Tafsir Surah Baqarah Ayat 170 – 173 (Makanan yang diharamkan)

Ayat 170: Ini adalah ayat Zajrun.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ

Sahih International

And when it is said to them, “Follow what Allah has revealed,” they say, “Rather, we will follow that which we found our fathers doing.” Even though their fathers understood nothing, nor were they guided?

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan manusia yang degil. Degil untuk menerima kebenaran walaupun sudah ada di depan mata mereka. Telah diberitahu berkali-kali tapi degil juga untuk menerima kebenaran. Segala hujah sudah diberi tapi mereka tetap menolaknya.

Apakah yang didakwahkan kepada mereka?

 

 اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ

ikutilah sahaja wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada kamu;

Kita disuruh untuk ikut sahaja ajaran wahyu, jangan tambah-tambah dengan ajaran lain yang tidak tahu datang dari mana. Iaitu dalam perkara akidah dan amalan ibadat mesti ikut wahyu (Al-Qur’an dan juga hadis sahih).

Kena ikut cara hidup sepertimana yang diajar dalam Al-Qur’an dan Hadith Nabi ﷺ yang sahih. Itulah sahaja amalan yang sudah pasti dapat pahala. Sudah cukup amalan sunnah yang Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ ajar, tidak akan habis kalau kita hendak amalkan.

Tidak perlu ditambah amalan bid’ah yang lain. Malangnya ramai lagi hendak juga ambil ajaran yang entah dari mana. Ini kerana mereka ikut amalan tok nenek turun temurun.

 

 قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ

Mereka berkata: “Kami hanya ikuti apa yang kami dapati dari tok nenek kami sahaja”;

Yang diajar oleh Al-Qur’an dan dari Sunnah, mereka tidak mahu hendak ikut. Begitulah hujah golongan Jahiliyah dulu dan begitulah juga alasan golongan jahil masyarakat kita.

Mereka hendak ikut apa yang ustaz atau guru mereka ajar sahaja dan amalan yang telah lama ada dalam masyarakat. Iaitu perbuatan turun-temurun yang telah dilakukan oleh mereka yang kononnya ahli agama.

Atau, amalan yang telah lama ada dalam masyarakat. Keturunan mereka dahulu pun sudah lama mengamalkan perkara yang sama. Inilah yang Arab Jahiliyah susah nak tinggalkan dulu. Dan kerana itu mereka menentang Rasulullah.

Dan begitulah juga masyarakat kita sekarang. Contohnya, apabila dikatakan kepada mereka amalan Majlis Tahlil itu bid’ah, mereka akan kata bahawa amalan itu sudah lama dilakukan oleh orang-orang dahulu. Mereka berhujah: tidak mungkin amalan itu salah kerana sudah turun temurun ia diamalkan. Kalau ia salah, tentulah tidak diamalkan sejak sekian lama.

Mereka juga kata guru-guru agama dari dahulu sudah mengamalkannya, tidak mungkin mereka tidak tahu tentang agama pula. Ada juga berhujah: “perkara ini sudah lama dibahaskan, memang boleh buat….” Itu maknanya, mereka sayangkan guru lebih daripada sayangkan Allah ‎ﷻ. Mereka juga pakai amal sahaja amalan ibadah tanpa tengok dalil.

Perkataan أَلْفَيْ bermaksud ‘menjumpai sesuatu secara terserempak’ (bukan dicari-cari). Perkataan yang sama digunakan untuk menceritakan penemuan binatang seperti anjing contohnya, yang mencakar-cakar tanah dan menjumpai tulang. Ia bermaksud satu penemuan yang tidak memerlukan intelek. Kalau sesuatu penemuan itu memerlukan intelek untuk mendapatinya, perkataan وجد (wajada) akan digunakan.

Oleh itu, mereka hanya mengambil sahaja tanpa mereka memikirkan sama ada ia adalah benar ataupun tidak. Mereka terus terima sahaja tanpa usul periksa. Mereka malas nak fikir, hendak kaji sama ada amalan itu ada dalil atau tidak. Pada mereka yang seperti ini: asalkan sudah diamalkan dahulu, boleh sahaja diamalkan.

Kita bersyukur yang tok nenek kita dahulu sudah membuat keputusan untuk masuk Islam. Sudah senang kerja kita kerana lahir-lahir sudah berada dalam keluarga Islam. Kalau mereka tidak masuk Islam dahulu, entah kita agama apa sekarang – mungkin agama Hindu. Kerana anak-anak selalunya ikut agama dan amalan ibubapa mereka sahaja. Kalaulah mereka tidak masuk Islam, mereka akan tanggung dosa mereka dan dosa anak-anak cucu mereka yang tidak masuk Islam.

Begitulah juga kita: kalau kita tidak mengajar amalan yang betul kepada anak cucu kita, kita pun akan tanggung dosa kesalahan yang kita lakukan, dan juga menanggung sama dosa kesalahan mereka yang dilakukan kerana kita tidak mengajar mereka tentang kebenaran. Sudahlah dosa sendiri kena tanggung, ditambah lagi dengan anak cucu yang entah berapa banyak.

Apakah mereka masih hendak mengikuti lagi ajaran tok tok guru mereka lagi?

 

 أَوَلَوْ كَانَءَابَآؤُهُم لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا

sedangkan tok nenek mereka dahulu tidak tahu apa-apa?

Allah tempelak mereka: Masih hendak ikut lagikah amalan tok nenek itu walaupun tok nenek itu dahulu tidak tahu langsung tentang akidah? Mereka ‘asal buat’ sahaja. Mereka tidak menggunakan akal untuk memikirkan apakah amal ibadat yang mereka lakukan itu dari agama atau tidak.

Bermakna, tok nenek mereka dahulu pun mengamalkan sesuatu amalan yang salah atau bidaah itu tanpa menggunakan intelek mereka. Mereka itu jahil agama, takkan kita nak ikut mereka juga jadi jahil? Begitulah juga, masyarakat kita dulu jauh dari fahaman sunnah, keprihatinan kepada agama pun rendah. Mereka dahulu begitu, kita sekarang pun ramai yang buat begitu juga.

Menggunakan akal mestilah dengan akal yang suci bersih daripada emosi. Baru boleh mendapat ilmu yang bermanfaat. Kalau akal didorong oleh nafsu dan emosi, kita tidak akan mendapat kebenaran. Jangan kerana hendak hormat pendapat golongan sebelum kita, kita ikut sahaja amalan mereka.

 

وَلَا يَهْتَدُونَ

dan mereka sendiri tidak terpimpin?;

Maksudnya tok nenek mereka dahulu pun tidak mendapat hidayah dari Allah ‎ﷻ. Mereka tidak bersungguh untuk mendapatkan hidayah dari Allah ‎ﷻ.

Malangnya, ramai dalam kalangan ahli agama kita yang tidak terpimpin juga. Sepatutnya mereka kenalah tahu tentang agama, tetapi apabila kita tanya mereka sudah habis belajar tafsir Al-Qur’an atau hadith Nabi, mereka akan jawab yang mereka tidak belajar lagi pun. Cuma ambil sedikit-sedikit sahaja. Petik sini sedikit, sana sedikit.

Namun mereka berada di dalam kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Contohnya, merekalah yang berada dalam pejabat agama. Merekalah yang menjadi imam salat berjama’ah di masjid dan di surau-surau, merekalah yang mengajar di surau dan masjid-masjid.

Mereka menjadi rujukan masyarakat. Merekalah juga sekarang yang menjadi ‘ustaz selebriti’ dan ditonton di kaca TV. Alangkah malangnya masyarakat sekarang yang hanya memilih agama berdasarkan kepada kadar populariti seseorang tokoh agama itu.


 

Ayat 171: Sekarang Allah ‎ﷻ memberi perumpamaan mereka itu seperti binatang. Kalau kita cakap dengan mereka, mereka tidak faham. Begitulah orang yang tidak faham agama. Mereka boleh dengar suara sahaja tetapi mereka tidak faham apakah yang dikatakan.

وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ كَمَثَلِ ٱلَّذِى يَنعِقُ بِمَا لَا يَسمَعُ إِلَّا دُعَآءً وَنِدَآءً صُمُّۢ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَعقِلُونَ

Sahih International

The example of those who disbelieve is like that of one who shouts at what hears nothing but calls and cries cattle or sheep – deaf, dumb and blind, so they do not understand.

Malay

Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

 

وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا

Perumpamaan orang yang kafir ingkar itu,

Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang hanya mahu mengikut apa-apa amalan yang telah diamalkan oleh tok nenek mereka sahaja. Iaitu kafir jenis degil.

Walaupun sudah diberikan dengan dalil yang sahih, mereka masih menolak juga. Masih tetap hendak menegakkan amalan bidaah mereka itu memberikan dalil-dalil yang tidak kena, dan dengan hujah-hujah bathil.

 

 كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ

seperti orang yang melaung kepada binatang yang tidak mendengar;

Macam kucing, kalau kita panggil mereka, adakah mereka dengar? Mereka memang dengar, tetapi kucing itu tidak faham apa yang kita katakan.

Bayangkan Allah ‎ﷻ menyamakan mereka dengan binatang. Ini adalah satu perumpamaan yang berat. Bukan kita yang berikan perumpamaan ini tetapi Allah ‎ﷻ sendiri. Jadi jangan marahlah kalau kita kata begitu juga kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang berkata begitu.

 

 إِلَّا دُعَاءً وَنِدَاءً

melainkan panggilan itu sebagai laungan;

Mereka hanya dengar bunyi yang mengejutkan seperti contoh kalau kita dengar kereta berlanggar. Mereka akan perasan bunyi itu dan mereka akan menoleh untuk melihat.

Bayangkan juga penggembala lembu memanggil-manggil lembu mereka. Lembu itu tidak faham apakah yang dikatakan oleh penggembala itu. Namun bezanya, sekurang-kurangnya lembu itu, walaupun tidak faham penggembala, lembu akhirnya akan mengikut juga penggembala itu, akhirnya ikut juga penggembala lembu untuk balik ke kandang mereka.

Malangnya manusia, lagi teruk, sebab mereka tidak ikut langsung. Mereka lagi teruk daripada lembu itu. Dilawannya pula kita dengan kata-kata kasar dan kesat.

Kalimah دُعَاءً bermaksud panggilan dalam suara yang perlahan sedikit

Kalimah نِدَاءً pula bermaksud laungan yang kuat.

 

 صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ

Mereka jenis pekak, jenis bisu, jenis buta

Apabila ketiga-tiga pancaindera ini telah tiada, bermakna mereka tidak ada cara untuk mendapatkan ilmu lagi. Mereka tidak akan mendapat hidayah lagi. Bayangkan seseorang sedang berjalan. Dia sudah buta, oleh itu dia tidak nampak jalan. Bagaimana lagi kita hendak memberikan panduan kepadanya?

Kalau kita jerit kepadanya yang di hadapannya ada gaung, dia pun tidak dengar sebab dia sudah pekak. Dia sendiri pun tidak boleh meminta pertolongan lagi kerana dia sudah bisu.

Maka, ini adalah jenis orang yang tidak dapat ditolong lagi kerana mereka sudah tidak mampu untuk faham, maka kalau kita berikan ayat-ayat Al-Qur’an dan juga hujah-hujah lain, mereka tidak akan dapat terima. Kita lihat mereka pun seperti orang yang bengong, dengan Al-Qur’an dan hadis pun mereka tidak mahu dengar dan ambil sebagai pegangan.

 

فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

mereka itu tidak faham apa yang diberitahu;

Mereka macam binatang yang dengar laungan, tetapi mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan kepada mereka.

Sudahlah mereka pekak dan buta daripada mendapat hidayah dalam bentuk kalam Allah ‎ﷻ, mereka tidak menggunakan akal pula. Ini kerana hidayah Allah ‎ﷻ hanya hadir sama ada dalam bentuk Kalam-Nya (ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith) atau daripada alam ini (rujuk kembali ayat Baqarah:164).

Untuk mendapat hidayah dari alam ini, mereka perlu menggunakan akal. Namun dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata mereka tidak menggunakan akal mereka untuk memahami hidayah.


 

Ayat 172: Pengulangan tentang pemakanan.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ڪُلُواْ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقنَـٰكُم وَٱشكُرُواْ لِلَّهِ إِن ڪُنتُم إِيَّاهُ تَعبُدُونَ

Sahih International

O you who have believed, eat from the good things which We have provided for you and be grateful to Allah if it is [indeed] Him that you worship.

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman;

Dalam ayat berkenaan pemakanan sebelum ini, ia ditujukan kepada semua manusia. Kali ini ditujukan khas kepada orang-orang beriman sahaja.

 

 كُلُوا مِنْ طَيِّبَـٰتِ

Makanlah dari apa yang baik-baik itu;

Allah ‎ﷻ suruh kita makan rezeki yang Dia telah berikan, iaitu yang baik-baik sahaja (yang halal). Oleh itu, jangan makan makanan yang tidak halal.

Satu lagi, jangan mengharamkan apa-apa makanan tanpa sebab. Kalau ia halal, jangan halang manusia makan. Ini tentang berpantang makanan tanpa sebab yang munasabah.

Ada keberkatan dalam makanan dan perkara yang halal. Tidak ada keberkatan pada benda yang haram. Sesuatu yang tidak baik akan berlaku kalau kita makan juga daripada hasil yang haram. Mungkin kita tidak nampak dengan jelas, tapi ia tetap ada.

Contohnya, kalau rumah yang kita duduki itu didapati daripada rezeki yang haram, tidak akan ada kesenangan di dalamnya. Akan selalu terjadi pertengkaran di dalamnya. Mereka yang duduk di dalamnya tidak akan berasa selesa. Walau mewah dan besar mana sekalipun.

 

 مَا رَزَقنَـٰكُم

yang Kami beri rezeki kepada kamu;

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan bahawa Dia yang memberi rezeki itu kepada kita. Jangan lupa Siapa yang beri rezeki kepada kita. Maka kenalah kita bersyukur kepada-Nya.

Dan Allah ﷻ ingatkan, kalau Dia sudah beri maka kenalah kita terima. Jangan pula kita nak halang-halang dari dimakan atau digunakan oleh manusia.

 

وَاشْكُرُوا لِلَّهِ

Dan bersyukurlah kalian kepada Allah

Bersyukurlah dengan rezeki halal yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Jangan kita makan rezeki dari Allah ﷻ tapi kita tidak berterima kasih kepadaNya.

Kalau kita bersyukur dan rasa cukup dengan segala barang yang kita dapat daripada hasil dan perkara yang halal, kita tidak akan mencari yang haram. Yang mencari yang haram itu adalah kerana mereka tidak bersyukur dengan apa yang ada, tidak rasa cukup dengan barang halal yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Mereka masih lagi hendak mencari benda yang lain.

Lagi satu, syarat kita dikira bersyukur adalah: kita ucapkan syukur kepada Allah ‎ﷻ dan kedua, kita kena gunakan segala perkara halal yang Allah ‎ﷻ berikan itu dengan cara yang Allah ‎ﷻ ajar kita. Jangan disalahgunakan.

Dan yang ketiga, kita kena taat kepada Allah ﷻ dalam segala suruhan dan laranganNya. Sudah makan segala rezekiNya, kenalah ikut arahanNya, bukan?

 

 إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

sekiranya kamu kepadaNya sahaja kamu menghambakan diri. 

Kalau kita rasa yang kita ini hamba hanya kepada Allah ﷻ, maka kenalah kita taat kepadaNya, bersyukur di atas segala rezeki dariNya.

Mencari rezeki yang halal adalah satu ibadah juga. Ini adalah kerana kita lakukannya dalam rangka taat kepada Allah ‎ﷻ. Kerana kita ikut arahan Allah ﷻ untuk mencari rezeki dan memakan harta yang halal. Apabila kita ikut arahan Allah ﷻ, maka itu tanda kita menghambakan diri kepadaNya dan ia juga termasuk dalam perkara ibadah (ibadah umum).

Banyak manusia yang buat ibadah yang khusus seperti salat, puasa dan sebagainya, tetapi mereka tidak menjaga halal haram dalam urusan mencari rezeki kerana mereka tidak faham bahawa memakan perkara yang halal juga adalah ibadah.

Daripada ayat ini juga, kita dapat tahu bahawa kita hanya boleh taat untuk makan yang halal hanya jikalau kita hanya menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau kita ada masalah untuk melihat diri kita sebagai hamba yang taat, maka kita akan ada masalah untuk memakan yang halal-halal sahaja.


 

Ayat 173: Ayat tentang perkara halal dan haram. Ayat ini bukan hendak kata ini sahaja yang diharamkan. Ada yang keliru dengan ayat ini. Mereka kata: “ayat Al-Qur’an kata ini sahaja yang haram”.

Oleh itu, kita kena faham yang ayat ini cuma hendak mengatakan tentang barang yang Musyrikin Mekah kata halal (maka Allah ﷻ tolak salah faham mereka itu dalam ayat ini). Allah ‎ﷻ hendak beritahu kesilapan mereka dan menidakkan perkara-perkara yang mereka kata halal (tapi sebenarnya haram). Kena faham konteks ayat ini baru tidak salah faham.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيڪُمُ ٱلمَيتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحمَ ٱلخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِ لِغَيرِ ٱللَّهِ‌ۖ فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ۬ فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sahih International

He has only forbidden to you dead animals, blood, the flesh of swine, and that which has been dedicated to other than Allah. But whoever is forced [by necessity], neither desiring [it] nor transgressing [its limit], there is no sin upon him. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

Malay

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ

Sesungguhnya apa yang diharamkan kepada kamu

Ada makna pada perkataan إِنَّمَا itu. Kalau asal dari penggunaan bahasa Arab, perkataan itu boleh bermaksud Allah ‎ﷻ *hanya* mengharamkan perkara-perkara ini sahaja. Tidak banyak yang Allah ‎ﷻ haramkan. Sedikit sangat kalau dibandingkan dengan apa yang Allah ‎ﷻ telah halalkan.

Tetapi sebelum kita pergi jauh, kita kena faham konteks ayat ini – Allah  ‎ﷻ sebenarnya hendak membetulkan salah faham Musyrikin Mekah yang mengatakan benda-benda yang disebut dalam ayat ini adalah halal. Jadi, Allah ‎ﷻ hendak betulkan fahaman mereka.

Mereka ada berkata yang ada makanan lain yang haram, jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu, yang haramnya adalah perkara-perkara yang disebut ini. Yang mereka haramkan itu tidak haram sebenarnya. Jadi, bukanlah senarai ini sahaja makanan yang haram. Kena rujuk ilmu feqah untuk mengetahui makanan-makanan lain lagi yang haram. Ia diperincikan lagi dalam ilmu feqah.

 

 الْمَيْتَةَ

(adalah dari jenis) bangkai,

Bangkai adalah binatang yang mati bukan dengan cara sembelihan. Mungkin ada yang mati sendiri sebab sakit dan sebagainya, atau dibunuh dengan cara yang selain daripada sembelihan cara Islam. Atau, mungkin dilanggar, ditanduk, terjatuh dari bukit dan sebagainya lagi.

Bagi Musyrikin Mekah, bangkai binatang boleh dimakan dan ia adalah salah satu daripada sumber makanan mereka. Sedangkan dalam Islam, hanya boleh dimakan binatang yang disembelih cara Islam sahaja. Maknanya, kena ada ikhtiar manusia dalam kematian binatang itu.

Puak Musyrikin kata ini adalah satu pendapat yang pelik kalau hanya boleh makan makanan yang ‘dimatikan’ oleh manusia, sedangkan yang Allah ‎ﷻ ‘matikan’ (dengan banyak cara lain), tidak boleh dimakan pula. Namun beginilah cara yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Kena melalui proses yang betul sebelum boleh dimakan binatang itu.

 

وَالدَّمَ

dan darah,

Dalam ayat lain, ada disebut bahawa darah yang tidak dibolehkan makan adalah ‘darah yang mengalir’. Bukannya darah yang melekat pada daging dan tulang pada binatang. Oleh itu, tidak perlu dibasuh bersih sangat daging ayam atau daging binatang yang kita makan.

Ada yang salah faham, sampai basuh berkali-kali daging ayam kerana hendak menghilangkan darah pada daging itu. Sampaikan putih langsung daging itu dan tidak ada rasa manis pada daging itu lagi.

Jadi, darah yang dilarang adalah darah yang banyak. Hukum ini juga berat bagi Arab Jahiliyah kerana darah yang mengalir adalah sumber makanan kepada Musyrikin Mekah. Mereka akan cucuk binatang ternak mereka sampai mengeluarkan darah dan mereka akan kumpulkan darah itu dan simpan sampai darah itu sampai pejal dan mereka akan makan. Memang darah yang disimpan untuk sekian waktu akan menjadi pejal dan ada yang makan benda sebegini.

Sampai sekarang pun ada lagi manusia barat yang makan darah sebegini. Macam orang Barat, mereka akan tadah darah dan mereka jadikan macam puding. Ini adalah salah dan kita tidak boleh makan sebegini. Musyrikin Jahiliah juga menggunakan darah itu sebagai sejenis kuah, di mana mereka akan menggunakan darah itu untuk dimasak sekali dengan makanan mereka.

Menggunakan darah sebagai sumber makanan adalah satu cara yang ‘ekonomi’ kepada mereka kerana kalau mereka ambil darah itu sedikit-sedikit daripada binatang ternak mereka, tidaklah binatang itu mati dan mereka boleh ambil banyak kali. Maka, marahlah mereka apabila dikatakan tidak boleh makan darah.

 

وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ

dan daging babi;

Yang haram kita lakukan dengan babi itu adalah memakan dagingnya. Ayat ini menyebut ‘daging’ babi tetapi ia meliputi semua bahagian badan – kulit, tulang dan sebagainya. Maka jangan buat sup tulang babi dan kata: “Allah haramkan dagingnya sahaja!”

Babi juga adalah sumber makanan Musyrikin Mekah dan mereka tidak dapat terima larangan memakan babi ini kerana pada mereka, ia adalah makanan yang sedap. Kata mereka: “Takkan benda sedap pun tidak boleh dimakan?” Begitulah kata mereka. Ini adalah kerana mereka pakai akal.

Ada khilafiah tentang hukum memegang babi. Ramai yang kata kalau terpegang babi, kulit babi, tulang babi dan sebagainya, kena sertu. Sedangkan tidak ada hadith yang mengatakan kalau pegang babi kena sertu. Yang ada itu adalah hanya qiyas dengan pegang anjing. Iaitu memang ada hadith yang mengatakan kena sertu guna tanah kalau kena air liur anjing pada bekas makanan kita.

Namun tidak ada hadith yang mengatakan tentang sertu kalau pegang babi. Sedangkan zaman Nabi ﷺ sudah ada babi dan memang bangsa ada yang memakan babi. Maka ada yang berpendapat yang dilarang hanyalah makan daging babi sahaja sampaikan ada pendapat yang kata boleh pakai dompet, kasut dan barangan dari kulit babi yang lain.

Cuma, lebih selesa di hati kita sepatutnya kalau kita tinggalkan terus segala perkara yang berkenaan babi ini. Jangan kita terlibat dalam industri babi ini. Tambahan pula, dari segi hukum feqah, binatang yang tidak boleh disembelih dan dimakan, bahagian tubuhnya pun adalah najis.

 

وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ

dan apa sahaja yang disembelih untuk selain Allah;

Ini adalah larangan seterusnya. Musyrikin Mekah ada yang sembelih binatang ternak atas nama berhala (ditujukan untuk berhala-berhala itu). Iaitu semasa menyembelih binatang itu, mereka menyebut nama selain Allah ‎ﷻ, seperti Nabi atau wali pujaan mereka. Mereka sembelih binatang itu untuk didedikasikan kepada selain daripada Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini, diletakkan perkataan بِهِ dekat dengan kalimah أُهِلَّ. Ini bermaksud, menyebut nama sembahan lain selain Allah ‎ﷻ semasa menyembelih binatang itu. Terdapat juga ayat-ayat lain yang lebih kurang sama seperti dalam Maidah:3, An’am:145 dan Nahl:115 di mana perkataan بِهِ jauh daripada perkataan أُهِلَّ.

Dalam ayat-ayat itu, ia adalah apabila nama Allah ‎ﷻ disebut semasa menyembelih binatang sembelihan, tetapi sebenarnya bukan kerana Allah ‎ﷻ. Maknanya, tidak sebut untuk siapa, tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Ini pun tidak boleh.

Sebagai contoh kalau sembelih kerana wali. Ini adalah dosa besar atau rosak akidah. Ada kalangan masyarakat kita yang sembelih binatang, tetapi bukan kerana Allah ‎ﷻ.

Contohnya, sembelih kambing sebab hendak menghalau hantu. Ramai yang kita dengar bomoh-bomoh yang apabila berubat, mereka akan kata kalau hendak sembuh, kena sembelih ayamlah, kambinglah dan sebagainya. Memang masa pesakit sembelih binatang itu, mereka baca bismillah (dan ikut cara sembelihan Islam) tetapi sembelihan itu tidak sah dan haram memakan daging sebegitu.

Semua pengharaman ini nampak senang sahaja kepada kita kerana kita tidak makan bangkai, darah dan kita ada banyak daging lagi boleh dimakan selain daripada daging babi. Namun bayangkan apabila ayat ini diturunkan kepada para sahabat. Mereka bukan ada supermarket zaman itu. Bukan senang untuk mendapat daging apa-apa pun.

Mereka kena ternak atau berburu untuk mendapatkan daging. Jadi, apabila ayat ini diturunkan, ia telah mengurangkan pilihan makanan kepada mereka. Kita juga kena ingat bahawa mereka kadang-kadang tinggal bersama dengan ahli keluarga mereka yang bukan beragama Islam. Dulu senang sahaja mereka makan dengan keluarga mereka yang makan semua itu.

Namun selepas ayat ini, ada bahan makanan yang sebelum itu mereka boleh kongsi makan dengan ahli keluarga mereka yang bukan Islam, tetapi tidak boleh dimakan lagi. Contohnya, jikalau binatang itu disembelih atas nama Latta atau Uzza, mereka sudah tidak boleh makan lagi.

Atau mungkin ada binatang yang mati disebabkan panas terik dan tidak sempat disembelih – dahulu mereka boleh sahaja makan tetapi sekarang sudah tidak boleh.

Atau mereka dahulu makan darah yang dibekukan dan darah itu ada yang dijadikan sebagai kuah. Sekarang mereka tidak boleh makan. Tentu keadaan susah untuk mereka. Namun bagi yang beriman kuat, mereka sanggup ikut.

 

 فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ

Sesiapa yang terpaksa, tanpa sengaja;

Iaitu, dia terpaksa makan. Sebab tidak ada makanan lain. Contohnya seseorang itu dalam musafir dan sesat dalam hutan dan tidak ada makanan. Yang ada hanyalah makanan yang haram dimakan. Kalau dia tidak makan, dia akan mati.

Kalau dalam keadaan macam itu, dia dibenarkan makan apa yang diharamkan dalam ayat ini. Boleh makan, termasuk makan daging mayat manusia pun dibenarkan.

Perkataan بَاغٍ bermaksud memberontak. Kadang-kadang kita tidak benarkan seseorang buat sesuatu, tetapi mereka melawan, maka mereka buat juga. Maksud ayat ini, orang itu terpaksa makan, bukan sengaja hendak makan, bukan teringin hendak rasa macam mana rasa daging babi.

 

وَلَا عَادٍ

dan tidak melampaui batas;

Walaupun sudah dibolehkan makan, tetapi tidaklah boleh makan sampai kenyang. Setakat untuk hidup untuk hari itu sahaja. Tetapi boleh simpan sedikit sebagai bekal untuk esok kalau-kalau tidak ada makanan lain.

 

 فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

tidak ada dosa ke atasnya;

Sebagai contoh, seseorang terpaksa makan daging babi. Ataupun dia tidak tahu bahawa dia sebenarnya makan daging babi semasa dia makan itu, tidaklah ada dosa baginya. Ini adalah rukhsah dari Allah ﷻ untuk keadaan yang terdesak. Ini kerana agama Islam ini adalah agama yang praktikal.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun

Allah ‎ﷻ akan beri pengampunan bagi orang yang terpaksa makan tanpa sengaja dan tidak makan berlebihan.

Allah ‎ﷻ amat pengampun. Perkataan غَفُورٌ itu dalam bentuk isim mubalaghah – ekstrim/bersangatan. Maknanya, Allah ‎ﷻ amat pengampun. Allah ﷻ boleh ampunkan dosa besar mana pun dan berapa banyak pun kalau Dia mahu.

Namun Allah ﷻ tidak sentiasa mengampun. Ada beza antara dua makna itu kerana kalau kita tahu Allah  ‎ﷻ sentiasa mengampuni, kita akan ambil peluang dan buat kesalahan yang banyak. Maknanya, ada masanya Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita dan ada yang tidak Dia ampunkan. Semuanya terpulang kepada kehendak Allah ﷻ.

Jangan kita ada fahaman orang Kristian. Kepada mereka, semua dosa mereka telah diampunkan selepas mereka mengaku yang Nabi Isa عليه السلام adalah tuhan. Maka pada mereka dosa itu tidak ada masalah sangat. Maka apabila mereka rasa mereka sudah selamat daripada dosa, maka mereka telah mendapat tiket untuk melakukan apa sahaja dosa yang mereka mahu. Maka senanglah mereka hendak berbuat dosa.

 

رَحِيمٌ

dan Maha Pengasih.

Allah ﷻ sentiasa mengasihani hamba-Nya. Kerana itu Allah ﷻ sanggup untuk mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya. Kalau kita sayang kepada seseorang, bukankah senang kita hendak memaafkan kesalahan dia?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 30 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s