Tafsir Surah Baqarah Ayat 169 – 170 (Ikut amalan tok nenek)

Baqarah Ayat 169: Apakah tanda atau bukti yang syaitan itu adalah musuh yang jelas nyata bagi manusia?

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Sahih International

He only orders you to evil and immorality and to say about Allah what you do not know.

Malay

Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

 

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ

Syaitan itu hanya akan menyuruh kamu untuk membuat amalan buruk

Allah menggunakan kalimah إِنَّما di sini kerana hendak memberitahu kita yang iblis dan syaitan tidak ada kerja lain melainkan untuk menyesatkan anak Adam. Mereka tidak jadi peguam dan cikgu sekolah tapi siang dan malam kerja mereka hanyalah menyesatkan manusia sahaja. Ini adalah kerana maksud إِنَّما adalah sesungguhnya tidak lain lagi.

Kalau kita mula mendengar was-was daripada syaitan, lama kelamaan dia akan lebih menguasai kita dan akan sampai pada satu tahap dia boleh ‘menyuruh’ kita. Perkataan أْمُرُ adalah bermula dengan tahap ‘mencadangkan’ sesuatu sampai kepada boleh ‘menyuruh’ seseorang melakukan sesuatu. Jadi syaitan akan mula-mula hanya boleh ‘mencadangkan’ kita melakukan sesuatu sahaja. Apabila kita sudah mula ikut, dia akan menjadi kuat dan boleh mengarahkan kita melakukan sesuatu. Suruhan syaitan itu adalah di dalam bentuk bisikan seperti disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالحَقِّ ، وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالحَقِّ ، فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللهِ فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ، ثُمَّ قَرَأَ {الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالفَحْشَاءِ} الآيَةَ.
“Sesungguhnya syaitan memiliki bisikan pada manusia, dan malaikat juga memiliki bisikan. Bisikan syaitan menjanjikan keburukan dan mendustakan kebenaran. Sedangkan bisikan malaikat menjanjikan kebaikan dan mempercayai kebenaran. Barangsiapa mendapatkannya, maka ketahuilah bahawa itu daripada Allah SWT, justeru hendaklah dia memuji Allah. Dan barangsiapa mendapatkan yang lain, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan yang dilaknat.”
(Jami’ Tirmizi [2988] dhaif menurut Baitussalam)

Syaitan itu hanya suruh kita buat dosa sahaja, tidak ada perkara baik pun yang mereka akan suruh kita buat. Kalau syaitan tiba-tiba suruh buat benda baik pun, tentu ada udang di sebalik batu.

Lafaz السُّوءِ bermaksud dosa daripada segi amalan atau perbuatan. Perbuatan yang jahat dan buruk. Ia adalah apa-apa sahaja perbuatan yang tidak ada yang baik. Tidak ada kebaikan hasil daripadanya. Yang jahat ialah segala macam maksiat, pelanggaran dan kedurhakaan, baik merugikan sesama manusia, atau merugikan diri sendiri, apatah lagi merugikan hubungan dengan Allah. Namun manusia masih juga melakukannya hasil daripada ajakan dan bisikan syaitan.

Untuk kenal cara penipuan syaitan ini, kita kena belajar Talbis Iblis. Ini supaya kita tahu modus operandi mereka. Kalau kita sudah tahu, maka bolehlah kita berhati-hati dan tidak tertipu. Sebagai pengenalan, mari kita lihat 10 Strategi Syaitan Menipu Manusia:

1. Menghiaskan amalan buruk nampak baik
2. Mengelirukan / menipu daya
3. Menangguh-nangguhkan taubat
4. Menganggap maksiat ringan dan kecil
5. Menimbulkan kesukaran kepada manusia selepas bertaubat
6. Menimbulkan rasa putus asa
7. Menipu ketika sedang marah
8. Memasang angan-angan
9. Menjadikan orang fanatik kepada mazhab & merendahkan orang yang berbeza pendapat dengannya
10. Menjadikan orang Islam menjadi sama ada extreme atau pertengahan, atau terlalu longgar

 

وَالْفَحْشَاءِ

dan akhlak yang memalukan;

Lafaz الْفَحْشَاءِ pula adalah dosa daripada segi akhlak dan budi pekerti. Termasuk budaya, cara pakaian, cara berpakaian dan sebagainya. Ada yang membezakan الْفَحْشَاءِ dan السُّوءِ adalah الْفَحْشَاءِ adalah apa-apa sahaja perbuatan keji yang membawa kepada zina. Ia juga dosa, tapi dikhususkan sebutan padanya kerana ia yang paling senang manusia lakukan dan paling mudah manusia terjerumus ke dalamnya. Ada juga pendapat yang membezakan السُّوءِ sebagai dosa biasa dan الْفَحْشَاءِ sebagai dosa besar. Ada juga pendapat yang mengatakan السُّوءِ sebagai dosa biasa dan الْفَحْشَاءِ itu adalah apabila sudah berdosa terlalu banyak, sudah lama buat sampaikan tidak boleh berpatah balik dan keluar darinya. Macam orang yang sudah ketagih rokok amat sukar untuk berhenti.

Ia juga termasuk jenis perbuatan yang kita hendak ceritakan kepada orang lain dan kenalan kita sendiri pun malu. Itu yang dipanggil fahsya‘. Kita hendak cerita kepada orang pun segan. Kalau kita malu hendak cerita kepada orang lain, bermakna ia adalah perkara yang tidak baik.

 

وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

dan supaya kamu mengatakan tentang Allah perkara yang kamu sendiri tidak tahu menahu;

Apa yang lebih teruk lagi, syaitan akan membisikkan supaya kita cakap tentang sesuatu atas nama Allah ‎ﷻ yang kita tidak ada dalil wahyu tentangnya. Kita berani kata yang sesuatu perkara itu adalah hal agama padahal ia tidak kerana agama kenalah ada dasar atas nama Allah ‎ﷻ dan bukan boleh kita cakap kosong sahaja. Ini amat bahaya sekali bagi golongan agamawan. Ingatlah yang kalau hal agama, kena ada dalil wahyu baru boleh diterimapakai. Tambahan pula kalau ianya tentang akidah. Kena ingat, ada tiga elemen syaitan akan sesatkan kita:

      1. Dari segi amalan dan perbuatan
      2. Dari segi akhlak
      3. Dari segi akidah

Selepas kita hanya mengikut sahaja saranan syaitan itu, syaitan akan pergi lebih jauh lagi. Dia tidak akan berhenti untuk menyesatkan manusia. Dia akan menyuruh kita membenarkan perbuatan salah yang kita buat. Sampai mengatakan sesuatu yang kita sendiri tidak tahu benar atau salahnya. Contohnya, seseorang akan kata bahawa perbuatan jahat yang dia buat itu tidak salah sebenarnya. Dia akan beri alasan atas perbuatan yang telah dilakukan. Mereka akan memusingkan hukum supaya nampak tidak salah perbuatan mereka itu. Mereka akan membuatkan justifikasi tentang perbuatan mereka. Contohnya, apabila seorang lelaki dan perempuan duduk bersama, mereka akan kata bahawa yang Allah ‎ﷻ tidak benarkan adalah berzina, bukannya duduk bersama. Mereka bercakap perkara yang mereka sendiri tidak tahu. Mereka sebenarnya jahil, tetapi mereka cuba untuk menerangkan tentang agama kepada orang lain.

Atau kalau kita tegur mereka, mereka akan melenting sambil berkata: “mana dia larangan itu dalam Al-Qur’an, dalam hadith, mana?!” Mereka akan berkata dengan angkuh kerana mereka jahil, mereka tidak tahu bahawa memang ada larangan tersebut dalam nas-nas agama.

Atau dia akan tafsir agama dengan pemahaman dia sendiri. Dia akan kata yang Allah ‎ﷻ maksud begini, bukan begitu. Senang-senang sahaja mereka berkata tentang agama tanpa ilmu pengetahuan. Sebagai contoh ada orang yang dipandang sebagai ahli agama di kampung-kampung mengajar keluarga si mati untuk buat kenduri arwah. Mereka buatlah hujah kesian orang mati ini, sebelum mati kenalah didoakan baginya supaya selamat dalam kubur. Tapi untuk ramai-ramai datang mendoakan, kenalah buat makanan bagi tukang doa itu dan orang kampung. Maka kelam kabutlah keluarga si mati buat kenduri. Asalnya kerana hendak makan sahaja. Kembali kepada isu isu perut tadi yang kita sudah sentuh. Sebab itu orang buat teka-teki: “tanaman apa yang paling cepat dapat makan?” Jawapannya adalah tanam orang. Pagi tanam, tengahari sudah dapat makan. Tapi ini telah menyusahkan keluarga si mati. Sudahlah mereka baru kematian ahli keluarga dan dalam kesedihan, kena sibuk pula isi perut orang kelaparan. Bagaimana pula kalau yang memang di dalam kesusahan? Memang orang kita tidak tahu berfikir agaknya, asalkan perut penuh. Sudahlah kena buat kenduri arwah, diajar pula oleh pak ustaz kena buat Majlis Tahlil pula berhari-hari. Inilah amalan bid’ah yang sudah berakar di dalam masyarakat kita dan memerlukan kebijaksanaan dan ilmu untuk membaikinya.

Dan ini menyentuh golongan asatizah yang mengajar amalan-amalan bid’ah kerana mendapat bayaran dari masyarakat. Mereka mengajar perkara yang karut marut entah datang dari mana. Mereka suka bercerita bergebang perkara yang masyarakat suka dengar. Maka bergelak ketawalah para pendengar itu. Sedangkan apa yang diajar bukannya dari wahyu tapi jadi bahan lelucon sahaja. Kerana ceramah sebeginilah yang masyarakat suka dengar. Kalau tengok Maharaja Lawak, tak nampak islamiknya. Tapi kalau dengar Ustaz Lawak, nampaklah macam ada belajar agama juga.

Maka memberi hukum, fatwa dan nasihat agama tanpa dalil adalah amat bahaya. Ramai yang memberikan pendapat tentang agama berdasarkan akal, bukan dengan wahyu. Ini adalah perbuatan yang salah dan Allah telah beri peringatan tentang hal ini di dalam Isra’:36

وَلَا تَقفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِۦ عِلمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمعَ وَٱلبَصَرَ وَٱلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنهُ مَسـُٔولاً
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Iblis dan syaitan akan tetap melakukan kerja mereka, ini kita tidak dapat halang dan mereka bukannya boleh dibawa berbincang. Maka apa yang kita boleh lakukan jikalau ada bisikan-bisikan jahat dari mereka. Allah telah ajar di dalam A’raf:200 untuk meminta perlindungan kepadaNya

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطانِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللَّهِ ۚ إِنَّهُ سَميعٌ عَليمٌ
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


 

TAQLID BUTA

Baqarah Ayat 170: Ini adalah ayat Zajrun (teguran) kepada penentang wahyu. Mereka ini adalah golongan yang termakan dengan pujukan syaitan sampaikan mereka meninggalkan wahyu dan sebaliknya memegang tradisi tinggalan orang dahulukala.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ

Sahih International

And when it is said to them, “Follow what Allah has revealed,” they say, “Rather, we will follow that which we found our fathers doing.” Even though their fathers understood nothing, nor were they guided?

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: ikutilah sahaja wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada kamu;

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan manusia yang degil. Degil untuk menerima kebenaran walaupun sudah ada di depan mata mereka. Telah diberitahu berkali-kali tapi degil juga untuk menerima kebenaran. Segala hujah sudah diberi tapi mereka tetap menolaknya.

Apakah yang didakwahkan kepada mereka? Mereka disuruh untuk ikut sahaja ajaran wahyu, jangan tambah-tambah dengan ajaran lain yang tidak tahu datang dari mana. Iaitu dalam perkara akidah dan amalan ibadat mesti ikut wahyu (Al-Qur’an dan juga hadis sahih). Kena ikut cara hidup sepertimana yang diajar dalam Al-Qur’an dan Hadith Nabi ﷺ yang sahih. Itulah sahaja amalan yang sudah pasti dapat pahala. Sudah cukup amalan sunnah yang Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ ajar, tidak akan habis kalau kita hendak amalkan. Tidak perlu ditambah amalan bid’ah yang lain. Malangnya ramai lagi hendak juga ambil ajaran yang entah dari mana. Ini kerana mereka ikut amalan tok nenek turun temurun.

 

 قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ

Mereka berkata: “Kami hanya ikuti apa yang kami dapati dari tok nenek kami sahaja”;

Lihat apakah balasan jawab mereka apabila didakwah kepada mereka. Yang diajar oleh Al-Qur’an dan dari Sunnah, mereka tidak mahu hendak ikut. Begitulah hujah golongan Jahiliyah dulu dan begitulah juga alasan golongan jahil masyarakat kita. Mereka hendak ikut apa yang ustaz atau guru mereka ajar sahaja dan amalan yang telah lama ada dalam masyarakat. Iaitu perbuatan turun-temurun yang telah dilakukan oleh mereka yang kononnya ahli agama.

Atau, amalan yang telah lama ada dalam masyarakat. Keturunan mereka dahulu pun sudah lama mengamalkan perkara yang sama. Inilah yang Arab Jahiliyah susah nak tinggalkan dulu. Dan kerana itu mereka menentang Rasulullah. Dan malangnya begitulah juga masyarakat kita sekarang. Contohnya, apabila dikatakan kepada mereka amalan Majlis Tahlil itu bid’ah, mereka akan kata bahawa amalan itu sudah lama dilakukan oleh orang-orang dahulu. Mereka berhujah: tidak mungkin amalan itu salah kerana sudah turun temurun ia diamalkan. Kalau ia salah, tentulah tidak diamalkan sejak sekian lama. Mereka juga kata guru-guru agama dari dahulu sudah mengamalkannya, tidak mungkin mereka tidak tahu tentang agama pula. Ada juga berhujah: “perkara ini sudah lama dibahaskan, memang boleh buat….” Itu maknanya, mereka sayangkan guru lebih daripada sayangkan Allah ‎ﷻ. Mereka juga pakai amal sahaja amalan ibadah tanpa tengok dalil.

Perkataan أَلْفَيْ bermaksud ‘menjumpai sesuatu secara terserempak’ (bukan dicari-cari). Perkataan yang sama digunakan untuk menceritakan penemuan binatang seperti anjing contohnya, yang mencakar-cakar tanah dan menjumpai tulang. Ia bermaksud satu penemuan yang tidak memerlukan intelek. Kalau sesuatu penemuan itu memerlukan intelek untuk mendapatinya, perkataan وجد (wajada) akan digunakan.

Oleh itu, mereka hanya mengambil sahaja tanpa mereka memikirkan sama ada ia adalah benar ataupun tidak. Mereka terus terima sahaja tanpa usul periksa. Mereka malas menggunakan akal untuk fikir, hendak kaji sama ada amalan itu ada dalil atau tidak. Pada mereka yang seperti ini: asalkan sudah diamalkan dahulu, boleh sahaja diamalkan.

Bukanlah kita tolak semua yang disampaikan kepada kita dari tok nenek kita. Kita bersyukur yang tok nenek kita dahulu sudah membuat keputusan untuk masuk Islam. Sudah senang kerja kita kerana lahir-lahir sudah berada dalam keluarga Islam. Kalau mereka tidak masuk Islam dahulu, entah kita agama apa sekarang – mungkin agama Hindu. Kerana anak-anak selalunya ikut agama dan amalan ibubapa mereka sahaja. Kalaulah mereka tidak masuk Islam, mereka akan tanggung dosa mereka dan dosa anak-anak cucu mereka yang tidak masuk Islam. Begitulah juga kita: kalau kita tidak mengajar amalan yang betul kepada anak cucu kita, kita pun akan tanggung dosa kesalahan yang kita lakukan, dan juga menanggung sama dosa kesalahan mereka yang dilakukan kerana kita tidak mengajar mereka tentang kebenaran. Sudahlah dosa sendiri kena tanggung, ditambah lagi dengan anak cucu yang entah berapa banyak.

Akan tetapi bukanlah kita terima terus sahaja apa yang telah diamalkan oleh tok nenek kita. Kita masih ada tanggungjawab lagi untuk mengkaji dan menilai adalah amalan dan ajaran mereka selari dengan syariat agama. Kalau selari, kita terima; kalau bercanggah, kita kena tolak tanpa pertahankan. Lihatlah bagaimana Nabi Yusuf menolak fahaman yang tidak berlandaskan kebenaran dan berpegang dengan agama tok nenek baginda kerana mereka benar di atas jalan haq. Ini seperti disebut di dalam Yusuf:37-38

إِنّي تَرَكتُ مِلَّةَ قَومٍ لا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَهُم بِالآخِرَةِ هُم كافِرونَ
Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, sedang mereka ingkar kepada hari kemudian.

وَاتَّبَعتُ مِلَّةَ آبائي إِبراهيمَ وَإِسحاقَ وَيَعقوبَ
Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub.

Isu ini adalah isu yang amat besar di dalam sejarah manusia zaman berzaman. Kerana itu ia banyak disebut di dalam Al-Qur’an kerana sama hujah manusia untuk menolak kebenaran. Sebagai contoh lihat apa yang disebut oleh kaum Nabi Saleh di dalam Hud:62

أَتَنهٰنا أَن نَّعبُدَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا
apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh bapak-bapak kami?

Mereka hairan sangat kenapa Nabi Saleh melarang mereka daripada menyembah apa yang pernah disembah oleh tok nenek mereka. Itulah kebanggaan mereka selama hari ini – meneruskan tradisi tok nenek, golongan yang terdahulu.

Memang manusia suka untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kalau perkara lain, tidaklah dijaga sangat, tetapi kalau dalam bab agama, memang mereka senang meneruskan amalan yang telah lama ada, langsung tidak boleh dipersoalkan.

Ini sama sahaja seperti golongan kita lah juga, kalau bab agama, mesti meneruskan apa yang telah lama diamalkan oleh golongan-golongan sebelum ini. Kalau kita tegur, marah betul mereka yang menjaganya. Mereka menjadi terlebih sensitif. Mereka ikut sahaja amalan tok nenek, tanpa memikirkan sama ada amalan itu benar atau tidak. Maka amat susah untuk kita menghilangkan amalan syirik, bid’ah dan khurafat dalam masyarakat kerana memang ramai yang berfikiran cetek begini. Oleh itu kita kena terus sampaikan ilmu.

Menggunakan hujah amalan tok nenek adalah satu hujah yang selalu digunakan oleh para penentang tauhid dan Sunnah. Ini adalah kerana pada mereka, sesuatu amalan itu sudah lama diamalkan oleh tok nenek dan kita manusia memang ada pertalian yang rapat dengan tok nenek. Mereka seolah-olah tidak dapat menerima hakikat bahawa amalan tok nenek mereka selama ini adalah salah kerana terlalu percaya dan hormatkan tok nenek itu. Ini adalah sebagaimana kita hormatkan apa yang dilakukan oleh ayah kita jugalah. Berat hati kita untuk kata ayah kita salah, bukan? Bagaimana salah sekalipun, mereka tetap bapa kita. Mereka sangka apabila amalan itu telah lama diamalkan maka tentulah ia benar kerana jikalau ia salah maka tentu telah lama ditolak.

Lagi satu mereka percaya kepada amalan tok nenek ini adalah kerana yang menjadi penganjurnya juga adalah golongan-golongan agama juga seperti ustaz dan tok lebai. Bayangkan amalan syirik buang sial ke laut dahulu dilakukan oleh para-para ustaz juga yang membacakan doa dan menjadi tekong kepada amalan itu. Alhamdulillah masyarakat kita sudah semakin pandai sedikit dan sudah nampak yang amalan itu adalah amalan syirik. Akan tetapi masih ada lagi amalan-amalan lain yang ada saki baki di dalam masyarakat kita.

Ringkasnya amalan tok nenek dipegang kuat kerana,

    1. Sudah lama diamalkan, jadi kenapa hendak tukar?
    2. Tok nenek yang kita hormat yang amalkan
    3. Kalau salah, kenapa ia diamalkan sekian lama?
    4. Ia juga diamalkan oleh ahli agama selama ini
    5. Takkan hendak kata tok nenek kita semuanya masuk neraka?

 

 أَوَلَوْ كَانَءَابَآؤُهُم لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا

sedangkan tok nenek mereka dahulu tidak tahu apa-apa?

Allah tempelak mereka: Masih hendak ikut lagikah amalan tok nenek itu walaupun tok nenek itu dahulu tidak tahu langsung tentang akidah? Mereka ‘asal buat’ sahaja. Mereka tidak menggunakan akal untuk memikirkan apakah amal ibadat yang mereka lakukan itu dari agama atau tidak. Bermakna, tok nenek mereka dahulu pun mengamalkan sesuatu amalan yang salah atau bid’ah itu tanpa menggunakan intelek mereka. Mereka itu jahil agama, takkan kita nak ikut mereka juga jadi jahil? Begitulah juga, masyarakat kita dulu jauh dari fahaman sunnah, keprihatinan kepada agama pun rendah. Mereka dahulu begitu, kita sekarang pun ramai yang buat begitu juga.

Menggunakan akal mestilah dengan akal yang suci bersih daripada emosi. Baru boleh mendapat ilmu yang bermanfaat. Kalau akal didorong oleh nafsu dan emosi, kita tidak akan mendapat kebenaran. Jangan kerana hendak hormat pendapat golongan sebelum kita, kita ikut sahaja amalan mereka.

 

وَلَا يَهْتَدُونَ

dan mereka sendiri tidak terpimpin?;

Maksudnya tok nenek mereka dahulu pun tidak mendapat hidayah dari Allah ‎ﷻ. Mereka tidak bersungguh untuk mendapatkan hidayah dari Allah ‎ﷻ. Mereka tidak belajar pun ilmu wahyu iaitu sumber hidayah. Jadi bagaimana hendak dapat hidayah? Kita kena terima hakikat yang budaya ilmu zaman dahulu tidak sama. Bangsa Melayu kita dahulu agak jauh dari ilmu wahyu. Sebab itu pengajaran Tafsir Al-Qur’an sangat asing di dalam masyarakat; begitu juga dengan ilmu Hadis. Hanya baru-baru ini ia semakin maju kerana sudah ada yang belajar ke negara-negara yang sudah mahir bab ini. Dan ia tidak sebati lagi dengan masyarakat kerana mendapat tentangan dari golongan yang tidak mahir dengan ilmu wahyu.

Malangnya, ramai dalam kalangan ahli agama kita yang tidak terpimpin juga. Sepatutnya mereka kenalah tahu tentang agama, tetapi apabila kita tanya mereka sudah habis belajar tafsir Al-Qur’an atau hadith Nabi, mereka akan jawab yang mereka tidak belajar lagi pun. Cuma ambil sedikit-sedikit sahaja. Petik sini sedikit, sana sedikit. Namun mereka berada di dalam kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Contohnya, merekalah yang berada dalam pejabat agama. Merekalah yang menjadi imam salat berjama’ah di masjid dan di surau-surau, merekalah yang mengajar di surau dan masjid-masjid. Mereka juga menjadi rujukan masyarakat. Merekalah juga sekarang yang menjadi ‘ustaz selebriti’ dan ditonton di kaca TV. Alangkah malangnya masyarakat sekarang yang hanya memilih agama berdasarkan kepada kadar populariti seseorang tokoh agama itu. Kerana itu kita sekarang melihat banyak ajaran pelik-pelik di dalam masyarakat.

Di dalam ayat Maidah:104 ada disebut teguran yang sama kepada manusia yang masih lagi hendak berpegang dengan ajaran tok nenek,

وَإِذا قيلَ لَهُم تَعالَوا إِلىٰ ما أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسولِ قالوا حَسبُنا ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا ۚ أَوَلَو كانَ ءآباؤُهُم لا يَعلَمونَ شَيئًا وَلا يَهتَدونَ
Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul”. Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya”. Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

12 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 169 – 170 (Ikut amalan tok nenek)”

  1. Assalaamualaikum …. kandungan celik tafsir utk ayat 172 al Baqarah macam banyak typo error …. yg membuat fahaman “disjointed”. minta tolong semakkan balik. Jazaakallahu khairan

    Like

      1. Subhanallah! Betul… dah tak ada typo2 error yg akak maksudkan /perhatikan itu hari. Maaf… Akak pun don’t know what happened … maybe my WordPress page wasn’t refreshed yet or something… Alhamdulillah ala kulihal. Barakallahu feeka for checking it out anyway. Jazaakallahu khairan akhi.

        Like

  2. Assalamualaikum…alangkah best kalau ada hardcopy version. Bayar pn sy sanggup. Sy baca sgguh puashati sbb dl baca quran x fhm makna sy rs x complete. Bila dh dh khatam bacaan refer tafsir, kdg2 sy x phm sbb dlm 1 surah byk cerita. Sy baca ulasan terjemahan ni dan2 phm…rs mcm ada cikgu mengajar face to face…cuma tu la bila baca kt phone ni x blh letak note huhuhu

    Like

Leave a reply to En Leh Cancel reply