Tafsir Surah Baqarah Ayat 81 – 83 (Berbuat baik dengan keluarga)

Ayat 81: Ayat sebelum ini disebut tentang sangkaan salah golongan Yahudi. Sekarang Allah ‎ﷻ hendak memberitahu perkara yang sebenar. Iaitu menidakkan sangkaan mereka yang salah itu. Ini adalah ayat Takhwif – ayat-ayat Al-Qur’an yang menakutkan.

بَلىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَـٰطَت بِهِ خَطيئَتُهُ فَأُولٰئِكَ أَصحَـٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خَـٰلِدُونَ

Sahih International

Yes, whoever earns evil and his sin has encompassed him – those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally.

Malay

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

بَلَىٰ مَنْ كَسَبَ سَيِّئَةً

Bahkan sebenarnya sesiapa yang melakukan dosa kejahatan;

Dosa kejahatan di sini adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Perkataan سَيِّئَةً juga bermaksud ‘dosa besar’. Ada orang yang terus melakukan satu dosa besar. Yang lain dia tidak buat. Contohnya dia seorang peminum arak. Dia tidak membuat dosa lain. Namun bahagian minum arak itu, dia tidak boleh tinggalkan. Dia sangka sebab dia tidak berbuat dosa lain, dan sebab dia ada membuat amalan baik yang lain, pahala itu semua dapat menampung kesalahannya itu. Malangnya, bukan begitu.

 

وَأَحَـٰطَت بِهِ خَطِيئَتُهُ

dan dosa itu meliputinya sehingga dia mati;

Mereka kekal dalam amalan syirik mereka itu sampai mereka mati. Dosa itu meliputinya kerana dia tidak bertaubat. Tidak sempat untuk bertaubat sebelum mereka mati. Yang takutnya, sampai mati mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama di dunia itu adalah syirik.

Kalau tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah syirik, bagaimana mereka hendak bertaubat? Mereka tidak tahu itu pula adalah kerana mereka tidak belajar wahyu Allah ‎ﷻ. Ini kerana perkara syirik ini telah dijelaskan dengan panjang lebar di dalam Al-Qur’an.

Atau jika seseorang itu kekal melakukan satu atau lebih dosa besar, seperti minum arak, berzina dan sebagainya itu sampai dia tidak boleh berhenti. Itulah maknanya ‘meliputinya’. Dia seolah-olah tidak dapat keluar darinya.

Yang membahayakan lagi, jikalau seseorang itu sudah biasa membuat satu dosa besar, dia sudah tidak merasa bersalah sangat bila buat dosa itu. Maka, lama kelamaan dia akan membuat dosa yang lain pula.

 

فَأُولَٰئِكَ أَصحَـٰبُ النَّارِ

Maka orang-orang yang bersifat seperti itu adalah pemilik sebenar neraka;

Orang Islam yang tidak membuat syirik tetapi ada membuat dosa, mereka akan masuk neraka juga, namun mereka tidak kekal dalam neraka. Akhirnya mereka akan keluar dari neraka dan masuk ke dalam syurga. Tetapi orang yang buat syirik, walaupun orang Islam, akan kekal dalam neraka.

 

هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Mereka itu kekal di dalamnya;

Mereka tidak akan keluar langsung, sampai bila-bila. Allah ‎ﷻ ingin menekankan sebab dalam ayat sebelum ini, ada manusia yang sangka mereka akan masuk sekejap sahaja dalam neraka.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu, tidak kira kamu anak siapa, keturunan siapa pun, tidak kira siapa yang kamu berhubungan semasa kamu di dunia, kalau kamu buat dosa syirik, kamu akan kekal di dalam neraka.


 

Ayat 82: Selepas diberikan dengan ayat Takhwif dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ sekarang memberikan ayat Tabshir (menggembirakan) pula.

وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُولٰئِكَ أَصحَـٰبُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خَـٰلِدُونَ

Sahih International

But they who believe and do righteous deeds – those are the companions of Paradise; they will abide therein eternally.

