Tafsir Surah ash-Shura Ayat 32 – 38 (Kepentingan Syura)

Ayat 32: Allah beri dalil tentang kekuasaanNya.

وَمِن ءآيٰتِهِ الجَوارِ فِي البَحرِ كَالأَعلٰمِ

Sahih International

And of His signs are the ships in the sea, like mountains.

Malay

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.

 

وَمِنْ ءآيٰتِهِ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya

Ini adalah tanda yang kita sendiri boleh lihat. Kita tidak boleh melihat Allah, tapi kita boleh melihat tanda-tandaNya. Perkataan ‘alam’ itu sendiri bermaksud ‘tanda’.

Dengan melihat alam, kita boleh melihat tanda kewujudan dan kekuasaan Allah. Dengan melihat tanda-tanda itu, kita boleh mengenali Allah setakat yang kita mampu. Kita boleh kenal Allah setakat yang Allah benarkan sahaja. Macam kita tengok lukisan yang cantik dan kita dapat agak yang pelukis itu adalah seorang yang hebat.

 

الْجَوَارِ فِي الْبَحْرِ

ialah kapal-kapal belayar laju merempuh lautan.

Allah banyak memberi isyarat kepada kebesaranNya dengan menyuruh kita melihat alam ini. Dalam ayat ini, Allah menyuruh kita melihat kepada kapal di lautan pula. Lihatlah kepada kapal yang belayar laju di lautan itu. Ini adalah salah satu dari nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Air selalu menenggelamkan apa sahaja yang di atasnya, tapi kapal yang besar itu tidak tenggelam pula. Itulah yang hebatnya. Dengan kapal itu juga boleh mengangkut keperluan perniagaan dan kehidupan kita. Maka itu adalah nikmat dari Allah kepada manusia.

 

كَالْأَعْلٰمِ

seperti gunung,

Kalau kita lihat kapal-kapal besar yang berlayar di laut itu, ianya bagaikan gunung kerana besarnya kapal itu. Kalau di daratan, gununglah yang nampak dari jauh. Tapi kalau di lautan, kapallah yang nampak dari jauh.

Bayangkan betapa hebatnya, kapal yang begitu besar, yang kalau kita pertama kali lihat, tentunya akan tenggelam, tapi ianya dapat terapung di lautan. Dan dapat bergerak dengan bebas. Begitu banyak barang yang boleh dinaikkan di dalam kapal itu seperti manusia dan barang-barang kargo dan jualan. Kemudian, kain layarnya pula tinggi menjulang, menambahkan imaginasi kita kepada bentuk gunung.

Kapal Layar zaman moden

 

Ayat 33:

إِن يَشَأ يُسكِنِ الرّيحَ فَيَظلَلنَ رَواكِدَ عَلىٰ ظَهرِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ

Sahih International

If He willed, He could still the wind, and they would remain motionless on its surface. Indeed in that are signs for everyone that is patient and grateful.

Malay

Jika Dia kehendaki, Dia menghentikan tiupan angin, maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.

 

إِن يَشَأْ يُسْكِنِ الرِّيحَ

Jika Dia kehendaki, Dia menghentikan tiupan angin,

Kapal layar itu memerlukan angin yang kuat untuk bergerak meniup layarnya. Dan angin yang bertiup kencang itu, Allah boleh menghentikannya. Hanya Allah sahaja yang boleh melakukannya. Allah nak ingatkan yang kapal di lautan berjalan dengan Qudrat Allah. Bukanlah kapal itu berjalan sendiri.

 

فَيَظْلَلْنَ رَوَاكِدَ عَلَىٰ ظَهْرِهِ

maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di atas belakangnya.

Apabila angin berhenti dan tidak bertiup di lautan, maka kapal-kapal itu akan berhenti tidak bergerak. Ini adalah ketika laut itu tenang dan tidak ada angin yang meniup layarnya. Ianya akan hanya terapung-apung tidak bergerak.

Ini adalah untuk kapal layar kerana kapal layar memerlukan angin untuk menggerakkannya. Semasa ayat ini diturunkan, hanya ada kapal layar sahaja jadi contoh yang kita gunakan sekarang ini adalah berkenaan kapal layar sahaja.

 

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda bagi tiap-tiap orang yang sabar, lagi bersyukur.

Sifat sabar dan syukur disebut di hujung ayat ini. Ia merujuk kepada mereka yang sabar semasa susah dan mereka pula akan bersyukur di masa senang. Ini adalah dua sifat yang amat-amat penting. Ianya perlu ada bagi setiap orang mukmin.

Pertama yang perlu disyukuri adalah kerana air laut itu tenang. Dan apabila disebut kapal yang berlayar, ia juga sebagai isyarat kepada perjalanan safar. Dalam musafir, kita memerlukan kedua-dua sifat ini. Kerana di dalam setiap perjalanan, kita akan menghadapi banyak masalah.

Kita hendaklah bersabar bila kita diberikan dengan masalah-masalah itu. Di dalam masa yang sama, kita juga semestinya bersyukur kepada Allah kerana Allah telah memberi izin kepada kita untuk mengembara di atas muka bumi ini.

Sebagai contoh, perjalanan untuk mengerjakan Umrah dan Haji adalah perjalanan yang sukar. Maka hendaklah kita bersabar dalam perjalanan dan menghadapi kesukaran itu. Tetapi di dalam masa yang sama, kita hendaklah bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada kita untuk mengerjakan ibadah itu. Berapa ramai yang teringin sangat untuk ke Mekah, tetapi tidak mendapat kesempatan itu.

Lihatlah, sebenarnya kalau kita ada rasa syukur, perasaan sabar itu akan datang dengan sendiri.

Maka kita hendaklah menjadikan susah atau pun senang sebagai jalan/kenderaan untuk menuju kepada Allah. Tidak kira semasa senang atau susah, kita tetap menghadapkan diri kepada Allah. Ada ketika senang seperti perjalanan kapal yang mudah; dan ada ketika akan susah seperti ketika angin tidak ada untuk menggerakkan kapal.

Apa sahaja kehidupan kita dalam seharian tidak ada tujuan lain, melainkan untuk kembali kepada Allah. Akan pasti ada masa senang dan masa susah. Bila senang dia ingat itu dari Allah; bila susah dia tahu yang Allah sedang berikan ujian kepadanya.


 

Ayat 34:

أَو يوبِقهُنَّ بِما كَسَبوا وَيَعفُ عَن كَثيرٍ

Sahih International

Or He could destroy them for what they earned; but He pardons much.

Malay

Atau (jika Dia kehendaki) Dia binasakan kapal-kapal itu disebabkan dosa-dosa yang dilakukan oleh orang-orangnya, (lalu setengahnya dibiarkan mati lemas) dan (setengahnya diselamatkan dengan jalan) Dia memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa mereka.

 

أَوْ يُوبِقْهُنَّ

Atau (jika Dia kehendaki) Dia boleh binasakan kapal-kapal itu

Allah boleh musnahkan kapal itu dengan macam-macam cara. Kapal itu boleh bocor, boleh terbakar, boleh langgar batu karang, langgar bongkah ais dan sebagainya. Hakikatnya, Allahlah yang membinasakan kapal itu.

Lihatlah apa terjadi kepada kapal Titanic. Mereka kata: “Tuhan pun tidak boleh menenggelamkan kapal ini”, tapi akhirnya Allah tenggelamkan juga.

Kapal Titanic yang besar itu pun Allah senang sahaja membinasakannya

 

بِمَا كَسَبُوا

disebabkan dosa-dosa yang dilakukan oleh mereka,

Apabila dalam perjalanan kapal atau dengan perjalanan cara lain, tentulah banyak kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Allah boleh sahaja memusnahkan mereka kerana kesalahan mereka itu.

Atau memang penumpang kapal itu adalah mereka yang banyak berdosa, berbuat syirik, kufur atau berlaku zalim kepada ramai orang. Allah boleh beri balasan kepada mereka atas kesalahan dosa mereka itu serta merta.

Ini adalah takhwif duniawi di mana Allah ingatkan yang azab boleh dikenakan semasa di dunia lagi. Tapi kalau Allah tenggelamkan mereka, bukanlah Allah sengaja nak buat, tapi kerana kesalahan mereka sendiri. Kalau tidak ada dosa, Allah tidak akan beri musibah kepada mereka.

 

وَيَعْفُ عَن كَثِيرٍ

tapi Dia telah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa mereka.

Walaupun Allah boleh balas kesalahan mereka itu dengan dihancurkan mereka, tapi Allah tidak buat begitu. Allah telah maafkan kebanyakan dari dosa-dosa manusia. Allah tidak ambil kira kesemua dosa manusia yang ada dalam kapal itu.

Ini adalah kerana Allah maha pemaaf. Bukannya mereka tidak ada dosa, tapi Allah maafkan. Kalau Allah terus balas dosa manusia tentulah tidak ada manusia yang akan hidup di atas muka bumi. Maka Allah tangguhkan hukuman manusia.


 

Ayat 35: Ini adalah hikmah dijadikan ujian itu. Supaya mereka sedar.

وَيَعلَمَ الَّذينَ يُجٰدِلونَ في ءآيٰتِنا ما لَهُم مِّن مَّحيصٍ

Sahih International

And [that is so] those who dispute concerning Our signs may know that for them there is no place of escape.

Malay

(Berlakunya yang demikian supaya nyata kekuasaan Kami) dan supaya orang-orang yang membantah ayat-ayat keterangan Kami mengetahui, bahawa mereka tidak akan dapat jalan melepaskan diri (dari azab seksa).

 

وَيَعْلَمَ الَّذِينَ يُجٰدِلُونَ فِي ءآيٰتِنَا

Supaya orang-orang yang membantah ayat-ayat keterangan Kami mengetahui,

Ada Jumlah Muqaddar dalam ayat ini: Allah tenggelamkan kapal di lautan kerana Allah nak balas kesalahan dan dosa hamba. Mereka yang membantah ayat-ayat Allah adalah mereka yang tak mahu beriman dengan ayat-ayat Allah. Apabila diberitahu dengan makna yang disampaikan dalam Al-Quran, ada sahaja yang mereka tolak. Apabila diajak belajar wahyu, mereka tolak.

Maka mereka dikenakan dengan azab di dunia supaya mereka dapat sedar kesalahan yang mereka telah lakukan. Supaya mereka sedar yang mereka itu lemah sahaja dan di dalam takluk Allah.

 

مَا لَهُم مِّن مَّحِيصٍ

bahawa mereka tidak akan dapat jalan melepaskan diri (dari azab seksa).

Dikenakan azab kepada mereka yang menentang ayat-ayat Allah itu supaya mereka tahu bahawa mereka tidak ada kuasa nak melepaskan diri dari musibah Allah. Kalau Allah hentikan kapal mereka, musnahkan kapal mereka, senang sahaja bagi Allah dan mereka tidak dapat nak melepaskan diri dari takdir Allah itu.

Mereka kena sedar yang mereka tak boleh nak buat apa-apa pun. Katalah apa sahaja, ianya akan terjadi juga. Lihatlah apa kata mereka yang membuat kapal Titanic itu: “Kapal ini amat kuat, sampaikan Tuhan pun tak boleh nak karamkannya!” Begitu sombongnya mereka dengan pencapaian dan kepandaian mereka. Tapi lihatlah apa yang terjadi kepada kapal itu. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa apabila kapal itu mula karam.

Orang-orang Musyrikin Mekah pun tahu bahawa apabila di lautan, yang berkuasa hanya Allah taala sahaja. Mereka tahu yang mereka  di dalam taqdir Allah pada waktu itu. Maka sekarang Allah nak ingatkan mereka sahaja.


 

Ayat 36: Allah menceritakan hakikat dunia. Allah juga memberitahu bahawa ramai manusia yang lalai kerana mereka leka dengan dunia. Bukanlah salah kalau mahu kepada dunia, cuma jangan sampai jadi hamba dunia.

Oleh kerana bahayanya dunia dan segala keindahannya pada mata manusia ini, Allah beri peringatan dalam ayat ini. Jadilah seperti orang zuhud yang lebih minat kepada akhirat. Mereka juga menggunakan dunia untuk keperluan hidup, tapi tidaklah terikat dengan dunia. Maknanya sayangkan akhirat bukanlah sampai tinggalkan dunia terus.

فَما أوتيتُم مِّن شَيءٍ فَمَتٰعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَما عِندَ اللهِ خَيرٌ وَأَبقىٰ لِلَّذينَ ءآمَنوا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

Sahih International

So whatever thing you have been given – it is but [for] enjoyment of the worldly life. But what is with Allah is better and more lasting for those who have believed and upon their Lord rely

Malay

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;

 

فَمَا أُوتِيتُم مِّن شَيْءٍ

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu,

Allah nak ingatkan hakikat dunia kepada kita. Ramai yang senang terpesona dengan dunia. Tapi Allah ingatkan bahawa apa sahaja yang kita diberikan dalam dunia, segala harta, segala kekayaan dan sebagainya itu tidak kekal. Kita nampak macam banyak sahaja harta yang diberikan kepada kita itu. Tapi apakah hakikatnya?

 

فَمَتٰعُ الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja,

Walau banyak mana pun harta itu, walau sebanyak harta Qarun pun, sebanyak harta Bill Gates pun, walaupun sepenuh bumi, ianya hanya مَتَاعُ (barangan kegunaan) dunia sahaja. Perkataan مَتَاعُ dari katadasar متع yang bermaksud sesuatu yang digunakan tapi ianya hanya untuk sementara sahaja. Sebagai contoh, perabot, rumah, kerusi, apa sahaja.

Ianya memang untuk keperluan kita, tapi hanya setakat kita hidup sahaja. Sama ada barang itu rosak dahulu atau kita yang mati dulu. Tidak kisah bagaimana menariknya barang itu, betapa hebat dan cantiknya benda itu, ianya tidak kekal. Ianya sedikit sahaja nilainya kerana barang tidak kekal tidaklah bernilai.

Tapi kita kena faham, Allah bukan suruh tinggalkan dunia tapi Allah suruh kita zuhud kepada dunia. ‘Zuhud’ itu maksudnya tidak minat sangat kepada dunia kerana lebih minat kepada akhirat. Tapi mereka pakai juga dunia kerana itu adalah keperluan hidup.

Ini menegur perangai kebanyakan manusia yang mementingkan harta dunia. Sebagai contoh, ramai yang meletakkan status kejayaan mereka pada rumah besar, kereta mewah, duit berkepuk dalam bank, alat elektronik yang canggih-canggih, baju yang cantik-cantik, dan macam-macam lagi. Allah ingatkan kita bahawa semua itu hanyalah kegunaan di dunia sahaja yang tidak akan kekal.

Dalam Kahf:46, Allah juga telah membezakan perhiasan dunia dan akhirat.

المالُ وَالبَنونَ زينَةُ الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَالباقِياتُ الصّالِحاتُ خَيرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوابًا وَخَيرٌ أَمَلًا
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

 

وَمَا عِندَ اللهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal

Bandingkan apa yang kita ada di dunia ini dengan apa yang Allah berikan di akhirat nanti, kalau seseorang itu masuk syurga. Kerana apa sahaja yang kita ada di dunia, ianya tidak kekal. Dan ianya tidak sempurna, pasti ada sahaja kekurangannya. Pasti ada sahaja masalahnya kerana ianya adalah barang dunia sahaja. Ada sahaja tak kena dengan hati kita walaupun kita suka.

Memang kita suka dan sayang barang dunia kerana ianya cantik, tapi mungkin warnanya kita tak berapa suka. Begitulah kita dengan harta kesayangan kita. Tidak semestinya ianya sempurna, walaupun kita sayang sekalipun. Tapi, apa yang Allah akan berikan di syurga nanti adalah lebih baik lagi.

Sebaliknya, barang di syurga nanti akan sempurna, ianya akan kekal sampai bila-bila. Dan ianya akan sempurna dimana kita tidak akan nampak apa-apa kekurangan pun pada apa yang Allah akan beri di akhirat nanti. Ahli syurga akan amat berpuas hati dengan barangan di syurga, tidak ada komen langsung.

Kalau kita diberi pilihan antara barang yang sekejap sahaja hayatnya dengan barang yang kekal, apakah pilihan kita? Tentunya kita mahukan yang kekal, bukan? Oleh itu, hendaklah kita membuat pilihan sama ada untuk mendapatkan harta akhirat ataupun harta dunia dari sekarang. Kena buat keputusan sekarang kerana kalau tunggu di akhirat nanti sudah terlambat.

Dan untuk mendapatkan harta syurga itu, bukannya senang-senang sahaja akan diberikan. Kerana ianya memerlukan kesabaran dan usaha. Ianya juga tidak diberikan kepada semua orang. Kepada siapakah ianya akan diberikan?

 

لِلَّذِينَ ءآمَنُوا

bagi orang-orang yang beriman

Siapa yang dapat pemberian di syurga yang kekal itu? Adakah semua orang? Tentu tidak. Ianya hanya diberikan kepada mereka yang beriman sahaja. Iaitu yang beriman sempurna – tidak mengamalkan syirik. Akidah mereka mantap, kemas. Tauhid mereka jelas dan tidak goyang.

Untuk mendapatkan akidah yang sebegitu, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an dan memahami apa yang Allah sampaikan dalam Al-Qur’an. Bukannya mengambil dalil dari kata-kata manusia sahaja. Tidaklah cukup faham tauhid dengan hanya belajar Sifat 20 sahaja.

Kelebihan dunia diberikan kepada semua orang sama ada beriman atau tidak, Muslim atau tidak. Allah boleh berikan kepada sesiapa sahaja tidak kira beriman atau tidak, kerana ianya tidak bernilai. Benda yang tidak bernilai, senang sahaja kita beri kepada orang lain, bukan? Tapi kalau ianya berharga sedikit, kita akan pilih orang yang akan diberikan. Begitu jugalah dengan syurga dan segala perhiasannya. Ianya amat bernilai dan kerana itu Allah hanya berikan kepada orang beriman sahaja.

Oleh kerana itu, tidak semua akan dapat kelebihan di syurga nanti. Ada syarat untuk mendapatkannya. Dan syarat pertama yang disebut dalam ayat ini: beriman sempurna. Maksud ‘beriman sempurna’ pula adalah tidak melakukan syirik sedikit pun.

 

وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;

Syarat kedua adalah seseorang itu hendaklah bertawakal hanya kepada Allah. Kita serahkan urusan kita selepas kita berusaha, kepada Allah. Apa yang Allah berikan keputusan kepada kita selepas kita berusaha, kita terima.

Tapi kena ingat, kita kena tawakal itu selepas melakukan taat. Kita taat dan tawakal dalam masa yang sama. Sebagai contoh, sewaktu kita solat, tentulah kita tinggalkan hal dunia, bukan? Maksudnya, dalam melakukan taat, tentu ada perkara keduniaan yang kita abaikan. Apa akan jadi kalau begitu? Adakah kita akan rugi?

Ada yang rasa begitu kerana mereka rasa mereka akan rugi kalau mereka taat dalam agama. Maka Allah nak ingatkan yang tawakal itu adalah taat dan serahkan apa yang akan jadi dengan dunia kita. Kerana kalau kita jaga ketaatan kita kepadaNya, Dia akan akan jaga keperluan dunia kita.

Kita mestilah percaya bahawa jikalau kita korbankan dunia ini kerana Allah, kita akan mendapat kelebihan di akhirat. Sebagai contoh, kadang-kadang kita mendapat peluang untuk mendapatkan kepentingan dan kelebihan dunia, tapi ianya salah di sisi agama. Apabila seseorang itu ada iman dan ada tawakal, dia akan sanggup untuk melepaskan peluangnya di dunia itu asalkan dia mendapat kebaikan akhirat.

Sebagai contoh, dia ada peluang untuk mencuri, berzina, tapi dia tidak melakukannya kerana imannya menghalangnya. Ini adalah kerana dia ada tawakal – dia tahu bahawa dengan menahan dirinya di dunia, dia akan mendapat balasan di akhirat yang lebih baik. Dia percaya yang kalau dia tahan dari mencuri, dia akan dapat barangan yang lebih baik dan lebih kekal di akhirat kelak; jikalau dia tahan dari berzina, dia tahu yang dia akan mendapat isteri dan bidadari yang cantik-cantik di akhirat kelak.

Semua ini memerlukan kepercayaan (tawakal) yang penuh kepada Allah. Kerana kalau tidak yakin penuh, tidak sampai kepada tahap melepaskan perkara-perkara yang salah itu.

Setelah mengetahui kelebihan syurga setelah diberitahu dengan berbagai-bagai ayat, kita tentu teringin untuk memasukinya. Semua ada peluang untuk memasukinya, tapi seperti yang telah kita sebut, ianya memerlukan usaha. Maka ada 10 syarat untuk memasukinya dan dua darinya telah disebut dalam ayat ini:

1. Iman sempurna. Dan yakin dengan janji Allah.

2. Tawakal selepas melakukan taat.


 

Ayat 37: Selain dari dua syarat di atas, apa lagi syarat untuk mendapat kebaikan di akhirat? Kita bukan hanya beriman sahaja, tapi hendaklah disertakan dengan perlakuan yang mencerminkan iman kita.

Dan iman itu bukannya hanya ‘melakukan’ sesuatu tapi ia termasuklah juga ‘meninggalkan’ sesuatu. Ayat ini adalah tentang meninggalkan sesuatu. Kerana ada perkara yang kita kena buat, dan ada perkara yang kita kena tinggalkan.

وَالَّذينَ يَجتَنِبونَ كَبٰئِرَ الإِثمِ وَالفَوٰحِشَ وَإِذا ما غَضِبوا هُم يَغفِرونَ

Sahih International

And those who avoid the major sins and immoralities, and when they are angry, they forgive,

Malay

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;

 

وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبٰئِرَ الْإِثْمِ

Dan juga orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar

Perkataan يَجْتَنِبُونَ dari katadasar ج ن ب yang bermaksud ‘sisi badan’. Kalimah إجتنب bermaksud menyelamatkan sisi badan. Sebagai contoh, kita mengelak tubuh kita dari kena sesuatu. Oleh itu, إجتنب bermaksud meninggalkan sesuatu yang kita ada peluang untuk melakukannya. Maksudnya, kita ada peluang, tapi kita tidak ambil peluang itu.

Memang senang tidak buat dosa apabila tidak ada peluang. Tapi apabila ada peluang, itu yang susah, bukan? Peluang di hadapan matalah yang menduga iman kita. Sebagai contoh, memang sekarang kita pandang zina itu sebagai dosa besar, tapi kalau ada wanita cantik yang menyerahkan dirinya depan kita, adakah kita ada kekuatan untuk menolaknya?

‘Dosa besar’ dipanggil ‘dosa besar’ kerana perbuatan itu adalah sesuatu yang besar dan kesan perbuatan itu juga besar. Sebagai contoh, dosa yang paling besar adalah syirik. Perbuatan syirik menyebabkan seseorang itu menyembah ilah selain Allah dan kesannya menyebabkan dia masuk ke dalam neraka dan kekal dalam neraka.

Satu lagi dosa besar adalah zina. Sudahlah dosanya besar tapi ia memberi kesan buruk yang besar. Bukan sahaja lelaki dan perempuan melakukan hubungan badan tapi kalau anak terhasil dari perhubungan itu, anak itu akan terbiar kerana ia adalah anak zina. Maka anak itu akan terabai hidupnya semasa dia membesar.

Bagaimana kita hendak tahu mana satu dosa besar? Dosa besar adalah dosa yang telah dikategorikan sebagai dosa besar oleh syariat. Iaitu melalui Al-Qur’an dan hadis. Dan dosa itu jenis yang telah ditetapkan balasannya, sama ada di dunia atau di akhirat.

Sebagai contoh, ada dosa yang dikenakan dengan hukum hudud. Hukum membunuh, mencuri, zina dan sebagainya telah ditetapkan hukumannya dalam Al-Qur’an dan Hadis. Hukuman itu boleh dikenakan semasa di dunia lagi. Hukum mencuri, potong tangan; menuduh orang berzina tanpa bawa bukti, 80 kali sebatan dan lain-lain lagi.

Selain dari itu, ada perbuatan yang telah diberikan ancaman seksa di akhirat. Mungkin tidak ada hukum hudud di dunia, tapi ada ancaman seksa di akhirat. Sebagai contoh, orang yang memakan harta anak yatim dikatakan akan memakan api neraka ke dalam perut mereka.

Selain dari itu, dosa besar juga termasuk kalau Allah melaknat perbuatan itu. Sebagai contoh, Allah melaknat mereka yang melaknat ibubapa mereka.

Selain dari itu, ada perbuatan yang Allah marah. Sebagai contoh, Allah marah kepada isteri yang menolak keinginan suami untuk bersama.

Ataupun, jikalau telah jelas dalam dalil yang sah bahawa sesuatu perbuatan itu adalah haram. Sebagai contoh, Allah telah jelas mengharamkan riba.

Ataupun, apabila diberitahu bahawa jikalau manusia melakukan sesuatu perbuatan itu, imannya ditolak. Sebagai contoh, jika kita menyakiti jiran kita.

Akhir sekali, hendak kita ingatkan yang jikalau manusia berterusan melakukan dosa-dosa kecil, itu juga adalah satu dosa besar. Ini kerana kalau berterusan melakukan dosa kecil, ia tidak jadi kecil lagi.

Ada ulama yang cuba menyenaraikan dosa-dosa besar itu untuk kemudahan kita. Antaranya, ada yang menyenaraikan lebih dari 300 dosa-dosa besar. Tapi memang bilangannya tidak tetap kerana ia berdasarkan kajian dan pendapat ulama’ sahaja dan ia tidak semestinya sama. Maka boleh buat rujukan lagi berkenaan dosa-dosa besar ini.

Bukanlah dosa besar sahaja yang perlu kita jauhi, tapi dosa kecil pun kita kena cuba jauhi juga. Tapi Allah beri syarat untuk memasuki syurga dengan menjauhi dosa besar, kerana amat susah untuk menjauhi dosa-dosa kecil. Jadi kalau diletakkan sebagai syarat memasuki syurga kena jauhi dosa kecil, tidak adalah orang yang dapat dapat masuk syurga pula nanti. Ini adalah salah satu dari rahmat Allah ke atas kita.

 

وَالْفَوٰحِشَ

serta perbuatan-perbuatan yang keji;

Ianya adalah perbuatan yang memalukan dan selalunya berasal dari syahwat yang tidak terkawal. Sebagai contoh, zina, homoseksual, mengahwini mereka yang tidak sepatutnya dikahwini.

Termasuk juga apa sahaja yang memalukan seperti pornografi, berbogel di tempat yang tidak sepatutnya, melihat aurat orang yang tidak sepatutnya, melihat dengan nafsu kepada yang tidak sepatutnya, berkata perkara lucah, menulis atau melukis perkara lucah.

Kerana dengan melakukan perkara-perkara itu, boleh menyebabkan syahwat naik. Termasuk dalam perkara ini adalah duduk bersama lelaki dan perempuan yang bukan mahram (ikhtilat), memegang tangannya, bersembang dengannya. Mendengar sesuatu yang lucah juga ada termasuk dalam perkara ini.

Dosa-dosa الْفَوَاحِشَ ini adalah dosa yang memalukan kita. Kita sendiri pun malu nak beritahu kepada orang, atau kita sendiri malu kalau orang lain tahu kita terlibat dengan dosa-dosa itu. Termasuklah kalau orang itu yang rapat dengan kita, contohnya ibu kita, isteri kita, kawan-kawan kita, adik beradik kita.

Kalau difikirkan, zina pun termasuk dalam dosa-dosa besar juga. Tapi kenapa disebut berasingan pula? Ini adalah kerana selalunya manusia akan berjaya mengelak dari dosa-dosa besar yang lain seperti membunuh, mencuri dan sebagainya. Tapi dosa besar yang melibatkan syahwat ini, manusia memang susah nak tinggalkan.

Dan ia apabila dilakukan menyebabkan orang lain pun teringin juga nak ikut buat sekali. Jadi perkara ini hendaklah dihentikan dari awal lagi. Lihatlah bagaimana kanak-kanak sekarang boleh dapat bahan porno dengan mudah menyebabkan mereka senang terlibat dengan perkara-perkara keji dari kecil lagi. Kerajaan kena lakukan sesuatu sebelum perkara ini teruk berleluasa dan tidak terkawal langsung.

Kalau tak sampai buat zina pun, mereka ada juga buat benda-benda lain yang kurang sikit, tapi termasuk juga dalam perkara الْفَوَاحِشَ. Jadi Allah beri penekanan khusus lagi dalam Al-Qur’an supaya kita boleh beri perhatian lebih sedikit. Jadi, kena jauhi diri dari dosa-dosa besar, terutama sekali dosa-dosa keji yang melibatkan syahwat.

 

وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

dan apabila mereka marah, mereka memaafkan;

Ini adalah syarat seterusnya untuk masuk syurga. Ini adalah kerana marah boleh membawa kepada banyak kesalahan lain. Mula-mula marah, tapi kemudian boleh pukul orang yang menyebabkan kita marah, malah sampai boleh bunuh dia pula. Ini adalah kerana apabila marah menguasai diri, akal sudah diletakkan di tepi dan manusia banyak buat perkara yang mereka sesali kemudian.

Orang yang mukmin, apabila mereka marah, mereka akan memaafkan orang yang menyebabkan mereka marah. Kerana marah jenis غَضِبُ, ianya adalah jenis marah yang boleh menyebabkan orang yang marah itu balas dendam kepada orang yang menyebabkan dia marah. Atau menyebabkan dia menyakiti orang itu. Maka ia kena diselesaikan atau dimatikan dari awal lagi. Jangan sampai kita teruskan kemarahan itu melarut ke perkara yang lain.

Itu adalah salah kerana kita tidak boleh menyakiti sesiapa. Tambahan lagi kalau orang yang menyebabkan kita marah itu adalah orang yang lebih tua dari kita, yang sepatutnya kita hormati. Takkan kita nak pukul orang tua pula? Atau, orang yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak?

Ataupun kadang-kadang anak-anak kita akan melakukan sesuatu yang menyebabkan kita marah sangat sampaikan kita rasa nak pukul dia, nak rotan dia, nak maki dia. Tapi, perbuatan kita itu akan memberi kesan kepada mental, emosi dan psikologi dia di masa hadapan. Ditakuti ianya akan menyebabkan pembesarannya boleh terganggu, dia menjadi orang yang penakut, tak mesra dengan kita lagi, dan sebagainya.

Ada keadaan yang kita rasa kita boleh ambil tindakan kerana kita kuat, kita berkuasa dan sebagainya. Tapi apabila kita menahan kemarahan itu sampaikan tidak mengambil tindakan, itu adalah salah satu asbab (punca) untuk dimasukkan ke dalam syurga. Oleh kerana tahan marah ini susah, maka balasannya amat besar.

Ketahuilah bahawa perasaan marah itu adalah dari syaitan. Kerana itu muka kita akan merah kalau kita marah kerana syaitan itu dijadikan dari api yang merah. Syaitan akan membisikkan perkara-perkara yang menyebabkan kita benci kepada orang lain dan sampai memaki orang itu, atau malah lebih teruk lagi.

Memang kita sebagai manusia, sekali sekala akan jadi marah. Ini biasa sahaja terjadi kerana kita memang manusia biasa. Sebab itu ayat ini tidak melarang kita dari jadi marah kerana perasaan itu memang susah ditolak. Tidak marah memang susah, tapi yang dianjurkan adalah memaafkan selepas marah itu.

Lihatlah yang disuruh dalam ayat ini adalah يَغْفِرُونَ – memaafkan, biarkan kemarahan itu berlalu, jangan ambil tindakan kerana perasaan marah itu. Jangan layan perasaan itu. Jangan sampai ianya menyebabkan kita ambil tindakan yang tidak sepatutnya. Ini memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Tapi balasannya adalah besar sekali iaitu syurga.

Jangan kita rasa yang apabila kita menunjukkan kemarahan kita, ianya menunjukkan kekuatan kita. Ramai yang marah kerana hendak menunjukkan kuatnya dia, egonya dia, dia boleh buat apa-apa dia hendak. Tapi, Nabi Muhammad ﷺ telah memberitahu kita bahawa kekuatan adalah dalam menahan kemarahan kita. Orang yang boleh tahan marah itulah yang kuat sebenarnya.

Berikut beberapa hadits tentang keutamaan menahan marah:

  1. Rasulullah ﷺ bersabda : “Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam gusti tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.” (HR. Bukhari dan Muslim)
  2. Dari Ibnu Mas’ud ra Rasulullah ﷺ bersabda: “Siapa yang dikatakan paling kuat diantara kalian? Sahabat menjawab: iaitu diantara kami yang paling kuat gustinya. Baginda bersabda: “Bukan begitu, tetapi dia adalah yang paling kuat mengendalikan nafsunya ketika marah.” (HR. Muslim)
  3. Al Imam Ahmad meriwayatkan hadits dari Anas Al Juba’i, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu menyalurkannya, maka Allah menyerunya pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk disuruh memilih bidadari mana yang mereka mahu.” (HR. Ahmad dengan sanad hasan)
  4. Al Imam Ahmad juga meriwayatkan hadits dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda : “Tidaklah hamba meneguk tegukan yang lebih utama di sisi Allah SWT, dari meneguk kemarahan kerana mengharap wajah Allah SWT.” (Hadis shahih riwayat Ahmad)
  5. Al Imam Abu Dawud rahimahullah mengeluarkan hadits secara makna dari sahabat Nabi, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah seorang hamba menahan kemarahan kerana Allah SWT kecuali Allah SWT akan memenuhi baginya keamanan dan keimanan.” (HR. Abu Dawud dengan sanad Hasan)
  6. “Dari Abu Hurairah ra, bahawa seseorang berkata kepada Nabi ﷺ: berwasiatlah kepadaku. Baginda bersabda: “jangan menjadi seorang pemarah”. Kemudian diulang-ulang beberapa kali. Dan baginda bersabda: “janganlah menjadi orang pemarah” (HR. Bukhari) .

Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun ada pernah marah juga. Kerana Nabi Muhammad ﷺ juga manusia. Tapi kalau kita lihat kepada hadis, kita tahu yang baginda hanya marah apabila agama dilanggar. Kalau ada yang bersalah kepada dirinya, baginda tidak marah dan sentiasa memaafkan.

Maka itulah cara marah yang betul. Iaitu kalau agama kita dilanggar atau dipermainkan. Kerana kalau tiada marah langsung, itu bukan manusia, tapi itu keldai.

Oleh itu, dalam ayat ini, sudah ada 3 lagi syarat untuk memasuki syurga. Ringkasnya:

3. Sentiasa berusaha menjauhi dosa besar.

4. Menjauhi terutamanya dosa-dosa besar yang melibatkan hawa nafsu.

5. Bila terbit kemarahan kepada orang lain, mereka mudah maafkan.


 

Ayat 38: Ini ada lagi syarat.

وَالَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِم وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَمرُهُم شورىٰ بَينَهُم وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

Sahih International

And those who have responded to their lord and established prayer and whose affair is [determined by] consultation among themselves, and from what We have provided them, they spend.

Malay

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

 

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ

Dan juga orang-orang yang menyambut perintah Tuhannya

Apabila Allah menyuruh makhluk melakukan sesuatu, makhluk hendaklah menyambut dengan segera. Kena jalankan perintah Allah tanpa lengah dan tanpa soal lagi. Terus buat sahaja tanpa banyak soal. Mereka akan lakukan walaupun ia berat bagi mereka. Kalau tanya pun, tanya: “nak buat macam mana?” Bukannya ditanya: “kenapa kena buat?” Ada beza antara dua pertanyaan itu, bukan?

Orang yang taat akan terus sahut dan buat. Itulah makna taat kepada Allah. Orang yang sebegini akan dimasukkan ke dalam syurga. Orang yang asyik mempersoalkan, itu sudah ada tanda ahli neraka pada dirinya.

Oleh itu, makna ‘menyahut seruan Tuhan’ adalah melaksanakan hukum sama ada dalam perkara akidah dan fardhu ain. Mereka boleh terima syariat yang diberikan oleh Allah dengan hati yang lapang. Pada mereka, kalau Allah sudah suruh, maka buatlah sahaja.

Ini penting kerana ada juga manusia yang berat sahaja hati mereka untuk terima keputusan Allah. Mereka ada juga yang mempersoalkan sesuatu hukum itu. Konon, ada yang nak tahu dulu ‘hikmah’ hukum itu, baru nak buat. Sepatutnya kenalah buat dulu, barulah tahu hikmahnya kemudian.

 

وَأَقَامُوا الصَّلَوٰةَ

serta mendirikan sembahyang;

Ada banyak sekali ibadah dan yang paling penting dan utama sekali adalah solat.

‘Mendirikan solat’ bermaksud mengerjakan solat dengan sempurna. Antaranya, menyempurnakan syarat-syarat sebelum solat. Contohnya, kena ada wuduk, solat apabila waktu sudah masuk, menutup aurat dan sebagainya.

Dan hendaklah seorang mukmin melakukan solat itu dengan sempurna, dengan memenuhi segala rukunnya dan perkara-perkara yang wajib. Antaranya, kepada lelaki, wajib untuk mendirikan solat berjemaah di masjid, kecuali kalau ada perkara yang menghalang.

Ia juga bermaksud tetap melakukan solat itu setiap waktu. Bukannya buat sekali sekala sahaja, buat waktu senang sahaja. Kerana Allah tidaklah beri kita senang sahaja, ada masa kita akan ada dalam kesusahan dan kepayahan. Keimanan seseorang boleh dilihat jikalau dia melakukan solat di waktu senang atau di waktu susah juga.

Solat itu juga perlu dilakukan dalam keadaan khusyuk. Juga mengikut cara yang diajar oleh Nabi ﷺ. Bukannya ikut selera sendiri. Juga bukan ikut ajaran manusia yang tidak menepati cara Nabi ﷺ. Ini memerlukan pengajian yang lebih mendalam lagi. Kena belajar cara solat seperti cara Nabi ﷺ. Ini ramai yang tak tahu.

Oleh kerana itu, majoriti masyarakat Islam kita solat dengan cara yang salah. Kerana mereka tak belajar. Mereka sangka apa yang mereka pelajari di sekolah rendah dulu itu sudah cukup, padahal tidak. Maka, banyaklah yang solat tidak sempurna. Sudahlah tidak sempurna, ada pula perkara yang mereka tambah dalam solat itu, sebagai contoh, mereka raup muka mereka selepas solat.

Lihatlah bagaimana Solat terus disebut selepas Allah menyebut ‘menyahut arahanNya’. Kerana ini adalah amalan yang paling penting sekali. Dan solat dilakukan selepas mendengar azan menandakan telah masuk waktu. Apabila azan dikumandangkan, itulah tanda Allah mengarahkan kita untuk mendirikan solat. Maka kita menyahut arahan Allah itu dengan terus mendirikan solat.

Tambahan lagi, dalam solat, kita perlu mengambil wuduk. Dan bukankah wuduk itu dengan air? Dan air itu dapat memadamkan api. Bukankah kita telah sebutkan tadi bahawa marah itu adalah dari api syaitan? Api kemarahan dapat dipadamkan dengan air wuduk. Oleh itu, kita boleh lihat kaitan satu ayat dengan ayat yang lain.

 

وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ

dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;

Mereka membuat keputusan sesama mereka dengan mesyuarat sesama mereka. Mereka yang terlibat, dipanggil untuk mesyuarat bersama. Tidaklah kena panggil mereka yang tidak kena mengena. Yang tidak kena mengena tidak dapat memberi keputusan yang tepat kerana mereka tidak terlibat.

Selalu Allah sebut zakat selepas solat tapi kali ini Allah terus sebut mesyuarat pula. Mungkin disusun begini untuk mengambil peluang adakan mesyuarat di masjid selepas solat lima waktu.

Kalimah شُورَىٰ bermaksud mesyuarah (jamak: mesyuarat) itu dilakukan beramai-ramai. Bertukar-tukar pendapat dan fakta dan supaya akhirnya dapat sampai kepada keputusan yang sebaik mungkin. Supaya keputusan itu dipersetujui oleh semua orang yang terlibat. Keputusan boleh dibuat setelah mengambil kira semua perkara.

Apabila syura telah dijalankan dan dipersetujui, maka hendaklah semua memegang keputusan itu. Tak bolehlah kata mereka tidak bertanggungjawab, tak mahu lakukan tugas mereka, merajuk dan sebagainya. Ini adalah kerana mereka telah dipanggil untuk berbincang dan memberikan pendapat mereka.

Selepas sahaja disebut tentang solat, terus disebut tentang syura. Ini adalah kerana cara-cara syura telah disebatikan dalam ibadah Solat. Dalam solat berjemaah, kita ada imam sebagai ketua. Imam itu akan menjadi ikutan semua orang, tetapi jikalau ada kesalahan yang dilakukan oleh imam itu, menjadi kewajipan jemaah yang di belakang untuk menegur.

Tapi dalam masa yang sama, tidaklah makmum itu meninggalkan jemaah itu walaupun imam itu telah melakukan kesalahan kerana hadis Nabi ada mengatakan yang imam itu dijadikan untuk diikuti dan kita mesti terus duduk dalam barisan saf solat.

Begitu juga dalam mesyuarat. Ada pengerusi mesyuarat dan ada ahli-ahli dalam mesyuarat. Pengerusi akan kawal mesyuarat dan ahli mesyuarat akan beri pandangan. Tapi kalau ada kesalahan di mana-mana semua boleh tegur, tapi dengan cara yang baik. Bukan nak kena jerit-jerit macam dalam parlimen. Kalau makmum nak tegur imam pun, ada cara, bukan? Tidaklah terus keluar dari mesyuarat itu.

Untuk melaksanakan syura juga memerlukan kesabaran yang tinggi. Kerana kena panggil orang yang terlibat untuk datang. Yang dipanggil perlu datang dan ini perlu meluangkan masa dan tenaga untuk datang. Tetapi ianya perlu dilakukan kerana ini akan menolong sesama sendiri kerana kebaikan syura akan kena kepada semua.

Keputusan yang didapati adalah lebih tepat lagi kerana mendapat maklumat dari semua yang terlibat. Kalau syura tidak dilakukan, akan menyebabkan masalah nanti kepada semua pihak. Kerana ada yang tidak puas hati kerana tidak dapat memberi pandangan. Atau mereka tidak tahu apakah keputusan yang telah dibuat, sedangkan dia pun terlibat juga dalam perkara itu.

Oleh itu, jalankan syura dalam semua hal. Sama ada dalam perkara kecil atau besar. Dalam perkara kecil seperti hal-hal keluarga dan dalam hal besar seperti pentadbiran negara, semua memerlukan syura. Kerana apabila kita bergabung akal, kita akan dapat keputusan yang lebih baik.

Kalau kita tidak berbincang dengan mereka yang terlibat dalam sesuatu perkara itu, tentunya mereka akan marah kalau tidak diberitahu lebih awal atau kalau mereka tidak ditanya dan diajak berbincang. Katakanlah kita ada hal esok harinya, tapi tidak memberitahu kepada isteri kita. Padahal isteri kita sudah memasak, atau sudah membuat perancangan keluarga. Tentulah dia akan marah kalau tiba-tiba sahaja kita sudah buat perancangan tanpa memberitahunya.

Begitu juga kalau kita ada rakan kongsi dalam syarikat. Takkan dia tidak marah kalau kita buat rancangan dan keputusan tanpa diberitahu atau diajak berbincang dengannya, bukan? Maka hendaklah kita dari mula-mula lagi sudah syura dengan mereka. Jangan bila sudah kena marah, baru nak minta maaf pula.

Kalau kita tidak ajak berbincang, walaupun nampak macam mereka setuju, tapi mereka akan rasa tidak selesa dan ada tidak beres dalam perasaan mereka. Tapi kalau kita ajak mereka berbincang, mereka akan lebih terbuka dan lebih memberi sokongan. Sebagai contoh, selalunya dengan anak-anak, ibubapa akan suruh sahaja mereka buat sesuatu. Memang mereka akan buat kerana mereka kena taat, tapi mungkin ada rasa tidak puas hati mereka.

Bayangkan pula kalau kita ajak mereka berbincang, tanya pendapat mereka, tentunya mereka akan lebih suka. Mereka akan rasa pendapat mereka diambil kira, suara mereka didengar. Dan kalau memerlukan kerjasama dari mereka, mereka akan lebih suka untuk membantu dan ringan tulang mereka.

Maka, janganlah kita jadi diktator di mana-mana pun. Termasuk dalam keluarga kita pun. Kalau kita buat keputusan bersama, maka semua yang terlibat akan memberi kerjasama dalam usaha yang perlu dilakukan.

Tapi janganlah kita menghina sesiapa pun dengan memberi mereka peluang untuk bercakap, tapi suara dan pendapat mereka tidak didengar. Sebagai contoh, suara anak-anak walaupun kecil, tetap perlu diambil kira. Jangan kita suruh mereka cakap, tapi apabila mereka beri pandangan mereka, kita buat macam tak dengar sahaja.

Atau kalau komiti masjid contohnya, ada jawatankuasa yang tua dan ada yang muda. Janganlah kita beri peluang yang muda beri pandangan tapi digelakkan sahaja pandangan mereka. Jangan ditongsampahkan cadangan mereka.

Banyak ibubapa mengeluh kerana anak-anak tidak berkomunikasi dengan mereka. Tapi itu salah siapa? Kalau ibubapa yang tidak memulakan dari anak-anak itu kecil lagi untuk berkomunikasi, tentulah anak itu malas untuk mula bercakap dengan mereka.

Tapi, kalau ibubapa itu selalu mengadakan syura dalam keluarga, selalu berbincang dalam setiap perkara yang melibatkan mereka, tentu keluarga itu akan ada banyak peluang untuk berkomunikasi sesama mereka. Bukanlah bila anak sudah besar, baru nak mengeluh yang anak tidak bercakap dengan mereka lagi.

Antara suami isteri pun selalulah syura sesama sendiri. Supaya ada pertolongan sesama sendiri, kasih sayang, tidak ada kekeliruan, tidak ada perpecahan. Tidaklah ada rasa yang salah seorang mengambil kesempatan ke atas pihak yang satu lagi. Walaupun suami adalah ketua keluarga, tidaklah dia suruh sahaja isteri buat semua perkara tanpa berbincang. Kenalah ada syura dengan isteri juga.

Dalam negara ini dan dalam dunia ini, tentulah ada banyak perkumpulan agama Islam yang berjuang untuk menegakkan agama Allah ini. Kadang-kadang walaupun semuanya mempunyai tujuan yang sama, tapi ada juga perbezaan pendapat yang kadang-kadang boleh menyebabkan perbalahan dan tuduh menuduh. Antara semua kumpulan ini juga perlulah ada syura juga, supaya matlamat yang sama boleh dicapai.

Syura penting supaya kita dapat duduk baik dalam masyarakat. Apabila masyarakat baik, hidup harmoni, bolehlah kita menjalankan dakwah kepada orang lain, kepada masyarakat luar, kepada orang kafir. Kalau kita sendiri tidak harmoni, bagaimana nak dakwah kepada orang lain?

Sekarang non-muslim tengok kita bertelagah, mereka pun tak hingin nak masuk Islam. Kerana mungkin ada yang fikir: kalau Islam ini bagus, tentu orang Islam ini bersatu, tapi tengoklah mereka sekarang…..

Mesyuarat perlu dijalankan dari masa ke semasa

Kalau ada manusia yang tidak perlu bermesyuarat, tentulah ianya adalah Nabi Muhammad ﷺ. Kerana baginda dipimpin oleh Allah. Baginda boleh sahaja terus membuat keputusan baginda dan para sahabat akan turut keputusan baginda. Tapi, baginda sendiri disuruh untuk bermesyuarah dengan para sahabat.

Dan banyak contoh dalam hadis bagaimana baginda telah berbincang dengan sahabat dalam banyak perkara. Antaranya, tentang peperangan yang akan dihadapi. Maka kalau Nabi ﷺ pun disuruh bermesyuarat dengan para sahabat, maka siapakah kita kalau kita tidak menjalankan sunnah ini?

Tapi ada perkara yang tidak boleh dibincangkan. Jangan pula kita buat mesyuarat dalam perkara agama yang sudah jelas ada dalil. Atau jelas tidak ada dalam agama. Sebagai contoh, tidak ada amalan bersalam ramai-ramai selepas solat berjemaah. Itu adalah amalan bidaah yang dimulakan oleh Kumpulan sesat al-Arqam.

Tapi ada masjid di negara ini yang kata pihak jawatankuasa masjid telah ‘bermesyuarat’ dan mereka telah setuju yang ianya baik. Ini tidak patut kerana takkan manusia boleh berbincang dan buat keputusan agama untuk membenarkan perkara bidaah dalam agama pula? Siapakah kita sampai boleh buat begitu?

 

وَمِمَّا رَزَقْنٰهُمْ يُنفِقُونَ

dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

Mereka tidak kedekut dengan rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka. Mereka derma, sedekah, keluarkan zakat.

Mereka juga menggunakan rezeki dengan cara yang baik, walaupun untuk diri mereka sendiri. Mereka akan menggunakan wang mereka apabila perlu. Tidak membazir dalam membeli belah. Tidak membazir adalah penting, kerana orang selalu tidak dapat derma atau infak kerana wang mereka sudah habis dan habis itu kerana mereka banyak bazirkan kepada benda yang tidak perlu.

Allah mengajar kita bagaimana membelanjakan harta dalam Furqan: 67

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

Dalam berbelanja, mereka tidak boros dan dalam memberi pun tidak berlebihan sampaikan tidak tinggal untuk anak beranak. Memanglah kita selalu dengar kisah Saidina Abu Bakr memberikan segala hartanya. Tapi itu adalah semasa Perang Tabuk dan situasi waktu itu memang memerlukan pengorbanan yang sebegitu. Dan kita pun bukanlah status Abu Bakr.

Ayat tentang berinfak itu disebut selepas disebut tentang menjalankan syura sesama sendiri. Ini adalah kerana selepas sesuatu keputusan itu dicapai, selalunya memerlukan perbelanjaan yang akan digunakan untuk menjalankan matlamat sesuatu organisasi itu.

Maka, hendaklah mereka yang terlibat ringan-ringankan tangan untuk menghulur keperluan dalam bentuk yang diperlukan. Ada kalanya, sumbangan yang diperlukan bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tapi ada juga dalam bentuk tenaga, masa dan idea.

Sebagai contoh, jikalau kita telah membuka madrasah untuk mengembangkan ajaran agama, tentulah memerlukan sumber kewangan dan tenaga yang besar. Semua yang terlibat perlulah mengembeling tenaga dan mengumpul dana untuk menjayakan matlamat yang hendak dicapai. Allah melihat apa sahaja sumbangan kita untuk kebaikan itu dan akan dibalas.

Seperti yang telah disebut, ada 10 syarat yang disebut dalam gugusan ayat-ayat ini untuk masuk syurga. Dalam ayat ini ada 4 syarat yang ditambah. Secara ringkasnya:

6. Menyahut seruan Tuhan dalam melaksanakan hukum samada akidah dan fardhu ain.

7.  Terutama Solat Fardhu

8. Buat urusan penting sesama manusia dengan Syura. Iaitu urusan yang tidak ada dalil wahyu tentangnya.

9. Infak.

Infak itu tidak semestinya berkenaan rezeki fizikal sahaja, tapi termasuk juga dengan rezeki rohani, iaitu ilmu. Mana-mana ilmu yang Allah berikan, kita sampaikan juga kepada orang lain.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Julai 2019.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment