenderaan yang terbaik sekali iaitu yang laju, yang mewah dan yang cantik.
Walaupun manusia sudah tidak menaiki kuda lagi, tetapi elemen kuda masih ada lagi. Lihatlah logo kereta-kereta mewah itu, banyak yang menggunakan lambang kuda, bukan? Kalau tidak ada lambang kuda pun, bukankah semua kereta dikira kekuatannya dengan ‘kuasa kuda’? Kalau kawan beli kereta baru, kita tanya dia : berapa “horsepower” kereta ini?
وَالأَنعٰمِ
dan binatang-binatang ternak
Ini merujuk kepada aset kekal. Kalau zaman Nabi ﷺ, ia adalah binatang ternakan. Zaman sekarang, ia merujuk kepada aset-aset dalam simpanan kita. Contohnya barangan kedai kita, simpanan dalam gudang dan macam-macam lagi. Manusia akan cuba kumpul aset dunia sebanyak mungkin. Kerana aset ini nilainya selalu bertambah dari masa ke semasa.
وَالحَرثِ
serta tanaman yang dituai
Ini merujuk kepada hasil mahsul. Kalau harta lain, tapi kalau hard cash, lain pula. Segala usaha manusia pada ternakan dan tanaman adalah untuk mendapatkan hasilnya di hujungnya. Kalau zaman sekarang dalam perniagaan, yang ditunggu adalah keuntungan di hujung tahun (fiscal year). Itulah yang ditunggu-tunggu oleh manusia.
ذٰلِكَ مَتٰعُ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا
Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia yang sementara.
Semua yang mereka kejar itu adalah kesenangan sementara sahaja semasa mereka hidup di dunia. Sampai saat kematian, mereka akan tinggalkan semuanya sekali.
Jangan salah anggap pula ayat ini. Bukan tidak boleh digunakan dan diambil manfaatnya daripada semua perkara yang telah disebutkan itu, namun kenalah mengikut tertib seperti yang Nabi ﷺ. Kena dapatkan dengan cara yang halal dan digunakan dengan cara yang halal. Dan jangan teruk sangat sampai menolak agama dan sampai lupa nak amalkan agama. Jangan leka dengan dunia sampai lupa akhirat.
Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah menolak dan melawan Nabi ﷺ sebab semua perkara ini. Mereka lihat ajaran baginda akan menggugat mereka, harta dan pengaruh mereka, maka kerana itu mereka tolak baginda.
Puak Islam (yang waras) pun suka juga kepada keindahan dunia tetapi mereka tidaklah menjadikan dunia itu sebagai penyebab untuk mereka hanyut dan alpa dengan dunia. Harta dan kemewahan sepatutnya dipegang di ‘tangan’ sahaja dan bukan sampai ke ‘hati’. Sebagai contoh, para sahabat itu sanggup meninggalkan segala keindahan dunia itu untuk pergi berjihad.
وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ
Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya
Semua perkara yang disebut di atas tidak akan memuaskan nafsu kita pun sebenarnya. Kalau sudah mendapat apa yang mereka kejar, mereka tidak rasa puas pun. Ada sahaja yang kita nampak lebih baik dari apa yang kita ada, bukan? Kalau sudah ada isteri cantik, nanti akan nampak wanita yang lebih cantik daripada isteri kita; kalau sudah kaya, akan ada sahaja orang yang lebih kaya dan sudah timbul rasa tidak puas.
Ketahuilah bahawa hati kita ini tidak akan puas selama kita hidup di dunia ini. Kepuasan yang sebenar hanya ada di syurga sahaja. Inilah salah satu dalil yang mengatakan adanya syurga. Kerana kita sedar yang apa-apa sahaja di dunia ini tidak akan memuaskan kita, maka tahulah kita bahawa akan ada tempat yang kita akan rasa puas sepuas-puasnya, dan itulah di syurga.
Kerana syurga itulah sebaik-baik tempat kembali. Maka hendaklah kita kejar syurga itu dengan beramal dengan amalan yang baik. Jangan terpesona sangat dengan dunia sampai lupa akhirat.
Ada riwayat yang mengatakan bahawa ada utusan Nasrani dari Najran yang datang ke Madinah dengan segala kemewahan, sampaikan salib yang mereka pakai pun diperbuat daripada emas. Mereka keberatan untuk menerima Islam kerana mereka takut kemewahan mereka itu akan ditarik balik.
Juga dikatakan ada sahabat yang terpesona dengan kemewahan yang ada pada utusan Najran itu. Maka kerana itu diturunkan ayat ini kepada mereka sebagai peringatan.
Juga pada zaman sekarang ada orang yang nampak kebenaran Islam, tetapi tidak mahu masuk Islam kerana takut kemewahan mereka ditarik. Ada yang takut keluarga mereka akan buang mereka, ada yang takut perniagaan mereka akan jatuh, ada takut kawan sudah tidak mahu berkawan dengan mereka lagi. Maka Allah ﷻ ingatkan jangan sampai begitu sekali. Itu semua adalah dunia sahaja.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 Februari 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan