Ayat 20: Dalil aqli. Allah suruh fikirkan asal kejadian kita.
أَلَم نَخلُقكُم مِّن مّاءٍ مَّهينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Did We not create you from a liquid disdained?
(MELAYU)
Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina?
Allah suruh kita kenangkan balik asal kejadian kita. Dulu kita dijadikan dari air mani yang hina sahaja. Tidak ada nilai air mani itu. Kalau jatuh ke tanah, ayam tak patuk dan itik pun tak sudu.
Tapi malangnya ramai manusia tidak ingat perkara ini sampaikan mereka jadi sombong apabila mereka ada kelebihan. Mereka lupa kejadian asal mereka dan mereka lupa yang apa-apa sahaja yang mereka ada, itu semua adalah pemberian dari Allah.
Ayat 21:
فَجَعَلنٰهُ في قَرارٍ مَّكينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We placed it in a firm lodging [i.e., the womb]
(MELAYU)
kemudian Kami letakkan dia dalam tempat yang kukuh (rahim),
Kejadian manusia dari air mani yang bercampur dengan telur ovum wanita itu menjadi zigot dan Allah letakkan di dalam rahim untuk ia membesar. Ia melekat dalam rahim itu dan diberi makanan oleh Allah.
Dan Allah kukuhkan kedudukan dalam rahim ibu itu. Janin dapat hidup dengan selesa dan ia akan membesar di dalamnya. Walaupun ibu itu bergerak ke mana-mana ia tetap akan hidup di dalam perut itu itu. Jarang terjadi keguguran melainkan sebab tertentu yang ditentukan oleh Allah.
Sampaikan kalau nak gugurkan sendiri janin itu pun bahaya kerana kukuhnya kedudukan bayi itu dalam perut ibu. Sains perubatan yang moden pun sedar yang menggugurkan bayi dalam rahim itu bahaya. Kerana Allah telah kukuhkan kedudukan bayi itu dan kerana itu menggugurkannya amat susah sekali.
Ayat 22:
إِلىٰ قَدَرٍ مَّعلومٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
For a known extent.
(MELAYU)
sampai waktu yang ditentukan,
Allah tempatkan janin bayi itu di dalam rahim ibunya dan duduklah ia membesar sampailah ke satu masa ia akan lahir yang masa itu Allah sahaja yang tahu.
Yang tahu bilakah bayi itu duduk dalam rahim itu bukanlah doktor, ibu atau bapa anak itu, tapi Allah sahaja. Doktor boleh agak sahaja tapi bilakah saat ia akan keluar, hanya Allah sahaja yang tahu.
Ayat 23:
فَقَدَرنا فَنِعمَ القٰدِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We determined [it], and excellent [are We] to determine.
(MELAYU)
lalu Kami tentukan (bentuknya), maka Kami-lah sebaik-baik yang menentukan.
Allahlah yang menentukan proses janin dalam perut ibunya itu. Allah yang beri makan, Allah yang beri keselamatan semasa ia di dalam perut itu. Bila ia akan keluar sebagai bayi pun doktor pun tak tahu dengan pasti. Dengan teknologi yang ada, doktor bolehlah buat agakan tapi itu adalah agakan sahaja. Kepastian tetap tidak ada kerana ianya ditentukan oleh Allah.
Ini adalah hujah yang Allah mampu untuk menjadikan hari kebangkitan dan membangkitkan kembali manusia. Kalau Allah boleh jadikan manusia dari setitik air mani, maka apa yang menghalang Allah dari menjadikan semula manusia yang telah mati? Tentu Allah mampu dan berkuasa untuk melakukannya.
Musyrikin Mekah tidak yakin yang manusia yang mati boleh dihidupkan semula. Maka Allah suruh mereka tengok diri mereka: bukankah mereka dulu tidak ada apa-apa, mereka pun hanya dalam bentuk air mani sahaja?
Ayat 24:
وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Woe, that Day, to the deniers.
(MELAYU)
Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
Allah ulang ayat ini kali ketiga sebagai penekanan. Setelah Allah jadikan manusia, maka sepatutnya kepada Allahlah segala ketaatan patut diberikan. Tapi kepada manusia yang lalai dan mendustakan agama dan Hari Kebangkitan, maka mereka itu akan menjadi makhluk yang paling celaka.
Semasa di dunia mereka menolak kebangkitan semula tapi nanti bila mereka tengok sendiri hari itu, mereka akan menyesal sangat. Mereka akan sedar yang mereka adalah orang yang amat celaka.
Ayat 25: Dalil aqli. Selepas Allah suruh kita tengok diri kita, Allah suruh kita tengok alam pula.
أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ كِفاتًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have We not made the earth a container
(MELAYU)
Bukankah Kami menjadikan bumi (tempat) berkumpul,
Kalimah كِفاتًا dari katadasar ك ف ت yang bermaksud sesuatu yang menahan dan memegang. Ia sebagai bekas tempat simpan sesuatu di dalamnya. Ia merujuk kepada sifat bumi yang memegang dan menyimpan apa sahaja yang Allah letakkan di atas dan di dalamnya.
Ibnu Abbas mengatakan bahawa kifatan ertinya penyimpanan. Mujahid mengatakan bahawa mayat dikebumikan hingga tidak terlihat. Asy-Sya’bi mengatakan bahawa bahagian dalam bumi untuk orang-orang mati, sedangkan bahagian luarnya untuk orang-orang hidup. Hal yang sama dikatakan oleh Mujahid dan Qatadah.
Kalau ayat tadi sebut tentang perut ibu yang menyimpan janin anaknya dan sekarang disebut ‘perut bumi’ pula.
Ayat 26:
أَحياءً وَأَموٰتًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Of the living and the dead?
(MELAYU)
orang-orang hidup dan orang-orang mati?
Dalam perut bumi dan di atas bumi itu ia memegang sama ada yang hidup atau yang mati. Asal kita lahir ke dunia ini dalam keadaan hidup tapi akhirnya akan mati. Masa hidup duduk atas bumi dan nanti bila sudah mati akan masuk duduk dalam bumi pula. Sehinggalah sampai satu waktu kita akan dikeluarkan dari bumi.
Ayat 27:
وَجَعَلنا فيها رَوٰسِيَ شٰمِخٰتٍ وَأَسقَينٰكُم مّاءً فُراتًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We placed therein lofty, firmly set mountains and have given you to drink sweet water.
(MELAYU)
dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air tawar?
وَجَعَلنا فيها رَوٰسِيَ شٰمِخٰتٍ
dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi,
Allah suruh kita lihat gunung ganang yang kukuh itu. Allahlah yang menjadikan gunung ganang itu sebagai pasak bumi. Kerana dengan adanya gunung itu menjadikan bumi ini kukuh kerana sudah ada pasak. Kalau tengok gunung itu hebat, maka ketahuilah yang Allah yang menjadikannya lagi hebat.
وَأَسقَينٰكُم مّاءً فُراتًا
dan Kami beri kamu minum dengan air tawar?
Allah ingatkan kita dengan jasaNya yang besar yang memberi kita semua minum dari air tawar yang segar. Iaitu air bersih yang dapat melegakan kehausan kita.
Allah telah menjadikan alam ini dan terus menjaganya entah berapa juta tahun, kita pun belum dapat pastikan lagi. Segala keperluan untuknya dan makhluk yang hidup di atasnya telah diberikan.
Dan selepas makhluk itu mati, ia hancur dalam tanah dan kemudian menjadi bahan kegunaan kepada mereka yang hidup. Sebagai contoh, ada yang jadi baja bagi tumbuhan, ada yang hancur jadi minyak dan digunakan oleh manusia. Ini adalah sistem yang amat hebat.
Bumi ini pun bukannya rata sahaja tapi ada lembah dan gunung ganang. Dengan adanya gunung ganang itu, terjadinya kesan kepada alam. Sebagai contoh, angin tertahan dengan gunung ganang itu; air disimpan di atas gunung dalam bentuk ais dan bila perlu, Allah turunkan ke lembah dan air itu sampai kepada tanaman, binatang dan manusia dan digunakan untuk kehidupan.
Kenapa kita kena lihat dan fikirkan semua ini? Kerana kita kena yakin yang Tuhan yang menjadikan alam ini dengan segala sistem hebatnya, tentu mampu untuk menghancurkan alam ini pada Hari Kiamat nanti. Dan kemudian tentulah Dia mampu untuk menjadikan alam yang lain pula, di mana alam itu Allah jadikan untuk menilai segala perbuatan manusia. Dan kemudian Allah jadikan pula syurga dan neraka sebagai balasan bagi manusia.
Adakah itu mustahil? Takkan pula mustahil sedangkan Allah sudah pernah cipta alam dunia yang begini punya hebat. Takkan Allah tak mampu nak jadikan alam lain?
Ayat 28:
وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Woe, that Day, to the deniers.
(MELAYU)
Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
Ini kali keempat Allah ulang ayat ini. Allah beri peringatan kepada manusia yang tidak mengambil pengajaran dari ayat-ayat yang telah disebutkan sebelum ini. Mereka akan menjadi orang yang paling menyesal dan celaka nanti.
Semasa di dunia mereka kata takkan Allah mampu nak jadikan balik makhluk yang telah lama mati itu. Maka Allah telah beri hujah-hujahNya dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini. Maka nanti mereka sendiri akan melihat perkara yang mereka kata mustahil terjadi itu.
Ayat 29: Ayat 29 – 40 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia memberitahu kita yang neraka jahannam itu adalah untuk pendusta agama.
Ayat 29 ini adalah Ayat Takhwif Ukhrawi. Apakah yang akan dikatakan kepada mereka yang mendustakan hari kebangkitan? Bagaimana mereka yang mendustakan hari kebangkitan itu akan dilayan?
انطَلِقوا إِلىٰ ما كُنتُم بِهِ تُكَذِّبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[They will be told], “Proceed to that which you used to deny.
(MELAYU)
(Dikatakan kepada mereka pada hari kiamat): “Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya.
Ini adalah keadaan di Mahsyar nanti. Manusia yang derhaka dan mendustakan hari kebangkitan semula akan disuruh untuk pergi ke azab yang mereka dulu tak percaya. Dulu mereka tidak percaya kebangkitan semula dan azab yang dijanjikan.
Maka waktu itu ia sudah ada di depan mata mereka, dan mereka akan diejek oleh Allah dengan suruh mereka pergi ke arah azab itu. Dulu tak percaya sangat, kan?
Ayat 30: Ke mana mereka akan disuruh untuk pergi?
انطَلِقوا إِلىٰ ظِلٍّ ذي ثَلٰثِ شُعَبٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Proceed to a shadow [of smoke] having three columns
(MELAYU)
Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai tiga cabang,
Mereka yang mendustakan hari akhirat akan disuruh untuk pergi kepada naungan azab. Yang dimaksudkan adalah neraka jahannam. Tapi Allah beri perumpamaan tentang neraka itu. Allah beritahu yang ia ada tiga cabang.
‘Cabang’ yang dimaksudkan adalah serombong asap. Ini adalah berita ghaib yang digambarkan kepada kita. Sekarang kita tahu yang neraka itu ada tiga serombong tempat keluarnya asap dari api neraka.
Ahli neraka itu akan nampak serombong asap itu di depan, kiri dan kanan. Mana serombong belakang? Serombong belakang tidak nampak lagi kerana mereka tidak nampak ke belakang lagi kerana mereka tidak masuk lagi ke neraka.
Ayat 31: Allah ceritakan keadaan di dalam neraka itu.
لّا ظَليلٍ وَلا يُغني مِنَ اللَّهَبِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[But having] no cool shade and availing not against the flame.”
(MELAYU)
yang tidak melindungi dan tidak pula menolak nyala api neraka”.
Neraka itu bukanlah tempat yang selesa. Memang tidak selesa langsung. Dan tidak akan ada apa pun yang akan menyelamatkan mereka dari api neraka nanti. Tetaplah mereka menerima azab api yang menyala-nyala itu.
Ayat 32:
إِنَّها تَرمي بِشَرَرٍ كَالقَصرِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, it throws sparks [as huge] as a fortress,
(MELAYU)
Sesungguhnya neraka itu melontarkan bunga api sebesar dan setinggi kubu.
Allah suruh kita bayangkan neraka itu dengan api yang menyala-nyala. Bagaimana keadaan api itu? Ianya amat besar dan percikan api itu sendiri seperti tembakan api setinggi kubu yang tinggi. Allah suruh orang zaman itu bayangkan kubu kerana kubulah yang binaan yang benar bagi mereka.
Ayat 33:
كَأَنَّهُ جِمٰلَتٌ صُفرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
As if they were yellowish [black] camels.
(MELAYU)
Seolah-olah ia iringan unta yang kuning.
Mulanya api itu besar macam kubu. Ia terbang ke langit dan kemudian ia jadi pecah dan kecil mengecil. Ia akan menjadi kuning seperti tumpukan unta-unta yang banyak berlari ke semua arah. Ini adalah imageri (bayangan) yang Allah suruh kita bayangkan.

Ayat 34:
وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Woe, that Day, to the deniers.
(MELAYU)
Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
Allah ulang kali kelima ayat ini untuk menakutkan pembaca Al-Qur’an. Setelah diterangkan keadaan di neraka itu dengan apinya, sekarang Allah mengingatkan manusia bahawa mereka yang mendustakan hari kebangkitan itu adalah mereka yang amat celaka. Mereka tidak percaya hari akhirat dan nanti mereka akan duduk di dalamnya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 21 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan