Tafsir Surah Mursalat Ayat 35 – 50 (Alasan tidak laku)

Ayat 35:

هٰذا يَومُ لا يَنطِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This is a Day they will not speak,

(MELAYU)

Ini adalah hari, yang mereka tidak dapat berbicara (pada hari itu),

 

Di Mahsyar nanti, manusia tidak boleh nak cakap apa-apa. Tidak boleh nak bantah, buat memorandum, demonstrasi atau nak bagi hujah apa-apa lagi waktu itu. Kerana terima apa sahaja keputusan Allah. 

Jangan kata nak hujah dengan bercakap, nak berbunyi pun tidak. Tak mampu nak berbunyi kerana bingung dan takut. Terbungkam terus mulut semua makhluk.  Dan kerana takut sangat pada waktu itu. Waktu itu barulah mereka hendak taat.

Di dunia ini ramai manusia pandai berhujah. Apabila kita tegur sesuatu kesalahan yang dilakukan, ada sahaja hujah balas dari mereka. Kalau diberikan dalil, baguslah juga kerana kita memang nak tahu mana-mana dalil yang mungkin kita tertinggal. Tapi masalahnya hujah-hujah mereka itu bukannya dalil kerana bukan dari Al-Qur’an dan sunnah. Mereka sahaja sangka ianya dalil.


 

Ayat 36:

وَلا يُؤذَنُ لَهُم فَيَعتَذِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor will it be permitted for them to make an excuse.

(MELAYU)

dan tidak diizinkan kepada mereka minta uzur sehingga mereka (dapat) minta uzur.

 

Allah tak mahu dengar apakah hujah mereka. Mereka tak dibenarkan bercakap pun lagi kerana buang masa kerana mereka akan menipu sahaja. Maka mereka tidak ada peluang untuk beri alasan. 

Tapi tidaklah mereka tidak diadili. Mereka tetap diadili tapi yang akan menjadi saksi adalah tubuh badan mereka sendiri. Kitab amalan mereka sendiri akan dibentangkan dan mereka akan lihat apakah yang mereka telah lakukan dan mereka sendiri tahu yang mereka tidak akan dapat nak mempertahankan diri pun.

Di Mahsyar nanti keadaan bermacam-macam, dan Allah adakalanya menceritakan suatu keadaan darinya dan adakalanya menceritakan keadaan yang lainnya. Sebab kita boleh lihat kisah di Mahsyar ini berbeza-beza antara satu ayat dengan ayat yang lain. Bukannya Al-Qur’an tidak konsisten, tapi Allah menceritakan hal yang berlainan. Kerana proses di Mahsyar itu melalui banyak fasa demi fasa.

Ini untuk menunjukkan kerasnya kengerian dan kegoncangan yang terjadi di Mahsyar pada hari itu.


 

Ayat 37:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Sekali lagi diulang ayat ini. Sebagai penekanan dan peringatan sekali lagi. Kalau alasan pun tidak didengari lagi, apakah tidak malang nasibnya?


 

Ayat 38:

هٰذا يَومُ الفَصلِ ۖ جَمَعنٰكُم وَالأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This is the Day of Judgement; We will have assembled you and the former peoples.

(MELAYU)

Ini adalah hari keputusan; (pada hari ini) Kami mengumpulkan kamu dan orang-orang terdahulu.

 

هٰذا يَومُ الفَصلِ

Ini adalah hari keputusan;

Inilah hari kebangkitan di mana keputusan akan dibuat  secara amali. Ianya adalah keputusan amali di mana akan dibezakan antara mereka yang taat dan buat maksiat, antara yang beriman dan kufur, antara yang baik dan buruk. 

Untuk selamat semasa keputusan amali ini dilakukan, maka kenalah amalkan amalan teori semasa di dunia. Maksudnya jangan tunggu kebenaran akhirat di depan mata baru nak percaya. Kenalah percaya dan amalkan semasa ajaran teori dibuat berdasarkan ilmu wahyu.

Kita manusia ada akal maka boleh terima kebenaran berdasarkan teori. Kita bukan binatang yang hanya kalau nampak api depan mata baru nak takut. Manusia tak perlu lihat api baru nak takut. Kalau ada orang beritahu kawasan di depan sedang terbakar teruk dan kita nampak bukti asal berkepul-kepul, kita sudah boleh percaya.

Maka begitu juga dengan Kiamat dan Hari Kebangkitan. Walaupun tak nampak depan mata kita lagi, tapi ajaran dan dalil bukti telah diberikan dalam wahyu. Maka kalau masih tak percaya lagi, maka itu menunjukkan orang itu ada akal binatang: sudah nampak baru nak percaya.

 

جَمَعنٰكُم وَالأَوَّلينَ

(pada hari ini) Kami mengumpulkan kamu dan orang-orang terdahulu.

Keadaan di Mahsyar itu amat sesak sangat kerana semua makhluk akan dikumpulkan sekali dari manusia yang mula lahir sampailah yang terakhir sekali mati semasa hari kiamat itu.

Keadaan amat sesak kerana ramai sangat. Keadaan jadi kecoh sangat dengan segala keadaan yang amat menyesakkan di Mahsyar itu. Semua akan dikumpulkan di hadapan Allah dan akan dibahagikan ikut kumpulan-kumpulan.  


 

Ayat 39:

فَإِن كانَ لَكُم كَيدٌ فَكيدونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So if you have a plan, then plan against Me.

(MELAYU)

Jika kamu mempunyai tipu daya, maka lakukanlah tipu dayamu itu terhadap-Ku.

 

Allah ejek mereka yang mendustakan hari akhirat itu. Kalau ada tipu daya nak selamatkan diri mereka waktu itu, maka buatlah tipu daya mereka sekarang.

Sekarang kumpullah dalam kumpulan mereka dan cubalah selamatkan diri kalau boleh. Kalau semasa di dunia dulu mereka banyak helah dan tipu daya. Nah sekarang buatlah apa yang mereka boleh buat. Tentulah tidak ada harapan langsung. Ini hanya ejekan sahaja seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ تَنْفُذُوا مِنْ أَقْطارِ السَّماواتِ وَالْأَرْضِ فَانْفُذُوا لَا تَنْفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطانٍ

Hai golongan jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya melainkan dengan kekuatan. (Ar-Rahman: 33)


 

Ayat 40:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِٰلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Tentulah tidak ada jalan atau helah bagi mereka untuk melepaskan diri. Azab akan dikenakan kepada mereka tanpa henti dan tanpa belas kasihan. Mereka akan jadi orang yang celaka.

Ini adalah kerana mereka tidak mahu mempercayai adanya hari berbangkit. Maka kerana itu mereka tidak buat persediaan untuk menghadapinya.

Habis Ruku’ 1 dari 2 ruku’ surah ini.


 

Ayat 41: Ayat 41 – 50 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir surah ini. Allah memberitahu yang sifat adil menunjukkan adanya Hari Kiamat.

Ayat 41 ini adalah Tabshir Ukhrawi. Ini nasib mereka yang mempercayai adanya hari berbangkit. Mereka mendapat balasan yang amat baik.

إِنَّ المُتَّقينَ في ظِلٰلٍ وَعُيونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the righteous will be among shades and springs

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam naungan (yang teduh) dan (di sekitar) mata-mata air.

 

Mereka yang jaga syariat akan mendapat kenikmatan di akhirat. Semasa orang lain dalam kepanasan, mereka mendapat naungan yang selesa. 

Semasa mereka yang mendustakan akhirat itu dalam dahaga yang amat, mereka yang mukmin itu akan diberikan dengan air segar yang menghilangkan dahaga mereka sampai bila-bila.


 

Ayat 42:

وَفَوٰكِهَ مِمّا يَشتَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And fruits from whatever they desire,

(MELAYU)

Dan (mendapat) buah-buahan dari (macam-macam) yang mereka ingini.

 

Mereka yang beriman dan percaya kepada hari berbangkit akan buat persediaan semasa mereka hidup di dunia. Dan kerana mereka ada persediaan maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Dalam syurga itu mereka akan diberikan dengan berbagai nikmat. Antaranya mereka akan diberikan dengan buah-buahan yang mereka suka makan.

Bukan sahaja buah yang akan ada di syurga itu. Ada banyak lagi makanan dan nikmat lain yang syahwat mereka hendak. Cuma disebut buah-buahan kerana itulah yang amat disukai oleh bangsa Arab.vKerana itu digunakan kalimah فواكه yang berasal dari katadasar yang bermaksud ‘senyum’ kerana mereka makan buah dalam keadaan senyum sebab mereka suka sangat.


 

Ayat 43:

كُلوا وَاشرَبوا هَنيئًا بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Being told], “Eat and drink in satisfaction for what you used to do.”

(MELAYU)

(Dikatakan kepada mereka): “Makan dan minumlah kamu dengan enak kerana apa yang telah kamu kerjakan”.

 

كُلوا وَاشرَبوا هَنيئًا

(Dikatakan kepada mereka): “Makan dan minumlah kamu dengan enak

Di dalam syurga nanti mereka boleh makan segala makanan syurga sebab enak dan puas tanpa risau. Mungkin semasa di dunia mereka hidup susah dan macam-macam mereka tak dapat rasa kerana mereka tidak ada sumber. Tapi di syurga nanti segala kehendak mereka akan dipenuhi. Mereka tidak perlu risau apa-apa.

Tiada halangan langsung bagi mereka. Mungkin ada yang teringat kisah Nabi Adam yang dilarang makan dari satu pokok. Waktu itu memang baginda di syurga. Maka adalah larangan sebegitu juga? Tidak sama sekali. Kes Nabi Adam itu sebagai ujian dari Allah sahaja dan di syurga nanti tidak ada ujian lagi.

Yang lebih hebatnya, ini semua adalah kata-kata Allah kepada mereka. Ini yang lebih hebat. Tentulah ia menambahkan nikmat lagi apabila Allah yang pelawa ahli syurga itu makan. Maka Allah suruh kita bayangkan. 

 

بِما كُنتُم تَعمَلونَ

kerana apa yang telah kamu kerjakan”.

Segala kenikmatan yang diberikan kepada ahli syurga itu adalah sebagai balasan bagi perbuatan dan amalan ahli syurga itu semasa di dunia. Oleh kerana mereka percaya adanya hari kebangkitan semula, maka mereka beriman dan beramal soleh. Mereka bekerja dengan amal mereka dan balasannya, mereka dimasukkan ke dalam syurga.

Tapi mungkin kita sudah pernah dengar bahawa manusia tidak masuk syurga kerana amalnya. Kita sudah tahu bahawa kita hanya dapat masuk syurga kerana rahmat Allah. Kerana amal ibadah kita berapa banyak pun yang kita cuba lakukan tidak akan cukup untuk memasukkan kita ke dalam syurga.

Ini adalah kerana syurga itu mahal dan sangat hebat sampaikan amalan kita tidak cukup ‘tambang’ nak bayaran ‘tiket’ masuk. Maka bagaimana dengan pemahaman ayat ini dan ayat-ayat lain seumpamanya? Tidakkah nampak seperti berlawanan dengan hadis itu?

Jawapannya memang kita sendiri tak boleh kata kita masuk syurga dengan amal kita tapi ini Allah sendiri boleh cakap. Allah boleh cakap kerana syurga Dia yang punya. Kita kena cakap kita hanya masuk syurga dengan rahmat Allah. Tapi kalau Allah yang membenarkan kita masuk dengan amal kita, maka Dia boleh cakap kerana syurga Dia yang punya.

Dan memang kita masuk syurga dengan rahmatNya tapi nak dapat rahmat Allah kita kena beramal semampu kita. Bukannya berharap kosong sahaja. Memang kita berharap tapi harap kita kenalah diiringi dengan amal ibadat kita.


 

Ayat 44:

إِنّا كَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We thus reward the doers of good.

(MELAYU)

Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

 

Allah akan balas segala usaha kita. Usaha kita beramal dan berbuat kebaikan tidaklah sia-sia sahaja. Allah akan balas berganda-ganda.

Dengan pemahaman ini maka tidakkah kita jadi malas nak beramal ibadat dan buat kebaikan selama kita di dunia ini. Dan ini kena bertitik tolak daripada keyakinan yang akhirat memang ada dan akan terjadi. Kalau tidak yakinlah yang menyebabkan manusia malas berbuat kebaikan.


 

Ayat 45:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Maka kecelakaan besarlah kepada mereka yang tidak menyakini adanya hari kiamat. Allah ulang lagi ayat ini kerana amat penting.

Sebelum ini telah disebut orang yang degil itu tidak dapat nak mempertahankan diri mereka untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka tidak ada helah dan alasan uzur lagi. Itu pun sudah azab kerana itu adalah kepastian yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Alasan pun tidak didengar lagi, maka apakah harapan mereka lagi? Tentu tidak ada.

Dan kemudian disebut bagaimana golongan yang taat akan dimasukkan ke dalam syurga dengan segala nikmatnya. Maka ini adalah azab tambahan kepada golongan yang degil itu. Mereka akan lihat bagaimana golongan yang mereka lawan, tuduh dan gelak-gelakkan itu dapat masuk ke dalam syurga dan mereka pula masuk ke dalam neraka! Ini dinamakan azab rohani. Mereka akan rasa lebih celaka lagi.


 

Ayat 46: Ayat takhwif duniawi. 

كُلوا وَتَمَتَّعوا قَليلًا إِنَّكُم مُّجرِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[O disbelievers], eat and enjoy yourselves a little; indeed, you are criminals.

(MELAYU)

(Dikatakan kepada orang-orang kafir): “Makanlah dan bersenang-senanglah kamu (di dunia dalam waktu) yang pendek; sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berdosa”.

 

كُلوا وَتَمَتَّعوا قَليلًا

“Makanlah dan bersenang-senanglah kamu yang dalam waktu yang sedikit;

Sekarang Allah bercakap terus kepada mereka yang engkar. Bukan sahaja kepada Musyrikin Mekah tapi kepada sesiapa sahaja sepanjang zaman yang engkar dengan arahanNya.

Kalau masih tidak percaya dengan kebangkitan semula, maka kamu buatlah apa yang kamu nak buat. Makanlah….bersuka-ria lah kamu sementara masih ada masa. Masa itu pun pendek sahaja sebenarnya.

Bukannya lama pun. Allah boleh biarkan sahaja apa yang mereka nak buat. Kerana masa kematian mereka telah ditentukan. Mereka sahaja yang sangka ianya lama, tapi sebenarnya ia sekejap sahaja. Ini semakna dengan firman-Nya:

نُمَتِّعُهُمْ قَلِيلًا ثُمَّ نَضْطَرُّهُمْ إِلى عَذابٍ غَلِيظٍ
Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam seksa yang keras. (Luqman: 24)

 

إِنَّكُم مُّجرِمونَ

sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berdosa”.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana mereka memang orang yang berdosa. Orang berdosa tempatnya di neraka. Mereka tunggu masa sahaja untuk mati. Maka buatlah apa yang mereka hendak buat selagi mereka masih hidup. Allah sanggup untuk tunggu mereka.


 

Ayat 47:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Apabila dimasukkan ke dalam neraka maka ahli neraka itu akan jadi orang yang amat celaka. Bukan tunggu neraka pun, dalam kubur pun mereka telah diazab. Semasa mati pun cara kematian mereka sudah teruk.


 

Ayat 48: Kenapa mereka jadi celaka?

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اركَعوا لا يَركَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Bow [in prayer],” they do not bow.

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Rukuklah, mereka tidak mahu ruku’.

 

Ahli neraka masuk neraka kerana mereka degil sangat. Ajakan untuk perbetul akidah dan beramal tidak diendahkan oleh mereka. Apabila disuruh taat kepada Allah mereka tidak mahu ikut.

Suruhan itu bukan sahaja tentang arahan rukuk, tapi arahan untuk taat kepada Allah. Kerana ada sahaja orang yang solat dan rukuk, tapi mereka tetap engkar dengan arahan Allah. Mereka setakat solat sahaja, tapi arahan Allah yang lain mereka tidak hiraukan.

Ini termasuklah mereka yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan sunnah dan mereka mengamalkan agama Islam dengan cara mereka sahaja, bukannya seperti yang Allah kehendaki; bukan seperti yang diajar oleh Rasulullah ﷺ. Maka amat bahaya kalau kita tidak belajar dan menambah ilmu pengetahuan kita. Takut-takut kita sangka kita buat perkara yang benar tapi rupanya pada mata Allah, ianya salah.


 

Ayat 49:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Maka kerana kedegilan mereka itulah mereka jadi orang celaka.


 

Ayat 50:

فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَهُ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then in what statement after it [i.e., the Qur’ān] will they believe?

(MELAYU)

Maka kepada perkataan apakah selain Al Qur’an ini mereka akan beriman?

 

Sekarang Allah merungut tentang golongan kafir degil ini: Kenapalah mereka degil sangat? Apa lagi yang mereka nak beriman? Al-Qur’an pun tak mahu dengar dan ikut. Mereka ada wahyu lain lagikah yang mereka rujuk dan pakai? Tentu tidak ada. Ini semakna dengan firman-Nya:

فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَ اللَّهِ وَآياتِهِ يُؤْمِنُونَ

maka dengan perkataan mana lagi mereka akan beriman setelah (kalam) Allah dan keterangan-keterangan-Nya? (Al-Jatsiyah: 6)

Sedangkan wahyu adalah neraca kebenaran. Mana ada yang lain? Maka apa jadi kepada orang yang mengaku Islam, baca Al-Qur’an tapi tak faham apa yang mereka baca? Kalau Al-Qur’an tidak dipakai sebagai panduan hidup, apa lagi yang hendak dipakai dan dijadikan sebagai panduan?

Kerana itulah kepentingan kita belajar wahyu Allah ini. Mesti belajar tafsir Al-Qur’an sampai habis. Kena sibukkan diri kita dengan Al-Qur’an. Jangan rasa senang hati kalau tak faham Al-Qur’an.

Ramai yang baca Al-Qur’an tapi tak mendalami apakah ajaran di dalamnya. Tidakkah mereka rasa rugi? Adakah mereka rasa selamat dengan hanya membacanya? Tidakkah mereka nampak kehebatan Al-Qur’an ini? Tidakkah mereka teringin hendak tahu apakah yang disampaikan oleh Al-Qur’an?

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abu Umar, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Ismail ibnu Umayyah; dia pernah mendengar seorang lelaki Badwi mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abu Hurairah apabila membaca surat Al-Mursalat, lalu bacaannya sampai pada firman Allah Swt.: Maka kepada ajaran manakah (selain Al-Qur’an) ini mereka akan beriman? (Al-Mursalat: 50)
Selanjutnya lelaki Badwi yang meriwayatkan hadis ini kepada Ismail ibnu Umayyah mengatakan.”Bila bacaanmu sampai kepada ayat tersebut, hendaklah kamu ucapkan.”Aku beriman kepada Allah dan juga kepada Al-Qur’an yang diturunkan oleh-Nya’.”

Allahu a’lam. Tamat tafsir surah ini dan Juz 29 juga. Sambung ke surah seterusnya, Surah Naba’.

Kemaskini: 22 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mursalat Ayat 20 – 34 (Lihat diri dan alam)

Ayat 20: Dalil aqli. Allah suruh fikirkan asal kejadian kita.

أَلَم نَخلُقكُم مِّن مّاءٍ مَّهينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did We not create you from a liquid disdained?

(MELAYU)

Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina?

 

Allah suruh kita kenangkan balik asal kejadian kita. Dulu kita dijadikan dari air mani yang hina sahaja. Tidak ada nilai air mani itu. Kalau jatuh ke tanah, ayam tak patuk dan itik pun tak sudu.  

Tapi malangnya ramai manusia tidak ingat perkara ini sampaikan mereka jadi sombong apabila mereka ada kelebihan. Mereka lupa kejadian asal mereka dan mereka lupa yang apa-apa sahaja yang mereka ada, itu semua adalah pemberian dari Allah. 


 

Ayat 21:

فَجَعَلنٰهُ في قَرارٍ مَّكينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We placed it in a firm lodging [i.e., the womb]

(MELAYU)

kemudian Kami letakkan dia dalam tempat yang kukuh (rahim),

 

Kejadian manusia dari air mani yang bercampur dengan telur ovum wanita itu menjadi zigot dan Allah letakkan di dalam rahim untuk ia membesar. Ia melekat dalam rahim itu dan diberi makanan oleh Allah.  

Dan Allah kukuhkan kedudukan dalam rahim ibu itu. Janin dapat hidup dengan selesa dan ia akan membesar di dalamnya. Walaupun ibu itu bergerak ke mana-mana ia tetap akan hidup di dalam perut itu itu. Jarang terjadi keguguran melainkan sebab tertentu yang ditentukan oleh Allah.

Sampaikan kalau nak gugurkan sendiri janin itu pun bahaya kerana kukuhnya kedudukan bayi itu dalam perut ibu. Sains perubatan yang moden pun sedar yang menggugurkan bayi dalam rahim itu bahaya. Kerana Allah telah kukuhkan kedudukan bayi itu dan kerana itu menggugurkannya amat susah sekali.


 

Ayat 22:

إِلىٰ قَدَرٍ مَّعلومٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For a known extent.

(MELAYU)

sampai waktu yang ditentukan,

 

Allah tempatkan janin bayi itu di dalam rahim ibunya dan duduklah ia membesar sampailah ke satu masa ia akan lahir yang masa itu Allah sahaja yang tahu. 

Yang tahu bilakah bayi itu duduk dalam rahim itu bukanlah doktor, ibu atau bapa anak itu, tapi Allah sahaja. Doktor boleh agak sahaja tapi bilakah saat ia akan keluar, hanya Allah sahaja yang tahu.


 

Ayat 23:

فَقَدَرنا فَنِعمَ القٰدِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We determined [it], and excellent [are We] to determine.

(MELAYU)

lalu Kami tentukan (bentuknya), maka Kami-lah sebaik-baik yang menentukan.

 

Allahlah yang menentukan proses janin dalam perut ibunya itu. Allah yang beri makan, Allah yang beri keselamatan semasa ia di dalam perut itu. Bila ia akan keluar sebagai bayi pun doktor pun tak tahu dengan pasti. Dengan teknologi yang ada, doktor bolehlah buat agakan tapi itu adalah agakan sahaja. Kepastian tetap tidak ada kerana ianya ditentukan oleh Allah. 

Ini adalah hujah yang Allah mampu untuk menjadikan hari kebangkitan dan membangkitkan kembali manusia. Kalau Allah boleh jadikan manusia dari setitik air mani, maka apa yang menghalang Allah dari menjadikan semula manusia yang telah mati? Tentu Allah mampu dan berkuasa untuk melakukannya.

Musyrikin Mekah tidak yakin yang manusia yang mati boleh dihidupkan semula. Maka Allah suruh mereka tengok diri mereka: bukankah mereka dulu tidak ada apa-apa, mereka pun hanya dalam bentuk air mani sahaja?


 

Ayat 24:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Allah ulang ayat ini kali ketiga sebagai penekanan. Setelah Allah jadikan manusia, maka sepatutnya kepada Allahlah segala ketaatan patut diberikan. Tapi kepada manusia yang lalai dan mendustakan agama dan Hari Kebangkitan, maka mereka itu akan menjadi makhluk yang paling celaka.

Semasa di dunia mereka menolak kebangkitan semula tapi nanti bila mereka tengok sendiri hari itu, mereka akan menyesal sangat. Mereka akan sedar yang mereka adalah orang yang amat celaka.


 

Ayat 25: Dalil aqli. Selepas Allah suruh kita tengok diri kita, Allah suruh kita tengok alam pula.

أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ كِفاتًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have We not made the earth a container

(MELAYU)

Bukankah Kami menjadikan bumi (tempat) berkumpul,

 

Kalimah كِفاتًا dari katadasar ك ف ت yang bermaksud sesuatu yang menahan dan memegang. Ia sebagai bekas tempat simpan sesuatu di dalamnya. Ia merujuk kepada sifat bumi yang memegang dan menyimpan apa sahaja yang Allah letakkan di atas dan di dalamnya.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa kifatan ertinya penyimpanan. Mujahid mengatakan bahawa mayat dikebumikan hingga tidak terlihat. Asy-Sya’bi mengatakan bahawa bahagian dalam bumi untuk orang-orang mati, sedangkan bahagian luarnya untuk orang-orang hidup. Hal yang sama dikatakan oleh Mujahid dan Qatadah.

Kalau ayat tadi sebut tentang perut ibu yang menyimpan janin anaknya dan sekarang disebut ‘perut bumi’ pula. 


 

Ayat 26:

أَحياءً وَأَموٰتًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Of the living and the dead?

(MELAYU)

orang-orang hidup dan orang-orang mati?

 

Dalam perut bumi dan di atas bumi itu ia memegang sama ada yang hidup atau yang mati. Asal kita lahir ke dunia ini dalam keadaan hidup tapi akhirnya akan mati. Masa hidup duduk atas bumi dan nanti bila sudah mati akan masuk duduk dalam bumi pula. Sehinggalah sampai satu waktu kita akan dikeluarkan dari bumi.  


 

Ayat 27:

وَجَعَلنا فيها رَوٰسِيَ شٰمِخٰتٍ وَأَسقَينٰكُم مّاءً فُراتًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We placed therein lofty, firmly set mountains and have given you to drink sweet water.

(MELAYU)

dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air tawar?

 

وَجَعَلنا فيها رَوٰسِيَ شٰمِخٰتٍ

dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi,

Allah suruh kita lihat gunung ganang yang kukuh itu. Allahlah yang menjadikan gunung ganang itu sebagai pasak bumi. Kerana dengan adanya gunung itu menjadikan bumi ini kukuh kerana sudah ada pasak. Kalau tengok gunung itu hebat, maka ketahuilah yang Allah yang menjadikannya lagi hebat.

 

وَأَسقَينٰكُم مّاءً فُراتًا

dan Kami beri kamu minum dengan air tawar?

Allah ingatkan kita dengan jasaNya yang besar yang memberi kita semua minum dari air tawar yang segar. Iaitu air bersih yang dapat melegakan kehausan kita.  

Allah telah menjadikan alam ini dan terus menjaganya entah berapa juta tahun, kita pun belum dapat pastikan lagi. Segala keperluan untuknya dan makhluk yang hidup di atasnya telah diberikan.

Dan selepas makhluk itu mati, ia hancur dalam tanah dan kemudian menjadi bahan kegunaan kepada mereka yang hidup. Sebagai contoh, ada yang jadi baja bagi tumbuhan, ada yang hancur jadi minyak dan digunakan oleh manusia. Ini adalah sistem yang amat hebat.

Bumi ini pun bukannya rata sahaja tapi ada lembah dan gunung ganang. Dengan adanya gunung ganang itu, terjadinya kesan kepada alam. Sebagai contoh, angin tertahan dengan gunung ganang itu; air disimpan di atas gunung dalam bentuk ais dan bila perlu, Allah turunkan ke lembah dan air itu sampai kepada tanaman, binatang dan manusia dan digunakan untuk kehidupan.

Kenapa kita kena lihat dan fikirkan semua ini? Kerana kita kena yakin yang Tuhan yang menjadikan alam ini dengan segala sistem hebatnya, tentu mampu untuk menghancurkan alam ini pada Hari Kiamat nanti. Dan kemudian tentulah Dia mampu untuk menjadikan alam yang lain pula, di mana alam itu Allah jadikan untuk menilai segala perbuatan manusia. Dan kemudian Allah jadikan pula syurga dan neraka sebagai balasan bagi manusia.

Adakah itu mustahil? Takkan pula mustahil sedangkan Allah sudah pernah cipta alam dunia yang begini punya hebat. Takkan Allah tak mampu nak jadikan alam lain?


 

Ayat 28:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Ini kali keempat Allah ulang ayat ini. Allah beri peringatan kepada manusia yang tidak mengambil pengajaran dari ayat-ayat yang telah disebutkan sebelum ini. Mereka akan menjadi orang yang paling menyesal dan celaka nanti.

Semasa di dunia mereka kata takkan Allah mampu nak jadikan balik makhluk yang telah lama mati itu. Maka Allah telah beri hujah-hujahNya dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini. Maka nanti mereka sendiri akan melihat perkara yang mereka kata mustahil terjadi itu.


 

Ayat 29: Ayat 29 – 40 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia memberitahu kita yang neraka jahannam itu adalah untuk pendusta agama.

Ayat 29 ini adalah Ayat Takhwif Ukhrawi. Apakah yang akan dikatakan kepada mereka yang mendustakan hari kebangkitan? Bagaimana mereka yang mendustakan hari kebangkitan itu akan dilayan?

انطَلِقوا إِلىٰ ما كُنتُم بِهِ تُكَذِّبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They will be told], “Proceed to that which you used to deny.

(MELAYU)

(Dikatakan kepada mereka pada hari kiamat): “Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya.

 

Ini adalah keadaan di Mahsyar nanti. Manusia yang derhaka dan mendustakan hari kebangkitan semula akan disuruh untuk pergi ke azab yang mereka dulu tak percaya. Dulu mereka tidak percaya kebangkitan semula dan azab yang dijanjikan.

Maka waktu itu ia sudah ada di depan mata mereka, dan mereka akan diejek oleh Allah dengan suruh mereka pergi ke arah azab itu. Dulu tak percaya sangat, kan? 


 

Ayat 30: Ke mana mereka akan disuruh untuk pergi?

انطَلِقوا إِلىٰ ظِلٍّ ذي ثَلٰثِ شُعَبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Proceed to a shadow [of smoke] having three columns

(MELAYU)

Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai tiga cabang, 

 

Mereka yang mendustakan hari akhirat akan disuruh untuk pergi kepada naungan azab. Yang dimaksudkan adalah neraka jahannam. Tapi Allah beri perumpamaan tentang neraka itu. Allah beritahu yang ia ada tiga cabang.

‘Cabang’ yang dimaksudkan adalah serombong asap. Ini adalah berita ghaib yang digambarkan kepada kita. Sekarang kita tahu yang neraka itu ada tiga serombong tempat keluarnya asap dari api neraka.

Ahli neraka itu akan nampak serombong asap itu di depan, kiri dan kanan. Mana serombong belakang? Serombong belakang tidak nampak lagi kerana mereka tidak nampak ke belakang lagi kerana mereka tidak masuk lagi ke neraka. 


 

Ayat 31: Allah ceritakan keadaan di dalam neraka itu.

لّا ظَليلٍ وَلا يُغني مِنَ اللَّهَبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[But having] no cool shade and availing not against the flame.”

(MELAYU)

yang tidak melindungi dan tidak pula menolak nyala api neraka”.

 

Neraka itu bukanlah tempat yang selesa. Memang tidak selesa langsung. Dan tidak akan ada apa pun yang akan menyelamatkan mereka dari api neraka nanti. Tetaplah mereka menerima azab api yang menyala-nyala itu. 


 

Ayat 32:

إِنَّها تَرمي بِشَرَرٍ كَالقَصرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it throws sparks [as huge] as a fortress,

(MELAYU)

Sesungguhnya neraka itu melontarkan bunga api sebesar dan setinggi kubu.

 

Allah suruh kita bayangkan neraka itu dengan api yang menyala-nyala. Bagaimana keadaan api itu? Ianya amat besar dan percikan api itu sendiri seperti tembakan api setinggi kubu yang tinggi. Allah suruh orang zaman itu bayangkan kubu kerana kubulah yang binaan yang benar bagi mereka.


 

Ayat 33:

كَأَنَّهُ جِمٰلَتٌ صُفرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As if they were yellowish [black] camels.

(MELAYU)

Seolah-olah ia iringan unta yang kuning.

 

Mulanya api itu besar macam kubu. Ia terbang ke langit dan kemudian ia jadi pecah dan kecil mengecil. Ia akan menjadi kuning seperti tumpukan unta-unta yang banyak berlari ke semua arah. Ini adalah imageri (bayangan) yang Allah suruh kita bayangkan.

كَأَنَّهُ جِمٰلَتٌ صُفرٌ

Ayat 34:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Allah ulang kali kelima ayat ini untuk menakutkan pembaca Al-Qur’an. Setelah diterangkan keadaan di neraka itu dengan apinya, sekarang Allah mengingatkan manusia bahawa mereka yang mendustakan hari kebangkitan itu adalah mereka yang amat celaka. Mereka tidak percaya hari akhirat dan nanti mereka akan duduk di dalamnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 21 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mursalat Ayat 1 – 19 (Berjenis-jenis angin)

Pengenalan:

Surah ini menceritakan kejadian di hari akhirat di mana Allah memberitahu yang azab pasti akan berlaku. Jadi surah ini mengandungi banyak ancaman kepada manusia. Allah mengingatkan tentang Hari Akhirat dan apakah kesan kalau tersalah pilih. 

Surah ini diturunkan di Mekah para peringkat awal kenabian. Ini dapat dilihat dari subjek-subjek yang disentuh dalam surah ini. Ia diturunkan antara tahun 1 – 3 Kenabian. Maksudnya, waktu itu adalah dakwah secara rahsia dahulu.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu adanya balasan baik dan balasan buruk pada angin yang bertiup.

وَالمُرسَلٰتِ عُرفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Mursalāt: Those Sent Forth.

By those [winds] sent forth in gusts

(MELAYU)

Demi  yang diutus berturut-turut,

 

Allah mulakan surah ini dengan sumpah. Apabila ada sumpah di dalam permulaan surah, ini bermaksud ada perkara penting yang Allah hendak sampaikan selepas itu. Kalau sesuatu perkara itu penting, maka kita bersumpah untuk menguatkan kata-kata kita, bukan? Maka apabila Allah bersumpah, maka ini menunjukkan ada perkara besar yang Allah hendak sampaikan. Maka kenalah kita beri perhatian kepada ayat-ayat ini. 

Kalimah المُرسَلٰتِ dari kalimah ر س ل yang bermaksud ‘utus’ dan dari kalimah ini juga digunakan untuk ‘Rasul’, ‘risalah’ dan sebagainya. Kalimah المُرسَلٰتِ  adalah dalam bentuk isim maf’ul. Ia bermaksud sesuatu yang dihantar. Ini samalah seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَأَرْسَلْنَا الرِّياحَ لَواقِحَ

Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengahwinkan (tumbuh-tumbuhan). (Al-Hijr:22)

Oleh itu salah satu pendapat yang kuat mengatakan ayat ini merujuk kepada angin. Kerana angin itu dihantar/diutus oleh Allah. 

As-Sauri telah meriwayatkan dari Salamah ibnu Kahi, dari Muslim Al-Batin, dari Abul Abidain yang mengatakan bahawa aku pernah bertanya kepada Ibnu Mas’ud tentang makna mursalat ‘urfan, ertinya angin.

Sesungguhnya makna yang dimaksudkan ialah angin. Hal yang sama dikatakan oleh Ibnu Abbas, Mujahid, Qatadah, dan Abu Saleh menurut riwayat yang bersumber darinya.

Kalimah عُرفًا bermaksud ‘dilepaskan’. Ia dari katadasar ع رف dan ada digunakan untuk merujuk kepada rambut kuda. Jadi kita boleh bayangkan rambut kuda yang dilepaskan dan bebas bergerak dan ke sana sini apabila kuda itu dilepaskan berlari. Kerana kalau kuda yang diregang, rambut dia akan terkawal. 

Rambut kuda

Jadi, dalam ayat ini Allah bersumpah dengan angin yang dilepaskan. Ini kita semua boleh lihat. Ianya datang bertalu-talu kerana angin itu sentiasa sahaja ada. Kita dapat rasakan kedatangannya. Kita pun tidak dapat mengawalnya.


 

Ayat 2: Sumpah kedua. Tadi angin lembut, sekarang angin kuat pula.

فَالعٰصِفٰتِ عَصفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the winds that blow violently

(MELAYU)

dan demi yang merempuh mara dengan sekencang-kencangnya,

 

Sekarang Allah bersumpah lagi dengan angin tapi kali ini angin yang kuat bertiup dan tidak kisah apa yang berada di depannya, ia akan langgar sahaja. Ini adalah kerana kalimah فَالعٰصِفٰتِ dari katadasar ع ص ف yang bermaksud angin yang bertiup kencang dan kuat.

Dilanggar sahaja apa yang ada di hadapannya macam taufan kerana angin itu Allah telah lepaskan. Memang sekarang Allah kawal angin supaya bertiup lembut sahaja, tapi Allah boleh lepaskan angin itu untuk bertindak ganas. 

Jadi ini adalah sebagai peringatan dari Allah kepada kita supaya janganlah rasa selamat dan selesa sangat hidup di dunia ini. Kalau kita engkar, Allah boleh kenakan azab dunia bila-bila masa sahaja. Allah boleh arahkan angin untuk hancurkan kita. Kita pun tahu sudah ada banyak tempat sudah dikenakan dengan azab angin. Sampai sekarang pun kita dengar ada negara-negara yang kena puting beliung sampai hancur habis tempat tinggal mereka. 


 

Ayat 3: Sumpah ketiga.

وَالنّٰشِرٰتِ نَشرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the winds that spread [clouds]

(MELAYU)

dan demi yang menyebarkan (rahmat Tuhannya) dengan sebaran yang sesungguh-sungguhnya,

 

Ini adalah sumpah baru (kerana menggunakan harf و dan bukan ف seperti ayat 2) tapi masih lagi tentang angin. Kali ini tentang angin yang menyebarkan sesuatu ke merata tempat. Yang disebarkan itu adalah seperti benih, hujan, debunga dan lain-lain. Memang tumbuh-tumbuhan memerlukan angin untuk kelangsungan hidup mereka. Dan memang angin telah banyak memainkan peranan dalam pendebungaan.


 

Ayat 4: Sumpah keempat.

فَالفٰرِقٰتِ فَرقًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those [angels] who bring criterion¹

  • To Allāh’s human messengers.

(MELAYU)

dan demi yang membezakan dengan sejelas-jelasnya,

 

Kalimah فَالفٰرِقٰتِ dari katadasar ف رِ ق yang bermaksud membahagikan, memisahkan, membezakan. Allah menetapkan ke mana angin itu pergi dan ke mana benih itu akan jatuh. Ianya akan jadi tepat seperti yang Allah kehendaki. 


 

Ayat 5: Sumpah kelima.

فَالمُلقِيٰتِ ذِكرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those [angels] who deliver a message

(MELAYU)

dan demi yang menyampaikan wahyu,

 

Kalimah فَالمُلقِيٰتِ dari katadasar ل ق ي yang bermaksud ‘jumpa’, ‘bertemu’, ‘mengalami’, ‘menerima’, ‘menuju kepada sesuatu’ dan beberapa lagi maksud. Dari katadasar yang sama, jadi kalimah talaqqi yang selalu digunakan untuk menyebut pengajian dengan guru secara berdepan.

Allah hendak menyentuh tentang pengajaran yang Allah sampaikan kepada kita. Sebelum ini telah disebut tentang angin dan salah satu sifat angin itu adalah beri peringatan kepada kita. Bila kita terkenang kepada angin, kita akan teringat yang ada angin yang menyebabkan kehancuran dan ada yang bagi kehidupan. 

Sama ada angin itu bawa kebaikan atau keburukan, ianya dalam kawalan Allah. Tidak ada sesiapa yang boleh kawal angin. Tidak ada teknologi yang ada zaman sekarang ini yang boleh kawal angin. Semua angin tertakluk dalam kuasa Allah.  