Malay

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.

 

وَالَّذِينَ آمَنُوا

Dan orang-orang yang beriman sempurna;

Kita kena tambah maksud ‘iman’ itu dengan kalimat ‘iman sempurna’. Iaitu mereka yang tidak membuat syirik. Mereka bukan setakat beriman sahaja, tetapi mereka juga meninggalkan perkara syirik. Ini barulah dikira sebagai benar-benar beriman.

Dan ia juga bermaksud mereka yang mengamalkan sesuatu ibadat itu dengan ikhlas, dilakukan kerana Allah ‎ ﷻ semata-mata. Bukan sebab dipaksa, bukan sebab ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia lain. Bukan kerana mahukan upah atau kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Ayat ini hendak membandingkan dengan mereka yang disebut dalam ayat sebelum ayat ini. Allah ‎ﷻ menceritakan tentang apakah yang sebenarnya Allah ‎ﷻ mahu.

 

وَعَمِلُوا ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ

dan mereka berbuat amal soleh;

Kita kena tahu yang amalan soleh adalah amalan sepertimana yang Nabi ﷺ ajar. Orang-orang yang beriman sepatutnya tidak beramal dengan mana-mana ibadat tanpa memastikan dahulu bahawa amalan itu ada dalil yang sahih. Selagi dia tidak menjumpai dalil, dia tidak akan mengamalkannya. Sesiapa yang membuat amal bukan dari amalan Nabi ﷺ, amalan itu ditolak. Itu adalah dinamakan amalan ‘bidaah’.

Tidak cukup kalau kita membuat sesuatu amalan itu dengan mengharapkan pahala hanya kerana ‘ikhlas’. Ada orang yang berkata, Allah ‎ﷻ akan berikan juga pahala kalau kita membuat amalan itu secara ikhlas. Tetapi dalam ayat ini, seperti juga banyak ayat-ayat yang lain, memberi isyarat bahawa sesuatu amalan itu mestilah berdasarkan dalil yang sahih dari Nabi ﷺ. Barulah amalan itu dipanggil ‘amalan yang soleh’.

 

أُولَٰئِكَ أَصحَـٰبُ الْجَنَّةِ

Orang-orang yang bersifat seperti itu, adalah pemilik syurga;

Mereka yang ada iman sempurna dan ditunjukkan iman itu dengan melakukan amal yang soleh, mereka inilah yang ada peluang dan harapan untuk masuk syurga. Jangan kata beriman sahaja, tapi tidak beramal dengan kebaikan.

 

هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Mereka itu kekal di dalamnya.

Kalau lengkap dua syarat itu, barulah dapat kekal dalam syurga. Kalau orang sebelum ayat ini, mereka kekal dalam neraka.

Ayat ini memberikan susunan cara untuk masuk ke dalam syurga.

1. Beriman dengan Allah ‎ﷻ dan perkara-perkara yang perlu diimani seperti malaikat, Rasul dan sebagainya. Dan mereka tidak mengamalkan amalan syirik.

2. Orang yang beriman, akan berusaha untuk mengamalkan amalan yang soleh yang diambil dari dalil yang sahih.

3. Barulah dapat kekal dalam syurga.

Langkah pertama dan kedua adalah penting. Kalau tidak ada salah satu, maka kita tidak akan dapat masuk ke syurga. Malangnya, berapa ramai di kalangan orang Islam yang beramal dengan amalan yang bidaah, bukan amalan yang soleh. Ramai juga yang ada fahaman syirik dan beramal dengan amalan syirik kerana mereka tidak sedar yang amalan itu amalan syirik.

Habis Ruku’ 9 dari 40 surah ini


 

Ayat 83: Ini jenis Yahudi ketiga, iaitu Yahudi yang hidup pada zaman Nabi Muhammad ﷺ dan sekarang akan disebut apakah perangai buruk mereka. Mereka masih mengikut perangai buruk datuk nenek mereka dahulu. Perangai tersebut masih ada lagi walaupun mereka itu keturunan yang jauh dari keturunan zaman Nabi Musa عليه السلام.

Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kepada para sahabat Nabi ﷺ tentang perangai buruk golongan Yahudi itu. Jangan mereka ada anggapan yang Yahudi zaman mereka sudah tidak mengikut perangai datuk nenek mereka. Ini kerana mungkin ada para sahabat yang menyangka, perangai buruk itu hanya ada pada golongan datuk nenek Yahudi sahaja. Sebenarnya bukan begitu.

Mereka juga ada perangai buruk seperti golongan terdahulu. Maka Allah ‎ﷻ beritahu keburukan Yahudi yang duduk di Madinah. Allah ‎ﷻ mahu para sahabat berhenti menjadikan golongan Yahudi itu sebagai tempat rujukan. Jangan lagi pandang Yahudi itu sebagai golongan yang mulia. Allah ‎ﷻ bongkar perangai mereka supaya hilang anggapan mulia sahabat terhadap puak Yahudi itu.

Ayat ini mengingatkan para sahabat untuk menerima ajaran Nabi Muhammad ﷺ dengan sepenuhnya. Ini adalah amat penting kerana ia terdapat di dalam Syahadah. Apabila kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah, bermakna kita mesti menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi ﷺ sahaja. Kita kena ingat bahawa hanya dengan amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ sahaja yang boleh mendapat pahala.

Kita kena rasa cukup dengan ajaran Nabi ﷺ. Tidak perlu campur dengan ajaran lain. Kena tegas dalam hal ini. Inilah yang disebut dalam Isra’:36 – kita kena ada dalil untuk melakukan mana-mana amalan ibadat kita. Jangan pakai yang luar dari wahyu. Jangan amal amalan ibadat yang kita tidak ada dalil. Ini menolak perbuatan amal bidaah kerana amalan bidaah tidak ada dalil.

Latar belakang ayat ini: Para sahabat ada yang pernah belajar dengan golongan Yahudi sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ke Madinah. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah berada bersama mereka, ada di kalangan mereka yang tidak menerima Nabi ﷺ sepenuhnya kerana mereka masih lagi terkesan dengan apa yang mereka belajar dari golongan Yahudi.

Maka ada yang selepas mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ, mereka pergi rujuk kepada orang Yahudi. Jadi Allah ‎ﷻ telah membongkar perangai Yahudi di dalam ayat-ayat ini. Tidak patut Yahudi itu dijadikan rujukan kerana ajaran mereka sendiri pun mereka tolak.

Ayat ini juga ditujukan kepada kita juga. Jangan kita sangka Bani Israil sahaja yang ada membuat kesalahan ini. Kalau kita juga ada perangai ini, kita pun ada masalah macam mereka juga. Oleh itu, kita kena periksa sifat-sifat buruk ini, takut-takut kita ada sifat-sifat itu.

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَ بَني إِسرٰءِيلَ لا تَعبُدونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِٱلوٰلِدَينِ إِحسانًا وَذِي القُربىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰڪِينِ وَقولوا لِلنّاسِ حُسنًا وَأَقيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَآتُوا ٱلزَّڪَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيتُم إِلّا قَليلًا مِّنكُم وَأَنتُم مُّعرِضونَ

Sahih International

And [recall] when We took the covenant from the Children of Israel, [enjoining upon them], “Do not worship except Allah ; and to parents do good and to relatives, orphans, and the needy. And speak to people good [words] and establish prayer and give zakah.” Then you turned away, except a few of you, and you were refusing.

Malay

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

 

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَ بَنِي إِسرٰءِيلَ

Dan ingatlah ketika Kami ambil perjanjian dengan Bani Israil;

Ayat-ayat selepas ini menyebut tentang ajaran-ajaran yang terdapat di dalam Taurat dan Bani Israil sudah bersetuju untuk mengikutinya. Ia adalah ringkasan kepada ajaran-ajaran yang paling penting. Ia memang ada di dalam Taurat tetapi mereka tidak pakai. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ meletakkannya kembali di dalam Al-Qur’an.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan bahawa mereka dahulu sudah berjanji untuk beramal dengan Kitab Taurat dan sekarang Allah ‎ﷻ bentangkan kembali apakah ajaran-ajaran itu.

Sebelum ayat ini, telah disebutkan bahawa kita perlu beriman dan beramal dengan amalan yang soleh. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ terangkan sebahagian dari amal soleh itu. Ia adalah sesuatu yang perlu kita lakukan. Ia bukanlah perkara senang hendak dilakukan melainkan bagi mereka yang ada iman. Maka oleh itu, kita kenalah berusaha untuk mengamalkannya. Yang penting, kena tahu dahulu apakah yang kita perlu buat.

 

لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ

Jangan sekali-kali kamu sembah melainkan kepada Allah jua;

Lafaz ‘sembah’ itu maksudnya ibadat, adat dan doa. Ibadat adalah perhubungan antara Allah ‎ﷻ dan hamba (habluminallah). Sedangkan adat pula adalah syariat tentang hubungan sesama makhluk (habluminannas).

Apabila dikatakan sembah Allah ‎ﷻ sahaja, maka jangan buat amalan syirik dan atau ada fahaman syirik. Oleh itu, doa hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ibadat pun hanya serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kena tolak amalan-amalan syirik. Kalau kita buat begitu, barulah sempurna penyembahan kita kepada Allah ‎ﷻ.

Malangnya ramai yang tidak tahu mereka ada sembah selain Allah ‎ﷻ. Selalunya mereka tidak sedar mereka sedang berbuat syirik kerana mereka jahil tentang Tauhid dan Syirik. Ini adalah kerana mereka tidak belajar wahyu Al-Qur’an.

Arahan untuk hanya sembah Allah ‎ﷻ juga dibawa oleh Nabi-nabi yang lain kepada umat mereka. Ini kerana ajaran tauhid ini sama sahaja kepada mana-mana Nabi pun.

 

 وَبِٱلوٰلِدَينِ إِحْسَانًا

Dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa kamu;

Kalau tadi tentang ibadat, sekarang tentang ‘adat’ pula. ‘Adat’ adalah syariat yang mengajar bagaimana berhubungan sesama makhluk. Dan hubungan dengan makhluk lain yang paling penting adalah dengan ibu bapa kita. Potongan ayat ini adalah dalam lafaz ‘mafhum mutlak‘ – satu ayat yang lengkap- Allah ‎ﷻ tidak memasukkan sekali dengan potongan ayat yang lain.

Iaitu, Allah ‎ﷻ tidak pula berkata begini: “Berbuat baiklah dengan ibubapa kamu, kaum kerabat kamu, anak-anak yatim dan orang-orang miskin”. Tetapi Allah ‎ﷻ berkata “berbuat baiklah dengan ibubapa kamu”. Kemudian, baru Allah ‎ﷻ menambah kumpulan-kumpulan yang lain. Ini meletakkan kelebihan dan kepentingan berbuat baik dengan ibubapa kita. Maknanya, ia amat penting dan kena dibuat bersungguh-sungguh.

Dan lihatlah Allah ‎ﷻ sebut berbuat baik dengan ibubapa sebaik sahaja Allah ‎ﷻ sebut tentang Tauhid. Maka ia sudah jatuh nombor 2 selepas ajaran Tauhid. Ini memberi isyarat tentang kepentingan berbuat baik dengan ibubapa.

Perkataan إِحْسَانًا itu bermaksud ‘berbuat baik lebih dari yang sepatutnya’. Kita kena berikan layanan yang amat baik kepada ibubapa kita. Kalau mereka layak menerima 200 ringgit sebulan, maka, kita kena berikan lebih lagi daripada itu kepada mereka.

