Tafsir Surah Baqarah Ayat 166 – 169 (Menyesal ikut guru)

Ayat 166: Ini pula adalah berkenaan tok guru yang mengajar ilmu salah. Segala perbuatan salah dalam agama dan amalan selalunya bukanlah anak murid buat sendiri, tetapi diajar oleh guru-guru dan pemimpin yang sesat.

Kebanyakan dari manusia hanya mengikut sahaja apa yang diajar kepada mereka tanpa usul periksa. Sekarang Allah ‎ﷻ hendak menceritakan apakah yang pemimpin-pemimpin itu akan kata di akhirat kelak.

إِذ تَبَرَّأَ الَّذينَ اتُّبِعوا مِنَ الَّذينَ اتَّبَعوا وَرَأَوُا العَذابَ وَتَقَطَّعَت بِهِمُ الأَسبابُ

Sahih International

[And they should consider that] when those who have been followed disassociate themselves from those who followed [them], and they [all] see the punishment, and cut off from them all the ties [of relationship],

Malay

(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.

 

إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا

Ketika mereka (pemimpin-pemimpin ajaran sesat) itu melepaskan diri;

Yang dimaksudkan dengan pemimpin-pemimpin itu adalah guru-guru yang mengajar ajaran yang salah kepada anak-anak murid mereka. Mereka mengajar bukan ilmu dari Al-Qur’an dan sunnah. Banyak yang menggunakan kitab karangan manusia sahaja.

Belum tentu betul lagi kitab-kitab itu. Tulisan manusia tentang agama hendaklah disandarkan kepada nas dari Al-Qur’an dan Sunnah. Umat sepatutnya belajar tafsir Al-Qur’an dan Hadith terlebih dahulu baru boleh belajar kitab-kitab yang lain. Ini kerana apabila mereka sudah mahir dengan Al-Qur’an dan Hadith, mereka akan dapat menilai sama ada kata-kata manusia itu betul atau tidak.

Malangnya kita sekarang dalam zaman yang hanya ikut mengikut tanpa usul periksa. Hanya apabila seseorang ustaz itu terkenal, ramai pengikut, sudah masuk TV, masyarakat kita akan pandang mereka sebagai hujjah utama mereka. Bukan Al-Qur’an dan sunnah lagi yang mereka ikut, tetapi manusia.

Masalahnya, mengikut orang ini pun satu masalah yang besar dalam masyarakat kita. Bukan dalam hal agama sahaja. Dalam hal kehidupan pun begitu juga kerana ada yang tidak kisah pun hal agama dan pemimpin mereka bukanlah ikutan-ikutan mereka dalam agama.

Sebagai contoh, yang muda hanya menjadikan artis-artis sebagai model kehidupan mereka. Padahal artis-artis itu kebanyakannya tidaklah mempunyai akhlak yang baik untuk diikuti. Namun itulah yang terjadi sekarang. Amat menakutkan apakah yang akan terjadi kepada mereka.

Kadang-kadang yang mengikut orang lain adalah hanya kerana mereka takut mereka dilihat ganjil dalam masyarakat. Sebagai contoh, mereka takut kalau mereka berpakaian lain daripada orang lain. Mereka takut kalau mereka bertudung dan menutup aurat, orang akan melihat mereka pelik.

Begitulah juga dalam hal agama. Ramai yang takut kalau mereka tidak pergi kenduri yang ada majlis bersanding, orang akan kutuk mereka. Mereka takut kalau mereka tidak pergi ke Majlis Tahlil, nanti apa orang akan kata. Mereka takut mereka dikatakan tidak bergaul dengan masyarakat.

Mereka sampai sanggup melakukan perkara syirik, hanya supaya mereka dianggap sebahagian daripada masyarakat. Itulah sebabnya mereka mengikut ustaz itu, ustaz ini, imam itu dan imam ini.

Macam sekarang, yang popular adalah golongan Habib yang entah datang dari mana, sebab dahulu tidak ada. Maka golongan inilah yang mereka ikuti dan sanjungi.

Maka ramai yang mengajar ajaran salah dan nanti mereka tidak mahu bertanggungjawab di akhirat kelak. Nanti orang-orang yang diikuti itu akan berlepas diri dari orang yang ikut mereka.

 

 مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا

daripada orang-orang yang mengikutinya;

Iaitu anak-anak murid mereka yang mereka ajar dahulu semasa di dunia. Anak-anak murid itu hanya ikut sahaja membuta-tuli.

Guru-guru sesat dan pemimpin itu berlepas diri dari bertanggungjawab. Mereka akan kata yang bukan mereka yang paksa anak-anak murid mereka ikut sesat macam mereka. Mereka akan kata anak-anak murid itu sahaja yang sesat sendiri kerana ada mereka ajak juga orang lain, tetapi orang lain ada yang tidak ikut pun.

 

وَرَأَوُا الْعَذَابَ

dan mereka melihat api neraka;

Kedua-dua pihak akan melihat api neraka itu – yang mengikut dan juga yang kena ikut. Apabila tengok sahaja api neraka, tok guru itu melepaskan diri daripada anak-anak murid mereka.

 

 وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ

dan putuslah pertalian antara mereka;

Waktu itu, terputus segala hubungan antara mereka. Tidak ada lagi hubungan mesra dan hormat antara guru dan murid. Putus sudah hubungan kasih sayang antara mereka.

Dahulu semasa di dunia, anak murid itu puja dan sanjung guru dia sampai sujud pun ada. Dia puji dan angkat melambung – guru itu cahayalah, boleh buat itu dan inilah, guru dia hafal itu dan ini dan macam-macam lagi yang mereka puji. Namun, sudah tidak berlaku di akhirat nanti.

Pada hari itu, bukan sahaja perpisahan antara guru dan murid, tetapi juga antara suami dan isteri. Antara ibu dan anak.


 

Ayat 167Apa pula kata pengikut mereka yang sesat? Mereka itu telah sesat kerana telah mengikut guru mereka yang sesat. Sekarang disebut penyesalan mereka pula.

وَقالَ الَّذينَ اتَّبَعوا لَو أَنَّ لَنا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنهُم كَما تَبَرَّءوا مِنّا ۗ كَذٰلِكَ يُريهِمُ اللَّهُ أَعمٰلَهُم حَسَرٰتٍ عَلَيهِم ۖ وَما هُم بِخٰرِجينَ مِنَ النّارِ

Sahih International

Those who followed will say, “If only we had another turn [at worldly life] so we could disassociate ourselves from them as they have disassociated themselves from us.” Thus will Allah show them their deeds as regrets upon them. And they are never to emerge from the Fire.

Malay

Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!” Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.

 

وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا

Dan berkata orang-orang yang mengikuti;

Kali ini yang berkata adalah mereka yang mengikuti tok guru ajaran salah semasa di dunia. Dulu semasa di dunia, mereka tidak periksa pun sama ada amalan tok guru mereka benar atau salah. Sekarang mereka sudah menyesal.

 

 لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً

“Kalaulah kami ada peluang untuk kembali semula ke dunia”

Ini adalah khayalan semata-mata. Tidak akan ada peluang untuk kembali ke dunia. Banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an berkenaan golongan yang menyesal dan hendak pulang ke dunia kembali. Namun ini tidak mungkin kerana dunia telah hancur.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu, eloklah buat kebaikan dan jaga agama semasa hidup ini lagi, kerana sudah tidak ada peluang kedua di akhirat. Kena berhati-hati tentang ilmu agama. Jangan ambil mudah tentang agama – ada ustaz itu kata ini boleh, itu boleh, kamu terus ikut sahaja. Nanti kamu menyesal tidak sudah.

 

فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ

“tentu kami akan melepaskan diri dari mereka”;

Kalau mereka ada peluang kembali, mereka bertekad untuk berlepas diri daripada guru-guru mereka atau ikutan-ikutan salah mereka semasa di dunia dahulu.

 

 كَمَا تَبَرَّءُوا مِنَّا

“sepertimana mereka sekarang melepaskan diri dari kami pada hari ini”;

Kejadian ini terjadi di Padang Mahsyar. Mereka sangka guru-guru itu akan membela mereka, tetapi tidak. Guru-guru itu pun ada masalah mereka sendiri. Bila mereka tengok mereka telah dilepaskan terkontang kanting, maka mereka pun kata kalau mereka ada peluang, mereka pun hendak berlepas diri dari guru sesat mereka itu.

 

 كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ اللَّهُ أَعْمٰلَهُمْ

Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amalan-amalan mereka itu

Allah ‎ﷻ cerita kejadian ini sebab hendak beritahu betapa mereka amat menyesal pada hari akhirat nanti. Amalan-amalan mereka dahulu, mereka amat bangga. Mereka amalkan setiap hari. Mereka rasa bangga sebab mereka dapat belajar amalan-amalan yang guru mereka beri ‘khas’ kepada mereka.

Mereka pun tidak tahu dari mana amalan itu asalnya, tetapi bila guru bagi, mereka berasa bangga sungguh. Mereka amalkan sampai tidak tidur malam. Kalau ada orang tegur amalan itu salah, mereka akan melenting. Macam-macam kata nista mereka akan keluarkan untuk mempertahankan amalan salahnya itu.

Namun apa akan jadi dengan amalannya itu?

 

حَسَرٰتٍ عَلَيْهِمْ

menjadi bahan penyesalan ke atas mereka;

Mereka akan menyesal kerana belajar daripada guru yang salah itu yang telah mengajar mereka amalan-amalan yang salah. Antaranya guru-guru itu mengajar cara melakukan tawassul yang mereka kata baik. Mereka juga akan menyesal kerana mengamalkan amalan-amalan salah dan sesat itu.

Allah ‎ﷻ akan tunjukkan kepada mereka amalan-amalan yang salah semasa di dunia dahulu sebagai salah satu seksa kepada mereka. Sudahlah diseksa dengan bahan api dan pukulan dan sebagainya, sekarang ditambah lagi dengan seksaan mental dengan ditunjukkan apakah perbuatan mereka yang menyebabkan mereka masuk neraka itu.

Perkataan حَسَرَاتٍ itu bukan sahaja bermaksud ‘menyesal’ tetapi menyesal dan menyesal dan menyesal tanpa sudah. Kerana tidak boleh dibaiki lagi.

 

وَمَا هُمْ بِخٰرِجِينَ مِنَ النَّارِ

Dan mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka.

Penyesalan mereka itu tidak akan dapat mengeluarkan mereka dari neraka. Kalau di dunia, ada orang yang buat salah dan menyesal dengan kesalahan mereka, kita akan lembut hati dan beri mereka peluang. Namun ini tidak akan berlaku di neraka nanti. Sesallah macam mana pun, mereka tidak akan diberi peluang untuk kembali ke dunia untuk baiki kesalahan mereka.

Habis Ruku’ 20 dari 40 surah ini


 

Ayat 168: Ayat 168 – 176 memberitahu kita yang hukum halal dan haram itu adalah hak Allah ‎ﷻ dan bukan hak makhluk.  Prinsip yang dipegang ialah hukum itu apa yang diturunkan Allah ‎ﷻ. Bukan berdasarkan tradisi atau mengikut nilai masyarakat.

Kita juga diajar yang tidak boleh sembunyikan hukum Allah ‎ﷻ. Kelak nanti diancam dengan azab neraka.

Ayat ini adalah berkenaan hukum halal dan haram. Termasuk bab berpantang dalam bersalin dan sebagainya. Ia membantah amalan mengamalkan pantang kepada benda yang halal.

Ataupun menghalalkan benda yang haram. Itu semua adalah perbuatan yang kufur kerana ia melibatkan perkara akidah. Sebagai contoh, kalau ada yang kata tidak boleh minum susu atas sebab-sebab tertentu, contohnya pantang bersalin, pantang kerana mengamalkan ilmu wirid khas dan sebagainya. Kalau ada sebab yang boleh diterima akal, seperti sebab-sebab kesihatan, tidak mengapa.

يَـٰٓأَيُّهَا النّاسُ كُلوا مِمّا فِي الأَرضِ حَلٰلًا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Sahih International

O mankind, eat from whatever is on earth [that is] lawful and good and do not follow the footsteps of Satan. Indeed, he is to you a clear enemy.

Malay

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

 

يَـٰٓأَيُّهَا النَّاسُ

Wahai manusia semua sekali;

Ayat ini ditujukan kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang kafir atau Islam. Ini adalah satu dalil yang mengatakan bahawa Al-Qur’an ini bukan untuk orang Islam sahaja. Ia adalah mesej sejagat kerana kadang-kadang Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada manusia keseluruhannya. Kadang-kadang Allah ‎ﷻ bercakap kepada orang beriman, kadang-kadang kepada Bani Israil dan sebagainya.

Mesej ini juga diberikan kepada mereka yang masih tidak mahu lagi masuk Islam walaupun mereka tahu Islam itu adalah agama yang benar. Mereka takut masuk Islam sebab takut apa yang akan dikatakan oleh keluarga mereka, masyarakat mereka dan mereka tidak mahu meninggalkan kebiasaan yang mereka telah lakukan.

 

 كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ

Makanlah daripada apa yang ada di bumi

Ayat ini dikeluarkan selepas ayat tentang ikut mengikut orang lain sebelum ini. Ini kerana kalau kita mengikuti orang lain tanpa usul periksa, lama-kelamaan kita akan buat sesuatu yang tidak halal. Mereka sudah tidak hiraukan sempadan yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ.

Yang mereka kisah adalah apa yang dikatakan oleh kumpulan-kumpulan mereka. Mereka hendak menjadi seperti ketua-ketua atau model-model ikutan mereka. Kita boleh mengikuti orang lain, tetapi jangan melepasi halangan yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Antara masalah besar yang dibuat oleh orang Islam sekarang adalah majlis perkahwinan. Sudah macam majlis perkahwinan agama lain. Kita pun sudah tidak tahu sama ada orang yang berada dalam majlis itu adalah orang Islam atau tidak kerana ada perkara-perkara yang haram di dalamnya. Percampuran lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menutup aurat, muzik yang tidak baik.

Itu belum lagi dikira dengan amalan-amalan syirik dalam majlis persandingan. Mereka tidak sedar bahawa apabila mereka bersanding, mereka mengikut apa yang diamalkan oleh agama Hindu. Persandingan itu adalah mengenang perkahwinan Dewa Sri Rama dan Sita Devi. Orang Hindu mengabadikan peristiwa itu dalam bentuk patung yang sama macam persandingan.

Orang Hindu mengamalkan bersanding sebagai mengikut perkahwinan dewa mereka itu. Kalau mereka amalkan itu adalah syirik, tidakkah kalau kita pun ikut sama, kita tidak syirik? Adakah Allah ‎ﷻ berat sebelah? – Mereka mengamalkan syirik, tetapi kalau kita amalkan tidak menjadi syirik pula?

Ayat sebelum ini tentang kejadian apa yang akan terjadi kepada mereka yang tidak mengikut ajaran Islam semasa di dunia. Maka, sekarang Allah ‎ﷻ memberikan kita nasihat tentang apakah yang perlu kita lakukan di dunia kalau tidak mahu mendapat nasib yang buruk di akhirat nanti.

Allah ‎ﷻ selalu bertukar daripada menceritakan tentang akhirat dan dunia. Kejap Allah ‎ﷻ akan bercerita tentang akhirat, sekejap Allah ‎ﷻ tukar kepada dunia pula. Supaya kita dapat selamat di dunia dan di akhirat.

Lafaz كُلُوا (makanlah kamu) dalam ayat ini bukanlah arahan untuk kita ‘kena’ makan. Allah ‎ﷻ tidak paksa kita makan. Cuma kita kena ada iktikad yang benda-benda itu boleh dimakan. Mungkin kita tidak suka makan, tidak mengapa kalau kita tidak makan pun.

Cuma ulama’ kata kalau pernah kita pantangkan kepada diri kita sebelum ini, maka kena makan sekali untuk membatalkan pantang yang diamalkan sebelum ini.

 

حَلٰلًا طَيِّبًا

yang halal lagi baik;

Apakah yang dimaksudkan dengan halal lagi baik? Sebagai contoh, kita ambil binatang sembelihan. Lembu itu memang kita tahu halal untuk dimakan.

Maksud ‘baik’ itu pula, bermaksud bukan lembu curi. Pemilikan makanan itu pun kena halal juga. Kalau halal, tetapi barang yang telah dicuri, tidak baik – ia haram juga kerana ia adalah hasil daripada curian.

Kadang-kadang kita lupa untuk menimbang sama ada rezeki yang kita dapati itu adalah daripada sumber yang halal atau tidak. Walaupun kita makan makanan yang pada dasarnya halal, tetapi kalau cara kita mendapatkannya adalah dengan cara yang haram, maka ia adalah haram untuk kita makan.

Contohnya, kita dapat rezeki itu dengan cara menipu hak orang lain. Kalau kita dapat cara menipu, maka ia adalah rezeki yang haram.

Kalau binatang ternak, cara memakan binatang ternak itu pun kenalah betul – kena sembelih dengan cara yang betul. Kalau kita pakai contoh lembu tadi, memanglah halal, tetapi kalau dimatikan dengan cara diketuk sampai mati, tidak boleh makan juga.

Negara Islam sepatutnya adalah negara yang memudahkan mencari benda yang halal daripada yang haram. Sepatutnya di negara yang Islam, susah untuk dicari benda yang haram. Namun malangnya, walaupun Malaysia ini dikatakan sebagai negara Islam dan penduduknya ramai yang Muslim, tetapi benda yang haram masih lagi senang didapati.

Kita bukan cakap tentang makanan sahaja, tetapi benda-benda lain juga. Banyak hiburan-hiburan yang haram bersepah di negara ini.

Islam mengajak kepada perkara yang halal lagi baik kerana ia adalah baik untuk semua orang. Bukan untuk orang Islam sahaja. Sebab itu ayat ini dimulakan dengan seruan kepada seluruh manusia.

Contohnya berkenaan riba. Islam mengharamkan riba kerana ia adalah satu cara perniagaan yang tidak adil. Riba menyusahkan semua orang, bukan orang Islam sahaja. Ekonomi negara runtuh, ada rakyat yang jadi gelandangan adalah kerana riba. Kerana mereka terbelit dengan riba dan tidak dapat keluar dari kancang itu.

Kalau pakar ekonomi mengkaji dengan jujur, mereka akan nampak bahawa ia adalah buruk untuk ekonomi dunia. Memang sudah ada pakar ekonomi yang mengkaji dan ada yang masuk Islam kerana mereka nampak kebaikan yang dibawa oleh Islam dengan pengharaman riba ini.

Pada zaman sekarang, sudah ada institusi kewangan dan bank yang mengamalkan konsep bank tanpa riba walaupun mereka bukan Muslim.

 

 وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِ

dan janganlah sekali-kali kamu ikuti jejak langkah syaitan;

Kita diingatkan supaya jangan mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan campur tangan dalam hal halal haram. Mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Oleh itu jangan kita ikut bisikan daripada mereka. Merekalah yang mengajar sesetengah puak yang mereka tidak boleh makan sesetengah makanan kerana ia tidak akan terjadi sendiri tetapi kerana Syaitan yang membisikkan idea itu kepada mereka.

Kerana syaitanlah yang membisikkan supaya menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal. Sebagai contoh, apabila orang Melayu bersalin, mereka diberitahu oleh bidan-bidan bahawa mereka tidak boleh makan ayam. Namun kepada orang Cina, disuruh makan ayam pula supaya badan menjadi kuat semula. Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang bersalin, tetapi kita orang Melayu, tidak boleh makan benda-benda yang berzat pula.

Itu mereka namakan sebagai ‘pantang’. ‘Berpantang’ itu adalah perkara yang syirik kerana ikut cakap tok bidan yang mengharamkan benda-benda makanan. Kita tidak tahu pun kenapa kita tidak boleh makan makanan yang dipantangkan itu. Kita ikut sahaja kata orang-orang tua tanpa usul periksa.

Sepatutnya, yang boleh mengharamkan apakah yang tidak boleh dimakan adalah hanya Allah ‎ﷻ sahaja, tetapi kita terima pula larangan bidan itu, atau kata orang-orang lain.

Syaitan amat suka kalau kita mengharamkan yang halal kerana itu sudah perbuatan mengambil kerja Allah ‎ﷻ dan ia adalah syirik. Namun tentu kalau kita mengatakan salah kalau mengamalkan ‘pantang’, kita akan dimarahi dan dikata macam-macam tohmahan. Jadi, kita malu kalau tidak berpantang. Kita takut kepada orang yang jahil.

Contoh lain yang manusia haramkan sesetengah makanan kepada mereka adalah kerana keturunan. Kononnya keturunan mereka tidak boleh makan makanan ini dan itu. Sebagai contoh, ada golongan di Kelantan yang tidak boleh makan Ikan Kacang.

Contoh satu lagi adalah golongan-golongan yang mengamalkan wirid-wirid khas. Guru mereka akan ajar anak murid, kalau hendak mengamalkan wirid-wirid itu, tidak boleh makan makanan berdarah, atau ada lagi pantang-pantang mereka yang lain yang pelik-pelik. Itu semua rekaan sahaja.

Mula-mula syaitan hanya boleh membisikkan kepada kita untuk melakukan kesalahan. Kalau kita sudah mula mengikut bisik-bisikan itu, syaitan sudah boleh mengarahkan kita buat sesuatu yang jelas salah. Kita sudah tidak rasa kita buat perkara yang haram kerana kita dari dahulu lagi kita sudah mula membuat perkara-perkara yang salah sedikit demi sedikit.

Lama-lama perbuatan dosa itu sudah sebati dengan kita. Kita rasa macam tidak ada apa sahaja kalau buat benda yang salah.

 

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang jelas nyata;

Iblis telah berjanji di hadapan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam عليه السلام. Mereka tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan kita dari dahulu sampai sekarang. Sampai kiamat mereka tidak akan berhenti.

Mereka pula lebih banyak bilangannya daripada kita. Syaitan itu sembilan kali ganda bilangan mereka daripada bilangan kita. Kalau kita boleh nampak mereka dengan nyata, kita pun tidak boleh hendak hidup kerana mereka ada di mana-mana.

Mereka lambat mati kalau dibandingkan dengan kita. Kalau umur 300 tahun itu, masih dalam kategori budak lagi dalam alam jin dan syaitan. Jadi, banyak yang mereka boleh buat untuk menyesatkan kita kerana mereka banyak pengalaman.


 

Ayat 169: Apakah alamat yang syaitan itu adalah musuh yang jelas nyata?

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Sahih International

He only orders you to evil and immorality and to say about Allah what you do not know.

Malay

Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

 

إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ

Syaitan itu hanya akan menyuruh kamu

Kalau kita mula mendengar was-was daripada syaitan, lama kelamaan dia akan lebih menguasai kita dan akan sampai pada satu tahap dia boleh ‘menyuruh’ kita. Perkataan أْمُرُ adalah bermula dengan tahap ‘mencadangkan’ sesuatu sampai kepada boleh ‘menyuruh’ seseorang melakukan sesuatu.

Jadi syaitan akan mula-mula hanya boleh ‘mencadangkan’ kita melakukan sesuatu sahaja. Apabila kita sudah mula ikut, dia akan menjadi kuat dan boleh mengarahkan kita melakukan sesuatu.

 

 بِالسُّوءِ

untuk membuat amalan buruk

Syaitan itu hanya suruh kita buat dosa sahaja, tidak ada perkara baik pun yang mereka akan suruh kita buat. Kalau syaitan tiba-tiba suruh buat benda baik pun, tentu ada udang di sebalik batu.

Lafaz السُّوءِ bermaksud dosa daripada segi amalan atau perbuatan. Perbuatan yang jahat dan buruk. Ia perbuatan yang tidak ada yang baik. Tidak ada kebaikan hasil daripadanya. Namun manusia masih juga melakukannya hasil daripada ajakan dan bisikan syaitan.

Untuk kenal cara penipuan syaitan ini, kita kena belajar Talbis Iblis.

 

وَالْفَحْشَاءِ

dan akhlak yang memalukan;

Lafaz الْفَحْشَاءِ pula adalah dosa daripada segi akhlak dan budi pekerti. Termasuk budaya, cara pakaian, cara berpakaian dan sebagainya.

Ia juga termasuk jenis perbuatan yang kita hendak ceritakan kepada orang lain dan kenalan kita sendiri pun malu. Itu yang dipanggil fahsya‘. Kita hendak cerita kepada orang pun segan. Kalau kita malu hendak cerita kepada orang lain, bermakna ia adalah perkara yang tidak baik.

 

وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

dan supaya kamu mengatakan tentang Allah perkara yang kamu sendiri tidak tahu menahu;

Apa yang lebih teruk lagi, syaitan akan membisikkan supaya kita cakap tentang sesuatu atas nama Allah ‎ﷻ yang kita tidak ada dalil wahyu tentangnya. Kita berani kata yang sesuatu perkara itu adalah hal agama padahal ia tidak kerana agama kenalah ada dasar atas nama Allah ‎ﷻ dan bukan boleh kita cakap kosong sahaja.

Ingatlah yang kalau hal agama, kena ada dalil wahyu baru boleh diterimapakai. Tambahan pula kalau ianya tentang akidah. Kena ingat, ada tiga elemen syaitan akan sesatkan kita:

    1. Dari segi amalan dan perbuatan
    2. Dari segi akhlak
    3. Dari segi akidah

Selepas kita hanya mengikut sahaja saranan syaitan itu, syaitan akan pergi lebih jauh lagi. Dia tidak akan berhenti untuk menyesatkan manusia. Dia akan menyuruh kita membenarkan perbuatan salah yang kita buat. Sampai mengatakan sesuatu yang kita sendiri tidak tahu benar atau salahnya.

Contohnya, seseorang akan kata bahawa perbuatan jahat yang dia buat itu tidak salah sebenarnya. Dia akan beri alasan atas perbuatan yang telah dilakukan. Mereka akan memusingkan hukum supaya nampak tidak salah perbuatan mereka itu. Mereka akan membuatkan justifikasi tentang perbuatan mereka.

Contohnya, apabila seorang lelaki dan perempuan duduk bersama, mereka akan kata bahawa yang Allah ‎ﷻ tidak benarkan adalah berzina, bukannya duduk bersama. Mereka bercakap perkara yang mereka sendiri tidak tahu. Mereka sebenarnya jahil, tetapi mereka cuba untuk menerangkan tentang agama kepada orang lain.

Atau kalau kita tegur mereka, mereka akan melenting sambil berkata: “mana dia larangan itu dalam Al-Qur’an, dalam hadith, mana?!” Mereka akan berkata dengan angkuh kerana mereka jahil, mereka tidak tahu bahawa memang ada larangan tersebut dalam nas-nas agama.

Atau dia akan tafsir agama dengan pemahaman dia sendiri. Dia akan kata yang Allah ‎ﷻ maksud begini, bukan begitu. Senang-senang sahaja mereka berkata tentang agama tanpa ilmu pengetahuan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s