Tafsir Surah Ali Imran Ayat 189 – 194 (Zikir Menari?)

Ayat 189: Ini adalah ayat jenis i’adah (kembali) kepada tajuk tauhid iaitu kembali kepada kesimpulan surah ini. Inilah perkara yang paling penting, dan kerana itu Al-Qur’an akan selalu kembali kepada topik ini. Memang Al-Qur’an selalu menyebut tentang tauhid maka, oleh sebab itulah kita kena mahir bab tauhid ini.

Oleh itu, tidak ada alasan untuk kita kata tidak tahu, kerana Allah ‎ﷻ telah banyak kali mengulang dan mengingatkan di dalam Al-Qur’an. Kalau kita tidak tahu, ini adalah kerana jahil tidak belajar sahaja dan alasan ini tidak diterima. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan nyawa yang panjang kepada kita. Takkan Al-Qur’an yang 30 juzuk sahaja ini tidak dapat habis belajar?

وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth, and Allāh is over all things competent.

MALAY

Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi,

Alam ini Allah ‎ﷻ yang punya. Oleh kerana itu Dia sahaja yang wajib dipuja dan disembah. Tidak boleh sembah yang lain selain Allah ‎ﷻ. Kenapa hendak sembah dan beribadat kepada selain daripada Allah ‎ﷻ sedangkan mereka tidak mempunyai kekuasaan di langit dan di bumi? Memang tidak patut kalau sembah dan puja yang tidak mempunyai apa-apa.

 

وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Oleh kerana kekuasaan dan kepunyaan alam ini adalah hak-Nya semata-mata, maka Dia boleh membuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Kita tidak boleh persoalkan apa sahaja yang Allah ‎ﷻ lakukan kerana alam ini (termasuk kita juga) adalah milik-Nya. Sebagaimana kita juga, jika kita mempunyai harta, maka kita berhak untuk berbuat apa sahaja dengan harta kita itu, bukan?

Allah ‎ﷻ memuji Diri-Nya dalam ayat ini. Ayat sebelum ini tentang pujian, bukan? Telah diberi contoh bagaimana puak Yahudi suka dipuji. Oleh itu, Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, kalau nak puji, pujilah Allah ‎ﷻ banyak-banyak kerana Dia yang paling layak dipuji.

Ini juga mengingatkan kita tentang hakikah pujian. Cuba fikirkan: Siapalah kita yang suka dipuji? Kita tidak ada apa-apa. Apa sahaja kelebihan yang kita ada, semua datang daripada Allah ‎ﷻ, bukan? Maka kalau kita berharap orang puji kita, maka ada masalah dengan hati kita sebenarnya.


 

Ayat 190: Ini adalah dalil lagi kenapa Dia sahaja layak disembah.

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, in the creation of the heavens and the earth and the alternation of the night and the day are signs for those of understanding –

MALAY

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

 

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi,

Segala apa yang terjadi adalah atas kehendak Allah ‎ﷻ. Alam ini adalah termasuk kehendak Allah ‎ﷻ dan kita boleh lihat betapa hebatnya alam ini. Kalau tidak percaya, boleh cuba-cubalah luangkan masa menonton rancangan dokumentari seperti National Geographic Special atau dokumentari lain seumpama itu.

 

وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

dan pada pertukaran malam dan siang,

Setiap hari kita dapat melihat siang berganti malam dan malam berganti siang. Dengan ada siang kita boleh bekerja; dengan malam kita boleh rehat. Dengan bertukarnya siang malam itu, kita boleh membuat kalendar dan menyusun kehidupan kita juga. Juga terdapat banyak lagi kelebihan pertukaran siang dan malam itu.

Itu semua adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ dan kita tidak boleh membuat apa-apa pun. Kita tidak boleh hendak halang malam atau siang daripada terjadi.

 

لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ

adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal;

Semua itu adalah tanda-tanda yang boleh difahami oleh mereka berfikiran waras. Kita melihat perkara ini setiap hari tetapi mungkin tidak terfikir bahawa itu adalah tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ. Ini kerana kita sudah biasa melihatnya dan fikiran kita tidak jernih serta kurang kesedaran. Jadi kita tidak nampak kehebatan Allah ‎ﷻ dalam perkara yang kita lihat setiap hari.

Yang boleh nampak adalah mereka yang fikiran mereka bebas daripada benda yang remeh temeh. Masalahnya zaman sekarang, pelbagai benda yang kita fikirkan dan kebanyakannya adalah benda yang remeh. Maka otak dan minda kita telah disibukkan dengan perkara yang tidak penting sampaikan dalil di hadapan mata pun kita tidak nampak.

Dalam fikiran kita terlalu banyak benda kosong yang kita isikan sehinggakan benda yang bagus susah hendak masuk. Sebagai contoh, kita selalu sangat menonton filem-filem dan rancangan TV yang entah apa-apa. Seumpama orang sudah biasa dengan makanan “junk”, maka dia tidak dapat lagi hendak menghargai makanan berkhasiat seperti sayuran atau buah-buahan.

Ayat yang lebih panjang tentang perkara ini terdapat dalam Surah Baqarah. Dalam ayat di hadapan kita ini pendek sahaja kerana akal yang bersih akan dapat berfikir panjang. Ini hanya mengingatkan kembali kepada ayat yang kita sudah belajar dalam Surah Baqarah, maka sepatutnya tidak perlu disebut dengan panjang lagi.


 

Ayat 191: Ayat sebelum ini tentang mereka yang berfikiran waras. Maka, siapakah yang berfikiran waras? Apakah ciri-ciri mereka? Apakah yang mereka fikirkan? Mari kita lihat dan kita cuba ikuti mereka.

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who remember Allāh while standing or sitting or [lying] on their sides and give thought to the creation of the heavens and the earth, [saying], “Our Lord, You did not create this aimlessly; exalted are You [above such a thing]; then protect us from the punishment of the Fire.

MALAY

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

 

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring,

Maknanya, mereka ingat kepada Allah ‎ﷻ dalam semua keadaan. Maksud ‘ingat Allah’ adalah dengan menjaga hukum iaitu mereka akan sentiasa ingat untuk menjaga hukum syari’at dalam semua keadaan. Setiap ketaatan yang kita buat, adalah dikira ‘zikir’ kepada Allah . Seperti kalau kita sedang puasa, kita tidak buat apa pun, namun pada waktu itu kita dikira zikir kepada Allah ‎ﷻ kerana kita sedang menunaikan hukum Allah ‎ﷻ. Ini kerana arahan Allah ‎ﷻ pada waktu itu adalah ‘tidak makan’.

Maknanya, bukanlah berzikir itu adalah zikir meratib sahaja. Zikru dalam Al-Qur’an disebut sebagai amalan hati. Yang penting, kita ingat siapa Allah ‎ﷻ dan kita taat kepadanya. Ini penting, kerana ada pihak-pihak yang salah faham, hanya menghadkan zikir kepada ‘ratiban’.

Mereka menyangka ayat ini adalah dalil bahawa boleh membuat amalan zikir ketika duduk, baring dan berdiri. Sampaikan digunakan ayat ini digunakan sebagai dalil untuk membolehkan zikir menari! Kita pun tidak tahulah dari mana mereka boleh mendapat dalil tafsir yang mengarut sebegini. Sudahlah amalan itu adalah amalan yang bid’ah, mereka menggunakan dalil yang tidak kena mengena langsung.

Begitulah kalau ada puak yang jahil, tidak belajar tafsir, maka mereka akan mengambil sahaja sebarang ayat yang ‘agak-agak’ kena. Mereka tidak ada dalil sebenarnya untuk amalan mereka, tetapi apabila kita desak mereka untuk diberiksn dalil, maka mereka tangkap muat sahaja apa yang ada. Padahal, beratus tahun umat baca ayat ini, tidaklah terfikir untuk zikir sambil menari.

Oleh itu, tinggalkan mereka dan jangan buang masa lagi dengan mereka. Kalau ada kesempatan, ajak mereka belajar agama dengan benar. Masalahnya, mereka itu telah disibukkan oleh syaitan dengan amalan-amalan salah, sampaikan tidak ada masa hendak belajar. Jadi, mereka terus melakukan amalan salah tanpa ilmu. Mereka sangka mereka ada banyak ilmu, padahal, mereka itu mendapat ilmu khayalan sahaja.

Makna lafaz ‘Zikr’ adalah ‘ingat’, dan ingat itu adalah perkara yang kita sudah tahu. Bukan benda baru yang diperkenalkan kepada kita tetapi benda yang kita memang sudah tahu. Sebab itu kita selalu melakukan tazkirah, iaitu mengingatkan perkara yang kita sudah tahu pun. Oleh itu, janganlah bosan kalau kita diberitahu perkara yang sama berulang-ulang kerana itu adalah untuk mengingatkan kita dengan perkara yang kita memang sudah tahu. Ini kerana kita manusia adalah jenis pelupa, maka kita kena diingatkan selalu.

Amalan zikir paling baik dilakukan adalah cara yang Nabi ﷺ ajar. Yang pertama, salat itu pun adalah zikir. Begitu juga dengan membaca Al-Qur’an. Kedua-dua zikir inilah yang paling baik. Selain daripada itu, kita boleh mengamalkan zikir masnun, iaitu lafaz-lafaz zikir dan doa yang Nabi Muhammad ﷺ sendiri sudah ajar kita. Boleh dikatakan ada lafaz-lafaz doa untuk setiap keadaan. Ini akan mendekatkan diri kita dengan Allah ﷺ. Ini kerana dalam setiap keadaan, ada doa yang tertentu dan zikir-zikir itu mempunyai elemen tauhid maka ia selalu mengingatkan kita kepada tauhid.

Jangan amalkan zikir yang tidak datang daripada Nabi ﷺ atau dengan cara yang bukan ajaran daripada Nabi ﷺ. Pertamanya, janganlah cuba untuk menyertai pergerakan tarekat langsung. Kalau ada saudara mara kita yang baru hendak belajar pun, larang mereka dan tegah mereka kerana kalau sudah masuk dalam tarekat, sudah pasti akan ada amalan zikir yang bukan daripada ajaran Nabi ﷺ. Kalau sudah mula belajar, akan terbelenggu dengan amalan-amalan yang salah.

 

وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ

dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi

Mereka juga sentiasa berfikir menggunakan panduan daripada kitab Allah ‎ﷻ, dengan melihat kepada kejadian langit dan bumi. Pemikiran ini pula mestilah berpandukan daripada Al-Qur’an, kerana kalau kita cari sendiri, jarang seseorang akan capai kepada Allah ‎ﷻ. Namun apabila kita diberitahu yang Allah ‎ﷻlah yang menjadikan alam ini, maka kita terpimpin membawa kepada terfikir kepada Allah ‎ﷻ.

Apabila melihat alam, kita teringat bahawa Allah ‎ﷻlah yang menjadikannya. Apa-apa terjadi kita akan teringat ayat-ayat Al-Qur’an kerana akan ada sahaja perkara yang berkenaan dengan Al-Qur’an. Lihat pada gunung, ada ayat tentang gunung. Lihat pada langit, ada ayat tentang langit; hujan; orang sedang marah; dan macam-macam lagi. Al-Qur’an telah sentuh semua perkara.

 

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, 

Apabila kita sudah memikirkan tentang alam dan kaitannya dengan Allah ‎ﷻ, maka kita akan berkata seperti dalam ayat ini. Kita sedar yang tidaklah Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini sia-sia kerana langit dan bumi adalah bekas atau tempat untuk menguji kita semua.

Maknanya, ada tujuan alam ini dijadikan. Allah ‎ﷻ yang mempunyai sifat yang Maha Mulia tidak akan membuat sesuatu yang sia-sia. Kita akan dapat pemahaman ini apabila kita telah kenal Allah ‎ﷻ daripada apa yang kita belajar dalam Al-Qur’an.

Lihatlah bagaimana Islam mengimbangkan antara ‘zikir’ dan ‘fikir’. Tidaklah kita disuruh terlalu banyak berzikir sampai menjadi seperti golongan tarekat. Tidaklah juga disuruh hanya berfikir sahaja tanpa ada zikir seperti golongan intelektual yang tidak mempunyai roh agama. Itulah antara maksud Islam itu adalah ‘umat pertengahan’. Maknanya, tidaklah kita disuruh menolak terus daripada menggunakan akal. Memang Al-Qur’an sentiasa menyebut gunakan akal yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

 

سُبْحَٰنَكَ

Maha Suci Engkau,

Orang itu membenarkan yang Allah ‎ﷻ suci daripada segala cacat cela dan suci daripada memerlukan kepada perantara dalam permohonan doa. Maknanya, dia menolak fahaman syirik. Dia menolak kata-kata manusia yang mengarah kepada syirik. Dia belajar apakah tauhid dan apakah syirik supaya dia tidak terjerumus melakukan perkara syirik.

 

فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

maka peliharalah kami daripada azab neraka.

Akhir sekali dia akan meminta supaya dijauhkan daripada neraka. Ini kerana apabila sudah belajar dan tahu apakah sifat neraka itu, tidak ada sesiapa yang mahu untuk masuk neraka. Langsung tidak mahu dengar, lihat atau dengar bunyi neraka pun. Dia berharap betul-betul dengan Allah ‎ﷻ kerana dia tahu yang Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh menyelamatkannya dari neraka.


 

Ayat 192: Sekarang diberitahu kenapa kita tidak mahu masuk ke dalam neraka. Tujuannya adalah untuk memberikan kita rasa takut yang amat sangat kepada neraka supaya kita ubah sikap kita dan berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed whoever You admit to the Fire – You have disgraced him, and for the wrongdoers there are no helpers.

MALAY

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

 

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, 

Sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka adalah dihina. Kalimah أَخْزَيْتَهُ berasal daripada kalimah أخزي yang membawa maksud buka kesalahan seseorang di hadapan orang lain (memalukan orang). Ahli neraka akan terserlah segala kesalahan mereka semasa di dunia dan ini amat memalukan. Walaupun mereka mulia ketika berada di dunia, namun di neraka nanti, mereka akan dihinakan dengan teruk sekali.

 

وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

dan bagi orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

Ayat ini memberitahu kepada kita yang tidak ada syafa’at yang akan membantu mereka yang zalim. Banyak agama salah faham tentang perkara ini. Mereka menyangka tuhan-tuhan selain Allah ‎ﷻ yang mereka sembah itu akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ menolak pemahaman mereka itu dalam terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menekankan tentang perkara penting ini termasuk ayat ini.

Begitu juga, orang Islam pun ada salah faham ini. Ramai yang bergantung dengan sembahan-sembahan kepada ilah-ilah yang lain seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo, wali-wali yang pelbagai, golongan Nabi dan sebagainya. Mereka itu sangka dengan memuja-muja para wali, Nabi dan malaikat, mereka akan diselamatkan di akhirat kelak, tetapi tidak sebenarnya.

Ada pemahaman salah mereka tentang ilah menyebabkan mereka yang cenderung kepada fahaman syirik ini selamba sahaja dengan tanpa rasa bersalah memuja-muja manusia. Mereka sangka ia sebahagian daripada agama tetapi tidak sebenarnya. Mereka sangka itu perkara kecil sahaja, namun ia sudah masuk ke lembah syirik. Mereka sahaja tidak tahu kerana mereka jauh daripada wahyu.


 

Ayat 193: Ini adalah sambungan kata-kata mereka. Ayat ini tentang risalah (kenabian) supaya kita faham tentang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Ingatlah bahawa kita hanya dapat faham agama melalui Nabi ﷺ dan ajaran yang disampaikan olehnya.

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed we have heard a caller [i.e., Prophet Muḥammad ()] calling to faith, [saying], ‘Believe in your Lord,’ and we have believed. Our Lord, so forgive us our sins and remove from us our misdeeds and cause us to die among the righteous.

MALAY

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

 

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru yang menyeru kepada iman, 

Mereka mengaku yang telah sampai penyeru tauhid kepada mereka. Penyeru tauhid itu adalah Nabi ﷺ dan para pengikut baginda. Kalimah مُنَادِيًا bermaksud seseorang yang menyeru dari jauh. Memang Nabi Muhammad ﷺ itu jauh daripada kita kerana baginda bukan lagi ada bersama-sama kita.

Namun begitu, kita masih mendengar seruan Nabi ﷺ kerana disampaikan oleh penyeru tauhid yang meneruskan dakwah baginda. Maka, kena dengarlah orang-orang yang ajar tentang tauhid kepada kita.

 

أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ

katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’,

Inilah apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ dan penyeru tauhid itu – mengajak kepada beriman dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah ringkasan dakwah mereka. Tentunya banyak lagi seruan dan ajaran daripada mereka, tetapi diringkaskan keseluruhan ajakan itu terletak dalam beriman kepada Allah ‎ﷻ kerana inilah ajaran yang paling penting dan perlu dikemaskan.

 

فَـَٔامَنَّا

maka kami pun beriman. 

Mereka mengaku telah beriman dan mengikuti seruan. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Apabila seruan tauhid telah sampai kepada kita hendaklah kita beriman kepadanya. Bukannya mementang dan hendak berhujah menegakkan fahaman yang salah (contoh hujah: “Ini bukan syirik… ini penghormatan sahaja”… “Kami tak sembah wali dalam kubur itu, kami nak jadikan dia sebagai wasilah sahaja”, “Walaupun wali itu sudah mati, tapi dia masih dengar lagi seruan kita….”).

 

رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami,

Walaupun mereka telah mengaku beriman, tetapi mereka masih lagi memohon keampunan kepada Allah ‎ﷻ. Orang yang beriman memang mesti sentiasa risau tentang dosa-dosa mereka dan sentiasa meminta ampun di atas dosa-dosa mereka. Ini kerana kalau namanya manusia, tentulah ada sahaja dosanya. Kita amat takut kalau dosa kita harus dicuci dalam neraka pula. Kerana itulah kita mestilah meminta sangat semua dosa kita diampunkan.

 

وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا

dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami,

Dan mereka meminta Allah ‎ﷻ menutup segala kesalahan mereka supaya hilang, jangan ditunjukkan kepada sesiapa pun kerana amat memalukan sekali jikalau segala kesalahan itu dipertontonkan di khalayak ramai di akhirat kelak.

 

وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

Mereka meminta supaya dimatikan mereka bersama orang-orang yang baik iaitu ahli syurga. Ia juga juga bermaksud mereka meminta supaya mereka dimasukkan bersama-sama golongan mereka yang baik dan berbakti itu. Ataupun ia bermaksud supaya mereka diambil nyawa mereka semasa mereka bersama dengan golongan itu.


 

Ayat 194:

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, and grant us what You promised us through Your messengers and do not disgrace us on the Day of Resurrection. Indeed, You do not fail in [Your] promise.”

MALAY

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

 

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu,

Mereka memohon supaya diberikan mereka dengan apa yang dijanjikan oleh-Nya melalui Rasul-rasul-Nya. Ia bermaksud syurga yang dijanjikan. Janji itu adalah, bagi sesiapa yang mengikut ajaran kitab akan diberi syurga manakala bagi sesiapa yang melanggar ajaran kitab pula, akan diberi neraka.

Ini mengajar kita, tidak salah kalau mengharap syurga kerana syurga itu sendiri dijanjikan oleh Allah ‎ﷻ dan disampaikan janji itu oleh Nabi Muhammad ﷺ. Janganlah jadi seperti golongan tarekat yang kononnya buat ibadah bukan kerana syurga. Kononnya mereka ikhlas sehinggakan tidak mengharapkan syurga. Mereka kata, kalau Allah ‎ﷻ masukkan mereka ke dalam neraka pun, mereka redha.

Itu semua adalah kata-kata khayalan sahaja daripada guru mereka yang khayal juga. Mereka itu golongan yang jauh daripada ilmu wahyu dan banyak ajaran dan fahaman mereka adalah rekaan dan khayalan sahaja. Semoga kita dan ahli keluarga kita diselamatkan daripada terjebak dengan golongan ini. Mereka memang berniat baik, namun sayangnya telah tertipu dengan perawakan golongan yang menamakan diri mereka sebagai ‘ahli sufi’.

Jadi kita tidak marah mereka dan benci kepada mereka. Kita kasihan kepada mereka dan kita hendaklah berusaha untuk menarik mereka kembali ke jalan yang benar. Mereka bukannya berniat hendak menentang Allah ‎ﷻ dan wahyu tetapi mereka telah tersilap memilih jalan.

 

وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ

dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; 

Jangan malukan kami. Kami tidak mahu dosa-dosa kami ditunjukkan kepada khalayak ramai. Di manakah hendak diletakkan muka masa itu?

 

إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Allah ‎ﷻ pasti tidak memungkiri janji-Nya. Maka kita berharap supaya Allah ‎ﷻ menetapkan janji-Nya dan dijamin Allah ‎ﷻ akan menepati janji-Nya itu. Maka ini adalah doa yang amat bagus sekali untuk diamalkan oleh kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Mac 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

5 thoughts on “Tafsir Surah Ali Imran Ayat 189 – 194 (Zikir Menari?)”

  1. Assalamualaikum wbt.

    Saya ingin respon pada ayat ke 200. Spesifiknya lagi pada perkataan falah. Dalam al-Quran juga Allah ada sebut “Fauzan” yang bermaksud kejayaan juga. Perbezaan dua perkataan ini adalah fauzan kejayaan output contoh nya kejayaan masuk ke syurga. Jika falah adalah cara menuju kejayaan.

    Bolehkah tuan berikan penjelasan dan rujukan dua perkataan ini?

    Like

    1. Assalamualaikum. Terima kasih kerana bertanya soalan yang bagus. Ada saya jelaskan dalam posting yang lain tentang perbezaan ini. Untuk mudahkan saya jelaskan di sini sahaja.

      Falah adalah jenis kejayaan yang didapati setelah berusaha. Umpamanya seorang petani yang telah mengusahakan tanahnya dan akhirnya dia dapat menuai. Sebab itulah petani juga dikenali sebagai falah.

      Dalam konteks Qur’an, ianya memperkatakan tentang mereka yang mendapat kejayaan di akhirat setelah berusaha melakukan amal kenaikan semasa di dunia.

      Fauzan pula adalah kejayaan yang selamat dari bahaya. Macam selamat dari kena tembak – maka dia telah berjaya dari kena tembak.

      Dalam konteks Qur’an, ianya tentang mereka yang selamat dari neraka dan dapat masuk syurga. Ini adalah kejayaan yang amat besar sekali dan amat bermakna. Kerana kadangkala orang berjaya juga setelah berusaha tapi kalau kejayaan itu adalah lepas dari bahaya, ianya lebih hebat lagi.

      Ini seperti yang diterangkan oleh Nouman Ali Khan dalam syarahan dia.

      Allahu a’lam

      Like

  2. Alhamdulillah….semoga Pengarang dan semua yg berusaha fii hifzillah wa fii ri’aayatillah dan tergolong dlm ” mukhlisin”…..tksh kerana tlh sediakan ilmu tadabbur utk kami…jazaakumullah khairan kathiraa….aamiiiin

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s