Tafsir Surah Mursalat Ayat 1 – 19 (Berjenis-jenis angin)

Pengenalan:

Surah ini menceritakan kejadian di hari akhirat di mana Allah memberitahu yang azab pasti akan berlaku. Jadi surah ini mengandungi banyak ancaman kepada manusia. Allah mengingatkan tentang Hari Akhirat dan apakah kesan kalau tersalah pilih. 

Surah ini diturunkan di Mekah para peringkat awal kenabian. Ini dapat dilihat dari subjek-subjek yang disentuh dalam surah ini.


 

Ayat 1:

وَالمُرسَلٰتِ عُرفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Mursalāt: Those Sent Forth.

By those [winds] sent forth in gusts

(MELAYU)

Demi  yang diutus berturut-turut,

 

Allah mulakan surah ini dengan sumpah. Apabila ada sumpah di dalam permulaan surah, ini bermaksud ada perkara penting yang Allah hendak sampaikan. Kalau sesuatu perkara itu penting, maka kita bersumpah untuk menguatkan kata-kata kita, bukan? Maka apabila Allah bersumpah, maka ini menunjukkan ada perkara besar yang Allah hendak sampaikan. Maka kenalah kita beri perhatian kepada ayat-ayat ini. 

Kalimah المُرسَلٰتِ dari kalimah ر س ل yang bermaksud ‘utus’ dan dari kalimah ini juga digunakan untuk ‘Rasul’, ‘risalah’ dan sebagainya. Kalimah المُرسَلٰتِ  adalah dalam bentuk isim maf’ul. Ia bermaksud sesuatu yang dihantar. Ini samalah seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَأَرْسَلْنَا الرِّياحَ لَواقِحَ

Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengawinkan (tumbuh-tumbuhan). (Al-Hijr:22)

Oleh itu salah satu pendapat yang kuat mengatakan ayat ini merujuk kepada angin. Kerana angin itu dihantar/diutus oleh Allah. 

As-Sauri telah meriwayatkan dari Salamah ibnu Kahi, dari Muslim Al-Batin, dari Abul Abidain yang mengatakan bahawa aku pernah bertanya kepada Ibnu Mas’ud tentang makna mursalat ‘urfan, ertinya angin.

Sesungguhnya makna yang dimaksud ialah angin. Hal yang sama dikatakan oleh Ibnu Abbas, Mujahid, Qatadah, dan AbuSaleh menurut riwayat yang bersumber darinya.

Kalimah عُرفًا bermaksud ‘dilepaskan’. Ia dari katadasar ع رف dan ada digunakan untuk merujuk kepada rambut kuda. Jadi kita boleh bayangkan rambut kuda yang dilepaskan dan bebas bergerak dan ke sana sini apabila kuda itu dilepaskan berlari. Kerana kalau kuda yang diregang, rambut dia akan terkawal. 

Rambut kuda

Jadi, dalam ayat ini Allah bersumpah dengan angin yang dilepaskan. Ini kita semua boleh lihat. Ianya datang bertalu-talu kerana angin itu sentiasa sahaja ada. Kita dapat rasakan kedatangannya.


 

Ayat 2: Sumpah kedua. Tadi angin lembut, sekarang angin kuat pula.

فَالعٰصِفٰتِ عَصفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the winds that blow violently

(MELAYU)

dan demi yang merempuh mara dengan sekencang-kencangnya,

 

Sekarang Allah bersumpah lagi dengan angin tapi kali ini angin yang kuat bertiup dan tidak kisah apa yang berada di depannya, ia akan langgar sahaja. Ini adalah kerana kalimah فَالعٰصِفٰتِ dari katadasar ع ص ف yang bermaksud angin yang bertiup kencang dan kuat.

Dilanggar sahaja apa yang ada di hadapannya macam taufan kerana angin itu Allah telah lepaskan. Memang sekarang Allah kawal angin supaya bertiup lembut sahaja, tapi Allah boleh lepaskan angin itu untuk bertindak ganas. 

Jadi ini adalah sebagai peringatan dari Allah kepada kita supaya janganlah rasa selamat dan selesa sangat. Kalau kita engkar, Allah boleh kenakan azab dunia bila-bila masa sahaja. Ada banyak tempat sudah dikenakan dengan azab angin. Sampai sekarang pun kita dengar ada negara-negara yang kena puting beliung. 


 

Ayat 3: Sumpah ketiga.

وَالنّٰشِرٰتِ نَشرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the winds that spread [clouds]

(MELAYU)

dan demi yang menyebarkan (rahmat Tuhannya) dengan sebaran yang sesungguh-sungguhnya,

 

Ini adalah sumpah baru dan masih lagi tentang angin. Kali ini tentang angin yang menyebarkan sesuatu ke merata tempat. Yang disebarkan itu adalah seperti benih, hujan, debunga dan lain-lain. Memang tumbuh-tumbuhan memerlukan angin untuk kelangsungan hidup mereka. 


 

Ayat 4: Sumpah keempat.

فَالفٰرِقٰتِ فَرقًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those [angels] who bring criterion¹

  • To Allāh’s human messengers.

(MELAYU)

dan demi yang membezakan dengan sejelas-jelasnya,

 

Kalimah فَالفٰرِقٰتِ dari katadasar ف رِ ق yang bermaksud membahagikan, memisahkan, membezakan. Allah menetapkan ke mana angin itu pergi dan ke mana benih itu akan jatuh. Ianya akan jadi tepat seperti yang Allah kehendaki. 


 

Ayat 5: Sumpah kelima.

فَالمُلقِيٰتِ ذِكرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those [angels] who deliver a message

(MELAYU)

dan demi yang menyampaikan wahyu,

 

Kalimah فَالمُلقِيٰتِ dari katadasar ل ق ي yang bermaksud ‘jumpa’, ‘bertemu’, ‘mengalami’, ‘menerima’, ‘menuju kepada sesuatu’ dan beberapa lagi maksud. Dari katadasar yang sama, jadi kalimah talaqqi yang selalu digunakan untuk menyebut pengajian dengan guru secara berdepan.

Allah hendak menyentuh tentang pengajaran yang Allah sampaikan kepada kita. Sebelum ini telah disebut tentang angin dan salah satu sifat angin itu adalah beri peringatan kepada kita. Bila kita terkenang kepada angin, kita akan teringat yang ada angin yang menyebabkan kehancuran dan ada yang bagi kehidupan. 

Samada angin itu bawa kebaikan atau keburukan, ianya dalam kawalan Allah. Tidak ada sesiapa yang boleh kawal angin. Tidak ada teknologi yang ada zaman sekarang ini yang boleh kawal angin. Semua angin tertakluk dalam kuasa Allah.  

Ini adalah pengajaran dari Allah bahawa sebagaimana angin itu dalam kuasa Allah, begitu juga rezeki. Kita pun tahu yang rezeki dari Allah dan selalu disebut dalam Qur’an, ia disampaikan dengan cara angin. Itu adalah isyarat bagaimana Allah yang menyampaikan rezeki kepada manusia.

Sebagaimana Allah kawal angin, begitu jugalah Allah kawal rezeki. Sekarang Allah kawal bagi mudah hidup kita dengan rezeki yang melimpah ruah. Tapi kita kena ingat yang Allah boleh sahaja ubah. 


 

Ayat 6: Konklusi kepada kisah tentang angin.

عُذرًا أَو نُذرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As justification or warning,

(MELAYU)

untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan,

 

Kalimah عُذرًا ini dari katadasar ع  ذ ر dan kita pun biasa dengan kalimah uzur ini. Ia bermaksud alasan, dapat pelepasan.

Begitu cantik sekali ayat ini, walaupun pendek tapi mempunyai pengertian yang amat tinggi. Cukuplah ayat ini sebagai hujah terhadap manusia yang engkar. Apakah kaitan dengan sumpah Allah menggunakan angin sebelum ini?

Allah telah beri beberapa ayat memperingatkan kita tentang angin. Allah menggunakan angin sebagai contoh. Semua manusia boleh lihat angin dan tahu kesan angin kepada alam. Oleh itu, apabila manusia yang engkar hendak memberi alasan di akhirat kelak kenapa mereka engkar, maka Allah akan tanya dia: masa hidup dulu ada rasa angin kan? Bagaimana nak beri alasan lagi sedangkan angin telah diberikan kepada kita dahulu untuk memperingatkan manusia kepada banyak perkara. Cuma mereka yang hatinya mati sahaja yang tidak mengambil pengajaran. 