Ini adalah pengajaran dari Allah bahawa sebagaimana angin itu dalam kuasa Allah, begitu juga rezeki. Kita pun tahu yang rezeki dari Allah dan selalu disebut dalam Al-Qur’an, ia disampaikan dengan cara angin. Itu adalah isyarat bagaimana Allah yang menyampaikan rezeki kepada manusia.

Sebagaimana Allah kawal angin, begitu jugalah Allah kawal rezeki. Sekarang Allah kawal bagi mudah hidup kita dengan rezeki yang melimpah ruah. Tapi kita kena ingat yang Allah boleh sahaja ubah. 


 

Ayat 6: Konklusi kepada kisah tentang angin.

عُذرًا أَو نُذرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As justification or warning,

(MELAYU)

untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan,

 

Kalimah عُذرًا ini dari katadasar ع  ذ ر dan kita pun biasa dengan kalimah uzur ini. Ia bermaksud alasan, dapat pelepasan.

Begitu cantik sekali ayat ini, walaupun pendek tapi mempunyai pengertian yang amat tinggi. Cukuplah ayat ini sebagai hujah terhadap manusia yang engkar. Apakah kaitan dengan sumpah Allah menggunakan angin sebelum ini?

Allah telah beri beberapa ayat memperingatkan kita tentang angin. Allah menggunakan angin sebagai contoh. Semua manusia boleh lihat angin dan tahu kesan angin kepada alam. Oleh itu, apabila manusia yang engkar hendak memberi alasan di akhirat kelak kenapa mereka engkar, maka Allah akan tanya dia: masa hidup dulu ada rasa angin kan? Bagaimana nak beri alasan lagi sedangkan angin telah diberikan kepada kita dahulu untuk memperingatkan manusia kepada banyak perkara. Cuma mereka yang hatinya mati sahaja yang tidak mengambil pengajaran. 

Dan kepada mereka yang baik, dengan angin ini pun sudah cukup untuk beri peringatan kepada mereka. Mereka akan sedar yang kuasa Allah amat besar dan boleh buat apa-apa sahaja terhadap kita. Ia mengingatkan kepada ancaman dari Allah, ia juga mengingatkan kepada nikmat dari Allah. Dan angin ini sentiasa sahaja kita rasa kerana ia ada di sekeliling kita. Maka peringatan dari angin ini amat banyak kerana sentiasa sahaja ada, bukan? 

Oleh kerana itu dengan angin sahaja sudah jadi khutbah bagi kita. Sentiasa angin itu bertiup memberi peringatan kepada kita. Kita sedar betapa kerdilnya kita. Dengan angin sahaja hidup kita boleh jadi senang dan boleh terumbang ambing. Ini adalah kerana Allah yang kawal angin itu, bukannya kita. Tapi walaupun semua orang boleh rasa angin itu, tapi untuk mengambil pengajaran darinya, kena buka mata hati.

Maka kita kena sedar yang alam ini juga adalah ‘ayat’ peringatan bagi kita. Jangan sangka ayat-ayat Al-Qur’an sahaja ayat yang ada. Maksud ‘ayat’ itu dari segi bahasa adalah ‘tanda’. Maka tanda/ayat sebagai peringatan yang diberikan kepada kita adalah dalam bentuk alam dan juga bentuk Al-Qur’an. Kena ada akal yang sihat barulah perasan apakah yang Allah hendak sampaikan.

Dengan angin ini juga boleh menjadi alasan (penyebab) kepada manusia jadi beriman. Mereka yang menggunakan akal akan sedar yang ada Kuasa Besar yang menguruskan angin itu. Mereka memerlukan angin itu untuk meniup awan yang membawa hujan.

Kalau masa senang dan air hujan banyak, maka manusia tak rasa sangat. Tapi bila kemarau sudah lama, orang yang lalai pun pun boleh jadi risau dan mereka mula berharap dan berdoa kepada Allah untuk menurunkan hujan. Itulah maksud angin menjadi ‘alasan’ kepada manusia. Menjadi alasan atau penyebab kepada mereka jadi beriman.

Dan angin ini juga boleh menjadi ‘peringatan’. Apabila angin yang selalunya lembut dan bawa rahmat awan dan air hujan, kadangkala ia jadi ganas dan bertiup terlalu kuat. Maka bumbung rumah pun terangkat, puting beliung melanda, nak keluar pun sudah takut. Maka ia menjadi peringatan kepada mereka yang hatinya hidup.

Mereka jadi takut kerana angin ini mengingatkan kepada Hari Kiamat. Kerana manusia tahu yang hari kiamat itu akan menghancurkan bumi ini. Adakah angin kuat ini petanda bermulanya kiamat? Hebatnya kuasa Allah, boleh peringatan dengan angin sahaja.

Dan angin ini juga menjadi dalil adanya hari Kiamat. Ada manusia seperti Musyrikin Mekah tidak percaya adanya Hari Kiamat itu. Mereka tidak percaya yang Kiamat itu boleh terjadi. Dan kemudian mereka tertanya-tanya: kenapa perlunya Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula itu? Allah jawab menggunakan hujah angin sahaja. Maka bagaimana angin ini menjadi dalil akan adanya hari Kiamat itu?

Apabila kitaran alam ini terjadi dengan begitu hebat dan indah sekali, ia menjadi dalil bahawa ada kuasa yang menguruskannya. Tidaklah alam ini terjadi sendiri begitu sahaja seperti yang didakwa oleh golongan ateist yang jahil itu. Maka kalau alam ini dalam kawalan kuasa itu, tidakkah Kuasa itu sendiri boleh buat keputusan untuk menghancurkannya? Takkan kita tidak boleh terima hakikat yang Kuasa yang menjadikan alam ini juga berkuasa untuk menghancurkannya?

Kemudian kita perlu menjawab apakah tujuan Hari Kiamat dan Kebangkitan itu diadakan. Ini kita kena tanya naluri manusia sendiri. Naluri setiap manusia sedar tentang keadilan. Mereka yakin yang keadilan perlu ditegakkan. Tapi persoalannya, adakah ia tertegak di dunia?

Tentu tidak. Sebagai contoh, seorang diktator yang membunuh ramai manusia, adakalanya selamat semasa di dunia tidak dipenjara atau dihukum bunuh. Bagaimana pula dengan manusia yang zalim kepada orang lain tapi tidak dikenakan dengan tindakan apa-apa? Ini tidak adil.

Maka ketahuilah wahai manusia yang keadilan sebenar akan tertegak bukan di dunia tapi satu masa selepas bumi ini hancur dan kita semua akan dibangkitkan semula. Waktu itulah manusia akan dipersoalkan tentang perbuatannya semasa di dunia dan dia akan diadili dengan seadil-adilnya. Dan mereka akan diberikan dengan hukuman azab yang selayaknya bagi mereka.

Barulah puas hati manusia kalau dia dapat menerima hakikat ini. Maka walaupun dia tertindas semasa di dunia, dia telah dizalimi dan tidak mendapat keadilan di dunia, maka dia boleh rasa aman dengan mengetahui yang segala perkara yang dia terpaksa terima di dunia ini tidaklah sia-sia kerana akan ada satu mahkamah nanti di akhirat yang akan beri keadilan dengan sepenuhnya. Inilah kepentingan diadakan Hari Kebangkitan.

Nota: ada pendapat yang mengatakan sumpah-sumpah yang telah disebut di atas bukannya angin, tapi malaikat. Ataupun mereka membahagikan ada tentang angin dan ada tentang malaikat. Cuma pendapat itu agak lemah kerana angin boleh dilihat dan malaikat tidak boleh dilihat.

Keduanya, agak susah kalau nak bahagi-bahagikan mana tentang angin dan mana tentang malaikat. Maka pendapat yang lebih kuat, ianya semua tentang angin. Ini adalah salah satu pendapat. Allahu a’lam.


 

Ayat 7: Setelah diberikan dengan sumpah, maka sekarang adalah jawab (jawaabul qosam) kepada sumpah-sumpah itu. Iaitu apakah perkara penting yang Allah hendak sampaikan sampai Allah memulakan dengan sumpah/qosam untuk menguatkan hujah. 

إِنَّما توعَدونَ لَوٰقِعٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, what you are promised is to occur.

(MELAYU)

sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti terjadi.

 

Inilah objek dari sumpah-sumpah di atas, yakni sesungguhnya apa yang telah dijanjikan kepadamu — iaitu terjadinya kiamat, peniupan sangkakala, dibangkitkannya semua makhluk dan dihimpunkan-Nya semua orang yang terdahulu dan yang terkemudian dalam suatu lapangan untuk menerima pembalasannya masing-masing; jika baik, maka balasannya baik; dan jika buruk, maka balasannya buruk pula— semuanya itu pasti terjadi dan tidak dapat dielak.

Ayat ini ditujukan pertamanya kepada golongan Musyrikin Mekah yang degil. Mereka tidak menerima kejadian Hari Kiamat dan Hari Kebangkitan semula. Maka Allah menegaskan perkara ini dan dimulai dengan sumpah untuk menguatkan perkara ini. Kerana kalau orang degil tidak mahu menerima, maka tidak boleh cakap biasa sahaja, kena ada penegasan.

Maka Allah kata yang pasti kejadian Hari Kiamat itu akan terjadi. Tidak syak lagi. Sama ada suka atau tidak, terima atau tidak, bersedia atau tidak, ia pasti akan terjadi.

Allah suruh kita lihat kepada angin yang dikawal oleh Allah. Kalau Allah boleh kawal angin, maka Dia mampu untuk menjadikan Kiamat itu. Maka jangan pertikaikan kemampuan dan kuasa Allah.


 

Ayat 8: Ayat 8 – 15 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberi gambaran huru-hara Hari Kiamat. Ayat 8 ini adalah Ayat Takhwif Ukhrawi. Selepas Allah sebut Kiamat itu pasti terjadi, maka sekarang disebutkan kejadian pada hari itu. 

فَإِذَا النُّجومُ طُمِسَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when the stars are obliterated

(MELAYU)

Maka apabila bintang-bintang telah dihapuskan,

 

Apabila Kiamat itu berlaku, maka bintang-bintang bergemerlapan dengan cahaya terang itu akan dipadamkan cahayanya. Ini seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَإِذَا النُّجُومُ انْكَدَرَتْ

dan apabila bintang-bintang berjatuhan. (At-Takwir: 2)

Waktu itu kita tidak akan jumpa lagi cahayanya. Bukan sahaja cahaya dipadamkan, bintang-bintang itu sendiri akan dihancurkan. 


 

Ayat 9:

وَإِذَا السَّماءُ فُرِجَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the heaven is opened

(MELAYU)

dan apabila langit telah dibelah,

 

Langit yang nampak kukuh pada mata kita ini akan dibelah. Maknanya langit akan runtuh. Kiamat memang akan bermula dari langit, maka langit ketujuh akan hancur, kemudian langit keenam dan seterusnya sampailah ke dunia.

Ini adalah pemandangan yang amat menakutkan. Oleh kerana itu, kita berdoa semoga kita diselamatkan dari melihatnya. Kita harap kita telah lama dimatikan sebelum kejadian Kiamat ini. Aameen.


 

Ayat 10:

وَإِذَا الجِبالُ نُسِفَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the mountains are blown away

(MELAYU)

dan apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu,

 

Kalimah نُسِفَت dari katadasar ن س ف  yang bermaksud ‘dipetik’ seperti memetik pokok dari tanah, ‘hancur jadi debu’. Jadi ia membayangkan bagaimana gunung yang kita lihat gagah dan kukuh ini akan dipetik begitu sahaja macam tumbuhan lemah sahaja. Dan selepas itu ia akan dihancurkan. Dan bila dihancurkan ia akan diterbangkan macam debu sahaja. Sungguh amat ngeri bila dibayangkan. 

Dan firman Allah Swt.:
وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبالَ وَتَرَى الْأَرْضَ بارِزَةً وَحَشَرْناهُمْ فَلَمْ نُغادِرْ مِنْهُمْ أَحَداً

Dan (ingatlah) akan hari (yang ketika itu) Kami perjalankan gunung-gunung dan kamu akan melihat bumi itu datar dan Kami kumpulkan seluruh manusia dan tidak Kami tinggalkan seorang pun dari mereka. (Al-Kahfi: 47)


 

Ayat 11:

وَإِذَا الرُّسُلُ أُقِّتَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the messengers’ time has come…¹

  • i.e., when they are gathered to witness concerning their nations. The sentence’s conclusion is understood to be “…the promised judgement will then take place.”

(MELAYU)

dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka).

 

Allah membongkar tentang satu masa yang telah ditetapkan. Ia pasti terjadi dan tidak akan berubah. Apakah masa itu? Itulah masa untuk para Rasul jadi saksi kepada kaum mereka.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa makna uqqitat ialah dikumpulkan. Ibnu Zaid mengatakan, dan ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

يَوْمَ يَجْمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ

(Ingatlah), hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul. (Al-Maidah: 109)

Para Rasul itu akan ditanya sama ada mereka telah menyampaikan wahyu atau tidak; mereka akan ditanya sama ada mereka suruh umat mereka sembah mereka atau tidak; mereka akan ditanya sama ada kaum mereka terima ajaran wahyu atau tidak.

Waktu itu para Rasul itu akan beritahu kebenaran. Perkara ini telah banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain. Kaum mereka tidak dapat nak membantah lagi kata-kata Rasul mereka. Maka amat malang kalau kita dari umat Nabi Muhammad tapi kita sendiri yang tidak ikut ajaran wahyu yang baginda sampaikan. 

Berapa ramai yang mengaku umat Nabi Muhammad, tapi tidak amalkan sunnah? Ramai dari kalangan kita yang jahil ini mengamalkan amalan bidaah. Ia tidak pernah diajar oleh Nabi tapi itulah yang menjadi amalan harian mereka. Apabila kita tegur, maka banyaklah alasan dan hujah mereka (tanpa dalil). Maka apakah nasib mereka nanti apabila ditanya kenapa mereka amalkan bidaah itu sedangkan Nabi tidak pernah ajar?  

Maka ini adalah hujah pertama kepada manusia yang menentang ajaran para Rasul itu. Allah hendak memberitahu bahawa Dia tidaklah membiarkan manusia tanpa pendakwah. Semuanya telah disediakan: wahyu dan juga para Rasul yang mengajar makna wahyu dan memberikan ajaran yang benar. Maka kalau ada yang menolak juga, itu adalah salah mereka dan mereka tidak ada alasan untuk berhujah dengan Allah.

Atau, ada pendapat yang mengatakan yang dimaksudkan masa telah sampai itu adalah telah sampai masa malaikat diberi arahan untuk serang dunia dan hancurkan. 


 

Ayat 12:

لِأَيِّ يَومٍ أُجِّلَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For what Day was it postponed?¹

  • “It” may refer to either the aforementioned occurrences collectively or to the testimony of the messengers.

(MELAYU)

(Nescaya dikatakan kepada mereka:) “Sampai hari apakah ditangguhkan (mengazab orang-orang kafir itu)?”

 

Sebenarnya Hari Kiamat itu adalah masa yang telah dilewatkan. Kalau nak dikirakan kesalahan manusia itu, patutnya telah lama mereka dikenakan dengan azab. Tapi tidaklah itu terjadi. Berapa ramai manusia yang kufur, buat amalan syirik, zalim dan banyak dosa, tapi mereka tidaklah terus kena azab.

Mereka tidak terus kena azab kerana Allah beri tangguh kepada mereka (dan kita). Tidaklah buat dosa sahaja, terus Allah matikan. Ini adalah kerana Allah bagi masa kepada manusia untuk bertaubat dan berubah.

Maka ini adalah nikmat yang amat besar dari Allah. Kalaulah setiap kali kita buat dosa dan buat syirik Allah matikan kita, tentulah tidak akan ada manusia dan jin yang selamat. Tapi kerana Allah beri tangguh, maka kita ada peluang untuk belajar dan membaiki fahaman dan amalan kita. Bersyukurlah dengan nikmat penangguhan ini. 

Tapi tidaklah Kiamat itu ditangguhkan sampai bila-bila. Apabila telah sampai masa yang Allah telah tetapkan, maka ia tetap terjadi. Dan manusia dan jin akan dibangkitkan semula dan akan dihakimi tentang amalan-amalan mereka semasa di dunia. Sudah tidak ada tangguh lagi. Ia tetap akan berlaku dan tangguh itu kalau dikirakan, hanya sekejap sahaja.


 

Ayat 13: Setelah habis masa tangguh itu maka ke manakah kita akan dihadapkan?

لِيَومِ الفَصلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For the Day of Judgement.

(MELAYU)

Sampai hari keputusan.

 

Akhirnya kita semua akan dihadapkan di mahkamah Allah. Salah satu nama bagi Hari Kebangkitan itu adalah يَومِ الفَصلِ. Kalimah ف ص ل bermaksud ‘pembahagian’, ‘pembezaan’.

Allah akan bahagikan antara orang yang baik dan yang buruk supaya jelas nampak perbezaan antara mereka. Akan dibahagikan antara golongan yang beriman dan golongan yang kufur. Allah akan buat keputusan yang jelas dan ini adalah hari yang amat menakutkan.

Allah akan pecahkan antara dua kumpulan ini supaya nanti akan jadi jelas antara keduanya. Kalau di dunia kadang-kadang dua golongan ini nampak sama sahaja kerana pakai baju yang sama, amalan yang sama, tapi pada hari akhirat nanti mereka akan jelas nampak bezanya. Di Mahsyar lagi sudah nampak perbezaan antara mereka. Soalannya: kita nak masuk golongan yang mana?  


 

Ayat 14:

وَما أَدرىٰكَ ما يَومُ الفَصلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the Day of Judgement?

(MELAYU)

Dan apakah yang boleh memberitahu kamu apakah hari keputusan itu?

 

Adakah kamu wahai manusia tahu apakah Hari itu? Apakah yang dapat memberi maklumat kepada kamu tentang Hari itu? Kalau Allah tidak beritahu melalui perantaraan wahyu dan RasulNya, tentulah kita tidak akan tahu. Jadi untuk tahu apakah Hari itu dan kesan kepada kita, maka hendaklah kita belajar wahyu dan mempelajari apakah ajaran dari Rasulullah ﷺ. Inilah cara untuk kita tahu iaitu dengan wahyu. Ini adalah kerana ia adalah perkara ghaib dan kita tidak akan dapat maklumat itu sendiri.


 

Ayat 15: Apakah kesan dan balasan kepada mereka yang engkar?

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe,¹ that Day, to the deniers.

  • i.e., death and destruction.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Mereka itu adalah orang yang mendustakan agama Nabi ﷺ dan Al-Qur’an. Mereka akan mendapat kecelakaan yang amat besar nanti. Tidak sama kalau celaka di dunia dan celaka di akhirat. Mereka akan menyesal dengan penyesalan yang amat besar dan mereka tidak dapat mengubah lagi keadaan mereka. 

Apakah maksud ‘mendustakan’ itu? Adakah dengan menolak secara terang sahaja? Memang ada orang yang mengaku kafir dan mereka memang menolak dengan terang. Sentiasa sahaja ada golongan yang sengaja mencari-cari kesalahan dalam Al-Qur’an kerana mereka benci kepada agama Islam dan kerana itu mereka menentang Islam dan ajaran Al-Qur’an.

Tapi bagaimana pula dengan orang Islam sendiri? Agaknya mereka mendustakan Al-Qur’an atau tidak? Ini yang kita takut. Takut-takut kita termasuk dengan golongan pendusta ini.

Kalau tidak mengendahkan ajaran Al-Qur’an, itu pun sudah termasuk ‘mendustakan’ agama juga. Ini adalah kerana kalau mereka yakin yang Al-Qur’an itu benar, maka tentulah mereka akan pegang ajaran Al-Qur’an ini; tentulah mereka akan belajar tafsir Al-Qur’an supaya mereka boleh amalkan ajaran-ajaran dalam Al-Qur’an. Ini adalah tindakan orang yang percaya.

Tapi kalau buat tidak kisah sahaja dan tidak ada usaha untuk belajar, maknanya mereka tidak percaya Al-Qur’an itu benarlah. Kerana kalau mereka percaya ia benar, maka tentu mereka akan belajar, bukan? Maka kalau tidak belajar tafsir, maka mereka sebenarnya mengatakan Al-Qur’an itu adalah ‘dusta’. Memang mereka tidak mengatakan dengan kata-kata, tapi mereka kata dengan perbuatan mereka. Nauzubillah!

Apabila menolak ayat-ayat Allah, maka perkara pertama yang mereka tolak adalah Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula. Bila mereka tolak, maka mereka tidak buat persediaan untuk menghadapi hari itu. Apabila mereka tolak, maka mereka hidup di dunia ini tanpa panduan; mereka buat apa sahaja yang mereka hendak dan kerana itu banyak kezaliman yang mereka lakukan. Dan kerana kezaliman dan dosa mereka itu, mereka akan menjadi manusia yang paling celaka di akhirat kelak.


 

Ayat 16: Ayat 16 – 28 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia tentang sejarah binasanya tamadun terdahulu dan juga dalil adanya Kiamat.

Ayat 16 ini adalah ayat takhwif duniawi. Allah menakutkan manusia dengan azab yang telah dikenakan kepada manusia semasa di dunia lagi. Kerana ada manusia yang kalau ditakutkan dengan azab akhirat mereka tidak takut sangat kerana nampak jauh sahaja.

Maka Allah beritahu azab di dunia pun Allah boleh beri dan Allah telah banyak beri pun kepada umat-umat terdahulu yang menolak ajaran agama Islam. Maka renungkanlah.

أَلَم نُهلِكِ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did We not destroy the former peoples?

(MELAYU)

Bukankah Kami telah membinasakan orang-orang yang dahulu?

 

Allah perli para penolak wahyu: Kamu dulu tak belajarkah tentang azab Allah yang telah dikenakan kepada orang terdahulu?

Ini adalah tempelak Allah yang pertama sekali diberikan kepada Musyrikin Mekah. Mereka itu sudah tahu ada umat-umat yang telah dimusnahkan oleh Allah. Mereka kenal kaum Aad, Tsamud dan lain-lain kaum yang telah dimusnahkan kerana mereka telah menentang Rasul mereka sendiri.


 

Ayat 17:

ثُمَّ نُتبِعُهُمُ الآخِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We will follow them with the later ones.

(MELAYU)

Lalu Kami iringkan (azab Kami terhadap) mereka dengan (mengazab) orang-orang yang datang kemudian.

 

Ramai lagi yang telah dikenakan dengan azab. Ada yang Allah beritahu dan ada yang Allah tidak beritahu kerana banyak sangat. Cukuplah dengan disebut beberapa kaum sahaja seperti yang kita telah banyak belajar dalam ayat-ayat Al-Qur’an.


 

Ayat 18:

كَذٰلِكَ نَفعَلُ بِالمُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Thus do We deal with the criminals.

(MELAYU)

Demikianlah Kami berbuat terhadap orang-orang yang berdosa.

 

Begitulah balasan dari Allah terhadap golongan yang telah menentang ajaran wahyu dan Rasul mereka. Allah boleh buat dan Allah telah buat. Kalau Allah boleh kenakan kepada kaum terdahulu, apa yang menghalang Allah dari mengenakan azab duniawi kepada kamu juga?

Adakah kamu sangka kamu makhluk istimewa sampai Allah tidak kenakan azab kepada kamu? Jangan begitu. Hendaklah belajar apa yang telah terjadi kepada kaum-kaum terdahulu itu supaya kamu jadi takut. 


 

Ayat 19:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Allah ulang sekali lagi ayat 15 sebagai penekanan kerana mereka yang menentang itu orang yang degil. Kalau orang degil, bukankah kita ulang-ulang kata-kata kita kepada mereka kerana sekali cakap mereka tidak dengar dan ikut?  

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 21 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi