Ayat 34: Masih lagi dalam keadaan ke 6 di mana baginda dipenjarakan kerana mendapat godaan daripada wanita-wanita yang banyak dan baginda tidak mahu ikut kehendak mereka.
فَاستَجابَ لَهُ رَبُّهُ فَصَرَفَ عَنهُ كَيدَهُنَّ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So his Lord responded to him and averted from him their plan. Indeed, He is the Hearing, the Knowing.
(MALAY)
Maka Tuhannya memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
فَاستَجابَ لَهُ رَبُّهُ
Maka Tuhannya memperkenankan doanya
Allah ﷻ makbulkan doa baginda. Doa baginda adalah: dia lebih suka masuk penjara, maka Allah ﷻ memasukkan baginda ke dalam penjara. Ulama’ kata, kalau baginda minta dilepaskan terus dari masalah itu, tidaklah Allah ﷻ memasukkan baginda ke dalam penjara – ini mengajar kita untuk berjaga-jaga di dalam doa kita. Kadangkala kita doa meminta perkara yang silap. Sedangkan perkara itu dapat diselesaikan sahaja.
فَصَرَفَ عَنهُ كَيدَهُنَّ
dan Dia menghindarkan Yusuf dari tipu daya mereka.
Maka Allah ﷻ menghindarkan baginda daripada tipu daya mereka. Baginda diselamatkan daripada godaan para wanita itu. Iaitu dengan cara memasukkan baginda ke dalam penjara.
إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah ﷻ mengingatkan kita bahawa Dia Maha Mendengar doa kita. Allah ﷻ Maha Mengetahui segala apa yang terjadi. Semua yang terjadi itu adalah dalam perancangan Allah ﷻ.
Ayat 35:
ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then it appeared to them after they had seen the signs¹ that he [i.e., al-‘Azeez] should surely imprison him for a time.²
- Proofs of his innocence.
- Until the scandal be forgotten.
(MALAY)
Kemudian timbul fikiran pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.
ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ
Kemudian timbul fikiran pada mereka setelah melihat tanda-tanda
Dalam ini sekarang digunakan لَهُم (kepada mereka – merujuk kepada semua yang di situ sama ada lelaki atau perempuan) pula. Ini bermaksud sekarang perancangan ini telah melibatkan orang lain selain daripada wanita-wanita itu.
Ini adalah kerana perempuan-perempuan itu masing-masing mempunyai suami. Suami mereka sudah tahu apa yang terjadi dan mereka kena fikirkan jalan bagaimana untuk selesaikan masalah yang telah timbul ini dari menjadi semakin melarat. Isteri-isteri mereka sudah terpikat dengan seorang lelaki tampan dan baik. Sudah kecoh berita yang sekarang mereka telah angau dengan Nabi Yusuf عليه السلام.
Jadi ayat ini menceritakan kata-kata mereka selepas mereka mesyuarat sesama mereka.
لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ
bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.
Setelah mereka bermesyuarat, mereka rasa patut Nabi Yusuf عليه السلام dimasukkan ke dalam penjara buat sementara waktu. Biar baginda tidak dapat bercakap dengan orang lain. Mereka rasa ini cara terbaik, bagi isteri-isteri mereka dapat melupakan Nabi Yusuf عليه السلام.
Mereka memasukkan baginda ke dalam penjara tanpa melalui proses kehakiman kerana hendak senyapkan isu itu (dan tidak ada alasan kukuh sebenarnya untuk memasukkan baginda). Semua ini mereka lakukan untuk menyelamatkan keadaan yang sudah nampak tidak terkawal. Ini kerana kalau baginda masih duduk di dalam rumah, akan ada masalah yang lebih besar pula nanti.
Lagi satu, apabila Yusuf عليه السلام dimasukkan ke dalam penjara, masyarakat Mesir yang sudah dengar desas desus kisah itu pun akan sangka yang Yusuf عليه السلام yang bersalah, bukan wanita-wanita itu. Maknanya, mereka sanggup menyusahkan orang lain semata-mata kerana hendak menjaga maruah mereka.
Kerana itulah nanti, apabila Raja hendak mengeluarkan baginda dari penjara, baginda tidak mahu dikeluarkan selagi namanya tidak dibersihkan. Baginda tidak mahu nanti masih ada rakyat yang sangka baginda yang bersalah.
Asalnya mereka memang hendak memasukkan Nabi Yusuf عليه السلام untuk sementara waktu sahaja. Akan tetapi selepas sudah masuk penjara, mereka sudah lupa kepada baginda kerana bukan penting pun baginda bagi mereka. Entah berapa lama tidak diketahui kerana tidak disebut dalam nas.
Habis Ruku’ 4 dari 12 ruku’ surah ini.
Ayat 36: Ini adalah keadaan ke 7 – kisah di dalam penjara pula. Dugaan dan ujian yang Allah ﷻ kenakan kepada Nabi Yusuf عليه السلام berterusan dan belum berakhir lagi nampaknya. Kali ini berkenaan tadbiran mimpi yang kedua (yang pertama adalah mimpi Nabi Yusuf عليه السلام sendiri di awal surah).
وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجنَ فَتَيانِ ۖ قالَ أَحَدُهُما إِنّي أَراني أَعصِرُ خَمرًا ۖ وَقالَ الآخَرُ إِنّي أَراني أَحمِلُ فَوقَ رَأسي خُبزًا تَأكُلُ الطَّيرُ مِنهُ ۖ نَبِّئنا بِتَأويلِهِ ۖ إِنّا نَراكَ مِنَ المُحسِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And there entered the prison with him two young men. One of them said, “Indeed, I have seen myself [in a dream] pressing wine.” The other said, “Indeed, I have seen myself carrying upon my head [some] bread, from which the birds were eating. Inform us of its interpretation; indeed, we see you to be of those who do good.”
(MALAY)
Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda. Berkatalah salah seorang di antara keduanya: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku memeras anggur”. Dan yang lainnya berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku membawa roti di atas kepalaku, sebahagiannya dimakan burung”. Berikanlah kepada kami ta’birnya; sesungguhnya kami memandang kamu termasuk orang-orang yang pandai (mena’birkan mimpi).
وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجنَ فَتَيانِ
Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda.
Ini adalah kisah Nabi Yusuf عليه السلام dalam penjara. Ada dua orang pemuda yang dimasukkan sekali dengan Nabi Yusuf عليه السلام. Semasa proses dimasukkan ke dalam penjara, mereka dapat berkenalan dengan Nabi Yusuf عليه السلام. Memang ramai orang lain lagi di dalam penjara itu, tetapi mereka nampak bagaimana akhlak dan sifat baginda. Mereka tahu yang baginda lain dari yang lain.
Latar belakang dua lelaki ini: Seorang adalah tukang bawa air Raja dan seorang lagi adalah tukang roti Raja. Sebelum itu ada percubaan untuk membunuh Raja Mesir. Ada dua percubaan – dengan menggunakan racun pada makanan dan racun dalam minuman Raja. Dua lelaki ini terlibat di dalam percubaan itu. Salah seorang daripada dua lelaki yang dimasukkan bersama dengan Nabi Yusuf عليه السلام itu telah meletakkan racun ke dalam makanan.
Seorang lagi sepatutnya memasukkan racun ke dalam minuman Raja tetapi dia tidak sanggup melakukannya. Namun begitu, oleh kerana mereka terlibat, maka kedua-dua mereka dimasukkan ke dalam penjara sementara menunggu siasatan. Makanan sahaja yang mengandungi racun tetapi Raja tidak memakannya.
قالَ أَحَدُهُما إِنّي أَراني أَعصِرُ خَمرًا
Berkatalah salah seorang di antara keduanya: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku memeras anggur”.
Ini adalah orang yang tidak jadi meletakkan racun pada minuman raja. Dia telah dimasukkan ke dalam penjara kerana dia ada terlibat juga dalam percubaan membunuh raja itu.
Setelah mengenali Yusuf عليه السلام di dalam penjara, tidak lama kemudian dia boleh nampak bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام itu seorang yang ada kelebihan, maka dia minta Nabi Yusuf عليه السلام mentadbir mimpinya. Jadi tidaklah dia bertanya terus apabila masuk penjara itu. Dia memberitahu kepada Nabi Yusuf عليه السلام yang dia bermimpi dia memeras anggur untuk dijadikan wain. Apabila digunakan kalimah أَراني, bermakna dia selalu melihatnya – mimpi berkali-kali benda yang sama.
Ikrimah رحمه الله mengatakan bahawa salah seorang daripada keduanya berkata kepada Yusuf عليه السلام, “Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menanam biji buah anggur, lalu tanaman itu tumbuh dan mengeluarkan buah anggur yang sangat banyak, lalu aku memerahnya dan memberikan perahan itu kepada raja.
وَقالَ الآخَرُ إِنّي أَراني أَحمِلُ فَوقَ رَأسي خُبزًا
Dan yang lainnya berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku membawa roti di atas kepalaku,
Ini pula adalah mimpi seorang lagi lelaki. Dia adalah lelaki yang meletakkan racun pada makanan raja. Dia juga turut bermimpi. Dalam mimpinya itu, dia menjunjung roti di atas kepalanya.
تَأكُلُ الطَّيرُ مِنهُ
sebahagiannya dimakan burung”.
Kerana roti itu di atas kepalanya, ada burung yang mematuk dan memakan roti di atas kepalanya itu.
نَبِّئنا بِتَأويلِهِ
Berikanlah kepada kami ta’birnya;
Setelah berkenalan dengan Nabi Yusuf عليه السلام, mereka nampak kelebihan yang ada pada baginda. Jadi mereka berharap supaya baginda dapat mentadbir mimpi mereka itu. Ini kerana mereka rasa tentu ada makna yang hendak disampaikan kerana mereka berkali-kali mimpi perkara yang sama.
إِنّا نَراكَ مِنَ المُحسِنينَ
sesungguhnya kami memandang kamu termasuk orang-orang yang baik
Mereka berharap sangat kepada baginda kerana mereka nampak yang baginda adalah orang yang baik, yang hebat. Di dalam penjara Yusuf عليه السلام dikenali sebagai orang yang dermawan, dapat dipercayai, jujur pembicaraannya, berakhlak baik, dan banyak ibadahnya.
Selain itu dia dikenali mempunyai pengetahuan tentang ta’bir mimpi, selalu berbuat baik kepada penduduk penjara itu, gemar melawat mereka yang sakit, dan selalu memenuhi hak-hak mereka.
Ayat 37: Setelah diminta untuk mentadbir mimpi itu, baginda tidak terus tadbir mimpi mereka, tetapi baginda mengambil peluang itu untuk pujuk hati mereka dahulu kepada agama Islam. Ini kerana mereka memang sudah memasang telinga untuk mendengar kata-kata baginda.
Kerana itu kita akan lihat yang baginda tidak terus mentadbir mimpi mereka sahaja. Maka, kita pun bolehlah mengambil pendekatan sebegini kalau kita ada peluang untuk bercakap dengan orang yang memang sedang memasang telinga untuk mendengar cakap kita. Sebagai contoh, ada yang meminta derma daripada kita. Sebelum kita berikan derma, bolehlah dakwah sedikit kepadanya.
قالَ لا يَأتيكُما طَعامٌ تُرزَقانِهِ إِلّا نَبَّأتُكُما بِتَأويلِهِ قَبلَ أَن يَأتِيَكُما ۚ ذٰلِكُما مِمّا عَلَّمَني رَبّي ۚ إِنّي تَرَكتُ مِلَّةَ قَومٍ لا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَهُم بِالآخِرَةِ هُم كافِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “You will not receive food that is provided to you except that I will inform you of its interpretation before it comes to you. That is from what my Lord has taught me. Indeed, I have left the religion of a people who do not believe in Allāh, and they, in the Hereafter, are disbelievers.
(MALAY)
Yusuf berkata: “Tidak disampaikan kepada kamu berdua makanan yang akan diberikan kepadamu melainkan aku telah dapat menerangkan maksud mimpi itu, sebelum makanan itu sampai kepadamu. Yang demikian itu adalah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, sedang mereka ingkar kepada hari kemudian.
قالَ لا يَأتيكُما طَعامٌ تُرزَقانِهِ
Yusuf berkata: “Tidak disampaikan kepada kamu berdua makanan yang akan diberikan kepadamu
Apabila mereka di dalam penjara, mereka akan diberikan dengan makanan mengikut jadual tertentu.
إِلّا نَبَّأتُكُما بِتَأويلِهِ قَبلَ أَن يَأتِيَكُما
melainkan aku telah dapat menerangkan maksud mimpi itu, sebelum makanan itu sampai kepadamu.
Nabi Yusuf عليه السلام berjanji, sebelum makanan itu sampai, baginda akan selesai mentadbir mimpi itu. Seperti yang telah disebut, baginda hendak mengambil kesempatan itu untuk dakwah agama kepada mereka. Ini kerana tadbir mimpi itu sekejap sahaja sebenarnya, jadi hendak diisikan dengan perbincangan agama sedikit. Tetapi tidaklah sebut tentang agama memanjang-manjang. Sebab itu Nabi Yusuf عليه السلام bagi jangka waktu di permulaan. Baginda hendak ambil masa sedikit sahaja.
Ini penting kerana kadang-kadang kita kena ‘perangkap’. Ada orang yang kata hendak bagi tazkirah lima minit sahaja, tetapi selepas itu sampai sejam lebih dia bercakap, padahal kita ada kerja lain lagi. Dia kata dia hendak cakap lima minit sahaja, memang kita boleh bagi. Tetapi apabila dia sudah mula bercakap, kita rasa terperangkap.
Begitulah kadang-kadang masalah pendakwah – kata hendak cakap sedikit sahaja, tetapi akhirnya cakap banyak pula. Ini menyebabkan ada orang sudah malas hendak dengar kalau ada orang yang bercakap tentang agama lagi – ada di antara mereka yang tolak awal-awal. Oleh itu, kita sebagai pendakwah, kenalah pandai menggunakan taktik dan menghormati masa orang lain. Begitu juga kalau kita mengajar – kalau kata sejam sahaja kelas, maka sejam sahajalah.
Oleh itu, baginda berjanji yang baginda hendak bercakap pendek sahaja iaitu sementara makanan belum sampai lagi. Jadi dua orang itu sudah dapat agak berapa lama masa Nabi Yusuf عليه السلام akan bercakap. Ini mengajar kita untuk menghormati masa orang lain. Kerana itulah kalau kita dapat beri ceramah, mengajar, kita tanya masa bercakap sampai bila dan jangan cakap lebih dari masa yang telah dijanjikan.
ذٰلِكُما مِمّا عَلَّمَني رَبّي
Yang demikian itu adalah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku.
Pertamanya, baginda memuji Allah ﷻ di atas pemberian-Nya yang mengajar baginda bagaimana mentadbir mimpi. Baginda ingatkan yang kelebihan itu, Allah ﷻ yang berikan kepada baginda, bukan baginda memandai sahaja tadbir mimpi orang.
إِنّي تَرَكتُ مِلَّةَ قَومٍ لا يُؤمِنونَ بِاللهِ
Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah,
Sekarang baginda memperkenalkan dirinya. Baginda mengatakan yang baginda adalah seorang Muslim. Baginda tidak sama dengan mereka yang mengamalkan agama yang tidak beriman dengan Allah ﷻ.
Kalimah مِلَّةَ digunakan apabila manusia di sesuatu tempat atau negara bergabung dalam satu agama atau satu pegangan yang sama. Ia merujuk kepada agama rakyat negeri itu secara kolektif. Nabi Yusuf عليه السلام mengatakan baginda tidak seperti mereka kerana tidak mengamalkan fahaman mereka itu yang berlawanan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah ﷻ.
وَهُم بِالآخِرَةِ هُم كافِرونَ
sedang mereka ingkar kepada hari kemudian.
Dari segi bahasa, ada taqdim (mendahulukan) pada kalimah بِالآخِرَةِ. Ini menunjukkan penekanan pada perkataan itu menunjukkan cara kehidupan orang kebanyakan tidak takut dengan akhirat. Mereka buat tidak kisah dan tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan dan mereka akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan mereka semasa mereka di dunia.
Apabila tidak percaya dan tidak takut kepada akhirat, manusia berani berbuat apa-apa sahaja. Itulah perangai kaum kafir. Semasa ayat ini diberikan, penerima pertama adalah Arab Mekah yang kebanyakan daripada mereka tidak percaya dengan kebangkitan semula dan hari akhirat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 21 Mac 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an