Dan kepada mereka yang baik, dengan angin ini pun sudah cukup untuk beri peringatan kepada mereka. Mereka akan sedar yang kuasa Allah amat besar dan boleh buat apa-apa sahaja terhadap kita. Ia mengingatkan kepada ancaman dari Allah, ia mengingatkan kepada nikmat dari Allah. Dan angin ini sentiasa sahaja kita rasa kerana ia ada di sekeliling kita. Maka peringatan dari angin ini amat banyak kerana sentiasa sahaja ada, bukan? 

Oleh kerana itu dengan angin sahaja sudah jadi khutbah bagi kita. Sentiasa angin itu bertiup memberi peringatan kepada kita. Kita sedar betapa kerdilnya kita. Dengan angin sahaja hidup kita boleh jadi senang dan boleh terumbang ambing. Ini adalah kerana Allah yang kawal angin itu, bukannya kita. Tapi walaupun semua orang boleh rasa angin itu, tapi untuk mengambil pengajaran darinya, kena buka mata hati.

Maka kita kena sedar yang alam ini juga adalah ‘ayat’ peringatan bagi kita. Jangan sangka Qur’an sahaja ayat yang ada. Maksud ‘ayat’ itu dari segi bahasa adalah ‘tanda’. Maka tanda/ayat sebagai peringatan yang diberikan kepada kita adalah dalam bentuk alam dan juga bentuk Qur’an. Kena ada akal yang sihat barulah perasan apakah yang Allah hendak sampaikan.

Dengan angin ini juga boleh menjadi alasan (penyebab) kepada manusia jadi beriman. Mereka yang menggunakan akal sedar yang ada Kuasa Besar yang menguruskan angin itu. Mereka memerlukan angin itu untuk meniup awan yang membawa hujan. Kalau masa senang dan air hujan banyak, maka manusia tak rasa sangat. Tapi bila kemarau sudah lama, orang yang lalai pun pun boleh jadi risau dan mereka mula berharap dan berdoa kepada Allah untuk menurunkan hujan. Itulah maksud angin menjadi ‘alasan’ kepada manusia. Menjadi alasan atau penyebab kepada mereka jadi beriman.

Dan angin ini juga boleh menjadi ‘peringatan’. Apabila angin yang selalunya lembut dan bawa rahmat awan dan air hujan, kadangkala ia jadi ganas dan bertiup terlalu kuat. Maka bumbung rumah pun terangkat, puting beliung melanda, nak keluar pun sudah takut. Maka ia menjadi peringatan kepada mereka yang hatinya hidup.

Mereka jadi takut kerana angin ini mengingatkan kepada Hari Kiamat. Kerana manusia tahu yang hari kiamat itu akan menghancurkan bumi ini. Adakah angin kuat ini petanda bermulanya kiamat? Hebatnya kuasa Allah, boleh peringatan dengan angin sahaja.

Dan angin ini juga menjadi dalil adanya hari Kiamat. Ada manusia seperti Musyrikin Mekah tidak percaya adanya Hari Kiamat itu. Mereka tidak percaya yang Kiamat itu boleh terjadi. Dan kemudian mereka tertanya-tanya: kenapa perlunya Hari Kiamat dan Kebangkita Semula itu? Allah jawap menggunakan hujah angin sahaja. Maka bagaimana angin ini menjadi dalil akan adanya hari Kiamat itu?

Apabila kitaran alam ini terjadi dengan begitu hebat dan indah sekali, ia menjadi dalil bahawa ada kuasa yang menguruskannya. Tidaklah alam ini terjadi sendiri begitu sahaja seperti yang didakwa oleh golongan ateist yang jahil itu. Maka kalau alam ini dalam kawalan kuasa itu, tidakkah Kuasa itu sendiri boleh buat keputusan untuk menghancurkannya? Takkan kita tidak boleh terima hakikat yang Kuasa yang menjadikan alam ini juga berkuasa untuk menghancurkannya?

Kemudian kita perlu menjawap apakah tujuan Hari Kiamat dan Kebangkitan itu diadakan. Ini kita kena tanya naluri manusia sendiri. Naluri setiap manusia sedar tentang keadilan. Mereka yakin yang keadilan perlu ditegakkan. Tapi persoalannya, adakah ia tertegak di dunia?

Tentu tidak. Sebagai contoh, seorang diktator yang membunuh ramai manusia, adakalanya selamat semasa di dunia tidak dipenjara atau dihukum bunuh. Bagaimana pula dengan manusia yang zalim kepada orang lain tapi tidak dikenakan dengan tindakan apa-apa? Ini tidak adil.

Maka ketahuilah wahai manusia yang keadilan sebenar akan tertegak bukan di dunia tapi satu masa selepas bumi ini hancur dan kita semua akan dibangkitkan semula. Waktu itulah manusia akan dipersoalkan tentang perbuatannya semasa di dunia dan dia akan diadili dengan seadil-adilnya.

Barulah puas hati manusia kalau dia dapat menerima hakikat ini. Maka walaupun dia tertindas semasa di dunia, dia telah dizalimi dan tidak mendapat keadilan di dunia, maka dia boleh rasa aman dengan mengetahui yang segala perkara yang dia terpaksa terima di dunia ini tidaklah sia-sia kerana akan ada satu mahkamah nanti di akhirat yang akan beri keadilan dengan sepenuhnya. Inilah kepentingan diadakan Hari Kebangkitan.

Nota: ada pendapat yang mengatakan sumpah-sumpah yang telah disebut di atas bukannya angin, tapi malaikat. Ataupun mereka membahagikan ada tentang angin dan ada tentang malaikat. Cuma pendapat itu agak lemah kerana angin boleh dilihat dan malaikat tidak boleh dilihat. Keduanya, agak susah kalau nak bahagi-bahagikan mana tentang angin dan mana tentang malaikat. Maka pendapat yang lebih kuat, ianya semua tentang angin. Allahu a’lam.


 

Ayat 7: Setelah diberikan dengan sumpah, maka sekarang adalah jawap kepada sumpah-sumpah itu. Iaitu apakah perkara penting yang Allah hendak sampaikan sampai Allah memulakan dengan sumpah/qosam untuk menguatkan hujah. 

إِنَّما توعَدونَ لَوٰقِعٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, what you are promised is to occur.

(MELAYU)

sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti terjadi.

 

Inilah objek dari sumpah-sumpah di atas, yakni sesungguhnya apa yang telah dijanjikan kepadamu — yaitu terjadinya kiamat, peniupan sangkakala, dibangkitkannya semua makhluk dan dihimpunkan-Nya semua orang yang terdahulu dan yang terkemudian dalam suatu lapangan untuk menerima pembalasannya masing-masing; jika baik, maka balasannya baik; dan jika buruk, maka balasannya buruk pula— semuanya itu pasti terjadi dan tidak terelakkan lagi.

Ayat ini ditujukan pertamanya kepada golongan Musyrikin yang degil. Mereka tidak menerima kejadian Hari Kiamat dan Hari Kebangkitan semula. Maka Allah menegaskan perkara ini dan dimulai dengan sumpah untuk menguatkan perkara ini. Kerana kalau orang degil tidak mahu menerima, maka tidak boleh cakap biasa sahaja, kena ada penegasan.

Maka Allah kata yang pasti kejadian Hari Kiamat itu akan terjadi. Tidak syak lagi. Samada suka atau tidak, terima atau tidak, bersedia atau tidak, ia pasti akan terjadi.

Allah suruh kita lihat kepada angin yang dikawal oleh Allah. Kalau Allah boleh kawal angin, maka Dia mampu untuk menjadikan Kiamat itu.


 

Ayat 8: Takhwif Ukhrawi. Selepas Allah sebut Kiamat itu pasti terjadi, maka sekarang disebutkan kejadian pada hari itu. 

فَإِذَا النُّجومُ طُمِسَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when the stars are obliterated

(MELAYU)

Maka apabila bintang-bintang telah dihapuskan,

 

Apabila Kiamat itu berlaku, maka bintang-bintang bergemerlapan dengan cahaya terang itu akan dipadamkan cahayanya. Ini seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَإِذَا النُّجُومُ انْكَدَرَتْ

dan apabila bintang-bintang berjatuhan. (At-Takwir: 2)

Waktu itu tidak akan jumpa dah cahayanya. Bukan sahaja cahaya dipadamkan, bintang-bintang itu sendiri akan dihancurkan. 


 

Ayat 9:

وَإِذَا السَّماءُ فُرِجَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the heaven is opened

(MELAYU)

dan apabila langit telah dibelah,

 

Langit yang nampak kukuh pada mata kita ini akan dibelah. Maknanya langit akan runtuh. Kiamat memang akan bermula dari langit, maka langit ketujuh akan hancur, kemudian langit keenam dan seterusnya sampailah ke dunia.

Ini adalah pemandangan yang amat menakutkan. Oeh kerana itu, kita berdoa semoga kita diselamatkan dari melihatnya. Kita harap kita telah lama dimatikan sebelum kejadian Kiamat ini. Aameen.


 

Ayat 10:

وَإِذَا الجِبالُ نُسِفَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the mountains are blown away

(MELAYU)

dan apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu,

 

Kalimah نُسِفَت dari katadasar نُسِفَت yang bermaksud ‘dipetik’ seperti memetik pokok dari tanah, ‘hancur jadi debu’. Jadi ia membayangkan bagaimana gunung yang kita lihat gagah dan kukuh ini akan dipetik begitu sahaja macam tumbuhan lemah sahaja. Dan selepas itu ia akan dihancurkan. Dan bila dihancurkan ia akan diterbangkan macam debu sahaja. Sungguh amat ngeri bila dibayangkan. 

Dan firman Allah Swt.:
وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبالَ وَتَرَى الْأَرْضَ بارِزَةً وَحَشَرْناهُمْ فَلَمْ نُغادِرْ مِنْهُمْ أَحَداً

Dan (ingatlah) akan hari (yang ketika itu) Kami perjalankan gunung-gunung dan kamu akan melihat bumi itu datar dan Kami kumpulkan seluruh manusia dan tidak Kami tinggalkan seorang pun dari mereka. (Al-Kahfi: 47)


 

Ayat 11:

وَإِذَا الرُّسُلُ أُقِّتَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the messengers’ time has come…¹

  • i.e., when they are gathered to witness concerning their nations. The sentence’s conclusion is understood to be “…the promised judgement will then take place.”

(MELAYU)

dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka).

 

Allah membongkar tentang satu masa yang telah ditetapkan. Ia pasti terjadi dan tidak akan berubah. Apakah masa itu? Itulah masa untuk para rasul jadi saksi kepada kaum mereka.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa makna uqqitat ialah dikumpulkan. Ibnu Zaid mengatakan, dan ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

يَوْمَ يَجْمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ

(Ingatlah), hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul. (Al-Maidah: 109)

Para Rasul itu akan ditanya samada mereka telah menyampaikan wahyu atau tidak; mereka akan ditanya samada mereka suruh umat mereka sembah mereka atau tidak; mereka akan ditanya samada kaum mereka terima ajaran wahyu atau tidak.

Waktu itu para Rasul itu akan beritahu kebenaran. Perkara ini telah banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain. Kaum mereka tidak dapat nak membantah lagi kata-kata Rasul mereka. Maka amat malang kalau kita dari umat Nabi Muhammad tapi kita sendiri yang tidak ikut ajaran wahyu yang baginda sampaikan. 

Berapa ramai yang mengaku umat Nabi Muhammad, tapi tidak amalkan sunnah? Ramai dari kalangan kita yang jahil ini mengamalkan amalan bidaah. Ia tidak pernah diajar oleh Nabi tapi itulah yang menjadi amalan harian mereka. Apabila kita tegur, maka banyaklah alasan dan hujah mereka (tanpa dalil). Maka apakah nasib mereka nanti apabila ditanya kenapa mereka amalkan bidaah itu sedangkan Nabi tidak pernah ajar?  

Maka ini adalah hujah pertama kepada manusia yang menentang ajaran para Rasul itu. Allah hendak memberitahu bahawa Dia tidaklah membiarkan manusia tanpa pendakwah. Semuanya telah disediakan: wahyu dan juga para Rasul yang mengajar makna Rasul dan memberikan ajaran yang benar. Maka kalau ada yang menolak juga, itu adalah salah mereka dan mereka tidak ada alasan untuk berhujah dengan Allah.

Atau, ada pendapat yang mengatakan yang dimaksudkan masa telah sampai itu adalah telah sampai masa malaikat diberi arahan untuk serang dunia dan hancurkan. 


 

Ayat 12:

لِأَيِّ يَومٍ أُجِّلَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For what Day was it postponed?¹

  • “It” may refer to either the aforementioned occurrences collectively or to the testimony of the messengers.

(MELAYU)

(Niscaya dikatakan kepada mereka:) “Sampai hari apakah ditangguhkan (mengazab orang-orang kafir itu)?”

 

Sebenarnya Hari Kiamat itu adalah masa yang telah dilewatkan. Kalau nak dikirakan kesalahan manusia itu, patutnya telah lama mereka dikenakan dengan azab. Tapi tidaklah itu terjadi. Berapa ramai manusia yang kufur, buat amalan syirik, zalim dan banyak dosa, tapi mereka tidaklah terus kena azab.

Mereka tidak terus kena azab kerana Allah beri beri tangguh kepada mereka. Tidaklah buat dosa sahaja, terus Allah matikan. Ini adalah kerana Allah bagi masa kepada manusia untuk berubah.

Maka ini adalah nikmat yang amat besar dari Allah. Kalaulah setiap kali kita buat dosa dan buat syirik Allah matikan kita, tentulah tidak akan ada manusia dan jin yang selamat. Tapi kerana Allah beri tangguh, maka kita ada peluang untuk belajar dan membaiki fahaman dan amalan kita. Bersyukurlah. 

Tapi tidaklah Kiamat itu ditangguhkan sampai bila-bila. Apabila telah sampai masa yang Allah telah tetapkan, maka ia tetap terjadi. Dan manusia dan jin akan dibangkitkan semula dan akan dihakimi tentang amalan-amalan mereka semasa di dunia. Sudah tidak ada tangguh lagi. Ia tetap akan berlaku dan tangguh itu kalau dikirakan, hanya sekejap sahaja.


 

Ayat 13: Setelah habis masa tangguh itu makan ke manakah kita akan dihadapkan?

لِيَومِ الفَصلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For the Day of Judgement.

(MELAYU)

Sampai hari keputusan.

 

Akhirnya kita semua akan dihadapkan di mahkamah Allah. Salah satu nama bagi Hari Kebangkitan itu adalah يَومِ الفَصلِ. Kalimah ف ص ل bermaksud ‘pembahagian’, ‘pembezaan’.

Allah akan bahagikan antara orang yang baik dan yang buruk supaya jelas nampak perbezaan antara mereka. Akan dibahagikan antara golongan yang beriman dan golongan yang kufur. Allah akan buat keputusan yang jelas dan ini adalah hari yang amat menakutkan.

Allah akan pecahkan antara dua kumpulan ini supaya nanti akan jadi jelas antara keduanya. Kalau di dunia kadang-kadang dua golongan ini nampak sama sahaja kerana pakai baju yang sama, amalan yang sama, tapi pada hari akhirat nanti mereka akan jelas nampak bezanya. Soalannya: kita nak masuk golongan yang mana?  


 

Ayat 14:

وَما أَدرىٰكَ ما يَومُ الفَصلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the Day of Judgement?

(MELAYU)

Dan tahukah kamu apakah hari keputusan itu?

 

Adakah kamu wahai manusia tahu apakah Hari itu? Apakah yang dapat memberi maklumat kepada kamu tentang Hari itu? Kalau Allah tidak beritahu melalui perantaraan wahyu dan RasulNya, tentulah kita tidak akan tahu.

Jadi untuk tahu apakah Hari itu dan kesan kepada kita, maka hendaklah kita belajar wahyu dan mempelajari apakah ajaran dari Rasulullah ﷺ.


 

Ayat 15: Apakah kesan dan balasan kepada mereka yang engkar?

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe,¹ that Day, to the deniers.

  • i.e., death and destruction.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Mereka itu adalah orang yang mendustakan agama Nabi ﷺ dan Qur’an. Mereka akan mendapat kecelakaan yang amat besar nanti. Tidak sama kalau celaka di dunia dan celaka di akhirat. Mereka akan menyesal dengan penyesalan yang amat besar dan mereka tidak dapat mengubah lagi keadaan mereka. 

Apakah maksud ‘mendustakan’ itu? Adakah dengan menolak secara terang sahaja? Memang ada orang yang mengaku kafir dan mereka memang menolak dengan terang. Ada golongan yang sengaja mencari-cari kesalahan dalam Qur’an kerana mereka benci kepada agama Islam dan kerana itu mereka menentang Islam dan ajaran Qur’an.

Tapi bagaimana pula dengan orang Islam sendiri? Agaknya mereka mendustakan Qur’an atau tidak? Ini yang kita takut. Takut-takut kita termasuk dengan golongan pendusta ini.

Kalau tidak mengendahkan ajaran Qur’an, itu pun sudah termasuk ‘mendustakan’ agama juga. Ini adalah kerana kalau mereka yakin yang Qur’an itu benar, maka tentulah mereka akan pegang ajaran Qur’an ini; tentulah mereka akan belajar tafsir Qur’an supaya mereka boleh amalkan Qur’an. Ini adalah tindakan orang yang percaya.

Tapi kalau buat tidak kisah sahaja dan tidak ada usaha untuk belajar, maknanya mereka tidak percaya Qur’an itu benarlah. Kerana kalau mereka percaya ia benar, maka tentu mereka akan belajar, bukan? Maka kalau tidak belajar tafsir, maka mereka sebenarnya mengatakan Qur’an itu adalah ‘dusta’. Memang mereka tidak mengatakan dengan kata-kata, tapi mereka kata dengan perbuatan mereka. Nauzubillah!

Apabila menolak ayat-ayat Allah, maka perkara pertama yang mereka tolak adalah Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula. Bila mereka tolak, maka mereka tidak buat persediaan untuk menghadapi hari itu. Apabila mereka tolak, maka mereka hidup di dunia ini tanpa panduan; mereka buat apa sahaja yang mereka hendak dan kerana itu banyak kezaliman yang mereka lakukan. Dan kerana kezaliman dan dosa mereka itu, mereka akan menjadi manusia yang paling celaka di akhirat kelak.


 

Ayat 16: Ini adalah ayat takhwif duniawi. Allah menakutkan manusia dengan azab yang telah dikenakan semasa di dunia lagi. Kerana ada manusia yang kalau ditakutkan dengan azab akhirat mereka tidak takut sangat kerana nampak jauh sahaja. Maka Allah beritahu azab di dunia pun Allah boleh beri dan Allah telah banyak beri pun kepada umat-umat terdahulu yang menolak ajaran agama Islam. Maka renungkanlah.

أَلَم نُهلِكِ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did We not destroy the former peoples?

(MELAYU)

Bukankah Kami telah membinasakan orang-orang yang dahulu?

 

Allah perli para penolak wahyu: Kamu dulu tak belajarkah tentang azab Allah yang telah dikenakan kepada orang terdahulu?

Ini adalah tempelak Allah yang pertama sekali diberikan kepada musyrikin Mekah. Mereka itu sudah tahu ada umat-umat yang telah dimusnahkan oleh Allah. Mereka kenal kaum Aad, Tsamud dan lain-lain kaum yang telah dimusnahkan kerana mereka telah menentang Rasul mereka sendiri.


 

Ayat 17:

ثُمَّ نُتبِعُهُمُ الآخِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We will follow them with the later ones.

(MELAYU)

Lalu Kami iringkan (azab Kami terhadap) mereka dengan (mengazab) orang-orang yang datang kemudian.

 

Ramai lagi yang telah dikenakan dengan azab. Ada yang Allah beritahu dan ada yang Allah tidak beritahu kerana banyak sangat. Cukuplah dengan disebut beberapa kaum sahaja seperti yang kita telah banyak belajar dalam ayat-ayat Qur’an.


 

Ayat 18:

كَذٰلِكَ نَفعَلُ بِالمُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Thus do We deal with the criminals.

(MELAYU)

Demikianlah Kami berbuat terhadap orang-orang yang berdosa.

 

Begitulah balasan dari Allah terhadap golongan yang telah menentang ajaran wahyu dan Rasul mereka. Allah boleh buat dan Allah telah buat. Kalau Allah boleh kenakan kepada kaum terdahulu, apa yang menghalang Allah dari mengenakan azab duniawi kepada kamu juga?

Adakah kamu sangka kamu makhluk istimewa sampai Allah tidak kenakan azab kepada kamu? Jangan begitu. Hendaklah belajar apa yang telah terjadi kepada kaum-kaum terdahulu itu supaya kamu jadi takut. 


 

Ayat 19:

وَيلٌ يَومَئِذٍ لِّلمُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Woe, that Day, to the deniers.

(MELAYU)

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

 

Allah ulang sekali lagi ayat 15 sebagai penekanan kerana mereka yang menentang itu orang yang degil. Kalau orang degil, bukankah kita ulang-ulang kata-kata kita kepada mereka kerana sekali cakap mereka tidak dengar dan ikut?  

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 14 Jun 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s