Tafsir Surah Hashr Ayat 1 – 3 (Pembelotan Bani Nadhir)

Pengenalan:

Surah ini ada menceritakan tentang pembelotan yang dilakukan oleh salah satu puak Yahudi Madinah iaitu Bani Nadhir. Mereka sudah ada perjanjian dengan umat Islam tapi mereka belot perjanjian itu.

Mereka benci kepada Islam sampaikan mereka buat perancangan untuk bunuh Nabi. Mereka bermesyuarat nak bunuh Nabi semasa Nabi datang jumpa mereka untuk pinjam duit. Mereka nak hempap baginda dengan batu. Tapi Allah gagalkan rancangan mereka dengan memberi wahyu kepada baginda.

Sebelum itu mereka telah belot dalam perang Badr dan Uhud. Ada beberapa puak yahudi lain yang juga telah membelot. Antaranya lagi adalah Bani Qainuqa’ dan juga Bani Quraizah yang berlaku pada Perang Ahzab.

Ada seorang penyair Bani Nadhir yang membuat syair menghina Nabi. Dan dia juga mengajak musuh dari Mekah untuk menyerang Madinah. Dia berjanji yang kalau Mekah menyerang dari luar maka Bani Nadhir akan menyerang dari dalam.

Maknanya dia telah mengadakan perjanjian rahsia dan ini berlawanan dengan perjanjian antara mereka dan Nabi Muhammad.

Maka Nabi Muhammad telah mengarahkan dia dibunuh. Ada yang tuduh dia dibunuh sebab dia buat syair hina Nabi. Tapi sebenarnya arahan bunuh itu kerana dia yang menganjurkan serangan ke atas Madinah.

Ini macam panglima perang akan dibunuh kerana pembelotan yang dilakukan. Memang kena cari dan hukum orang yang bertanggungjawab. Bukanlah Nabi hukum bunuh kerana marah dia hina baginda. Tapi kerana dia orang yang penting dan kepala dalam menganjurkan serangan terhadap negara Islam Madinah.

Jadi tempat tinggal mereka telah dikepung dan akhirnya mereka mengaku kalah dan mereka telah dihalau daripada Madinah. Ini akan diceritakan dalam surah ini nanti.


Ayat 1: 

سَبَّحَ ِلِلهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ḥashr: The Gathering.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth exalts Allāh,¹ and He is the Exalted in Might, the Wise.

  • See footnote to 57:1.

(MELAYU)

Telah bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

سَبَّحَ ِلِلهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Telah bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan bumi;

Surah ini dimulakan dengan tasbih. Ingatlah yang rentetan surah-surah ini dinamakan musabbihaat. Ada 10 surah semuanya dan kebanyakan darinya dimulakan dengan tasbih.

Dalam ayat ini kalimah tasbih di dalam fi’il madhi dan ada surah yang menggunakan fi’il mudhari’. Ini hendak memberitahu sebelum ini ada yang bertasbih kepada Allah dan ada yang sedang bertasbih dan terus bertasbih kepada Allah. Dalam ayat lain disebut:

{تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ}

Langit yang tujuh, bumi, dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. (Al-Isra: 44)

Kalimah tasbih membersihkan syirik. Tidak patut ada syirik kepada Allah dan kalimah tasbih adalah pernyataan kepada tauhid. Oleh itu, dalam surah ini Allah nak ingatkan asal agama adalah tauhid.

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah bersifat العَزيزُ yang bermaksud maha berkuasa nak azab sesiapa sahaja yang mengamalkan syirik dan meninggalkan tauhid. Nanti kita akan baca bagaimana puak Yahudi Bani Nadhir telah dihalau dari kediaman mereka. Ini adalah hak Allah untuk menetapkan apa sahaja hukuman kepada makhluk.

Tapi di dalam masa yang sama, Allah juga bersifat الحَكيمُ (Maha Bijaksana). Dengan kebijaksaan Allah, Allah masih beri peluang kepada manusia untuk bertaubat. Tidaklah Allah terus azab manusia yang melakukan syirik.

Kalau Allah terus azab sahaja sesiapa yang melakukan syirik, maka tentulah tidak ada lagi manusia yang tinggal di atas mukabumi ini.

Dan dalam kes Bani Nadhir yang kita akan baca nanti, Allah telah berikan hukuman yang lembut untuk mereka. Ini semua atas kebijaksaan Allah Taala.


Ayat 2: Sekarang diberikan contoh takhwif duniawi.

هُوَ الَّذي أَخرَجَ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ مِن دِيٰرِهِم لِأَوَّلِ الحَشرِ ۚ ما ظَنَنتُم أَن يَخرُجوا ۖ وَظَنّوا أَنَّهُم مّانِعَتُهُم حُصونُهُم مِّنَ اللهِ فَأَتٰهُمُ اللهُ مِن حَيثُ لَم يَحتَسِبوا ۖ وَقَذَفَ في قُلوبِهِمُ الرُّعبَ ۚ يُخرِبونَ بُيوتَهُم بِأَيديهِم وَأَيدِي المُؤمِنينَ فَاعتَبِروا يٰأُولِي الأَبصٰرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who expelled the ones who disbelieved among the People of the Scripture¹ from their homes at the first gathering.² You did not think they would leave, and they thought that their fortresses would protect them from Allāh; but [the decree of] Allāh came upon them from where they had not expected, and He cast terror into their hearts [so] they destroyed their houses by their [own] hands and the hands of the believers. So take warning, O people of vision.

  • Referring to the Jews of Banun-Nadheer, who broke their pact with the Messenger of Allāh (ṣ).
  • This was the first time they had ever been gathered and expelled.

(MELAYU)

Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama. Kamu tidak menyangka, bahawa mereka akan keluar dan merekapun yakin, bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka dari (siksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin. Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.

هُوَ الَّذي أَخرَجَ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ مِن دِيٰرِهِم لِأَوَّلِ الحَشرِ

Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama.

Allah mengatakan yang Dialah yang menyebabkan puak Yahudi Bani Nadhir itu menyerah kalah pada pengepungan puak mukmin kali pertama. Ini adalah kerana mereka telah belot kepada perjanjian yang telah dilakukan dengan umat Islam untuk sama-sama mempertahankan Madinah bersama-sama.

Jadi kerana telah ada perjanjian dan mereka belot, maka tiada lagi perjanjian dengan mereka seperti yang disebut dalam Anfal:58

وَإِمّا تَخافَنَّ مِن قَومٍ خِيانَةً فَانبِذ إِلَيهِم عَلىٰ سَواءٍ ۚ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الخائِنينَ

Dan jika kamu khawatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.

Kejadian ini berlaku pada tahun 4 Hijriah setelah Peperangan Badr dan Uhud. Walaupun nampak para sahabat yang mengepung mereka dan menghalau mereka, tetapi Allah lah yang menjadikan perkara itu realiti.

Kerana kalau dikira usaha para sahabat sahaja, tentu tidak akan terjadi apa yang mereka kehendaki.

Ayat ini juga bermaksud, keputusan untuk mengusir mereka itu bukanlah keputusan dari Nabi dan sahabat, tapi dari Allah sendiri kerana mereka telah belot.

Apakah maksud لِأَوَّلِ الحَشرِ? Ulama tafsir berbeza pendapat. Ada yang mengatakan:

1. Pengusiran puak Yahudi yang pertama. Kerana nanti puak Yahudi akan dihalau juga untuk kali kedua oleh Saidina Umar dari Tanah Arab.

2. Pendapat kedua mengatakan kalimah ‘hashr’ itu bermaksud pengumpulan para sahabat. Apabila sahabat berkumpul sahaja kali pertama sahaja, puak Bani Nadhir itu dah keluar.

ما ظَنَنتُم أَن يَخرُجوا

Kamu tidak menyangka, bahawa mereka akan keluar 

Puak mukmin sendiri tidak sangka yang puak Yahudi Bani Nadhir itu akan menyerah kalah dalam masa yang singkat kerana mereka nampaknya kuat di dalam kubu mereka.

Para sahabat tak sangka mereka akan tinggalkan tempat mereka yang hebat yang mereka telah lama bina itu.

وَظَنّوا أَنَّهُم مّانِعَتُهُم حُصونُهُم مِّنَ اللهِ

dan merekapun yakin, bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka dari Allah; 

Puak Bani Nadhir itu pun tak sangka mereka akan meninggalkan tempat tinggal mereka. Mereka sangka yang kubu mereka kuat dan dapat menyelamatkan mereka dari pengepungan orang Islam.

Mereka pun telah bersedia untuk bertahan dalam kubu mereka untuk masa yang lama. Makanan mereka patutnya tahan sebulan. Jadi memang mereka tak sangka mereka akan tinggalkan kubu mereka. Jadi apabila Nabi Muhammad memberi kata putus kepada mereka untuk meninggalkan Madinah selepas 10 hari, mereka menolak begitu sahaja.

Mereka sangka umat Islam yang akan keletihan dan tidak mampu untuk mengepung jangkamasa yang lama. Kerana nak mengepung sesuatu tempat pun memerlukan bekal yang banyak juga. Tapi akhirnya mereka telah mengaku kalah hanya setelah 6 hari sahaja.

Menjadi perbincangan kenapa digunakan kalimat مِّنَ اللهِ (dari Allah) dalam ayat ini. Adakah puak Yahudi itu tahu yang mereka sedang menentang Allah tapi mereka teruskan juga? Takkan mereka sanggup nak melawan Allah?

Untuk memahami mentaliti mereka, kita kena lihat sejarah mereka. Mereka ini satu bangsa yang pelik. Mereka banyak dah bunuh para Nabi walaupun mereka tahu itu adalah Nabi utusan Allah. Dalam Qur’an disebut bagaimana mereka berbangga kerana mereka telah membunuh Isa, Rasulullah (lihat Nisa:157). Dalam Tradisi mereka juga, mereka baca bagaimana Nabi Yaacob telah bergusti dengan Allah dari malam sampai ke pagi dan Allah tidak dapat mengalahkan baginda (dan kerana itu Nabi Yaacob diberi gelaran ‘Israil’). (because you strove with God and with men, and prevailed.” (Lihat Gen. 32: 25-29). 

Jadi, tidak menghairankan apabila mereka tahu mereka sedang melawan Allah, tapi mereka teruskan juga dan rasa mereka akan menang. Mereka tahu Nabi Muhammad itu adalah Rasul Allah, tapi mereka tetap melawan juga. Kita tahu mereka tahu kerana tanda-tanda Rasul Akhir Zaman sudah ada pada Nabi Muhammad dan para Rahib mereka memang tahu perkara ini.

فَأَتٰهُمُ اللهُ مِن حَيثُ لَم يَحتَسِبوا

maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka.

Puak Bani Nadhir itu sangka mereka akan selamat dalam kubu mereka yang kukuh, tetapi Allah telah menyerang mereka daripada tempat yang mereka tidak sangka-sangka. Mereka sangka umat Islam akan menyerang dengan senjata dari luar kubu mereka dan mereka yakin mereka akan dapat bertahan. Tapi Allah serang mereka dari dalam. Dengan cara itulah mereka keluar dari kubu mereka.

Allah boleh bantu orang mukmin dengan berbagai cara. Apakah serangan yang dimaksudkan itu?

وَقَذَفَ في قُلوبِهِمُ الرُّعبَ

Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; 

Serangan itu bermaksud ketakutan yang dilontarkan ke dalam hati mereka dan hanya Allah sahaja yang boleh buat perkara ini. Mereka jadi takut sampaikan mereka sendiri buka pintu kota mereka.

Jadi Allah keluarkan mereka tanpa cara perang pun. Allah bantu umat Islam waktu itu kerana kalau berperang, para sahabat pun akan susah dan sakit. Ini kerana puak Yahudi itu pun ada senjata juga kalau nak berperang.

Maka mereka telah buka pintu kota mereka menyerah kalah adan kemudian mereka telah dihalau dari Madinah.

يُخرِبونَ بُيوتَهُم بِأَيديهِم وَأَيدِي المُؤمِنينَ

mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin. 

Walaupun mereka kena tinggalkan kota mereka, tetapi orang jahat tetap jahat. Apabila mereka diarahkan untuk keluar daripada kota mereka dan meninggalkan Madinah, mereka telah buat keputusan untuk memusnahkan sendiri perhiasan yang ada di dalam kota mereka yang dulu mereka bina sekian lama.

