Tafsir Surah an-Nisa Ayat 155 – 158 (Khatmul Qalbi)

Creative-Dark-Night-Wallpaper-Hd-720x1200-picsay-1
Hati-hati dengan sikap dan reaksi kita terhadap seruan agama. Jangan membantah dan menentang. Dikhuatiri kelak Allah kunci mati hati dan dicop sebagai penghuni neraka, kekal selamanya.

Ayat 155: Dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ telah menceritakan tentang kedegilan Bani Israil. Dan Allah ‎ﷻ telah menyambung lagi tentang mereka di dalam ayat ini. Ada empat kesalahan yang disebut di sini. Ini adalah antara kesalahan-kesalahan mereka, tapi tentulah bukan ini sahaja.

فَبِما نَقضِهِم مّيثٰقَهُم وَكُفرِهِم بِئآيٰتِ اللهِ وَقَتلِهِمُ الأَنبِياءَ بِغَيرِ حَقٍّ وَقَولِهِم قُلوبُنا غُلفٌ ۚ بَل طَبَعَ اللَهُ عَلَيها بِكُفرِهِم فَلا يُؤمِنونَ إِلّا قَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We cursed them]¹ for their breaking of the covenant and their disbelief in the signs of Allāh and their killing of the prophets without right and their saying, “Our hearts are wrapped” [i.e., sealed against reception]. Rather, Allāh has sealed them because of their disbelief, so they believe not, except for a few.¹

  • Another interpretation is “And [We made certain good foods unlawful to them],” based upon verse 160.
  • Or “except with little belief.”

MALAY

Maka (Kami laknatkan mereka) dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar, dan mereka juga mengatakan: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya).

 

فَبِما نَقضِهِم ميثٰقَهُم

Maka (Kami laknat mereka) dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, 

Kesalahan pertama mereka yang disebut dalam ayat ini, ialah mereka telah memutuskan perjanjian mereka dengan Allah ‎ﷻ. Padahal perjanjian dengan Allah ‎ﷻ itu bukanlah perjanjian biasa. Jadi, ini adalah kesalahan yang amat berat. Mereka telah berjanji untuk taat, tetapi mereka telah memungkiri janji mereka itu.

 

وَكُفرِهِم بِئآيٰتِ اللهِ

dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah,

Yang kedua, mereka telah kufur dengan ayat-ayat Allah  ‎ﷻ yang disampaikan melalui Nabi Musa عليه السلام dan nabi-nabi mereka yang lain. Mereka tidak memandang ayat-ayat Allah ‎ﷻ sebagai sesuatu yang penting. Sampaikan mereka berani hendak menukar ayat-ayat Allah ‎ﷻ itu sesuka hati mereka.

 

وَقَتلِهِمُ الأَنبِياءَ بِغَيرِ حَقٍّ

dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar, 

Yang ketiga, mereka sampai sanggup membunuh para nabi mereka kerana mereka tidak suka dengan apa yang disampaikan oleh para Nabi itu. Mereka tidak dapat melawan apa yang disampaikan oleh rasul mereka, maka mereka ambil keputusan untuk membunuh terus para nabi.

Ramai dari kalangan para Nabi dari kalangan Bani Israil yang telah dibunuh. Mereka membunuh itu dengan tidak ada alasan yang kukuh. Kalau para Nabi itu berbuat salah, maka bolehlah dibunuh, tetapi apakah kesalahan mereka, selain hanya menyebutkan tentang kebenaran?

 

وَقَولِهِم قُلوبُنا غُلفٌ

dan mereka juga mengatakan: “Hati kami tertutup”

Dan yang keempat, mereka kata hati mereka tertutup dari menerima dakwah Nabi Muhammad ﷺ. Ada dua tafsir bagi lafaz غُلفٌ itu.

Pertama, mungkin mereka berkata hati mereka telah penuh dengan ilmu sampaikan tidak boleh dimasukkan lagi ajaran Nabi Muhammad ﷺ; atau mereka maksudkan memang hati mereka tertutup daripada menerima ajaran Nabi ﷺ. Mereka mengaku secara terang-terangan kerana mereka menyangka amalan agama mereka telah kuat dan tidak perlu kepada agama yang baru. Perkara ini telah disebut dan ditafsirkan dalam Baqarah:88.

Ini sama sahaja dengan fahaman orang kita yang masih mahu berpegang teguh dengan ajaran dan amalan tok nenek kita. Maka apabila ada yang hendak mengajar amalan yang benar dari Qur’an dan Sunnah, mereka  lalu berkata yang amalan mereka sudah diamalkan sejak turun temurun, maka mengapa harus perlu ditukar lagi? Sama sahaja fahaman orang jahil dahulu dan sekarang.

Jadi, itulah empat kesalahan mereka yang disebut dalam ayat ini. Tetapi kenapa seperti tergantung ayat ini? Tidak disambung dengan apakah hukuman ke atas mereka? Ini adalah kerana ada hazaf dalam ayat ini.

Allah ‎ﷻ tidak sebutkan apakah yang akan dikenakan kepada mereka kerana kesalahan mereka itu. Mereka akan tahu nanti apabila mereka mendapat azab itu. Memang menakutkan kalau tidak cakap apakah yang akan dikenakan. Bayangkan kalau guru sekolah kata seperti itu: “Jagalah kamu semua. Kamu akan tahulah akibatnya nanti….”. Guru bercakap begitu sahaja tanpa menyebut apakah hukuman yang akan dikenakan.

Maka anak murid akan tertanya-tanya apakah hukuman yang akan diberikan oleh guru itu. Kepala mereka akan memikirkan apalah hukuman itu agaknya dan mereka tentu akan memikirkan perkara yang buruk-buruk sahaja. Ini akan menambahkan rasa takut. Inilah kesan dalam ayat ini.

 

بَل طَبَعَ اللَهُ عَلَيها بِكُفرِهِم

bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. 

Sebenarnya mereka jadi begitu kerana Allah ‎ﷻ yang mengunci mati hati mereka kerana kekufuran sehinggakan mereka tidak dapat beriman lagi.

Bukanlah Allah ‎ﷻ membuat keputusan untuk terus mengunci mati hati mereka dari awal lagi, tetapi kerana mereka yang tidak mahu menerima kebenaran, maka sebab itulah mereka ditutup dari menerima hidayah selepas itu.

 

فَلا يُؤمِنونَ إِلّا قَليلًا

Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja

Sedikit sahaja yang mereka percaya. Dan kerana kalau percaya sedikit sahaja tidak menjadikan mereka beriman penuh. Begitulah juga orang Islam mestilah percaya keseluruhan dari agama. Tidak boleh sekadar memilih sahaja.

Atau, ia mungkin bermaksud, sedikit sahaja dari kalangan mereka yang beriman. Kita tahu ada dari kalangan mereka yang beriman dengan agama Islam tetapi kebanyakan dari mereka tidak beriman.


 

Ayat 156: Ini adalah sambungan bagi kesalahan mereka.

وَبِكُفرِهِم وَقَولِهِم عَلىٰ مَريَمَ بُهتٰنًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We cursed them] for their disbelief and their saying against Mary a great slander,¹

  • When they accused her of fornication.

MALAY

Demikian juga (Kami laknat mereka) dengan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dusta).

 

وَبِكُفرِهِم

Demikian juga dengan sebab kekufuran mereka

Dengan sebab kekufuran mereka, maka mereka telah dilaknat. Laknat itu maksudnya jauh dari rahmat Allah ‎ﷻ, tidak berpeluang untuk mendapat rahmat dari Allah ‎ﷻ.

 

وَقَولِهِم عَلىٰ مَريَمَ بُهتٰنًا عَظيمًا

dan tuduhan mereka terhadap Maryam

Satu lagi kesalahan besar mereka adalah tuduhan mereka terhadap Maryam. Mereka telah menuduh Maryam berzina dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf an Najr dan mereka berkata yang dari penzinaan itulah lahirnya Nabi Isa عليه السلام.

Lafaz بُهتانًا bermaksud tuduhan yang berat. Ini adalah kerana tuduhan mereka itu amat berat kerana menuduh orang yang suci telah melakukan perkara yang buruk.

Mereka telah beramai-ramai menghina Maryam  apabila beliau membawa pulang anaknya Nabi Isa عليه السلام. Apabila mereka bising-bising menuduhnya, maka Maryam telah menunding jari ke arah anaknya yang masih bayi itu. Dan diringkaskan kisah, Nabi Isa عليه السلام turun dari pelukan ibunya dan berkata-kata kepada mereka. Ini telah ditafsir dalam ayat Maryam:30.

Maka mereka sendiri nampak dengan mata mereka bagaimana Nabi Isa عليه السلام itu bukanlah anak kecil yang biasa. Apabila baginda berumur 30 tahun dan mula berdakwah ke arah kebenaran, mereka menentang baginda pula. Ini adalah kerana baginda telah menegur kesalahan pendeta Yahudi yang telah menukar agama.

Maka untuk menutup mulut Nabi Isa عليه السلام, mulalah mereka membuat tuduhan yang Nabi Isa عليه السلام itu adalah anak luar nikah dan Maryam telah berzina. Padahal dulu mereka sendiri tahu yang Nabi Isa عليه السلام itu bukanlah anak biasa.

Tapi itu pun tidak berjaya, maka mereka telah membuat rancangan untuk membunuh baginda kerana susah untuk ditutup mulut baginda kerana apa yang baginda sebut adalah kebenaran. Tapi oleh kerana mereka tidak berkuasa pada waktu itu, maka, mereka telah membuat helah kepada Kerajaan Rom untuk membunuh Nabi Isa عليه السلام. Mereka berkata yang baginda hendak merampas kerajaan Rom.


 

Ayat 157: Allah ‎ﷻ telah menyambung lagi dalam memperkatakan kesalahan mereka.

وَقَولِهِم إِنّا قَتَلنَا المَسيحَ عيسَى ابنَ مَريَمَ رَسولَ اللهِ وَما قَتَلوهُ وَما صَلَبوهُ وَلٰكِن شُبِّهَ لَهُم ۚ وَإِنَّ الَّذينَ اختَلَفوا فيهِ لَفي شَكٍّ مِّنهُ ۚ ما لَهُم بِهِ مِن عِلمٍ إِلَّا اتِّباعَ الظَّنِّ ۚ وَما قَتَلوهُ يَقينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [for] their saying, “Indeed, we have killed the Messiah, Jesus, the son of Mary, the messenger of Allāh.” And they did not kill him, nor did they crucify him; but [another] was made to resemble him to them. And indeed, those who differ over it are in doubt about it. They have no knowledge of it except the following of assumption. And they did not kill him, for certain.¹

  • Another meaning is “And they did not kill him, being certain [of his identity],” i.e., they killed another assuming it was Jesus (upon whom be peace).

MALAY

Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.

 

وَقَولِهِم إِنّا قَتَلنَا المَسيحَ عيسَى ابنَ مَريَمَ رَسولَ اللهِ

Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”.

Mereka berkata dengan bangganya yang mereka telah membunuh Nabi Isa عليه السلام yang ‘dikatakan’ sebagai Rasulullah itu. Mereka bangga kerana telah dapat membunuh Nabi.

Mereka menghina pula dengan mengatakan orang yang ‘dikatakan’ sebagai Rasul itu telah mereka bunuh. Kerana mereka tidak menerima kenabian Nabi Isa عليه السلام. Mereka seolah-olah berkata: “orang yang dikatakan sebagai Rasul itu… kami dah bunuh pun…”.

Atau, mereka memang tahu yang Nabi Isa عليه السلام itu memang Rasulullah, tetapi mereka membunuhnya juga. Ini memang pelik dan susah untuk kita fahami kerana kita bukannya mereka. Bayangkan mereka itu tahu itu Nabi lagi Rasul, tetapi mereka sanggup membunuhnya juga. Ini adalah kerana mereka itu sememangnya kaum yang amat teruk.

Lafaz المَسيحَ berasal dari kata yang bermaksud ‘basuh’. Jadi ia bermaksud mereka yang ‘dimuliakan’. Juga bermaksud yang ‘disembelih’.

 

وَما قَتَلوهُ وَما صَلَبوهُ

Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (salib)

Tetapi sebenarnya mereka tidak membunuh Nabi Isa عليه السلام pun. Mereka juga tidak berjaya menyalib baginda, seperti yang selalu difahami oleh manusia. Kisah salib ini amat popular sampaikan banyak sekali difilemkan dan penganut Kristian pun memakai tanda salib sebagai mewakili agama mereka. Tetapi, ia sebenarnya tidak terjadi pun.

 

وَلٰكِن شُبِّهَ لَهُم

tetapi diserupakan bagi mereka

Yang dibunuh adalah lelaki yang diserupakan dengan rupa baginda. Dalam riwayat, ada disebut yang dia adalah seorang pengikut Nabi Isa عليه السلام yang derhaka kepada baginda. Dia telah bersekongkol dengan pihak pemerintah untuk menangkap Nabi Isa عليه السلام. Dia berjanji untuk mengecam dan mengenalpasti rupa Nabi Isa عليه السلام kerana pemerintah Rom tidak tahu yang mana satu Nabi Isa عليه السلام.

Tetapi apabila lelaki itu masuk ke dalam kalangan Nabi Isa عليه السلام dan sahabat baginda, rupa baginda telah disamakan dengan Nabi Isa عليه السلام, maka dialah yang ditangkap oleh orang Rom kerana waktu itu rupanya memang sama dengan rupa Nabi Isa عليه السلام yang dicari-cari.

Atau, kalimah شُبِّهَ juga boleh dimaksudkan dengan ‘samar’. Maka telah dijadikan samar kejadian pembunuhan itu. Ceritanya mereka mencari Nabi Isa عليه السلام tetapi Nabi Isa عليه السلام tidak ada kerana telah diangkat ke langit. Tapi oleh kerana ingin membunuh juga, maka, mereka membunuh orang Yahudi sendiri yang mereka pilih secara rawak, dan mereka membuat propaganda yang mereka telah berjaya membunuh Nabi Isa عليه السلام.

Mereka membuat perkara itu dalam rahsia, dan tidak membenarkan orang lain untuk melihat mayat yang dikatakan Nabi Isa عليه السلام itu. Ini kerana mereka tidak mahu malu kalau orang berkata rancangan mereka telah gagal. Sampai ke hari ini mereka tidak dapat menunjukkan bukti yang memang Nabi Isa عليه السلام telah dibunuh.

Persoalan: Di manakah jasad Nabi Isa عليه السلام jika benar baginda telah dibunuh? Ini tidak pernah dijawab dan kita pun tahu yang mereka memang kuat menipu.

Satu lagi tafsir yang diberi, apabila telah sampai berita yang Nabi Isa عليه السلام akan dibunuh, maka para pengikut baginda telah berkumpul bersama baginda. Empat ribu tentera telah berkumpul untuk membunuh baginda dan mereka telah menunggu di luar. Nabi Isa  عليه السلام telah menawarkan kepada para sahabat baginda, siapakah yang sanggup untuk mengambil tempat baginda? Seorang sahabat baginda telah sanggup dan telah memakai pakaian Nabi Isa عليه السلام dan beliaulah yang dibunuh. Inilah yang terdapat dalam Tafsir Qurtubi.

Allahu a’lam. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu apakah yang sebenarnya yang terjadi.

 

وَإِنَّ الَّذينَ اختَلَفوا فيهِ لَفي شَكٍّ مِّنهُ

Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham tentang perkara itu, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu).

Mereka tidak jelas tentang kedudukan perkara itu. Dan golongan Nasara pun percaya yang Nabi mereka telah dibunuh. Padahal, baginda tidak dibunuh pun, tetapi mereka sendiri telah tertipu tentang kisah Nabi Isa عليه السلام itu, sedangkan itu Nabi mereka.

Selepas ditipu, mereka membuat cerita pula yang baginda mati untuk menyucikan dosa umat baginda. Padahal itu adalah berdasarkan kepada penipuan Yahudi. Maka ini adalah ‘tipu atas tipu’. Sudahlah mereka ditipu, mereka mereka-reka pula penipuan baru kepada penganut mereka.

Dalam fahaman mereka pun, ada banyak pemahaman yang tidak sama. Antaranya:

1. Yang dibunuh adalah orang lain, dan waktu disalib itu Nabi Isa عليه السلام tengok sahaja dari jauh.
2. Nabi Isa عليه السلام yang disalib, tetapi tidak mati selepas disalib.
3. Nabi Isa عليه السلام mati disalib, tetapi kemudian telah dihidupkan semula dan telah bersembang dengan pengikut baginda sampai sepuluh kali.
4. Nabi Isa عليه السلام mati disalib, tetapi itu tubuh sahaja, tapi sifat ketuhanannya telah diangkat ke langit.
5. Baginda mati disalib tapi kemudian telah dihidupkan semula dan kemudian baru diangkat ke langit.

Maka kita boleh lihat bagaimana mereka pun mempunyai banyak fahaman yang bercanggah.

Oleh itu, malang sekali kalau orang kita pun mengikut kepercayaan mereka. Kita pun tertipu oleh mereka. Ada yang percaya pula dengan kisah penyaliban Nabi Isa عليه السلام itu. Ini akan terjadi kalau tidak belajar agama, dan hanya menggunakan maklumat dari media sahaja. Sedangkan Qur’an telah menjelaskan perkara yang sebenarnya.

 

ما لَهُم بِهِ مِن عِلمٍ إِلَّا اتِّباعَ الظَّنِّ ۚ

Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; 

Inilah kesamaran yang besar. Sehingga hari ini, mereka masih ragu kerana maklumat yang tepat tidak ada. Antara ahli-ahli agama Kristian pun ada perselisihan pendapat. Mereka tidak mendapat maklumat yang mereka boleh rasakan sebagai tepat. Kebanyakan dari mereka hanya mengikut sangkaan sahaja. Dan dari sangkaan itu pelbagai kisah yang mereka rekakan pula.

 

وَما قَتَلوهُ يَقينًا

dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.

Yang pasti, mereka pun tidak dapat memastikan yang mereka telah membunuh Nabi Isa عليه السلام. Sememangnya baginda tidak dibunuh. Dan mereka yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام dibunuh pun, tidak dapat membuktikan kejadian itu.


 

Ayat 158: Allah ‎ﷻ memberitahu apa yang sebenarnya terjadi.

بَل رَّفَعَهُ اللهُ إِلَيهِ ۚ وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Rather, Allāh raised him to Himself. And ever is Allāh Exalted in Might and Wise.

MALAY

Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

بَل رَّفَعَهُ اللهُ إِلَيهِ

Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; 

Inilah yang terjadi sebenarnya. Allah ‎ﷻ telah mengangkat Nabi Isa ke langit. Maknanya, Nabi Isa عليه السلام masih hidup lagi, tapi berada di langit. Dan baginda akan turun akhir zaman nanti. Ini adalah dalil yang kukuh kerana ianya dari pemberitahuan Allah ‎ﷻ sendiri.

Daripada lafaz ayat yang digunakan, memang Allah ‎ﷻ telah naikkan tubuh badan Nabi Isa عليه السلام. Bukannya naikkan darjat, seperti yang dikatakan oleh sesetengah orang. Kerana ada yang berkata, yang diangkat dalam ayat ini adalah ‘darjat’, bukan batang tubuh Nabi Isa عليه السلام.

Tapi pendapat ini lemah kerana kalau darjat yang diangkat, memang ayat Qur’an akan menyebut ‘darjat’ di dalam ayat itu. Dalam ayat-ayat lain yang menyebut darjat, kalau yang dimaksudkan adalah penaikan darjat, memang akan digunakan kalimah darjat. Ini seperti yang disebut dalam An’am:83

وَتِلكَ حُجَّتُنا آتَيناها إِبراهيمَ عَلىٰ قَومِهِ ۚ نَرفَعُ دَرَجاتٍ مَن نَشاءُ

Dan itulah hujah Kami yang Kami berikan kepada Ibrahim untuk menghadapi kaumnya. Kami tinggikan siapa yang Kami kehendaki beberapa darjat.

Tapi ayat dalam Surah Nisa ini tidak ada sebut ‘darjat’ pun. Jadi, apabila tidak disebut, ia bermaksud memang batang tubuh Nabi Isa عليه السلام yang diangkat.

Perkara ini juga telah disebut dalam Ali Imran:55.

إِذ قالَ اللَّهُ يا عيسىٰ إِنّي مُتَوَفّيكَ وَرافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذينَ كَفَروا

(Ingatlah), ketika Allah berfirman: “Hai Isa, sesungguhnya Aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkat kamu kepada-Ku serta membersihkan kamu dari orang-orang yang kafir

 

وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja; dan Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana untuk menguruskan apa-apa sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ ingin mengangkat Nabi Isa عليه السلام ke langit, adalah sebabnya. Dan Allah ‎ﷻ mampu untuk mengangkat Nabi Isa ke langit, tidak ada masalah sedikit pun bagiNya.

Walaupun mereka ramai dan berkuasa pada waktu itu, tetapi rancangan mereka untuk membunuh Rasul Allah tidak akan berjaya kalau Allah ‎ﷻ tidak membenarkannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 September 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s