Malah, kalau mereka zalim dengan kita pun, atau mereka bukan orang yang baik-baik, masih kita tetap kena berbuat baik dengan mereka. Kita bukan berbuat baik dengan mereka kerana mereka baik, tapi kita berbuat baik dengan mereka kerana itu adalah perintah Allah.

Dan yang lebih penting lagi, jangan kita sakitkan hati mereka. Jangan kita buat apa yang boleh menyebabkan mereka berkecil hati. Kita hendaklah sentiasa menggembirakan hati mereka sebaik mungkin. Kadangkala kita tidak boleh memberikan wang kepada ibubapa kita kerana kita pun miskin. Namun janganlah kita ada menyakiti hati mereka pula.

Masalah dalam masyarakat adalah, mereka tidak ada hubungan yang baik dengan ibu dan bapa mereka. Ada juga antara mereka yang sampai langsung tidak bertegur sapa. Kalau balik kampung pun, buat tidak endah sahaja terhadap ibubapa mereka. Kalau dengan orang lain, mereka boleh berbaik-baik, boleh bersembang dan sebagainya. Tetapi kalau dengan ibubapa, macam ada sahaja perasaan marah kepada mereka.

Sampai kadang-kadang, ada yang hendak tengok ibubapa mereka pun tidak mahu. Mungkinlah suatu waktu dahulu, ada perkara yang menyebabkan mereka berkecil hati dengan ibu atau bapa mereka dahulu. Namun, sebagai anak, kenalah kita lupakan perkara itu dan berbaik semula dengan ibubapa kita. Siapalah kita untuk menyalahkan mereka pula?

 

وَذِي الْقُرْبَىٰ

dan kaum kerabat;

Bukan sahaja kita kena berbuat baik kepada ibubapa sahaja, tetapi kita kena juga berbuat baik dengan ahli keluarga kita yang terdekat. Ini pun satu masalah juga kepada sesetengah orang. Kadang-kadang, apabila tidak ada iman dan ilmu, ahli keluarga berpecah belah. Sampai tidak bertegur sapa bertahun-tahun.

Dengan orang lain mereka boleh bersahabat dengan baik, tetapi tidak pula dengan adik beradik sendiri. Mungkin salah faham itu hanya perkara kecil sahaja yang kalau kita ceritakan kepada orang lain pun, orang lain akan gelakkan sahaja. 

Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk berbuat baik dengan orang yang dekat dengan kita terlebih dahulu. Kalau keluarga kita harmoni, in sha Allah kita akan mengembangkan keharmonian itu kepada orang luar juga. Tetapi, kalau dengan keluarga kita sendiri pun kita ada masalah, bagaimana lagi kita hendak berbuat baik kepada orang lain pula?

 

وَٱليَتَـٰمَىٰ

dan anak-anak yatim;

Kita juga disuruh berbuat baik dengan anak-anak yatim. Ini adalah kerana mereka itu tidak ada pelindung dan selalunya mereka itu miskin. Maka amat mulia sekali kalau kita membantu mereka dalam apa hal pun.

Anak yatim adalah anak-anak belum baligh yang kehilangan ayah mereka. Kalau kematian ibu sahaja, dipanggil ‘ajiy (dalam Bahasa Melayu digelar piatu). Kalau kedua-duanya tiada, maka digelar latim (dalam Bahasa Melayu digelar yatim piatu).

Anak yatim memerlukan bantuan kerana tentunya mereka hidup dalam kesusahan kerana selalunya ayahlah yang mencari rezeki bagi keluarga. Namun, adakah kita kenal siapakah anak-anak yatim di kalangan masyarakat kita? Kalau tidak kenal, bagaimana kita hendak menolong mereka?

Maka, selepas ini kenalah kita ambil tahu siapakah mereka di kalangan kita. Mungkin boleh lawat rumah-rumah Anak Yatim selepas ini. Tengoklah apa yang kita boleh bantu mereka.

 

وَٱلمَسَـٰڪِينِ

dan orang-orang miskin;

Entah berapa ramai orang miskin kita jumpa hari-hari. Tetapi adakah kita tolong mereka? Soalan yang lebih penting lagi: adakah kita kenal mereka? Kalau tidak kenal, bagaimana hendak membantu mereka? Kerana itulah kita kena bermasyarakat. Jangan duduk di dalam rumah tidak berkenalan dengan orang luar.

 

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

dan berkatalah kepada manusia dengan ucapan-ucapan yang baik;

‘Ucapan yang baik’ adalah ucapan yang membawa manusia dekat dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Bukan yang sebaliknya menjauhkan manusia dari Allah ‎ﷻ. Apabila kita melakukan perkara ini, barulah masyarakat menjadi betul.

Selain dari itu, hendaklah kita berbuat baik dengan orang lain dalam masyarakat kita. Dan ini dimulakan dengan bercakap baik dengan mereka. Namun begitu kita merasa bagaikan ramai manusia yang tidak begitu. Ramai yang kita lihat bercakap kasar dengan orang lain. Ini kerana ada masalah komunikasi di kalangan orang kita.

Yang lebih sedihnya, kadang-kadang jika dilihat selalunya orang yang membawa imej agama, merekalah yang bermuka garang. Lagaknya bagaikan hanya hendak menegur salah orang sahaja. Nampak salah sahaja, mereka akan terus mengherdik orang lain. Apalah salahnya kalau kita bermuka manis dengan orang dan kalau perlu tegur pun, tegurlah dengan baik, bukankah lebih elok begitu?

Dalam hal agama pun kita selalu tidak sependapat. Dan yang tidak manisnya, kalau kita berdebat dengan orang yang tidak sefahaman dengan kita, kadang-kadang kita gunakan bahasa yang kasar kepada mereka. Kita mengata tentang peribadi orang itu, bukan pula dibawakan hujah. Susah sangat kebanyakan dari kita hendak menggunakan bahasa yang baik-baik. Ini mungkin kerana komunikasi tidak diajar di sekolah, jadi orang kita tidak tahu bagaimana hendak menyampaikan kehendak mereka dengan efektif.

 

وَأَقِيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ

dan dirikanlah sembahyang;

Salat adalah amalan ibadat paling utama antara hamba dan Allah ‎ﷻ. Hendaklah kita menjaga segala perkara yang berkaitan dengan salat, iaitu bermula dari mandi junub lagi. Ini semua kena dijaga supaya kita dapat khusyuk dalam sembahyang.

Dan dalam hal wudhu’, kita kenalah mengikut cara wudhu’ sebagaimana yang Nabi ﷺ ajar. Tetapi, sudahkah kita belajar cara wudhu’ Nabi ﷺ, atau kita hanya pakai apa yang kita belajar semasa sekolah rendah sahaja?

Dan bagaimana cara kita mengambil wudhu’ itu? Adakah kita gunakan air yang sedikit atau kita pasang pili air itu sekuat-kuatnya? Tahukah kita ada larangan Nabi ﷺ jangan membazir air, walaupun semasa mengambil wudhu’? Walaupun kita mengambil wudu’ di air sungai yang mengalir? Tapi kalau kita tengok orang kita, kalau ambil wudu’, selalunya air paip membuak-buak macam nak basuh kereta pun ada.

Bukan itu sahaja, kita juga kena jaga pakaian dari najis. Memang kena jaga pakaian kita, tapi malangnya ada yang ghuluw (berlebihan) sampai tidak jadi salat kerana mereka kata seluar mereka kotor. Ini adalah mereka tidak tahu bagaimana hendak buat kalau mereka rasa pakaian mereka tidak bersih. Ini kerana mereka tidak belajar ilmu fiqah dengan cara Sunnah.

Banyak ilmu fiqah yang ditokok tambah sampai menyusahkan umat. Pelbagai cara yang pelik diajar untuk membersihkan diri. Sebagai contoh, ada ajaran karut yang ajar kena jolok lubang dubur apabila bersihkan diri selepas buang air besar. Padahal, Nabi ﷺ dahulu ada istinjak dengan batu sahaja (maka bagaimana nak jolok lubang dubur, kalau begitu?). Dan selepas itu baginda salat. Begitu juga yang dilakukan oleh para sahabat. Adakah perbuatan mereka itu tidak cukup? Padahal, mereka itu ahli syurga.

Tetapi, kerana kita tidak faham hukum istinjak, kita sampai jadi menyusahkan diri kita dalam hal beristinjak. Banyak perkara agama kita tidak tahu lagi, maka hendaklah kita belajar kalau kita tidak tahu, bukan? Malangnya, amalan-amalan rekaan ini diajar kepada masyarakat kita oleh para asatizah yang bukan Sunnah. Maka ia telah menyusahkan masyarakat awam sebenarnya (dan kerana itu ramai dari kalangan orang kita yang ada penyakit yang dinamakan was-was atau OCD).

 

وَآتُوا ٱلزَّڪَوٰةَ

Dan keluarkanlah zakat;

Zakat pula adalah amalan paling baik yang menghubungkan masyarakat. Kerana kita memberi bantuan kepada orang yang memerlukan dan tentu mereka akan suka dan mengeratkan hubungan antara yang kaya dan yang miskin. Masyarakat akan jadi harmoni bila begini.

Tentang zakat ini pun ada masalah juga di kalangan masyarakat kita. Ramai yang tidak memenuhi kewajipan ini. Kita sebenarnya kena belajar cara-cara untuk membayar zakat. Kita bukan cakap berkenaan zakat fitrah semasa Hari Raya sahaja, tetapi zakat-zakat yang lain.

Sebagai contoh, kita kena bayar zakat pendapatan. Kita kena kira pendapatan kita dalam setahun yang kita dapat dan tolak dengan belanja kasar. Memang ada pendapat yang mengatakan tiada zakat pendapatan, tetapi yang pendapat lebih kuat, eloklah kita bayar zakat pendapatan juga. Kerana takkan para petani yang susah itu kena bayar zakat pertanian, tapi kita yang kerja di pejabat dengan gaji beribu-ribu tidak bayar zakat?

Ini belum dikira zakat-zakat yang lain seperti zakat harta. Ramai yang tidak menjalankan tanggungjawab membayar zakat. Oleh kerana itu, harta yang mereka makan haram bagi mereka kerana belum disucikan lagi dengan zakat.

 

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ

Kemudian kamu berpaling juga;

Semua arahan yang disebut di atas telah diberikan kepada golongan Yahudi itu. Mereka juga telah berjanji akan menjaganya. Tetapi walaupun perjanjian telah diambil dengan bani Israil, mereka telah berpaling dari beramal dengan yang betul. Ini adalah kerana mereka memang suka pakai akal sahaja untuk menolak teks agama mereka. Kalau ada perkara yang mereka tidak suka, mereka akan tukar.

 

إِلَّا قَلِيلًا مِّنْكُمْ

Melainkan sedikit sahaja di kalangan kamu;

Ada juga yang beramal dengan betul, tetapi tidak ramai. Maka jangan kita pukul rata golongan Yahudi itu semuanya buruk sahaja. Memang ada yang baik tapi majoritinya tidak beramal dengan sebetulnya.

 

وَأَنْتُمْ مُّعْرِضُونَ

Dan kamu semua ini adalah jenis orang tidak mentaati.

Maksud ayat ini adalah mereka terus menerus mengikut perangai datuk nenek mereka yang tidak menggunakan ajaran Kitab Taurat dalam kehidupan mereka. Hati mereka enggan. Kalau dahulu datuk nenek mereka tidak ikut, maka mereka pada zaman Nabi Muhammad ﷺ juga tidak mengikutnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Januari 2021

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s