Ini kerana mereka sakit hati dan tak mahu umat Islam ambil barang mereka. Maka kerana mereka dibenarkan bawa muatan yang mereka boleh bawa dengan kenderaan mereka, mereka telah cabut pintu dan dinding rumah, malah pasak rumah mereka.

Orang-orang mukmin pada waktu itu juga telah membantu mereka untuk memusnahkan tempat itu. Kerana umat Islam telah menyerang dari luar dan merosakkan luaran kubu mereka.

فَاعتَبِروا يٰأُولِي الأَبصٰرِ

Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.

1. Maka orang lain, termasuk puak puak Yahudi yang lain, ambillah iktibar dari apa yang telah terjadi kepada Bani Nadhir ini kerana kalau mereka juga buat perkara yang sama, maka mereka akan mendapat balasan yang sama. Tapi nanti puak Yahudi yang lain tidak ambil pengajaran pun.

2. Puak Yahudi ini adalah orang Islam dulu sebenarnya. Mereka telah beriman, telah dapat kitab dan telah mendapat kedudukan sebagai Ahli Kitab. Tapi apabila mereka meninggalkan agama dan wahyu, maka rahmat Allah telah ditarik dari mereka.

Maka umat Islam kena belajar dari apa yang terjadi. Walaupun kita ini adalah umat Rasul terakhir, tapi kalau kita tidak ikut ajaran baginda, kita pun boleh jadi seperti mereka juga. Kedudukan sebagai ‘Muslim’ tidaklah menjadi jaminan yang kita ini tetap selamat.

3. Umat manusia yang mendengar kisah ini juga perlu ambil pengajaran. Jangan menentang Tuhan yang Satu. Yakni renungkanlah akibat yang dialami oleh orang-orang yang menentang perintah Allah dan menentang Rasul-Nya, serta mendustakan Kitab-Nya, bagaimana Allah menimpakan pembalasan-Nya kepada mereka, yang membuat mereka terhina di dunia ini disertai dengan azab yang pedih yang telah disediakan oleh Allah Swt. di hari kemudian (hari akhirat).

Tidak ada sesiapa yang akan menang kalau menentang Allah. Mereka kena dengar kisah ini dan belajar bagaimana kekuatan kubu dan harta tidak memastikan kemenangan.


Ayat 3: Sebenarnya Allah telah berlaku lembut kepada mereka.

وَلَولا أَن كَتَبَ اللهُ عَلَيهِمُ الجَلاءَ لَعَذَّبَهُم فِي الدُّنيا ۖ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابُ النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if not that Allāh had decreed for them evacuation, He would have punished them in [this] world, and for them in the Hereafter is the punishment of the Fire.

(MELAYU)

Dan jika tidaklah kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, benar-benar Allah mengazab mereka di dunia. Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.

وَلَولا أَن كَتَبَ اللهُ عَلَيهِمُ الجَلاءَ

Dan jika tidaklah kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, 

Ya, memang Allah telah tetapkan yang mereka diusir dari tempat tinggal mereka yang mereka telah lama bina. Tapi kalau mereka tidak diusir, mereka akan dikenakan dengan hukuman yang lebih teruk lagi.

لَعَذَّبَهُم فِي الدُّنيا

benar-benar Allah mengazab mereka di dunia. 

Allah beritahu yang jikalau Allah tidak takdirkan hukuman untuk mereka pada dihalau dari Madinah, maka yang akan dikenakan kepada mereka adalah azab yang lebih teruk dari itu. Iaitu arahan bunuh sahaja. Dan wanita dan kanak-kanak mereka akan menjadi hamba kepada umat Islam.

Maka hukuman kepada mereka itu adalah hukuman yang ringan. Ini adalah kerana ini adalah kali pertama puak Yahudi Madinah melakukan khianat kepada Islam. Maka mereka diberi peluang dan untuk memberi peringatan kepada yang lain.

وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابُ النّارِ

Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.

Dan mereka tetap akan kena azab di akhirat kelak di atas dosa berat yang mereka telah lakukan. Ini kalau tetap tidak insaf dan ambil pengajaran dari apa yang telah berlaku.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 24 Mac 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s