Tafsir Surah Anbiya’ Ayat 45 – 50 (Qur’an sebagai furqan)

Ayat 45: Ini adalah jawapan apabila manusia marah apabila kita berdakwah.

قُل إِنَّما أُنذِرُكُم بِالوَحيِ ۚ وَلا يَسمَعُ الصُّمُّ الدُّعاءَ إِذا ما يُنذَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “I only warn you by revelation.” But the deaf do not hear the call when they are warned.

(MELAYU)

Katakanlah (hai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanya memberi peringatan kepada kamu sekalian dengan wahyu dan tiadalah orang-orang yang tuli mendengar seruan, apabila mereka diberi peringatan”

 

قُل إِنَّما أُنذِرُكُم بِالوَحيِ

Katakanlah (hai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanya memberi peringatan kepada kamu sekalian dengan wahyu 

Musyrikin Mekah itu amat marah kepada Rasulullah kerana baginda memberi ancaman-ancaman seolah-olah baginda kuat. Allah memberitahu dengan menyuruh Rasulullah memberitahu mereka bahawa walaupun kalimah ancaman itu keluar dari mulut baginda, tetapi ia sebenarnya wahyu dari Allah dimana Allah sendiri yang mengancam mereka dan Allah berhak untuk mengancam mereka kerana Dia Tuhan.

Maka beritahu kepada manusia yang kita hanya sampaikan apa yang Allah suruh sampaikan sahaja. Memang itu sudah tugas kita. Janganlah marah dengan kita yang sampaikan pula.

 

وَلا يَسمَعُ الصُّمُّ الدُّعاءَ إِذا ما يُنذَرونَ

dan tiadalah orang-orang yang tuli mendengar seruan, apabila mereka diberi peringatan”

Tetapi Allah menghina mereka lagi dengan mengatakan mereka itu pekak kerana orang pekak tidak akan dengar apabila mereka diberi ancaman. Ini adalah kerana hati mereka telah ditutup.

Oleh itu jangan hairan kalau ada manusia yang jenis tidak faham-faham apabila kita sampaikan ajaran wahyu kepada mereka.


 

Ayat 46: Ayat takhwif duniawi.

وَلَئِن مَّسَّتهُم نَفحَةٌ مِّن عَذابِ رَبِّكَ لَيَقولُنَّ يٰوَيلَنا إِنّا كُنّا ظٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if [as much as] a whiff of the punishment of your Lord should touch them, they would surely say, “O woe to us! Indeed, we have been wrongdoers.”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya, jika mereka ditimpa sedikit saja dari azab Tuhan-mu, pastilah mereka berkata: “Aduhai, celakalah kami, bahawasanya kami adalah orang yang menganiaya diri sendiri”.

 

وَلَئِن مَّسَّتهُم نَفحَةٌ مِّن عَذابِ رَبِّكَ

Dan sesungguhnya, jika mereka ditimpa sedikit saja dari azab Tuhan-mu, 

Apabila digunakan kalimah لَئِن ini, ia bermaksud yang kebarangkalian ia akan terjadi adalah lemah. Kalaulah mereka ‘disentuh’ dengan sedikit pun dengan azab dari Allah itu. Maknanya mereka memang akan kena. Allah firman: ‘kalaulah’ yang bermaksud mereka memang akan kena. Mereka bukan kena ‘sentuh’ sahaja, tapi mereka memang akan kena azab itu.

Kalimah نَفحَةٌ adalah angin sejuk yang keluar dari bilik kalau di buka pintu bilik itu di mana orang-orang yang di luar itu akan terasa sedikit dari kesejukan itu. Contohnya kalau buka peti ais, akan terasa kesejukan daripada dalam peti ais itu bukan?

Oleh itu bayangkan keadaan mereka sekarang iaitu mereka belum masuk di dalam neraka lagi tetapi bayangkan pintu neraka telah terbuka sedikit dan mereka dirasakan sedikit sahaja dengan haba dari neraka itu. Dan ia bukannya haba yang panas tapi haba yang sejuk sahaja pun. Ianya sejuk kalau dibandingkan dengan panasnya api neraka yang sebenar. Maknanya, ia tidaklah sejuk, tapi sudah amat panas melampau.

Maknanya tak rasa lagi keseluruhan haba dari neraka itu lagi. Sentuh dari cara angin sahaja. Kerana kita boleh disentuh dengan pepejal, air atau angin. Dan yang paling kurang adalah dengan cara angin, bukan? Kiranya mereka dikenakan dengan cara yang paling kurang pun mereka akan rasa azab sangat dah.

 

لَيَقولُنَّ يٰوَيلَنا إِنّا كُنّا ظٰلِمينَ

pastilah mereka berkata: “Aduhai, celakalah kami, bahawasanya kami adalah orang yang menganiaya diri sendiri”.

Mereka akan berkata berterusan, “celakanya kami…. celakanya kami….” ini adalah kerana kalimah ويل adalah kalimah yang bermaksud celaka. Tapi mereka belum masuk lagi pun, baru rasa angin sahaja sudah kata begitu. Kalau sudah masuk lagilah teruk.

Selalunya kalau penjenayah kena tangkap mereka tak mengaku kesalahan mereka. Mereka mulanya akan menidakkan kesilapan mereka. Siap minta peguam lagi untuk cuba lari dari hukuman. Tapi kalau seseorang itu kena seksaan, lama-lama dia sudah tak tahan dan akan mengaku sahaja.

Begitulah apabila ahli neraka sudah kena azab teruk, mereka terus mengaku. Nak minta peguam, pun memang tidak akan ada peguam yang akan bela mereka. Kerana itu mereka terus mengaku walaupun baru dapat rasa angin neraka sahaja – bukan azab yang sebenar lagi pun. Itu pun mereka sudah mengaku diri mereka zalim dah kerana mereka sudah tak tahan kerana itu pun sudah amat teruk sekali. Semoga kita diselamatkan dari neraka.


 

Ayat 47:

وَنَضَعُ المَوٰزينَ القِسطَ لِيَومِ القِيٰمَةِ فَلا تُظلَمُ نَفسٌ شَيئًا ۖ وَإِن كانَ مِثقالَ حَبَّةٍ مِّن خَردَلٍ أَتَينا بِها ۗ وَكَفىٰ بِنا حٰسِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We place the scales of justice for the Day of Resurrection, so no soul will be treated unjustly at all. And if there is [even] the weight of a mustard seed,¹ We will bring it forth. And sufficient are We as accountant.

•i.e., anything as small or insignificant as a mustard seed.

(MELAYU)

Kami akan memasang timbangan yang adil pada hari kiamat, maka tiadalah dianiaya seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan.

 

وَنَضَعُ المَوٰزينَ القِسطَ لِيَومِ القِيٰمَةِ

Kami akan memasang timbangan yang adil pada hari kiamat,

Allah akan mengadakan penimbang amal yang amat adil di akhirat kelak dan tidak ada yang lebih adil dari penimbang itu.

 

فَلا تُظلَمُ نَفسٌ شَيئًا

maka tiadalah dianiaya seseorang barang sedikit pun.

Tidak akan ada sesiapa pun yang akan dizalimi dalam penimbangan amal mereka. Kerana timbangan amal ini amat tepat.

 

وَإِن كانَ مِثقالَ حَبَّةٍ مِّن خَردَلٍ أَتَينا بِها

Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. 

Kalau ada apa-apa amalan, walaupun sekecil biji sawi pun ia akan ditimbang dan akan dibalas dengan secukupnya. Allah boleh balas kerana Allah Maha Tahu apa yang kita lakukan. Bandingkan kalau kita buat kerja lebih masa di pejabat, bos di pejabat tak bagi pun gaji lebih kerana dia tak tahu pun kita kerja lebih masa, bukan?

Begitu juga hukuman akan diberikan atas kesalahan kerana Allah tahu apa yang kita buat. Dalam ayat yang lain, disebut yang kerlingan mata manusia pun Allah tahu dan rekodkan.

 

وَكَفىٰ بِنا حٰسِبينَ

Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan.

Dan cukuplah Allah sebagai penghitung amal-amal kita kerana Allah tahu segala galanya.

Akan tetapi mungkin timbul persoalan: kenapa ada para malaikat yang menulis amal-amal kita dan kenapa ada mahkamah dimana makhluk akan dibicarakan di atas perbuatan mereka sedangkan Allah kata Dia telah tahu? Kerana kalau kita fikirkan, Allah tidak perlu ada penulis amal-amal dan Allah tidak perlu adakan mahkamah pun kerana Allah boleh terus masukkan makhluk ke dalam syurga ataupun neraka.

Allah tidak perlukan semua itu tetapi Allah lakukan semua itu untuk memuaskan hati kita kerana kalau manusia tidak melihat bagaimana proses keadilan itu dijalankan mereka tidak akan puas hati. Kerana keadilan mesti ada dan keadilan perlu dinampakkan.

Maka kalau telah ditunjukkan segala amal perbuatan manusia semasa di dunia dulu, dan mahkamah telah diadakan untuk beri peluang kepada manusia untuk mempertahankan diri, maka barulah nampak keadilan itu. Maka selepas itu tidak ada lagi alasan atau ketidakpuasan hati manusia dan jin. Memang mereka akan sedar yang apa sahaja hukuman atas balasan yang dikenakan kepada mereka adalah adil. Tak boleh nak bantah lagi dan kena terima sahaja.


 

Ayat 48: Ayat 48-50 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia memberi ringkasan pengajaran Kitab terdahulu. Allah memberitahu yang Taurat dan Qur’an berisi pengajaran tentang Tauhid dan Hari Pembalasan.

Ayat ini memberi dalil naqli tafsili.

وَلَقَد آتَينا موسىٰ وَهٰرونَ الفُرقانَ وَضِياءً وَذِكرًا لِّلمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had already given Moses and Aaron the criterion and a light and a reminder¹ for the righteous

•These are three qualities of the Torah.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa dan Harun Kitab Pembeza dan penerangan serta peringatan bagi orang-orang yang bertakwa.

 

وَلَقَد آتَينا موسىٰ وَهٰرونَ الفُرقانَ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa dan Harun Kitab Pembeza

Yang diberikan kepada Bani Israil adalah Kitab Taurat. Sifatnya adalah ‘furqan’. ‘Furqan’ bermaksud pembeza dan pemisah antara haq dan batil dan bunyi an yang digunakan di hujungnya adalah dalam bentuk mubalaghah. Iaitu bersangatan. Maksudnya ia adalah satu alat yang dapat memisahkan dengan jelas sejelas-jelasnya, manakah yang benar dan manakah yang tidak.

Begitu juga umat manusia sekarang yang ada Qur’an. Ia juga bersifat furqan. Telah dijelaskan dengan kemas manakah tauhid dan manakah syirik. Penjelasan telah diberikan dan kalau ada yang tidak tahu, itu adalah kerana mereka tidak meluangkan masa untuk belajar sahaja. Bukan salah sesiapa tapi salah mereka sendiri. Perkara telah jelas tapi mereka yang degil untuk menerimanya. Jadi tidak ada alasan: “maaf saya tidak tahu”.

Kesimpulannya ialah semua Kitab samawi (turun dari langit) di dalamnya terkandung pemisah antara perkara yang hak dan perkara yang batil, jalan hidayah dan jalan sesat, kekeliruan dan kebenaran, halal dan haram. Sebagaimana kitab samawi pun mengandung cahaya penerang bagi hati, hidayah, membangkitkan rasa takut, dan berserah diri kepada Allah.

 

وَضِياءً

dan penerangan

Kitab Taurat juga bersifat terang. Kalimah وَضِياءً bermaksud cahaya dan ini lain daripada nur kerana ia adalah cahaya yang panas. Sedangkan nur adalah cahaya yang lembut dan sejuk. Mungkin digunakan kalimah ضِياءً ini sebagai isyarat bahawa syariat yang diberikan kepada Bani Israil itu lebih susah dan lebih berat kalau dibandingkan dengan syariat yang diberikan kepada kita.

Memang banyak syariat-syariat mereka yang lebih berat dari kita. Sebagai contoh, hari khas untuk mereka adalah hari Sabtu dan mereka langsung tidak boleh bekerja pada hari itu. Tetapi hari khas untuk kita adalah hari Jumaat tapi kita masih boleh bekerja pada hari itu, cuma berhenti sewaktu Solat Jumaat sahaja.

Dan kalimah ini boleh juga bermaksud cahaya yang terang benderang yang sampai boleh menunjukkan dan menjelaskan mana yang tauhid dan mana yang syirik. Kerana kita perlukan cahaya untuk melihat. Mata fizikal memerlukan cahaya dan mata hati juga memerlukan cahaya wahyu untuk melihat kebenaran. Asalkan mahu belajar untuk memahaminya.

 

وَذِكرًا لِّلمُتَّقينَ

serta peringatan bagi orang-orang yang bertakwa.

Dan mereka diberikan dengan peringatan dan ini kita kena bezakan dengan syariat semata-mata. Wahyu bukan hanya hukum syariat semata-mata. Mungkin manusia ramai yang merasakan yang syari’at dari Allah ini adalah sebagai hukum untuk melakukan sesuatu dan larangan untuk melakukan sesuatu sahaja. (The do’s and don’ts). Tetapi Allah mengatakan yang ianya adalah ‘peringatan’. Kalau ianya peringatan, maka ianya kena selalu diingatkan.

Maksudnya wahyu itu kena selalu dibaca kerana kalau ianya hanya undang-undang ataupun hukum sahaja, maka kita hanya perlu baca sekali dan kita sudah tahu. Tetapi bila ianya peringatan, maka kena selalu dibaca.  Bayangkan kalau kita ada aplikasi yang digunakan untuk mengingatkan kita waktu solat maka bukankah aplikasi itu akan sentiasa mengingatkan kita berkali-kali dan bukanlah ia memberitahu kita sekali sahaja?

Maka kerana itu sesiapa yang sentiasa membaca peringatan yang diberikan oleh Allah di dalam wahyu, maka mereka akan mendapat taqwa. Maka jadikan kebiasaan kita untuk selalu baca Qur’an ini setiap hari supaya kita dapat mendengar peringatan dari Allah selalu.

Qur’an ini bukan untuk dikhatam sekali seumur hidup seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Selalunya mereka khatam Qur’an semasa kecil dan kemudian sudah tak buka lagi Qur’an ini. Amat malang sekali kerana Qur’an ini kena dibaca dari kecil sampailah kita tua.


 

Ayat 49: Maka siapakah orang yang bertaqwa? Bagaimanakah sifat mereka?

الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ وَهُم مِّنَ السّاعَةِ مُشفِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who fear their Lord unseen,¹ while they are of the Hour apprehensive.

•Which can mean “Him being unseen” by them or “though they are unseen” by others.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang takut akan (azab) Tuhan mereka, sedang mereka tidak melihat-Nya, dan mereka merasa takut akan (tibanya) hari kiamat.

 

الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ

(iaitu) orang-orang yang takut akan Tuhan mereka, sedang mereka tidak melihat-Nya, 

Mereka takut kepada Allah yang ghaib.  Maksudnya walaupun mereka tidak nampak Allah, tetapi mereka tetap takut dan tetap menjaga hukum Allah sentiasa dan di mana sahaja mereka berada.

Ia juga boleh bermaksud mereka yang ghaib, iaitu mereka bukan takut kepada Allah semasa di khalayak ramai sahaja tetapi sewaktu mereka tidak berada di khalayak ramai. Ramai orang boleh jaga hukum kalau depan orang tapi susah nak jaga kalau bersendirian atau kalau pergi ke negara luar. Waktu itu mereka dah tak malu buat maksiat lagi. Tapi sifat orang mukmin, mereka tetap takut buat dosa walau di mana sahaja mereka berada.

 

وَهُم مِّنَ السّاعَةِ مُشفِقونَ

dan mereka merasa takut akan hari kiamat.

Dan mereka amat takut dengan akhirat. Kalimah ش ف ق itu bermaksud yang ketakutan itu meliputi diri mereka. Mereka sentiasa ingat yang mereka akan mati dan akan bertemu dengan kiamat nanti. Maka ada kesan kepada diri mereka iaitu mereka akan jaga hukum sentiasa.


 

Ayat 50:

وَهٰذا ذِكرٌ مُّبارَكٌ أَنزَلنٰهُ ۚ أَفَأَنتُم لَهُ مُنكِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And this [Qur’ān] is a blessed message which We have sent down. Then are you with it unacquainted?¹

•i.e., pretending ignorance, disapproving or refusing to acknowledge it?

(MELAYU)

Dan Al Qur’an ini adalah suatu kitab (peringatan) yang mempunyai berkah yang telah Kami turunkan. Maka adakah kamu mengingkarinya?

 

وَهٰذا ذِكرٌ مُّبارَكٌ أَنزَلنٰهُ

Dan Al Qur’an ini adalah suatu kitab (peringatan) yang mempunyai berkah yang telah Kami turunkan.

Sebelum ini telah disebut tentang Taurat yang diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Sekarang adalah penerangan tentang Qur’an pula. Qur’an itu bukan saja peringatan tetapi peringatan yang mempunyai barakah di dalamnya. Bayangkan yang ianya sudahlah memberi kita pengajaran, tetapi setiap huruf yang kita baca itu akan digandakan dengan 10 pahala sekurang-kurangnya. Pahala yang diberikan amat banyak.

Barakah itu bermaksud sesuatu yang bertambah-tambah menjadi semakin banyak, maka ini mengajar kita yang kebaikan yang diberikan dengan Qur’an ini kepada kita akan bertambah sehingga kita pun tidak tahu banyak mana. Ada kebaikan yang Allah akan tolong dalam kehidupan kita. Maka teruskan untuk terus mempelajari dan baca Qur’an kerana keberkatannya tidak akan berkurangan.

 

أَفَأَنتُم لَهُ مُنكِرونَ

Maka adakah kamu mengingkarinya?

Adakah kamu engkar dengan perkara ini? Adakah kamu buat tidak kisah sahaja dengan Qur’an ini? Kamu tak percayakah yang Qur’an ini mampu memberi keberkatan kepada kita semua? Adakah kamu seperti orang biasa yang tidak kisah dengan Qur’an ini dan tidak mahu belajar tafsir Qur’an?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Mei 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s