Ayat 4:
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللهَ وَرَسولَهُ ۖ وَمَن يُشاقِّ اللهَ فَإِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is because they opposed Allāh and His Messenger. And whoever opposes Allāh – then indeed, Allāh is severe in penalty.
(MELAYU)
Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللهَ وَرَسولَهُ
Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya.
Syiqaq maksudnya tidak bersetuju dan menentang apa sahaja yang dikatakan oleh pihak yang satu lagi. Maksudnya tidak bersetuju dalam semua hal. Allah menceritakan sikap Yahudi ini yang tidak suka kepada Rasulullah sampai mereka sanggup belot dalam perjanjian.
Bani Nadhir itu dari dulu lagi sudah menggunakan kata-kata yang buruk terhadap orang Islam. Mereka memang sengaja hendak sengaja menyakitkan hati orang-orang Islam yang beriman dengan Rasulullah dan Allah semata-mata.
Sebagai contoh, walaupun orang Islam telah menang dalam Perang Badr dan Uhud, mereka sakitkan hati orang Islam itu dengan kata orang Mekah itu tidak ada apa-apa dan kerana itu puak Muslim berjaya mengalahkan mereka. Dan kalau orang Islam bertemu dengan Bani Nadhir pula, tentu orang Islam akan kalah. Mereka kata orang Islam hanya selamat kerana ada perjanjian antara mereka sahaja. Kalau tidak, orang Islam telah lama kena serang, kata mereka. Begitulah sudah tunjuk betapa kurang ajarnya mereka dan niat mereka yang memang tidak suka dengan umat Islam.
وَمَن يُشاقِّ اللهَ فَإِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ
Barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.
Allah mengingatkan yang kalau sesiapa sahaja yang menentangNya dan RasulNya, maka tentu mereka tidak akan menang. Natijah mereka hanya kekalahan dan azab sengsara sahaja.
Ayat 5: Ayat ini adalah jawapan bagi kesamaran yang ada dalam hati manusia (Puak Munafik, Bani Quraizah dan Bani Nadhir) tentang kisah serangan ke Bani Nadhir. Ianya tentang pokok tamar yang ditebang setelah diarahkan oleh Nabi Muhammad.
Para sahabat telah ikut arahan Nabi dan mereka telah mendapat kejayaan kerana Nabi cakap mesti dari wahyu.
ما قَطَعتُم مِّن لّينَةٍ أَو تَرَكتُموها قائِمَةً عَلىٰ أُصولِها فَبِإِذنِ اللهِ وَلِيُخزِيَ الفٰسِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Whatever you have cut down of [their] palm trees or left standing on their trunks – it was by permission of Allāh and so He would disgrace the defiantly disobedient.
(MELAYU)
Apa saja yang kamu tebang dari pohon kurma (milik orang-orang kafir) atau yang kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas pokoknya, maka (semua itu) adalah dengan izin Allah; dan kerana Dia hendak memberikan kehinaan kepada orang-orang fasik.
ما قَطَعتُم مِّن لّينَةٍ
Apa saja yang kamu tebang dari pohon kurma
Apabila arahan untuk mengepung kota mereka telah diberikan, puak Bani Nadhir itu telah berkumpul dan berlindung di dalam kubu mereka. Kubu mereka memang kuat dan sepatutnya mereka dapat bertahan lama di dalamnya.
Di kawasan luar kota itu ada pokok-pokok kurma kepunyaan mereka. Sebagai strategi perang, Nabi Muhammad telah mengarahkan untuk ditebang pokok-pokok kurma itu untuk bagi nampak pagar kubu mereka.
Semasa pokok-pokok itu sedang dipotong, puak Bani Nadhir telah mengutuk perbuatan itu dari dalam kubu dengan berkata: “Nabi jenis apa yang memotong pokok kurma? Sedangkan dia sendiri telah melarang untuk melakukan kerosakan di muka bumi dan sekarang dia arahkan pokok kurma yang elok ditebang dan dibakar?”
Jadi para sahabat pun ada yang termakan dengan kata-kata itu kerana mereka lihat memang pokok-pokok kurma itu adalah pokok-pokok yang baik belaka. Itu jenis kurma yang terbaik dan bila menang nanti, ia akan jadi harta ghanimah mereka juga. Maka ada sahabat yang tak ikut tebang. Dan puak munafik menggunakan hujah ini untuk merendahkan kedudukan Rasulullah.
