Tafsir Surah Ali Imran Ayat 183 – 188 (Wajib menyampaikan wahyu)

Ayat 183: Ini adalah alasan yang diberikan oleh mereka kenapa mereka tidak boleh ikut dan percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menggunakan alasan yang karut.

الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ عَهِدَ إِلَيْنَا أَلَّا نُؤْمِنَ لِرَسُولٍ حَتَّىٰ يَأْتِيَنَا بِقُرْبَانٍ تَأْكُلُهُ النَّارُ قُلْ قَدْ جَاءَكُمْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِي بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَبِالَّذِي قُلْتُمْ فَلِمَ قَتَلْتُمُوهُمْ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They are] those who said, “Indeed, Allāh has taken our promise not to believe any messenger until he brings us an offering which fire [from heaven] will consume.” Say, “There have already come to you messengers before me with clear proofs and [even] that of which you speak. So why did you kill them, if you should be truthful?”

MALAY

Orang-orang (Yahudi itulah) yang berkata: “Sebenarnya Allah telah perintahkan kami, supaya kami jangan beriman kepada seseorang Rasul sehingga dia membawa kepada kami korban yang dimakan api. “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang kamu katakan itu. Jadi kenapa kamu membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam yang kamu dakwakan itu)?

الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ عَهِدَ إِلَيْنَا

Orang-orang yang berkata: “Sebenarnya Allah telah mengadakan perjanjian dengan kami,

Orang-orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang Yahudi. Sekarang mereka menggunakan satu alasan yang kononnya mengapa mereka tidak dapat menerima untuk percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menggunakan hujah kononnya ada perjanjian mereka dengan Allah ‎ﷻ. Apakah perjanjian yang mereka katakan itu?

أَلَّا نُؤْمِنَ لِرَسُولٍ حَتَّىٰ يَأْتِيَنَا بِقُرْبَانٍ تَأْكُلُهُ النَّارُ

supaya kami jangan beriman kepada seseorang Rasul sehingga dia membawa kepada kami korban yang dimakan api.

Perjanjian yang mereka katakan itu adalah rekaan mereka sahaja. Kononnya mereka kena lihat korban yang dipersembahkan oleh Nabi dan korban itu dibakar dengan api yang turun dari langit. Kata mereka, itulah tanda yang Nabi itu adalah seorang Nabi yang benar. Kalau yang mengaku Nabi tidak boleh buat itu, bukanlah dia seorang Nabi yang boleh diikuti.

Mereka kata Nabi Muhammad ﷺ tidak buat lagi perkara itu dan kerana itu mereka tidak dapat menerima Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menggunakan kisah Qabil dan Habil. Dalam kisah itu, korban Habil telah diterima oleh Allah ‎ﷻ (dengan disambar api dari langit sebagai tanda ia diterima) tetapi korban Qabil tidak diterima.

Lafaz قُرْبَانٍ datang daripada perkataan قرب yang bermaksud ‘dekat’. Maknanya ‘kurban’ adalah binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ.

قُلْ قَدْ جَاءَكُمْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِي بِٱلْبَيِّنَٰتِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata

Allah ‎ﷻ mengajar Nabi ﷺ bagaimana menjawab hujah yang mereka bawa ini. Beritahu mereka bahawa sudah banyak rasul yang datang sebelum baginda dengan membawa berbagai-bagai mukjizat. Mereka sudah telah membawa bukti dan mukjizat tetapi masih ramai dalam kalangan mereka yang tidak percaya.

وَبِالَّذِي قُلْتُمْ

dan dengan (korban) yang kamu katakan itu.

Yang kamu minta korban disambar api pun sudah ada diberikan kepada kamu. Namun masih juga golongan kamu menolak Rasul itu.

Pada waktu dahulu mukjizat dengan perkara-perkara ajaib amat banyak sekali. Tujuan diberikan mukjizat dengan perkara yang di luar kebiasaan adalah untuk menunjukkan kebenaran Nabi kerana pada waktu itu mukjizat sebegitu yang sesuai. Namun untuk zaman sekarang, mukjizat bukan dalam bentuk yang boleh dilihat dengan mata.

Kita pun perlukan mukjizat juga dan mukjizat yang masih kekal dalam tangan kita dan kita boleh lihat dan baca sentiasa adalah Al-Qur’an ini yang di tangan kita. Mukjizat yang hebat-hebat dahulu tidak boleh kita lihat pun sekarang, bukan? Namun Al-Qur’an ini sentiasa kita boleh pegang dan lihat, sampai ke hari Kiamat.

فَلِمَ قَتَلْتُمُوهُمْ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

Jadi kenapa kamu membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar?

Kalau kamu benar-benar mahu beriman, kenapa bunuh juga para Nabi dan Rasul itu? Ini menunjukkan bahawa apa yang mereka katakan itu adalah tidak ikhlas. Mereka cakap itu sebagai alasan untuk menolak sahaja. Ini kerana mereka memang kaum yang amat degil.

Kalaulah Nabi Muhammad ﷺ tunjuk mukjizat disambar api pun, mereka tidak akan beriman juga. Mereka akan memberikan alasan lain pula. Allah ‎ﷻ sudah tahu apa yang ada dalam hati mereka dan apa yang mereka akan buat.


Ayat 184: Ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ayat sebelum ini adalah mengenai hujah puak Bani Israel kenapa kononnya mereka tidak boleh beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Sekarang Allah ‎ﷻ memujuk baginda supaya jangan bersedih dengan hal itu. Memang ini adalah perkara biasa. Para Nabi yang sebelum baginda pun telah melalui perkara yang sama.

فَإِن كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ جَاءُوا بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَالزُّبُرِ وَٱلْكِتَٰبِ الْمُنِيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then if they deny you, [O Muḥammad] – so were messengers denied before you, who brought clear proofs and written ordinances and the enlightening Scripture.1

  • The unaltered, original Torah and Gospel, which were revealed by Allāh.

MALAY

Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang jelas.

فَإِن كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ

Oleh itu, jika mereka mendustakanmu, sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga;

Allah ‎ﷻ memujuk dan menasihati Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan berdukacita dengan penolakan daripada mereka. Memang sekarang Nabi Muhammad ﷺ dikatakan berdusta, tetapi ini bukanlah benda yang baru. Para Nabi semenjak dari dahulu lagi zaman berzaman telah melalui perkara yang sama.

Kenapa Allah ‎ﷻ banyak menceritakan kisah penolakan kaum terdahulu? Kepentingan menceritakan perkara ini kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat adalah bertujuan supaya sejuk sedikit hati mereka dan supaya mereka tahu orang lain sebelum mereka pun telah melaluinya juga. Kalau kita tahu orang lain pun melalui perkara yang sama juga, memang kita akan ada rasa lega sedikit sebenarnya.

جَاءُوا بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَالزُّبُرِ

mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab

Nabi dan Rasul-rasul yang sebelum baginda pun sudah membawa pelbagai tanda dan mukjizat untuk ditunjukkan kepada umat mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga ada membawakan kitab-kitab kecil berupa wahyu daripada Allah ‎ﷻ.

وَٱلْكِتَٰبِ الْمُنِيرِ

serta Kitab yang terang jelas.

Bukan sahaja kitab kecil, tetapi kitab-kitab besar yang mengandungi syari’at juga diberikan kepada umat-umat mereka. Sifat kitab-kitab itu adalah mencerahkan yang di sekelilingnya. Membawa keluar manusia daripada kegelapan syirik kepada nur tauhid.

Kalimah ‘al-munir’ datang daripada lafaz nur (cahaya).


Ayat 185: Ayat tentang jihad. Semua orang akan mati, maka jangan takut melakukan jihad dan mati atas jalan agama.

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَٰعُ الْغُرُورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Every soul will taste death, and you will only be given your [full] compensation on the Day of Resurrection. So he who is drawn away from the Fire and admitted to Paradise has attained [his desire]. And what is the life of this world except the enjoyment of delusion.

MALAY

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati,

Setiap yang pernah bernyawa pasti akan mengecapi rasa mati. Yang menarik dalam ayat ini, tidak ada lafaz ‘akan mengecapi kematian’ kerana lafaz ذَائِقَةُ adalah dalam bentuk fa’il – pembuat. Maknanya ia lebih kekal, ia pasti akan berlaku.

Oleh kerana semua kita akan mati, maka semasa hiduplah kena buat keputusan dan beramal sebagai bekalan untuk akhirat. Ambillah peluang yang ada semasa hidup ini untuk beramal. Jangan buang masa sahaja. Antara perkara yang penting adalah belajar agama, luangkan masa untuk belajar di kuliah-kuliah yang banyak.

Kita bertuah kerana dalam negara kita ini, sangat banyak kelas pengajian yang diadakan di seluruh negara. Kebanyakannya percuma sahaja. Lebih-lebih lagi kalau pengajian itu adalah pengajian sunnah, ia pasti percuma. Pastikan anda mencari kelas pengajian yang berteraskan Al-Qur’an dan Sunnah. Itu yang lebih selamat.

وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ

dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. 

Segala amal perbuatan kita, sama ada baik atau buruk, akan dibalas dengan sepenuhnya di akhirat kelak, bukan di dunia. Ini kerana dunia adalah tempat ujian, bukan tempat pembalasan.

Walaupun begitu, ada juga yang Allah ‎ﷻ sudah memberikan sedikit balasan  semasa di dunia lagi, seperti rezeki yang bertambah, dapat ketenangan hati, dapat kemenangan dalam perang dan banyak lagi. Namun itu semua sebenarnya adalah sedikit sahaja kalau dibandingkan dengan pembalasan di akhirat nanti.

Ini kerana Allah‎ ﷻ akan balas dengan sepenuhnya di akhirat nanti. Jadi, kalau kita sudah banyak beramal, sudah berusaha menjadi mukmin, tetapi kehidupan biasa sahaja, maka, jangan bersedih. Kalau kebaikan tidak dibalas semuanya di dunia, akan dibalas di akhirat kelak dengan penuh nanti.

فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ

Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya.

Lafaz زُحْزِحَ adalah daripada lafaz yang bermaksud ‘jauh’ – maksudnya akan ada yang dijauhkan dari neraka. Ada yang terus tidak berasa neraka dan ada yang masuk neraka terlebih dahulu. Kita tidak mahu langsung masuk neraka kerana kita hendak jauh sangat dari neraka. Memandangnya pun kita tidak mahu. Tidak sanggup mendengar bunyi neraka dan tidak mahu merasa walau sedikit pun bahang api neraka itu.

Lafaz أُدْخِلَ bermaksud akan ‘dimasukkan’ ke dalam syurga. Maknanya Allah ‎ﷻ yang memasukkan kita. Bukan kita boleh dapat jalan masuk sendiri. Seperti yang kita sepatutnya tahu, kita tidak dapat masuk ke dalam syurga dengan hanya amal ibadat kita, tetapi dengan rahmat Allah ‎ﷻ. Oleh itu, kita amat berharap kepada rahmat Allah ‎ﷻ untuk memasukkan kita ke dalam syurga.

Lafaz فَازَ adalah jenis kejayaan yang diselamatkan daripada kegagalan yang besar, kemudian berjaya. Jadi dari segi maksud, ia lagi besar daripada آفلح.

وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَٰعُ الْغُرُورِ

Dan kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan sementara yang memperdayakan.

Dunia adalah kesenangan yang sangat menipu manusia. Syaitan menggunakan nikmat dunia untuk menipu manusia. Maka, terdapat banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang menjelaskan hakikat dunia ini, iaitu ia adalah sementara, menipu, tidak kekal dan sebagainya.

Lafaz الْغُرُورِ bermaksud apabila seseorang mengambil kesempatan ke atas orang lain semasa orang itu sedang lalai. Begitulah sifat dunia. Kita ini semuanya tahu yang kita akan meninggalkan dunia ini juga akhirnya, bukannya tidak tahu, tetapi kita selalu lalai kerana sudah terpesona dengan dunia. Ini kerana dunia ada di depan mata kita dan akhirat itu langsung tidak dapat dilihat dengan mata ini.


Ayat 186: Ayat ini tentang infak. Sebelum mati, akan kena uji.

لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلْكِتَٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You will surely be tested in your possessions and in yourselves. And you will surely hear from those who were given the Scripture before you and from those who associate others with Allāh much abuse. But if you are patient and fear Allāh – indeed, that is of the matters [worthy] of resolve.

MALAY

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).

لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. 

Bila sudah buat keputusan untuk amal agama seperti yang diajar oleh Nabi, pasti akan diuji dengan kekurangan harta benda – أَمْوَالِ. Lafaz لَتُبْلَوُنَّ bermaksud ujian dalam isim mubalaghah. Maknanya akan sentiasa diuji dan diuji dengan kuat.

Kita juga akan diuji pada kekurangan pada tubuh badan أَنفُسِ. Sama ada sakit, susah, mati dan sebagainya. Juga kita akan diuji dengan harta benda. Kadangkala untuk dakwah agak susah kerana ia melibatkan kos yang banyak. Dan kalau kita tegur orang yang kita ada urusan ekonomi dengan dia, mungkin kita disusahkan kerana hal itu.

Bagi mereka yang mengajar pula, takut untuk sebutkan kebenaran kerana takut nanti sudah tidak dijemput untuk mengajar lagi. Bila tidak dijemput, satu sumber pendapatan sudah terganggu, bukan? Maka kerana itu ramai yang senyapkan diri dan tidak tegur kesalahan masyarakat di depan mata.

وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلْكِتَٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا

Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati.

Ini adalah tasliah (ayat pujukan) kepada orang mukmin. Ahli Kitab yang dimaksudkan tentunya dari golongan Yahudi dan Nasara. Kamu akan dengar dengan banyak kerana lafaz لَتَسْمَعُنَّ adalah dalam isim mubalaghah.

Musyrikin yang tidak ada kitab pun akan kata kepada umat Islam dengan perkataan-perkataan yang akan menyakitkan hati. Banyak sungguh tuduhan dan tohmahan dari mereka dan ianya tidak akan putus.

Tapi Allah menggunakan lafaz أَذًى bermaksud kata-kata itu tidak mencederakan kita tapi ia boleh menyakitkan hati kita. Sekarang pun ada lagi. Tambahan lagi dalam dunia yang mempunyai media massa di mana-mana, maka amat senang sekali untuk mereka menyampaikan tohmahan mereka. Kalau telinga jenis nipis, memang tidak akan tahan dikeronyok oleh golongan yang jahil (tapi pedas mulutnya).

وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat 

Allah ajar kita supaya jangan layan mereka dan berikan perhatian kepada tulisan-tulisan dan video yang mereka buat itu. Tetapi sebaliknya hendaklah kita terus sabar dan terus bertaqwa dan teruskan dakwah dan menegur kesalahan dalam masyarakat.

Orang Islam sekarang memang banyak yang tidak sabar. Ada orang buat kartun sahaja, sudah kecoh satu dunia. Melenting sampai menyebabkan kita sendiri yang jadi malu. Orang kafir macam sudah tahu perangai kita. Maka ada yang mereka sengaja nak tengok kita melompat dan memperkatakan sesuatu yang akan menjentik hati umat Islam. Kemudian mereka duduk tunggu melihat umat Islam satu dunia kepanasan dan mula merepek-repek satu dunia.

Malangnya, yang buat perkara memalukan itu hanya segelintir sahaja, tapi nama Islam secara keseluruhan yang akan terpalit.

Sabar dan Taqwa. Inilah dua prinsip agama yang kita kena pegang sungguh. Tugas kita adalah sabar. Sabar dalam menyempurnakan taat kepada Allah. Dan terus taat menjaga hukum – itulah maksud taqwa. Yang pertama kena jaga hubungan dengan Allah. Dan jangan derhaka kepadaNya.

Dua sifat inilah yang sangat diutamakan dalam agama. Kalau dapat jaga dua perkara ini, seorang mukmin akan berjaya. Dan ia bukan senang. Kita senanglah sebut di sini, tapi belum tentu kita boleh buat lagi.


Ayat 187: Ayat ini adalah teguran kepada golongan Ahli Kitab. Mereka telah sesat dari agama asal mereka. Tapi kalaulah mereka membaca kitab mereka dengan betul, mereka akan berjumpa dengan arahan untuk percaya kepada Nabi akhir zaman.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَٰقَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلْكِتَٰبَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلَا تَكْتُمُونَهُ فَنَبَذُوهُ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ وَاشْتَرَوْا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when Allāh took a covenant from those who were given the Scripture, [saying], “You must make it clear [i.e., explain it] to the people and not conceal it.” But they threw it away behind their backs and exchanged it for a small price. And wretched is that which they purchased.

MALAY

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuangnya ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَٰقَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلْكِتَٰبَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab

Allah beritahu dan ingatkan kita bahawa ada perjanjian antara Allah dan Bani Israil itu. Mereka yang dari Ahli Kitab itu juga sedang membaca Al-Qur’an, maka mereka pun diingatkan balik dengan perjanjian mereka.

لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ

“Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, 

Semasa mereka diberikan dengan Kitab Suci dari Allah itu, sama ada Taurat atau Injil, mereka telah diarahkan untuk menjelaskan kepada manusia isi kandungan kitab itu. Antaranya di dalam Kitab Suci itu ada arahan untuk ikut Nabi akhir zaman, barulah akan selamat dunia akhirat. Maknanya, mereka kena beritahu perkara itu kepada umat manusia.

Janganlah pula kita sangka ayat ini untuk golongan Ahli Kitab sahaja. Ianya juga ditujukan sebagai peringatan kepada kita. Kita orang Islam pun kena menyampai dan mengajar Al-Qur’an kepada orang lain. Tapi secara realitinya, jarang kita tengok ada pengajian Tafsir Al-Qur’an di negara ini. Hanya segelintir sahaja yang belajar tafsir.

Yang banyak hanya membaca sahaja. Ramai yang hari-hari baca Al-Qur’an, tapi tak faham apa yang mereka baca. Padahal, kita kena faham apa yang kita baca, amalkan dan kemudian sebarkan dan ajar orang lain pula. Sekurang-kurangnya kepada anak isteri kita. Tapi kalau kita sendiri tak belajar, bagaimana kita nak ajar? Diri sendiri pun tidak lepas, bagaimana nak ajar kepada orang lain?

وَلَا تَكْتُمُونَهُ

dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. 

Bukan sahaja disuruh sampaikan, tapi ditambah lagi dengan larangan untuk menyembunyikan. Sepatutnya kalau sudah disuruh ‘sampaikan’, bermaksud secara automatik, tentulah tidak sembunyikan, bukan? Tapi Allah tak mahu ada yang keliru, ditambah lagi dengan penekanan supaya jangan ‘sembunyikan’. Maksudnya, ini adalah perkara yang amat penting sampai diberitahu dengan cara begini.

Oleh itu, kita juga diingatkan supaya jangan sembunyi ayat Al-Qur’an dan pengajaran di dalamnya. Malangnya, Ustaz-ustaz kita pun ada buat juga kesalahan ini. Mereka tak ajar ayat-ayat Al-Qur’an dan tafsirnya, tapi mereka akan ajar pendapat manusia yang ada dalam kitab yang berbagai-bagai.

Mereka tak rujuk pun apa yang disampaikan oleh Allah dalam Al-Qur’an. Sama ada mereka sendiri tolak, atau mereka sendiri tidak belajar dan tidak tahu. Ramai yang telah diberitahu bahawa apa yang mereka lakukan itu salah, tapi mereka buat tak endah, maka itu bermaksud mereka ‘tolak’.

Ada juga yang tidak tahu langsung bahawa apa yang mereka lakukan itu salah, kerana mereka sendiri tidak belajar, maka mereka itu ‘jahil’. Seperti yang telah disebut tadi, pengajaran tafsir Al-Qur’an memang jarang ada dari dulu lagi. Malangnya masyarakat kita, orang jahil yang banyak mengajar mereka. Kalau tidak percaya, tanyalah ustaz-ustaz yang mengajar antum semua, adakah ustaz-ustaz antum itu sudah habis belajar tafsir 30 juzuk?

فَنَبَذُوهُ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ

Kemudian mereka membuangnya ke belakang mereka,

Mereka buang ajaran dalam Kitab suci mereka itu. Dalam ayat ini dikatakan mereka ‘buang’. Ini adalah bahasa kiasan, bukannya mereka ambil dan buang kitab-kitab mereka itu. Maksudnya, mereka buat tak endah arahan Allah. Mereka tidak pakai ajaran yang ada dalam kitab mereka itu. Mereka sebaliknya menggunakan kata-kata atau tulisan ulama/pendita/rahib mereka, walaupun ianya berlawanan dengan Taurat atau Injil.

Begitu juga dengan masyarakat kita, termasuk guru agama yang mengajar tanpa mengikut ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka ajar tak pakai ayat Al-Qur’an dan dalil dari nas yang sahih, tapi mereka pakai pendapat manusia, pendapat yang dikeluarkan dalam kitab yang berbagai-bagai.

Kalau sudah pakai pendapat manusia, sudah pakai ajaran dalam kitab sahaja (tanpa rujuk wahyu), akan ada sahaja pendapat yang membolehkan sesuatu perkara. Katakan apa sahaja – kalau nak cari hujah tawasul, akan ada sahaja kitab yang kata boleh; amalan bidaah? Ada sahaja kitab yang mengatakan segala amalan itu adalah ‘Bidaah Hasanah’ dan macam-macam lagi. Maknanya mereka tolak Al-Qur’an dan Sunnah, dan mereka pakai pendapat manusia.

وَاشْتَرَوْا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit.

Dengan menyembunyikan isi-kandung Kitab Suci dan menukarkan dengan yang lain, mereka memang mendapat upah atau habuan keduniaan. Mungkin mereka juga mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan sebagainya. Tapi Allah kata yang itu semua adalah upah yang sedikit. Mereka mahu kehidupan yang senang dan terjamin dengan tidak ajar isi Kitab. Oleh kerana itu mereka tolak kitab ke tepi.

Bagaimana mereka dapat upah itu? Mereka akan ikut sahaja apa kehendak masyarakat. Kalau masyarakat nak fatwa atau hukum yang menyebelahi kehendak mereka, pendita atau rahib itu akan beri fatwa yang membenarkan. Maka, pendita atau rahib yang sebegini akan diberi upah atau habuan dari masyarakat.

Bagaimana pula dengan orang kita? Ustaz-ustaz yang tidak sampaikan ajaran dari Al-Qur’an dan beri pendapat yang berlainan dengan kehendak Allah, seperti yang tertakluk dalam Al-Qur’an, akan dipanggil untuk  mengajar. Apabila mengajar, mereka kenakan upah, disanjung tinggi, diberi penghormatan dan macam-macam lagi dalam masyarakat. Inilah ustaz-ustaz ‘Sampul Putih’. Setelah habis mengajar, diberi sampul putih yang berisi imbuhan duit.

فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ

Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran itu.

Apa sahaja habuan keduniaan yang mereka dapat itu adalah buruk sekali. Tidak berbaloi langsung kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan dapat di akhirat kelak.


Ayat 188: Sebenarnya, golongan Ahli Kitab berbangga dengan kesalahan yang mereka lakukan. Iaitu kesalahan mereka menyembunyikan berita tentang kebenaran Islam dan kedatangan Nabi Muhammad dan lain-lain yang memang ada dalam kitab mereka.

Dan dalam masa yang sama, mereka suka pula dipuji atas benda yang mereka tak buat. Maksudnya, mereka sepatutnya kena sebarkan ilmu kepada manusia, tapi mereka tak buat. Mereka cuma berbangga dengan kedudukan mereka dipandang sebagai orang yang ada ilmu. Sebab itu kalau dikatakan kepada mereka yang mereka itu ahli ilmu, Ahli Kitab, mereka suka benar.

Mereka suka dipanggil ahli ilmu, tapi sebenarnya mereka menyembunyikan ilmu yang patut mereka sebarkan. Oleh itu, kalau kita berbangga orang panggil kita ulama, panggil kita ‘ustaz’, tapi kita tak sebar dan ajarkan ilmu agama kepada manusia, itu adalah perangai orang Yahudi.

لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And never think that those who rejoice in what they have perpetrated and like to be praised for what they did not do – never think them [to be] in safety from the punishment, and for them is a painful punishment.

MALAY

Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا

Jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan,

Apakah perlakuan jahat mereka itu? Amalan jahat mereka itu adalah menyembunyikan isi kitab mereka. Mereka rasa macam ilmu yang mereka ada itu hanya layak kepada bangsa mereka sahaja dan bangsa lain tak layak. Atau, mereka simpan di kalangan agamawan mereka sahaja, tanpa disebarkan kepada masyarakat awam.

وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا

dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan

Perbuatan yang mereka tidak buat itu adalah mengajar kitab ajaran wahyu. Mereka tak ajar, malah mereka sembunyikan dari masyarakat. Mereka suka dipanggil Ahli Kitab sebab mereka rasa mereka dipuji sebagai orang yang mahir tentang kitab. Sedangkan sepatutnya mereka sebarkan kitab itu.

Satu pengajaran yang kita boleh ambil juga dari ayat ini adalah kita sudah tahu yang manusia memang suka dipuji tapi kita kena berhati-hati. Pujian yang berlebihan boleh merosakkan orang. Bayangkan seorang penceramah yang dipuji melambung-lambung. Masalahnya, apabila selalu dipuji, manusia akan rasa macam mereka sudah hebat, sudah tidak buat salah. Dan ini satu perasaan yang bahaya kalau ada pada orang yang berilmu.

Kita yang memuji pun akan rasa macam mereka tak buat salah langsung. Kita terlalu pandang tinggi kepada mereka. Ini juga bahaya. Sepatutnya kita doakan sahaja kerana kebaikan yang mereka lakukan. Iaitu kalau kita lihat seseorang yang hebat, dan kita rasa yang dia telah melakukan sesuatu yang baik, maka kita doakan supaya Allah beri keberkatan kepadanya, dan supaya Allah tetapkan dia berada di atas jalan yang benar.

فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ

jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa,

Jangan kamu sangka mereka akan selamat dari azab. Lafaz مَفَازَةٍ adalah ‘pelepasan’ – lepas dari azab. Kita sudah jelaskan maksud فَازَ sebelum ini. Maknanya puak Yahudi dan mereka yang berperangai seperti yang disebut dalam ayat ini, tidak akan terlepas dari azab.

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

Malah, mereka akan mendapat azab yang teruk yang tidak berkurangan sedikit pun. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Mac 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s