Tafsir Surah Baqarah Ayat 84 – 85 (Beriman dengan wahyu separuh-separuh)

Ayat 84: Untuk memahami ayat ini, kena tahu Asbabun Nuzul ayat ini. Puak Yahudi di Madinah ada beberapa kumpulan dan ada dua kumpulan yang besar: Bani Nadhir dan Bani Quraizah (selain dari puak-puak yang lain). Di sini disebutkan kisah mereka secara ringkas kerana akan ada lagi kisah mereka dalam surah lain nanti.

Kedua-dua puak Yahudi itu menganut agama yang sama tetapi jadi berpuak kerana kuli mereka juga berpuak dan berbalah. Kuli mereka itu adalah dari puak Arab Madinah dan mereka pula tidak mempunyai asas agama. Dua puak yang dimaksudkan itu adalah puak Aus dan puak Khazraj. Bani Nadhir berkawan dengan puak Khazraj dan bani Quraizah berkawan dengan puak Aus.

Puak Aus dipimpin oleh Sa’ad bin Muaz dan puak Khazraj pula dipimpin oleh Sa’ad bin Ubaadah (dua-dua nama Sa’ad). Mereka itu sentiasa berbalah dan berperang sesama sendiri dan dikatakan mereka telah 40 tahun berperang tanpa henti. Ini adalah kerana keturunan mereka akan mengingatkan (mewasiatkan) kepada anak-anak mereka untuk terus bermusuhan dengan puak musuh mereka.

Apabila mereka berperang, penaung-penaung mereka dari bani Nadhir dan bani Quraizah itu juga turut sama berperang kerana membantu kuli-kuli mereka.

Ada syariat dalam Kitab Taurat yang menyebut, kalau ada bangsa Yahudi ditawan,  mereka yang tidak ditawan mesti mengumpulkan duit dan menebus mereka yang telah ditawan. Dan diarahkan supaya jangan berperang sesama sendiri. Dan jangan sekali-kali menghalau bangsa mereka dari daerah tempat mereka tinggal. Inilah tiga undang-undang dalam Taurat:

1. Jangan berperang sesama sendiri.
2. Kalau ada yang ditawan dari kalangan mereka, maka mesti ditebus.
3. Jangan halau keluar dari daerah.

Malangnya mereka telah melanggar undang-undang ini apabila mereka berperang sesama sendiri dan ikut berperang bersama bangsa Arab Yathrib. Dan apabila pihak Yahudi yang lawan itu kalah, mereka menghalau puak yang kalah itu dari tempat tinggal mereka.

Tetapi dalam masa yang sama, apabila ada orang Yahudi yang ditawan oleh pihak lawan bangsa Arab, puak-puak Yahudi yang menjadi musuh, sanggup pula ditebus. Jadi mereka ikut mana yang mereka mahu ikut sahaja. Ada syariat yang mereka ikut dan ada yang mereka tolak begitu sahaja.

Apabila sahabat-sahabat Nabi ﷺ yang telah lama tinggal di Madinah membaca ayat-ayat ini, barulah mereka tahu perkara ini. Dan mereka boleh faham apa yang dimaksudkan kerana mereka sudah lama kenal dengan Yahudi itu dan mereka tahu bahawa apa yang disebutkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah benar seperti yang terjadi.

Jadi Allah ‎ﷻ ulang sebut apakah undang-undang yang ada dalam Taurat.

وَإِذ أَخَذنا ميثٰقَكُم لا تَسفِكونَ دِماءَكُم وَلا تُخرِجونَ أَنفُسَكُم مِن دِيَـٰرِكُم ثُمَّ أَقرَرتُم وَأَنتُم تَشهَدونَ

Sahih International

And [recall] when We took your covenant, [saying], “Do not shed each other’s blood or evict one another from your homes.” Then you acknowledged [this] while you were witnessing.

Malay

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

 

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثٰقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengikat perjanjian dengan kamu semua;

Kalimah مِيثَاقَ bermaksud satu perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Dua-dua pihak tahu ia adalah perjanjian yang besar dan perlu dijaga (seperti akad nikah suami isteri). Allah ‎ﷻ mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad ﷺ ‎tentang perjanjian yang telah diikat antara Allah ‎ﷻ dan Bani Israil.