Dan kerana ada yang mempersoalkan arahan Rasulullah itu, maka Allah jawab kenapa dibenarkan potong pokok kurma itu.
Kalimah لينَةٍ merujuk kepada pokok kurma yang ada buah-buah yang manis kerana ianya jenis baka baik. Pokok kurma pun memang ada jenis-jenisnya seperti kita ada jenis durian yang ada bermacam-macam jenis gred, bukan? Jadi kurma ini adalah kurma yang bagus dan dikatakan namanya adalah Kurma Buwairah.
أَو تَرَكتُموها قائِمَةً عَلىٰ أُصولِها
atau yang kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas perdunya,
Bukan semua pokok itu dipotong. Yang perlu sahaja dipotong. Bukannya Nabi nak potong semua dan arahan potong itu pun bersebab. Pokok yang menghalang mereka dari kubu itu sahaja yang dipotong. Yang tidak menghalang laluan tentera Islam ke kubu Bani Nadhir itu tidak ditebang.
Selepas pokok-pokok kurma itu ditebang, ia kemudiannya dibakar dan itu telah menyebabkan puak Yahudi Bani Nadhir di dalam kubu jadi takut. Maka perbuatan memotong dan membakar pokok-pokok itu juga mempunyai kesan yang menakutkan bagi Bani Nadhir.
فَبِإِذنِ اللهِ
maka (semua itu) adalah dengan izin Allah;
Semua itu adalah atas izin Allah. Ini menunjukkan yang arahan Nabi sama dengan arahan Allah. Allah mengiyakan keputusan Nabi Muhammad.
Maknanya keputusan Nabi diterima oleh Allah. Ada Ketika Nabi Muhammad tunggu wahyu daripada Allah sebelum melakukan sesuatu dan ada ketikanya Nabi akan beri arahan tak tunggu wahyu. Dan jikalau keputusan baginda itu salah, maka Allah akan tegur.
Ayat ini adalah salah satu contoh bagaimana Nabi buat keputusan tanpa tunggu wahyu dan keputusan itu telah diterima dan dipersetujui oleh Allah.
Sama ada tunggu wahyu atau pun tidak, ini juga adalah ‘wahyu’ juga. Nabi dapat tahu mana yang baginda boleh buat keputusan sendiri dan mana yang baginda kena tunggu wahyu. Kerana itu kadang kita dengar Nabi senyap tidak menjawab soalan dari sahabat dan kadangkala baginda buat keputusan terus.
وَلِيُخزِيَ الفٰسِقينَ
dan kerana Dia hendak memberikan kehinaan kepada orang-orang fasik.
Apa yang terjadi itu adalah untuk menghinakan orang-orang yang fasik kerana sebelum itu mereka menghina Rasulullah dan orang Islam, maka inilah balasan yang dikenakan kepada mereka.
Mereka rasa terhina kerana ladang kurma yang mereka banggakan itu sekian lama, tidak dapat mereka pertahankan. Maka mereka rasa kalau selepas itu mereka selamat pun, mereka akan malu kerana mereka tidak dapat nak selamatkan ladang kurma mereka.
Penghinaan yang kedua adalah apabila mereka meninggalkan kota dan ladang kurma mereka. Mereka dulu jaga ladang mereka itu tapi sekarang mereka sedar ia telah jatuh ke tangan orang Islam. Mereka tak dapat nak rosakkan (memang semasa mereka keluar dari kota, mereka rosakkan tempat tinggal mereka supaya umat Islam tidak boleh pakai). Tapi ladang kurma itu mereka tak dapat nak buat apa-apa, jadi mereka hanya melihat dengan hampa sahaja. Mereka rasa terhina kerana harta mereka jadi milik umat Islam yang mereka benci.
Ayat 6: Sekarang ayat tentang Harta Fai. Dari ayat ini sampai ayat 10, Allah ajar bagaimana harta yang didapati dari Bani Nadhir itu kena diuruskan. Maka ayat 6 – 10 ini adalah Perenggan Makro Kedua berkenaan Hukum Harta Fai Peninggalan Bani Nadhir.
Hukum ini diberikan kerana ini adalah kali pertama umat Islam mengalahkan musuh yang ada tanah dan nanti di masa hadapan akan ada banyak lagi. Maka Allah berikan hukum dari awal lagi.
وَما أَفاءَ اللهُ عَلىٰ رَسولِهِ مِنهُم فَما أَوجَفتُم عَلَيهِ مِن خَيلٍ وَلا رِكابٍ وَلٰكِنَّ اللهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُ عَلىٰ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And what Allāh restored [of property] to His Messenger from them – you did not spur for it [in an expedition] any horses or camels,¹ but Allāh gives His messengers power over whom He wills, and Allāh is over all things competent.
- Meaning that they went through no hardship (i.e., war) to obtain it.
(MELAYU)
Dan apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kuda pun dan (tidak pula) seekor unta pun, tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada Rasul-Nya terhadap apa saja yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
وَما أَفاءَ اللهُ عَلىٰ رَسولِهِ مِنهُم
Dan apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) mereka,
Harta ini adalah jenis harta yang ditinggalkan tanpa peperangan berlaku. Pasukan musuh tinggalkan sahaja harta itu tanpa peperangan.
Kalimah fai dari segi bahasa, maksudnya ‘pulang balik kepada pemilik asal’. Dan pemilik asal harta adalah orang mukmin kerana orang kafir adalah pemilik haram. Ini adalah kerana mereka tidak mentaati Allah. Oleh kerana itu apabila umat Islam mengambil fai, itu memang mengambil balik hak umat Islam.
Semua harta adalah kepunyaan Allah dan ia patut digunakan untuk kebaikan. Dan ia hanya boleh digunakan untuk kebaikan jikalau ianya di tangan umat Islam. Maka apabila umat Islam mengambil tanah musuh Islam, maka ia telah di’kembali’kan kepada umat Islam sebenarnya. Allah ambil dari orang yang tidak layak menguasainya kepada orang yang layak.
Harta rampasan perang ada beberapa jenis. Kalau ‘ghanimah’, ia adalah harta rampasan yang diperolehi selepas ada peperangan. Tapi harta fai lain sedikit kerana ia adalah harta yang didapati tanpa peperangan. Kalau harta ghanimah, telah tetap pembahagiannya iaitu 1/5 untuk Allah dan Nabi, dan 4/5 untuk tentera. Tapi pembahagian harta Fai tak sama.
Ringkasan kalimat yang berkaitan dengan harta rampasan adalah seperti berikut:
1. Ghanimah: harta rampasan yang didapati setelah ada peperangan dengan musuh. Ini hanyalah harta yang boleh dipindahmilik (bukan tanah dan bangunan). Tanah dan bangunan menjadi harta umat Islam secara kolektif dan tidak dibahagikan sesama tentera. Maknanya, harta ghanimah adalah harta yang didapati di medan perang.
Pembahagian harta ghanimah telah disebut dalam Anfal:41. Ringkasnya, ia dibahagikan kepada 5 bahagian (4 bahagian untuk tentera, dan 1 bahagian untuk Allah dan Rasul)
2. Fai: harta rampasan yang didapati tanpa perang. Musuh menyerah kalah dan meninggalkan harta. Ini seperti yang terjadi dalam kes Bani Nadhir ini.
Allah Swt. memberikan harta fai kepada Rasul-Nya untuk membelanjakannya menurut apa yang disukainya. Akan tetapi, Rasulullah Saw. mengembalikan harta itu kepada kaum Muslim dan membelanjakannya ke jalan-jalan kebaikan dan kebajikan.
3. Nafl (نفل) jamaknya Anfal (أنفال): harta rampasan selepas perang berlaku, tapi pembahagian harta itu terpulang kepada ketua.
4. Salab: Harta yang diambil oleh mujahideen Muslim dari lawan tandingnya yang kafir di dalam peperangan. Ini seperti pakaian dan alat perang, tunggangan, senjata atau tombak. Memang seorang mujahid itu dapat harta itu tapi dia tidak boleh terus ambil. Ia hendaklah dikumpulkan dengan harta yang lain, tapi seorang mujahid boleh beri bukti yang dia yang telah membunuh musuhnya. Ia adalah bonus tambahan kepada seorang mujahid.
Bukti itu sebagai contoh, ada orang lain yang nampak dia bunuh musuh itu. Kalau dia tidak dapat datangkan bukti, maka harta itu akan dibahagikan seperti harta yang lain. Perlu diingatkan bahawa seorang mujahid tidak sepatutnya menjadikan harta ghanimah atau yang selain itu sebagai sebab dia menyertai peperangan. Jihad adalah untuk menegakkan agama Allah, bukannya nak mengkayakan diri sendiri.
Jadi kalau dapat harta, maka dapatlah. Kalau tidak dapat, maka itu adalah ketentuan Allah. Pahala kerana menyertai peperangan itu sudah pasti. Dan inilah yang lebih penting kepada seorang Muslim.
5. Jizyah: Ini adalah pemberian wang dari orang kafir dzimmi. Mereka tidak masuk Islam tapi bersetuju berada di bawah takluk kerajaan Islam. Maka dia kena bayar jizyah. Kadarnya setiap seorang lelaki dewasa adalah sebanyak 1 dinar setahun.
Sekian.
Sebelum ada cara pembahagian dalam Islam, cara pembahagian mengambil harta rampasan dalam sejarah Arab adalah sesiapa yang dekat dengan harta itu semasa ditinggalkan, maka harta itu menjadi kepunyaannya. Dan tentunya ini tidak adil kerana ada orang yang kena jaga di perbatasan, maka mereka tidaklah boleh dapat harta-harta itu, bukan? Maka ini tidak adil.
Sebagai contoh dalam Perang Uhud, kita tahu bagaimana ada sahabat yang Nabi arahkan duduk sebagai pengawal, ada sebagai pemanah dan sebagainya. Maka kalau pengambilan harta dikira siapa yang paling dekat, tentulah mereka tidak ada harapan nak dapat harta kerana mereka duduknya jauh dari tempat peperangan berlangsung. Maka orang yang di medan perang dan berdepan dengan musuhlah yang pasti dapat kalau begitu. Maka rugilah mereka.
Maka apabila ada yang ambil harta begitu sahaja, maka ada yang tidak puas hati maka mereka telah berkelahi. Maka Allah telah tegur dengan keras sekali dalam Surah Anfal. Maka harta fai sekalipun kena dikumpulkan dan kemudian dibahagikan oleh Nabi. Ia disebut dalam Surah Anfal tetapi sebelum itu Allah tegur umat Islam dengan sebanyak 40 ayat tentang perkara ini. Umat Islam waktu itu kena tegur dengan teruk waktu itu. Allah kata semua harta itu Allah yang punya asalnya, dan kemudian barulah Allah menceritakan tentang pembahagian harta rampasan perang.
Harta rampasan perang dengan Bani Nadhir itu adalah harta fai kerana tidak ada peperangan. Para sahabat kepung sahaja dan Allah yang kalahkan mereka dengan tanamkan ketakutan yang amat sangat dalam diri mereka sampai mereka sendiri buka pintu kota mereka dan benarkan orang Islam masuk.
Kemudian mereka kena tinggalkan kota itu dan hanya bawa barang yang boleh dibawa atas unta sahaja. Maka segala harta yang mereka tinggalkan adalah harta fai.
فَما أَوجَفتُم عَلَيهِ مِن خَيلٍ وَلا رِكابٍ
maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kuda pun dan (tidak pula) seekor unta pun,
Kalimah أَوجَفتُم dari katadasar و ج ف yang bermaksud mendesak, mencucuk binatang untuk memaksanya bergerak laju, berlari. Ini merujuk kepada perbuatan menaiki binatang tunggangan dan memaksanya bergerak laju, terutama dalam perang.
Maka puak Muslim tidak berperang pun dan tidak bawa kuda dan unta. Tidak mendesak kuda dan unta adalah bahasa kiasan bermaksud tidak ada peperangan. Ini kerana zaman itu kalau perang akan naik unta dan kuda.
وَلٰكِنَّ اللهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُ عَلىٰ مَن يَشاءُ
tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada Rasul-Nya terhadap apa saja yang dikehendaki-Nya.
Umat Islam waktu itu tidak berperang pun kerana Allah yang berikan kemenangan itu kepada mereka. Kerana Allah hendak memberi kekuasaan kepada rasulNya. Kalimah يُسَلِّطُ dari katadasar س ل ط yang bermaksud memenangi, kukuh, berkuasa, kekuatan, kuasa memerintah. Kalimah ‘sultan’ diambil dari katadasar ini.
وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Allah boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Tidak ada peluang untuk menentang Allah. Apa yang Allah mahu, pasti akan terjadi.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 25 Ogos 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi