Tafsir Surah Yusuf Ayat 104 – 108 (Syirik kepada Allah)

Ayat 104:

وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ ۚ إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not ask of them for it any payment. It is not except a reminder to the worlds.

(MALAY)

Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka (terhadap seruanmu ini), itu tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.

 

وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ

Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka

Allah ‎ﷻ memberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah meminta upah pun daripada umat baginda, dalam memberitahu kisah ini. Begitu juga Nabi Muhammad ﷺ tidak meminta upah dalam dakwah baginda kepada mereka. Walaupun mungkin ada yang berkata Nabi ﷺ berdakwah kerana hendakkan kuasa, hendakkan duit dan harta, tetapi Allah ‎ﷻ tekankan yang baginda bukannya minta duit daripada mereka. Baginda bukan hendakkan pengaruh juga. Baginda melakukannya kerana mencari redha Allah ‎ﷻ.

Ayat ini juga mengajar kita yang kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar agama ini kerana mengajar agama ini wajib dan belajar agama ini wajib. Kalau yang mengajar agama itu meminta upah untuk mengajar, bagaimana yang miskin boleh memenuhi kewajipannya belajar kalau dia tidak ada duit untuk membayar upah kepada pengajar itu?

 

إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعالَمينَ

ia tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.

Baginda ditugaskan untuk menyampaikan Al-Qur’an ini dengan percuma kerana wahyu ini adalah peringatan kepada manusia. Baginda menjalankan tugas baginda dengan jujur, amanah dan ikhlas.

Habis Ruku’ 11 dari 12 ruku’ surah ini.


 

Ayat 105: Ayat syikayah

وَكَأَيِّن مِن آيَةٍ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ يَمُرّونَ عَلَيها وَهُم عَنها مُعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a sign within the heavens and earth do they pass over while they, therefrom, are turning away.

(MALAY)

Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

 

وَكَأَيِّن مِن آيَةٍ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ

Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi

Allah ‎ﷻ mengutuk  mereka yang tidak mahu menerima kebenaran: entah berapa banyak tanda-tanda di langit dan bumi yang mereka nampak, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja.

 

يَمُرّونَ عَلَيها وَهُم عَنها مُعرِضونَ

yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Banyak sekali tanda-tanda yang ada, namun ramai yang lalu begitu sahaja, tidak beri perhatian pun. Apabila digunakan kalimah عَلَيها (di atasnya), maknanya mereka memang nampak sungguh kebenaran itu tetapi tidak mengendahkannya kerana kalau lalu tepi, mungkin boleh kata tidak nampak, tetapi kalau lalu dari ‘atas’, takkan tidak nampak?

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi Muhammad ﷺ, penolakan puak Yahudi setelah diberitahu dengan kisah benar tentang Nabi Yusuf عليه السلام ini, bukan perkara baru bagi mereka. Memang mereka semenjak dahulu lagi sudah buat perkara yang sama. Mereka bukan tidak pernah lihat tanda-tanda kebenaran itu, mereka lihat tetapi memang hati mereka jenis ‘degil’.

Sekarang mereka lihat lagi kebenaran di hadapan mata mereka, mereka dapat baca dan dengar ayat-ayat Al-Qur’an yang membenarkan apa yang mereka sendiri sudah tahu, tetapi mereka tengok sahaja, tidak mahu faham dan tadabbur.

Mereka tidak mahu mendekati Al-Qur’an. Begitulah ramai dari kalangan manusia yang degil. Kebenaran di hadapan mata pun masih tidak mahu terima lagi. Jangan kata orang Yahudi, umat Islam yang tidak mengendahkan ajaran tafsir Al-Qur’an pun begitulah juga.


 

Ayat 106: Masih lagi syikayah. Ini adalah ayat yang amat penting untuk kita hayati. Bukan semua orang Islam boleh dikira beriman walaupun mereka telah Muslim.

وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And most of them believe not in Allāh except while they associate others with Him.

(MALAY)

Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain).

 

Kebanyakan dari manusia (termasuk yang mengaku Muslim) tidak percaya sepenuhnya dengan Allah ‎ﷻ. Dalam mereka kata mereka percaya kepada Allah ‎ﷻ, mereka juga melakukan syirik. Inilah masalah yang besar kepada orang Islam – kerana mereka tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik itu. Maka orang Islam kena belajar sampai mereka tahu apa itu syirik supaya mereka boleh tinggalkan.

Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah yang kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan, tetapi dalam masa yang sama mereka buat syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Namun apakah syirik yang dimaksudkan dalam surah ini? Ini kerana syirik itu ada banyak jenis dan apakah yang disentuh dalam surah ini? Syirik yang ditekankan dalam ayat ini adalah tentang tidak yakin kepada Allah ‎ﷻ. Tidak bergantung kepada Allah ‎ﷻ dengan sepenuhnya. Begitulah, ramai yang kata percaya dengan Tuhan, namun dalam masa yang sama, mereka berbuat syirik dengan tidak mempercayai sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Mereka campur iman dengan syirik.


 

Ayat 107:

أَفَأَمِنوا أَن تَأتِيَهُم غاشِيَةٌ مِن عَذابِ اللهِ أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they feel secure that there will not come to them an overwhelming [aspect] of the punishment of Allāh or that the Hour will not come upon them suddenly while they do not perceive?

(MALAY)

Apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka, atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

 

أَفَأَمِنوا أَن تَأتِيَهُم غاشِيَةٌ مِن عَذابِ اللهِ

Apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka,

Apakah orang yang syirik itu merasa aman sahaja, berbuat apa sahaja yang mereka hendak lakukan, sedangkan Allah ‎ﷻ boleh kenakan azab pada mereka?

 

أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

Atau tidakkah mereka tahu yang kiamat itu boleh sahaja datang dengan tiba-tiba waktu mereka tidak sedar? Waktu itu sudah terlambat untuk memperbaiki keadaan diri dan betulkan amal kita. Maka janganlah tunggu waktu itu kerana sudah terlambat.


 

Ayat 108: Ayat targhib kepada tauhid. Kalau mereka leka dengan kehidupan mereka dan masih tidak mahu beriman sepenuhnya, maka beritahu ini kepada mereka:

قُل هٰذِهِ سَبيلي أَدعو إِلَى اللهِ ۚ عَلىٰ بَصيرَةٍ أَنا وَمَنِ اتَّبَعَني ۖ وَسُبحانَ اللهِ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “This is my way; I invite to Allāh with insight, I and those who follow me. And exalted is Allāh; and I am not of those who associate others with Him.”

(MALAY)

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

 

قُل هٰذِهِ سَبيلي

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku,

Beritahu sahaja mereka yang degil itu: “Inilah jalan aku”. Kena cakap dengan yakin. Mudah sahaja kata-kata ini. Beritahu kepada mereka bahawa kita ada pendirian, sama ada mereka ikut atau tidak mahu ikut, kita sudah ada pendirian kita yang mantap.

 

أَدعو إِلَى اللهِ

aku mengajak kepada Allah 

Katakanlah yang kita mengajak kepada Allah ‎ﷻ berdasarkan penglihatan yang jelas, bukan dengan mata tertutup. Apabila mereka minta dalil, kita berikan. Mereka minta bukti, kita beri. Ini kerana agama Islam ini bukan agama buta hati, ikut sahaja. Ia adalah agama yang  berdasarkan bukti.

 

عَلىٰ بَصيرَةٍ

dengan hujah yang nyata,

Begitulah agama Islam ini, ia adalah agama yang unik. Kalau agama lain, mereka pun ada ‘iman’ dan kepercayaan mereka juga, tetapi mereka kena percaya sahaja tanpa boleh dijelaskan dengan akal yang waras. Mereka tidak ada بَصيرَةٍ, iaitu mata hati. Mata hati ini bukan mata penglihatan kita. Lihat macam Nabi Ya’qub عليه السلام, walaupun buta matanya, namun mata hatinya tidak buta.

Kita kena percaya agama ini dengan basirah (pandangan mata hati) dengan penuh yakin. Kita percaya dalam hati dan dalam masa yang sama, kita nampak apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu benar-benar terjadi.

Nabi Muhammad ﷺ sudah berjumpa dengan Allah ‎ﷻ, dan baginda pernah lihat malaikat. Jadi apa yang disebut oleh baginda adalah benda yang benar, bukan khayalan.

 

أَنا وَمَنِ اتَّبَعَني

aku dan orang-orang yang mengikutiku

Basirah itu bukan untuk baginda sahaja tetapi kepada mereka yang ikut baginda juga. Ini kerana agama kita ini bukannya ‘blind faith’ sahaja. Agama ini ada segala bukti.

Namun malangnya ramai orang kita yang mengikut sahaja sepanjang masa. Mereka tidak memikirkan tentang dalil-dalil yang ada dan kerana itu iman mereka tidak mantap. Sedangkan Al-Qur’an inilah basirah untuk kita. Setiap kali kita membacanya, ia menguatkan  iman kita.

 

وَسُبحانَ اللهِ

dan Maha Suci Allah, 

Ada muqaddar: “Aku akan sentiasa kata Allah ‎ﷻ yang maha suci.” Ertinya, menyucikan Allah ‎ﷻ, mengagungkan-Nya, dan membesarkan-­Nya daripada semua kemusyrikan, tandingan, persamaan, anak, orang tua, isteri, pembantu atau penasihat. Mahasuci dan Mahatinggi Allah ‎ﷻ daripada memiliki kesemuanya itu dengan ketinggian yang sebesar-besarnya.

 

وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ

dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

Nabi Muhammad ﷺ tidak akan melakukan syirik. Dalam ayat ini, Nabi ﷺ tidak berkata ‘kami’ seperti dalam ayat yang lain. Walaupun tadi ada ayat وَمَنِ اتَّبَعَني (dan yang mengikutku) tetapi baginda tidak sebut tentang iman orang lain kerana akidah adalah perkara dalam hati.

Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh mengiyakan akidah yang ada dalam diri para sahabat dan orang lain kerana akidah ini kena periksa sendiri dan pastikan tidak ada syirik sendiri. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh berkata yang pengikut baginda tidak melakukan syirik kerana baginda tidak tahu apa yang dalam hati pengikut baginda, sahabat baginda.

Begitu juga dengan kita, kita kena belajar apakah tauhid dan syirik seperti yang disampaikan dalam Al-Qur’an, dan pastikan bahawa akidah kita dan akidah Al-Qur’an adalah sama sahaja. Kena sentiasa periksa akidah dan iman kita sama ada selari dengan Al-Qur’an ataupun tidak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s