 

لَا تَسْفِكُونَ دِمَاءَكُمْ

Janganlah kamu menumpahkan darah sesama kamu;

Tidak boleh berbunuhan sesama mereka. Sebab mereka semua adalah umat yang dalam satu agama. Ajaran ini juga ada dalam Islam. Nabi ﷺ telah bersabda yang mafhumnya, membunuh seorang Muslim adalah seperti membunuh semua Muslim.

Tetapi tidakkah kita lihat bagaimana dari dahulu sampai sekarang, banyak sekali Muslim berbunuhan sesama sendiri? Ini adalah kerana kita pun seperti juga Bani Israil, telah banyak meninggalkan ajaran agama kita sendiri.

Dalam ayat sebelum ini, kita telah disuruh berbaik-baik dengan semua orang. Kalau tidak berbaik itulah yang sampai menumpahkan darah. Apabila hak-hak sesama Muslim tidak dijaga, maka hasilnya tidak baik. Mula-mula mereka hanya tidak suka antara satu sama lain. Kemudian telah mula berbantah-bantah.

Lama-kelamaan akan ada perang yang kecil. Kemudian, perang yang besar akan berlaku kalau ia tidak dikawal. Kadangkala sampai bertahun-tahun (buang masa, harta dan nyawa). Kerana itu kena dijaga hubungan dari awal lagi. Oleh itu kita kena tahu bagaimana cara berkomunikasi, hormat menghormati sesama lain.

 

وَلَا تُخْرِجُونَ

Dan janganlah kamu keluarkan;

Maksudnya, jangan menghalau. Iaitu ‘buang negeri’.

 

أَنْفُسَكُمْ مِنْ دِيٰرِكُمْ

diri-diri kamu dari kampung halaman kamu;

Tidak mungkin kita hendak keluarkan ‘diri kita’ pula. Maksudnya, jangan keluarkan sebahagian dari orang Yahudi dari kampung halaman mereka. Ini adalah kerana mereka itu sebahagian dari diri mereka juga. Allah ‎ﷻ telah melarang mengeluarkan orang Yahudi lain dari kampung halaman mereka.

Dalam Islam juga perkara yang sama telah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ kepada kita. Tetapi malangnya, dalam banyak kejadian, ada ulama’-ulama’ yang dikeluarkan dari negara mereka kerana tidak sama pendapat dengan pemimpin yang tidak mahu mengikuti nasihat mereka.

Sama ada dikeluarkan dari negara, atau mereka dilayan dengan teruk sampai mereka sendiri terpaksa meninggalkan negara itu. Ada yang dikeluarkan kerana desakan dari negara bukan Islam. Hanya kerana takut kepada orang kafir, ada negara Islam yang mengikut telunjuk orang kafir.

Lihatlah bagaimana apa yang terjadi dahulu masih lagi berlaku sekarang. Dan akan berlaku di masa hadapan nanti. Al-Qur’an bukanlah kitab untuk bacaan zaman dahulu sahaja. Apa yang diceritakan dalam Al-Qur’an akan sentiasa berlaku sampailah ke hari Kiamat nanti. Ia terus menjadi peringatan bagi kita kerana manusia memang mudah lupa.

 

ثُمَّ أَقْرَرْتُمْ

Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian itu;

Puak Yahudi dan datuk nenek mereka telah berikrar untuk mengikuti ajaran-ajaran yang ada dalam Taurat itu. Allah ﷻ perli mereka: ‘apakah kamu sudah lupa?”

 

وَأَنْتُمْ تَشْهَدُونَ

Dan kamu sendiri menjadi saksi

Mereka sendiri tahu bahawa perjanjian ini ada terdapat dalam Kitab Taurat mereka. Bukannya mereka tidak baca Taurat itu. Kalau bukan semua tahu apa yang ada dalam Taurat, tetapi ahli agama mereka sepatutnya tahu.

Sama juga dengan ajaran dalam Al-Qur’an, walaupun bukan semua orang awam tahu, tetapi ada ulama’ dan ahli agama yang tahu. Kenapa mereka tidak mengingatkan umat? Kenapa mereka berdiam diri sahaja kalau ada kemungkaran yang dilakukan oleh manusia?


 

Ayat 85: Selepas perjanjian yang mereka ambil dengan Allah, lihatlah apa yang mereka telah lakukan.

ثُمَّ أَنتُم هٰؤُلاءِ تَقتُلونَ أَنفُسَكُم وَتُخرِجونَ فَريقًا مِّنكُم مِّن دِيَـٰرِهِم تَظَـٰهَرُونَ عَلَيهِم بِالإِثمِ وَٱلعُدوٰنِ وَإِن يَأتوكُم أُسَـٰرَىٰ تُفَـٰدُوهُم وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيكُم إِخراجُهُم ۚ أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ ۚ فَما جَزاءُ مَن يَفعَلُ ذٰلِكَ مِنكُم إِلّا خِزيٌ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَيَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ يُرَدّونَ إِلىٰ أَشَدِّ العَذابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Sahih International

Then, you are those [same ones who are] killing one another and evicting a party of your people from their homes, cooperating against them in sin and aggression. And if they come to you as captives, you ransom them, although their eviction was forbidden to you. So do you believe in part of the Scripture and disbelieve in part? Then what is the recompense for those who do that among you except disgrace in worldly life; and on the Day of Resurrection they will be sent back to the severest of punishment. And Allah is not unaware of what you do.

Malay

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

 

ثُمَّ أَنْتُمْ

Kemudian kamu, (bangsa Yahudi);

Iaitu Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ terus bercakap dengan mereka. Jadi ini adalah sesuatu yang agak keras bila Allah ‎ﷻ terus bercakap kepada mereka.

 

هَٰؤُلَاءِ

kamu ini;

Penggunaan perkataan Allah ‎ﷻ ini menunjukkan ketakjuban dan kehairanan Allah ‎ﷻ terhadap mereka. Seolah-olah orang yang marah dengan berkata: “Kamu ini…….kenapa dengan kamu ini…..?” Orang-orang yang sama juga yang telah mengambil perjanjian dengan Allah ‎ﷻ, tetapi masih lagi tidak mahu ikut perjanjian yang mereka telah berjanji untuk pegang.

 

تَقْتُلُونَ أَنْفُسَكُمْ

kamu berbunuhan sesama kamu;

Yang berperang sebenarnya adalah puak Aus dan Khazraj (Bangsa Arab Madinah waktu itu). Kaum Yahudi yang menyokong salah satu dari puak Aus dan Khazraj itu juga turut berperang bersama mereka, kerana menyebelahi puak yang mereka sokong. Oleh kerana itu, mereka juga berbunuhan dengan puak Yahudi yang lain.

 

وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِنْكُمْ مِنْ دِيَارِهِمْ

Dan kamu mengeluarkan satu puak Yahudi dari kalangan kamu dari kampung halaman mereka;

Perkataan فَرِيقًا yang digunakan bermaksud ‘kumpulan yang lain’. Kita sangka mereka kumpulan yang lain. Puak Yahudi itu juga melihat itu adalah puak yang lain. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa mereka itu adalah sebahagian dari mereka juga. Mereka telah keluarkan sebahagian dari ‘diri’ mereka sendiri.

 

تَظاهَرونَ عَلَيهِم بِالإِثمِ وَالعُدوانِ

kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan

Iaitu mereka telah menolong Kaum Aus dan Khazraj dalam peperangan mereka. Puak Yahudi itu sanggup bantu puak Arab yang berkawan dengan mereka sampai mereka sanggup tinggalkan ajaran dari Kitab Taurat, kitab mereka sendiri.

Mereka bantu membantu dalam melakukan dosa, dan ini adalah amat buruk sekali. Kalau bantu membantu dalam melakukan kebaikan, memanglah elok, tapi kali ini bantu membantu dalam keburukan.

 

وَإِنْ يَأْتُوكُمْ أُسَارَىٰ

Dan sekiranya mereka (Yahudi lawan kamu itu) datang sebagai tawanan,

Jadi semasa berlaku peperangan antara mereka, ada orang-orang dari Kaum Yahudi yang terlibat dengan peperangan itu yang terbunuh dan ada yang tertawan. Apabila berlaku tawanan, lawan mereka dari golongan Yahudi yang ditawan akan meminta tebusan.

 

تُفَادُوهُمْ

kamu tebus mereka;

“Walaupun yang ditawan itu adalah dari pihak lawan, tetapi kamu sanggup pula tebus mereka.” Ini kerana mereka masih ingat yang itu adalah ajaran dari Taurat.

Mereka sangka mereka telah berbuat baik dengan membayar tebusan mereka itu. Mereka rasa mereka sudah mengikut ajaran Taurat. Tetapi mereka lupa bahawa itu hanyalah sebahagian sahaja dari arahan Allah ‎ﷻ dalam kitab mereka.

Macam itu jugalah kita orang Islam sekarang. Kadang-kadang memang kita ada buat ibadat yang baik dan mengikut ajaran Al-Qur’an. Kita sangka itu sudah cukup. Kita buat supaya kita adalah juga buat amalan seorang ‘Muslim’. Tapi kita lupa bahawa banyak lagi yang kita tinggalkan atau kita langgar arahan dari Allah ‎ﷻ.

Macam artis-artis kita yang setahun sekali akan pergi buat Umrah sebab mereka hendak ‘cuci’ dosa mereka. Mereka rasa mereka sudah selamat sebab mereka sudah pergi Umrah. Mereka hendak sedapkan hati mereka sahaja. Lepas balik dari Umrah, sambung balik buat ‘show’ dan terus buat perancangan untuk membuat album nyanyian yang baru.

Orang kebanyakan pun macam itu juga. Mereka rasa apabila mereka sudah gantung ayat Al-Qur’an sebagai perhiasan kat rumah itu sudah cukup Islam. Adakah Al-Qur’an itu layak dijadikan perhiasan sahaja? Mereka sangka, apabila khitan, sudah jadi Muslim sejati. Kalau salat tidak pernah tinggal, sudah pasti menjadi ahli syurga. Adakah begitu sahaja sudah cukup? Tentu tidak.

 

وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ

sedangkan mengeluarkan mereka itu adalah haram atas kamu;

“Ingatlah kembali perjanjian kamu dahulu dengan Allah ‎ﷻ.” Pertama, jangan berperang sesama sendiri. Kedua, jangan keluarkan kaum kamu dari kampung halaman. Dan ketiga, kalau ada yang ditawan, mereka mesti ditebus.

Mereka hanya amalkan undang-undang yang ketiga, tetapi mereka lupakan perjanjian yang pertama dan kedua itu.

Kalau ditanya kepada mereka: “Kenapa kamu tebus mereka?”

Mereka akan jawab: “Kerana kami disuruh untuk berbuat begitu”.

Dan kalau ditanya: “Kenapa perangi mereka?”

Mereka akan jawab: “Kerana kami tidak sanggup sekutu kami menderita kekalahan!”

 

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ

Apakah patut kamu percaya setengah daripada Kitab Taurat;

Sekarang Allah ‎ﷻ tegur mereka dengan keras. Adakah kamu beriman separuh-separuh dari kitab wahyu kamu?

Ada sebahagian dari ajaran dari Taurat yang mereka ikut, tetapi ada yang mereka tinggalkan begitu sahaja. Mereka keluarkan kaum mereka dari kampung halaman, tetapi mereka tebus pula golongan mereka yang ditawan. Mereka pilih-pilih mana yang mereka rasa mereka hendak buat.

Dalam agama, bukan seperti itu. Kena buat semua sekali (jadi kena belajar semua sekali). Maka kita umat Islam sekarang kena ingat kesalahan yang telah dilakukan oleh Yahudi ini. Jangan kita pula ikut mereka.

 

وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

dan kamu kufur dengan setengah yang lain?

Mereka memang beriman dengan sebahagian ajaran dalam Kitab Taurat itu, tetapi tentang hal bunuh membunuh itu, mereka tidak ikut. Mereka tebus kalau ada kaum mereka yang ditawan, tetapi mereka buat-buat lupa tentang larangan menghalau kaum mereka dari kampung halaman. Lihatlah bagaimana mereka amal separuh dan tinggalkan separuh dari ajaran Kitab Taurat mereka.

Adakah kita buat macam itu juga? Memang ada. Masyarakat kita pun ada buat begitu juga. Kita beriman dalam perkara yang menguntungkan kita, tetapi kalau tidak menguntungkan kita, kita tidak ikut. Sebagai contoh, Hukum Hudud itu adalah sebahagian dari Islam, tetapi kita tidak ikut. Kita tolak begitu sahaja arahan yang jelas yang ada dalam Al-Qur’an.

Padahal, kalau kita hanya beriman separuh sahaja Al-Qur’an itu, kita sudah tidak dikira beriman penuh sebenarnya. Al-Qur’an itu kita kena terima semua sekali, tidak boleh pilih-pilih mana yang kita hendak.

Yang menyedihkan, ada kalangan orang yang belajar agama pun buat begitu juga. Bila ditanyakan kepada mereka kenapa tidak buat semua sekali yang Allah ‎ﷻ suruh, mereka akan berikan pelbagai alasan. Alasan-alasan itu semua dari pemikiran intelek mereka, bukan dari nas agama.

Mereka cuma beralasan. Kemudiannya, orang awam yang lagi tidak tahu tentang agama, akan terima alasan intelek mereka itu sebagai dalil agama. Maka, akan rosaklah agama mereka.

 

فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنْكُمْ

Maka tiada lagi balasan atas sesiapa yang melakukan demikian dari kalangan kamu;

Pasti Allah akan balasan kesalahan yang telah dilakukan (beriman separuth-separuh) itu. Takhwif (penakutan) dalam ayat ini diberikan juga kepada semua agama, sama ada dari kalangan Yahudi, atau dari golongan kita yang beragama Islam ini.

 

إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

melainkan penghinaan dalam kehidupan dunia ini lagi;

Allah ‎ﷻ memberi kehinaan kepada mereka semasa di dunia lagi. Nanti Bani Quraizhah akan dihalau dan para lelaki mereka dibunuh semua sekali; Bani Nadhir pula dihalau ke Syam dan mereka wajib membayar ufti.

Lihatlah bagaimana manusia tidak memandang mereka dalam hal agama. Hanya hal dunia sahaja yang mereka dipandang tinggi kerana orang-orang Yahudi memang jenis kaya-raya dan bijak otak mereka. Tetapi, walaupun mereka kaya, namun mereka tidak mulia dan dibenci oleh semua orang.

Allah ‎ﷻ akan balas dengan memberikan kehinaan kepada mereka yang buat seperti itu. Kalau kaum juga Muslim berbuat begitu, maka mereka pun akan dikenakan dengan balasan yang sama. Seperti orang Iraq dahulu yang telah menyerang dan memasuki Kuwait. Sampai sekarang, Negara Iraq telah dihina kerana negara mereka telah dimasuki dan dihuni oleh tentera Amerika.

 

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ

Dan pada hari Akhirat nanti, kamu akan dihumban ke dalam azab yang amat dahsyat;

Ini lagi teruk, terus masuk neraka apabila Kiamat kelak. Lihatlah penggunaan kata-kata oleh Allah ‎ﷻ ini. Banyak jenis azab Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Al-Qur’an. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ gunakan perkataan: أَشَدِّ الْعَذَابِ – azab yang paling teruk! Mereka akan dikenakan dengan azab yang amat-amat teruk, tidak dapat dibayangkan!

Inilah yang akan dikenakan kepada mereka yang tahu tentang agama, tetapi mereka pilih-pilih mana yang mereka hendak ikut. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini hendaknya. Semoga kita belajar semua sekali arahan Allah ‎ﷻ dan kita ikut semua sekali arahan-Nya.

 

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah itu lalai terhadap apa yang kamu lakukan;

Maknanya, Allah ‎ﷻ akan membalas kesalahan yang dilakukan itu. Allah ‎ﷻ tidak akan biarkan sahaja. Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dia melihat apa yang kita buat semuanya. Malangnya, kita tidak perasan ayat ini. Kita berani buat macam-macam kesalahan sebab kita tidak rasa Allah ‎ﷻ melihat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Januari 2021

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment