Tafsir Surah Ankabut Ayat 42 – 45 (Apakah zikir terbaik?)

Ayat 42: Ayat Tauhid. Allah tekankan kembali tentang tauhid kerana perkara ini amat penting.

إِنَّ اللهَ يَعلَمُ ما يَدعونَ مِن دونِهِ مِن شَيءٍ ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh knows whatever thing they call upon other than Him. And He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang mereka seru selain Allah. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

إِنَّ اللهَ يَعلَمُ ما يَدعونَ مِن دونِهِ مِن شَيءٍ

Sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang mereka seru selain Allah.

Mereka bukan sahaja menyeru berhala-berhala mereka, tetapi mereka seru roh Nabi, wali dan malaikat dan lain-lain lagi. Kerana berhala dan ilah itu ada berjenis-jenis dan bukan sahaja dalam bentuk berhala.

Maka masyarakat kita kena faham apakah maksud ‘seru’ dan maksud ‘ilah’. Kerana ramai yang sangka Musyrikin Mekah sahaja yang buat syirik kerana sembah berhala. Sedangkan ramai dari kalangan masyarakat kita yang seru selain Allah dan tidak sedar yang itu adalah syirik.

Allah nak beritahu yang Dia tahu kesyirikan apa yang mereka lakukan. Allah akan balas nanti kesalahan mereka itu.

Juga bermaksud, ilah-ilah yang mereka seru selain dariNya itu Allah kenal – kerana Allah kenal segala makhlukNya. Segala yang diseru itu tidak ada kuasa apa-apa pun sebenarnya. Sia-sia sahaja mereka seru.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah maha berkuasa untuk terus beri azab kepada manusia atas kesalahan syirik mereka dan kezaliman mereka. Tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah.

Tapi Allah maha bijaksana dengan menangguh azab. Ini memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat dan baiki kesilapan. Kalaulah kita diazab setiap kali kita buat syirik atau buat salah, tentu tidak ada manusia yang hidup lagi di atas muka bumi. Maka ambillah peluang yang Allah berikan ini untuk baiki diri kita. Belajarlah tentang tauhid dan syirik supaya kita tidak melakukannya.


 

Ayat 43:

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And these examples We present to the people, but none will understand them except those of knowledge.

(MELAYU)

Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

 

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ

Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia;

Allah telah memberi banyak perumpamaan di dalam Al-Qur’an tentang lemahnya pergantungan kepada selain dari Allah. Banyak analogi yang Allah telah berikan. Cuma tinggal nak pelajari dan fahami sahaja.

 

وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ

dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Tafsir Al-Qur’an memang kena dipelajari untuk memahami perumpamaan yang Allah berikan. Perumpamaan-perumpamaan itu diberikan kepada semua orang, tetapi yang memahaminya adalah orang-orang yang menggunakan akal sahaja. Iaitu mereka yang tahu dan memahami tentang tauhid. Mereka belajar wahyu dan mereka gunakan akal mereka yang waras.

Maka Allah memberi cabaran kepada kita yang baca Al-Qur’an ini untuk melihat kepada contoh-contoh itu dan mengambil pelajaran darinya dengan menggunakan akal kita yang waras. Tapi kena mulakan dengan belajar tafsir. Kalau tak belajar, macam mana? Bukannya mudah untuk faham sendiri perumpamaan dalam Al-Qur’an.


 

Ayat 44: Ayat 44 – 47 adalah Perenggan Makro 5a. Ia mengajar kita cara dialog dengan Ahli Kitab. Ini adalah berkenaan Peristiwa sebelum hijrah ke Habsyah.

خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh created the heavens and the earth in truth. Indeed in that is a sign for the believers.

(MELAYU)

Allah menciptakan langit dan bumi dengan hak. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang mukmin.

 

خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ

Allah menciptakan langit dan bumi dengan hak.

Allah mencipta alam ini kerana bersebab dan begitu juga kita dicipta ada sebab-sebab dan tugasan yang kita perlu lakukan; dan apabila ia tidak dipenuhi, maka kerana itu ada kaum-kaum yang dimusnahkan.

Allah jadikan alam ini sebagai dalil bahawa ada Tuhan yang menjadikannya. Kerana tidak mungkin alam yang begini punya indah tidak ada penciptanya. Takkan ia boleh terjadi sendiri.

Dan ia juga sebagai dalil bahawa hanya ada Satu Tuhan sahaja. Kerana kalau ada ramai tuhan, ramai ilah, maka tentulah alam ini berselerakan kerana masing-masing ilah ada kehendak masing-masing.

Maka, kalau ada Satu Tuhan sahaja, maka hendaklah sembah dan puja kepada Satu Tuhan sahaja iaitu Allah. Kenapa nak puja kepada selain Allah? Kenapa nak berharap kepada selain Allah? Kenapa nak doa kepada selain Allah lagi?

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّلمُؤمِنينَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang mukmin.

Orang yang beriman akan sedar yang kejadian dalam alam ini semuanya ada tugas mereka, maka tentulah kita yang lebih mulia kejadian dari alam itu ada tugas juga. Takkan kita lahir dan mati begitu sahaja. Tentu kita ada tanggungjawab dan kewajipan yang kita kena penuhi.

AKHIR JUZ 20


 

Ayat 45: Ayat dalil wahyi. Arahan dari Allah kepada kita.

اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ ۗ وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ ۗ وَاللهُ يَعلَمُ ما تَصنَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Recite, [O Muḥammad], what has been revealed to you of the Book and establish prayer. Indeed, prayer prohibits immorality and wrongdoing, and the remembrance of Allāh is greater. And Allāh knows that which you do.

(MELAYU)

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Al Kitab (Al Qur’an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Al Kitab (Al Quran)

Waktu surah ini diturunkan para sahabat sedang diseksa dan ditindas, maka apakah yang mereka perlu lakukan? Mereka kena ikut apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu. Kena baca dan fahami, kemudian amalkan. Dan kemudian kena sampaikan kepada orang lain. Maka Nabi Muhammad dan sahabat kena sampaikan ajaran Al-Qur’an itu kepada manusia.

Ini adalah arahan amar ibqa’ie (terus melakukan perkara yang telah dan sedang dilakukan) – iaitu bukan baru suruh Nabi Muhammad bacakan Al-Qur’an itu kepada mereka kerana memang baginda telah bacakan kepada para sahabat sebelum ini pun. Dan ‘bacakan’ ini bermaksud sentiasalah dan selalulah bacakan ayat Al-Qur’an kepada mereka. Dengan cara itu manusia boleh memahami. Kerana manusia kena diingatkan dengan Al-Qur’an ini.

Maka, walaupun ayat ini nampak dari segi literalnya diarahkan kepada Nabi Muhammad, tapi ia juga adalah arahan untuk kita juga. Kerana kita juga hendaklah menyambung kerja Nabi untuk menyampaikan ajaran Al-Qur’an ini kepada manusia.

Makna ‘baca’ itu bukanlah baca sendiri tetapi kena ‘bacakan’ kepada orang lain. Kerana apabila kita bacakan kepada orang lain, maka tuntutan wahyu itu akan lebih meresap lagi ke dalam hati orang yang membaca Al-Qur’an itu kepada orang lain. Dakwah sebenarnya meningkatkan iman kita.

Kepada yang dengar itu mungkin mereka terima ataupun tidak. Tetapi yang membacakan Al-Qur’an itu tentunya sudah terima sendiri Al-Qur’an sebelum itu. Maknanya Al-Qur’an kena dibaca, difahami dan terima dahulu sebelum kita sampaikan kepada orang lain. Maka tentulah sebelum kita sampaikan kepada orang lain, kita sudah mantap pemahaman tentang Al-Qur’an, bukan? Takkan nak sampaikan benda yang kita sendiri tak tentu terima atau tidak pula?

Satu perkara lagi yang kita perlu ingat, ‘baca’ itu bukan hanya ‘mengeja’ dan menyebut ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu. Tapi yang lebih penting adalah pemahaman dari ayat-ayat itu. Salah faham tentang perkara ini menyebabkan masyarakat kita hanya mementingkan belajar baca dan belajar tajwid sahaja. Ramai yang tidak mementingkan langsung pemahaman dari Al-Qur’an itu.

Mereka ajar anak mereka baca Al-Qur’an dan mereka hantar anak mereka ke sekolah tahfiz, tapi tidak mementingkan pemahaman dari Al-Qur’an. Apa gunanya kalau pandai baca tapi tidak faham apa yang dibaca? Ini amat bahaya sekali kerana ramai yang baca, tapi dalam masa yang sama, mereka langgar arahan dalam Al-Qur’an itu sendiri.

Maka kerana itu kita amat pentingkan pelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Biarlah tak tahu baca pun, biarlah tak pandai tajwid pun, baca pun merangkak, tapi belajarlah apa yang Allah hendak sampaikan pada kita. Dalam masa yang sama, belajarlah baca sikit-sikit. Itu boleh datang kemudian.

 

وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ

dan dirikanlah solat. 

Dan mereka hendaklah mendirikan solat. Maka ‘dirikan solat’ itu adalah untuk menyampaikan wahyu kepada manusia kerana solat itu boleh memberi kekuatan. Dalam kita sampaikan wahyu kepada manusia, kita memerlukan kekuatan dan kekuatan itu boleh didapati dengan solat.

Ini adalah amalan peribadi ataupun dilakukan sendiri dan ianya akan menjadi sempurna apabila kita telah membacakan Al-Qur’an kepada orang lain.

Dan seperti juga baca Al-Qur’an itu bukanlah baca sahaja, tapi kena difahami sepenuhnya, maka begitu juga dengan solat. Jangan buat pergerakan dan sebut apa yang perlu disebut sahaja, tapi perlulah dihayati apa yang disebut itu. Barulah memberi kesan kepada diri kita.

 

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. 

Solat itu dapat menghalang manusia dari melakukan perkara yang memalukan dan perkara-perkara yang buruk. Kerana solat itu mempunyai roh yang dapat menghalang orang yang melakukannya dari membuat dosa.

Jadi jikalau kita ini solat tetapi masih lagi melakukan perkara-perkara yang memalukan seperti melihat kepada perkara lucah, berzina, memandang kepada perempuan dengan syahwat, maka mungkin solat yang kita lakukan itu tidak dilakukan dengan betul dan tidak bermakna buat kita. Itu jenis solat yang tiada roh di dalamnya.

Maka kita kena faham apakah yang kita sebut dalam solat itu, apa yang kita lakukan dalam solat itu, kepentingan solat, falsafah solat dan macam-macam lagi. Solat yang berkualiti tinggilah yang boleh menghalang manusia dari melakukan maksiat dan dosa.

Di dalam sebuah hadis melalui riwayat Imran dan Ibnu Abbas secara marfu’ telah disebutkan:

“مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلَاتُهُ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ، لَمْ تَزِدْهُ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا”

Barang siapa yang solatnya masih belum dapat mencegah dirinya dari mengerjakan perbuatan keji dan mungkar, maka tiada lain dia makin bertambah jauh dari Allah.

Kerana itu Allah tidak kata ‘buat solat’ tetapi ‘dirikan solat’. Ianya seperti satu binaan yang kalau kita bayangkan binaan yang kukuh dengan dasar yang kuat, maka ia akan menjadi satu perkara penting yang dapat menjaga kita daripada anasir-anasir luar.

Jadi kalau kita masih solat tetapi masih melakukan perkara mungkar, maka itu kerana solat kita tidak didirikan dengan betul. Maka kena belajar cara solat yang betul dan kena tingkatkan kualiti solat kita. Ini memerlukan pembelajaran berterusan. Jangan solat kita di takuk yang lama sahaja.

Kita takut kita termasuk dalam golongan yang disebut dalam hadis ini:

Rasulullah s.a.w. menegaskan, “Kelak akan muncul di antara umatku, suatu kaum (kelompok) yang membaca al-Qur’an. Bacaan kalian tidak dianggap oleh mereka dan solat kalian tidak diakui oleh mereka. Puasa kalian tidak memiliki erti di mata mereka. Mereka merasa paling berhak membaca al-Qur’an sehingga kalian akan menyangka bahawasanya al-Qur’an itu hanya milik (diturunkan kepada) mereka saja. Padahal, sebenarnya kelak di akhirat al-Qur’an akan melaknat mereka. Mereka terlihat rajin mengerjakan solat tetapi apa yang mereka baca ketika solat hanya sampai di kerongkong mereka (tidak menyentuh hati dan mendirikan amalan mereka) dan mereka akan keluar daripada agama Islam sebagaimana keluarnya anak panah daripada busurnya.” (Sahih Bukhari (6933))

 

وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ

Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar

Ingat kepada Allah di luar solat itu lebih besar dari perkara lain. Allah sebut mengingatNya selepas sebut tentang solat kerana Allah hendak memberitahu kelebihan Solat di mana ia bukan sahaja menjaga kita daripada perbuatan mungkar tetapi ia memberi kelebihan kepada kita untuk mengingati Allah.

Atau, ia bermaksud hendak memberitahu bahawa ingatan kita kepada Allah adalah sesuatu yang amat besar. Ia lebih besar dari dunia dan segala isinya. Ia menghalang manusia dari melakukan keburukan di atas muka bumi ini dan ia akan menyebabkan manusia mudah untuk melakukan kebaikan. Orang yang sanggup melakukan maksiat itu adalah kerana mereka tidak ingat kepada Allah.

Atau ia bermaksud, ingat kepada Allah melalui solat ini lebih besar daripada zikir dengan cara-cara lain. Orang kita ramai yang suka berzikir dengan berbagai-bagai cara termasuklah dengan cara yang bidaah. Mereka lupa bahawa cara mengingat Allah yang paling utama adalah dengan solat. Maka lakukanlah solat sunat banyak-banyak. Itu lebih baik dari zikir beribu-ribu.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa makna ayat ini mengandungi dua takwil, iaitu:

  1. ingat kepada Allah di saat menghadapi apa-apa yang diharamkan-Nya.
  2. ingatan Allah kepada kalian jauh lebih besar dari ingatan kalian kepada-Nya. Ketika kita ingat kepada Allah, waktu itu Allah lebih ingat kepada kita. Ini dikuatkan lagi dengan ayat Baqarah:152

فَاذكُروني أَذكُركُم

Oleh kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu,

 

وَاللهُ يَعلَمُ ما تَصنَعونَ

Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Dan Allah tahu apa yang kita kerjakan setiap hari dan setiap masa. Maka hendaklah kita berjaga-jaga dengan apa yang kita lakukan. Pastikan apa yang kita lakukan adalah amalan yang baik. Kena jaga diri kita dari melakukan perkara buruk dan maksiat. Ini memerlukan kekuatan diri dan kekuatan iman.

Dan seperti yang telah disebut tadi, ia dapat dicapai dengan melakukan solat dengan baik. Kerana solat yang khusyuk mendidik kita sedar Allah sedang memerhatikan kita. Dan kemudian bawa perasaan itu ke luar solat. Kalau sepanjang masa kita sedar Allah sedang memerhatikan kita, maka kita akan takut untuk buat dosa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s